Tuesday, June 28, 2011

GAGASAN PERSURATAN BARU SEBAGAI KAYU UKUR DALAM PENILAIAN KARYA KREATIF DAN ANALISIS AKADEMIK (Satu Kritikan Buku)




            Usaha Dr. Zawiah Yahya menulis dan menerbitkan buku terbaru beliau, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making (Penerbit UKM, 2010) adalah suatu usaha yang terpuji dan wajar dialu-alukan. Usaha ini penting kerana dengan terbitnya buku ini, percubaan beberapa orang sarjana Melayu menjana “teori” sastera diperkenalkan kepada dunia antarabangsa. Kedua, buku ini juga boleh dianggap sebagai pengiktirafan kepada usaha para sarjana itu, untuk dinilai dengan kritis oleh sarjana dan ahli akademik yang mungkin akan menggunakan “teori” (atau lebih tepat, pendekatan) yang diperkenalkan dalam buku ini dalam kerja-kerja akademik mereka. Meskipun demikian, ada dua persoalan penting yang perlu dibahaskan, jika dapat dibincang secara akademik untuk menjelaskan beberapa perkara yang nampaknya masih mengelirukan, yang memerlukan penjelasan atau analisis selanjutnya supaya kekeliruan itu tidak berlanjutan dan para mahasiswa atau pengguna buku ini mendapat yang terbaik daripadanya. Dua persoalan itu ialah takrif “teori”, dan sehubungan dengan itu, persoalan kedua ialah kedudukan “teori sastera” itu.

            Apakah yang ingin dicapai dan ditunjukkan oleh sebuah “teori”? Untuk menjawab soalan ini, kita memerlukan penjelasan tentang takrif teori, ciri-ciri sebuah teori, dan apa yang boleh dilakukan oleh sebuah teori. Adakah teori sama dengan pendekatan? Jika tidak sama, manakah yang lebih sesuai untuk digunakan apabila kita membicarakankan sesebuah karya kreatif? Pada waktu mana kita perlu menggunakan teori, dan ketika mana pula kita perlu menggunakan pendekatan?

            Teori pada asasnya tidak sama dengan pendekatan. Sebuah teori harus berupaya menjawab beberapa persoalan yang menjadi masalah dalam sesuatu tindakan. Misalnya, apabila Panel Anugerah Sastera Negara menilai karya para sasterawan negara, adakah mereka menggunakan teori sastera atau hanya pendekatan tertentu yang mungkin mereka pilih dengan sedar, atau digunakan secara campur-aduk (eclectic) mengikut pilihan mereka sesuai dengan karya yang mereka nilai. Sebenarnya, perbezaan ini tidak jelas dalam laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, malah lebih selamat untuk kita membuat kesimpulan bahawa “pendekatan” mereka diasaskan sepenuhnya pada cita rasa kumpulan anggota panel yang mendapat pengetahuan tentang sastera seratus peratus daripada sumber Barat. Mereka bergantung pada konsep realisme yang difaham dan dipakai di Barat untuk menentukan “bernilai” tidaknya karya yang mereka nilai. Kaedah ini digunakan dalam semua laporan yang mereka hasilkan selama 30 tahun labih ini. Untuk mendapat gambaran terperinci mengenai perkara ini, sila rujuk analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP, 2009). Lihat juga tulisan saya sendiri dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ATMA, UKM 2008) dan bab 4 dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (ATMA, UKM 2010).  Panel Anugerah Sastera Negara melihat, menilai, dan menganalisis karya para sasterawan negara berasaskan sepenuhnya pada cara, nilai, dan ukuran yang dipakai dalam teori dan pendekatan  Barat. Hal ini terjadi kerana mereka menerima hakikat bahawa karya Melayu dimodelkan sepenuhnya daripada acuan yang digunakan dalam kesusasteraan Barat. Malah tanpa Barat, mereka berpendapat tidak mungkin wujud sastera Melayu moden. Para sasterawan negara ini dipilih dan diiktiraf sebagai peniru karya Barat dan pengamal gigih segala teknik penulisan yang dipakai dalam sastera Barat. Tidak ada yang asli dalam karya para sasterawan negara ini. Itulah pandangan dan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang kini telah dijadikan aliran perdana, yakni aliran yang mesti dikuti sekiranya karya seseorang penulis ingin diiktiraf. Jikalau kita teliti cara Panel Anugerah Sastera Negara menentukan ukuran yang mereka gunakan, kita akan dapati mereka tidak memakai mana-mana teori sastera, sebaliknya mereka menggunakan “teori” mereka sendiri yang lebih tepat dinamakan “teori common-sense” (istilah “teori” di sini dipakai dalam konteks common-sense juga).  Inilah kelebihan Panel Anugerah Sastera Negara yang terserlah dengan jelas dalam laporan mereka, yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekalipun yang membaca laporan itu dengan kritis.

            Pandangan, sikap dan kecenderungan Panel Anugerah Sastera Negara ini terbayang  jelas dalam buku Dr. Zawiah Yahya ini, yang memang beberapa kali (terakhir 2009) menjadi ahli panel.  Oleh hal yang demikian, beliau tidak berasa perlu memberi penjelasan tentang maksud, makna dan tujuan “teori” sastera, ciri-cirinya dan prinsip-prisip yang digunakan dalam teori itu. Malah bagi beliau tidak akan muncul “teori” atau pendekatan yang berasal daripada pemikiran sarjana tempatan tanpa peniruan dari Barat, hatta untuk membicarakan masalah “sastera Islam” pun perlu disandarkan kepada pemikiran Barat, dengan itu hasilnya mesti relevan dalam konteks pemikiran Barat tadi. Jika terlalu asing, maka timbul masalah kejanggalan “teori” tadi kerana bertentangan dengan nilai-nilai Barat yang menjadi sumbernya. Oleh itu, cara yang baik dan sesuai ialah dengan menggunakan “teori” dan pendekatan Barat untuk membicarakan sastera Melayu, moden atau tradisional. Sebenarnya inilah juga pandangan panel yang ditubuhkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (seterusnya DBP) untuk menilai buku-buku kritikan sastera Melayu. Misalnya, sebuah panel yang dipilih oleh DBP untuk memilih karya kritikan sangat tertarik dengan sebuah buku yang “memperlihatkan kesungguhan menerapkan teori-teori Barat secara kritis dalam kesusasteraan Melayu Tradisional” (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88). Berasaskan hujah itu, buku tersebut dipilih untuk memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan dalam bahagian kritikan.  Ketika membicarakan “teori” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Dr. Zawiah Yahya juga menegaskan bahawa pendekatan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh membawa beberapa “teori” Barat ke dalam “teorinya” untuk menilai kembali beberapa aspek sastera Melayu tradisional adalah baik, dengan itu secara tegas mengaitkan kesusasteraan Melayu dengan pemikiran Barat moden.

            Beliau  berpendapat, gagasan Persuratan Baru “menyisihkan” budaya Melayu dengan memberi penekanan berlebihan kepada  Islam, seolah-olah Melayu itu tidak pernah kenal budayanya dari sumber bukan Islam yang memang diwarisinya. Kritikan begini timbul kerana beliau tidak mengaitkan gagasan Persuratan Baru dengan epistemologi Islam, yang tidak langsung disebutnya, padahal itulah yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru. Ini terjadi, saya agak, kerana beliau ingin menekankan peri pentingnya pengaruh Barat dalam kehidupan moden, di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sekalipun. Tersirat di sini ialah keengganan beliau menerima epistemologi Islam sebagai asas dalam pemikiran sastera dan dalam pembentukan teori  persuratan Melayu. Jika itulah pilihan beliau, dan saya kira memang itulah pilihan beliau (yang juga menjadi pegangan Panel Anugerah Sastera Negara), maka adalah wajar jika beliau beranggapan gagasan Persuratan Baru agak janggal dalam konteks moden, kerana tidak menonjolkan aspirasi moden, tetapi terlalu menekankan aspek Islamnya. Walaupun pandangan begini sangat aneh dan tidak akademik, jika kita maksudkan akademik itu melihat keseluruhan tamadun Melayu dan Barat dalam konteks Islam, kerana Barat yang moden sendiri muncul setelah menerima ilmu-ilmu yang dikembangkan oleh para ulama, sarjana, dan lain-lain tokoh ilmu dalam Islam, seperti yang sudah diketahui umum bagi yang membaca sejarah tamadun dunia dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun Eropah/Barat.  Apa yang dibuat oleh  gagasan Persuratan Baru hanya meneruskan saja tradisi keilmuan itu, setelah begitu lama terputus dalam kesedaran ilmu para sarjana Islam sendiri.  Oleh itu kembali kepada Islam, kembali kepada taklif, salah satu prinsip pokok dalam gagasan Persuratan Baru, bukanlah mengasingkan diri dalam dunia moden, tetapi  menyedarkan kembali sikap kritis dan pemilih ahli-ahli ilmu Islam. Dalam hal ini, tidak ada penyesuaian, (seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang disenangi oleh Dr. Zawiah Yahya), tetapi penapisan kritis terhadap pemikiran Barat, seperti yang pernah dilakukan oleh para ilmuan Islam yang secara gigih membahaskan dan menghidupkan pemikiran ahli falsafah Yunani dalam konteks Islam dan berasaskan epistemologi Islam. Inilah yang perlu kita lakukan dalam Zaman Jahiliah Moden ini.  Kita harus mengheret keluar para sarjana Islam yang terjerumus ke dalam gaung Jahiliah Moden itu dengan memberikan kepada mereka alternatif berasaskan epistemologi Islam. Jika mereka masih menolak, maka itu bukan masalah gagasan Persuratan Baru, tetapi masalah mereka sendiri, yang secara teperinci  dihuraikan  dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam and Secularism (1978). Golongan yang kehilangan adab ini tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka berada dalam kekeliruan besar akibat keliru dalam konsep ilmu.  Mereka menjadikan kekeliruan itu sebagai asas untuk menilai pemikiran sarjana yang mereka tentang.  Kumpulan anti-ilmu ini mengaku mereka adalah anti-kolonial, tetapi pada waktu yang sama mereka mempertahankan segala pengaruh kolonial itu dengan alasan itulah asas kemodenan orang Melayu yang mesti dikekalkan.  Kontradiksi begini tidak timbul jika mereka tidak keliru dalam konsep ilmu.

