CANTUMAN
TIGA ENTRI BLOG
Bahagian I
Istilah
maksiat intelektual yang saya gunakan ditegur oleh seorang pembaca budiman
supaya ditukar kepada dosa intelektual, yang lebih lembut dan lebih sopan.
Kedua-duanya boleh dipakai dengan selesa; mana satu darinya yang kasar
terpulang kepada anda menimbangkannya. Yang penting bagi saya kita harus
mempunyai kesedaran yang ikhlas dalam persoalan ini, kerana terlalu banyak
sangat berselerak dalam tulisan para sarjana dan sasterawan. Kita tidak boleh
diamkan, apatah lagi jika yang berbuat demikian ialah Panel Anugerah Sastera
Negara seperti yang anda boleh baca dalam laporan mereka dan yang telah saya
kritik dengan objektif dalam tulisan saya. Bagi saya, kita tidak boleh bertolak
angsur dengan kesilapan, kononnya untuk mengambil hati. Tidak boleh. Mesti tegas
dan tepat mencirikan persoalan yang ingin kita kemukakan. Kalau kita boleh
benarkan Profesor Muhammad Haji Salleh menggelarkan orang yang dibenci beliau
“anjing kurap”, mendapat sokongan seorang penulis agung dan bakal sasterawan
negara seperti Dr. Fatimah Busu, maka tidak ada alasan untuk berlunak dengan
kejahatan. Sila rujuk penjelasan Shah
Wali Allah dalam kitabnya ketika membicarakan empat kumpulan musuh Islam
menggunakan hujah masing-masing untuk berbohong dan mengelirukan manusia.
(Rujuk kitab al-Fauzul Kabir terjemahan Inggeris, cetakan 2013 diterbit
oleh Islamic Book Trust, Kuala Lumpur. Rujuk halaman 3-6.) Ini masih berlaku hingga sekarang, dan
sangat berleluasa dalam kritikan dan teori sastera Barat yang dijadikan
pegangan oleh sarjana dan sasterawan Malaysia.
Anda mesti berani untuk bercakap benar dan berhujah untuk mencari
kebenaran, bukan untuk mempertahankan pandirisme anda.
Apabila
saya menggunakan istilah “sarjana ciritan” dan menulis sebuah seloka tentangnya
yang dimuat dalam Balai Maqamat, saya menerima reaksi positif daripada pembaca
saya yang kritis dan objektif, yang memahami aspek “ciritan” yang saya
maksudkan. Paling menarik ialah para
sarjana sendiri tidak ambil peduli kerana mereka sangat yakin apa yang mereka
lakukan dalam kerja-kerja akademik mereka adalah mempunyai kualiti pemikiran
dan analisis yang canggih kerana sandaran mereka yang begitu kuat kepada teori
sastera Barat dan tokoh-tokohnya. Saya
telah memberi contoh tentang aspek “ciritan” akademik ini ketika membicarakan
buku terbitan ITBM, Sastera Teras Negara
Bangsa. Saya menulis beberapa siri
entri dalam blog ini. Malah saya telah
mengumpulkan tulisan itu dalam beberapa buah manuskrip untuk rujukan. Satu usaha yang serius, yang diremehkan oleh
para sarjana ciritan dengan panggilan kemegahan mereka sebagai tidak lebih
daripada “salakan anjing kurap” (memakai istilah Profesor Muhammad Haji Salleh
yang disokong oleh sahabatnya Dr. Fatimah Busu, yang menulis sebuah buku
tentang “salakan anjin g kurap”
ini.) Inilah situasi sebenar yang kita
hadapi dalam sastera Melayu. Wajarkah
kita biarkan saja keadaan yang memalukan dunia intelektual kita ini? Kita perlu
menentang kepalsuan ini dengan tuntas, dengan mengemukakan hujah dan bukti yang
dapat disaksikan sendiri oleh golongan “ciritan” ini. Kita harus terus menerus memberitahu mereka
bahawa “konsep” ilmu yang menjadi pegangan mereka bersandarkan teori sastera
Barat adalah keliru dan mengelirukan, yang akibatnya menjadikan perbincangan
tentang ilmu dan peranan sastera menjadi amat dangkal, mandul, dan berserabut
dengan ambiguiti yang tidak perlu, tetapi masih diteruskan kerana itulah saja
yang dapat dilakukan oleh para sarjana ciritan ini.
Terdapat
beberapa konsep yang sering dipakai tetapi sangat ketara tidak difahami dengan
betul oleh penggunanya. Antaranya yang menarik ialah konsep hegemoni, satu
konsep puak Marxist yang sangat popular di Eropah. Dalam pemikiran Barat, konsep hegemoni itu
diberi penjelasan seperti berikut:
“The
twentieth-century use of this term combines and extends earlier usages. It
traditionally indicated the dominance of one country or ruler over others.
