Thursday, August 27, 2020

TAK PAYAH MENYIBUK LAGI, DIAM SAJALAH BODOH…!!

 Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini
 

Itulah bunyi amaran kepada saya supaya tidak usah bicara apa-apa lagi tentang PB. Mesti sedar diri PB telah ditolak oleh sarjana sastera, dimusuhi oleh para sasterawan, dan orang-orang akademik yang terlibat dengan sastera pun sudah bosan dengan PB yang menyekat perkembangan sastera Melayu moden.  Kata mereka, PB menyekat kebebasan analisis dalam kritikan dan kebebasan mencipta karya kreatif. Kata mereka, PB pura-pura berasaskan konsep ilmu dalam Islam, dengan itu kata mereka PB sebenarnya mengkhianati Islam itu sendiri. Seterusnya mereka menegaskan, ketika sastera Melayu berpaksikan teori Barat sepenuhnya, tidak muncul pun seorang sasterawan yang menolak Islam atau mengkhianati Islam apatah lagi yang murtad; kata mereka SN Shahnon Ahmad yang menulis karya lucah dan pornografi itu pun berasaskan nilai-nilai Islam. Seterusnya kata mereka dengan bangga, seorang tokoh akademik yang terkenal dan sudah pun memenangi beberapa hadiah akademik hasil usaha akademiknya, yang membawa masuk dengan gagah perkasa teori feminisme dalam kritikan sastera Melayu, bernama Dr. Norhayati Ab. Rahman, telah memperkenalkan satu kaedah analisis yang baru dan segar dari segi akademik, yang kini terkenal sebagai the aesthetics of adultery. Lihat bukunya yang berasal daripada tesis Ph.D. dari USM. Beliau menjadikan feminisme sebagai teras analisisnya.

Satu nasihat yang baik dan jujur? Atau lebih tepat, satu amaran?  Nasihat atau amaran sama saja, kedua-duanya merupakan satu peringatan yang ikhlas daripada orang-orang yang mahu melihat kembalinya keadaan tenang dan saling mengerti, yang semuanya hilang setelah PB muncul dalam gelanggang sastera. Yang menariknya, kita sekarang berada dalam apa yang dipanggil “the new normal” akibat kemunculan Covid-19; maka kemunculan PB juga dianggap sebagai sejenis virus intelektual dalam sastera Melayu yang melahirkan a kind of the new normal dalam sastera. Maksudnya, PB adalah virus sastera yang akan melumpuhkan sastera Melayu jika tidak dimusnahkan once and for all!  Agaknya inilah maksud amaran yang diberikan oleh seseorang dalam entri bertarikh 21 Ogos 2020.  Sila baca amaran itu dan buatlah apa yang patut tentang amaran itu.

Sampai begitu sekali PB ditakuti? Dari satu sudut, amaran ini mungkin menjadi satu daya tarikan kepada para sasterawan dan sarjana sastera untuk tampil secara kontan memberikan pendapat mereka yang aggressive itu. Pada mulanya saya hanya bergurau saja apabila mencadangkan Pujangga Melayu dikoyak dan dilempar ke dalam Sungai Kelang (bagi yang duduk di KL) atau mana-mana sungai, dengan cara yang tidak membawa kekotoran kepada sungai.  Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini.  Sebarang usaha untuk memburukkan PB adalah satu perkara yang menarik, meskipun tidak baik, kerana perbuatan itu membuktikan dengan jelas nyata bahawa memang wujud anggapan buruk dan jahat terhadap apa juga percubaan untuk meningkatkan kualiti karya dan pemikiran dalam kritikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Untuk meringkaskan maksud saya mengenai persoalan ini, saya salin di sini satu kutipan panjang yang membicarakan aspek feminisme dalam sastera Melayu. Bacaan saya mengenai feminisme ini meyakinkan saya bahawa inilah masalah psikologi masyarakat Eropah yang hanyut dalam kekeliruan tentang peranan ilmu dan agama dalam kehidupan moden. Persoalan ini dibawa dengan gagah perkasa oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam kajian ilmiahnya yang kemudian diterbitkan sebagai sebuah buku.  Beliau memperkenalkan satu konsep baru dalam kajiannya mengenai keinginan seks wanita dan bagaimana dipuaskan. Beliau meneroka persoalan ini melalui kajian teks terhadap beberapa buah novel yang khusus membicarakan kehidupan wanita.  Kajian tentang feminisme ini menarik kerana kehidupan seks wanita dibogelkan habis-habisan, yakni satu kajian yang saintifik dan objektif. Saya namakan ini the aesthetics of adulteryAdultery diberi tempat istimewa dalam buku Dr. Norhayati Ab Rahman ini, dikaitkan dengan feminisme, dan berasaskan itu maka adultery adalah satu kegiatan yang dibenarkan dalam perbincangan tentang wanita dalam konteks feminisme ini. Faham karut ini diberi penghormatan dengan memberikan dua hadiah penyelidikan kepada buku sarjana ini, dengan itu mengiktiraf kejahatan sebagai kegiatan biasa dalam kehidupan seseorang wanita yang berwibawa, yang tahu tempatnya di mana dalam sistem feminisme itu. Kalau anda tidak faham maksud saya, ulang membaca bahagian ini berapa puluh kali yang anda mahu dan lihat maknanya dalam kegiatan sastera  Malaysia.

