Monday, August 28, 2017

NARATIF OGONSHOTO NASKHAH MURID: SATU ANALISIS UNTUK PEGAWAI KEMENTERIAN DAN GURU SASTERA



Pelajar yang mengambil mata pelajaran sastera menghadapi mala petaka intelektual yang besar apabila mereka disuruh membaca sebuah karya picisan oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara.  Tentu saja mereka akan dipaksa memuji dan mengangkat novel picisan ini, dan mereka sebenarnya tidak tahu bahawa novel ini sebuah novel picisan. Guru-guru sastera juga tidak tahu. Pengetahuan guru sastera tentang analisis sastera sebenarnya agak rendah, masih menggunakan istilah-istilah lama yang sudah lusuh, sudah menjadi klise yang tidak memberi apa-apa manfaat dari segi intelektual jika dipakai untuk menganalisis sesebuah novel. Konsep plot misalnya adalah mengenai cerita. Cerita yang bagaimana? Apakah peranan cerita dalam sesebuah novel? Konsep plot dan kaitannya dengan cerita ini kini tidak lagi dipakai dalam analisis novel kerana di Barat sendiri mereka memberi perhatian utama kepada tafsiran dalam konteks teori hermeneutik. Untuk membuat tafsiran, cerita yang terdapat di dalam plot tidak membantu, kerana diperlukan unsur-unsur lain seperti penerokaan teknik baru, penerokaan retorik cerita, pengadunan antara pemikiran dan tindakan dalam perwatakan supaya muncul kekuatan watak dari segi kefahamannya terhadap dirinya, terhadap masyarakatnya, terhadap budaya warisannya, bagaimana dia bergaul dengan anggota masyarakatnya, dan yang paling penting unsur-unsur kecerdikannya (kepintaran berfikir) dan kebijaksanaan tindakannya yang seharusnya mencabar pembaca untuk menerima atau menolaknya sebagai kelakuan pura-pura.  Semua itu tidak wujud dalam novel picisan yang dijadikan teks ini.  Saya ulang sekali lagi, kecelakaan besar telah menimpa para pelajar  yang dipaksa mengunyah sebuah karya picisan yang akan membuat mereka menjadi lebih bodoh dari kebodohan yang mereka warisi dengan membaca cerita-cerita popular yang diterbitkan oleh syarikat besar untuk mendapat  wang dengan memberi candu hiburan kepada anak-anak muda yang berebut-rebut membeli dan membaca novel-novel sampah yang penuh dengan …. (tidak perlu membuang ruang dan masa menyebutnya!).  Naratif Ogonshoto termasuk dalam kumpulan karya begini.

Lalu timbul soalan: Kalau begitu, mengapa novel ini mendapat pujian daripada para sarjana dan sasterawan? Semuanya kerana psikologi Melayu yang begitu kukuh sifat feudalnya yang sentiasa kagum kepada sesiapa pun yang diberi gelaran, apa-apa pun gelaran itu. Di Kelantan, apabila seseorang diberi gelaran “Dato’”, rakyat biasa yang bercakap dengannya akan membahasakan dirinya “Hamba Dato’!” sebagai satu penghormatan dan kesopanan feudal Hindu. Dalam dunia sastera, seseorang yang telah dilantik menjadi sasterawan negara, gelaran itu mesti disebut setiap masa (mengalu-alukan ketibaan sasterawan negara anu anu ke majlis kita…); dalam penerbitan disebut “naskhah khas sasterawan negara”. Semua gelaran dan cara mengangkat para sasterawan negara ini menakutkan para pelajar, yang kini melihat mereka sekumpulan penulis yang istimewa. Bila guru sastera mereka memuji para sasterawan ini, para murid hanya ikut memuji, dengan memberikan segala hujah yang mereka hafal yang telah diberikan oleh guru. Satu masa dulu, malah sekarang pun, ada orang menyindir dan mengkritik kelemahan sistem pendidikan kerana menggalakkan murid menghafal; tetapi dalam semua mata pelajaran, terutama sekali dalam mata pelajaran sastera, murid digalakkan dan dipaksa menghafal nota-nota yang disediakan guru mereka kerana nota-nota itulah juga yang menjadi pegangan para pemeriksa kertas. Tak salah pula menghafal!  Sebenarnya cara ini disukai guru, kerana memudahkan kerja mereka. Perkara yang paling dibenci oleh guru di Malaysia ialah pendapat kritis daripada pelajar, yang dituduh “hanya memandai-mandai” padahal tidak ada pun pendapat yang bernas. Bagaimana mereka akan memberikan pendapat yang bernas dan kritis jika mereka tidak diajar untuk menjadi kritis dan tahu memberi pendapat secara logik. Dalam keadaan beginilah para pelajar ini disuruh membaca novel dan selepas itu menjawab soalan dengan menggunakan keterangan yang sudah disediakan oleh guru. Guru pula mendapat jawapan daripada Kementerian Pelajaran.  Sesiapa juga murid yang menyimpang daripada jawapan yang disediakan, murid itu akan digagalkan, tidak lulus. Ini bukan caranya mengajar sastera… Tetapi inilah yang dilakukan di Malaysia. Saya harap ada orang yang akan membantah kesimpulan ini, supaya saya dapat memberi bukti yang lebih banyak, mendedahkan kelemahan dan kepalsuan teknik mengajar sastera di sekolah-sekolah.

