Saturday, August 19, 2017

KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU

Maksud keselekehan akademik di sini ialah hasil kerja yang tidak mencapai standard yang sepatutnya dalam tulisan akademik. Antara lain, adakah isu yang hendak dibincang itu jelas diberi takrif dan huraian yang mantap. Sebagai panduan, sila rujuk rencana Susan Peck MacDonald, “The Literary Argument and Its Discursive Conventions”, dalam The Writing Scholar, ed. Walter Nash (London: Sage Publications, 1990).

Mempertahankan Faedah Diri Dalam Status Quo Yang Lapuk

Kita tidak tahu dengan pasti berapa banyak wang yang dibelanjakan oleh ITBM untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mungkin setengah juta, mungkin lebih, mungkin juga hanya beberapa ribu saja untuk membayar sewa hotel. Yang kita pasti ialah kualiti kertas kerja yang dibentangkan dalam sidang agung itu  membuat kita insaf betapa sukarnya mendapat tulisan akademik yang boleh membuat kita bangga kerana kita telah melahirkan begitu ramai para sarjana yang  hebat pemikirannya.   Ada yang menulis panjang-panjang, ada pula yang kontot-kontot, malah agak mengejutkan ada pula yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja. Inilah kali pertama dalam sejarah sastera Malaysia, dalam sejarah kebudayaan Melayu, seorang profesor memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerjanya yang langsung tidak mempunyai kualiti akademik walaupun beliau telah diisytiharkan sebagai seorang sarjana ulung di Malaysia.   Ternyata mendapat gelaran jauh lebih mudah daripada membuktikan kemampuan intelektual dan akademik yang benar-benar mantap. Terdapat kecenderungan untuk melonjakkan gelaran daripada menghasilkan tulisan yang benar-benar menggambarkan kehebatan gelaran yang diberikan.  

Seorang penulis terpenting dalam sastera Melayu, seorang sasterawan negara yang paling unggul, yang menghasilkan sebuah novel paling agung dan paling bernas ideanya yang belum pernah lagi ditulis oleh sesiapa pun di dalam dunia, sehingga novel itu mendapat kedudukan paling unggul dalam sastera Melayu dan dalam sastera dunia, memberikan pendapatnya yang saya kira bernas, dalam kata-kata beliau seperti ini: “Pendidikan sastera harus berupaya mengesan bakat individu pelajar dan berusaha untuk mengembangkannya. Pelajaran Sastera bukanlah untuk golongan yang kurang pintar, kerana sastera sebagai suatu ilmu mempunyai kaedah, prinsip, teori dan epistemologi yang harus dipelajari secara sistematik. Sastera memerlukan pelajar yang pintar dan berbakat, yang dapat mengembangkan potensi diri, dan memperoleh hasil daripada kebolehan dirinya.” (hal. 217)

Itulah harapan sasterawan negara ini, penulis Naratif Ogonshoto yang picisan, yang penuh sensasi dan sadisme. Novel beliau tidak mungkin, dan mustahil, dapat mencapai apa yang diluahkan oleh Anwar Ridhwan ini. Hakikat ini perlu difikirkan dengan serius oleh para pegawai Kementerian Pelajaran yang telah membuat kesilapan besar memilih novel picisan yang anti-ilmu ini.

Walaupun pendapatnya bernas, tetapi sikapnya terhadap ilmu menimbulkan keraguan kita, kerana beliau tidak memberi apa-apa cadangan untuk membaiki keadaan, padahal jalan keluar kepada masalah ini sudah pun diberikan oleh PB. Beliau tidak membaca buku-buku tentang PB, oleh itu sebagai seorang sarjana dan sasterawan, beliau tidak mempunyai sedikit pun pengetahuan terkini tentang apa yang berlaku dalam sastera Melayu.  Bagi para sarjana, pengkritik dan sasterawan, sifat memperbodohkan diri dari perkembangan baru adalah suatu kelebihan, sesuatu yang terpuji kerana menurut mereka tidak diperlukan apa-apa perubahan lagi, kerana sastera Melayu sudah sempurna segala-galanya.  Inilah yang disebut sikap “lembu kenyang” dalam budaya Kelantan. Bagi  mereka (yakni para sasterawan dan sarjana) tidak perlu idea baru, lebih-lebih lagi jika idea itu bertentangan dengan faham sastera yang menjadi anutan mereka. Itulah kemajuan, yakni berada di tempat lama yang sudah sempurna tanpa mempedulikan apa juga perubahan yang sedang berlaku.  Inilah mentaliti keldai di kincir air, yang telah saya bincang tempoh hari.

Mentaliti keldai di kincir air ini dijadikan landasan dalam pengajaran sastera di sekolah-sekolah dan universiti.  Metodologi pengajaran sastera di Malaysia sudah lama ketinggalan zaman, sudah menjadi klise sejak berpuluh tahun, paling kurang dalam tiga empat dekad ini.  Ketika orang sudah lama meninggalkan konsep naratif yang lama, Malaysia memuji novel Naratif Ogonshoto yang berasaskan sensasi dan sadisme (rujuk beberapa entri mengenai persoalan ini).  Percubaan Kementerian Pelajaran kononnya kaedah kemahiran berfikir aras tinggi akan menjadikan pelajar cerdik,  tidak akan tercapai oleh itu tidak akan mencerdikkan para pelajar selagi tidak diberi penjelasan tentang makna dan maksud ilmu dalam memahami konsep berfikir. Konsep ilmu berkaitan dengan adab, dan dari situ dibina peribadi yang tinggi dan peradaban bangsa. Kemahiran berfikir aras tinggi hanya dapat dicapai berasaskan syarat-syarat yang disebutkan.  Kritikan saya terhadap novel Naratif Ogonshoto berasaskan prinsip-prinsip itu, oleh itu novel ini tidak perlu ditulis dan tidak wajar diterbitkan kerana novel ini menggalakkan kejahatan dan memberi pengiktirafan kepada kezaliman, menggalakkan faham syirik di kalangan murid Islam ketika mereka membaca cerita khayal novel sensasi ini. Tidak mungkin akan terbina peribadi yang unggul di kalangan pelajar jika novel ini digunakan mereka untuk mempelajari sastera Melayu.  Seorang guru yang tidak faham maksud syirik dalam Islam akan membenarkan pendapat dan pandangan resi tua dalam bab 7 (Pentafsir), yang bercakap tentang “kebenaran” dan Tuhan, tetapi dalam konteks syirik. Bagi sesiapa juga yang siuman, dan tahu makna syirik, seluruh bab 7 itu merayakan konsep syirik dalam kehidupan beragama yang dilambangkan oleh si resi tua, yang kata-katanya mempunyai makna berlapis-lapis dalam konteks faham syirik yang dianutinya. Tentulah sangat celaka jika inilah ajaran nilai-nilai murni yang diajarkan kepada murid-murid sekolah. Kementerian Pelajaran dan bahagian-bahagian yang terlibat dalam pemilihan novel ini harus berfikir dengan siuman mengenai perkara ini. Anda semua tidak wajar melaksanakan faham syirik dalam pendidikan sastera yang seluruhnya bertentangan dengan konsep nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri. Para pegawai ini perlu membaca dengan kritis novel picisan ini, dan menarik balik daripada dijadikan teks sastera. Jangan rosakkan anak-anak kita yang bergelar pelajar. Ini satu amaran keras yang perlu diberi perhatian serius.