Hanya Esei Biasa, Bukan Pendekatan Apatah Lagi “Teori”

            Berasaskan kekeliruan inilah maka mereka menerima esei-esei biasa, hasil penyelidikan yang tidak begitu mendalam, yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang dan lain-lain, sebagai pendekatan kritikan yang akan menjadi asas “teori” sastera Melayu. Esei-esei yang ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah tidak dapat dikategorikan sebagai pendekatan kritikan, apatah lagi sebuah “teori”. Esei-esei itu hanya sekadar menyenaraikan beberapa petua yang terdapat dalam sastera tradisional, atau beberapa pandangan umum tentang apa yang disebut sebagai sastera Islam, atau tentang “teks yang unggul” yang tidak pun memberikan ukuran/kriteria yang boleh digunakan untuk membezakan sebuah karya yang bermutu dengan yang tidak bermutu. Tidak satu pun di antara esei itu menyediakan sedikit gambaran, mungkin berupa ramalan, bahawa sekiranya petua mereka diikuti, maka persuratan Melayu akan maju  dan tidak lagi menjadi pengekor nilai-nilai Barat. Hanya gagasan Persuratan Baru yang boleh diterima sebagai satu pendekatan, yang akhirnya mungkin akan menjadi sebuah “teori”, kerana adanya ukuran yang jelas yang boleh menentukan nilai  persuratan yang akan lahir dalam Abad 21. Untuk melahirkan karya bercorak Islam yang bermutu, Takmilah akan menjadi beban yang tidak perlu kerana tidak mungkin terdapat sebuah pun karya sesempurna yang dimimpikan oleh Takmilah.  Sebuah karya tetap tidak sempurna, oleh itu adalah sia-sia untuk mencapai kesempurnaan yang tidak mungkin dicapai itu. Tetapi sebuah karya bercorak Islam, yang ditulis berasaskan prinsip-prinsip yang dikemukakan dalam gagasan Persuratan Baru, mempunyai kemungkinan besar untuk menjadi sebuah karya bermutu (bukan yang sempurna, seperti yang diminta oleh Takmilah), kerana diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Lagi pula yang dipentingkan  “bukan kesempurnaan” yang tidak boleh dicapai, tetapi karya yang benar-benar mendekati prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam worldview Islam. Persoalan ini telah dibincangkan degan mendalam dan jelas dalam tiga buah makalah yang diterbitkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam buku selenggaraan beliau, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Makalah oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Shahrizal Nasir, telah menghuraikan dengan jelas dan terperinci prinsip-prinsip “sastera Islam” yang boleh dipakai untuk menghasilkan karya yang bermutu, bukan yang “sempurna”, tetapi tepat dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam.  Makalah Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani pula telah membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa karya yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru telah pun ditulis dan diterbitkan dalam tahun 1939 lagi, iaitu novel Melati Kota Bharu oleh Abdul Kadir Adabi.  Hal ini terjadi kerana Abdul Kadir Adabi menulis dalam tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam.  Ini membuktikan bahawa kesedaran kepada hakikat ini telah lama wujud, dan bukan satu impian khayal seperti yang dianggap oleh sarjana Islam yang terputus dari tradisi persuratan Melayu yang berteraskan Islam itu.

            Apakah yang ingin dicapai oleh sebuah “teori” persuratan?  Pertama sekali, “teori” (lebih tepat pendekatan) tadi perlulah mengenal pasti masalah yang ingin diselesaikannya. Kedua, “teori” tadi cuba memberi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah itu. Ketiga, “teori” itu berupaya membuat ramalan apakah yang akan terjadi nanti jika “teori” itu dijadikan panduan. Keempat, analisis dan hujah yang digunakan berasaskan “teori” itu boleh diuji kebenarannya secara tepat, jitu dan objektif.  Keempat-empat syarat ini tidak wujud dalam esei Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Prof. Dr. Hashim Awang, Dr. Shafie Abu Bakar dan Dr. Rahman Hanafiah. Sebaliknya keempat-empat syarat itu menjadi prinsip gagasan Persuratan Baru. Satu huraian yang mendalam telah  diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERA beliau, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah telah menyerlahkan betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden, dipelopori oleh sasterawan Asas 50 dan diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Dengan munculnya  gagasan Persuratan Baru,  kedudukan itu dicabar dan Panel Anugerah Sastera Negara dikritik kerana gagal memberi arah yang betul dalam perkembangan kritikan sastera di Malaysia. Dengan memperkukuh pengaruh Barat dalam kritikan sastera, Panel Anugerah Sastera Negara telah menjadi satu badan yang amat negatif dan dilihat menentang sebarang usaha untuk mengembalikan peranan persuratan Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa. Sikap negatif ini menyerlahkan kedudukan dan fungsi Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu badan yang anti-ilmu dan terlalu pro-Barat.  

Bahagian II

            Pada umumnya ramai sarjana sastera, dan boleh dikatakan majoriti para sasterawan, tidak memberi perhatian sewajarnya kepada gagasan Persuratan Baru sebagai satu kaedah yang boleh dipakai dalam menilai karya kreatif atau menjadi panduan dalam menulis karya baru. Mereka perpendapat,  gagasan Persuratan Baru sukar difahami walaupun beberapa buah buku telah diterbitkan yang secara khusus membicarakannya.  Para sasterawan negara sendiri tidak mahu karya mereka dinilai berdasarkan gagasan Persuratan Baru, kerana menurut mereka karya mereka tidak ditulis mengikut acuan gagasan Persuratan Baru; tetapi mereka tidak membantah sekiranya karya mereka dinilai menurut teori sastera Barat dari pendekatan apa sekali pun (misalnya, dari pendekatan Kritikan Baru, dan lain-lain “teori” Barat) kerana menurut mereka teori sastera Barat sesuai dipakai untuk karya di mana-mana sekali pun kerana sifatnya yang “universal”, oleh itu teori-teori Barat ini paling sesuai dijadikan landasan untuk menganalisis dan menilai semua karya dari seluruh dunia,  termasuk karya Malaysia. Walaupun sikap ini bertentangan dengan pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menegaskan, antara lain, “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, ... Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri,” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14); namun pendapat itu bersifat peribadi, tidak dipedulikan oleh para sarjana dan orang yang berkata begitu pun tidak pernah menjelaskannya; oleh itu, dalam seminar pemikiran sastera Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang dianjurkan oleh DBP (tarikh 9-10 November 2010), semua karya beliau dinilai dengan menggunakan teori sastera Barat dan beliau tidak sedikit pun membantah. Para sarjana dan pengkritik sastera Malaysia, dengan sokongan dan gesaan para sasterawan sendiri, menegaskan bahawa para sasterawan negara mesti berada di luar gagasan Persuratan Baru kerana karya  mereka tidak boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam, sedangkan menurut pandangan mereka gagasan Persuratan Baru hanya sesuai dipakai untuk menilai karya-karya baru yang boleh digolongkan sebagai karya bercorak Islam.  Tidak jelas bagaimana dengan tiba-tiba hujah begini boleh muncul dalam sastera Melayu, padahal sudah acap-kali disebut-sebut supaya para sasterawan dan sarjana sastera melakukan “anjakan paradigma” untuk memulakan dinamika baru dalam kesusasteraan Melayu, dengan itu pada waktu yang sama dibawa masuk sebanyak-banyaknya segala macam pendekatan dan teori sastera dari Barat untuk dipakai di Malaysia. Pembaca boleh melihat keseronokan baru ini dalam buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, berjudul Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera (2006), diselenggarakan oleh Mohamad Daud Mohamad dan Huszaidi Hussin. Apakah yang menyebabkan mereka mengecualikan gagasan Persuratan Baru daripada masuk ke dalam senarai keseronokan mereka?

            Pada andaian saya, jawapannya diberikan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya yang berpendapat begini (merujuk kepada karya persuratan, karya sastera, karya picisan/erotik/lucah): “The most appropriate and challenging but rewarding application of the PB approach will have to be on karya persuratan because it will address issues that are central to PB.  The second category  will be challenging only if there is enough content and form that it  shares with the first category to warrant a rigorous analysis and argument leading to the final judgement. The third category is a non-starter since it is impossible to analyse issues of interest to PB when they are not there in the first place. Obviously most of the works in the second category and all the works in the third category need alternative approaches that can equitably evaluate them within their own writing genre.” (Dr. Zawiah Yahya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, hal. 61).