Secondly, it also signified the principle around which a group of elements was
organized. It is now not only applied to
internatonal relations, where it still means dominance, but – mainly under the
influence of the Italian Marxist thinker Antonio Gramsci, who developed the
concept significantly (1929-35) – has also come to indicate the orginizing
principle of a society in which one class rules over others not just through
force but by maintaining the allegiance of the mass of the population. This allegience is obtained both through
reforms and compromises in which the interests
of different groups are taken into account, and also through influencing the
way people think. Whereas at first
Gramsci (1921-26) used the term in the same way as other Marxists such as
Lenin, Bukharin and Stalin with regard to the leadership of one class over
others in a system of alliances, in exteding the term he went beyond the usual
Marxist concept of state Power as the instruments of a class which employed a
monopoly of force, to argue that the state in the modern period could only be
understood as force plus consent.”
(artikal tentang hegemony
dalam Twentieth-Century Social Thought
ed. William Outhwaite & Tom Bottomore et. al (Blackwell Reference, 1993,
hal. 255.)
Apakah
ciri utama hegemoni dalam kutipan sarjana ini?
Pertama ialah paksaan ke atas rakyat yang ditundukkan dalam revolusi
untuk menegakkan Marxism sebagai satu-satunya sistem negara yang sah. Unsur
paksaan ini merupakan ciri utama hegemoni. Kedua, terdapatnya hukuman berat
jika tidak menurut perintah; dengan itu terjadilah pembunuhan beramai-ramai.
Inilah yang kita saksikan sekarang,
apabila Amerika dan sekutunya membunuh beramai-ramai orang Islam puak Sunni di
Syria, Iraq, Lebanon dan kini merebak ke Turki untuk memastikan Turki
dimusnahkan kali kedua oleh kuasa Barat melalui PBB, yang dijadikan sebuah
organisasi besar dunia oleh lima kuasa besar yang menentukan apa yang boleh
dilakukan atau tidak boleh dilakukan. Mereka adalah pengganas dunia, hasil dari
kemusnahan peperangan dunia. Ketiga, hegemoni menegakkan kuasa Iblis melalui
sistem demokrasi yang didefinisikan sepenuhnya oleh Iblis, seperti yang dapat
kita lihat di Mesir, Iraq, Syria dan kini di Afghanistan yang dimusnahkan
segala-galanya dalam sistem demokrasi Amerika Syarikat.
Sekarang
kita dipaksa oleh ITBM dalam bukunya Sastera
Teras Negara Bangsa untuk menjadikan sastera sebagai dasar pembangunan
tamadun kita. Adakah ini wajar? Inilah
pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seorang sarjana penting abad ini yang
menulis rencanannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa” yang dijadikan
makalah utama buku tersebut. Kita tidak
pasti sama ada sarjana ini sedar atau tidak konsep dan istilah hegemoni itu
ialah secara ekslusif dijadikan milik faham Marx yang kemudiannya dijadikan
sebahagian daripada alat politik demokrasi kerana konsep itu didapati berguna
dalam usaha para pengganas dunia yang bermukin di PBB untuk menghancurkan apa
juga jenis penentangan, terutama jika datangnya daripada pejuang Islam atau
orang Islam. Tugas mereka sekarang,
dengan menggunakan konsep hegemoni ini, ialah untuk memastikan Islam boleh
dihancurkan selumat-lumatnya melalui organsasi pengganas yang diberi nama PBB
itu. Sekiranya anda tidak boleh terima
kesimpulan ini, lihat saja bagaimana PBB membenarkan Israel membunuh orang
Islam di Palestine dengan sokongan lima kuasa besar yang diketuai oleh Amerika
Syarikat. Apakah jenis hegemoni yang cuba dibawa oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad dan ITBM? Saya salin perenggan
pertama tulisan beliau:
“Penganjuran
Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) ini bertujuan membuka perbincangan
ilmiah dengan menghimpunkan penulis daripada pelbagai kelompok dan strata untuk
mencari dan membentuk gagasan bagi memenuhi tema “Sastera sebagai teras
pembangunan negara bangsa”. Peredaran
masa turut membawa keperluan baharu dan gagasan yang lebih relevan. Walaupun
para cendekiawan dan budayawan terdahulu
sudah memberikan pandangan yang sangat membina dan praktis, generasi
kini perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan baharu yang serasi
dengan keperluan semasa.” (hal. 19)
Harapan
sarjana ini dan ITBM kedengarannya sangat baik, tetapi disampaikan dengan
keangkuhan hegemoni yang salah. Oleh itu, semua ucapan perenggan pertama itu
tidak boleh dipakai kerana di situ kita dapati asasnya ialah pembohongan
intelektual, yang saya gelarkan “maksiat intlektual” dalam entri yang lalu. Kita dapati tidak berlaku perbincangan ilmiah
daripada semua strata penulis kerana hanya kumpulan tertentu saja yang
dihadirkan dalam SKPM ini. Tidak ada
perbincangan ilmiah secara terbuka, dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu
dalam pembinaan tamadun manusia. Malah ucap utama Prof. Kamal Hassan pun tidak
dibincangkan dan tidak disebut dalam resolusi, yang sepatutnya dimulai dengan
catatan apakah yang dibincangkan oleh peserta terhadap ucap utama penting itu.