Pendidikan Sastera Yang Sudah Klise

Pendidikan Sastera seperti yang dikonsepsikan oleh penulis agung Malaysia (ungkapan berprestij ini perlu diulang kerana inilah kedudukan beliau di kalangan sarjana ciritan) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, bertentangan sama sekali dengan karya beliau yang penuh khayalan, anti-ilmu, penuh sensasi dan sadisme, dan yang paling celaka untuk diterima oleh masyarakat bertamadun, ialah karya yang memberi penekanan kepada kejahatan, kezaliman, dan mengangkat faham syirik sebagai landasan kehidupan manusia bertamadun. Kalau kesimpulan ini tidak betul, anda harus membuat bantahan; dan saya sendiri akan menyerlahkan satu persatu aspek ini dalam jawapan saya nanti. Persoalan ini sangat penting dan perlu kita bincang dalam dialog yang siuman, mengemukakan bukti dan hujah masing-masing sama ada menerima atau menolak kesimpulan ini. Anda kini berbicara tentang karya seorang sasterawan negara, oleh itu anda tidak boleh selekeh dalam mempertahankan atau menolak karya beliau. Senang saja untuk anda membela beliau, dengan memberi alasan bahawa semua kejahatan yang beliau masukkan dalam novel agung itu hanya sekadar peringatan, untuk dikenal pasti oleh para pelajar supaya dapat dijadikan teladan. Tetapi hujah ini sangat naif, kerana jika anda menggunakan teori sastera, anda dapat lihat betapa lemahnya hujah tadi. Karya agung itu, yang picisan sebenarnya, memang sebuah karya sensasi yang penuh khayalan. Malah, jika anda membaca dengan teliti, semua peristiwa yang diceritakan itu sebenarnya khayalan seorang watak yang bernama Noor, yang berasal dari Kg. Sungai Besar dari Selangor, yang namanya kita dapat di akhir novel. Dia seorang yang tidak siuman, malah lebih tepat digelar orang gila, yang sedang berangan-berangan dan berkhayal menceritakan segala khayalannya sebagai orang gila untuk menjadi kisah autentik Naratif Ogonshoto. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad perlu membaca kembali dan menafikan kesimpulan ini. Tentulah amat memalukan jika kita dapati novel agung ini sebenarnya kisah khayalan seorang yang tidak siuman, orang gila, yang menunggu dia dibedah. Jika ada bacaan yang berbeza, selain dari yang diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, yang telah saya tolak, maka kita perlu diberi peluang membacanya. Berasaskan bacaan yang salah inilah saya kira para pegawai di Kementerian Pelajaran yang memilih buku ini membuat keputusan mereka. Siapa mereka ada disenaraikan dalam edisi murid yang diterbitkan oleh DBP. Bagaimana ini terjadi saya berikan rujukannya. (Baca tulisan dalam The Writing Scholar yang dirujuk).

Sikap siuman ini tidak ada dalam perbincangan tentang sastera Melayu, seperti yang dibuktikan dengan begitu jelas dalam tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji Naratif Ogonshoto.  Sepatutnya saya tidak perlu sebut lagi perkara ini, tetapi tidak dapat dielakkan kerana inilah contoh dan bukti terbaik tentang tiadanya sifat siuman dalam perbincangan akademik dalam sastera Melayu.  Kerana pengaruh sikap tidak siuman ini begitu besar di kalangan para pegawai Kementerian Pelajaran yang memilih novel picisan ini untuk mengajar para pelajar menjadi bodoh, maka masalah standard yang saya bincang tempoh hari perlu kita bereskan, supaya para pelajar kita tidak terus hanyut dalam khayalan palsu membaca dan membincangkan sebuah (atau beberapa buah) karya picisan dengan memberikan pretensi intelektual yang palsu dalam perbincangan itu. Bagaimana ini boleh dilakukan? Saya telah mencadangkannya dengan kita menyerlahkan kekuatan dan kelemahan sesuatu karya berasaskan kajian perbandingan, yang nampaknya tidak mahu dilayan oleh para sarjana ciritan dan para pegawai Kementerian Pelajaran yang diberi tugas untuk mencerdikkan para pelajar negara, tetapi sebaliknya memilih karya picisan untuk dijadikan asas bagaimana kecerdikan itu boleh dibina. Tidakkah ini tidak siuman?

Oleh sebab kita sudah mempunyai sebuah karya berasaskan ilmu yang benar dalam Pujangga Melayu, adalah tepat dan sangat berpatutan jika karya ini dijadikan standard untuk menilai Naratif Ogonshoto.  Anda hanya perlu melakukan dua perkara mudah: membuktikan Pujangga Melayu tidak dapat dijadikan standard itu kerana kelemahan karya itu sebagai sebuah karya kreatif yang bermutu; atau anda membuktikan tanpa sedikit pun keraguan bahawa Naratif Ogonshoto memang berlandaskan ilmu, bukan khayalan sensasi dan sadisme  yang merayakan aspek syirik dalam kehidupan beragama.  Tidak ada alasan sama sekali untuk anda takut membuat penilaian secara perbandingan ini, kerana hasilnya nanti akan memberikan kepada kita “kebenaran” yang nampaknya dicari oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sendiri (melalui watak si resi tua) dalam kutipan yang saya ambil dari tulisannya.  Saya yakin beliau sendiri mahu karyanya diberi penilaian yang tuntas, dan kritis, berasaskan konsep ilmu yang benar yang beliau sendiri percaya itulah yang seharusnya menjadi asas penulisan kreatif dalam sastera Melayu.  Baca kembali kutipan dari tulisan beliau.

