Tuesday, June 30, 2020

TULISAN LAMA YANG TETAP BARU

Nota: saya terjumpa tulisan ini ketika meneliti fail lama. Disiarkan untuk kritikan anda, atau lebh baik untuk dimanfaatkan seadanya. TK



Katak Bawah Tempurung Tak Lepas Lompat Busut


Oleh

Mohd. Affandi Hassan


            Sekitar tahun 1970-an, para sasterawan dan pengkritik sastera geger menjerit-jerit marah kononnya saya membunuh bakat-bakat baru melalui tulisan saya. Kini timbul pula jeritan baru yang menuduh gagasan Persuratan Baru yang saya kemukakan bertujuan menjatuhkan sasterawan besar negara. Persuratan Baru bertujuan memartabatkan karya kreatif dengan menjadikan taklif sebagai asas penulisan kreatif, menggunakan stylization of ideas sebagai teknik utama. Tidak ada langsung matlamat untuk menjatuhkan sesiapa pun. Jika ada yang merasa dirinya terketepi, maka hal itu terjadi kerana kelemahan mutu karya mereka, bukan kerana Persuratan Baru.
Tuduhan-tuduhan begini tidak saja tidak berasas, malah mencerminkan kerendahan pemikiran para sasterawan sendiri yang takut dinilai dengan kritis, kononnya akan terpelanting jatuh dari gunung ketinggian yang mereka duduki sekarang. Berapa ratus bakat baru yang saya bunuh tidak pernah dinyatakan, demikian juga berapa puluh orang tokoh besar yang saya jatuhkan tidak pernah ditunjukkan. Inilah cara berfikir picisan yang masih menjadi pegangan para sasterawan, penilai dan pengkaji sastera Melayu. Bahawa hal ini timbul pada waktu ini bagi saya sangat menarik, membuktikan sekali lagi sifat sebenar pemikiran picisan dan penilaian picisan yang menjadi kemegahan para sasterawan dan penilai sastera Melayu. Dalam bulan Mei 2002 saya menulis beberapa buah rencana untuk membahaskan beberapa perkara yang saya anggap penting, tetapi tidak sebuah pun tulisan itu tersiar. Yang tersiar (Mingguan Malaysia, 25/5/2002), menurut maklumat yang disampaikan kepada saya dari Utusan Melayu dan universiti, ialah tulisan yang sudah lebih enam bulan, malah mungkin sudah setahun disimpan oleh akhbar itu. Tulisan itu kini disiarkan untuk menunjukkan bahawa tulisan-tulisan saya yang tidak tersiar itu bertujuan "menjatuhkan tokoh-tokoh besar".
            Antara tulisan yang tidak mahu disiarkan itu membicarakan tokoh agung abad 20, tentang Utusan Melayu telah tertipu kerana memberikan Hadiah Sako II kepada sebuah karya picisan, tentang penilai dan penilaian picisan dalam sastera Melayu, dan lain-lain. Saya tidak bermaksud mengulas tulisan-tulisan tersebut, tetapi saya ingin menyebut di sini bahawa terdapat kecenderungan untuk "membisukan" saya dengan tidak menyiarkan tulisan-tulisan tadi, supaya tokoh-tokoh tertentu yang jelas bukanlah tokoh yang besar dan utuh sebenarnya, tidak terjejas kedudukannya. Jika ini benar, masyarakat sudah kehilangan peluang besar untuk menimbang pendapat-pendapat kritis saya yang boleh membuat mereka lebih teliti dan bertanggungjawab dalam membuat penilaian. Jika andaian ini benar, tentulah masyarakat akan jadi marah apabila dalam abad moden pun masih terdapat mentaliti "carik baju raja dilompati todak sebab akal budak", yang berdegar-degar menyesali pembunuhan budak cerdik, tetapi awak sendiri mengamalkan diskriminasi dalam memberi pendapat. Apa-apa juga yang awak tidak mahu dengar, awak ketepikan. Apa bezanya awak dengan raja yang membunuh budak cerdik itu?