Hegemoni palsu yang menjadi pegangan anggota ITBM ini tidak membenarkan
wujudnya perbincangan terbuka yang benar-benar ilmiah. Malah makalah yang
dikemukakan pun tidak mencapai standard yang kita ingini, terutama sekali yang
ditulis oleh para sasterawan negara. Amatlah lucu apabila Muhammad Haji Salleh,
sasterawan negara dan Tokoh Akademik Negara, menulis kertas kerja di atas
bumbung kilang besi berkarat. Apa yang boleh kita harapkan jika itulah sikap
mereka terhadap ilmu? Sangat sedih, berbelanja besar tetapi hanya berjaya
membawa kucing yang merangkak di bumbung bangunan mencari tikus? Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad seterusnya,
“generasi sekarang perlulah membuat semakan semula dan menghantar gagasan
baharu yang serasi dengan keperluan semasa.” Apakah yang perlu disemak itu,
mengapa perlu disemak, untuk apa perlu disemak? Untuk menghantar gagasan
baharu, kata tokoh besar sarjana sastera ini. Gagasan apa? Di mana gagasan itu
muncul? Dalam resolusi tidak ada, di tempat-tempat lain pun tidak ada. Ghaib di
mana? Kita mahu tahu apakah gagasan baharu yang disebutkan oleh sarjana besar
ini. Sesuai dengan kedudukannya, beliau harus membantu khalayak yang berminat
tentang ilmu untuk turut serta berbincang tentang aspek tamadun ini, kerana
tamadun bukan kepunyaan PENA atau ITBM secara peribadi, seperti yang digambarkan
dalam dokumen ITBM ini. Kalau inilah makna dan matlamat hegemoni, maka kita
perlu menolaknya dengan keras sekali, kerana perbuatan ini telah melanggar adab
tamadun yang dibina oleh tokoh-tokoh ilmuan kita melalui persuratan Melayu. Keengganan kumpulan pinggiran yang cetek
meraba-raba ini untuk menerima sumbangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
dalam syarahan pengukuhannya 1972 sungguh amat memalukan dunia intelektual
kita. Apakah sumbangan mereka? Sehingga ini, menurut analisis saya, mereka
hanya berjaya meluaskan lagi pengaruh
pandirisme dalam kebudayaan Melayu.
Seterusnya kita lihat lagi pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.
“Tenaga
hegemoni yang dimiliki oleh kesusasteraan melampaui kuasa ketenteraan yang
keras atau undang-undang yang rigid
kerana kesusasteraan beroperasi secara halus, menjinakkan pemikiran dan perlakuan yang liar atau pun mengabsahkan
konsepsi yang wujud dalam minda setiap anggota masyarakat. Keberdayaan
kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni berkait erat dengan sifatnya yang diskursif.
Bahasa sebagai alat penjanaan idea dalam karya sastera tidak bersifat neutral,
sebaliknya mempunyai upaya dan ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain,
karya sastera adalah wacana, discourse,
yang memiliki ideologi tersirat.” (hal. 21)
Apakah
yang hendak disampaikan oleh sarjana ini dalam kutipan di atas? Suara siapa yang kita kesan di sini?
Pembacaan saya terhadap karya kreatif oleh para sasterawan negara, satu
kumpulan istimewa, menolak bulat-bulat kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini.