            Sekiranya kesimpulan Dr. Zawiah Yahya betul dan boleh diterima dari segi akademik, bagaimanakah kita dapat menentukan sesuatu karya itu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan?  Tiga kategori itu ditentukan oleh gagasan Persuratan Baru, dengan itu ketiga-tiganya perlu dianalisis dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru.  Supaya perkara ini dapat dilihat dengan lebih jelas dan lebih mudah difahami, kita ambil contoh novel Salina oleh A. Samad Said.  Mengikut penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, novel ini bermutu tinggi kerana meniru novel Barat dan memakai idea dari Barat sepenuhnya, dan lain-lain ukuran yang disebut oleh Panel dalam laporan mereka. Kesimpulan ini diterima tanpa sebarang sanggahan, sehinggalah munculnya gagasan Persuratan Baru yang meletakkan novel ini dalam kategori ketiga, sebuah novel picisan. Beberapa huraian dan analisis oleh Prof Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani tentang Salina (antaranya yang termuat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan) cenderung untuk membuat kesimpulan bahawa Salina adalah sebuah novel picisan. Keputusan ini tidak mungkin tercapai tanpa analisis yang mendalam dengan menggunakan gagasan Persuratan Baru. Dengan itu kesimpulan Dr. Zawiah Yahya tertolak hampir secara mutlak; apatah lagi jika analisis Prof. Madya Dr. Zariat tentang novel Abdul Kadir Adabi dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan diambil-kira.  Di situ Dr. Mohd. Zariat menunjukkan dengan jelas dan meyakinkan bahawa bacaan sebelum ini oleh beberapa orang sarjana sastera tidak tepat kerana menggunakan pendekatan Barat yang menolak peranan ilmu dalam karya kreatif. Sebuah kes lain, iaitu analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir terhadap novel Dr. Fatimah Busu, Salam Maria,  menunjukkan dengan pasti dan amat meyakinkan bahawa karya Dr. Fatimah Busu itu adalah sebuah karya sastera yang biasa, tidak dapat dikategorikan sebagai karya persuratan yang mengutamakan ilmu yang benar. Tidak terdapat wacana bersifat ilmu dalam novel itu, kecuali penggembelingan cerita semata-mata, hatta ketika mengutip ayat-ayat Quran dan hadis pun novel ini hanya melakukannya dalam maksud untuk memperpanjangkan cerita, bukan untuk menyerlahkan ilmu. Tidak terdapat analisis yang berbentuk wacana, melainkan pembebelan cerita yang sengaja dipanjangkan untuk berpretensi mengemukakan wacana Islam berasaskan analisis keilmuan yang tidak terdapat, kecuali hanya tampalan ayat-ayat Quran dan hadis sekadar memberi  contoh bahawa itulah ciri-ciri Islamnya. Contoh-contoh yang disebutkan di sini memperlihatkan kekeliruan Dr. Zawiah Yahya dalam kesimpulannya.
            Antara tujuan dan matlamat penting gagasan Persuratan Baru ialah untuk menentukan dalam kategori mana sesebuah karya berada; dan ini tidak dapat ditentukan dengan memuaskan dan meyakinkan tanpa analisis dan penghujahan yang teliti. Seperti yang kita lihat dalam kasus novel Salina, yang pada mulanya dikategorikan sebagai karya besar oleh Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi ternyata palsu apabila dianalisis dan dihujahkan dari perspektif gagasan Persuratan Baru.  Dilihat dalam konteks ini, jelas sekali gagasan Persuratan Baru berguna besar untuk menentukan kedudukan sesebuah karya, sama ada sebuah karya persuratan, karya sastera, atau karya picisan.  Pembahagian ini penting untuk menentukan kualiti sesebuah karya secara tepat dan objektif, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah terhadap novel Salam Maria.  Sekiranya kita terima kesimpulan Dr. Zawiah Yahya bahawa ketegori kedua dan ketiga memerlukan pendekatan alternatif yang sesuai dengan genre masing-masing, maka kita akan terus berada di tahap lama, tidak dapat membezakan antara karya bermutu yang berteraskan ilmu yang benar dan mengutamakan wacana dengan karya sastera biasa dan karya picisan yang kini dipandang tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang tertulis dalam laporan mereka.  Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu.

            Pendekatan berasaskan pemikiran Barat yang bersifat liberal dan relatif yang diajukan dan dianjurkan oleh Dr. Zawiah Yahya nampaknya bertentangan dengan prinsip beliau sendiri, yang pernah mengucapkan, “[we need] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe”, yang jelas ingin melemparkan pendekatan demikian seluruhnya untuk digantikan dengan “the centrality of our own country and our own region as a base on which we stand in relation to the rest of the world.” Beliau juga berkata: “We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret”. (Kutipan ini disebut oleh Daniel L. Espiritu, seorang padri Filipina, dalam tulisannya, “Ethnohermeneutics or Oikohermeneutics? Questioning the Necessity of Caldwell’s Hermeneutics”, Journal of Asian Mission, 3/2 (2001), pp. 267-281, di halaman 271). Apakah sebenarnya maksud beliau dan pada kedudukan mana beliau berada? Pada faham saya, beliau sebenarnya, secara halus dan tersembunyi, menolak pendirian Islam yang diutarakan dalam gagasan Persuratan Baru. Saya tidak boleh berkata apa-apa jika itulah pilihan beliau; tetapi beliau tidak wajar lagi mempunyai pendirian setegas yang beliau nyatakan dalam kata-kata beliau di atas, jika ketegasan itu hanya berada dalam konteks kekeliruan secara berterusan tentang perkara-perkara yang ingin dinyahkannya itu.

            Tidak hanya Prof. Dr. Zawiah Yahya menghadapi kekeliruan begini. Dalam tahun 1994, ketika membaca (bukan menilai) buku saya Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, sekumpulan penilai yang diketuai oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, menggunakan ukuran “diplomasi” untuk membuat kesimpulan buku itu tidak bernilai. Bagaimana soal diplomasi ini boleh masuk dalam penilaian mereka hanya boleh difahami jika sikap negatif mereka terhadap ilmu dan kejujuran mereka sebagai penilai dijadikan pertimbangan. (Lihat Dewan Sastera, September 1994.) Para penilai itu terdiri daripada Haji Aziz Deraman (Ketua Pengarah DBP, sebagai pengerusi), Dr. Mohd. Yusof Hasan, Dr. Solehah Ishak, Dr. Shafie Abu Bakar, Dr. Othman Puteh, Dr. Sahlan Mohd. Saman, Prof Rahman Shaari, Kamaruzzaman Abdul Kadir, Dr. Mohd. Khalid Taib, Dr. Abdul Rahman Napiah, Abdullah Tahir.  Mereka  mengaku isi kandungan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid itu baik, tetapi ditulis tanpa diplomasi dalam tujuh baris pertama pendahuluan buku itu. Isi buku itu tidak disentuh langsung, hanya kerana tidak berdiplomasi dalam tujuh baris pertama Pendahuluan buku.

            Untuk memahami perkara yang dibangkitkan di sini, kita bandingkan dengan satu peristiwa lama dahulu, ketika Prof. A. Teeuw mengangkat Salina sebagai sebuah novel bertaraf antarabangsa. Hampir seluruh sasterawan dan ahli akademik menunjukkan kegembiraan mereka kerana kini sudah ada seorang sasterawan yang layak diangkat ke taraf antarabangsa. Ini kemudiannya diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang tidak saja bersetuju dengan A. Teeuw, tetapi pergi lebih jauh dengan meletakkan Salina sebagai “mahakarya” yang telah menjadikan kesusasteraan Melayu moden terhormat dan dihormati. Bandingkan pula keadaan yang berlaku terhadap buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, yang oleh sebuah universiti Islam di London dianggap sebagai salah sebuah buku penting dalam Abad 20/21 dalam perkembangan pemikiran dalam tamadun Islam (rujuk hal. 150, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan). Bagaimanakah reaksi para sasterawan dan ahli akademik kita? Walau apa pun reaksi mereka, adalah jelas keputusan panel Dewan Bahasa dan Pustaka 1994 itu tidak tepat, dengan itu kualiti  sebenar penilaian mereka dan tahap pemikiran mereka telah gagal meletakkan buku itu pada tempatnya yang layak. Apakah yang dapat kita simpulkan tentang kejujuran ilmiah dan kualiti akademik mereka? 

            Jika kita melihat persoalan ini dalam konteks islah dan fasad yang disebut oleh al-Quran, kita mungkin dapat memahami hakikat sebenar yang menjadi matlamat dan tujuan utama para sasterawan dan sarjana sastera: mereka adalah pendukung kebudayaan hedonisme Barat yang meletakkan kemahuan hawa nafsu manusia sebagai asas tindakan manusia, sebagai asas tindakan mereka sendiri.  Bukti yang paling nyata untuk menjadi sandaran kepada kesimpulan ini ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang terang-terangan menganjurkan dan meneruskan falsafah kritikan Barat, dengan sikap memandang remeh apa-apa juga pandangan berteraskan Islam dalam kritikan dan penilaian karya. Inilah makna islah, pembaharuan, yang dibanggakan oleh para sasterawan dan sarjana, yang dalam konteks al-Quran tidak lain daripada dolak-dalik kumpulan yang menolak nilai-nilai al-Quran, dengan berkata mereka berbuat kebaikan, padahal mereka sebenarnya berbuat fasad.  Hakikat islah yang sebenarnya terkandung dalam konsep taklif, dengan tiga rahsia taklif yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah.  Dalam konteks inilah saya mengkritik Muhammad Hj. Salleh, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan lain-lain tokoh yang telah ditakdiskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Apakah yang telah diislahkan oleh Muhammad Hj. Salleh yang menjadikan Si Tanggang wiranya; atau yang mengagumi Mephistopheles, Raja Iblis itu? Apakah jenis islah yang telah dilakukan oleh Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan, atau A. Samad Said dalam Salina?