Apakah wajah sebenar feminisme ini dalam sastera Melayu? Sekurang-kurangnya terdapat tiga wajah yang menonjol dan dapat dikesan dengan mudah: wajah kebetinaan, wajah keperempuanan; dan wajah kewanitaan. Inilah tiga wajah yang dimiliki oleh para sasterawan feminis dan sarjana feminis di Malaysia.  Inilah tiga gaya penulisan para penulis dan sarjana feminis di Malaysia. Gaya kebetinaan lebih keras, berterus terang, kasar, sensasi, dan pekat dengan bumbu seks yang dijadikan teras gaya kebetinaan ini. Antara contoh: novel Saman oleh Ayu Utami;  novel-novel Fatimah Busu, termasuk yang dikaji dalam buku ini, juga novel kontroversi beliau, Salam Maria (dalam novel ini unsur seks itu berada di bawah sedar pengarang sendiri).  Gaya keperempuanan lebih jelas unsur intelektualnya, terkawal emosinya, lebih lembut dan kadang-kadang agak sentimental, lebih sederhana dari segi pengolahan. Contoh: karya Adibah Amin,  Seroja Masih di Kolam. Adapun  gaya kewanitaan pula cirinya yang utama ialah “celoteh kewanitaan” yang selalunya bercorak gosip, biasanya diiringi humor dan sindiran kewanitaan yang suka menonjolkan diri atau bermegah dengan harta benda, termasuk suami yang kaya atau tampan dan diri wanita itu sendiri yang cantik dan menarik perhatian lelaki. Gaya kewanitaan ini agak mengada-ada dan berlebihan dari segi celoteh, tetapi selalunya menyenangkan pembaca kerana unsur hiburan di dalamnya. Walaupun bahannya mungkin serius, tetapi caranya lebih mirip kepada hiburan bersifat santai, menyembunyikan hedonisme dalam retorik kewanitaan yang memuja materialisme. Inilah gaya novel-novel Rosmini Shaari, termasuk yang dibicarakan di dalam buku ini.

Jika anda biasa dengan psikologi binatang, anda akan dapati rusa betina jenis moose yang bila sampai waktu mengawan, akan mencari yang jantan paling kuat, kencing di depannya untuk memberitahu dia telah bersedia untuk mengawan. Semua binatang betina hampir sama sifatnya. Seekor kucing betina sanggup mengawan dengan beberapa ekor kucing jantan dalam suatu kawasan untuk memastikan anaknya tidak dimakan oleh kucing jantan yang tidak mengawan dengannya. Anjing pun begitu, kita lihat anjing jantan sanggup menunggu giliran berjam-jam untuk mengawan. Kita lihat mawas (orang utan) agak lambat bergerak kerana berat, tetapi bila sampai waktu mengawan, mawas jantan akan mengalahkan semua pencabarnya untuk mendapat semua mawas betina di dalam kawasan kawalannya; ketika itu semua mawas betina akan beratur menunggu giliran untuk mengawan, dan mereka tahu kerana mawas jantan akan meraung dengan kuat untuk memberitahu kedatangannya. Jika anda membaca Saman, anda melihat semua perilaku ini. Malah Dr. Norhayati lebih khusus lagi memberitahu kita bahawa “Ayu Utami ialah seorang wanita muda moden serta berfikiran terbuka dan mendapati bahawa selama ini wanita hidup terkongkong serta tidak bebas mengungkap keinginan diri sendiri. Justeru, beliau ingin bersikap jujur dengan perasaan dan pengalaman wanita khususnya dalam soal seks. ... Beliau bersikap berani, terbuka dan jujur dalam menggambarkan soal seks wanita seperti pengakuannya dalam suatu temu bual, ‘Pertama, saya hanya mahu jujur. Kedua, saya tidak menampilkan seks sebagai cerita tentang seks tapi seks itu problem bagi perempuan. Misalnya, Yasmin dan Saman membicarakan seks dengan rasa bersalah. Seks jadi diskusi, bukan peristiwa’. Dalam konteks ini, beliau menjadikan penulisan sebagai satu bentuk pernyataan tentang kebebasan diri, penegasan identiti dan keperkasaan wanita. ... Sikap pengarang ini mencerminkan protesnya terhadap nilai-nilai sosiobudaya yang membezakan hak dan kedudukan wanita dalam soal seks. Justeru, keberanian dan keterbukaan dalam soal seks melambangkan satu bentuk penentangan pengarang terhadap dwistandard seks dan kepura-puraan seks dalam masyarakat.” (hal. 110).