Apakah peranan guru yang ditakdirkan untuk mengajar novel ini? Dari bukti yang ada, melalui sebuah ulasan yang ditulis oleh seorang guru, kira-kira 160 halaman, kita dapati sang guru yang berani itu meluahkan begitu saja segala peristiwa dalam novel khayalan ini dengan memberi perincian setiap peristiwa, tanpa sebarang usaha untuk memberikan penjelasan yang mempunyai sedikit kualiti ilmiah. Sungguh kasihan kepada para murid yang membaca buku panduan ini. Mereka juga akan dihumban ke dalam gaung kekeliruan dan kebodohan yang luar biasa. Sekali lagi, anda perlukan satu standard yang mantap untuk menilai karya ini; dan ini menjadi amat mudah jika anda membuat kajian perbandingan dengan Pujangga Melayu. Jalan keluar yang dicadangkan ini akan membantu para guru memahami persoalan yang saya cuba jelaskan di sini. Seorang guru sastera wajib menjadi pembaca pertama kepada persoalan baru. Jangan biarkan pelajar anda menjadi bodoh kerana dibekalkan dengan maklumat yang salah, padahal maklumat yang betul sudah ada, tetapi tidak diketahui oleh para guru sastera kerana tidak diberitahu oleh para pegawai di Kementerian Pelajaran yang menjadi penilai dalam senarai jawatan kuasa pemilihan. Para guru ini berada dalam ketakutan yang luar biasa kerana sekiranya mereka berbeza pendapat dengan para pegawai Kementerian Pelajaran, mereka tidak dinaikkan pangkat. Tidakkah itu satu perkara yang merugikan kerjaya mereka? Tidak mengapa jika pelajar mereka menjadi bodoh, asal kerjaya mereka maju dan dengan itu berpeluang untuk dinaikkan pangkat. Kerana itu, para guru wajib mengikut saja arahan dari pakar-pakar di Kementerian Pelajaran, tanpa sebarang keraguan. Adakah ini corak pendidikan sastera yang wajar? Saya tidak tahu pendapat sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengenai persoalan ini, tetapi saya yakin beliau bersetuju dengan pendirian para guru dan para pegawai di Kementerian Pelajaran. Pilihan beliau tepat, walaupun tidak betul.

Adakah Sastera Malaysia Mempunyai Wajah?

Dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa ini terdapat satu bahagian yang amat menarik tajuknya, tetapi begitu mengecewakan isinya. Tajuknya, “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”  Tulisan Dr. Norhayati Ab. Rahman banyak menyebut perkataan “ilmu”, tetapi tidak sepatah pun dimaklumkan apakah yang beliau maksudkan dengan ilmu. Nampaknya jelas sekali beliau bukan bercakap tentang ilmu, tetapi tentang maklumat. Ilmu tidak sama dengan maklumat, dan maklumat hanya menjadi ilmu setelah diproses berasaskan ajaran wahyu. Jadi ilmu bersumber dari al-Quran, bukan saja-saja difikirkan sendiri kemudian diklaim itulah ilmu. Inilah yang dilakukan oleh para sarjana, termasuk di Malaysia. Sekali lagi, contoh terbaik tentang kecelaruan dan kekeliruan tentang konsep ilmu ini diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam pujiannya terhadap Naratif Ogonshoto. Sarjana ini tidak bercakap tentang ilmu, tetapi tentang kecelaruan dan kekeliruan beliau sendiri yang cuba menelurkan satu “teori” sastera yang dinamakannya “Teori Kerancuan Sastera”. (Saya telah ulas usaha sarjana ini dalam beberapa entri.)  Inilah “teori” yang dipakainya untuk memuji dan membela Naratif Ogonshoto. Hasilnya amat memeranjatkan: novel itu tiba-tiba muncul sebagai sebuah novel paling agung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, tiada tolok bandingnya lagi. Kesimpulan sarjana ini merupakan satu tragedi paling mengejutkan, mengalahkan semua tragedi Shakespeare. Pembaca yang cerdik, yang tahu apa yang cuba disampaikan oleh sarjana ini, akan berasa amat tersinggung kerana mereka seolah-olah diperbodohkan dengan pandangan yang cetek dan mengarut, sama mengarutnya dengan novel agung itu sendiri. Tidak saja pendapat sarjana ini tidak masuk akal, malah novel agung itu sendiri selain anti-ilmu, juga anti-moral; lantas menjadikannya sebuah karya nihilistik. (Saya juga telah bincang perkara ini dalam entri yang lepas). Sekarang kita faham mengapa Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak menyebut sedikit pun tentang novel agung ini, yang dipandangnya tidak penting dan tidak mencerminkan sebarang unsur ilmu di dalamnya.   Inilah yang dimaksudkan dengan tragedi yang mengejutkan itu, apabila pandangan sarjana pemuja novel ini ditolak bulat-bulat,  atau sekurang-kurang tidak diterimanya novel ini adalah karya teragung dalam sastera Melayu. Kalau betul sebuah karya teragung, semua sarjana sastera mesti menerimanya dengan gembira; tentulah kurang adab jika karya seagung ini diremehkan oleh para sarjana. Lainlah halnya jika mereka menilainya daripada perspektif ilmu yang dimajukan oleh PB, maka sudah sepatutnya mereka menolak penilaian yang karut itu.  Bagi yang cetek ilmu, seolah-olah terdapat kontradiksi dengan adanya perbezaan penilaian ini. Sebenarnya yang berlaku ialah kesilapan seseorang yang tidak dapat membezakan antara buah kuini dengan buah embacang, yang kelihatan serupa tetapi rasanya berbeza. Gambaran ini bermaksud untuk menyatakan penilaian yang berbeza mestilah berasaskan pengetahuan dan pengalaman intelektual yang mantap, seperti dalam perbandingan tadi. Tidak boleh silap, kerana buah kuini kelihatan sama, tetapi berbeza dengan embacang.

Sekarang saya harap anda faham mengapa PB tolak sasterawan negara dan karya mereka sebagai karya picisan saja. Jika kesimpulan ini merugikan tamadun Melayu, sila bangkit dengan hujah yang mantap untuk menolak kesimpulan yang dibuat oleh PB. Jangan biarkan kepalsuan berterusan, ketika kita dapat membezakan mana yang genuine dan mana pula yang fake (palsu).

Dalam konteks inilah pandangan Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak genuine, terlalu bertentangan dengan pujiannya yang begitu hebat terhadap Ayu Utami, penulis novel lucah dari Indonesia, yang diagungkannya dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM 2012).  Oleh itu pendapat beliau tentang sastera, ilmu dan sebagainya dalam makalah beliau adalah fake, tidak genuine, dan amat bertentangan dengan magnum opus beliau dalam bidang akademik berupa tesis beliau tentang kelucahan dalam sastera Melayu dan Indonesia.