            Gagasan Persuratan Baru mengejutkan ramai sarjana dan sasterawan kerana mereka telah terputus dari tradisi persuratan dalam bahasa Melayu, suatu tradisi yang kaya dan telah melahirkan ulama dalam semua bidang ilmu agama, pendeta, pemikir, penulis dan penyair (yang sebenarnya) dan ahli-ahli ilmu dalam bidang-bidang lain (terutama sejarah dan ilmu nahu).  Apa yang kemudiannya disebut sebagai “kesusasteraan” hanyalah satu bidang kecil, yang sampingan dan pinggiran, yang tidak melahirkan ahli ilmu  seperti yang telah dilahirkan dalam tradisi persuratan Melayu.  Inilah yang diberi keutamaan pada waktu ini, yang akhirnya melahirkan gelaran “sasterawan negara” yang dari segi ilmu tidak memberikan apa-apa yang boleh membuat kita bangga; malah jika kita menerima penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, mereka hanyalah peniru tradisi Barat yang paling rendah, bukan yang bersifat ilmu dan falsafah. Ini terbayang dalam karya-karya mereka, yang memang diakui oleh Panel Anugerah Sastera Negara hanyut dalam kekaburan dan kekeliruan nilai yang mereka terima dari Barat. Kritikan ini diasaskan daripada analisis laporan Panel Anugerah Sastera Negara dan dari bacaan kritis karya-karya para sasterawan negara sendiri. Apa yang dilahirkan oleh “kesusasteraan” lebih mirip kepada sejenis pandirisme yang lebih banyak memperagakan kecetekan ilmu daripada pemikiran yang sebenarnya. Dalam konteks inilah timbul soal keterampilan ahli sihir Firaun, yang menguasai teknik sihir mereka dengan begitu tinggi, sehingga memungkinkan mereka mengenal kebenaran sebaik saja mereka melihat tongkat Nabi Musa ‘a.s. menelan ular-ular palsu mereka. Sampaikah para sasterawan dan sarjana kita ke tahap ahli sihir itu? Jika perbandingan ini dilihat dalam konteks yang dimaksudkan, tidak akan timbul kekeliruan tafsiran dan salah faham. Hal ini perlu difikirkan dengan mendalam untuk memahaminya, sama seperti peristiwa Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. dan peristiwa perempuan Mesir yang menghiris jari mereka. Sekiranya hal ini benar-benar difahami, barulah seseorang yang kritis dapat melihat gagasan Persuratan Baru dalam konteksnya. Dengan itu barulah seseorang akan mengerti mengapa kita harus kembali kepada tradisi persuratan.

            Dalam bahagian “The Last Word” bukunya, Dr. Zawiah Yahya menulis (sebagai kesimpulan, hal. 64-65): “Affandi has produced a complete package for his approach. His philosophical framework is well researched although he has a tendency to pick and choose only references that bolster his arguments in rather unproblematic way. The PB principles of criticism are laid out quite clearly and there is even a step-by-step model of classroom teaching as well as a model of practical analysis to demonstrate application of the critical approach which, in this case, is done on his creative work that adopts a writing approach based on the same principles. The latter model seems a little contrived and closed bacause it would seem that how one reads is exactly how one writes, and vice versa.

“There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself. Such total conviction of its rightness also seems to rule out the validity of other alternative ways of reading. In the reality of literary practise in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.”

            Untuk melihat kehalusan sindiran dan ejekan dalam kesimpulan beliau yang ditulis  dalam bahasa Inggeris tinggi yang dipakai oleh Dr. Zawiah Yahya, adalah wajar jika kita merujuk kamus Collins Cobuild English Dictionary: Helping Learners With Real English untuk memahami maksud “contrived” yang dipakai oleh Dr. Zawiah ketika “memuji” pendekatan Gagasan Persuratan Baru dalam kutipan di atas. Kata kamus tersebut: “1. If you say something someone does is contrived, you think it is false and deliberate , rather than spontaneous and natural; used showing disapproval.  There was nothing contrived or calculated about what he said... It mustn’t sound like a contrived compliment.
            2. If you say that the plot of a play, film, or novel is contrived, you mean that it is unlikely and unconvincing; used showing disapproval. The plot seems cumbersomely contrived.  (Huruf tebal dan condong dalam teks asal).

            Bolehkah kita berkata “pujian” Dr. Zawiah Yahya “a contrived compliment”?  Sebagai seorang Professor of Critical Theory and Postcolonial Studies, yang terkenal cermat dan objektif dalam tulisan beliau, saya fikir beliau telah menyatakan pendapat beliau dengan tepat dan objektif pada pertimbangan beliau. Tetapi pendapat dan analisis beliau masih lagi berada dalam kerangka yang beliau sendiri minta kita tolak, jika kita boleh percaya saranan beliau betapa perlunya kita menghumbankan semangat kolonial dalam dunia kesarjanaan, seperti yang saya kutip di atas. Betapa pun aneh “pendirian” (?) beliau dalam hal ini, namun saya puji dan kagum dengan keberanian beliau membicarakan suatu tajuk yang beliau belum bersedia membicarakannya dengan saksama, tetapi ini tidak bererti kita boleh mendiamkan diri apabila beliau tersasar jauh daripada semangat gagasan Persuratan Baru dengan berkata apa yang dianjurkan oleh PB adalah sesuatu yang mutlak (absolute), dengan itu menolak pendekatan lain, dan dengan itu juga seolah-olah tidak relevan dengan perkembangan dalam dunia ilmu di Barat.  Inilah sejenis contrived criticism  yang tidak berasas. Saya sendiri telah menyatakan pendirian saya dengan jelas sejak permulaan saya memasuki belantara kesusasteraan ini, bahawa kita harus tahu seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya, tetapi kita tidak harus sesat seberapa jauh yang kita mahu. (Lihat antara lain tulisan saya dalam Mastika, Oktober 1991, bertajuk “Konsep Ilmu Dalam Kritikan Sastera”; sila rujuk juga rencana saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, selenggaraan Prof. Ungku Maimunah.)

            Novel Pujangga Melayu membahaskan konsep pengarang dalam persuratan Melayu, yang boleh dianggap sebagai satu manifesto penulisan untuk mencabar konsep “sasterawan” yang dipakai sekarang. Mengapa cabaran itu perlu diketengahkan saya jelaskan sendiri dalam novel itu, yang kemudiannya dianalisis dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya mengenai gagasan Persuratan Baru. Prof. Madya Dr. Zariat kemudiannya menulis sebuah analisis yang meyakinkan ketika membicarakan novel Abdul Kadir Adabi yang diterbitkan 1939, Melati Kota Bharu.  Analisis Dr. Zariat memperlihatkan kegagalan kritikan warisan Barat yang dipakai oleh sarjana kita untuk menilai novel itu secara saksama. Lain-lain contoh boleh dilihat dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan.  Untuk mengatakan bahawa usaha kami yang mendukung gagasan Persuratan Baru, terutama usaha saya sendiri, sebagai sesuatu yang “contrived”, yakni yang palsu, pura-pura, dibuat-buat, mengada-ada, yang tidak natural, yang “perasan dan seronok sendiri” (semua ini termasuk dalam makna “contrived” itu), adalah sesuatu yang amat luar biasa, dan pastilah sangat mengejutkan bagi orang yang pernah berkata “[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe ...”.  Prof. Dr. Zawiah Yahya juga pernah menegaskan, “We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret”. Nampaknya beliau tidak menerima pengaruh Islam yang definitif dalam membina kebudayaan Melayu; dengan itu lebih cenderung kepada pandangan sarjana Barat seperti Winstedt dan lain-lain yang melihat pengaruh Islam itu hanya tidak lebih daripada satu “pigeon hole” kecil dalam keseluruhan  kebudayaan Melayu yang mempunyai banyak “pigeon holes” itu.  Dengan itu, beliau sebenarnya tidak perlu “unseat England, Europe and the United States of America”, kerana jika hal itu benar-benar berlaku, kita boleh bayangkan betapa ramainya para sarjana kita akan bisu, tidak dapat berkata apa-apa tentang kritikan sastera dan tentang teori sastera. Ini telah dibuktikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang salah satu penulisnya ialah Prof. Dr. Zawiah Yahya sendiri.

            Novel Pujangga Melayu ditulis kerana saya harus memberi sekadar contoh bagaimana gagasan Persuratan Baru boleh dijadikan asas penulisan kreatif. Lagi pula para sasterawan dan sarjana yang tidak berminat kepada ilmu, sering berkata gagasan Persuratan Baru terlalu ideal, tidak mungkin dilaksanakan dengan berjaya. Novel itu sendiri bercerita panjang tentang gagasan Persuratan Baru yang ditulis untuk menyerlahkan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wacana, cerita, dan konsep ilmu yang benar. Jika semua ini tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan belaka, sesuatu yang “contrived” dan tertutup kepada kemungkinan atau alternatif lain, maka bagaimana pula para sarjana yang biasa dengan kesusasteraan Barat/Inggeris boleh menerima genre tragedi, komedi dan sebagainya, yang dari segi struktur memang tertutup, sebagai sesuatu yang tidak “contrived” dan tertutup? Pujangga Melayu adalah sebuah novel dalam genre karya persuratan yang diakui sendiri oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai suatu kategori tersendiri, yang berbeza daripada karya sastera dan karya picisan etc.  Saya tidak tahu dalam konteks yang bagaimana Prof. of Critical Theory and Postcolonial Studies ini melihat dan menilai pemikiran saya dalam kritikan dan dalam karya kreatif. Saya fikir seorang sarjana harus lebih berhati-hati membuat kesimpulan supaya kesimpulan itu tidak kelihatan sebagai sesuatu yang “contrived” dan jauh tersasar dari segi kualiti pemikiran dan analisisnya.  

