Thursday, October 20, 2011

Konsep WACANA dalam Persuratan Baru (Bahagian III/akhir)

Wacana juga memberi makna kepada konsep ruang naratif dan paksi naratif yang menjadi tunjang kepada tema yang diolah dalam karya. Dengan itu wacana mentakrifkan maksud cerita sekali gus, menjelaskan kedudukan cerita dalam karya kreatif yang tidak lagi  dibiarkan hanyut seperti yang terdapat dalam karya sastera yang secara sedar mengutamakan cerita tanpa memberi perhatian kepada aspek “pemikiran” dan keunggulan teknik, seperti yang dicontohkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam analisisnya tentang Harga Sebuah Maruah, karya Azizi Hj. Abdullah yang memenangi peraduan jubli emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. (Rujuk makalah beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”, yang akan dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII 29-30 November 2011).  Peranan wacana dalam membentuk cerita meletakkan wacana lebih utama daripada cerita dalam karya persuratan.  Ini berkaitan dengan apa yang dipanggil oleh Prof. Ungku Maimunah sebagai keutamaan isian ilmu daripada isian cerita dalam menentukan bagaimana ruang naratif dalam sebuah karya persuratan berfungsi dari segi pembinaan struktur karya berkenaan. Ini tidak bererti cerita diketepikan atau tidak diberi fungsi langsung; malah cerita juga penting dilihat dari peranannya sebagai pelengkap kepada wacana yang tidak boleh berdiri sendiri tanpa disokong oleh cerita dalam penggunaan ruang naratif yang berkesan. Maksud berkesan ialah penggunaan ruang naratif tadi tidak menyimpang daripada paksi naratif yang menjadi tunjang sesebuah karya persuratan. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani mentakrifkan paksi naratif seperti berikut: “Yang dimaksudkan dengan ‘paksi naratif’ di sini ialah pendirian (stance) novel terhadap cerita yang dipaparkan, yang sekali gus akan menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel tentang sesuatu perkara. Menurut PB, peranan paksi naratif ini penting kerana ia akan mempengaruhi penggembelingan strategi-stretagi penceritaan yang akan menegakkan paksi naratif tersebut. ...” (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, 2008, hal. 325).  Dalam buku yang sama (hal. 384),  Dr. Mohd. Zariat menegaskan, “konsep paksi naratif (narrative axis) pada amnya merujuk kepada matlamat  dan pendirian novel terhadap sesuatu perkara yang dibangkitksan melalui cerita yang dipaparkan, kecenderungan dan hala tuju novel secara keseluruhannya. Peranan paksi naratif ini penting kerana ia mempengaruhi pembikinan naratif sesebuah novel, khususnya strategi-strategi penceritaan yang digembleng bagi menegakkan paksi naratif tersebut.” 

Dengan menggunakan konsep paksi naratif yang dijadikan tunjang pembinaan wacana dalam sesebuah karya, melalui penggunaan ruang naratif yang mengutamakan isian ilmu daripada isian cerita, maka konsep plot yang selama ini dilihat daripada perspektif cerita dan urutan peristiwa dalam sesebuah novel, tidak lagi berkesan untuk dijadikan tumpuan penting dalam analisis dan penilaian sesebuah novel. Dilihat dari perspektif ini, analisis dan penilaian yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara terhadap karya A. Samad Said misalnya, telah gagal menonjolkan kualiti sebenar karya A. Samad Said seperti Salina dan Langit Petang yang dipuji tinggi oleh Panel, padahal kedua-dua buah novel itu hanyalah novel picisan, jika dinilai dari pemikirannya. Hanya dengan menggunakan kaedah dan teori Barat sajalah novel-novel itu boleh “diperlihatkan” sebagai “bermutu”. Tetapi adakah ini kaedah dan cara penilaian terbaik untuk menyerlahkan kualiti sebenar karya itu? Pada pandangan PB, penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat dan mengelirukan.  Penilaian Panel tidak dapat dipertahankan secara akademik apabila ukuran yang mereka gunakan dianalisis satu persatu dan diberi konteks yang tepat seperti yang diujar oleh Panel. Contoh: apabila Panel berkata Salina tidak mempunyai tema tertentu dan tidak mempunyai matlamat, bagaimana kedua-dua ukuran ini boleh dijadikan ukuran secara objektif dalam sesebuah novel? Panel kemudiannya sedar akan kesilapannya, lalu menegaskan memang ada temanya dan ada matlamatnya, tetapi tidak mempunyai unsur didaktik sama sekali.  Kekeliruan pertama tadi dihujahkan dengan menggunakan kekeliruan kedua, mengenai aspek didaktik itu. Apa bila sudah ada tema, dan sudah ada matlamatnya, maka pastilah unsur didaktik itu mengikut saja.  Jadi mana satu kesimpulan yang ingin dipakai oleh Panel? Ketiga-tiganya tidak dapat dipakai. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, yang menganalisis novel Salina dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan,  menunjukkan dengan meyakinkan kualiti sebenar novel itu, dengan itu secara mutlak menolak penilaian Panel Anugerah Sastera Negara.  Satu-satunya hujah yang boleh digunakan oleh Panel ialah dengan mengatakan bahawa penilaian mereka berasaskan kaedah dan teori sastera Barat.  Panel ingin menjadikan ukuran mereka berasaskan kaedah dan teori sastera Barat itu sebagai ukuran yang mutlak, jika itulah hujah yang mereka kemukakan. Dengan itu tidak ada penilaian lain yang berbeza. Inilah yang saya maksudkan beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang dihempap ke atas kita semua. Inilah yang dimaksudkan oleh peribahasa Melayu, tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Dan akhirnya, kita akan terus mendukung biawak hidup dalam persuratan Melayu  jika hujah Panel Anugerah Sastera Negara itu diterima sebagai pilihan yang tepat dan terbaik. Kita harus keluar dari pendirisme ini.

Dengan menggunakan konsep wacana, kita dapat mengukur ketangkasan berfikir seorang penulis; manakala keupayaan kreatifnya dapat dilihat dari penggunaan teknik stylization of ideas yang mengiringi penggunaan wacana tadi. Tidak saja penghujahan bersifat ilmu diperlukan dalam penggunaan wacana; malah penghujahan kreatif juga diperlukan untuk menjadikan sebuah karya kreatif “indah dan bermakna” (rujuk Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid). Ini bermakna kehadiran cerita di dalam karya tidak sekadar untuk memanjangkan cerita, dengan itu menjadikan  sesebuah novel itu tebal tidak pada tempatnya, tetapi bertujuan untuk mempertajam makna yang ingin dicapai melalui penggunaan wacana tadi.  Dalam konteks ini, secara mudah seseorang penulis perlu dapat membezakan antara konsep ilmu dengan pengetahuan dan peranan maklumat dalam pembinaan ilmu pengetahuan, sama ada secara saintifik (dalam ilmu-ilmu sains) mahupun secara penghujahan dan penilaian (dalam ilmu-ilmu bukan sains). Ilmu-ilmu sains menuju ke arah kemahiran menggunakan teknologi untuk membina tamadun bersifat kebendaan; manakala ilmu-ilmu bukan sains (sains di sini dirujuk kepada ilmu fizik dan sebagainya) membina tamadun yang bersifat pemikiran dan kerohanian yang membolehkan manusia faham akan kedudukannya sebagai manusia di alam dunia ini, dan tahu pula tempatnya di Akhirat. Ilmu-ilmu itu untuk mengenal diri; manakala ilmu-ilmu yang pertama tadi untuk mengenal dan menggunakan alam. Kedua-duanya menjadi asas kepada konsep ilmu yang benar yang ditekankan di dalam Islam. Kedua-duanya diperlukan untuk manusia mengenal dirinya dan  mencapai tingkat keyakinan terhadap kewujudan Allah SWT.  Kemahiran tinggi dalam ilmu sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir Firaun, membolehkan mereka mengenal realiti hakiki dan terus menerimanya, dengan itu menerima kewujudan Allah SWT dan kehadiran Nabi Musa ‘a.s. sebagai pembawa agama tauhid, lalu beriman dengannya. Adakah para sasterawan dan sarjana sastera sudah sampai ke tingkat itu? Dari analisis yang telah kita lihat, ternyata mereka lebih percaya kepada “sihir teori sastera Barat” daripada apa juga “teori” yang berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Inilah beban intelektual yang hanya dapat dilepaskan dari pundak kejahilan dengan menerima hakikat ilmu yang diajarkan oleh al-Quran.  Apakah hujah yang boleh mereka kemukakan untuk membenarkan/mempertahankan  kedudukan mereka yang menolak konsep ilmu yang benar itu dan segala implikasinya? 

