Monday, August 21, 2017

FALSAFAH LEMBU KENYANG DALAM KEGIATAN SASTERA

Dalam budaya Kelantan, terdapat satu ungkapan yang amat popular, yang dari segi psikologi menggambarkan dengan indah sekali sejenis kelakuan yang bersifat kekucingan. Ungkapan itu ialah “lembu kenyang”. Saya diberitahu satu kisah lucu akan kehebatan orang bandar yang menjadi sarjana, yang suka daging lebu dan menjadikan sambal daging kegemarannya, tetapi tidak pernah tengok lembu yang sebenarnya, apatah lagi menyentuhnya. Dia suka kurban tetapi tak pernah ada kesempatan untuk ikut sama menyaksikan penyembelihan lembu. Apa reaksinya jika diucapkan ungkapan “lembu kenyang” kepadanya? Tentulah dia tidak sedar temannya yang mengucapkan itu mestilah dari Kelantan dan sedang menyindirnya. Kalau dia tahu, dia tentu tersinggung, kalau pun tidak marah! Pernahkah anda lihat lembu marah? Lembu jantan memang bengis, sebab itu S.Othman Kelantan mengabadikan kebengisan lembu jantan dan jura pelaga lembu dalam novelnya yang terkenal, Juara. Saya tidak pasti sama ada masih ada orang yang membaca novel ini; saya sendiri membaca beberapa muka surat, kurang dari dua muka surat; walaupun saya sering membaca Hikayat Singa Dengan Lembu (Pustaka Antara, 1966) kerana hikayat itu cukup hebat dengan kebijaksanaan dan unsur humornya, yang tidak terdapat dalam Juara. Jangan salah faham; lembu tidak tahu berjenaka, pengaranglah yang melahirkan jenaka tentang lembu. Sila baca cerita yang menarik, “Lembu Masuk Universiti” yang terdapat dalam Pujangga Melayu. Di dalam Balai Maqamat pula, terdapat satu kisah, “Kampung Bahasa Inggeris”. Seronok juga kisahnya, oleh itu kalau mahu tahu bacalah sendiri. Kalau anda tidak tertawa melihat kelucuan lembu di Kampung Bahasa Inggeris itu, anda menghadapi sedikit masalah psikologi yang hingga kini belum lagi diberi nama atau gelaran yang tepat. Mungkin anda mempunyai idea untuk membantu saya memberi nama kepada masalah psikologi lembu di Kampung Bahasa Inggeris itu. Maklumat ini hanya sekadar memberi sedikit gambaran mengenai “pemikiran” dalam karya kreatif. Lembu memang tidak boleh berfikir; tetapi pengarang boleh. Pembaca? Saya yakin semua pembaca karya saya boleh berfikir kerana dalam setiap karya kreatif yang saya tulis, unsur pendidikan estetika itu dimasukkan kerana betapa lucu sekali pun karya itu, maknanya sangat serius. Inilah yang anda dapat dalam mathnawi Jalaluddin Rumi, yang sering saya kutip dalam tulisan saya. Humor adalah pakaian semula jadi para genius. Kita tidak dapat unsur humor ini dalam karya para sasterawan negara, walaupun mereka semuanya genius menurut para sarjana sastera dan Panel Anugerah Sastera Negara. Mereka sendiri, para sasterawan negara, mengaku mereka adalah kumpulan genius yang istimewa, dan salah seorang daripada mereka telah menghasilkan novel paling agung dalam sastera Melayu dan isinya mempunyai “nilai kesejagatan, oleh itu kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia”. Mana ada novel sehebat Naratif Ogonshoto! (ini kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.) Satu hari nanti Insha Allah saya akan menulis tentang unsur genius ini di kalangan para genius.

