Pendahuluan: Kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara Memberi Arah yang Betul
Dalam Kritikan dan Penilaian Sastera
Setelah lebih dari 30 tahun menilai karya para sasterawan negara dengan menggunakan pendekatan “common sense” yang tidak berasaskan mana-mana teori sastera secara khusus, analisis dan penilian Panel Anugerah Sastera Negara sudah jauh ketinggalan zaman, sudah menjadi klise dalam kritikan sastera di Malaysia. Apakah yang telah mereka capai melalui laporan mereka? Pada umumnya laporan Panel Anugerah Sastera Negara menggambarkan dengan tepat sekali kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas betapa keliru dan cetek meraba-raba pendapat para penilai yang tidak mempunyai tunjang ilmiah yang kukuh dalam kebudayaan Barat, jauh sekali dalam peradaban Islam, malah dalam kebudayaan mereka sendiri. Kesimpulan ini tidak mungkin dicabar oleh mereka, kerana persiapan untuk mencabarnya memakan masa dan kesungguhan ilmiah yang tidak ada pada mereka. Paling baik yang dapat mereka lakukan, jika mereka mahu (tetapi tentulah mereka tidak mahu mendedahkan kekeliruan dan kecetekan mereka secara terbuka), ialah dengan membuat penafian bahawa segala kritikan terhadap mereka diasaskan pada silap dan salah faham dan tiadanya pengetahuan mendalam dalam teori dan kaedah penilaian sastera yang mereka gunakan. Jika mereka mengambil pendirian ini, maka mereka akan lebih terdedah kepada sikap mereka yang terlalu kebaratan dan hanya boleh berbicara tentang sastera dalam konteks yang kebaratan itu. Tanpa teori dan kaedah Barat, mereka akan menjadi bisu dan tidak boleh berbicara apa-apa tentang sastera dan penilaian serta kritikan sastera. Itulah hakikat yang mereka tonjolkan dalam semua laporan mereka, seperti murai yang bising kerana dapat bertenggek di dawai sidaian tuala dari England dan Amerika Syarikat atau Eropah yang cantik dan mahal, tetapi masih tuala buatan orang lain yang diimport dengan rasa bangga dan megah walaupun terpaksa dibayar agak mahal. Itulah perilaku mereka sebenarnya, megah dan sombong menayangkan tuala import mereka sambil berceloteh tentang harga yang mahal dengan jenama yang terkenal. Mereka memandang rendah orang Melayu yang mandi memakai kain basahan jenis batik murah atau kain kapas yang kasar, kerana tidak ada standard dan tidak moden, walaupun dengan berbuat begitu orang Melayu yang pemalu dan mempunyai harga diri itu berasa aman dapat menutup aurat ketika membersihkan diri mereka. Pemakai tuala Barat ini tidak menggunakan tuala mereka untuk menutup aurat, tetapi hanya untuk mengelap air mandian mereka. Mereka juga merasa aman, kerana mereka berasa standard mereka lebih tinggi daripada pemakai batik basahan atau kain kapas biasa saja. Mereka suka menggunakan analogi dalam laporan mereka, seperti yang telah ditunjukkan dalam kritikan terhadap mereka, walaupun analogi mereka hanya bermaksud untuk menonjolkan sejenis sensasi murahan semata-mata. Dan sensasi itu tidak meleraikan masalah. [Kata mereka, sebagai contoh, setelah merobek-robek sekeping kertas besar yang bernama novel Daerah Zeni, menjadi cebisan kertas yang dilemparkan ke angin kencang, kemudian dikutip kembali untuk dicantum sehingga lahirlah plot Daerah Zani yang istimewa itu, maka kata Laporan 1985 (hal. 18): “Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kesatuan kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.” Maksudnya, jika cobekan-cobekan kertas itu boleh disusun menjadi kertas besar seperti asalnya, maka kemanusiaaan yang ditunjukkan di atas kertas besar yang bernama plot Daerah Zeni itu tidak ada peleraian. Tetap buntu. Lebih mudah mengumpul taburan kertas di angin kencang daripada memahami makna kemanusiaan yang tidak ada peleraian itu.] Itulah gambaran murai yang bising di dawai sidaian tuala Barat yang dimaksudkan. “Dan kebisingan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.”
