Wednesday, August 5, 2020

DUA BUAH BUKU KRITIKAN SASTERA TERPENTING DALAM SASTERA MELAYU

Dua buah buku itu ialah Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019), dan sebuah lagi Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (2016).  Buku pertama menggariskan ukuran baku dalam kritikan sastera; buku kedua membicarakan masalah pandirisme dalam sastera Melayu. Tentu saja kedua-dua buah buku ini ditolak dengan keras oleh para sarjana sastera dan sasterawan negara; tetapi tidak ada hujah yang dilontarkan (ini retorik penulis Indonesia) dalam mana-mana penerbitan. Saya diberitahu DBP akan mengadakan seminar kritikan kebangsaan tak lama lagi; selepas itu katanya akan diisytiharkan sasterawan negara baru. Apakah yang baru dalam dua peristiwa ini? Yang baru ialah Gagasan Persuratan Baru, yang sudah pun dibicarakan di peringkat antara bangsa, tetapi belum lagi dibincang dalam mana-mana seminar rasmi DBP atau ITBM.  Saya harap DBP bermurah hati menjemput sesiapa juga yang mahu mengkritik PB secara ilmiah membentangkan satu kertas kerja, sesuai dengan tema pertemuan itu.  Penegasan saya bahawa tiada sebuah pun karya para sasterawan negara boleh mengatasi karya kreatif saya sendiri perlu dibuat sanggahan segigih mungkin supaya pandirisme dapat difahami dengan lebih jelas di kalangan sarjana dan sasterawan.  Sesiapa juga yang menolak pandirisme sebagai satu realiti dalam sastera Melayu, perlu mengemukakan hujah yang betul-betul mantap. Saya beri satu contoh mudah untuk digunakan oleh sesiapa pun yang akan menulis kritikan terhadap Gagasan Persuratan Baru, untuk misalnya membuat kesimpulan bahawa cabaran saya Pujangga Melayu lebih bermutu daripada War and Peace, dilihat dari perspektif ilmu, adalah cabaran tidak siuman. Misalnya dengan memberikan penegasan, tidak seorang pun di antara sasterawan negara yang boleh dibandingkan staturenya dengan Leo Tolstoy, oleh itu tentulah tidak siuman kalau seorang penulis biasa-biasa saja seperti Mohd. Affandi Hassan yang tidak ada apa-apa gelaran seperti para sasterawan negara, mendakwa Pujangga Melayu karyanya lebih hebat daripada War and Peace.  Ada orang kasi tahu sama saya cabaran ini membuat para sarjana dan sasterawan sudah kehilangan mereka punya peace of mind kerana dicabar begitu kasar oleh seorang penulis yang gila nama! (Mana mereka tahu saya gila nama saya pun tidak pasti; yang saya pasti mereka ini memang suka mengata asal saja boleh memburukkan seseorang, seperti yang dibuat oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan sahabat dan muridnya Dr. Fatimah Busu.)

Sekiranya cabaran saya hendak diratibkan dalam seminar kritikan yang akan diadakan itu, saya fikir sangat kena pada tempatnya. Saya ada salin kutipan daripada sebuah sajak panjang dalam Pujangga Melayu yang dimuat dalam buku Pandirisme …, hal. 83, “Korus Sarjana Ciritan”, yang sesuai digunakan untuk diratibkan dalam seminar kritikan itu.  Sekiranya anda mempunyai pilihan lain yang lebih baik, misalnya yang terdapat dalam sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, yang tentu saja mengikut pertimbangan anda lebih baik daripada sajak-sajak saya yang tidak bergelar apa-apa gelaran rasmi kerajaan, maka masukkan saja sajak itu untuk diratibkan. Tentu saja ini dapat membantu para peserta seminar membuat pertimbangan yang sehabis adil bahawa semua pandangan saya tentang sastera adalah tidak sihat dan wajib ditolak serta disingkirkan supaya sastera Melayu tidak tercemar oleh sebarang idea yang mendewakan konsep ilmu. Seminar kritikan kebangsaan ini menjadi gelanggang terbaik untuk menolak PB secara tuntas; atau lebih baik lagi jika diterima dan dijadikan teori kritikan asas oleh DBP dan ITBM, satu-satunya teori yang secara tuntas dapat mencabar semua teori sastera Barat. Tidakkah itulah harapan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri?

Satu pertanyaan: Sekiranya tiada sebuah pun karya para sasterawan negara layak untuk dibandingkan dengan War and Peace,  adakah satu kesalahan akademik untuk mencampakkan Pujangga Melayu ke dalam gelanggang sastera dunia dengan penegasan bahawa Pujangga Melayu lebih bermutu daripada War and Peace, berasaskan konsep ilmu yang benar. Dua perkara yang anda perlu nafikan: pertama, konsep ilmu yang benar tidak boleh dipakai dalam sastera dunia, oleh itu perbandingan itu tidak sah. Kedua, kehebatan karya sasterawan negara yang setaraf dengan War and Peace ialah kerana karya para sasterawan negara menolak konsep ilmu yang benar yang juga ditolak oleh Leo Tolstoy, oleh itu Tolstoy dan para sasterawan negara yang juga menolak konsep ilmu yang benar  adalah setaraf. Adakah hujah  ini boleh dipakai?. Kalau tidak boleh, adakah cabaran saya tadi memang berasas. Jelaslah anda perlu memberi penjelasan supaya saya tidak dikelirukan dan anda sendiri pun perlu diberi pembelaan yang wajar supaya tidak lagi dituduh berada dalam gerombolan sarjana dan sasterawan yang cetek meraba-raba dan picisan…