            Untuk memahami “pendirian” sebenar Prof. Dr. Zawiah Yahya, perhatikan kesimpulan beliau terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (hal. 43): “Muhammad has his fair share of bouquets and brickbats for his attempts at theory-building. His admirers pronounce him as ‘a pioneer’ who, “like Atistotle, was searching for the poetics of his own literary tradition” (Mana Sikana in Zawiah Yahya ed. 2003, 156-7) and actually uses “60 fiction and 100 non-fiction texts as a basis of a theory (Anwar Ridhwan in Zawiah Yahya ed. 2003, 173-174. Kedua-duanya merujuk buku suntingan Zawiah, Critical Perspectives on Muhammad Hj. Salleh, DBP 2003), as opposed to building a theory on the basis of a certain idealism or ideology.  His detractors, on the other hand, think his coverage on Malay literature is incomplete because he has not factored  in the Islamic influence that has shaped the identity of the Malays and their literary heritage. There have also been questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary  Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.” Cemuhan Anwar Ridhwan bahawa “teori” sastera Islam diasaskan di awangan, tanpa teks yang boleh dirujuk, ternyata tidak saja menghina usaha demikian, tetapi juga bertentangan dengan kaedah berfikir yang dilakukan oleh manusia yang berfikir. Maksud saya, orang Islam tidak perlu menunggu wujudnya teks yang dimaksudkan tidak ada oleh Anwar Ridhwan, kerana teks yang bertentangan dengan Islam terlalu banyak dalam sastera Melayu moden. Itu pun sudah cukup untuk dijadikan asas untuk menulis sebuah teori, supaya teks demikian dapat dikenal pasti dan kualitinya ditentukan berasaskan ukuran Islam. Tetapi palsunya tuduhan itu terbukti apabila Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat membicarakan novel Abdul Kadir Adabi (terbit 1939), Melati Kota Bharu.  Dalam dunia penulisan Islam pula, terdapat beribu teks yang ditulis oleh para penyair Islam untuk dijadikan sandaran untuk menulis gagasan Persuratan Baru, misalnya. 

            Sekali lagi kita kembali kepada Collins Cobuild English Dictionary untuk mendapat makna tersirat  yang terselit dalam bahasa Inggeris tinggi Prof of Critical Theory and Postcolonial Studies, Dr. Zawiah Yahya, seorang sarjana yang terkenal cermat penggunaan bahasanya dan sangat objektif penilaiannya. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah dihadiahkan “bouquets” oleh peminat dan pengagumnya; berbanding dengan pengkritiknya yang hanya “melemparkan” “brickbats”. Inilah pandangan Collins Cobuild English Dictionary:  “1. A bouquet is bunch of flowers which is attractively arranged. ... 2. The bouquet of something, especially wine, is the pleasant smell that it has. ...”  Ini pula tentang “brickbats”:   Brickbats are very critical or insulting remarks which are made in public about someone or something.”  (Huruf tebal dalam teks asal).  Benarkah “pujian” melampau, tidak berasas yang dibuat oleh Mana Sikana dan Dr. Anwar Ridhwan berupa sejenis “bouquet” akademik yang “attractively arranged”?  Sesiapa juga yang telah membaca tulisan mereka akan berasa sangat aneh, dan malu sendiri, melihat bagaimana rendahnya kualiti akademik mereka dan keterlaluan mereka membuat perbandingan. Jika anda membaca tulisan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan membandingkannya dengan falsafah Aristotle, anda akan lihat betapa rendahnya martabat ilmu para pemuji profesor ini. Dari segi ilmiah, mereka tidak bertanggungjawab. Dan jika benarlah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh betul-betul membaca sejumlah teks (160 semuanya), maka bagaimana beliau boleh terlepas  pandang tentang peranan Islam dalam tamadun Melayu? Adakah disengajakan, atau beliau tidak tahu membaca teks tentang Islam?  Pujian murahan begini benar-benar menjengkelkan pembaca yang serius, yang ingin mendapat sesuatu yang benar-benar berkualiti dan bertanggungjawab daripada seorang ahli akademik.  Dengan menilai kritikan serius terhadap kekeliruan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai sejenis “brickbats” yang tidak bertanggungjawab, maka Prof. Dr. Zawiah Yahya menganggap semua kritikan saya terhadap Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu dan makalah saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan sebagai tulisan tidak bertanggungjawab dan hanya sejenis “insulting remarks” yang tidak mempunyai kualiti akademik sama sekali.  Di sini kita harus berhati-hati membaca tulisan profesor yang terkenal cermat dan objektif pandangannya ini, supaya kita dapat menilainya secara saksama dan adil, tidak mengulangi kesilapan besar beliau yang merendahkan sejauh itu sumbangan orang lain yang tidak disukainya, yang dalam hal ini besar kemungkinan yang tidak betul-betul difahaminya. Prof. Dr. Zawiah tidak memberikan cukup analisis yang boleh dijadikan sandaran untuk kita menilai kesimpulan beliau (tentang Puitika Sastera Melayu yang dianggapnya sebuah teori)  yang berbunyi, “There have also been  questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory.”  (Penegasan ditambah).  Kata Collins Cobuild English Dictionary:  “If you refer to an action, or the result of an action, as a feat, you admire it becase it is an impressive and difficult achievement.” 

            Sesiapa juga yang membaca Puitika Sastera Melayu dengan kritis, seperti yang dilakukan oleh Prof. Siti Hawa Salleh misalnya, tidak boleh menerima buku itu sebagai suatu pencapaian ilmiah yang tinggi dan penting, seperti pentingnya Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Malah menurut Prof. Siti Hawa, pencapaian ilmiah Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam Puitika Sastera Melayu  diungkapkan oleh beliau begini: “Muhammad, yang pada satu ketika dituduh ‘tersungkur di kaki Sejarah Melayu’ ini, seperti seorang tunanetra yang berada di taman pada malam yang gelap gelita, tersembam pula di lereng dunia sastera tradisional. Tidak berdaya lagi beliau membezakan melur biasa dengan melur susun, mawar kecil dengan mawar besar, mawar merah dengan mawar putih, dan kenanga dengan cempaka. ... Dan apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja.” (Budi Kencana, hal. 255). Tentu saja sesiapa pun boleh “admire” sesiapa saja yang dia suka; tetapi seorang ahli akademik adalah seorang yang istimewa dan harus menjaga keistimewaan itu sebagai seorang ahli akademik yang tetap objektif, supaya maruah akademiknya tidak terjejas, untuk memastikan pendapatnya boleh terus dipercayai dan boleh dipakai.

            Bagi seorang sarjana yang begitu cermat dan objektif, penggunaan istilah “teori” yang dipakai di sini tidak tepat, kerana Puitika Sastera Melayu tidak mempunyai ciri-ciri yang harus ada pada sesuatu “teori”.  Apakah masalah yang cuba diselesaikan? Adakah masalah itu penting? Bagaimana masalah itu dihuraikan? Apakah ciri penting “teori” yang dikemukakan? Bagaimana “teori” itu boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah tadi? Apakah ramalan yang boleh dibuat oleh “teori” itu untuk perkembangan masa depan? Puitika Sastera Melayu adalah sebuah esei biasa, yang mengumpulkan sejumlah maklumat yang bukan baru, bukan original, dan bukan mendesak untuk menyelesaikan sesuatu masalah penting dalam kritikan dan penilaian sastera. Tidak juga untuk dijadikan panduan bagi perkembangan masa depan yang lebih mencabar. Apa yang dilakukan oleh Puitika Sastera Melayu hanya membicarakan perkara-perkara remeh dalam sastera lama, tetapi menjadi seolah-olah penting kerana banyak sekali digunakan teori Barat, yang disenaraikan oleh Dr. Zawiah Yahya sendiri. Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan oleh Prof. Dr. Siti Hawa Salleh (rujuk Budi Kencana, hal. 255), Puitika Sastera Melayu hanyalah sejenis “ujaran” yang berpretensi ilmiah, pada hal dalam istilah Martin Heidegger, tidak lebih daripada omongan, ocehan atau “idle talk” sahaja.  Sesiapa juga yang ragu-ragu dengan kesimpulan ini, boleh rujuk kritikan saya dalam Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu: Sanggahan Terhadap Syarahan Perdana Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh; atau analisis saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan.

            Menarik juga apabila Prof. Dr. Zawiah Yahya menggunakan perkataan “detractors” untuk mencirikan para pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Dalam Collins Cobuild English Dictionary, “The detractors of a person or thing are people who criticize that person or thing; used mainly in journalism.”  Dengan meletakkan pengkritik Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pada taraf jurnalisme, yang cetek, tidak menyeluruh, yang selalunya penuh sensasi, yang tidak boleh dianggap akademik sama sekali, maka Dr. Zawiah menganggap kritikan itu hanya sejenis gangguan yang tidak perlu, yang remeh temeh.  Berbanding dengan ahli akademik yang memberi “buequet”, walaupun “buequet” itu  terdiri daripada jambangan bunga kering yang sudah reput dan busuk!  “Yet, it is still a buequet!!”