Dilihat dari perspektif ini, konsep “seni sastera” yang difahami dan ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka adalah keliru dan tidak tepat dengan maksud dan matlamat seni sebagai hasil pemikiran seseorang penulis Islam dalam bentuk kreatif. Ditekankan ungkapan “penulis Islam” kerana kesemua sasterawan yang dinilai oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah sasterawan Melayu yang beragama Islam. Adakah hakikat bahawa mereka beragama Islam tidak penting dan tidak relevan? Inilah pandangan rasmi Panel Anugerah Sastera Negara, dan pandangan ini tidak mencerminkan nuilai-nilai yang selama ini menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun berbahasa Melayu selepas orang Melayu menerima agama Islam dan dimaktubkan dalam Perlembagaan mereka sebagai agama rasmi negara.  Adakah fakta ini pun tidak relevan dalam penilaian karya sastera di sebuah negara yang menegaskan dalam Perlembagaannya peri pentingnya Islam itu dalam kehidupan rakyatnya? Tentu saja tidak tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara telah melanggar Perlembagaan Negara dengan memperkecilkan peranan agama Islam dalam masyarakat Melayu dan dalam politik Malaysia; yang lebih tepat ialah betapa selekehnya pemahaman para sarjana tentang “seni penulisan kreatif” yang dinamakan kesusasteraan itu. Dengan memisahkan sastera dari nilai-nilai masyarakat yang sejak beratus tahun menjadi asas pembinaan tamadun Melayu, maka Panel menonjolkan kumpulan mereka sebagai satu kumpulan yang amat janggal yang dengan tidak senonoh mengetepikan begitu saja satu tamadun tinggi dalam persuratan Melayu hanya kerana terlalu terpengaruh dengan nilai-nilai dan teori sastera Barat. Inilah konteks yang paling jelas bagi sesiapa yang ingin memahami kesimpulan bahawa Panel dan para sasterawan yang mereka nilai menjadi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral dalam kebudayaan Melayu. Jika anda faham maksud yang ingin disampaikan di sini, maka anda akan berasa amat tersinggung sekali apabila asas tamadun anda selama ini diketepikan dengan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan sarjana yang dengan angkuh menolak begitu saja warisan persuratan mereka sendiri.

Perkara-perkara yang dibangkitkan di sini selama ini tertutup dan tidak disedari kerana sastera dianalisis dan dinilai berasaskan sejauh mana hasil karya kreatif berbentuk cerita seperti novel dan cerita pendek, juga drama, malah sajak sekali pun, ditulis untuk bercerita, bukan untuk menyerlahkan kecanggihan pemikiran penulisnya berlandaskan ilmu. Sebaik saja karya kreatif dianalisis dan dinilai dari perspektif ilmu dan bagaimana ilmu itu diwacanakan dalam karya itu, maka tidak dapat dielakkan lagi akan muncul perkara-perkara yang ditimbulkan di sini. Penggunaan wacana dalam penulisan kreatif memaksa pembaca, penilai dan para sarjana, dan para penulis sendiri, meletakkan kehadiran ilmu sebagai tujuan dan matlamat dalam penulisan kreatif, dengan cerita menjadi pelengkap, bukan unsur utama seperti yang difahami oleh para sarjana, termasuk ahli Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan sendiri. Dengan kesedaran ini, mereka akan menggunakan apa juga pengetahuan yang mereka dapat dari Barat dalam konteks ilmu yang benar, bukan hanya sebagai pak turut yang bangga dan agak angkuh memperagakan bakul nilai dan teori Barat yang mereka angkat ke sana ke mari dengan megah, walaupun bertentangan dengan warisan tamadun mereka sendiri. Jika mereka berkata, mereka hanya mengambil yang sesuai, maka mereka sebenarnya menafikan pegangan mereka sendiri, misalnya yang menegaskan tidak perlunya tema, tujuan dan matlamat, dan tidak wajar mempunyai unsur didaktik; padahal semua itu memang menjadi unsur penting dalam warisan persuratan mereka sendiri. Banyak sekali yang harus mereka bereskan; dan yang paling utama ialah mereka harus membereskan kefahaman mereka tentang konsep ilmu dalam seni mengarang.

Penjelasan yang diberikan di sini mungkin agak asing bagi kumpulan yang “cetek meraba-raba” seperti yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya yang terkenal itu, yang telah dijadikan ukuran dalam pencapaian akademik para profesor yang ingin mengemukakan syarahan perdana mereka. Tetapi sebaik saja mereka memahami gagasan Persuratan Baru, mereka akan melihat dunia yang berbeza sama sekali daripada dunia yang selama ini mereka fikir hanya itulah saja yang wajar mereka ketahui dan ikuti. Hanya pada ketika itu saja mereka akan dapat melihat betapa janggalnya analisis dan penilaian yang mereka buat selama ini, yang dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat untuk dijadikan ukuran dalam penilaian karya kreatif.  Walaupun ada di antara mereka yang nampaknya sedar peri janggalnya menggunakan ukuran dan teori Barat dalam menilai karya Malaysia, namun mereka tidak dapat menghuraikannya dengan jelas dan tepat kerana mereka masih lagi berbicara dalam konteks ukuran dan teori Barat tadi. Sebenarnya mereka sayang dan kagum sekali terhadap ukuran dan teori Barat itu; tetapi untuk kelihatan mereka juga “sayang” dan “faham” warisan mereka sendiri, maka mereka berkata ukuran dan teori Barat itu tidak cocok dengan nilai-nilai yang mereka warisi. Kerana sedar mereka akan jadi bisu tanpa teori Barat, maka mereka berhenti di situ saja, tidak berupaya menjelaskan maksud mereka. Demikianlah orang yang bersikap tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas, terus menerus mendukung biawak hidup dalam kegiatan akademik mereka. Mereka harus dibantu untuk melepaskan beban itu, dan satu-satunya cara ialah dengan kembali kepada sumber ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan sunah Nabi SAW.

Perbincangan tentang wacana dalam Persuratan Baru membawa kita kepada satu kesimpulan yang amat penting: tanpa kefahaman yang jelas tentang konsep ilmu dalam Islam, para sarjana dan para sasterawan akan terus berada dalam gua yang dikritik oleh Plato.  Selagi mereka berada di dalam gua, “pemikiran” mereka tetap tertutup, jenis pemikiran penghuni gua yang menentang perubahan untuk kebaikan mereka sendiri yang akan membuat mereka lebih terbuka kepada dunia ilmu yang amat luas itu.  

Mohd.  Affandi Hassan,  18/10/2011

Saturday, October 15, 2011

Konsep WACANA Dalam Persuratan Baru (Bahagian II)

Konsep wacana juga dapat membantu para sarjana dan sasterawan memahami kedudukan ilmu dalam penilaian karya kreatif dan juga dalam penulisannya (karya kreatif).  Matlamat ilmu dalam Islam ialah mencapai darjat keyakinan tentang wujudnya Allah SWT yang dari situ manusia akan faham pula kewujudan dirinya. Tanpa yang pertama, yakni  tanpa keyakinan tadi, manusia tidak mungkin dapat memahami kewujudan dirinya dan mengerti mengapa ia dilahirkan ke dunia.  Inilah yang dimaksudkan dengan hakikat ilmu yang menjadi prinsip penting dalam gagasan Persuratan Baru.  Dalam konteks inilah wacana itu dibina: maksudnya, wacana bertujuan untuk menghuraikan hakikat ilmu yang difahami dalam Islam, dengan memeriksa sumbernya (sumber ilmu), dan meletakkan sumber itu pada tampatnya (yakni menjadikan sumber itu  teras untuk memahami hakikat ilmu dalam kehidupan manusia).  Oleh sebab tujuan dan matlamat ilmu ialah untuk mencapai keyakinan  tentang wujudnya Allah SWT, maka sumbernya ialah wahyu dan sunah rasulNya, diikuti dengan pendapat para ulama yang menjadi pewaris para nabi yang menghuraikan dengan mendalam peranan wahyu dan sunah tadi dalam kehidupan manusia dalam semua bidang kehidupannya (tidak perlu disenaraikan kerana terlalu panjang).  Termasuk di situ ialah kegiatan penulisan, baik yang bersifat kreatif dalam bentuk seni penulisan, mahu pun dalam kegiatan yang bersifat akademik dan penyelidikan (termasuk di dalamnya bidang kritikan, penilaian karya kreatif dan sebagainya).  Jika anda,  sebagai seorang sarjana atau ahli akademik, ingin membina “teori sastera”  atau “teori kritikan”, dan anda seorang Muslim, maka anda dari awal lagi terikat kepada hakikat ilmu yang menjadi asas teori anda.  Jika “teori” anda berada di luar hakikat ilmu yang difahami dalam Islam, maka “teori” tadi tidak sekali-kali dapat membawa penggunanya kepada darjat keyakinan yang sepatutnya dapat dicapai melalui ilmu. Inilah maksud ilmu yang benar yang sering ditegaskan ketika membicarakan tentang konsep ilmu dalam gagasan Persuratan Baru.