Saya dapat berita, DBP akan menjemput saya menulis kertas kerja untuk seminar kritikan itu.  Untuk makluman, saya telah menulis kira-kira 10,000 halaman dalam buku yang diterbitkan dan dalam blog ini membicarakan masalah dalam kritikan sastera . Saya fikir sudah cukup untuk dibuat rujukan.  Yang lebih baik dan lebih bermakna ialah DBP mencadangkan sesiapa yang sanggup menulis satu kritikan tentang PB untuk dibentang di dalam seminar itu. Untuk makluman, sebuah tulisan saya yang panjangnya 6 halaman untuk Dewan Sastera ditolak beberapa tahun dulu kerana saya diberitahu saya mengkritik sasterawan negara. Maka dengan itu saya cadangkan DBP membeli tidak kurang 200 naskhah buku terbaru saya mengenai sasterawan negara itu untuk diberi percuma kepada peserta seminar. Sekiranya terdapat salah faham dan salah tafsir, senang pembaca membuat teguran dan boleh terus disanggah dalam seminar.  Itulah cara terbaik untuk memperteguh budaya ilmu dalam sastera Melayu.

Kedua-dua buah buku yang saya tulis itu memberi ruang  yang luas kepada anda untuk mengkritik saya.  Peluang baik ini tidak wajar dibiarkan saja sekiranya seminar kritikan itu dilangsungkan; oleh itu sesiapa juga yang menentang PB bolehlah memberikan penghujahan dan pembuktian mereka yang boleh saja digunakan untuk mendedahkan kelemahan PB dan buku-buku saya yang lain.  Kesilapan tidak boleh dibiarkan, maka itu saya kemukakan Gagasan Persuratan Baru untuk membetulkan kesilapan yang sudah melangkau 80 tahun dibiarkan dalam masyarakat Melayu atas nama sastera moden yang progresif, padahal sastera itulah yang merosakkan faham ilmu dalam masyarakat Melayu.  Persoalan ini saya bincang panjang lebar dalam dua buah buku penting itu. Ambillah kesempatan untuk membetulkan kesilapan anda, atau mendedahkan kesilapan saya sendiri ketika mengkritik kepalsuan konsep sastera yang anda jadikan pegangan dalam penulisan itu.  Saya kira ini suatu permintaan yang wajar. Seiring dengan itu, saya ingin menyebut kembali pandangan bernas Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara, yang kesal dan insaf tentang kesilapan beliau dan rakan-rakannya yang menilai karya sastera Melayu menggunakan ukuran dari luar. Sila baca kembali pandangan bernas beliau ini dalam buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau  (DBP 2005. Eds. Hajijah Jais & Muhammad Ikhram Fadhly Hussin). 

Sila baca rintihan (?) tokoh agung sastera Melayu ini: “Pertamanya sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.

Saya kira dalam hal ini sastera moden sudah menjadi subjek kepada perubahan dan sebuah teori untuknya harus disediakan.” (hal. 14)

Pada 22-24 Mac 2005 DBP mengadakan “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II,” dengan tema khusus “Teori Asas Pengukuhan Sastera Melayu Serantau.”  Tokoh besar ini telah diberi tugas memberi ucaputama (keynote address) kepada seminar itu.

Buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992, cetakan ke-2 2005) sudah lama berada di pasaran, tetapi tidak diketahui oleh sarjana ulung ini.  Oleh itu, dalam ucap utamanya pada seminar itu beliau telah membohongi dirinya dan membohongi peserta seminar.  Pembohongan ini diulangnya lagi dengan bangga  dalam seminar anjuran ITBM pada  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, diadakan di Jitra Kedah pada 24-26 Oktober 2014.  Beliau tidak tahu sudah pun lama terbit buku-buku yang mencabar teori sastera Barat yang dicetuskan oleh Mohd. Affandi Hassan. Jangan-jangan profesor tokoh agung sastera Melayu ini tidak pernah dengar nama beliau, apatah lagi membaca karya beliau dalam kritikan.

Aneh, ada juga sarjana sastera dan sasterawan negara yang tidak pernah baca karya Mohd. Affandi Hassan? Lebih pelik lagi jika mereka tidak pernah dengar nama beliau, padahal novel Pujangga Melayu itu lebih baik dan lebih bermutu daripada War and Peace karya Tolstoy.  Tiada pula bangkangan dari sesiapa pun!  Kita tunggu seminar kritikan DBP itu nanti, mana tahu semua peserta seminar pecah perut membaca jenaka ini. Apa pula komen mereka tentang buku Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden.  Drama ini semakin menarik.  Jangan biarkan mereka dijadikan badut dalam sastera Melayu moden yang sudah jauh maju ke depan dengan terbitnya buku-buku Mohd. Affandi Hassan.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 April 2019.






No comments:

Post a Comment