Kertas yang satu lagi tidak memberikan apa-apa pandangan bernas, sebaliknya hanyut dalam retorik peragaan tanpa sebarang usaha dari penulisnya untuk memahami tajuk yang diberikan/dipilih olehnya. Konsep sastera perdana yang dikemukakannya terasa amat aneh dan amat janggal. Hal ini terjadi kerana beliau tidak melihat apa yang disebutnya sastera perdana itu dalam konteks yang betul. Anda tentu masih ingat bagaimana apa yang dianggap perdana itu adalah kumpulan pinggiran yang tidak mengenal warisan sendiri dan tidak pula mengenal warisan Barat dengan mendalam. Jika anda melihat dari perspektif kesimpulan atau rumusan 1972, anda sudah diberitahu dengan tegas bahawa para sasterawan yang terdapat di Malaysia dan Indonesia adalah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang keliru konsep ilmunya dan yang kehilangan adab. Penulis kertas ini nampaknya tidak tahu pun kesimpulan  1972 itu masih utuh, tanpa sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk menolaknya. Bagaimana anda boleh berbicara tentang sastera perdana jika yang dikatakan sastera perdana itu adalah sastera pinggiran yang cetek meraba-raba?

Kesimpulannya, kedua-dua penulis makalah ini tidak memberikan apa-apa pandangan konkrit tentang wajah sastera akan datang, meskipun telah dibincangkan dengan terperinci dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Ternyata mereka tidak pernah tahu wujudnya buku yang memberikan garis panduan karya persuratan yang akan menjadi kategori utama dalam perkembangan persuratan Melayu abad ini dan seterusnya. Sikap mereka yang begitu angkuh menolak PB merupakan satu tragedi intelektual yang amat memilukan kita semua…

Itulah yang kita dapat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa ini!

Pengaruh Pandirisme Dalam Sastera Melayu

Penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa adalah bukti yang amat jelas akan kegagalan konsep sastera yang dipraktikkan oleh para sasterawan yang hanya berjaya melahirkan pandirisme dalam sastera Melayu, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam karya mereka. Mujurlah (mujur di sini tidak bermakna bernasib baik) Anwar Ridhwan menulis novelnya yang agung itu, yang menjadi bukti betapa kuatnya cengkaman pandirisme dalam kegiatan kreatif Malaysia. Melalui novel ini, maka muncullah satu “teori” sastera baru yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, “teori kerancuan sastera” yang beliau gunakan sepenuhnya untuk memuji dan meletakkan novel Anwar Ridhwan di puncak awan, untuk memastikan hujan pandirisme turun di segenap pelosok dunia.  Dengan terbitnya terjemahan novel ini dalam pelbagai bahasa dunia, maka hujan pandirisme itu benar-benar turun di pelosok dunia, yang boleh kita lihat dalam pujian dari dalam dan luar negeri tentang keagungan novel ini, Naratif Ogonshoto.  Hujan pandirisme yang hanyir dengan sensasi dan sadisme yang menjadi ciri utama novel ini, akhirnya menimpa Kementerian Pelajaran dan dengan itu terpilihlah Naratif Ogonshoto yang telah dikontotkan untuk menjadi teks sastera. Kehanyiran unsur sensasi dan sadisme itu menjadi sejenis bau busuk yang melanda sistem nilai masyarakat apabila para pelajar dipaksa mengunyah bangkai manusia dalam bentuk perwatakan yang mendominasi novel ini, yang akan dijadikan bahan analisis dalam pelajaran sastera mereka. Seluruh novel ini diseliputi bau hanyir dan busuk yang timbul dari unsur-unsur syirik yang menjadi latar naratif novel ini yang tercermin dengan jelas dalam watak-watak utama novel ini. Bagaimana guru sastera akan menghadapi persoalan besar ini tergantung kepada pengetahuan agama mereka, sejauh mana mereka faham konsep syirik dan peranan syirik dalam pembinaan tamadun manusia. Dalam sistem pelajaran moden pun aspek  syirik ini memainkan peranan penting dalam konsep pendidikan itu sendiri, yang berkait dengan konsep ilmu. Para pegawai yang memilih novel ini untuk dijadikan teks juga terlibat dalam penyebaran faham syirik dalam sastera dengan memilih novel ini untuk kononnya dijadikan bahan berfikir para pelajar. Ini persoalan besar, yang memerlukan kejujuran intelektual dan keberanian membuat keputusan yang tepat dan adil.  Saya kemukakan persoalan yang  berat ini kepada anda kerana amanah intelektual yang saya pikul tidak membenarkan saya mendiamkan diri padahal saya sedar akan masalah ini dan tahu pula bagaimana hendak menyelesaikannya, seperti yang telah saya kemukakan dalam beberapa entri di blog ini. Hanya anda sebagai pembaca, tidak memberi perhatian.