Apabila wacana yang dibina dalam karya kreatif dan dalam penilaian karya dinilai dari perspektif ilmu yang dihuraikan, maka karya tadi diberi kedudukan sewajarnya, sesuai dengan mutu seninya (jika anda mahu berkata begitu),  sebagai usaha manusia yang sedar dan insaf tentang hakikat dirinya sebagai hamba Allah SWT dan pada waktu yang sama mempunyai peranan sebagai khalifahNya di dunia, dengan segala implikasinya.   Implikasi itu terangkum dalam tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah:    ilmu pengetahuan; keadilan; dan usaha ikhtiar.  Di dalam konsep taklif itu sendiri sudah tertanam konsep ilmu yang benar, yang perlu diketahui oleh setiap manusia, Islam atau bukan Islam (kafir). Jika dia Islam, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua tindakannya. Jika dia bukan Islam, dia pun harus tahu asal usulnya yang sebenar, dan pengetahuan itu membolehkannya menjadi lebih terbuka kepada kepelbagaian fahaman dalam kehidupan manusia, dengan itu dia harus memahami  pendirian Islam dalam semua bidang kehidupan.  Dengan adanya ilmu tadi barulah dia dapat bertindak dengan adil, baik bagi orang Islam mahupun bagi yang bukan Islam. Walaupun ini merupakan keadaan yang ideal, tetapi boleh dicapai sekiranya sistem pendidikan menyediakan masyarakat untuk memahami keadaan yang ideal yang boleh diwujudkan ini.  Dalam konteks Malaysia, yang  menjadikan nilai-nilai Barat yang bersifat sekular sebagai asas dalam sistem itu, orang Islam tidak dapat bertindak adil terhadap agamanya yang dijadikan sistem pinggiran yang bersifat individu dalam konteks ibadat peribadi saja, bukan sistem negara yang mentakrifkan setiap perilaku warganegara dalam konteks Islam. Kerana adanya halangan dari segi sistem pendidikan yang bercorak Barat ini, maka keadilan dalam bidang-bidang kehidupan yang utama dinafikan dan tidak mahu dilaksanakan hatta dalam konteks kehidupan orang Islam sekali pun. Dalam konteks inilah segala keriuhan tentang hukum hudud dijadikan isu untuk mengusutkan persoalan baik di kalangan orang Islam sendiri, lebih-lebih lagi di kalangan orang bukan Islam. Dalam isu ini, perihal utamanya Perlembagaan negara yang dibentuk dari acuan Barat itu begitu menonjol, dan ini diperjuangkan untuk dikekalkan oleh para pemimpin Islam sendiri. Inilah akibat daripada kepalsuan konsep ilmu yang menjadi  pegangan negara dan masyarakat, yang menafikan wujudnya keadilan, dan dengan secara langsung pula membawa kepada pilihan yang tidak tepat, yang merugikan semua. Jadi konsep taklif itu sebenarnya mendorong manusia untuk  mendapatkan ilmu yang benar, yang dari situ akan memungkinkannya bertindak adil, yang sekali  gus mendorongnya untuk membuat pilihan terbaik berasaskan ilmu dan keadilan.  Jika para sasterawan memahami isu penting ini, dan para sarjana sendiri pun memahaminya pula, maka penulisan karya kreatif tidak lagi dibiarkan berterusan untuk melangsungkan kebebasan hawa nafsu manusia seperti yang dibuktikan dari karya para sasterawan (ingat kembali pendirian Azizi Hj. Abdullah dalam hal ini seperti dijelaskannya sendiri di atas, menerusi bukunya Kuras-kuras Kreatif); di samping itu para penilai sendiri akan menggunakan ukuran yang lebih tepat, objektif dan  jitu berasaskan konsep ilmu yang benar. Di sinilah pentingnya konsep wacana yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru.  Beberapa contoh yang diberikan dalam analisis Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani memperlihatkan betapa menyimpangnya penilaian yang dibuat selama ini, terutama sekali oleh badan penilai tertinggi negara, Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang ditunjukkan di atas dan juga  dalam tulisan-tulisan yang lain.

Aspek ketiga, tentang matlamat dan tujuan karya kreatif, dijelaskan dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed dan Mohd. Shahrizal Nasir dalam tulisan mereka dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, ATMA 2010). Aspek ini berkaitan dengan konsep adab, yang mencirikan karya persuratan sebagai hasil daripada epistemologi Islam, yang dihasilkan dari pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif sebagai asas utama PB, sama ada dalam menghasilkan karya kreatif atau membuat analisis dan penilaian tentang karya persuratan yang terhasil daripada taklif tadi.  Jadi semua ini kait-mengait, yang akhirnya dijelmakan dalam teknik stylization of ideas (siratan makna).  Di situlah makna “pemikiran” itu diberi wajah yang konkrit melalui penggunaan bahasa yang indah berdasarkan konsep ihsan, dengan penekanan kepada makna dan kebijaksanaan yang ingin diserlahkan dalam karya tersebut, seperti yang dicontohkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (hal. 113, dengan contoh konkrit di hal. 122-124) ketika membicarakan aspek “pemikiran” dengan mengemukakan episod memberi nama rumah Prof. Awang dalam perbincangan dengan isterinya Aini Faridah di dalam novel Pujangga Melayu. Di situ tidak kelihatan apa-apa konflik, hanya penjelasan, tetapi dari segi makna yang mendalam, episod ini menggambarkan konflik nilai antara Aini yang masih melihat segala-galanya dalam konteks kebendaan dan kepuasan hawa nafsu, manakala Prof. Awang pula melihatnya sebagai  pencapaian tertinggi kehidupannya yang bersifat kerohanian dengan memberi pengertian yang mendalam kepada konsep kesyukuran nikmat yang diperolehinya. Aini menerima penjelasan itu dengan penuh insaf kerana dia sendiri telah disediakan dari segi moral dan mental dengan peristiwa perceraian yang membuat kedua watak ini berada dalam penyesalan yang hanya dapat diselesaikan melalui perkahwinan mereka kali kedua, dan berada dalam kediaman yang menjadi persoalan dalam dialog berkenaan.

Dalam tulisannya, Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan ciri karya Islam seperti berikut: “Cara berkarya dan berseni dalam Islam tidak terbatas sekadar memaparkan realiti tentang yang baik dan buruk, tentang kekuatan dan kelemahan, tentang yang kurang dan yang sempurna sahaja. Ia tidak juga terbatas sekadar memaparkan gambaran idealistik yang ‘partial’ dan ‘biased’ yang hanya dapat dilaksanakan dalam alam yang khayal dan angan-angan. Islam melakarkan dalam jiwa individu  gambaran yang lengkap dan sempurna tentang kehidupan” (hal.  75-76).  Seterusnya beliau membuat kesimpulan yang penting ini: “... menurut Islam, sastera mesti bermatlamat, dan matlamatnya ialah menyampaikan ilmu yang benar. Sesungguhnya ilmu yang terkandung di dalam al-Quran adalah bersifat mutlak dan tidak sesekali berubah inti patinya walau dengan apa juga penemuan baru kerana ia datang daripada Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Bijaksana. Ia adalah semata-mata bertujuan untuk membentuk manusia yang sempurna serta sentiasa sedar  akan kedudukan dirinya sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini. Apa yang pasti, hanya ilmu yang hakiki dapat memberikan kesan mendalam dalam diri setiap individu serta membuatkan mereka mampu untuk mengenal diri sendiri, mematuhi ajaran agama demi mencari keredaan Ilahi. Sastera berperanan sebagai antara wadah berkesan dalam menyampaikan ilmu. Karya sastera yang kosong daripada ilmu akan menjadikannya sesuatu yang tiada manfaat buat kehidupan manusia” (hal. 77).

Pandangan Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman disokong oleh Ustaz Zulkarnain Mohamed dalam dua makalahnya dan dalam makalah Mohd. Shahrizal Nasir yang terdapat di dalam buku itu.  Antara perkara penting yang ditegaskan dalam makalah mereka ialah, perutusan dalam karya harus jelas (hal. 148-149), kerana “matlamat sastera Islami yang pertama dan terakhir ialah untuk berdakwah (yakni menurut keupayaan masing-masing)” (hal. 147).  Bagi Mohd. Shahrizal Nasir yang menulis khusus mengenai sumbangan Najib al-Kilani,  sepuluh prinsip sastera Islam yang dihuraikan oleh Najib al-Kilani perlu dijadikan panduan oleh para pengarang Islam (hal. 527-529).  Selain dari itu, kesimpulan beliau ini penting juga diberi perhatian: “Karya yang menepati ciri-ciri Sastera Islam adalah yang memiliki objektif dan bukan hanya susunan omongan kosong tanpa faedah. Ia juga sentiasa memerihalkan aspek kehidupan dan alam semesta bertepatan dengan tasawur Islam, serta tidak sesekali didasari oleh khayalan yang melampau dan meyalahi logik akal fikiran manusia. Inilah definisi Sastera Islam yang telah dijelaskan oleh sarjana-sarjana kesusasteraan Islam khususnya daripada Timur Tengah” (hal. 530-531).