Sekiranya pendapat beliau betul, maka ternyata tidak sebuah pun karya sastera
Malaysia sampai ke taraf yang beliau sebutkan, sehingga membolehkan karya
sastera dijadikan landasan pembinaan tamadun bangsa. Di mana letaknya peranan ilmu dan pemikiran
dalam rumusan beliau yang begitu lekeh ini? Jelaslah beliau telah menolak
peranan ilmu dalam pembinaan tamadun, kerana saya agak beliau tahu jika ini
dijadikan asas, tidak sebuah pun karya para sasterawan negara dapat memenuhi
syarat itu. Kalau anda betul-betul serius, dan tidak hanya berceloteh dalam
retorik peragaan yang remeh-temeh, anda harus membuktikannya daripada contoh
yang ada pada kita sekarang, yakni karya para sasterawan negara. Bila kita
membaca bahagian akhir tulisan beliau, “Peranan sastera dalam negara bangsa,”
(hal. 29 seterusnya), maka kita megharapkan beliau menyediakan sedikit analisis
dan hujah yang mantap untuk membuktikan karya sastera boleh dijadikan teras
negara bangsa. Tetapi beliau hanya menyebut sambil lewa Arena Wati dan Abdullah
Hussein, tanpa memberikan analisis mendalam untuk membuktikan karya mereka
layak dijadikan teras negara bangsa dalam pembinaan tamadun berteraskan ilmu
yang benar. Seharusnya Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad bermurah hati untuk mencurahkan ilmunya supaya dapat membimbing pembaca seperti saya yang sangat cetek
tentang sastera dan bukan pula dari kalangan sarjana yang hebat, hanya seorang
penulis blog yang saja pandai-pandai memberikan pendapat yang agak kritis.
Kerana saya juga menulis karya kreatif, maka beliau boleh saja membuat
perbandingan yang objektif berasaskan pembcaan beliau terhadap pemikiran dalam
karya saya, sekurang-kurangnya untuk membuktikan bahawa memang terdapat karya
yang boleh dijadikan asas pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Adakah anda sendiri
tidak sampai ke tahap itu? Kalau saya mengatakan konsep hegemoni yang
dilagakkan oleh beliau dalam makalahnya ini hanya sejenis omongan saja (idle talk, kata Heidegger), maka di
manakah asas pembinaan tamadun bangsa yang boleh diberikan oleh karya sastera
Malaysia?
Kesimpulan
Tajuk
yang dipilih oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah tajuk yang serius, yang
berat, yag memerlukan pemikiran dan analisis yang mendalam sebelum dikemukakan
oleh beliau dalam tulisannya yang begitu selekeh tanpa kualiti akademik yang
boleh dijadikan sandaran untuk perbincangan ilmiah, yang disebut oleh beliau
pada permulaan tulisannya. Saya ingin menarik perhatian anda semua kepada satu
konsep yang amat baik yang pernah dilontarkan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji
Salleh dalam tulisannya, iaitu betapa perlunya sesuatu tulisan ilmiah dimulai
dengan apa yang disebutnya “langkah kaedah.”
Saya telah memberi pandangan positif saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010,
hal. 327-331) mengenai konsep ini. Walaupun Prof Muhammad Haji Salleh sendiri
tidak menggunakannya dalam tulisan beliau sendiri (lihat tulisan atas bumbung
kilang berkarat termuat dalam Sastera
Teras Negara Bangsa), namun yang baik tetap baik walaupun beliau sendiri
menolaknya. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
boleh belajar daripada tokoh besar negara ini, yang telah diberi gelaran Tokoh
Akademik Negara selain gelaran sasterawan negara. Saya kemukakan ini sebaga
seorang peneliti sastera yang berminat kepada ilmu, walaupun nasihat itu tidak
saya perlukan dalam kerja-kerja akademik saya. (Baca tulisan saya dalam buku
itu untuk mengetahuinya.)
Bahagian II
Kumpulan
yang mula menggunakan kekeliruan ini sebagai standard dalam kritikan sastera
ialah Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya. Hingga sekarang mereka tidak sedar, atau terus
bergelumang dalam kekeliruan ini kerana mereka berpendapat kedudukan mereka
sebagai pemilih “sasterawan negara” memberi mereka authoriti untuk memesongkan
kebenaran. Saya tidak perlu
memperincikan perkara ini kerana saya
telah menulis banyak sekali dalam blog ini membincangkannya. Sekadar untuk
memberi gambaran betapa kelirunya kumpulan pakar sastera ini dalam penilaian
mereka, saya akan memberi beberapa contoh yang paling menonjol.
Dalam
ucaputama Tan Sri Prof. Mohd. Kamal Hassan di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
(SKPM) 2014, belau memberi penekanan utama dan penting kepada persoalan moral
dalam pembinaan tamadun dan dalam penulisan.
Masalah moral ini diremehkan dan ditolak oleh Panel Anugerah Sastera Negara
ketika membicarakan karya A. Samad Said.
