Dengan
munculnya perkembangan baru sejak tahun 1990 dalam sastera Melayu, wujudnya
perbezaan antara karya persuratan dan karya sastera tidak dapat dielakkan, oleh
itu perlu diterima oleh semua penulis Malaysia yang siuman. Saya mengatakan
perkara ini kerana perkembangan terbaru ini membuat ramai penulis tidak siuman,
seperti yang saya laporkan dalam beberapa entri yang lepas. Terjadi satu kejutan budaya yang membawa
kemurungan dan kebencian di kalangan sasterawan dan sarjana sastera kerana
perubahan kognitif yang mereka lalui tidak dijangka oleh mereka sama sekali. Sekarang mereka harus memilih antara ilmu
dengan sensasi. Sesiapa yang tidak faham
kesimpulan ini boleh baca seterusnya, dengan teliti, beberapa entri blog ini
yang membahaskan aspek ini. Lebih baik jika anda membaca dengan kritis Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan
Melayu (2019).
Mungkin
pembaca yang agak bodoh akan bertanya, mengapa saya mengulang-ulang
perbincangan tentang perkara ini sudah beratus kali, menurutnya pembaca sudah
bosan. Kalau betul memang ada yang
bosan, bagi saya itu sangat bagus. Sudah berkali-kali saya pernah berkata, saya
hanya perlu seorang pembaca yang serius, yang berfikir dan kemudiannya
melahirkan sesuatu yang bernas dari hasil pemikirannya. Katalah dalam setahun
saya hanya dikunjungi seorang pembaca yang cerdik, maka bagi saya itu sudah
cukup bagus. Dalam sepuluh tahun saya sudah ada sepuluh pembaca yang cerdik.
Itu yang kita mahu, yang kita harapkan. Bukan senang mendapat pembaca yang
cerdik dan tahu berfikir dengan teratur.
Bagaimana mahu berfikir dengan teratur itu hanya diajar oleh Gagasan
Persuratan Baru, tidak sebelumnya. Hikayat Salim Adil (cetakan kedua 2018)
memberi anda beberapa saranan bagaimana mahu berfikir dengan teratur, tetapi
novel ini tidak dibaca oleh para penulis. Para sarjana yang mengajar sastera di
universiti tidak mahu buku ini dikenali oleh para pelajarnya, supaya mereka
tidak dihujani dengan pertanyaan yang akhirnya akan menyerlahkan kegagalan
pengajaran sastera di universiti. Dewan
Bahasa dan Pustaka, di bawah pengaruh para sarjana yang anti Gagasan Persuratan
Baru, memilih untuk menentang PB dengan alasan PB menolak kehadiran para
sasterawan negara sebagai kumpulan sasterawan picisan saja. Dengan itu semua
perbincangan ditutup, maka jadilah DBP satu organisasi yang menentang ilmu dan
dengan itu menolak konsep ilmu yang benar yang diperjuangkan oleh PB. DBP berbangga kerana keputusannya itu
mendapat sanjungan seluruh para sasterawan dan sarjana sastera; tetapi DBP
tidak dapat membunuh atau melumpuhkan PB yang semakin kukuh kedudukannya dalam
perkembangan ilmu di Malaysia. Sukar difahami mengapa DBP yang diserahkan tugas
untuk mengembangkan bahasa dan sastera akhirnya bangkit menentang kemunculan PB
yang memperjuangkan ilmu yang benar dalam perkembangan sastera. Semua badan penulis Malaysia menyokong
pendirian DBP untuk menentang Gagasan Persuratan Baru habis-habisan.
Kedudukan
ini sebenarnya memperkuat kehadiran PB dalam perkembangan sastera di Malaysia,
dengan itu menyerlahkan kegiatan khianat golongan yang menyokong gerombolan yang dikenali dengan
nama Mutual Admiration Club yang dibimbing oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh
dan para penyokongnya, termasuk organisasi besar dan berpengaruh seperti DBP
dan seluruh badan penulis Malaysia. Namun kedudukan PB dalam perkembangan ilmu
dan perkembangan akademik semakin kukuh, oleh itu semakin jelaslah
pengkhianatan gerombolan Mutual
Admiration Club ini dalam perkembangan ilmu di Malaysia. Dengan itu jelas
kebenaran (the truth) tidak dapat
dikalahkan oleh mana-mana kumpulan yang mengkhianati kebenaran itu. Kata Tok
Mindok, “Selamatlah jiwa yang sempurna!”.