Walaupun ada di antara mereka sudah berkata, “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita...” (Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh); atau ini: ‘[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe... We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret.’” (Prof. Dr. Zawiah Yahya); namun dalam penilaian mereka yang terakhir pun mereka masih menggunakan “tuala Barat” yang mereka minta dihumban saja itu. Mereka akan bisu tanpa teori dan kaedah Barat yang mereka katakan tidak sesuai itu. Apakah “teori” yang boleh mengganti “teori” Barat itu? Menurut mereka, tidak ada. Belum lagi dirumuskan, belum lahir, masih dalam mimpi siang hari yang hanya membawa igauan semata. Memang kata-kata yang menolak “teori” Barat itu tidak lebih daripada sejenis igauan semata-mata, bukan suatu kepastian berasaskan ilmu. Yakni, hanya kicauan murai yang bising sambil bertenggek di dawai sidaian sahaja! Inilah hakikat yang tidak mahu mereka terima, oleh itu mereka harus dinilai dengan kritis supaya kekacauan “kicauan” mereka selama ini dan kekeliruan mereka selama lebih dari 30 tahun ini ada “peleraiannya”. Dengan itu, sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara perlu dikaji dengan kritis untuk menentukan sejauh mana pengaruh mereka dalam kritikan mencerminkan sesuatu yang positif, dan sejauh mana pula mereka hanya memperlihatkan kecenderungan negatif membuat penilaian berasaskan “common sense” yang saling bertentangan, tiada arah kecuali untuk mengelirukan dan melanjutkan pengaruh nilai dan kaedah kritikan sastera Barat. Dalam siri tulisan seterusnya akan dibincangkan kaedah “common sense” Panel Anugerah Sastera Negara yang telah mengelirukan dunia kritikan sastera Melayu selama lebih dari 30 tahun. Saya akan menggunakan Kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, sebagai rujukan utama di samping laporan Panel Anugerah Sastera Negara.
Mohd. Affandi Hassan, 6/6/2011.
As-Salam, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu buku "WAJIB" bagi sesiapa yang ingin mencarigali khazanah Persuratan Melayu.
ReplyDeleteAssalamualaikum Tuan Haji Affandi,
ReplyDeleteDi sini saya turunkan satu kenyataan terang-terangan daripada sasterawan negara kita mengenai sastera barat. Sungguh, saya perasan amat sedikit daripada kalangan mereka menggunakan agama sebagai sudut pandang dalam sastera sementelah dalam hal lain seperi politik, ekonomi, sosial dan selainnya. Sekularisasi begitu berjaya memenjarakan minda dan ruh orang Islam... mohon rujuk si sini http://universitipts.com/index.php/respon_terhadap_pendapat_yang_pro_sastera_barat/
Salam Sdr. Zahiruddin Zabidi.
ReplyDeleteTerima kasih kasi tahu itu pendapat SN yang pandai kasi nasihat. Tak bermutu jugakah karya SN yang sudah 11 orang itu? Tak boleh lawan Jerman dan Inggeris? Ada satu buku bagus kita baca, karangan Pascale Casanova judulnya THE WORLD REPPUBLIC OF LETTERS. Di situ dia bilang semua ukuran ditentukan di Paris atau London. Dari segi itu betul juga kata SN yang pandai nasihat itu. Mari ramai2 kita ikut nasihat beliau dan jadi sampah hanyut di Jerman dan Inggeris. Tapi kalau mau pandai berfikir dan merdeka fikirannya, dekatilah gagasan Persuratan Baru. Gerenti jadi cerdik dan sedar diri. Kita yang harus menilai dengan cermat dan cerdik karya Jerman dan Inggeris, bukan mereka yang kita letakkan untuk nilai karya kita. Tak malukah jadi hamba orang Barat seumur hidup? Mari kita jadi cerdik dan jadi hamba Allah yang luas ilmunya. Itu yang kita perlu buat ...
Untuk Menjadi Cerdik Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara
ReplyDeleteAkhir 2009 akhbar SIASAH menyiarkan tulisan saya dengan judul di atas. Bila saya lihat kembali, dan baca bersama nota Puan Ainon yang dirujuk oleh Sdr. Zahiruddin Zabini, saya fikir tulisan itu elok disiarkan kembali dalam blog ini untuk perhatian pembaca. Saya harap Puan Ainon izinkan saya siarkan juga laporannya yang penting itu untuk diketahui oleh pembaca blog ini. Harap tidak keberatan. Minta Sdr. Zahiruddin dapatkan izin Puan Ainon dengan kadar segera kerana saya mahu siarkan laporan beliau bersama tulisan saya. Terima kasih.
Teori penulisan barat tu universal. Ianya dibuat untuk semua cabang tak mengira bangsa dan agama.
ReplyDeleteSdr. Tak Bernama,
ReplyDeletePendapat anda salah besar. Yang universal hanya Islam. Jika anda Islam, anda perlu tahu ini. Orang Islam tidak boleh degil mempertahankan yang batil, mesti merendah diri mengaku kesilapan dan terus bertaubat. Jika anda bergurau, gurauan itu in bad taste, salah besar lagi. Orang Islam yang jahil tidak harus memberi pendapat yang salah dan mengelirukan.
Dalam Quran takde negara Islam, kata Haji Adi Awang.
ReplyDeleteDalam Quran juga takde teori persuratan baru. Pendapat siapa yang mengatakan bahawa teori persuratan baru itu sesuatu yang benar maka yang tak mengikut pendapatnya menyimpang dari ajaran?
Tak semua teori barat itu kufur. Islam itu luas pemahamannya. Zat Tuhan itu luas dan besar. Kenapa kita mesti kecilkan ruang lingkupnya?
hidup PKR! hidup PKR! hidup Anwar Ibrahim!