Gagasan Persuratan Baru Sebagai Jalan Keluar


Pendidikan sastera di Malaysia akan mendapat faedah yang lebih besar, dan berkesan, sekiranya kaedah yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru digunakan.  Tiga perkara akan dipelajari oleh pelajar (dan guru sastera mereka juga). Pertama, mereka akan tahu dan faham mengapa konsep ilmu penting dalam karya kreatif. Kedua, mereka akan dapati lebih mudah, dan seronok membaca karya kreatif, menggunakan konsep yang diberikan oleh PB. Ketiga, mereka akan dapat menilai dengan jelas pencapaian kreatif pengarang dan kedudukan pemikirannya dalam karyanya. Bagi pelajar yang ingin menulis karya kreatif, mereka akan dapati PB memberi mereka beberapa kaedah untuk menulis karya kreatif, umpamanya bagaimana menggunakan ruang naratif dalam membina struktur karya mereka, dengan itu mereka dapat membezakan antara wacana yang bersifat ilmu dengan cerita yang digunakan untuk menyampaikan wacana.  Jika mereka berminat dalam bidang kritikan, mereka akan dapat menulis kritikan yang lebih kemas dan tersusun hujahnya dengan menggunakan kaedah analisis yang dianjurkan oleh PB.  Syarat paling penting ialah jelas tentang apakah ukuran yang hendak dipakai dalam membuat penilaian. Jika ini tidak jelas, maka jadilah seperti dalam blurb naskhah pelajar yang merapu tak tentu arah. Baca balik blurb itu dan nikmati kekeliruan dalam ukuran penilaian novel ini. Dalam hal ini, contoh yang paling baik ialah pandangan penterjemah novel ini ke dalam bahasa Inggeris, Dr. Solehah Ishak.  (Tales of Ogonshoto,  DBP 2016.)

Kata Dr. Solehah:  “This post-modern text, deeply structured within so many levels of playing, dancing and teasing with words must not only be carefully translated but the translation must retain the rhythmic movements and the musical flow of the author’s narrative. And what a narrative it is! For me Naratif Ogonshoto exemplifies Anwar Ridhwan at his best in terms of stories or tales told, and in terms of his craftsmanship.” (hal.vii, Translator’s Note.)

Bagaimana Dr. Solehah boleh sampai kepada kesimpulan ini hanya boleh difahami jika kita melihatnya dari perspektif sastera hogwash yang saya telah sebut berkali-kali dalam blog ini.  Konsep sastera hogwash ini penting kerana karya jenis ini banyak sekali terdapat dalam kritikan sastera atau tulisan akademik dalam sastera Melayu.  Jika kita membaca yang asal dan terjemahan Inggeris, Naratif Ogonshoto tetap muncul sebagai sebuah karya picisan, yang secara khusus termasuk dalam kategori sastera hogwash.  Membaca sebagai seorang penulis novel dan penulis cerita pendek, dan sebagai seorang pengkritik sastera yang mencetuskan Gagasan Persuratan Baru dan konsep pandirisme dalam sastera, kesimpulan saya bahawa novel agung ini adalah sebuah novel picisan tetap utuh, kerana didasarkan kepada ukuran atau standard tertentu yang boleh diuji kesahihannya. Dr. Solehah  Ishak tidak memperlihatkan apa-apa ukuran yang dipakainya, hanya pandangan peribadi beliau sendiri yang tidak dapat dijadikan standard atau ukuran dalam bidang akademik.  Untuk meletakkan novel agung ini sebagai post-modern text  pun sudah membuktikan kesilapan besar Dr. Solehah yang membatalkan semua pujiannya, kerana konsep postmodernism sendiri menjadi masalah besar dalam pemikiran sastera Barat sekali pun. Postmodernism adalah gerakan nihilisme yang menolak kebenaran tetapi mengaku merekalah yang benar!  