            Percubaan Prof. Dr. Zawiah Yahya untuk membela karya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang pada pendapatnya, “even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory,” nampaknya tidak mencapai matlamatnya, malah kelihatan “a little contrived”. Masalahnya ialah esei itu bukan kedua-duanya, yakni bukan “a theory of production neither a theory of criticism.” Hanya sebuah esei biasa yang penuh dengan ocehan dan pretensi ilmiah dengan mengambil seberapa banyak teori Barat yang tidak relevan untuk diperagakan. Misalnya, beliau menyebut dan menganjurkan supaya dekonstruksi diambil dan dipakai di Malaysia, tetapi apabila teori itu dipakai untuk menganalisis karyanya, beliau tidak bersetuju dan membantah keras. Sebenarnya jika profesor itu betul-betul ingin membina satu teori dan dia mempunyai kemampuan intelektual untuk melakukannya, dia sudah pun melakukannya, tidak usah menunggu lagi. Tidakkah itu merugikan? Pencapaian ilmiah profesor yang mempunyai murid sekitar 4000-5000 orang (menurut hitungan beliau sendiri yang diucapkan di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi) ini dibahaskan dengan agak mendalam dalam bab 4, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis. Pembaca yang berminat bolehlah merujuknya di situ.

            Pendirian Prof. Dr. Zawiah Yahya terlihat sangat aneh apabila beliau mengkritik gagasan Persuratan Baru begini: “There is also a sense of absolutism about PB that does not allow it to problematise itself.” Kesimpulan ini sangat aneh, kerana selepas beliau berkata gagasan Persuratan Baru berasaskan al-Quran dan hadis, tiba-tiba beliau membuat kesimpulan bahawa gagasan Persuratan Baru terjerumus dalam absolutism. Jika kita membaca kesimpulan ini seperti tertulis, maka ini bermakna al-Quran dan hadis tidak mutlak, hanya gagasan Persuratan Baru yang mengambil  sumber dari kedua-dua sumber itu saja yang pandai-pandai mahu menunjukkan sifat mutlaknya. Apakah maksud Prof. Dr. Zawiah Yahya dengan kesimpulan itu? Sebenarnya beliau berfikir dalam kerangka kritikan Barat, yang memang menolak apa juga yang bersifat mutlak. Tidak ada nilai-nilai mutlak, kata Barat, dan ini diikuti oleh profesor ini.  Maka dengan itu beliau membuat kesimpulan mati: “In the reality of literary practice in which the practitioner or user chooses his or her own tools, it is doubtful if it will ever come to pass that only one methodology rules the realm.”  Yang disebut “the reality of literary practice” itu ialah amalan pengkritik Barat yang menjadi panduannya.  Mengapa kita mesti percaya kepada amalan demikian? Kemungkinan untuk gagasan Persuratan Baru menjadi pendekatan yang dominan dalam kritikan di Malaysia tetap terbuka; dan ini tidak bererti sesiapa juga yang menentangnya boleh terus hanyut dalam kepercayaan mutlak mereka kepada nilai dan pemikiran Barat.

            Sebenarnya kepercayaan mutlak  kepada pemikiran Barat ini diakui oleh beliau dalam kata-katanya seperti yang berikut: “... PB does not allow it  to problematise itself.”  Inilah pendirian Barat sebenarnya, menjadikan semua perkara dalam kehidupan manusia, dalam apa juga pemikiran mereka, sebagai masalah yang tidak habis-habis, tidak putus-putus, tanpa sebarang penyelesaian, persis seperti yang diceritakan dalam mitos Sisyphus, yang dihukum di neraka untuk menolak batu ke atas gunung, tetapi setiap kali batu itu hampir sampai, terus menggelonsor ke bawah, lalu Sisyphus harus menolaknya lagi, dan turun lagi. Begitulah selama-lamanya, tidak pernah selesai. (Rujuk, Collins Concise Encyclopedia of Greek and Roman Mythology. English edition, 1969). Jika anda membaca huraian dan penjelasan Prof. Ungku Maimunah tentang perkembagan teori kritikan Barat (dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan), anda akan melihat sendiri bagaimana  hukuman terhadap Sisyphus di neraka itu dijelmakan dalam kehidupan akademik di Barat. Itulah maksud “to problematise itself” yang diterima oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya sebagai satu ciri penting dalam sesebuah teori kritikan (atau mana-mana teori dalam apa-apa bidang sekalipun).  Al-Quran  menceritakan perkara ini dalam bentuk yang lebih “dramatik”.  Apabila kaum Yahudi diperintahkan supaya menyembelih lembu betina untuk menghapuskan dosa-dosa mereka, kaum Yahudi enggan melakukannya terus, lalu bertanya Nabi Musa ‘a.s. warna kulit lembu itu, besar mana, tuakah muda, di mana boleh didapat dan sebagainya, sehingga hampir-hampir tidak dapat dilaksanakan perintah Ilahi itu. (Rujuk al-Quran, 2: 67-71). Mengapa pula gagasan Persuratan Baru perlu problematise sesuatu yang sudah ditetapkan; namun ini tidak bermakna tidak boleh dibuat perbaikan, seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah yang memperkenalkan beberapa prinsip baru yang membolehkan orang memahami gagasan Persuratan Baru dengan lebih mudah, misalnya konsep ruang naratif, yang banyak membantu menjelaskan makna dan maksud wacana dan cerita dalam gagasan Persuratan Baru. Apabila konsep wacana dan cerita itu difahami dengan jelas, akan lebih mudahlah difahami makna dan maksud stylization of ideas yang menghubungkan kedua-dua konsep itu dalam penulisan kreatif. Tetapi konsep taklif, dan konsep-konsep lain yang menjadi asas gagasan Persuratan Baru tetap tidak berubah. Mutlak. Ini tidak bermakna tidak boleh dipakai oleh orang yang bukan Islam, kerana mereka boleh belajar memahami gagasan Persuratan Baru, menggunakannya dalam analisis mereka, malah jika mereka penulis novel dan lain-lain, tidak ada halangan untuk mereka menulis seperti yang disarankan dalam gagasan Persuratan Baru. Mengapa mereka tidak boleh mengajarnya di sekolah atau di universiti, jika diperlukan?  Dengan ini gagasan Persuratan Baru tetap dan terus terbuka untuk difahami dan dipakai oleh sesiapa sekali pun. Ini juga tidak bermakna lain-lain kaedah tidak boleh digunakan oleh sesiapa saja. Hanya dalam konteks ini gagasan Persuratan Baru boleh saja mencabar penggunaan tadi dengan memberikan analisis yang mungkin lebih baik dan lebih tepat. Itulah yang dilakukan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat ketika membicarakan novel Melati Kota Bharu. Itulah sebenarnya yang akan terjadi dalam perkembangan ilmu.

            Mahu tidak mahu, gagasan Persuratan Baru kini menjadi kayu ukur dalam penilaian kreatif dan dalam analisis akademik. Prof. Dr. Zawiah Yahya yang cermat dan teliti dalam kerja-kerja akademiknya saya fikir telah mendapat sedikit manfaat daripada kajiannya dan analisisnya tentang gagasan Persuratan Baru, walaupun banyak juga perkara-perkara yang mengecewakannya. Sekurang-kurangnya beliau kini boleh melihat bagaimana ucapannya yang menggerunkan (lihat di atas, Bahagian II tulisan ini) itu boleh dilaksanakan dengan adanya tempat berpijak yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Itulah pilihan terbaik, seperti yang terbukti dalam usaha kritis Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, serta lain-lain sarjana, yang memberi kesempatan kepada gagasan Persuratan Baru berdialog dengan mereka. Meskipun  dalam tulisan ini  di beberapa tempat saya agak keras mempertahankan sesuatu yang saya yakini, namun saya sangat menghargai usaha beliau memperkenalkan gagasan Persuratan Baru kepada pembaca antarabangsa melalui bahasa Inggeris.  Saya anggap beliau seorang pengkritik gagasan Persuratan Baru yang paling teliti dan berwibawa membicarakan gagasan itu, dengan itu saya yakin para pembaca kini akan mendapat dua perspektif yang jelas tentang gagasan Persuratan Baru: satu yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat; satu lagi kritikan serius oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya. Dengan wujudnya pilihan ini, para sasterawan, pengkritik dan sarjana boleh terus berada di bawah bayang-bayang “teori” Barat bersama Prof. Dr. Zawiah Yahya jika mereka mahu; atau mereka berpindah kepada pendirian satu lagi untuk menghidupkan kembali persuratan Melayu yang telah ditinggalkan selama ini. Di tangan orang yang pintar cerdik, kedua-dua kedudukan ini tetap memberi faedah.
           
Mohd. Affandi Hassan, 9/3/2011.

Thursday, June 23, 2011

Bolehkah Sasterawan Negara Berfikir Sambil Memberi Nasihat Lucu?

UNTUK MENJADI CERDIK KITA TIDAK PERLUKAN SASTERAWAN NEGARA
Oleh Mohd. Affandi Hassan
[Kertas ini telah disiarkan dalam akhbar SIASAH akhir 2009. Disiarkan kembali untuk makluman pembaca bersama dengan laporan Puan Ainon Mohd sebagai bukti apa yang ditulis dalam kertas ini tepat sekali mencerminkan hakikat sebenar persoalan yang dibangkitkan di sini dan disentuh oleh Puan Ainon dalam laporannya.]