Ketiga-tiga pandangan ini memberikan kepada kita ciri-ciri yang tepat dan jelas tentang makna dan tujuan sebuah karya Islam, yang saya rumuskan sebagai “karya persuratan”.  Karya-karya kreatif yang dianalisis dan diberi penilaian oleh Panel Anugerah Sastera Negara berada di luar dari lingkungan karya yang dibicarakan oleh tiga orang sajana ini, dengan itu mereka membuktikan betapa kuatnya cengkaman pengaruh Barat dalam kesusasteraan Melayu moden. Keputusan yang mereka buat dalam penilaian mereka mungkin tidak sampai ke tahap yang bercorak anti-Islam, tetapi jelas sikap mereka yang meremehkan tamadun Islam, dan dari perspektif kejahilan inilah mereka menjadi begitu angkuh berpegang kepada idea-idea dari Barat, tanpa mengetahui dengan sewajarnya pemikiran yang boleh didapat dengan mudah tentang persuratan yang mencirikan unsur-unsur Islam seperti yang dirumuskan oleh tiga orang sarjana di atas. Dalam konteks inilah kita perlu berubah, dan Panel Anugerah Sastera Negara harus menyatakan pendirian mereka terhadap perkara ini, yang menjadi unsur penting dalam tamadun Melayu, termasuk dalam bidang persuratan. Hanya dalam konteks ini saja kita dapat menentukan bentuk kemajuan yang kita ingini dalam persuratan Melayu. Jika konteks ini diketepikan, kita akan terus berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972).  Nampaknya “keadaan cetek meraba-raba” inilah yang terus menjadi pilihan para sasterawan Malaysia, yang disokong dengan kuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diberi kedudukan arus perdana oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah yang saya maksudkan dengan pandirisme dalam kebudayaan Melayu yang menjadi sanjungan para sasterawan Malaysia.

Dalam konteks inilah Sasterawan Negara menjadi beban  dan kehadiran Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menjadi beban kerana seluruh kegiatan para sasterawan untuk memastikan nilai-nilai Barat tetap dipelihara dan diperjuangkan di Malaysia, dijadikan agenda utama dalam kegiatan kreatif dan juga dalam kegiatan akademik dalam bidang ini.  Mereka mempertahankan  konsep kebebasan seperti yang difahamkan di Barat, iaitu membiarkan para sasterawan menulis tentang apa saja dan dalam bentuk yang bagaimana sekali , walaupun bertentangan dengan nilai-nilai tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam itu. Kerana itulah ada di antara sasterawan ini menulis tentang perlunya sasterawan bersikap kurang ajar jika mereka mahu memenangi Hadiah Nobel Sastera. Lebih merugikan lagi ialah peranan Panel Anugerah Sastera Negara yang secara totok memperjuangkan kelangsungan nilai-nilai Barat dalam penilaian dan penulisan karya sastera.  Membaca laporan Panel ini menyerlahkan betapa komitednya mereka kepada nilai dan teori sastera Barat, dengan menjadikan nilai-nilai yang dipakai dalam sastera Barat sebagai ukuran mutlak, kerana nilai-nilai itulah yang mereka terima menjadi asas penting dalam membina sastera Melayu moden.  Bagaimanakah kita akan menjawab pertanyaan ini: Adakah pilihan inilah yang menjadi pilihan terbaik dalam membina tamadun persuratan Melayu?

Contoh bagaimana sasterawan negara ini menjadi beban dalam tamadun Melayu, khususnya dalam kesusasteraan Melayu, diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Novel-novel A. Samad Said diberi pujian tinggi oleh Panel berasaskan ukuran Barat sepenuhnya (Laporan 1985); manakala Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pula diberi sanjungan kerana menulis sajak “kurang ajarnya” yang terkenal itu, “Pulang Si Tenggang”, yang menjadikan legenda Melayu tentang penderhakaan seorang anak sebagai tokoh sanjungan yang kononnya diberi makna baru oleh profesor sastera itu (Laporan 1991);  dan terbaru Anwar Ridhwan diberi pujian tinggi kerana kononnya berjaya melakukan eksperimen dalam cerita pendeknya, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, sebuah kisah perzinaan anak-anak muda moden (Laporan 1909). Ketika membicarakan novel Orang Kota Bharu oleh S. Othman Kelantan, Prof. Kamaruddin M. Said memuji “pendirian” watak utamanya, Habib, yang “menganjurkan falsafah ‘berada di atas pagar’, dan hanya berpihak kepada kebenaran. Barangkali satu versi pemikiran pascamoden yang ‘selamat’, yang sering wujud dalam masyarakat yang sedang membangun, dan masyarakat yang berbilang kaum,  ialah pemikiran atas pagar yang penuh berdiplomasi dan berupaya menepis rempuhan modeniti yang konvensional” (hal. 550, Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, DBP 2004).  Kesimpulan ini pelik dan sangat aneh, kerana tamadun Melayu tidak pernah berada di atas pagar, atau menjadikan sikap “berdiri di atas pagar” itu pendirian yang menjadi ciri utama tamadun Melayu yang memang tegas memilih nilai-nilai Islam sebagai asas tamadun mereka. Lagi pula, terasa sangat janggal apabila dikatakan “berada di atas pagar” itu memihak kepada kebenaran! Tetapi “pendirian” ini memberikan kita contoh yang sangat jitu akan sifat dan sikap para sasterawan yang “cetek meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.  Inilah beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang harus kita hadapi. Keadaan ini tepat sekali dengan peribahasa Melayu yang terkenal: Tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas.  Akibatnya, ibarat menanggung biawak hidup.

Contoh-contoh ini, apabila dinilai dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, akan menjadi beban dalam persuratan Melayu dan dalam tamadun Melayu yang kini harus menerima nilai-nilai Barat yang disanjung itu, yang secara terang-terangan bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menjadi sumber dan asas persuratan Melayu.  Dengan penerimaan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu, maka karya-karya yang diberi sanjungan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini tidak boleh lagi dinilai semula dengan menggunakan kaedah yang sesuai dengan pendirian Islam dalam seni penulisan. Inilah beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang diwujudkan oleh Panel dengan sokongan dan dokongan Dewan Bahasa dan Pustaka. Inilah yang dinamakan, dan diterima, sebagai arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden. Adakah ini pilihan terbaik untuk kita?  Kita mungkin dapat belajar dari pengalaman Islam dalam sejarah permulaannya, ketika menghadapi Zaman Jahiliah.  Umat Islam zaman awal tidak menolak terus unsur-unsur Jahiliah itu, tetapi menyaringnya mengikut nilai-nilai yang ditetapkan dalam Islam. (Rujuk penjelasan Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman dalam makalahnya).  Kesusasteraan Melayu moden tidak mengalami  Zaman Jahiliah seperti yang dihadapi oleh Islam; tetapi dengan tertolaknya penilaian berasaskan konsep ilmu yang benar seperti yang difahamkan dalam Islam, dan diterimanya faham sastera Barat, maka kita sebenarnya berada dalam Zaman Jahiliah kita sendiri. Masalah ini boleh diatasi dan dihuraikan dengan objektif jika kita menerima noda sejarah dalam tamadun Melayu yang dinamakan kesusasteraan Melayu moden itu dengan menganalisis dan menilainya secara jujur dan objektif berdasarkan konsep ilmu yang benar yang diajar oleh Islam. Untuk itu, kita harus mencari kaedah yang membolehkan kita membuat penilaian sedemikian.

Gagasan Persuratan Baru menolak dengan tegas penerusan pengaruh Barat  yang bertentangan dengan semangat persuratan Melayu yang jelas dicorakkan oleh nilai-nilai Islam itu.  Seperti yang sudah saya nyatakan berulang kali sejak sekian lama (terbaru dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, hal. 289-379) , kita boleh mengetahui seberapa banyak yang kita perlukan atau yang kita terdaya mengetahuinya tentang nilai dan teori sastera Barat; tetapi kita tidak harus sesat sejauh yang kita usahakan dalam membuat keputusan terbaik untuk kita.  [Akan disambung dalam Bahagian III].

Mohd. Affandi Hassan, 13 Oktober 2011.

Thursday, October 6, 2011

Konsep WACANA dalam Persuratan Baru

Wacana. Konsep wacana penting dalam PB kerana konsep ini dapat menyelesaikan tiga masalah besar yang dihadapi oleh para sarjana pada waktu ini: (1) kabur dan keliru tentang makna dan maksud “pemikiran” ketika membicarakan aspek “pemikiran” seorang sasterawan; (2)  tidak dapat memahami mengapa pentingnya konsep ilmu yang benar dijadikan asas penulisan kreatif dan juga di dalam analisis dan penilian sesebuah karya kreatif; (3) tidak jelas tentang maksud dan matlamat yang ingin dicapai dalam penulisan kreatif, hal ini menjadi masalah yang amat mengusutkan apabila para sasterawan berkata mereka harus diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja dan dalam bentuk yang bagaimana sekali pun, kerana mereka adalah “pejuang kemanusiaan” (?) yang mencintai nilai-nilai kemanusiaan sejagat (rujuk kenyataan empat orang sasterawan negara bertarikh 8 Mac 2011    tentang aspek ini; kenyataan mereka dibincangkan dalam posting bertarikh 24 Mac 2011; juga laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menekankan peri pentingnya “kebebasan” dan “kemanusiaan” itu).  Amat jelas terdapat kekeliruan dan  kekacauan kognitif di kalangan pengkritik sastera, sarjana dan ahli akademik, dan lebih-lebih lagi di kalangan para sasterawan apabila mereka berbicara tentang aspek “pemikiran” ini. Malah sebuah institusi besar dan berpengaruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menjadi penaung dan pelindung kesusasteraan Melayu, juga berada dalam kekeliruan dan kekacauan yang dimaksudkan itu, seperti yang dapat dilihat dalam program mereka yang memakai istilah “pemikiran”.  (Perkara ini telah dibahaskan dengan panjang lebar dalam posting bertarikh 6 Disember 2010;  lihat juga posting 18 November 2010; posting bertarikh 4 Disember 2010). Oleh itu, adalah jelas masalah definisi dan huraian tentang makna dan maksud “pemikiran” itu dijelaskan dengan teratur supaya setiap kali orang berbicara tentang “pemikiran”, dia menggunakan istilah itu dalam konteks suatu istilah, bukan dalam konteks common sense dan retorik kosong sahaja, seperti yang terjadi sekarang.

