Wednesday, August 16, 2017

TOLAK KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian 3)

Dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa ini terdapat satu bahagian yang amat menarik tajuknya, tetapi begitu mengecewakan isinya. Tajuknya, “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana?”  Tulisan Dr. Norhayati Ab. Rahman banyak menyebut perkataan “ilmu”, tetapi tidak sepatah pun dimaklumkan apakah yang beliau maksudkan dengan ilmu. Nampaknya jelas sekali beliau bukan bercakap tentang ilmu, tetapi tentang maklumat. Ilmu tidak sama dengan maklumat, dan maklumat hanya menjadi ilmu setelah diproses berasaskan ajaran wahyu. Jadi ilmu bersumber dari al-Quran, bukan saja-saja difikirkan sendiri kemudian diklaim itulah ilmu. Inilah yang dilakukan oleh para sarjana, termasuk di Malaysia. Sekali lagi, contoh terbaik tentang kecelaruan dan kekeliruan tentang konsep ilmu ini diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam pujiannya terhadap Naratif Ogonshoto. Sarjana ini tidak bercakap tentang ilmu, tetapi tentang kecelaruan dan kekeliruan beliau sendiri yang cuba menelurkan satu “teori” sastera yang dinamakannya “Teori Kerancuan Sastera”. (Saya telah ulas usaha sarjana ini dalam beberapa entri.)  Inilah “teori” yang dipakainya untuk memuji dan membela Naratif Ogonshoto. Hasilnya amat memeranjatkan: novel itu tiba-tiba muncul sebagai sebuah novel paling agung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, tiada tolok bandingnya lagi. Kesimpulan sarjana ini merupakan satu tragedi paling mengejutkan, mengalahkan semua tragedi Shakespeare. Pembaca yang cerdik, yang tahu apa yang cuba disampaikan oleh sarjana ini, akan berasa amat tersinggung kerana mereka seolah-olah diperbodohkan dengan pandangan yang cetek dan mengarut, sama mengarutnya dengan novel agung itu sendiri. Tidak saja pendapat sarjana ini tidak masuk akal, malah novel agung itu sendiri selain anti-ilmu, juga anti-moral; lantas menjadikannya sebuah karya nihilistik. (Saya juga telah bincang perkara ini dalam entri yang lepas). Sekarang kita faham mengapa Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak menyebut sedikit pun tentang novel agung ini, yang dipandangnya tidak penting dan tidak mencerminkan sebarang unsur ilmu di dalamnya.   Inilah yang dimaksudkan dengan tragedi yang mengejutkan itu, apabila pandangan sarjana pemuja novel ini ditolak bulat-bulat,  atau sekurang-kurang tidak diterimanya novel ini adalah karya teragung dalam sastera Melayu. Kalau betul sebuah karya teragung, semua sarjana sastera mesti menerimanya dengan gembira; tentulah kurang adab jika karya seagung ini diremehkan oleh para sarjana. Lainlah halnya jika mereka menilainya daripada perspektif ilmu yang dimajukan oleh PB, maka sudah sepatutnya mereka menolak penilaian yang karut itu.  Bagi yang cetek ilmu, seolah-olah terdapat kontradiksi dengan adanya perbezaan penilaian ini. Sebenarnya yang berlaku ialah kesilapan seseorang yang tidak dapat membezakan antara buah kuini dengan buah embacang, yang kelihatan serupa tetapi rasanya berbeza. Gambaran ini bermaksud untuk menyatakan penilaian yang berbeza mestilah berasaskan pengetahuan dan pengalaman intelektual yang mantap, seperti dalam perbandingan tadi. Tidak boleh silap, kerana buah kuini kelihatan sama, tetapi berbeza dengan embacang.

Sekarang saya harap anda faham mengapa PB tolak sasterawan negara dan karya mereka sebagai karya picisan saja. Jika kesimpulan ini merugikan tamadun Melayu, sila bangkit dengan hujah yang mantap untuk menolak kesimpulan yang dibuat oleh PB. Jangan biarkan kepalsuan berterusan, ketika kita dapat membezakan mana yang genuine dan mana pula yang fake (palsu).

Dalam konteks inilah pandangan Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak genuine, terlalu bertentangan dengan pujiannya yang begitu hebat terhadap Ayu Utami, penulis novel lucah dari Indonesia, yang diagungkannya dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM 2012).  Oleh itu pendapat beliau tentang sastera, ilmu dan sebagainya dalam makalah beliau adalah fake, tidak genuine, dan amat bertentangan dengan magnum opus beliau dalam bidang akademik berupa tesis beliau tentang kelucahan dalam sastera Melayu dan Indonesia.

Kertas yang satu lagi tidak memberikan apa-apa pandangan bernas, sebaliknya hanyut dalam retorik peragaan tanpa sebarang usaha dari penulisnya untuk memahami tajuk yang diberikan/dipilih olehnya. Konsep sastera perdana yang dikemukakannya terasa amat aneh dan amat janggal. Hal ini terjadi kerana beliau tidak melihat apa yang disebutnya sastera perdana itu dalam konteks yang betul. Anda tentu masih ingat bagaimana apa yang dianggap perdana itu adalah kumpulan pinggiran yang tidak mengenal warisan sendiri dan tidak pula mengenal warisan Barat dengan mendalam. Jika anda melihat dari perspektif kesimpulan atau rumusan 1972, anda sudah diberitahu dengan tegas bahawa para sasterawan yang terdapat di Malaysia dan Indonesia adalah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang keliru konsep ilmunya dan yang kehilangan adab. Penulis kertas ini nampaknya tidak tahu pun kesimpulan  1972 itu masih utuh, tanpa sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk menolaknya. Bagaimana anda boleh berbicara tentang sastera perdana jika yang dikatakan sastera perdana itu adalah sastera pinggiran yang cetek meraba-raba?

Kesimpulannya, kedua-dua penulis makalah ini tidak memberikan apa-apa pandangan konkrit tentang wajah sastera akan datang, meskipun telah dibincangkan dengan terperinci dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Ternyata mereka tidak pernah tahu wujudnya buku yang memberikan garis panduan karya persuratan yang akan menjadi kategori utama dalam perkembangan persuratan Melayu abad ini dan seterusnya. Sikap mereka yang begitu angkuh menolak PB merupakan satu tragedi intelektual yang amat memilukan kita semua…

Itulah yang kita dapat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa ini!

Akan disambung dalam bahagian 4 nanti.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 
16/8/2017.

No comments:

Post a Comment