Mengapa konsep lembu kenyang penting dalam kegiatan sastera?  Menurut para sasterawan dan sarjana (ciritan), sastera Melayu sudah sampai ke satu peringkat yang amat membanggakan dengan lahirnya 13 orang sasterawan negara, yang menjadi mercu tanda pencapaian kreatif dalam masyarakat Melayu, yang telah melantun bahasa Melayu yang paling indah dan paling sempurna isinya dari segi pemikiran.  Dengan kejayaan ini, buat apa lagi perubahan? Maka lahirlah sikap lembu kenyang dalam kegiatan sastera apabila semua sasterawan dan sarjana (ciritan) menumpukan perhatian mereka kepada Mutual Admiration Club dengan memperkukuh kedudukan mereka di kincir air seperti yang dilakukan keldai yang ditutup matanya untuk berpusing-pusing dengan bangga mengelilingi kincir air.  Inilah yang anda lihat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa  (ITBM 2014).  Kalau betul sangkaan para sasterawan dan sarjana ini, maka sudah tiba waktunya kita menulis sejarah kejayaan para sasterawan ini, satu kajian mendalam dari segi pemikiran para sasterawan negara dan perkembangan teknik baru dalam penulisan kreatif di Malaysia.  Tidak adakah sarjana ulung kita yang berupaya mengerjakan projek penting ini? Dari segi bahan dan idea, tidak sukar untuk mendapatnya kerana sejak tahun 2010 blog ini telah memberikan berbagai-bagai pandangan kritis tentang sastera Melayu yang boleh dijadikan bahan kritikan dan sanggahan. Satu perkara yang kita mahu tahu dengan pasti, adakah kita telah melepasi kesimpulan 1972, atau masih belum berubah?  Kita tidak mungkin membuktikan kesimpulan 1972 itu salah dengan sikap lembu kenyang.

Kita juga mahukan kepastian secara ilmiah benarkah Naratif Ogonshoto itu sebuah karya paling agung dalam sastera Melayu? Kepastian itu tidak ada, kerana yang kita dapat hanya andaian bombastik yang mengarut, seperti yang dilontarkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan lain-lain penulis yang menulis kertas kerja dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.  Terdapat percanggahan fakta dan percanggahan tafsiran serta percanggahan dalam penilaian yang memerlukan analisis, sekiranya kita betul-betul percaya para sasterawan negara ini lebih unggul daripada para ulama dan cendekiawan kita sehingga mereka perlu diberikan gelaran istimewa itu dan gelaran itu mesti disebut setiap kali kita menyebut nama mereka, seolah-olah melebihi kedudukan para Brahmin. Sukar juga untuk menerima bahawa para sasterawan negara ini lebih tinggi kedudukannya daripada para ulama dan para Brahmin. Oleh itu, kita perlukan penjelasan secara akademik.  Tidak ada gunanya kita bersikap lembu kenyang hanya untuk membohongi masyarakat dan membohongi para pelajar yang membaca karya para Brahmin sastera ini.

Pendidikan kesusasteraan di Malaysia tidak saja sangat lemah dan kacau, tetapi juga mengekang para pelajar dari berfikir sehingga berupaya memberi pendapat yang kritis.  Kementerian Pelajaran dikatakan memperkenalkan kaedah berfikir aras tinggi, tetapi konsep ilmunya tidak jelas, malah tidak diberi penekanan yang sewajarnya. Oleh itu, pelajar tidak bebas menggunakan maklumat baru yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru (PB) yang memberi kaedah membaca, menganalisis dan menilai karya sastera secara sistematik.  Sikap lembu kenyang para pegawai Kementerian Pelajaran menjadi penghalang kepada perubahan dalam mempelajari sastera; malah mereka hanya menerima teori Barat secara melulu, tidak ada kepercayaan kepada kaedah Malaysia sendiri malah menentang sebarang perubahan yang akan membolehkan para pelajar berfikir.