Panel
menolak sebarang unsur moral kerana mereka menganggap moral adalah didaktik dan
dari segi gaya mengadungi unsur khutbah. Ketiga-tiganya tidak diperlukan dalam
karya kreatif. Bagi Panel, karya yang
mempunyai unsur didaktik adalah karya yang lemah, oleh yang demikian sebarang
imbasan yang mereka gelar aspek khutabah dalam penulisan ditolak dengan keras
sebagai unsur luaran yang boleh merosakkan teknik karya kreatif itu. Tetapi mereka menerima konsep tema, yang
mereka anggap antara unsur penting dalam penulisan kreatif. Mereka tidak menjelaskan bagaimana sesebuah
karya yang mempunyai tema tertentu boleh melepaskan diri daripada unsur moral,
didaktik dan khutbah. Oleh itu, Panel
memberikan pendapat mereka dengan mengatakan tema tertentu tidak penting, malah
bagi mereka yang penting ialah teknik menyampaikan cerita sahaja. Dengan itu
mereka memuji A. Samad Said yang cekap
merangkaikan cerita pendek untuk dijadikan sebuah novel yang amat menarik dari
segi teknik. Kata mereka dengan yakin,
walaupun tidak dibuktikan dengan hujah.
Cara
melihat karya dari perspektif Panel adalah cara yang perverse, yang songsang. Inilah pada keseluruhannya cara mereka
menilai karya kreatif dalam laporan mereka seterusnya, yang juga boleh kita
lihat dengan jelas dalam laporan terhadap Anwar Ridhwan. Mereka juga memuji Anwar Ridhwan kerana
pandai merangkai cerita pendek dalam Naratif
Ogonshoto. Bagi mereka inilah
kekuatan novel ini; mereka tidak mempunyai pengalaman sastera yang meyakinkan
bila memberikan pendapat yang perverse
ini. Merangkaikan cerita bukanlah
perkara baru, sudah dibuat manusia beribu tahun lagi. Dari segi apa perbuatan
merangkaikan cerita itu suatu innovation?
Idea karut begini nampaknya mendapat sambutan daripada para sarjana ciritan,
seperti misalnya kita boleh lihat dalam ucaputama Prof. Muhammad Haji Salleh
ketika membuka seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan 2003. (Cuba cari dalam blog
ini komen saya tentang komen yang perverse
ini.) Daripada pendapat yang perverse inilah kita mendapat pujian
tinggi tentang karya ini, sehigga mencapai klimaksnya dalam penilaian oleh
Prof. Madya Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Apakah yang medorong
mereka memberi pendapat yang tidak masuk akal? Pada faham saya, ini terjadi
kerana kesan feudalisme intelektual di kalangan sarjana kita, yang berasa
mereka mesti memuji tokoh yang telah diberi gelaran, kerana itu merupakan
tutuntan budaya feudal itu. Tetapi ini bertentangan dengan tuntutan ilmu. Menurut analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd
Tahir dalam aspek ini, semua ini terjadi kerana kelalaian para penilai untuk
memahami dengan tepat ukuran yang mereka gunakan; oleh itu ukuran berkata lain,
penilaian mereka lain. (Rujuk tulisan beliau dalam Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016); Islam
dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan
(UKM 2016).
Perbuatan
ini diteruskan dengan leluasa dan megah pula ketika menilai dan memberi hadiah
sesebuah karya, umpamanya terhadap buku picisan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM,
2012). Buku kajian ini memberi credit yang amat tinggi kepada karya
pornografi dan karya erotik dari Indonesia, manakala untuk karya Malaysia pula
penulisnya berpura-pura menggunakan feminisme untuk mengangkat fikiran picisan
sasterawan yang menjadi pilihannya.
Penilaian ini saya buat berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi
pilihan (saya agak) sarjana ini sendiri sebagai seorang sarjana Muslim. Atau jika sekalipun beliau memisahkan konsep
ilmu dengan penulisan kreatif yang bersifat cerita, tesis beliau tetap tidak
boleh dipertahankan secara ilmiah. Ini telah dihuraikan oleh saya dalam tulisan
yang lain, dan telah mendapat perhatian dalam analisis mendalam oleh Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam buku suntingan beliau, Islam Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM, 2013) dan Gender dalam Sastera Melayu (UKM,
2013). Di Barat sendiri feminisme
menjadi ejekan dan malah kutukan, kerana merendahkan darjat intelektual mereka.
Antara pengkritik feminisme yang terkenal ialah Camille Paglia, Sexual Personae: Art and Decadence from
Nefertiti to Emily Dickinson (Yale
Universiti Press, 1990). Buku ini tak
pernah didengar, apatah lagi dibaca, oleh sarjana ciritan Malaysia. Feminisme adalah lambang decadence dalam kesarjanaan Melayu.