Kelemahan perwatakan yang amat jelas

Dalam entri bertarikh 28 Oktober 2014, “Keunggulan yang cacat”, saya telah membahaskan aspek perwatakan ini dalam novel-novel Anwar Ridhwan. Aspek perwatakan ini penting dalam pendidikan sastera kerana inilah satu-satunya tajuk  yang berkaitan dengan sistem nilai yang menjadi tunjang kepada makna naratif yang dibawa oleh sesebuah novel.  Sebagai contoh, dalam Naratif Ogonshoto terdapat satu bab yang amat sensasi dan sadis mengenai seorang gadis yang melakukan persetubuhan dengan mayat seorang pemuda yang membunuh bapanya. Setelah selesai melakukan persetubuhan itu dan dia merasa puas, dipotongnya zakar pemuda itu dan dilempar kepada burung hering. Bab ini dibuang dalam edisi murid, membuktikan bahawa segala kritikan saya tentang novel ini adalah tepat, berasaskan analisis yang teliti dan penghujahan yang rapi, seperti anda boleh lihat dalam “Keunggulan yang cacat” itu. Sepatutnya bab ini tidak dibuang, jika Kementerian Pelajaran jujur untuk mendidik pelajar menjadi cerdik. Mereka tidak patut ditipu dengan menyembunyikan sesuatu yang perlu mereka tahu jika mereka mahu memahami mengapa novel ini ditulis.  Di tempat lain, yang dikekalkan dalam versi murid, kita dapati tukang masak Presiden menceritakan dia memotong kepala seorang tamunya di rumahnya yang tidak diketahuinya menghidap siplis. Mayat tamunya itu dijadikan daging kisar, mengganti daging rusa yang sudah pupus di pulau itu, untuk dijadikan nasi bubur sebagai hidangan utama dalam jamuan negara yang dianjurkan oleh Presiden. Ramai yang terkena jangkitan dan mati. Dalam  kisah seorang guru memotong jarinya kerana sesuatu muslihat bodoh untuk dirinya sendiri, nampaknya para pemilih buku ini untuk dijadikan teks mempersetankan saja penghinaan Anwar Ridhwan terhadap para guru yang begitu bodoh, tidak siuman, tidak mampu membuat pertimbangan yang waras. Watak guru seumpama ini hanya terjadi dalam sebuah karya yang mengutamakan sensasi. Guru disensasikan kebodohannya, bukan kecerdikannya. Perbuatan Anwar Ridhwan menghina para guru sedemikian rupa amat menghairankan. Perlukah guru dihina dan dipersetankan begitu rupa? Bagaimana reaksi guru terhadap penghinaan ini tidak perlu kita tahu, kerana bagi mereka seorang sasterawan negara yang dihormati boleh menulis apa saja yang dia mahu kerana dia telah diizinkan oleh negara dan masyarakatnya untuk memperbodohkan orang lain dan dirinya sendiri. Dalam perkara ini, saya ingin membawa kepada perhatian anda tiga buah cerita pendek saya tentang guru: “Angin Dari Gunung”, “Masih Murid Lagi”, dan “Rumah Impian Polan Cupan.”  Saya tidak mahu komen, seorang guru yang membaca cerita pendek ini tentu cukup cerdik untuk membacanya dalam mod bacaan intelektual, bukan mod bacaan cerita.  Kalau anda seorang guru, apakah kesannya kepada kewarasan anda sebagai seorang guru bila membaca gambaran guru bodoh oleh Anwar Ridhwan ini? Bolehlah anda bincang sesama guru untuk melihat pemikiran dalam cerita pendek  karya saya ini; dan anda perlu membandingkannya dengan cerita pendek dalam Naratif Ogonshoto. Mungkin anda akan sedar seorang sasterawan negara sedang menyeranah anda sebagai kaum guru yang bodoh, memotong jari sendiri for no reason!  Budak-budak bodoh yang jadi samseng pun tidak akan melakukannya.      

Demikianlah kelemahan perwatakan dalam karya Anwar Ridhwan. Izinkan saya kutip satu perenggan dalam entri bertarikh 28/10/2014 mengenai kelemahan perwatakan dalam karya Anwar Ridhwan.

Kelemahan paling besar dan paling menonjol dalam karya Anwar Ridhwan ialah dalam perwatakan. Watak yang ditonjolkannya adalah watak yang tidak saja lemah dari segi psikologi manusia, tetapi juga terlalu naif untuk dapat diterima sebagai watak yang boleh berfikir dan membuat keputusan yang tepat. Anda boleh ambil watak mana pun yang anda mahu, termasuk yang paling jahat sekali pun, anda akan melihat betapa lemahnya watak-watak yang dijadikan penggerak sebuah novel yang bercorak intelektual. Dilihat dari segi ini pun sudah cukup untuk menolak andaian palsu bahawa novel-novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan mengangkat persoalan bersifat intelektual, apatah lagi yang bersifat filosofikal seperti yang diklaim oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau wataknya sudah bodoh dan lemah, apakah jenis pemikiran yang diharapkan akan lahir daripada tindakan mereka? Kita telah melihat bagaimana hal ini terjadi kepada Pak Hassan, yang hanyut dalam penyerahan kepada nasib, padahal dia ditegaskan oleh penciptanya sebagai watak yang membawa persoalan intelektual. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri? Apakah pemikiran unggul yang ditonjolkannya? Yang kita nampak ialah sensasi yang berlebihan, terutama tentang kejahatan dan kebodohan watak-watak utama dalam karyanya. Sekiranya konsep uswatun hasanah yang menjadi salah satu pegangan gagasan Persuratan Baru dijadikan ukuran, manakah watak yang boleh memberikan contoh teladan terbaik itu? Mungkin ini disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mendorong mereka berkata contoh itu tidak diperlukan dalam karya kreatif. Jika ini benar, maka bagaimana pula mereka boleh bercakap tentang jalur itu jalur ini yang hebat yang mengubah iklim penulisan cerita pendek atau novel yang telah dilakukan oleh Anwar Ridhwan dalam karya eksperimental, yang inovatif dan kreatif, yang membawa perubahan dan sebagainya itu? Kesimpulan saya, ini semua adalah bullshit semata-mata.

Kepada para guru yang mengajar sastera, terutama yang menggunakan Naratif Ogonshoto  sebagai teks, mungkin berfaedah jika aspek ini dijadikan tajuk perbincangan dengan pelajar.  Pelajar harus diajar menjadi cerdik dengan membincangkan aspek perwatakan. Dalam seni mengarang cereka, perwatakan adalah bukti kekuatan imaginasi kreatif seorang pengarang untuk menyerlahkan  kemampuan intelektualnya dalam membina perwatakan yang kuat, bukan sekadar menyebut nama seperti yang dilakukan oleh sasterawan negara ini.

Para sarjana ciritan dan pengkritik yang cetek meraba-raba menganggap Anwar Ridhwan seorang sasterawan intelektual, lantas mereka memberi pujian yang tinggi kepada sasterawan ini. Tetapi jika anda membaca karyanya dengan kritis, anda akan dapati sukar untuk menjadikan beliau sebagai sasterawan intelektual. Novel beliau yang dianggap teragung dalam sastera Melayu sebenarnya adalah sebuah karya mediocre, yang sangat cetek unsur pemikirannya, jika ada. Anwar Ridhwan lebih tertarik kepada aspek sensasi dan lain-lain  kerana beliau tidak perlu berfikir untuk memasukkannya dalam karyanya. Oleh itu beliau memilih unsur sensasi dan sadisme dan khayalan liar yang hanyut dalam imaginasi yang hanya berjaya membuktikan kelemahan kognitifnya dan kelemahan kreatifnya, tetapi cukup kaya dalam pretensi intelektual sehingga berjaya memabukkan para sarjana dan pengkritik sastera untuk mengangkatnya sampai ke langit ke tujuh walaupun mereka ini tidak memberikan bukti konkrit yang membolehkan tokoh ini diangkat ke langit ke tujuh!  Dengan kemampuan intelektual yang terbatas, dengan kelemahan kognitif untuk berfikir dengan teratur, dan dengan khayalan liar yang menjadi kekuatannya, maka tepat benarlah beliau menulis novel berjudul Arus, kerana beliau sendiri sudah tenggelam dalam arus mediocrity, dalam arus pandirisme, untuk muncul dengan karya yang penuh sensasi. Paling menarik, Naratif Ogonshoto pada hakikatnya adalah lamunan seorang gila yang sudah tua, yang ketakutan menghadapi pembedahan.  Apakah kelebihan tokoh atau watak ini untuk dijadikan watak misteri novel ini? Dari segi psikologi, kemunculan Anwar Ridhwan dengan karyanya  yang begitu kaya dengan sensasi,  unsur sadisme, dengan perwatakan yang amat aneh, memerlukan satu analisis psikologi, yang mungkin boleh dilakukan oleh Prof. Hashim Awang yang memang satu-satunya pakar dalam psikologi Freud dalam bidang kritikan sastera Melayu. Tokoh misteri di akhir cerita yang diberi nama Noor  oleh Anwar Ridhwan, berasal dari Sungai Besar, tempat lahir Anwar Ridhwan sendiri. Sungai Besar dipanggil Kali Besar dalam novel. Adakah Noor itu beliau sendiri? Hanya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang tahu jawapannya.