Sudah jelas bahawa sikap lembu kenyang ini membantut perkembangan intelektual dalam masyarakat, terutama sekali di kalangan pelajar yang berminat dalam kesusasteraan.  Dosa intelektual ini ditanggung bersama oleh para aktivis sastera yang memegang jawatan dalam badan-badan penulis peringkat negeri dan daerah, terutama sekali peringkat kebangsaan seperti GAPENA dan PENA.  Malah salah satu faktor yang menggalakkan sikap lembu kenyang ini ialah kemunculan para sasterawan negara. Selain mereka sendiri bersikap lembu kenyang, para penyokong dan pengikut mereka juga bersikap lembu kenyang dengan menjadikan para sasterawan negara ini Brahmin sastera yang tidak boleh dikritik.  Semua gejala tidak sihat ini boleh dilihat dengan jelas dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang telah saya bincang dalam beberapa entri dalam blog ini.  Seorang tokoh besar dalam sastera Melayu yang diiktiraf seperti itu dalam sastera Melayu oleh para pengikutnya ialah Mana Si Kana yang menerbitkan sebuah buku, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan.  Tokoh besar golongan lembu kenyang ini cukup berjaya dalam usahanya mengangkat para Brahmin sastera ke mercu pandirisme. Saya telah mengumpul tulisan mengenai perkara dalam satu dokumen berjudul, “Teksdealisme Lambang Pandirisme Dalam Kritikan Sastera Melayu”.  Dokumen 92 halaman ini memuatkan beberapa entri penting, antaranya yang bertarikh  22/5/2015, dengan catatan yang berbunyi, “Tulisan ini berupa pendahuluan kepada kumpulan kritikan saya terhadap teksdealisme Mana Sikana yang telah menghanyutkan kritikan sastera Melayu dalam lautan pandirisme.” Entri lain yang mungkin menarik minat anda bertarikh, 19/3/2015; 19/4/2015; 26/4/2015; 1 Jun 2015 yang tajuknya menjadi tajuk dokumen ini.  Saya perlu menyebut satu perkara yang cukup ironik mengenai kumpulan tulisan ini. Kita melihat betapa bisingnya kumpulan lembu kenyang ini yang tidak mahu diganggu ketika mereka sedang mengunyah pandirisme dalam pesta  diskusi mengarut di kalangan mereka.  Kerana sudah terdesak oleh gangguan ketika mereka mengunyah pandirisme di kalangan mereka, seorang di antara mereka terpaksa memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja yang menjadi lambang pandirisme dalam Sastera Teras Negara Bangsa. 

Pendidikan kesusasteraan di Malaysia perlu diperkukuh dengan memperkenalkan kaedah yang mengarah kepada kesuburan intelektual dengan memberi penekanan kepada konsep ilmu yang benar seperti yang diajarkan dalam Islam. Ini tidak bermakna kita meninggalkan terus kaedah Barat yang nampaknya sudah menjadi darah daging dalam sistem pendidikan kita; tetapi penerimaan kita haruslah dalam konteks konsep ilmu dari perspektif Islam. Jika aspek ini tidak diberi penekanan sewajarnya, maka para pelajar akan terdedah kepada kekeliruan dalam konsep ilmu yang mendorong mereka membuat kesilapan untuk menerima karya picisan sebagai karya unggul, seperti yang terjadi kepada Naratif Ogonshoto.  Kesilapan besar para pegawai Kementerian Pelajaran terbentang jelas ketika memperkenalkan novel ini. Para pegawai ini jelaslah tidak tahu menahu tentang ilmu, apatah lagi tentang konsep ilmu yang benar dan tentang epistemologi.  Perhatikan blurb edisi murid ini: “Novel ini merakamkan peristiwa menggunakan binaan naratif yang kompleks. Kepekaan intelektual penulis yang pelbagai dimensi ketika mengupas permasalahan masyarakat dunia semasa membuatkan novel ini sangat menarik untuk dibaca. Ceritanya sangat unik, kreatif dan imaginatif, mempunyai unsur humor, serta padat dengan unsur sindiran sosial dan politik. Novel ini boleh dibaca secara selapis tetapi lebih indah jika murid dapat meneliti perkara tersirat menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi.” Begitu rimbun dengan retorik peragaan dan pujian entah apa-apa, tetapi kosong dari makna dan realiti novel itu sendiri, jika dinilai dari perspektif teori Barat sekali pun, apatah lagi jika dinilai dari perspektif PB. Komen mengarut seumpama ini samalah mengarutnya dengan novel itu sendiri. Bagaimana pelajar akan menjadi cerdik dan pintar berfikir, jika mereka didedahkan kepada karya picisan ini? Mereka hanya boleh diselamatkan, dan boleh diajar menjadi pintar, jika mereka diajar menggunakan PB dalam teknik membaca dan menganalisis karya kreatif dan menilai keunggulan pemikiran dalam penulisan kreatif dengan menggunakan kaedah PB.  Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani telah membuktikan kesilapan para sarjana (yang ciritan) ketika membaca dan menilai Melati Kota Bharu oleh A. Kadir Adabi.  (Lihat tulisan beliau dalam, Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, UKM 2010; disiarkan semula dalam Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan, UKM 2016. Tajuk makalah: “Ilmu dan Penjanaan Ilmu  dalam Novel Melati Kota Bharu karya A. Kadir Adabi: Satu Bacaan Intelektual”.)  Bagaimana agaknya Naratif Ogonshoto sekiranya diberi  bacaan intelektual dari perspektif PB? Kalau novel ini sudah diangkat ke peringkat novel terbaik seluruh alam, berilah peluang untuk dibaca secara intelektual dari perspektif PB.  Lebih baik lagi, dan tentunya lebih hebat, jika dibaca bersama Pujangga Melayu. Any takers?