Saya ingin mengutip kesimpulan seorang profesor falsafah yang menulis Explaining Postmodernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to Foucault (2004), pendek saja, seperti berikut: “Postmodernism is born of the marriage of Left politics and skeptical epistemology. …  Post modernism is a response to the crisis of faith of the academic far Left. Its epistemology justifies the leap of faith necessary to continue believing in socialism, and that same epistemology justifies using language not as a vehicle for seeing truth but as a rhetorical weapon in the continuing battle against capitalism.” (hal 90-91). 

Maklumat yang lengkap mengenai postmodernism boleh didapati dalam The Icon Critical Dictionary of Postmodern Thought, ed. Stuart Sim  (Icon Books Ltd, 1998).

Postmodernism melahirkan manusia yang mengalami penyakit jiwa yang dipanggil schizophrenia  yang diberi definisi oleh James Drever dalam bukunya A Dictionary of Psychology seperti ini: “a type of mental disorder, inclusive of what was formerly called dementia praecox, characterized by dissociation, particularly between the intellectual processes and the affective, the latter also to a great extent disorganized, with many varieties.” 

Siapa yang mengalami mental disorder ini?  Watak-watak dalam novel agung itu atau pengarangnya sendiri, atau kedua-duanya? Saya lebih cenderung untuk mengatakan kedua-duanya sekali, kerana ini ada kaitannya dengan Marquis de Sade. Sejauh mana Anwar Ridhwan terpengaruh dengan pemikiran tokoh besar Perancis ini? Saya kira sangat besar, jika kita lihat bagaimana dia membina watak novel agungnya itu. Saya telah menyebut perkara ini dalam blog ini, tetapi ketika itu tidak menyebut  nama Marquis de Sade. Keseluruhan novel ini mengenai sadisme, yang dijadikan begitu sensasi oleh Anwar Ridhwan untuk kononnya mencari kelainan.  Beliau memang mendapat kelainan itu, yang tidak disedari sama sekali oleh Dr. Solehah Ishak  dalam pendahuluannya.  Saya tidak perlu memberi contoh, kerana seluruh novel ini kaya dengan unsur sensasi dan sadisme. Tetapi sekadar menyebut dua episod, cuba anda lihat episod atau bab 5 tentang Presiden menembak anak angkatnya dalam sejenis “permainan” yang aneh, yang seratus persen bersifat sadis. Lihat pula bab 7 apabila gadis yang lemah lembut itu memuaskan nafsu berahinya dengan pemuda yang telah mati tetapi zakarnya masih keras kerana dia mati ketika menunggu gadis itu datang untuk bersetubuh dengannya. Setelah memuaskan nafsunya, gadis itu memotong zakar itu lalu melemparkannya kepada burung hering yang sentiasa mengikutnya untuk mendapatkan habuannya! Itulah caranya Anwar Ridhwan membina perwatakan para watak novelnya. Tidak hairanlah jika semua kejadian itu berlaku dalam lamunan seorang gila yang bernama Noor, yang berasal dari Sungai Besar, Kuala Selangor… Inilah jenis pengajaran yang diberikan kepada para pelajar melalui novel agung ini.