Dengan terpilihnya sasterawan negara ke sepuluh baru-baru ini, tamatlah episod Asas 50 dalam kesusasteraan Melayu moden. SN pertama yang dilantik tahun 1981 adalah seorang tokoh terkemuka Asas 50; manakala SN kesepuluh pula adalah tokoh terakhir pengikut Asas 50 yang diberi gelaran sasterawan negara. Apakah yang telah kita capai setelah melantik 10 orang sasterawan negara dari satu kumpulan sasterawan yang bernaung di bawah pengaruh Asas 50? Nampaknya kita belum lagi berupaya membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan perdananya pada tahun 1972 itu tidak tepat. Dalam syarahan penting yang hingga kini belum dicabar oleh mana-mana ahli akademik itu, Prof. Syed Naquib al-Attas menegaskan bahawa yang disebut “sastera Melayu moden” itu adalah sastera pinggiran, yang tidak berjejak dalam tadisi Melayu-Islam dan tidak pula berakar dalam tradisi Barat. (Rujuk karya beliau Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu). Menurut beliau, hasil “sastera Melayu moden” itu ditulis dan dinilai oleh  “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu” (hal. 55). Kesimpulan ini dibuktikan dalam sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mulai tahun 1981 hingga 2009.  Yang diberi pujian tinggi dalam sepuluh laporan itu ialah keupayaan sasterawan Melayu menjadi peniru dan pengikut sastera Barat. Laporan 1985 tentang A. Samad Said mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan ulung kerana berjaya meniru teknik novel Barat sehingga memungkinkan terciptanya novel Salina yang mengagungkan kehidupan seorang pelacur Melayu, yang kini diterima oleh ahli akademik Malaysia sebagai wanita unggul yang menjadi korban peperangan dan percintaan yang gagal. A. Samad Said juga dipuji oleh Panel kerana karyanya tidak mempunyai matlamat, tidak mempunyai tema yang tetap, tidak langsung mempunyai unsur didaktik di dalamnya.
Dalam Laporan 2009 pula, Anwar Ridhwan dipuji dalam nada yang sama,  dengan mengangkat sasterawan ini sebagai seorang sasterawan yang menulis karya eksperimen yang matang, dengan kekuatan gaya dan teknik naratif yang inovatif, eksperimental dan mencabar intelek pembaca, menggunakan bahasa puitis, segar dan sarat dengan metafora, imejan, dan lambang. Berbeza dengan A. Samad Said yang tidak mempunyai tema tertentu, Anwar Ridhwan pula disanjung kerana mengemukakan tema-tema “besar”,  seperti cerita penglipur lara, pawang buaya,  pemimpin yang gila kuasa dan lain-lain. Seperti dalam seluruh laporan Panel selama tiga puluh tahun ini, tidak sebuah pun karya “besar” itu disorot dengan mendalam, mengemukakan hujah yang mantap dalam analisis yang cermat. Laporan 2009 misalnya mengutip pendapat seorang sarjana yang membuat kesimpulan salah sebuah novel Anwar Ridhwan adalah novel terbaik di Malaysia. Sudah wajar jika novel terbaik itu disorot dengan mendalam. Tetapi yang terjadi hanya ditonjolkan ujaran berbentuk umum, seolah-olah karya besar itu tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika dianalisis dan diberi bukti konkrit dalam analisis yang kritis. Panel mengejek penulis yang suka menggunakan klise dalam tulisan mereka, dan mengutuk khutbah sebagai gaya yang tidak mempunyai daya estetika. Tetapi mereka sendiri menggunakan semua jenis klise yang sudah lusuh dalam penilaian mereka, misalnya dengan memuji penulis yang menggunakan realisme magis, atau yang pandai meniru teknik Barat seperti …(anda boleh senaraikan sendiri kerana mudah dikesan).   Di samping itu, mereka cukup seronok melontarkan khutbah yang cetek dalam penilaian mereka. Mengapa mereka sendiri melakukan apa yang mereka kutuk orang lain melakukannya?
            Untuk membuktikan Anwar Ridhwan menggunakan bahasa yang indah dan puitis, Panel memberikan contoh-contoh ini: “… kebimbangannya mula memburunya dari belakang, mendekatinya, lalu memukul-mukul hatinya”; “… angin memukul-mukul kaca jendela”;   “… kereta api menjerit-jerit dari perut bumi”; dan “Kawai Maru, raksasa besi waja yang terapung-apung, beroleng lembut melayan usikan tangan-tangan gelombang”. Apakah yang indah dari ucapan berbentuk klise ini?  Jika anda tidak menemui ucapan klise ini, pastilah anda tidak membaca karya sastera popular (atau picisan) yang gemarkan gaya begini; anda tidak akan menemuinya dalam karya agung para penulis agung dunia. Jika tidak percaya, bacalah Tolstoy, James Joyce, Thomas Mann, Pirandillo,  Chekhov, dan ramai lagi. Malah anda akan bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel 2003 bernama   J.M.Coetzee, misalnya novelnya Elizabeth Costello atau Disgrace atau Slow Man; anda dijamin tidak akan bertemu dengan klise yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Malaysia, malah anda akan bertemu dengan gaya intelektual seorang penulis yang betul-betul matang.   Semua ini membuktikan Panel tidak mempunyai pengertian yang jelas dan tepat tentang konsep keindahan bahasa dalam karya kreatif; malah pemahaman mereka tentang estetika pun terlalu samar dan cetek, oleh itu tidak hairan jika mereka memuji kecetekan karya para sasterawan negara yang mereka angkat dengan kata-kata bombastik yang tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang kritis.  Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikan aspek ini dengan terperinci dalam Kuliah MASTERA beliau berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Sila rujuk buku itu untuk melihat kualiti  sebenar “pemikiran” Panel Anugerah Sastera Negara ini. Jika kita  menerima contoh-contoh yang dikemukakan oleh Panel sebagai bukti keindahan bahasa yang bercorak puitis, pastilah para sasterawan negara ini tidak layak digelar sasterawan negara jika itulah corak “keindahan bahasa” yang mereka hidangkan. Kesimpulan ini hanya boleh dibatalkan sekiranya Panel tampil dengan contoh dan analisis yang mendalam mengenai keindahan bahasa dan aspek estetika ini. Apa yang jelas kepada kita ialah mereka menghadapi masalah kognitif yang berat dalam memahami dua  aspek kreatif ini. 
            Dalam semua laporannya Panel mengejek para sasterawan yang bergelumang dengan klise, tanpa menyedarinya bahawa mereka sendirilah yang bergelumang dengan klise dalam penilaian mereka yang bersifat umum, bombastik, keliru dan gagal menyediakan ukuran yang boleh diuji ketepatannya. Sebagai contoh, apabila Panel berkata, A. Samad Said itu seorang  sasterawan yang istimewa kerana beliau seorang peniru yang handal; atau Anwar Ridhwan seorang sasterawan yang hebat melahirkan novel-novel yang hebat pula, misalnya kerana beliau pandai menggunakan teknik realisme  magis,   maka apakah hujah yang boleh kita kemukakan bahawa menjadi peniru itu sangat istimewa dan orang-orang yang pandai meniru layak digelar sasterawan negara? Tentulah kita akan berasa malu jika sasterawan hebat kita hanya seorang peniru saja, kecuali jika kita kemukakan hujah bahawa meniru teknik dan idea Barat itu harus digalakkan kerana hanya dengan berbuat demikian saja kita boleh melahirkan sasterawan besar yang layak diberi kedudukan sebagai sasterawan negara. Tetapi kita mesti ingat, jika kita membuat kesimpulan begitu, kita dengan sukarela bersetuju dengan kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas yang menegaskan seperti yang beliau telah tegaskan. Akhirnya kita akan berlagak angkuh menyodorkan sasterawan pinggiran “yang cetek meraba-raba” ini sebagai tokoh besar yang istimewa, walaupun mereka hanya para peniru saja. Mencari tempat bergantung dari Barat ini telah dianalisis dengan mendalam oleh Pascale Casanova dalam bukunya The World Republic of Letters (2004). Dalam buku itu ditegaskan bahawa terdapat dua kiblat yang diikuti oleh sasterawan negara membangun, iaitu Paris dan London. Dari situlah nilai dan ukuran hasil sastera yang baik dan bermutu ditetapkan. Dan itulah juga ikutan para sasterawan Malaysia dan para penilainya. Tidakkah ini membuktikan betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas itu?
            Tentulah amat malang jika inilah yang terjadi, inilah realitinya. Tetapi nampaknya amat sukar hendak menolak kesimpulan ini, jika kita membaca dengan teliti analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya. Sebagai contoh, Prof. Ungku Maimunah membuktikan bagaimana gandingan realisme dan novel menjadi begitu serasi dalam analisis novel dan dalam penulisan novel; begitu dogmatiknya mereka (pengkritik dan penulis novel) terhadap realisme sehingga  mereka mencedok “realisme magis”   apabila mereka ingin berada dalam dunia Awang Sulung Merah Muda, atau dalam alam Dewa Muda yang dijadikan cerita utama oleh Tok Minduk dalam Main Puterinya. Hakikat ini terserlah dengan jelas dalam semua sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut Prof. Ungku Maimunah lagi,  ideologi realisme ini   dijadikan ideologi   estetik yang amat disenangi dalam Abad ke-19 di Eropah. Inilah juga yang diikuti oleh para sasterawan dan pengkritik/ahli akademik Malaysia.   Nampaknya mereka selesa betul berada dalam Abad ke-19, dan merasa tersinggung sekali jika keselesaan mereka digugat dengan pemikiran dan kaedah baru Abad 21. Misalnya, mereka tidak suka, dan amat benci, jika karya kreatif berasaskan ilmu, apatah lagi memakai konsep ilmu yang benar. Boleh dikatakan 98% di antara mereka menolak apa juga bentuk analisis dan kaedah menulis jika berdasarkan konsep ilmu yang benar. Apakah yang membuat mereka begitu tersinggung dan gelisah? Menurut mereka, jika kaedah itu diterima, maka para sasterawan negara akan kelihatan begitu kerdil, tak ubahnya seperti “scare crow” yang dipuisikan oleh T.S.Eliot itu. Benarkah begitu? Seharusnya, secara logik, apabila seorang tokoh besar seperti sasterawan negara itu diangkat darjatnya, maka mereka layak diberi penilaian yang kritis berasaskan kaedah apa sekalipun. Tidak ada alasan sama sekali untuk melindungi mereka dengan pantang larang tertentu bahawa mereka hanya layak dinilai mengikut kaedah yang boleh meninggikan darjat mereka sahaja. Maka itulah sebabnya semua Laporan Anugerah Sastera Negara ditulis secara umum, kabur dan berbelit-belit, untuk menyenangkan hati semua orang. Tetapi ini bertentangan dengan kehendak akademik, yang menilai sesuatu berasaskan ukuran akademik yang boleh diukur ketepatannya secara objektif.   Nampaknya mahu tidak mahu kita terpaksa meletakkan para sasterawan negara kita dan para penilai mereka  dalam gelanggang  ilmu untuk diuji sehabis kritis berasaskan ukuran yang boleh diuji pula ketepatannya. Itulah kehendak Abad 21 yang kononnya dikenali sebagai Abad Ilmu (padahal dalam tamadun Islam Abad Ilmu itu telah bermula awal-awal lagi, sehingga kini dipersetujui ledakan ilmu dalam tamadun Islam itulah yang menjadi asas kemajuan ilmu di Barat moden.) 
            Bagaimana jika sikap anti-ilmu itu berterusan? Kita tidak mempunyai pilihan kecuali menghapuskan Anugerah Sastera, diganti denan Anugerah Persuratan yang lebih luas cakupannya. Cadangan ini telah dikemukakan dalam sebuah kertas kerja penulis ini bertajuk, “Anugerah dan Hadiah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (DBP, 25 Mei 2006). Dalam kertas itu, telah dicadangkan supaya diwujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS, dikeluarkan setiap tahun untuk semua bidang ilmiah yang dihasilkan oleh para penulis yang menggunakan bahasa Melayu, termasuk para sasterawan dan lain-lain yang sejenis dengannya. Hadiah itu diberi nama Hadiah Persuratan kerana yang diutamakan ialah pencapaian sebenarnya dari segi ilmu, termasuk yang bercorak karya kreatif. Dengan memberi perhatian kepada ilmu, kita akan mengelak daripada memberi hadiah dan anugerah kepada sesiapa juga yang tidak layak menerimanya. Kita harus kembali kepada maksud “persuratan” yang menjadi asas tamadun Melayu yang dibina di atas dasar tauhid yang hasilnya cukup cemerlang untuk diremehkan oleh sastera dan para sasterawan. Kita telah bosan membaca laporan Panel yang berserabut dengan klise itu,   untuk hanya memilih para sasterawan yang tidak boleh disentuh lagi selepas diberi cap mohor Panel Anugerah Sastera Negara. Sikap yang melemaskan ini   terlalu jelas anti-ilmunya, oleh itu tidak wajar diteruskan jika kita benar-benar mahu maju dalam bidang pemikiran dan mewujudkan keupayaan kreatif yang tinggi.  Lebih penting lagi, kita tidak harus mencampakkan tokoh-tokoh pemikir kita dengan memberi keutamaan kepada para sasterawan yang tidak boleh berdiri jika diuji dengan kritis berasaskan ilmu yang difahami dalam Islam. Dengan menggunakan konsep dan istilah persuratan, kita akan kenal tokoh-tokoh yang sepatutnya kita sanjung, seperti Pendeta Za’ba, Prof. Syed Naquib al-Attas, Haji Agus Salim, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri,  dan lain-lain tokoh yang mungkin kita tidak kenal lagi atau sudah lupa. Jika kita benar-benar mahu berubah ke arah kebaikan yang sebenarnya, atau membuat anjakan paradigma seperti yang dilaung-laungkan satu masa dahulu, maka inilah masanya untuk melakukan anjakan paradigma itu. Wujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS; hapuskan Anugerah Sastera Negara dan gelaran Sasterawan Negara yang mengelirukan itu. Wallahu a’lam.
[Petaling Jaya.  22 November, 2009].