Jangan ajar pelajar kita terus menjadi bodoh, ketika mereka sudah boleh diajar menjadi cerdik melalui pendekatan PB. Apa masalahnya? Penjelasannya dalam catatan di bawah.

Catatan: Saya menggunakan perkataan “falsafah” dalam tajuk entri ini, tetapi di dalam teks saya menggunakan perkataan “sikap”.  Adakah perilaku lembu kenyang ini satu falsafah hidup atau falsafah intelektual, atau hanya sejenis sikap hidup yang cenderung kepada perbuatan bermalas-malasan sebagai manifestasi dari sifat kekucingan golongan ini. Adakah anda pasti anda tahu makna “kekucingan”?  Sesiapa yang pernah dengar perkataan ini digunakan di mana-mana bolehlah beritahu kami. Penting, untuk membantu para penyelenggara Kamus Dewan.  Ungkapan “lembu kenyang” wajar dimasukkan dalam Kamus Dewan, kalau belum lagi. Kini ungkapan ini menjadi amat penting setelah digunakan dalam konteks perilaku sasterawan negara dan para aktivis sastera. Dulu Kamus Dewan (edisi ke-3) pernah memasukkan perkataan naif. Dalam edisi baru masih ada, tetapi nama Mohd. Affandi Hassan dihapuskan. Sungguh naif kelakuan anda!  Ini pun sejenis manifestasi “lembu kenyang” juga. Bahasa Melayu kaya dengan perkara-perkara begini; dan kita juga kaya dengan penulis atau sarjana yang naif.  Walaupun DBP menghapuskan nama Mohd. Affandi Hassan dalam kamusnya, kedudukan Mohd. Affandi Hassan tetap cemerlang dalam perkembangan intelektual dan perkembangan ilmu di Malaysia.  Wahh, sampai sejauh itu orang dengkikan tokoh yang seorang ini!  Beri gelaran sasterawan negara kepada beliau, nanti apa juga dan dari mana juga yang keluar dari beliau pasti akan mendapat perhatian. Sungguh naif… (sekiranya anda sedar maksud komen ini!). Apakah yang menghalang para sarjana menjadi lebih cerdik dan betul-betul akademik dalam tulisan mereka, walaupun mereka terpaksa memanjat bumbung kilang berkarat untuk dapat menulis dengan kualiti akademik yang tinggi. Selamatkan pelajar kita daripada terus tertipu ketika mereka sudah dapat dibimbing menjadi cerdik dan tahu berfikir.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21 Ogos 2017.

No comments:

Post a Comment