Dengan
munculnya karya persuratan, maka
kedudukan karya sastera yang selama
ini tidak pernah dicabar dan ditentang, tidak ada pilihan melainkan terpaksa
menghadapi cabaran dari PB yang perlu dihadapi karya sastera daripada dua
perspektif. Pertama, dari perspektif wacana
yang berasaskan ilmu, yang menjadi dasar sesebuah karya kreatif. Kedua, dari
perspektif teknik dengan menggunakan stylization of ideas, yang saya
terjemahkan ke bahasa Melayu sebagai siratan
makna. Kedua-dua perspektif ini
telah dihuraikan dengan mendalam dan jelas oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir dalam buku-buku beliau yang membicarakan Persuratan Baru, terutama sekali
buku yang diterbitkan oleh DBP berjudul Dinamika
Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Untuk memudahkan pembaca, terutama
sekali para penulis, memahami PB maka saya menulis beberapa buah novel
berasaskan PB, termasuk Pujangga Melayu
yang dari segi wacana dan teknik adalah sebuah novel yang jauh lebih baik
daripada War and Peace karya
Tolstoy. Saya diberitahu, klaim ini
menjadi ejekan dan senda gurau para sasterawan (negara) dan para sarjana serta
tokoh yang bergelar profesor sastera. Sayangnya, tidak seorang pun berani
tampil memberi kritikan setajam yang mereka mampu untuk menolak pandangan
kritis saya itu.
Menurut
maklumat yang saya terima, kata mereka, jangan dilayan Mohd. Affandi Hassan
yang suka memuji diri itu, nanti dia akan naik tocang! Ada orang kasi tahu sama saya, sebenarnya
mereka ini tidak membaca Pujangga Melayu,
apatah lagi War and Peace yang tebal
itu. Sebenarnya mereka mahu membaca yang asli dalam bahasa Russia, oleh itu
terjemahan dalam bahasa Inggeris tidak menarik minat mereka. Nantilah, saya
akan terjemahkan novel Tolstoy itu ke bahasa Melayu, kok-kok mereka mahu baca!
Kini sedang menunggu dana untuk memulai kerja itu, manalah tahu DBP akan
memberi satu juta untuk saya kerjakan terjemahan itu dengan bantuan para
penterjemah kita. Kerja ini senang kerana kita sudah mempunyai Persatuan
Penterjemah Malaysia yang bersedia untuk membantu. Dengan itu boleh juga mereka
terjemahkan Pujangga Melayu ke bahasa
Russia. Kini sedang menunggu dana saja.
Sila baca entri bertarikh 21 Ogos 2020 untuk membaca komen mereka.
Sesuai
dengan tajuk, kita boleh bertanya, benarkah terdapat perbezaan antara karya
persuratan dengan karya sastera? Apakah ciri-ciri yang membezakan kedua jenis
karya itu? Kedua-dua pertanyaan ini
sudah pun dijawab dan dihuraikan lama dahulu, baik dalam blog ini mahu pun
dalam buku-buku mengenai PB. Oleh itu kita tidak perlu membuang masa untuk
melayan pertanyaan itu. Sebaliknya, kita akan cuba lihat mengapa konsep karya
persuratan itu penting dalam perkembangan kreatif dan kritikan sastera
Malaysia. Kita perlukan sedikit penjelasan supaya persoalan ini tidak
mengelirukan. Hampir semua sarjana sastera Malaysia mendapat maklumat tentang
kritikan sastera daripada teori sastera Barat, yang secara umumnya ditulis oleh
golongan Marxis, Atheis, atau kadang-kadang yang beragama Kristian. Ketika sarjana sastera menggunakan buku-buku
mereka ini, dia tidak bertanya siapa penulis buku itu, adakah dia Komunis atau
Paderi Kristian, dan lain-lain. Hal ini disebut kerana telah timbul salah faham
bahawa jika seseorang berbicara tentang sastera Melayu dengan mengasaskan
perbincangannya kepada Quran dan Hadis, maka itu hanya untuk orang Islam saja.