Dalam laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kekusutan dan kekacauan ini amat jelas, tetapi tidak disedari oleh mereka. Misalnya, apabila mereka berkata, “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu.” (Laporan 1985, hal. 13).  Tetapi dalam kesimpulan berikutnya, mereka berkata: “A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme, ... dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (hal. 13).  Tetapi jika anda membaca Salina dengan kritis dan berhati-hati, anda akan dapati semua kesimpulan ini tidak tepat, bertentangan dengan fakta yang ada di dalam novel itu. Malah A. Samad Said sendiri mengaku beliau ingin menulis tentang seorang pelacur yang laris, dengan itu memberi keistimewaan kepada watak utamanya; dan ini memang dapat dikesan dengan mudah dalam novel itu. Tetapi yang paling mengaibkan ialah kesimpulan Panel dalam laporannya bertentangan dengan maksud realisme dan naturalisme yang difahami di Barat.

Pengarang Theory of Literature, Rene Wellek, yang menjadi ikutan dan sandaran para pengkritik dan sarjana sastera di Malaysia, dijadikan teks dalam kritikan sastera di universiti di Malaysia, yang memang dikenali oleh semua anggota Panel, membuat kesimpulan yang bertentangan dengan yang dibuat oleh Panel tentang makna dan maksud realisme yang ditiru oleh A. Samad Said. Kata Rene Wellek: “Realism is didactic, moralistic, reformist” (Concepts of Criticism, hal. 253).  Seterusnya kata Rene Wellek, “I do not consider realism the only and ultimate method of art. It is, I should emphasize, only one method, one great stream which has its marked limitations, shortcomings, and conventions. In spite of its claim to penetrate directly to life and reality, realism, in practice, has its set of conventions, devices, and exclusions. ... The theory of realism is ultimately bad aesthetics because all art is ‘making’ and is a world in itself of illusion and symbolic forms” (hal. 254-255. Ayat akhir itu ialah kesimpulan beliau tentang realisme.)  Dilihat dalam konteks ini, pujian Panel lebih mengarah kepada pandangan common sense yang keliru. Katakanlah mereka tidak tahu pandangan Rene Wellek, mereka pasti  dapat mengagak, jika mereka menggunakan common sense yang betul, bahawa realisme dan naturalisme secara tabii bersifat didaktik kerana yang diangkat menjadi tema karya adalah kejadian sebenar dalam masyarakat, khususnya tentang penindasan manusia. Oleh itu, apabila Panel berkata karya yang realistik itu tidak sepatutnya mempunyai unsur didaktik, maka mereka membuat kesimpulan itu kerana tidak memahami konsep dan maksud realisme yang mereka sanjung itu. Tetapi jika anda anggap Panel lebih berwibawa daripada Rene Wellek, anda perlu menghujahkannya untuk dimanfaatkan oleh para sarjana dan pengkritik sastera, juga para sasterawan yang mabuk realisme. Penegasan Rene Wellek memperlihatkan betapa kacaunya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, hingga tidak saja tidak dapat menilai karya A. Samad Said dengan wajar, malah tidak pula memperlihatkan mereka faham konsep-konsep yang mereka gunakan sebagai hujah, seperti konsep realisme tadi. Sebenarnya keadaan ini sudah menjadi standard dalam penilaian sastera di Malaysia.

Saya telah menunjukkan kepincangan penilaian yang bermasalah dan tidak tepat ini dalam kertas kerja yang dibentang dalam “Seminar Jenaka Melayu Nusantara” (anjuran DBP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 21-23 Ogos 2003). Kertas kerja bertajuk, “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-Kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”, membincangkan secara kritis penilaian yang dibuat oleh panel dan nilai sebenar novel itu sendiri. Dalam penelitian saya, panel telah gagal menilai karya ini dengan saksama dan wajar. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., yang menganjurkan peraduan menulis novel Hadiah Sako II, tentulah mempunyai alasan tersendiri untuk memilih sebuah novel picisan untuk memenangi hadiah itu. Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana para penilai yang terpilih, yang bertaraf profesional dalam bidang mereka, boleh tertarik kepada karya picisan ini dengan memberinya kemenangan.

Kegagalan panel membuat penilaian yang tepat dan bagaimana kegagalan ini membuktikan betapa keliru dan kacaunya ukuran yang dipakai oleh para penilai perlu dibincangkan, kerana kesilapan yang mereka lakukan mempunyai kesan buruk kepada perkembangan sastera Malaysia. Kegagalan ini akhirnya menjadi Skandal Sastera Abad 21,  sebagai bukti betapa meragukan citarasa para penilai sastera di negara ini, dan betapa longgarnya hujah-hujah mereka untuk mempertahankan citarasa yang meragukan tadi. Kesannya kepada perkembangan sastera sudah jelas: karya-karya yang disanjung selama ini sebenarnya bukanlah karya terbaik, tidak mencerminkan kecerdikan dan ketajaman analisis, sekadar menyerlahkan keupayaan sasterawan yang sebenarnya amat sederhana (mediocre), di samping menonjolkan kegopohan dan kekeliruan para penilai. Jarang orang bersedia mengaku bahawa kesilapan dalam penilaian jauh lebih merosakkan daripada kehadiran karya tidak bermutu. Kita akan melakukan dua kesilapan besar apabila berlaku kesilapan dalam membuat pilihan dengan meletakkan karya yang tidak bermutu, yang picisan, sebagai karya besar dan bermutu tinggi. Perkara seumpama ini perlu dibetulkan, dan dihindarkan daripada berlaku lagi. Penilai dan sarjana sastera tidak harus terlampau ghairah memuji karya-karya yang amat sederhana mutunya (mediocre), atau memberi hadiah dan kedudukan tinggi kepada karya-karya demikian. Kita tidak harus menggalakkan mediocrity dalam kegiatan intelektual kita.  Kawin-kawin adalah sebuah novel cemuhan yang ditulis berasaskan kebencian dan rasa meluat penulisnya terhadap seteru politiknya. Kesimpulan ini tidak dapat dielak kerana Azizi Hj. Abdullah tidak sedikit pun berusaha menganalisis persoalan yang ingin dikemukakannya secara objektif, sehingga boleh membuat seseorang memahami persoalannya dan dapat melihat mengapa persoalan itu timbul dan bagaimana penulisnya menganalisis persoalan tadi dalam konteksnya. Kita diberitahu bahawa terdapat seorang perempuan kaya bernama Mas Umm, yang suka berlaki, dan menjadi rebutan para lelaki. Sekali imbas Mas Umm itu seolah-olah Semenanjung Tanah Melayu, yang dijajah oleh Inggeris, oleh itu kata penulisnya suami Mas Umm yang pertama ialah Bani Putih, yakni orang Inggeris. Menurut penulis, “perkahwinan” itu lebih tepat dipanggil perogolan, kerana tidak ada kerelaan di pihak Mas Umm. Dia dipaksa berkahwin dengan Bani Putih. Jelas di sini Azizi merujuk kepada penjajahan Tanah Melayu oleh Inggeris. Tetapi kemudiannya Mas Umm menjadi tokoh lain samasekali, apabila kita diberitahu bahawa selepas Bani Putih meninggal, dia berkahwin mut’ah dengan beberapa orang tokoh. 

Sekali imbas ideanya kelihatan seolah-olah bagus untuk dijadikan bahan novel yang menarik, tetapi kerana Azizi Hj. Abdullah tidak berminat meneroka dengan mendalam konflik politik ini, maka dia hanya berjaya menghasilkan sebuah karya picisan yang di dalamnya penuh dengan watak-watak yang gemar mencabut bulu ketiak, mencabut bulu hidung, suka mengorek tahi telinga kemudian menciumnya. Semua ini dianggapnya perlakuan jenaka, lalu diulang-ulang untuk mendapatkan kesan humor. Tetapi sangat jelas betapa kampungan “humor” yang cuba diselit Azizi dalam bukunya. Dengan itu Azizi masih terus kekal sebagai sasterawan kampungan, yang berasa nikmat dan bangga menggambarkan para wataknya mencabut bulu hidung dan sebagainya itu. Semua ini mencerminkan hanya satu perkara, iaitu sifat picisan karya ini dan sifat picisan pemikiran penulisnya.