Sekadar memberi anda peluang untuk memahami kesimpulan saya, sila rujuk
buku penting ini: Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The intimate connecton
between queer and feminist theory
(second edition, 2016; terbit 2010; Zed Books, London.) Bab 7 buku ini memberi gambaran sebenar
tentang feminisme Barat yang ditiru di Malaysia.
Unsur penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu telah
dimulai dengan hebat di Malaysia dalam syarahan perdana Profesor Muhammad Haji
Salleh, yang memilih seorang Awang Batil dari Perlis sebagai tokoh yang
disetarafkan dengan Pendeta Za’ba. Inilah yang dimaksudkan oleh Prof. Syed
Muhamad Naquib al-Attas sebagai meletakkan setaraf antara murai dengan merak,
yang menjadikan konsep akademik itu sebagai permainan rakyat yang boleh dicapai
kecemerlangannya dengan menaiki bumbung kilang berkarat untuk mendapat mimpi
yang dijadikan asas penulisan akademik, seperti yang dilakukan beliau ketika
membentang kertas kerjanya di Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Feminisme
adalah sebahagian daripada penglipur lara dalam kesarjanaan Melayu, yang
sedikit pun tidak mempunyai asas akademik seperti “pemikiran” Awang Batil yang
dijadikan asas syarahan perdana Prof. Muhammad Haji Salleh. Bagaimana hal ini boleh dibenarkan wujud
dalam dunia intelektual Malaysia? Inilah asas yang kemudiannya menjadi ukuran
ketika menilai sumbangan kreatif para sasterawan negara. Tidakkah ini satu
penyelewengan besar dalam kebudayaan Melayu yang sedia kala menjadikan ilmu
sebagai teras persuratan? (Lihat
pendapat saya dalam entri bertarikh, antara lain, 1/1/2013; 10/12/2014;
24/6/2014 dan lain-lain). Hujah-hujah
saya dalam beberapa entri ini, secara ironik, disokong oleh Sastera Teras Negara Bangsa dalam kertas kerja yang keseluruhannya
menayangkan dengan jelas sikap anti-ilmu, anti-intelektual, dan betapa
mendalamnya pengaruh pandirisme dalam penulisan kertas itu. Ke manakah kita
hendak dibawa oleh para sarjana ciritan ini? Dengan menolak ilmu sebagai asas
tamadun, maka mereka akan hanya membawa kita semua hanyut dalam kesesatan teori
sastera Barat dan lemas dalam lautan ambiguiti yang mereka jadikan asas nilai
dan ukuran mereka. Inikah pilihan kita?
Tidak mungkin kita semua sebodoh ini.
Untuk
keluar dari kandang pandirisme yang menjadi pilihan sarjana ciritan dan
sasterawan picisan kita perlu kembali kepada konsep ilmu yang benar. Gagasan
Persuratan Baru memberi jalan keluar untuk itu. Masalahnya ialah para sarjana
ciritan dengan membabi buta mengikut telatah perverse Profesor Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu
menggelar para penyokong Gagasan Persuratan Baru sebagai “anjing kurap.” Ini tidak menghairankan kerana mereka berada
di atas bumbung kilang berkarat berkeliaran bersama tikus-tikus di atas bumbung
itu, mencari labu untuk dibaiki. Dengan semangat itulah mereka membaiki sastera
Melayu dan dengan galaknya pula membuat resolusi segala macam untuk faedah
mereka sendiri, bukan untuk mengembangkan dunia ilmu. Mereka seperti tikus
melihat besi. Akhirnya bertemu padi lalu berhimpun di kepuk padi. Tikus tetap tikus walaupun perubahan berlaku
di mana-mana. Tikus tetap makhluk yang
opportunis. Sastera Melayu ramai dihuni
oleh kumpulan tikus membaiki labu ini, kerana itu pandirisme boleh hidup dengan
subur dan selesa. Itulah pencapaian kita
setakat ini. Sumbangan para sasterawan
negara hanya sebagai penglipur lara moden, seperti yang diakui oleh mereka
sendiri, para sarjana dan sasterawan. Lihat ucaputama Profesor Muhammad Haji
Salleh dalam seminar “pemikiran” Anwar Ridhwan dan kertas kerja Dr. Noriah
Taslim jika anda mahu bukti. Mereka
tokoh besar kesarjanaan Melayu, oleh itu mereka tahu makna apa yang mereka
ucapkan. Mereka bangga sastera Melayu moden megungkap kembali cerita penglipur
lara untuk dihidangkan ke khalayak dunia.
Itulah jenis “pemikiran” para sasterawan negara.