Cuba fikirkan: Macam mana orang Islam boleh guna teori sastera Barat tanpa
sebarang rasa berdosa? Malah ada di antara mereka yang mempertahankan teori
Barat itu bermati-matian, seolah-olah itulah pegangan utama mereka dalam
berkarya. Kita sekarang berbicara tentang sumber ilmu, oleh itu kita mesti
jelas apakah yang dimaksudkan dengan sumber ilmu itu. Bagi orang Islam
sumbernya Quran dan Hadis. Adakah ini bermaksud hanya untuk orang Islam saja? Ilmu
untuk semua manusia, dari mana pun sumbernya. Sarjana Islam di Malaysia banyak
sekali membaca buku-buku tentang sastera yang ditulis oleh orang Sosialis,
Komunis, Kristian, Atheis, dan lain-lain. Cuba angkat tangan siapakah di antara
sarjana sastera Malaysia yang terlepas daripada pengaruh ini? Tidak ada. Maka
dengan itu, sumber ilmu penting dalam kerja yang bersifat ilmu, maka jika anda
beralih dari sumber Barat kepada sumber Islam, maka itu adalah perbuatan yang
wajar, tidak kira anda Islam atau bukan Islam.
Dalam soal sumber ilmu ini kita harus bersikap objektif, maksudnya kita
terbuka kepada apa saja sumber yang terdapat dalam dunia ilmu, kita boleh
gunakan dalam batas-batas tertentu jika pengguna itu seorang Islam yang
mengamalkan agamanya. Ada orang Islam yang tidak mengamalkan agamanya, perkara
biasa di mana-mana pun di dunia. Itu soal peribadi mereka. Tetapi adakah ini
bermaksud merekalah yang menentukan segala-galanya dalam perkembangan sastera
Melayu? Saya selalu berkata, kita harus cerdik, dan tidak mudah ditarik telinga
oleh sarjana yang garang yang memaksa orang lain mengikut pandangan mereka
saja. Untuk memudahkan anda memahami maksud saya, cuba anda baca tulisan dalam
buku terbitan ITBM mengenai kritikan sastera hasil dari seminar yang mereka
adakan.
Sesudah anda
jelas mengenai persoalan yang sensitif ini, maka kini anda sudah seharusnya
bersedia untuk menjawab pertanyaan yang terkandung dalam tajuk kita. Untuk meringkaskan perbincangan, sila rujuk
buku tulisan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh DBP itu.
Prof. Ungku Maimunah adalah seorang pembaca yang amat teliti, dan ketelitian
beliau dibuktikan pada hal. 122-123 buku beliau ketika Awang berbicara dengan isterinya sewaktu menamakan
rumah mereka yang besar itu. Di dalam kutipan panjang yang diambil oleh Prof.
Ungku Maimunah, pada halaman 123 terdapat satu kutipan pendek yang diucapkan
oleh isteri Awang: “Terima kasih, Abang,
kerana mengingatkan Aini. Sampai sejauh itu Abang fikirkan tentang kehidupan
Abang.” Kutipan pendek ini merupakan
falsafah kehidupan yang menjadi inti-pati novel. Ketelitian Prof. Ungku
Maimunah membaca novel ini seharusnya menjadi teladan kepada para sarjana
sastera. Di situ anda melihat maksud dan
makna karya persuratan dan bezanya dengan karya sastera. Itu saja yang ingin
saya ucapkan. Selebihnya anda perlu baca sendiri Pujangga Melayu tiga kali. Kali pertama baca dengan cepat untuk
mendapat gambaran umum. Kali kedua anda baca untuk meneliti beberapa rahsia
tersirat di dalam novel. Kali ketiga untuk anda mendapat gambaran tentang makna
kehidupan dan kebahagiaan dalam kehidupan anda. Kalau anda tidak dapat apa-apa,
koyak saja novel itu dan buang ke dalam Sungai Kelang atau mana-mana sungai
sebagai sampah. (Kertas yang anda buang itu biarlah timbul supaya senang dikutip
oleh pengutip sampah untuk menjaga kebersihan sungai.) Jika anda mahu, saya
bersedia membayar balik wang anda sebanyak harga novel itu. Sertakan resit anda dan surat perakuan
daripada seorang profesor sastera untuk dibawa ke Mahkamah jika ada tuntutan.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 23 Ogos 2020.
No comments:
Post a Comment