                Seperti biasa dalam novel-novel Melayu, yang digambarkan ialah kebodohan dan kepandiran orang Melayu, termasuk para pemimpin yang memerintah negara dan negeri. Oleh kerana novel ini ditulis untuk mengkritik sifat munafik para pemimpin politik nasionalis oleh seorang penulis yang cenderung kepada politik agama (bukan seorang intelektual), maka di dalamnya penuh dengan sumpah-seranah, maki-hamun, cacian dan laknatan, ungkapan lucah dalam bahasa yang kasar dan kesat, yang nyatalah lahir daripada kebencian yang mendalam, dendam yang membara, kemarahan yang meluap-luap, dan perasaan meluat yang dicurahkan semahu-mahunya membanjiri setiap muka surat novel ini. Dengan mengutuk watak-wataknya, tanpa memberi sebarang hujah dan analisis yang munasabah terhadap setiap peristiwa dan persoalan yang ingin diketengahkan, maka Azizi sebenarnya tidak mempunyai persoalan yang jelas, kecuali untuk mengutuk, menyeranah, dan memaki-hamun sewenang-wenangnya.

                Oleh itu dia bukan menulis sebuah karya seni yang cermat dan penuh kebijaksanaan, kerana tumpuannya kepada soal-soal picisan, dengan meninggalkan sama sekali persoalan politik yang saya kira menjadi dasar novelnya. Demikianlah novel yang malang ini, yakni malang kerana dinobatkan sebagai novel terbaik sekarang, adalah sebuah novel picisan. Ideanya picisan, tekniknya picisan, analisisnya picisan, wataknya picisan, dan sedikit “humor” yang cuba dimasukkan sasterawan ini adalah “humor” picisan.

                Andainya novel ini diambil sebagai adanya, tanpa mengaitkannya dengan tokoh-tokoh politik tertentu dari parti-parti yang mereka wakili, seperti kita mengambil cerita Pak Pandir sebagai adanya, maka sifat picisannya akan kelihatan lebih jelas, lebih ketara, lebih menonjol, dan mutunya sebagai karya kreatif akan lebih rendah lagi. Cerita jenaka Pak Pandir ternyata lebih baik dan lebih bernilai. Di sinilah kesilapan para penilai dalam membuat pemilihan untuk memberi kemenangan kepada novel picisan ini.

Adalah amat ironis bahawa selepas melahirkan beberapa orang Sasterawan Negara, sastera Melayu moden akhirnya memasuki era picisan. Saya telah membicarakan persoalan ini dalam tulisan saya, “Era Picisan Dalam Sastera Melayu” (Dewan Sastera, Julai 2002). Dalam tulisan itu, saya menegaskan bahawa istilah picisan tidak boleh difahami secara picisan, dengan hanya membataskannya kepada aspek kelucahan semata-mata. Istilah picisan haruslah difahami secara menyeluruh, meliputi idea, tema, bahasa, gaya, watak dan perwatakan, lambang, dialog, paksi naratif, kriteria penilaian, dan lain-lain aspek yang berhubungan dengan penciptaan karya kreatif dan penilaiannya. Semua aspek itu menjadi picisan apabila diolah secara mudah, cetek, dangkal, menyeleweng daripada nilai-nilai tamadun manusia yang beradab, yakni melihat semua perkara daripada kemahuan hawa nafsu manusia yang ingin bebas lepas daripada tanggungjawab taklif. Sebuah karya akan menjadi karya picisan apabila karya tersebut menjadikan kejahatan sebagai nilai utama dalam penciptaan karya tadi, misalnya apabila perzinaan diperindahkan begitu rupa untuk kononnya menyerlahkan tragedi manusia yang tertindas, teraniaya, tertipu dan sebagainya, dengan memaparkan dengan terang perlakuan perzinaan tadi sehingga menjadi lambang tertentu dalam karya tersebut. Misalnya, apabila perkahwinan mut’ah yang haram dalam Sunni Islam, dijadikan paksi naratif dalam sebuah karya dan para watak digambarkan ingin melaksanakan perkahwinan mut’ah tadi untuk mencapai matlamat dan kemahuan hawa nafsu mereka, seperti yang terjadi dalam Kawin-kawin. Dalam Salina, sebuah novel picisan yang disanjung tinggi, perzinaan diperindah begitu rupa dengan diberi aspek cinta suci, apabila Salina sang pelacur bersekudukan dengan seorang lelaki yang dianggapnya mempunyai iras yang sama dengan bekas kekasihnya. Penilaian terhadap novel Salina menjadi picisan apabila aspek ini dijadikan salah satu kriteria,  digandingkan dengan kriteria yang lain seperti sifat kemanusiaan dan belas kasihan Salina, penderitaan yang dialaminya, dan kezaliman masyarakat yang memaksanya menjadi pelacur. Semua kriteria ini dikatakan menyumbang kepada kehebatan perwatakan Salina, sehingga dia dijadikan seorang wanita unggul untuk dicontohi oleh wanita Melayu yang beragama Islam. Ukuran dan penilaian begini menjadi picisan kerana melonjakkan kejahatan setinggi-tingginya untuk dijadikan hujah bagi menentukan mutu sesebuah karya, padahal kejahatan itu tidak mungkin menjadi baik jika diukur daripada perspektif hawa nafsu manusia semata-mata, jauh menyimpang daripada hakikat taklif yang menjadi asas kejadian manusia.

                Dalam novel Kawin-kawin ini, Azizi Hj. Abdullah menjadikan perkahwinan mut’ah sebagai permainan politik para wataknya, yang menunggu giliran untuk mengahwini Mas Umm. Mengingat bahawa kahwin mut’ah ditolak oleh Sunni Islam, dan barangsiapa yang melakukannya adalah melakukan zina, adakah Azizi Hj. Abdullah ingin memberitahu kita bahawa terjadi “perzinaan” politik di Malaysia sejak tertubuhnya UMNO dan berkuasanya parti itu hingga sekarang? Jika itu maksudnya, mengapa dia menjadikan perkahwinan mut’ah sebagai paksi naratif, padahal dia tahu dia sebenarnya menjadikan perzinaan sebagai kegiatan terhormat dan mulia dalam masyarakat? Dia sebenarnya tidak bermaksud hendak menghina para pemimpin UMNO semata-mata, malah dikenakannya juga kepada para pemimpin politik agama seperti Tuan Guru Lebai Yazan. Halaman 159, dua baris akhir, memberitahu kita persetujuan Tuan Guru Lebai Yazan yang menerima perkahwinan mut’ah sebagai sah di sisi Sunni Islam, dan boleh dipraktikkan dengan meluas oleh ahli politik nasionalis dan agama. Pendeknya, semua ahli politik pada pandangan Azizi Hj. Abdullah mengamalkan kahwin mut’ah dalam keghairahan mencari kuasa dan kepuasan nafsu. Golongan nasionalis dan agama, menurut Azizi Hj. Abdullah, melakukan “perzinaan” politik di Malaysia. Yang menghairankan ialah mengapa Azizi menjadikan perkahwinan mut’ah dan perzinaan sebagai paksi naratifnya, seolah-olah beliau tidak sedar bahawa perbuatan itu menghina Islam dan institusi perkahwinan dalam Islam.

                Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana panel pemilih tidak melihat bahawa Azizi mempersendakan Islam, menghina dan mempermainkan hukum perkahwinan dalam Islam. Semudah itukah seorang sasterawan boleh menjadikan institusi perkahwinan sebagai metafor kepada perlakuan politik haram menurut pandangannya? Dan senaif itu pulakah para penilainya melihat novel ini sebagai “membawa persoalan yang segar yang dapat menyumbang kepada usaha mempelbagaikan tema novel berbahasa Melayu”, sebuah karya yang “mempunyai kekuatan tersendiri dari segi kemungkinan untuk pembacaan pelbagai lapis atau multidimensi”? Mungkin mereka akan berkata bacaan saya adalah salah satu bacaan pelbagai lapis atau multidimensi itu! Tetapi saya tidak fikir begitu, kerana novel ini mempunyai hanya satu dimensi, yakni dimensi picisan, yang tidak mungkin diberi tafsiran yang lebih mendalam, kerana memang tidak terdapat apa-apa yang boleh membuat kita pergi lebih jauh daripada dimensi picisan tadi. Oleh itu, tafsiran saya adalah tepat, sahih, dan paling wajar dengan sifat picisan novel ini, satu-satunya tafsiran yang berlaku adil kepada novel ini dan kepada Azizi Hj. Abdullah sendiri.
                Seperti anggota panel yang “membaca” novel ini secara harfiah, secara tersurat, oleh itu tidak boleh “membaca” makna tersirat novel ini yang menghina institusi perkahwinan dalam Islam, maka demikianlah juga penulisnya sendiri pun tidak sedar bahawa dia sedang mempermainkan hukum Islam dan menghina Islam sebagai satu agama yang memandang tinggi perkahwinan, sebagai asas kehidupan bermasyarakat. Mungkin kerana kebencian Azizi begitu meluap-luap, maka dia secara tidak sedar telah terdorong untuk mencaci agamanya sendiri ketika dia sedang mempersendakan para pemimpin nasionalis ini. Azizi Hj. Abdullah bukanlah seorang yang jahil, kerana beliau adalah seorang ustaz, yang belajar di sekolah agama yang didirikan oleh almarhum ayahanda Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia sengaja menjadikan perkahwinan dalam Islam sebagai lambang dalam karya yang dipanggil “alegori-komedi” oleh Shahnon Ahmad, adakah beliau sedar implikasinya dalam Islam? Sebagai seorang ustaz, yang tentu saja tahu selok belok Islam, beliau jelas tidak sensitif kepada agamanya dan mempersetankan begitu saja perasaan orang lain yang menganut Islam. Inilah kehairanan yang amat besar yang perlu dijelaskan oleh beliau. Adalah mustahil beliau tidak membaca kitab yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadith (Jilid I, edisi Jawi, hal. 260-266),  yang di dalamnya jelas memberitahu kita, barangsiapa mempersendakan ajaran Islam atau hukum-hukumnya atau institusinya (seperti perkahwinan), jika dilakukan dengan sengaja, boleh membuat seseorang jadi murtad. Tidakkah ini satu perkara yang amat serius? Oleh itu amatlah aneh apabila Shahnon Ahmad membuat kesimpulan, bahawa pembaca akan “ketawa besar” membaca “kelucuan” novel ini. Kesimpulan begini sungguh ajaib, kerana tidak mungkin seorang sasterawan yang melaungkan slogan “Sastera Kerana Allah” boleh tertawa ketika agama Islam sedang dipersendakan begitu rupa seperti dalam novel ini.

Kemunculan novel Kawin-kawin sebagai pemenang peraduan menulis novel, membuktikan kegagalan penilaian karya kerana terdapat kekeliruan nilai dan kelonggaran ukuran yang dipakai, sehingga terpilihnya karya picisan ini. Kemunculan novel ini juga membuktikan bagaimana kelirunya konsep sastera seorang sasterawan berpengalaman seperti Azizi Hj. Abdullah. Dari segi nilai dan ukuran yang dipakai, jelaslah bahawa penggunaan apa yang boleh disebut sebagai “nilai sastera” menurut acuan Barat tidak boleh dipakai lagi untuk menilai karya sastera Melayu, tanpa risiko terbabas landasan untuk kemudiannya menerima sebuah karya yang nyata bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya Melayu. Ukuran panel penilai yang menjadikan “tema baru” sebagai asas penilaian mereka ternyata tidak tepat, lebih-lebih lagi dari segi konsepnya “tema baru” itu tidak diberi takrif yang jelas. Apakah yang baru dalam novel ini? Panel ternyata silap dengan menganggap “kawin-kawin” sebagai “tema baru”,  padahal ungkapan itu sudah lama dipakai oleh anak-anak dalam permainan mereka.  Jika para watak dalam novel ini memang menjadikan “kawin-kawin” sebagai permainan mereka, yakni sebagai permainan politik, maka jelaslah perbuatan itu bertentangan dengan semangat perkahwinan dalam Islam.

Watak-watak dalam novel ini adalah penganut Islam dan terdiri daripada orang Melayu. Di sinilah timbul masalah yang disebut dalam tulisan ini, iaitu apabila penulisnya dengan begitu sewenang-wenang mempersendakan institusi perkahwinan dalam Islam sebagai paksi naratif untuk mengutuk/mengkritik musuh-musuh politiknya. Azizi Hj. Abdullah menghadapi masalah pengolahan tema yang berat, yang tidak dapat ditanganinya oleh kerana beliau tidak mencuba menganalisis persoalannya dengan mendalam. Akibatnya, dia hanya berjaya membina sebuah naratif biasa, sejenis omongan sastera yang di dalamnya terdapat “humor” kampungan yang biasa kita dengar di kedai-kedai kopi kampung. Dengan menjadikan Malang begitu bodoh, Azizi tidak menghadapi masalah pengolahan dalam pembinaan watak dan penerokaan naratif yang boleh dipakai untuk menghuraikan perlakuan aneh para wataknya. Dengan menulis dalam bentuk yang dihidangkannya kepada kita, maka dia tidak memberi kesempatan kepada wataknya untuk mentakrifkan masalah yang mereka hadapi, dan pembaca pula tidak dihadapkan dengan konflik dan pemikiran yang canggih. Persoalan atau tema yang dikemukakan adalah terlalu dibuat-buat, diada-adakan, penuh dengan fantasi murahan  yang bukan berlandaskan renungan dan pemikiran yang mendalam.

Kelemahan paling menonjol dalam novel picisan ini ialah temanya tidak pernah ditakrifkan dengan jelas, kerana itu tidak mungkin dapat diolah dengan memuaskan. Akibatnya, perwatakan dalam novel ini menimbulkan kontradiksi yang aneh: Malang tiba-tiba menjadi gila, Siti Menurra yang berbudi pekerti mulia itu akhirnya muncul sebagai seorang perempuan yang penuh tipu muslihat, kejam dan jahat; tetapi yang lebih mengejutkan ialah Tuan Guru Lebai Yazan muncul sebagai seorang munafik yang tidak boleh dipercayaai, yang seolah-olah “pandai” bercakap tentang agama, tetapi tidak kelihatan sama sekali ketinggian akhlak dan sifat ihsannya. Dalam bahagian akhir novel (hal. 241-266), sifat munafik Lebai Yazan dan Siti Menurra terserlah lebih jelas apabila mereka menghadapi Malang yang kini gila. Kedua-duanya cukup berpuas hati kerana akhirnya musuh mereka dikalahkan, dan bangga kerana dapat menghina musuh politik mereka di hadapan para jemaah mereka sendiri. Lebai Yazan, seperti kucing jantan yang garang, dan Siti Menurra, seperti kucing betina yang galak, seronok mempermainkan Malang, tikus bodoh yang tidak putus asa ingin berbaik-baik dengan kucing yang sejak awal-awal lagi memandang rendah kepadanya. Demikianlah kisah picisan ini berakhir, dengan kemenangan mutlak golongan pemimpin agama yang sudah dapat membalas dendam mereka dan berpuas hati dengan kemenangan itu. Yang agak mengejutkan pembaca yang naif dan kurang kritis ialah akhir cerita berupa kemenangan munafik agama ke atas munafik nasionalis. Barangkali inilah kejayaan sebenar Azizi Hj. Abdullah yang mungkin tidak disangka-sangkanya.

Tetapi yang paling menghairankan, yang juga memeranjatkan kita, ialah bagaimana tokoh-tokoh pemimpin nasionalis yang jahat itu tidak muncul sebagai orang jahat yang sepatutnya jika dibandingkan dengan kemunculan tokoh-tokoh pemimpin agama tadi. Sesuatu yang ajaib telah berlaku kepada struktur naratif Azizi, yang telah membuat tokoh-tokoh yang dibenci hilang begitu saja. Apabila Malang dijadikan gila, dari segi struktur naratifnya tokoh-tokoh pemimpin agama didedahkan sifat sebenar mereka, dan Malang menjadi bukti akan kepalsuan mereka. Kesimpulan ini agak sukar difahami jika seseorang tidak pernah mencuba membina naratif dalam karya kreatif, tetapi sebenarnya boleh difahami oleh sesiapa juga yang tajam pemerhatiannya dan cerdas akalnya untuk melihat kontradiksi yang disebutkan itu. Andainya Malang muncul sebagai watak yang benar-benar insaf, jujur, berani menghadapi kebenaran, dan terdidik dengan nilai-nilai Islam, maka perubahan ini akan membuatnya menjadi watak yang kuat, dan Lebai Yazan sendiri akan benar-benar muncul sebagai tokoh agama yang bijaksana. Ketika itulah sifat picisan novel ini akan terhapus, atau setidak-tidaknya dikurangkan. Tetapi kerana unsur jenaka murahan itulah yang menjadi tumpuan Azizi, maka kesempatan yang ada untuk membuat novel ini bermutu hilang begitu saja. Beliau tidak belajar daripada kisah Rabiatul Adawiyyah, atau daripada kisah Fudail bin Iyad, yang kedua-duanya sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai orang-orang yang tidak berapa beruntung awalnya, tetapi menjadi ahli sufi terkenal dan disanjung umat Islam kerana keinsafan mereka kemudiannya. Kedua-duanya hidup sezaman, dengan Rabi’ah meninggal dua tahun awal daripada Fudail. Mengapa Azizi tidak mahu menjadikan Malang berubah menjadi baik berasaskan teladan dua orang tokoh ini, yang salah satunya disebut olehnya? Barangsiapa yang tahu kisah hidup Fudail bin Iyad tentu akan berasa terkilan apabila Azizi melemparkan begitu saja berlian yang ada di dalam tangannya, mungkin kerana dia tidak kenal, dan jika kenal tidak ada kemahiran untuk mengukirnya menjadi kalung yang indah.