Bahagian III
Penerbitan
Sastera Teras Negara Bangsa yang
gagal sebagai hasil akademik itu sebaliknya menjadi bukti dan hujah betapa
tidak perlunya gelaran sasterawan negara
diwujudkan. Karya mereka tidak dibicarakan dengan mendalam dalam SKPM, untuk
dijadikan bukti bahawa hasil sastera yang bermutu boleh diberi keduduan sebagai
sebahagian daripada unsur pembinaan tamadun ilmu di Malaysia. Oleh sebab
perkara ini tidak terjadi, maka kehadiran para sasterawan negara sudah jelas
dibuktikan tidak layak diberi kedudukan begitu istimewa kerana karya mereka
tidak mencapai taraf yang membolehkan kita menerimanya sebagai sumbangan ilmu
yang bermakna yang menjadi kebanggaan kita.
Kesimpulsan ini dibuktikan lagi kebenarannya apabila kita meneliti
dengan kritis kertas kerja yang membincangkan “pemikiran’ para sasterawan
negara ini, yang keseluruhannya hanya tidak lebih daripada keghairahan penulisnya
memperkenalkan segala macam pendekatan seolah-olah semua itu akan menjadi bukti
kehebatan karya para sasterawan negara; sebaliknya yang dapat kita lihat
bukanlah kehebatan karya para sasterawan negara ini, kerana yang terjadi ialah
betapa rakus para sarjana menggunakan segala macam pendekatan yang semuanya
tidak menyerlahkan pemikiran para sasterawan negara, sebaliknya menyerlahkan
aneka ragam teori sastera Barat yang tidak dapat dibuktikan memberi manfaat
untuk menilai karya para sasterawan negara ini dengan objektif dari segi
pemikiran mereka. Adakah pendekatan yang
dipilih tidak sesuai atau sememangnya karya para sasterawan negara tidak
menyerlahkan apa-apa keistimewaan sebagai hasil pemikiran yang mendalam walau
apa pun pendekatan yang dipakai. Saya
cukup terbuka untuk memberi peluang kepada para sarjana ini menulis kertas
kerja yang benar-benar menyerlahkan “pemikiran” para sasterawan negara ini
dalam satu perbincangan khusus untuk itu, untuk dijadikan bukti bahawa karya
sastera, terutama yang dihasilkan oleh para sasterawan negara, memang layak
dijadikan teras negara bangsa dalam membangun tamadun ilmu di Malaysia. ITBM
saya harap akan bermurah hati untuk mengendalikan pertemuan itu sekali lagi,
dengan fokus kepada sumbangan ilmu para
sasterawan ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Ketakutan para sarjana dan sasterawan untuk
membincangkan dengan mendalam aspek ilmu ini membuat kita hairan, apakah yang
menghalang mereka dari bercakap tentang ilmu yang dikaitkan pula dengan
sumbangn para sasterawan negara dan lain-lain sasaterawan. Sekiranya sastera tidak mencerminkan
kecemerlangan ilmu, seperti yang terserlah dalam karya, maka sudah pasti
sastera tidak layak dijadikan teras negara bangsa. Jika hakikat ini ditolak
atau paling tidak diabaikan, maka apakah asas yan g boleh dijadikan hujah
bahawa sastera layak menjadi teras negara bangsa? Kita telah melantik ramai sasterawan negara,
yang secara popular dianggap hebat, tetapi mereka belum lagi dinilai daripada
perspektif ilmu, mengenai sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu. Itulah yang
menjadi fokus kita sekarang. Penelitian
saya selama ini menolak bulat-bulat bahawa sastera yang dicipta oleh para
sasterawan negara sekalipun layak dijadikan teras negara bangsa. Saya telah
menjelaskan persoalan ini panjang lebar, dengan itu anda boleh dengan mudah
mematahkan dan menolak hujah-hujah saya supaya kedudukan para sasterawan ini
menjadi lebih jelas dari perspektif sumbangan mereka terhadap perkembangan ilmu
dan pemikiran. Tetapi sekiranya semua
para sarjana dan sasterawan menganggap pandangan kritis saya hanya sejenis
“salakan anjing kurap”, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh
dan Dr. Fatimah Busu, maka pandangan anda juga perlu dinilai lebih kritis lagi,
untuk mengelak daripada dianggap sebagai tidak lebih daripada sejenis salakan
serigala ganas yang liar! Tentu saja
tamadun kita tidak dibangunkan daripada salakan serigala liar ini. Tetapi inilah hegemoni yang dipaksa ke atas
kita, supaya menerima pandirisme yang berada dalam karya para sasterawan negara
sebagai asas pembinaan tamadun ilmu
kita. Adakah ini yang kita mahu?