Pengaruh Barat Dalam Sastera Melayu

Bolehkah kita berkata tiada sastera Melayu moden tanpa pengaruh Barat? Mungkin lebih tepat jika kita berkata sastera Melayu moden tidak akan muncul tanpa pengaruh dari sastera moden Indonesia.  Saya kira kesimpulan ini lebih munasabah, walaupun kita tahu sastera moden Indonesia sendiri menerima pengaruh besar dari sastera Barat. Indonesia lebih beruntung kerana cerdik pandai mereka menguasai bahasa Belanda, Perancis, German, Inggeris, Arab dan lain-lain. Oleh itu mereka membaca karya asing itu dalam bahasa asal. Hingga kini kita ketinggalan terlalu jauh dalam aspek ini. Agaknya, berapa bahasa asing yang dikuasai oleh Sutan Takdir Ali Sjahbana? Belanda. German. Inggeris. Perancis … Di kalangan sarjana yang menulis tentang sastera Melayu, yang saya tahu yang menguasai bahasa Arab, Inggeris, Turki, Urdu, Parsi … ialah Prof. Bukhari Lubis.

Tentulah ideal jika seseorang mengetahui/menguasai banyak bahasa; tetapi jika anda menguasai satu bahasa asing pun sudah cukup andainya anda menggunakannya untuk mendapat ilmu. Setiap bahasa adalah gedung ilmu, apatah lagi dalam bahasa-bahasa moden yang pesat berkembang. Khusus dalam sastera, jika anda benar-benar tekun membaca buku-buku penting yang terdapat dalam bahasa Inggeris, atau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, maka usaha itu sangat berguna kerana setiap penulis tidak hanya memberi pendapatnya, tetapi memberi pandangan kritis terhadap pendapat orang lain. Dengan itu suatu tajuk yang kelihatan mudah, akan berkembang menjadi satu perbahasan yang sering kali cukup mendalam dikupas sehingga pembaca yang rajin akan dapat pelbagai pandangan terhadap suatu tajuk yang biasa saja sekalipun. Itulah kehebatan sarjana Inggeris atau Barat. Saya tidak perlu memberi contoh, kerana jika anda membaca buku Frank Lentricchia, After the New Criticism, anda sudah dapat “menguasai” berbagai-bagai pendekatan dalam kritikan sastera Barat.  Jika anda cerdik, anda akan bertanya, bagaimana mereka mendapat  sumber ilmu mereka? Jika anda perdalami pertanyaan itu sehingga ke akar umbi, anda akan mula berfikir dengan serius, dan bertanya diri anda sendiri, Adakah ini yang aku perlukan?  Ketika itulah anda akan menyoal dari segi apa bacaan anda itu berguna dan dari segi apa pula hanya akan mengusutkan anda jika anda tidak berhati-hati. Jika anda seorang Islam yang kritis, anda akan mula memberi kritikan anda sendiri terhadap pendapat yang anda dapat dalam teori sastera Barat itu. Dan jika anda bernasib baik, anda akan kembali kepada sumber ilmu dalam Islam dan melihat sastera dan kritikan sastera dari perspektif itu.

Tahu menggunakan ilmu dan maklumat yang kita dapat adalah satu kelebihan yang akan menghindarkan kita daripada terjebak dalam kesesatan ilmiah atau kesesatan akademik sekiranya anda pandai-pandai sendiri menentukan sesuatu, yakni membuat pilihan, tanpa autoriti yang sah. Itulah caranya untuk anda menjadi keliru dan kemudiannya bangga berada dalam kumpulan orang yang kehilangan adab.  Sekiranya anda membaca dengan kritis setiap kertas kerja yang dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa, anda akan dapati dengan mudah perkara-perkara yang saya kemukakan di sini.  Jika anda bernasib baik, ketika itu anda akan mengerti mengapa saya begitu kritis menilai pandangan dan pendapat yang disogok dalam kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.

Pada pandangan saya, kita tidak perlu buang ke laut segala pandangan Barat, seperti yang ingin dibuat oleh Prof. Zawiyah Yahya dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Mengapa kita bangga menjadi bodoh ketika kita diberi peluang untuk menjadi cerdik?  Gagasan Persuratan Baru banyak mendidik saya untuk menjadi pemikir sastera yang cerdik, yang mampu menulis karya persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai Maqamatdan seterusnya. Jika saya mencabar anda untuk menilai Naratif Ogonshoto dari perspektif PB, maka itu hanya satu permintaan yang kecil saja. Permintaan yang lebih besar ialah kita mula dari sekarang membina kembali persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar.  Nampaknya semua sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tidak mahu perubahan ke arah itu. Mereka dengan keras dan tegas mempertahankan status quo  yang memberi keuntungan kepada mereka, seperti yang mereka tegaskan dalam resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.  Tetapi pada waktu yang sama mereka bercakap tentang perubahan dan sebagainya, seperti yang disarankan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.

