Nota
ringkas tentang kemunculan sajak-sajak celoteh penting bukan kerana sajak-sajak
jenis itu mempunyai kualiti pemikiran yang tinggi, tetapi sajak-sajak jenis ini
menjadi bukti akan betapa pentingnya peranan pandirisme dalam penulisan kreatif
dan penilaiannya. Di kalangan para
penulis sajak-sajak jenis ini, mereka amat bangga menulisnya kerana mereka anggap sajak-sajak celoteh itu mempunyai
kelainan yang luar biasa dari segi gaya.
Dengan gaya yang bersahaja, pembaca yang paling tumpul kemampuan
kognitifnya boleh memahaminya, seperti orang kampung boleh memahami borak di
kedai kopi. Oleh itu sajak-sajak celoteh ini menjadi pilihan untuk dibaca dan
digayakan dalam “majlis baca puisi”, walaupun mereka tahu sajak celoteh
bukanlah puisi. Kerana mudahnya
sajak-sajak jenis ini difahami, maka kedudukan sajak-sajak ini tidak boleh
menandingi pantun-pantun Tukang Karut dalam Dikir Barat yang jauh lebih medalam
sindiriannya dan jauh lebih tajam
kritikannya tentang masyarakat walaupun dihidangkan secara lucu dan lawak
jenaka. Perbezaan yang lebih besar dan
menonjol ialah para penulis sajak celoteh ini melihat ke dalam diri mereka,
membicarakan angan-angan mereka (yang mereka gelar “pemikiran”), manakala
pantun-pantun Dikir Barat oleh Tukang Karut adalah kritik sosial yang tajam. Tukang Karut adalah pelopor seni retorik
dalam ucapan yang sangat menarik penggunaan bahasa kiasannya. Perbezaan ini
penting ditekankan kerana pada keseluruhannya sajak-sajak celoteh adalah “pujian
terhadap diri sendiri” yang melakukan sesuatu yang bagi mereka sangat bermakna dalam konteks kehidupan
individu mereka. Anda boleh lihat aspek
ini dalam sajak “Pulang Si Tenggang”
misalnya.
Majlis
baca sajak celoteh ini penting bagi para penulis sajak celoteh kerana di
sinilah mereka boleh saling memuji sesama mereka tanpa sebarang gangguan, oleh
itu tidak berbangkit sama sekali soal kualiti sajak celoteh. Antara organisasi
penulis yang sangat aktif dalam kegiatan ini ialah majlis baca sajak mingguan
oleh PENA, yang mereka namakan majlis merakyatkan puisi. Dalam majlis seperti ini para penulis sajak
celoteh akan menggayakan bacaan mereka seperti yang kita selalu lihat dalam
program Akademi Fantasia. DBP sendiri
telah mengadakan majlis Akademi Sastera meniru Akademi Fantasia. Satu
perkembangan yang menarik dalam program menggayakan sajak celoteh ini ialah
para penulis telah berjaya melahirkan beberapa orang penggaya sajak yang hebat,
sedangkan Akademi Fantasia baru saja dapat melahirkan seorang tokoh dalam diri
Mawi yang popular itu. Kemajuan ini amat
menggalakkan dalam usaha merakyatkan sajak celoteh ini. Kemuncul sajak celoteh memberi kepuasan yan g
tinggi kepada para pembaca sajak celoteh ini, sehingga dijadikan pesta tahunan
dengan memberi nama “Deklamasi Sajak Merdeka” dengan pemenangnya diberi gelaran
“Deklamator”, satu gelaran yang hebat, walaupun
tidak atau belum lagi seunggul gelaran sasterawan negara. Mungkin orang tidak tahu bahawa pendeklamator
paling ulung di Malaysia pada waktu ini ialah Tukang Karut dalam Dikir Barat.
Mereka adalah ahli seni rakyat, yang jauh lebih tinggi nilai seninya daripada
para penglipur lara seperti Awang Batil di Perlis, yang telah diangkat oleh
Prof. Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara, sebagai ikon dalam
bidang ilmu dalam syarahan perdana
beliau. Tetapi dari segi sumbangan
kesenian dalam bidang retorik, Tukang
Karut dalam Dikir Barat jauh lebih unggul, dan lebih berjasa.
Oleh itu mereka wajar dijadikan salah seorang juri dalam memilih deklamator
negara ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 31 Julai 2016.
No comments:
Post a Comment