Dalam usaha saya memahami mengapa Anwar Ridhwan menulis novelnya yang tepu dengan perilaku sadis, saya tidak ragu untuk membuat kesimpulan bahawa Anwar Ridhwan terpengaruh dengan perilaku dan ajaran Marquis de Sade, seorang intelektual Perancis yang hebat.  Novel Anwar Ridhwan ini penuh dengan sifat sadis itu. Mengapa dia memilih aspek itu? Kerana dia ingin mencari kelainan, sensasi dan sesuatu yang mengejutkan. Mengapa aspek ini tidak pernah ditimbulkan oleh sarjana dan sasterawan? Dua perkara: mereka tidak mahu menjatuhkan maruah seorang sasterawan negara sebagai seorang tokoh yang pervert… (sebenarnya saya telah menyebut perkara ini dalam satu entri).  Kedua, mereka tidak tahu dan tidak sedar mungkin kerana mereka tidak pernah mendengar nama Marquis de Sade yang dikagumi Anwar Ridhwan itu.  Saya mula-mula membangkitkan perkara ini dalam tulisan saya sendiri, dalam percubaan saya untuk memahami perilaku sasterawan negara yang bagi saya amat weird. Sekarang saya cabar sesiapa juga menolak pandangan ini berasaskan pembacaan mereka ke atas Naratif Ogonshoto yang penuh dengan sadisme dan kelakuan yang weird  dan pervert itu.     Semua karya beliau terdapat unsur weird dan pervert itu, yang sensasi dan sadis.

Novel agung Anwar Ridhwan ini adalah sebuah novel nihilisme, yang para wataknya adalah golongan anarkis yang tidak bermoral malah menjadikan moral sebagai mainan para watak pentingnya. Bab 7, “Hering”/Vulture adalah bab yang menjadi nadi dan jantung karya agung ini. Sekiranya kita gunakan pandangan Dr.  Solehah kita akan dapati inilah bab yang paling kotor dan tidak bermoral, atau lebih tepat yang mengajarkan moral pascamodernisme yang ninilistik yang tidak beragama dan menolak kebenaran.  Mungkin kerana menyedari hakikat ini maka para pegawai Kementerian Pelajaran membuang bab ini dalam naskhah pelajar, padahal tidak perlu.  Sepatutnya para pelajar diperkenalkan kepada realiti kepalsuan moral yang menjadi tema novel ini. Tidak bolehkah diedit seperti bab-bab lain? Bagaimana pun, pembuangan ini membuktikan tanpa ragu lagi bahawa kehadiran bab yang menjadi jantung dan nadi karya picisan ini dianggap boleh merosakkan moral para pelajar; dengan itu membuktikan penilaian saya bahawa inilah karya picisan adalah tepat.  Ini tidak bererti Anwar Ridhwan bukan seorang pengarang yang hebat. Kehebatan beliau,  menurut Dr. Solehah, “Anwar is the master pelipur lara (raconteur) who will regale his readers with such wondrous tales.”  Aneh juga bagaimana beliau boleh sependapat dengan saya yang menulis “Keunggulan Yang Cacat” (entri bertarikh 28/10/2014). Di situ memang saya menekankan aspek Anwar Ridhwan sebagai seorang penglipur lara, bukan seorang pemikir yang handal.  Dari segi teknik pun beliau tidak memberikan apa-apa yang baru, kecuali meniru atau memindahkan teknik yang lama dipakai di Barat, misalnya realisme magis.  Keistimewaan Anwar Ridhwan ialah beliau bukan istimewa tetapi diistimewakan oleh para sarjana dan pengkritik sastera yang menggunakan kaedah hogwash dalam membuat penilaian mereka.  Bagaimana pun, bagi saya yang istimewa ialah bagaimana beliau boleh memikat para sarjana dan pengkritik sastera untuk menyanjung beliau begitu hebat. Saya kira beliau ada ilmu guna-guna sebagai seorang penglipur lara yang diistimewakan, meskipun karya beliau picisan.  Saya tidak pasti sama ada Dr. Solehah perasan atau tidak, bahawa Naratif Ogonshoto ialah sebuah kisah seorang pengelamun yang tidak siuman, bernama Noor, berasal dari Sungai Besar (disebut Kali Besar dalam teks), Kuala Selangor, tempat lahir dan membesar Anwar Ridhwan sendiri. Ini yang paling menarik bagi saya, satu misteri yang telah memukau para sarjana dan pengkritik sastera menjadi bodoh sehingga sanggup memberi pujian tertinggi kepada sebuah karya picisan seorang pengelamun!