­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­­__________________________________________________________
Laporan Puan Ainon Mohd dalam blog beliau, disiarkan semula menggunakan pautan yang diberikan oleh Sdr. Zahiruddin Zabidi.
Tuesday, May 03, 2011
Respon Terhadap Pendapat SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
Pada Ahad 1 Mei 2011, bertempat di PWTC, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menganjurkan majlis Bicara Sasterawan Negara, dengan tajuk 'Mengantarabangsakan Karya Sastera Tempatan'. Majlis diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Dua orang Sasterawan Negara yang menjadi panel ada Dato A Samad Said dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Saya membuat catatan idea-idea utama yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Beliau berpendapat langkah yang paling penting bagi mengantarabangsakan sastera tempatan ke peringkat antarabangsa adalah dengan meningkatkan mutu karya tempatan supaya mencapai mutu antarabangsa. Ini dapat dilakukan dengan cara penulis tempatan menguasai pemikiran antarabangsa. Tanpa penguasaan itu, "Susah nak lawan sastera German dan sastera Inggeris" kata beliau.
Beliau juga mengatakan kita berada dalam 'lumba antarabangsa' dan 'lumba tamaddun'. Dalam nada itulah beliau menyarankan perlunya sasterawan tempatan menguasai pemikiran falsafah dan sastera antarabangsa, dan juga pemikiran tamaddun-tamaddun peringkat antarabangsa.
Beliau juga menyebut tentang 'kesejukan' dunia sastera tempatan, dengan maksud pada saat ini sastera tempatan tidak menyaksikan penghasilan karya sastera yang aktif dan bermutu, yakni tidak timbul nama-nama sasterawan baru mahupun karya-karya baru yang benar-benar bermutu tinggi.
Saya berpendapat, selagi kita menggunakan kayu ukur ciptaan Inggeris dan Jerman, selagi itu kita akan terus membuat kesimpulan bahawa sastera tempatan tidak bermutu tinggi, dan selagi itu juga kita terpaksa mengemis pengiktirafan daripada penilai-penilai Inggeris dan Jerman.
Saya berpendapat, sastera tempatan perlu dinilai menggunakan kayu ukur tempatan, yakni kayu ukur yang kita cipta sendiri. Dengan menggunakan kayu ukur tempatan, karyawan tempatan hanya perlu menguasai falsafah dan pemikiran tempatan sahaja. Hasilnya nanti, baru kita dapat melihat kerancakan perkembangan sastera tempatan yang sedang berlaku di hadapan mata kita saat ini.

CATATAN Mohd. Affandi Hassan:  Jika laporan ini tepat, sasterawan negara tidak perlu dijemput untuk berborak seumpama ini. Memang benar, adalah silap besar untuk mengharapkan sesuatu pendapat yang bernas daripada sasterawan negara. Mereka masih berada dalam dunia khayal mereka sendiri, memandai-mandai memberi nasihat, padahal karya awak sendiri tidaklah sampai ke taraf yang awak harap orang lain menulisnya. Sasterawan Malaysia tidak perlu berlumba-lumba, terhegeh-hegeh berlagak mengada-ngada kononnya mahu diiktiraf di peringkat antarabangsa. Cukuplah jika mereka mempunyai sikap terbuka untuk menerima pandangan dan pendapat yang berbeza dengan mereka; dengan itu apa yang disebut sebagai “kesejukan” sastera itu tidak timbul apabila orang-orang seperti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang telah diisytiharkan oleh teman-temannya sebagai “Tokoh Akademik Malaysia” berminat, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya, untuk membicarakan pemikiran orang lain, tidak menolaknya dengan angkuh sebelum mendalaminya terlebih dahulu. Misalnya, kenal dahulu apa dia gagasanPersuratan Baru, beri pendapat anda yang kritis dan bijaksana itu tentang kemungkinan gagasan Persuratan Baru mencetus perkembangan persuratan Melayu yang dinamik dan berteraskan ilmu yang benar. Jika sarjana Malaysia tidak kenal pemikiran sarjana tempatan, malah meremehkannya kerana orang yang mengemukakan sesuatu idea (yang barangkali bernas) tidak ada apa-apa gelaran (sikap dan tabiat lama manusia berjiwa feudal dan megah menjadi a colonial boy), maka yang terjadi tidak saja ‘kesejukan’ berkarya  tetapi kebekuan berfikir  para sarjana yang memang dibayar gaji untuk berfikir, bukan untuk memandai-mandai memberi nasihat yang tidak diikuti sendiri. Indah dan tepat sekali peribahasa Melayu: Mengata dulang paku serpih, … Bagus juga jika mahu contohi orang Jerman: buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid diperaku oleh seorang sarjana Jerman yang menjadi profesor pengajian Melayu/Indonesia di sebuah universiti terkenal di England sebagai salah sebuah buku utama dalam pemikiran Islam Abad 20/21 yang disenaraikan oleh Aga Khan University Institute for The Study of Muslim Civilisations (rujuk Gagasan Persuratan Baru, ms. 150).