Oleh itu, tidak seorang pun di antara watak-watak dalam novel ini yang muncul sebagai orang baik-baik, yang bermoral dan yang kuat perwatakannya. Seperti yang saya tegaskan, mereka tidak lebih daripada sejenis hantu sahaja, mempunyai nama, tetapi tidak ada peribadi sebagai manusia yang hidup dan berfikir. Inilah hasil kegelojohan bercerita dan kerakusan berjenaka yang tidak didasarkan kepada pemikiran yang mendalam. Azizi dengan sewenang-wenangnya mempermain-mainkan agama Islam, menjadikannya bahan jenaka murahan. Hasilnya amat mengecewakan, dan sungguh mengejutkan, baik sebagai hasil sastera maupun sebagai hasil analisis politik (?). Oleh itu, novel ini tetaplah berada di peringkat picisan dari segi tema, perwatakan, bahasa, struktur, dan pengolahan. Novel ini hanya mencerminkan kemunduran dan kedangkalan para sasterawan, bukan kecerdikan dan kepintaran mereka mengolah watak dan persoalan. Barangkali Kawin-kawin adalah novel picisan terbaik selepas Salina dan Shit.

Kepincangan penilaian ini berlaku sekali lagi dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. Sekali lagi Azizi Hj. Abdullah diberi kemenangan, dengan mendapat tempat kedua dengan hadiah RM50,000.00.  Novel yang diberi kemenangan itu berjudul Harga Sebuah Maruah. Prof. Ungku Maimunah telah menulis satu analisis yang mendalam tentang novel ini dalam sebuah kertas kerja, yang akan dibincangkan dalam satu seminar. Oleh itu saya tidak akan membicarakan novel ini di sini; kita tunggu saja kertas kerja Prof. Ungku Maimunah itu dibentang oleh  beliau nanti.   Dalam sebuah tulisan lain, “Wanita Sebagai Objek Seks: Persepsi dan Pengungkapannya Dalam Novel Bila Hujan Malam oleh Azizi Hj. Abdullah” (dibentangkan dalam Seminar SEBUMI 3 2010, 12-13 Oktober 2010 di UKM), Prof. Ungku Maimunah mengutip kesimpulan A. Rahim  Abdullah tentang “semangat keislaman” Azizi, dalam kata-kata berikut:  “minatnya [Azizi] terhadap kesucian agama Islam menjadi titik tolak pengarang ini menghasilkan novel dan fiksyennya” yang bercorak Islam.  Tetapi huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novelnya Bila Hujan Malam (1976) dan analisis saya tentang Kawin-Kawin (2002) menunjukkan sebaliknya, dengan itu kesimpulan A. Rahim Abdullah tidak saja amat disangsikan kewajarannya, malah membuktikan betapa naifnya penilaian para peneliti sastera, atau pengkritik sastera, seperti A. Rahim Abdullah. Ini menjadi lebih menarik apabila Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya membuat kesimpulan berikut: “Penelitian tentang Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu penilaian karya sastera tertinggi di negara kita, jelas menunjukkan “keyakinan” yang serupa mendasari penilaian anugerah berprestij tersebut”. Prof. Ungku Maimunah merujuk pandangan dan pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang menjelaskan mengapa beliau cukup selesa menulis karya picisan yang berunsur seks, “mendukung fahaman perlunya kekotoran diutamakan sebagai paksi cerita” seperti yang disimpulkan oleh Prof. Ungku Maimunash. Inilah bukti yang diberikan oleh beliau, dalam kata-kata Azizi sendiri: “Ini bukan salah saya. Yang salah ialah karya dan penulisan penulis lain yang mendedahkan dan menelanjangkan semua ini sehingga memberi keyakinan bahawa jika hendak menjadi penulis, dunia seperti inilah yang perlu dikecimpung” (hal. 9 dalam buku beliau, Kuras-kuras Kreatif, DBP 2007).  Terdahulu dari itu, Prof. Ungku Maimunah mengutip pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang memeranjatkan ini: “Pada masa itu [1960-an] karya kreatif berunsur lucah sering tersiar ... Saya cuma nampak dunia kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis.  ... Bagi saya ketika itu, dunia penulisan ialah dunia yang penuh dengan kekotoran yang perlu dibongkar dan diceritakan kepada umum. Bagi saya ilham hanyalah boleh diangkat dari tempat kotor termasuk di dalam tandas” (hal. 8-9).  Dengan sikap yang begitu naif, yang menyerlahkan aspek pandirisme seorang sasterawan yang hanya suka bercerita (yang bersifat erotik yang mengutamakan kehangatan unsur seks dalam novel), maka tidak hairanlah jika beliau tidak mahu menjadi seorang “pemikir”, cukup hanya menjadi seorang “peniru” seperti yang diakuinya. Dalam konteks inilah Azizi Hj. Abdullah mensensasikan hampir semua novelnya, dan ini amat dikagumi oleh pengkritik seperti A. Rahim Abdullah, atau seorang sarjana seperti Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang memberi pujian tinggi terhadap novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang menggunakan ciri sensasi dalam perilaku watak untuk membina cerita yang tidaklah lebih baik daripada sebuah novel picisan biasa. (Lihat tulisan profesor ini, “Seorang Tua di Kaki Gunung: Dari Teks ke Teks”, untuk Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi 19-21 Disember 2005).

Barangkali contoh terbaik tentang kekeliruan penilaian ini diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Ketika menilai novel-novel A. Samad Said, Panel memberikan pendapat ini untuk novel Langit Petang (DBP 1980; dicetak semula 1988): “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga tiga buah cerpen dapat diadun menjadi sebuah novel yang berkesan. ... Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja. Tetapi selain tekniknya yang merupakan hallmark karangan-karangan A. Samad  Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian ragam dan tindakan manusia. ... Jadi sebenarnya ada persoalan atau perutusan dalam novel Langit Petang, yang mestilah dicari melalui teknik-teknik yang secara sedar diolah oleh A. Samad Said supaya apa-apa yang digambarkannya dapat mencabar daya fikir kita sebagai pembaca” (Laporan 1985, hal. 16-17). Bagaimana kesimpulan yang saling bertentangan ini  muncul boleh dilihat kekacauannya apabila dibaca bersama kenyataan ini: “Bagi A. Samad Said  ... sastera adalah seni, walaupun sastera tetap membawa falsafah dan pandangan hidup. Mungkin daripada segi inilah A. Samad Said merupakan seorang peneroka dalam alam penulisan novel Melayu ...” (hal. 15); diikuti dengan kesimpulan yang menarik ini: “Jelas bahawa novel memberi A. Samad Said kesentosaan dan kepuasan bermain di atas kanvas yang besar – menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup – satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya” (hal. 18).  Jika kita melihat kesimpulan ini dalam konteks Langit Petang, kita akan berasa amat kecewa kerana karya yang dipuji oleh Panel itu, yang diterbitkan kira-kira 20 tahun selepas Salina, satu jangka waktu yang lama untuk berfikir dan menjadi matang,  kita tidak menemui apa yang disebut “penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup” terserlah dalam Langit Petang.  Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya, “Gender Relations in A. Samad Said’s Langit Petang” (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan,  ATMA 2008; hal. 274-287), menyebut pandangan Rosnah Baharuddin yang menganggap Langit Petang sebagai “a novel of ideas”, dengan memberi kesimpulan ini: “To take Langit Petang on Rosnah’s terms, which is to scrutinise opinions and thoughts expressed by the fictitious characters, one is similarly hard-pressed to credit Langit Petang as a novel of ideas” (hal. 285).  Jika kesimpulan ini,  yang dicapai dengan analisis yang teliti, dibandingkan dengan kesimpulan longgar yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati penerokaan dan “penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup” itu tidak terdapat dalam novel yang mendapat pujian tinggi Panel ini, malah yang terjadi adalah sebaliknya.  Inilah kesimpulan akhir Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya: “... critical reception that touts Langit Petang as a novel of ideas is faulty at best and harmful at worst. It also points to the need for a fuller understanding of the importance of privileging knowledge and ideas in creative works, and how this may be realised” (hal. 287).  Barangkali kesimpulan ini sukar difahami oleh anggota Panel dan Rosnah Baharuddin kerana mereka tidak menerima peranan ilmu (yang benar) dalam karya kreatif, walaupun mereka menyebut  tentang falsafah, idea, pemikiran dan sebagainya, tetapi semua itu tidak diterima sebagai ciri penting, malah ciri utama, dalam karya kreatif yang berbobot. Dalam konteks inilah kefahaman tentang konsep wacana boleh membantu mereka memahami di mana duduknya ilmu  dan pemikiran dalam karya kreatif. [Akan disambung untuk membincangkan aspek kedua dan ketiga].

Mohd. Affandi Hassan,  5/10/2011.