Apakah pilihan yang ada kepada para sarjana, termasuk Dr. Solehah untuk menjadi cerdik dan benar-benar mempunyai kualiti akademik yang tinggi dengan memberi analisis yang benar-benar objektif? Bagi saya sangat mudah, iaitu dengan membuat perbandingan kritis sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu, dengan novel lamunan seorang watak yang tidak siuman bernama Noor,  yang bercerita dalam Naratif Ogonshoto. Saya jamin tiada siapa pun dari sarjana  sastera hogwash yang berani membuat perbandingan itu, kerana mereka sendiri tidak akan terdaya menggali pemikiran yang agak rumit dalam novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu. Standard yang ada pada mereka hanya setakat membicarakan lamunan Encik Noor (Noor-san bahasa Jepunnya) dari Sungai Besar.

Kesimpulan Yang Mencabar Para Guru Sastera

Kerana entri kali ini ditujukan kepada para guru sastera yang akan mengajar Naratif Ogonshoto, yang juga ditujukan kepada para pegawai Kementerian Pelajaran yang memilih novel picisan ini untuk dijadikan buku teks, saya fikir ada baiknya jika para pelajar kita diberi kesempatan untuk berfikir setaraf dengan kemampuan mereka sebagai pelajar, dengan memberi mereka peluang untuk memahami pendekatan yang akan membolehkan mereka menjadi cerdik apabila membaca cereka, yang hanya boleh diberikan oleh para guru sastera yang sudah pernah mendengar Gagasan Persuratan Baru untuk menekuni pendekatan itu dengan matlamat untuk membantu para pelajar berfikir secara kritis apabila membaca Naratif Ogonshoto yang telah dipermudahkan.  Cadangan ini adalah yang paling mudah yang terfikir oleh saya pada waktu ini, supaya para pelajar tidak membuang masa membaca dan membincangkan sebuah karya picisan menggunakan kaedah yang sudah menjadi klise yang kini masih digunakan dalam pelajaran sastera. Yang kita perlukan dalam menghadapi masalah ini ialah kejujuran intelektual dan kejujuran moral untuk memberikan yang terbaik kepada para pelajar. Terutama kepada para guru, saya harap anda berusaha supaya anda  jadilah seperti guru Polan Cupan dalam kisah “Rumah Impian Polan Cupan” (Balai Maqamat, hal. 105 dan seterusnya.)   Dalam cerita itu, guru Polan Cupan dapat mengesan kepintaran muridnya, dan tidak ragu-ragu mengakuinya sebagai seorang genius. Dengan itu dengan ikhlas dan rendah hati sebagai seorang guru yang jujur, dia berusaha mendapatkan tempat yang terbaik untuk Polan Cupan meneruskan pelajarannya. Itulah guru contoh yang terbaik, yang saya harap juga terdapat di kalangan guru sastera.  Mungkin ada di antara murid-murid anda benar-benar pintar. Bantu mereka sehingga mereka berjaya menyerlahkan kepintaran mereka. 

Sebuah lagi cerita pendek saya yang terkenal, juga mengenai seorang guru, Cikgu Mansur, yang dilontar ke ulu Kelantan, menjadikan ulu itu tempat murid-muridnya berbahas, berlakon, bersyarah untuk mencergaskan otaknya. Dia membawa murid-muridnya keluar bilik darjah, untuk melihat pokok, daun, awan, binatang yang dapat dilihat mereka, kemudian di dalam bilik darjah mereka menulis satu muka surat, membacakannya kepada kelas, dan guru meminta murid-murid lain memberi pandangan atau kritikan. Dengan berbuat begitu, murid ulu yang pendiam, menjadi kumpulan yang aktif bercakap mengenai perkara yang baik-baik. Itulah caranya Cikgu Mansur mendidik muridnya supaya menjadi pintar. Bacalah “Angin Dari Gunung”, yang tidak syak lagi sebuah masterpiece dalam genrenya.  Seorang kawan saya yang mengajar di Sekolah Menengah, menjadikan metode Cikgu Mansur amalannya. Dengan bangga dia memberitahu saya, dua tahun kemudian, untuk pertama kalinya murid sekolah itu ada yang mendapat gred A dalam bahasa Melayu dan sastera.  Kalau anda, sebagai guru, tidak terlalu kedekut untuk bermurah hati membaca Gagasan Persuratan Baru, saya boleh jamin para pelajar anda akan menjadi pintar dan seronok belajar sastera!  Ilmu tidak pernah menghampakan sesiapa yang mencarinya dan menggunakannya.  Terima kasih.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27/8/2017.

No comments:

Post a Comment