Apakah yang ingin disampaikan oleh Dr. Norhayati? Kebebasan individu itu lebih penting daripada nilai-nilai sosiobudaya yang telah diterima dalam masyarakat dan telah dijadikan ukuran dalam menentukan kesopanan dan adab; oleh itu setiap individu yang berani melanggarnya adalah jujur, bersikap terbuka, dan bersedia melakukan perubahan radikal dalam masyarakat.  Adakah ini yang menjadi intipati feminisme? Jika betul, maka apa yang disebut sebagai kejujuran, perubahan radikal dan sikap terbuka itu pada hakikatnya adalah kebiadaban individu dan kumpulan yang rendah moralnya atau tidak bermoral. Contoh yang saya berikan dari dunia binatang tadi sebenarnya lebih bermoral dan lebih jujur, kerana itulah kehendak tabii dalam kelangsungan kehidupan binatang. Jika inilah yang cuba ditiru oleh manusia moden, atas nama feminisme atau apa-apa nama sekalipun yang membenarkan kebiadaban itu, maka feminisme bukanlah jawapan kepada masalah masyarakat (yang sebenarnya tidak dikenal pasti), tetapi mengundang mala petaka yang lebih besar apabila manusia dibawa untuk menjadi binatang demi kebebasan hawa nafsu. Dari segi semangatnya inilah falsafah feminisme Barat, jika anda membaca tulisan mereka baik yang terdapat di Perancis mahu pun yang terdapat di Amerika. Elaine Showalter, yang menjadi ikutan para feminis di Malaysia, memberikan pendapat beliau yang amat menarik tentang perkara ini,  yang bertentangan dengan gambaran yang diserlahkan oleh Dr. Norhayati, yang nampaknya tidak diberi perhatian atau tidak disedari oleh Dr. Norhayati. Inilah pandangan beliau, yang juga menjadi kesimpulan beliau:

“A theory based on a model of women’s culture can provide, I believe, a more complete and satisfying way to talk about the specificity and difference of women writing than theories based in biology, linguistics, or psychoanalysis. Indeed, a theory of culture incorporate ideas about women’s body, language, and psyche but interprets them in relation to the social contexts in which they occur. The ways in which women conceptualize their bodies and their sexual and reproductive functions are intricately linked to their cultural environments. The female psyhe can be studied as the product or construction of cultural forces. Language, too, comes back into the picture, as we consider the social dimensions and determinants of language use, the shaping of linguistic behaviour and cultural ideals. A cultural theory acknowledges that there are important differences between women as writers: class, race, nationality, and history are literary determinants as significant as gender. Nonetheless, women’s culture forms a collective experience within the cultural whole, an experience that binds women writers to each other over time and space. It is in the emphasis on the binding force of women’s culture that this approach differs from Marxist theories of cultural hegemony.” (Dari esei Elaine Showalter, “Feminist criticism in the wilderness”, dimuat dalam David Lodge ed. Modern Criticism and Theory: A Reader (1988), hal. 344-345.  Lebih baik jika anda baca buku Mimi Marinucci, Feminism is Queer: The Intimate Connection Between Queer and Feminist Theory (2nd. edition, 2016.)

Pada mulanya saya hanya bergurau saja apabila mencadangkan Pujangga Melayu dikoyak dan dilempar ke dalam Sungai Kelang (bagi yang duduk di KL) atau mana-mana sungai, dengan cara yang tidak membawa kekotoran kepada sungai.  Sungai tidak boleh kotor, sastera Melayu boleh kotor dengan lambakan karya picisan dan sebagainya itu, seperti yang sudah saya bangkitkan banyak kali dalam blog ini.  Sebarang usaha untuk memburukkan PB adalah satu perkara yang menarik, meskipun tidak siuman, kerana perbuatan itu membuktikan dengan jelas nyata bahawa memang wujud anggapan buruk dan jahat terhadap apa juga percubaan untuk meningkatkan kualiti karya dan pemikiran dalam kritikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. 

Membawa feminisme dalam kritikan sastera Melayu adalah satu pengkhianatan akademik yang perlu dikutuk. Islam memuliakan wanita, oleh itu amatlah celaka jika wanita Islam diberi racun yang telah membunuh kewarasan wanita Barat melalui kegilaan kepada feminisme itu. Islam memuliakan wanita, dengan penegasan bahawa syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Tidakkah ibumu itu seorang wanita? Celakalah ahli akademik yang mengajar ajaran songsang seperti feminisme itu kepada para pelajar universiti. Semua kegilaan ini boleh diatasi jika kamu, sebagai ahli akademik,  menjelaskan kepada para pelajar kamu makna ilmu dalam pendidikan dan kedudukan istimewa PB dalam memberi penjelasan yang mudah dan jelas tentang makna ilmu dalam kehidupan manusia, Islam atau kafir.  Jika anda faham makna ilmu dan kedudukannya dalam pendidikan, anda pasti akan terkencing ketakutan, sekiranya anda seorang Islam, dan sedar bahawa anda sudah lama berada dalam belantara teori Barat, yang membawa anda sesat meraba-raba dalam belantara akademik itu. Tidak ada sebab, tiada alasan langsung, untuk anda menolak peranan PB dalam pendidikan, sama ada yang bersifat sastera atau lain-lain disiplin.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 25/8/2020

No comments:

Post a Comment