Peranan Kritikan Sastera

Adakah kita sudah mempunyai sejumlah pengkritik sastera yang benar-benar berwibawa? Soalan ini tidak pernah ditanyakan, oleh itu jawapannya tentulah sukar terutama sekali jika anda tidak menguasai bidang kritikan yang memang memerlukan anda menguasai teorinya.  Jika anda tidak menggunakan teori tertentu, maka anda bukan seorang pengkritik sastera, sekadar penilai biasa yang sering kali tidak dapat menjelaskan, bila ditanya, mengapa anda membuat penilaian atau kesimpulan tertentu. Seperti yang telah saya tunjukkan dalam beberapa entri, misalnya dalam entri “Keunggulan yang cacatan,”  tanpa suatu teori yang mantap, anda tidak mungkin dapat membaca dan menilai Naratif Ogonshoto dengan meyakinkan. Saya telah memberi contohnya dalam tulisan 

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Ada lagi beberapa contoh lain, yang anda tentu sudah membacanya (saya tidak mahu sebut di sini, kerana mudah dicari). On second thought, wajar jika saya sebut contoh lain itu untuk menjadi peringatan kepada anda. Misalnya, usaha Mana Si Kana meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan, telah saya tolak dengan penghujahan yang anda boleh patahkan jika anda rasa perlu. Saya pun mahu dengar pendapat anda yang lebih mantap dan lebih ilmiah, oleh itu anda tidak perlu berdiam diri merungut di sana sini, tetapi tidak mampu, atau tidak mahu berkongsi ilmu dengan orang lain. Ini bukan sikap positif seorang ahli akademik.

Tindakan para pegawai di Kementerian Pelajaran menyekat pendekatan alternatif dalam pendidikan sastera, seperti yang saya cadangkan dalam buku-buku saya, telah membantut perkembangan kognitif para pelajar untuk melihat segi lain dalam pendidikan sastera, yang dihidangkan oleh PB. Sepatutnya pada waktu kita sudah berada dalam dunia moden yang terbuka kepada ilmu, kita seharusnya bertindak lebih bijak dan lebih terbuka untuk meneliti alternatif baru yang dikonsepsikan oleh sarjana kita sendiri.  Tidak ada sebab untuk kita gagal memberi peranan positif kepada kritikan sastera dan pendidikan sastera dengan mula meneliti sumbangan pemikir kita sendiri. Hendaknya kita tidak khianati amanah akademik kita dengan menonjolkan pendekatan yang kurang sesuai dalam pendidikan sastera, ketika kita sudah pun mempunyai pendekatan yang lebih baik yang dicetuskan oleh sarjana kita sendiri. Saya cadangkan Kementerian Pelajaran cuba menjenguk pendekatan alternatif yang dikemukakan oleh PB. Kita mempunyai cukup rujukan untuk itu.

Perkembangan Kritikan

Kritikan sastera di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada teori Barat. Anda boleh lihat perkara ini dengan mudah jika anda membaca kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” (?) para sasterawan negara dalam seminar khusus untuk membincangkan “pemikiran” mereka. Tujuan seminar itu ialah untuk memuji dan mengangkat para sasterawan negara. Seorang profesor sastera pernah memberitahu dalam seminar “pemikiran” A. Samad Said, apa gunanya mengangkat para sasterawan negara jika untuk dikritik. Oleh itu, semua mereka perlu dipuji supaya gelaran sasterawan negara itu cocok dengan hasil kreatif mereka. Kaedah ini telah berjaya memberi gambaran palsu terhadap sumbangan para sasterawan negara, apabila semua mereka didapati berjaya menghasilkan karya yang bermutu dan kaya dengan keindahan bahasa dan berjaya pula mengemukakan tema atau persoalan baru dalam karya mereka, dengan itu memperkaya pengalaman intelektual pembaca.  Adakah ini pendapat yang betul? Saya telah mengkritik pandangan salah ini dalam banyak entri yang disiarkan dalam blog ini, malah telah mengumpul sebahagian daripada entri itu di dalam dokumen yang diberi judul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara.” (setebal 260 halaman.)

Idea Baru dan Cabaran Masa Depan

Satu-satunya idea baru yang tersusun secara sistematik ialah Gagasan Persuratan Baru. Kemunculan Persuratan Baru (seterusnya PB) tidak mengejutkan sesiapa pun di kalangan sasterawan dan sarjana sastera. Bagi mereka perkara biasa saja yang boleh timbul kemudian tenggelam dan timbul yang lain pula.  Tetapi sebaik saja mereka sedar PB mencabar konsep sastera yang menjadi pegangan mereka dan mempersoalkan kewajaran projek sasterawan negara, maka bermulalah perang dingin. Secara siuman hal ini tidak perlu, tetapi kedudukan para sasterawan dan sasterawan negara yang dipersoalkan secara ilmiah, secara akademik, membangkitkan kegelisahan golongan ini. Apakah yang mereka boleh buat? Tidak ada.  Tetapi ini menimbulkan keresahan apabila mereka diberitahu karya para sasterawan negara, yang dianggap mercu kejayaan kreatif di Malaysia, sebenarnya tidak dapat menandingi karya persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai Maqamat dan lain-lain.  Lalu, tindakan bijaksana yang mereka lakukan ialah mendiamkan diri dan pada waktu yang sama menghalang PB daripada dikenali oleh masyarakat sastera.  Nampaknya mereka berjaya kerana secara rasmi mereka mempunyai kedudukan yang intim dengan pihak berkuasa, yakni Kementerian Pelajaran. Maka berjayalah Naratif Ogonshoto, sebuah karya picisan, diangkat untuk dijadikan teks sastera yang nantinya akan membolehkan para pelajar menggunakan fikiran aras tinggi untuk membaca dengan kritis dan menilai karya agung ini. Saya mengatakan mereka tidak boleh melakukannya, kerana mereka tidak mempunyai alat akademik untuk digunakan dengan berkesan. Segala konsep yang mereka gunakan selama ini sudah menjadi klise, dengan itu hanya berupaya membuat mereka hanyut dalam khayalan ketika menilai sebuah karya kreatif. Tidak ada gigi lagi untuk menggigit secara ilmiah karya kreatif yang dikononkan bernilai tinggi, tetapi sebenarnya tidak jika digunakan pendekatan yang lebih canggih dan terbaru, yakni menggunakan pendekatan PB yang memberi perhatian khusus kepada konsep ilmu yang benar.  Hasilnya adalah yang anda baca dalam entri yang lepas, ketika saya mengkritik Naratif Ogonshoto berasaskan ukuran konsep ilmu yang benar.  Para guru sastera wajar mula mengenali PB kerana dengan menggunakan pendekatan yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat melihat dengan jelas kekuatan dan kelemahan sesebuah karya kreatif. Para pelajar perlu diajar menjadi cerdik sekiranya para guru sastera menggunakan pendekatan PB. Walau bagaimana pun, anda harus berhati-hati, kerana saya diberitahu Kementerian Pelajaran telah mengharamkan, secara tidak rasmi (?) pendekatan baru selain daripada yang sedia ada dan sudah lama digunakan supaya para pelajar tidak menjadi keliru bersama guru mereka yang besar kemungkinan akan menjadi lebih keliru kerana kecetekan pengetahuan mereka tentang kritikan sastera dan penilaiannya. Tetapi saya fikir tidak salah untuk memperkenalkan idea baru ini supaya para pelajar akan dapat menikmati setiap karya kreatif sebagai pelajar yang dapat membaca sesebuah karya dalam mod bacaan intelektual, tidak hanya semata-mata dalam mod bacaan cerita seperti yang mereka lakukan sekarang bersama guru sastera mereka.  Kalau tidak cuba anda tidak tahu kesan positifnya yang amat besar, yang sebenarnya memudahkan anda mempelajari sastera dan dapat membaca dan menilai karya kreatif dengan berkesan.