Beberapa
istilah kampungan sering digunakan oleh peneliti sastera ketika membicarakan
kehebatan karya kreatif, dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara yangmereka
selerakkan dalam laporan mereka. Antaranya yang terkenal ialah “istilah”
kelainan, eksperimen, perubahan,
pembaharuan, gaya bahasa yang indah dan lain-lain. Tetapi semua “istilah” yang disebarkan oleh
Panel dan diikuti oleh para sarjana ciritan, tidak diberi penjelasan dan
definisi, oleh itu kita tidak tahu
apakah maksud mereka sebenarnya. Misalnya, apabila mereka bercakap tentang
kelainan, apakah yag mereka maksudkan? Cotoh-contoh yang diberikan oleh Panel
hanya sekadar untuk membela para sasterawan yang mereka pilih untuk dilantik
menjad sasterawan negara. Tentang A.
Samad Said, mereka berkata kelainan
sasterawan ini ialah dalam pendetailan gambaran dalam novel atau cerita
pendeknya, umpamanya tentang longkang yang kotor. Mengapa “kelainan” begini
diperlukan dan diberi pujian? Adakah dengan “kelainan” seumpama ini sesebuah
karya akan menjadi hebat dari segi pemikrannya? Tidak, malah yang menonjol
ialah sifat sensasinya. Malah inilah maksud kelainan yang dibanggakan oleh
Panel, seperti yang kita dapat dalam laporan mereka. Raja sensasi dalam penulisan novel barangkali
tepat sekali jatuh kepada Anwar Ridhwan, yang boleh kita temui dalam
novel-novelnya, dengan mencapai tingkat tertinggi dalam Naratif Ogonshoto yang penuh sensasi itu; hingga kisah bahtera Nabi
Nuh dalam al-Quran pun dijadikannya sensasi. Kalau anda tidak dapat memahami
maksud saya, baca kembali novel ini dan lihat bagaimana sasterawan ini dengan
sewenang-wenang menjadikan kisah al-Quran itu hanya sejenis legenda, seperti
yang ditegaskan oleh Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya. Mengapa “kelainan” itu tidak dikaitkan dengan
pemikiran yang mencabar pembaca dan mencabar keseluruhan konsepsi kita tentang
penulisan kreatif? Ambil contoh konsep stylization
of ideas yang menjadi salah satu prinsip dalam penulisan karya persuratan,
tidakkah konsep ini, apabila dipakai dalam penulisan kreatif, memaksa anda
menyirat pemikiran anda dan cara anda melahirkannya dalam ruang naratif yang
tidak lagi hanya untuk bercerita dan mencari sensasi, tetapi untuk mewacanakan
pemikiran anda sehingga tercapai matlamat penulisan kreatif untuk mencerdikkan
pembaca dan pada waktu yang sama membuat anda menjadi bijaksana untuk membaca
ayat-ayat Allah dalam kehidupan manusia keseluruhannya. Inilah satu aspek yang
dibincangnan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika
membicarakan episod kecil dalam Pujangga
Melayu ketika Awang mencadangkan nama kediaman mereka “Teratak Desa.” (Anda boleh baca dalam Kulah MASTERA Prof.
Ungku Maimunah 2008, anjuran DBP.)
Demikian
juga konsep (?) pembaharuan dan perubahan yang dilemparkan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara, tidak pernah diberi definisi oleh mereka dalam laporan mereka,
sehingga apa yang mereka maksudkan dengan pembaharuan dan perubahan itu hanya
aspek sensasi biasa yang sama sekali tidak memberi makna yang mendalam dalam
konteks stylization of ideas yang
saya maksudkan. Lain-lain “istilah” yang
mereka pakai yang tidak perlu saya ulas di sini, sama juga keadaan dan
kedudukannya, hanya sejenis usapan jempul yang tidak memberi apa-apa makna yang
mendalam dalam penulisan kreatif. Sebabnya sangat mudah: mereka berada dalam
dunia klise yang sudah hanyut menjadi sampah sarap dalam pemikiran manusia
kerana konsep-konsep klise itu (seperti plot, perwatakan, dan seterusnya yang
anda sudah tahu) tidak membawa kita
kepada kesedaran untuk mengenali matlamat hidup manusia yang sebenar. Dengan
itu, kita tidak ada pilihan lain, kecuali untuk kembali kepada konsep ilmu yang
benar, kerana itulah saja yang boleh membawa kita memahami tindakan manusia sejagat
ketika mereka membuat keputusan dalam kehidupan mereka. Itulah yang dilakukan
dalam Pujangga Melayu.
No comments:
Post a Comment