Kesimpulan Umum

Tiga isu besar yang ingin saya ketengahkan untuk perbincangan seterusnya. Pertama,  mengenai pendidikan sastera yang sangat lemah kerana masih menggunakan kaedah lama yang sudah klise. Saya bersetuju dengan pandangan  sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam kutipan yang saya ambil dari tulisan beliau (Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 217), tetapi beliau tidak memberi apa-apa jalan keluar. Pada umumnya tulisan beliau dalam buku itu bagus jika dapat dilaksanakan, tetapi tidak dalam konteks lama yang sudah menjadi klise yang sekian lama menghalang adanya perubahan yang benar-benar bermakna.   Perubahan ini hanya boleh terjadi jika idea tentang pendidikan estetika yang saya kemukakan sejak akhir 1980-an yang kemudiannya saya rumuskan menjadi Gagasan Persuratan Baru; tetapi inilah yang ditentang oleh semua sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera. Oleh itu, apakah jenis perubahan yang mereka mahu? Mereka tidak ada jawapannya, tetapi kita tahu yang mereka maksudkan dengan perubahan itu ialah terus mempertahankan status quo yang telah gagal memberi kemajuan yang kita mahu. Kita masih berada dalam dekad kesimpulan 1972. Mana ada perubahan? Tidak ada. Perubahan yang sebenarnya hanya akan berlaku jika Gagasan Persuratan Baru dijadikan landasan untuk membina kembali persuratan Melayu.    

Isu kedua yang penting ialah mengenai ukuran yang kita pakai dalam menganalisis dan menilai karya kreatif dan dalam keterampilan akademik para sarjana dan pengkritik sastera yang amat jelas masih meraba-raba dalam belantara teori sastera Barat yang mereka tidak kuasai dengan mantap. Saya berikan beberapa contoh untuk memudahkan anda memahami isu besar ini. Kerana tiadanya keterampilan akademik itu, maka terjadilah penilaian yang penuh dengan unsur syirik dan unsur pandirisme ketika para sarjana memberi pujian tinggi kepada Naratif Ogonshoto, yang sebenarnya hanya sebuah karya picisan yang tidak bertunjangkan ilmu walaupun pengarangnya memberitahu kita ilmu adalah penting dalam karya kreatif. Dolak-dalik ini adalah jenis warisan Pak Kaduk, Si Luncai dan kawan-kawan mereka dalam cerita jenaka Melayu. Adakah anda masih mahu mengekalkan cerita jenaka itu dalam bentuk moden?

Isu ketiga, perlunya dialog ilmiah antara dua golongan yang berbeza, satu yang mahu mempertahankan status quo walaupun telah gagal memberi kemajuan berfikir kepada masyarakat; satu kumpulan lagi bolehlah dikatakan telah memulai revolusi dalam pemikiran tentang seni dan keterampilan akademik, yang diwakili oleh Gagasan Persuratan Baru.  ITBM dan DBP bolehlah mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang kedua, khusus untuk membincangkan tiga isu penting: (1) peranan ilmu dalam karya kreatif, (2) kedudukan teori sastera Barat dalam sastera Melayu, dan (3) masalah pendidikan sastera yang hilang arah dan masih menggunakan teknik pengajaran yang sudah klise.  Sidang kedua ini juga perlu menonjolkan beberapa buah karya (novel atau kumpulan sajak) sasterawan negara untuk dinilai daripada perspektif PB, untuk membuktikan bahawa karya ini juga boleh menyerlah jika dinilai dari perspektif PB. Perkara ini menjadi lebih mudah setelah Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud memperkenalkan konsep “ingkar ilmu” yang boleh digunakan untuk meneliti karya para sasterawan negara ini.   

Akhirnya sebagai catatan sejarah yang penting, saya ingin mengucapkan  terima kasih kepada Puan Rogayah Abdul Hamid yang pernah mengetuai bahagian sastera di DBP, telah mengusahakan penerbitan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (diterbitkan oleh DBP 1992; berasal dari makalah panjang yang disiarkan oleh Allahyarham Sutung Umar yang menjadi editor Dewan Sastera ketika itu.)  Puan Rogayah juga menghubungi Prof. Mohd. Kamal Hassan (kini Prof. Ulung Tan Sri Mohd. Kamal Hassan) untuk memberikan pendahuluan kepada buku itu. Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah bersetuju menerbitkan cetakan kedua 2005. Sekarang cetakan kedua itu pun sudah kehabisan stok. Buku yang mendapat penghargaan di luar negeri ini kini perlu diterbitkan semula dengan beberapa up-date untuk cetakan ketiga dengan memasukkan berapa perkembangan baru dan konsep baru setelah terbitnya beberapa buah buku yang diterbitkan oleh UKM dengan usaha Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Buku-buku mengenai PB lebih dari memadai untuk membolehkan seseorang sarjana atau sesiapa saja memahami PB dengan mudah. Buku ilmiah seumpama ini tidak ada yang secara khusus membicarakan permasalahan dalam sastera Melayu, kecuali beberapa buah yang berasal dari tesis sarjana dan kedoktoran yang diragui kualiti ilmiahnya. Tak perlu sebut nama dan judul buku, untuk menghormati keutuhan sastera Melayu moden.

Akhirnya, sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan PB, kini mempunyai dokumen yang lebih dari mencukupi untuk mengkritik PB secara ilmiah. Sebaiknya, akan muncul karya yang berkualiti daripada para penentang PB, supaya kita semua senang membuat perbandingan.   Masyarakat sastera Malaysia perlu diberi peluang untuk membuat penilaian mereka mana yang genuine dan mana yang  fake dalam perbincangan sastera Malaysia. 

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 
18/8/2017.   

Friday, August 18, 2017

TOLAK KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian 5)