            Sejak gagasan Persuratan Baru diketengahkan, jarang benar kita dengar orang bercakap tentang anjakan paradigma (paradigm shift), mungkin kerana mereka ketakutan akan berpindah dari sastera kepada Persuratan Baru. Mereka tidak perlu takut, kerana perpindahan itu akan membuat mereka lebih cerdik, dan karya mereka akan lebih bermutu. Sebenarnya para pengkritik saya sehingga sekarang belum lagi membahaskan dengan mendalam apa-apa juga pandangan saya yang mereka anggap "membunuh" dan "menjatuhkan" itu. Mereka tidak berupaya berbuat demikian, selain kerana ilmu yang cetek, mereka sebenarnya takut terkena ke batang hidung sendiri jika analisis saya dibahaskan dengan mendalam. Jalan paling mudah ialah membuat tuduhan, kemudian mendiamkan diri. Merekalah yang sebenarnya berbuat keburukan yang jelik sekali, iaitu membuat tuduhan palsu yang tidak pernah dibuktikan. Siapa yang jahat sebenarnya? 
            Jadi kita lihat perbincangan tentang sastera di Malaysia masih berlegar di sekitar soal remeh-temeh, masih berada pada peringkat gosip, peringkat ocehan di kedai kopi. Ini terjadi kerana para sasterawan dan pembicara sastera kita masih kampungan, masih berada di bawah tempurung kecil kampungan, takut melihat matahari yang akan menyerlahkan kurap intelek mereka, dan jika sekali sekala keluar melompat, mereka hanya bermain di lopak-lopak kecil atau berkeliling di busut-busut kecil. Melompat busut kecil pun tak lepas, apatah lagi hendak mendaki gunung ilmu yang tinggi-tinggi. Saya telah membicarakan panjang-lebar tentang perkara ini dalam tulisan berjudul "Dari paradigm shift ke paradigm shit: Sastera Melayu dalam Siratan Makna dan Ciritan Kata", dan sebuah lagi tulisan yang menghuraikan corak pemikiran dan penilaian picisan berjudul "Era Picisan Dalam Sastera Melayu". Kedua-dua tulisan ini membicarakan pemikiran kampungan dan picisan yang sangat bangga dimegahkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera, terutama sekali jenis "sarjana guru sekolah" yang banyak merosakkan sastera Melayu moden. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan saya akan diberi peluang seluas-luasnya membahaskan hujah dan bukti yang saya kemukakan.
            Baru-baru ini timbul sedikit keriuhan tentang Hadiah Nobel. Saya telah memberikan pandangan saya, tetapi tidak disiarkan. Di sini saya ingin mengulang pandangan saya bahawa keriuhan di sekitar perkara ini sekali lagi membuktikan kebenaran tesis saya betapa kampungan dan picisannya pemikiran sasterawan kita. Benarlah kesimpulan Muhammad Iqbal yang menyatakan bahawa orang yang suka meminta-minta itu berjiwa hamba dan berhati kambing, tidak layak dihormati, tidak mempunyai peribadi tinggi yang boleh dicontohi. Adalah aneh bagi seorang yang telah menulis sajak panjang tentang Al-Amin masih mendambakan pemberian Alfred Nobel yang mencipta bahan letupan (dynamite) yang boleh membunuh dan menghancurkan apa saja, padahal seorang tokoh sufi tak terkenal yang digelar Wak Ali dari Wakaf Baru, Kelantan, ketika diminta menjelaskan bagaimana seharusnya seseorang beramal, dengan rendah diri berkata, "Beramallah seolah-olah kamu sedang meriba Nabi Muhammad." Perhatikan istilah "riba", lambang kasih sayang dan sifat prihatin terhadap orang yang kita kasihi. Seratus pemenang Hadiah Nobel pun tidak dapat menandingi kata-kata indah yang ringkas, tetapi amat berharga bagi yang tidak picisan pemikirannya itu. Kata-kata itu lahir daripada seorang yang menghayati ajaran Nabi s.a.w. Wak Ali jauh lebih besar daripada Alfred Nobel dan sebarang pemenang Hadiah Nobel Sastera, dalam sistem nilai yang kita orang Islam pakai. Renungkanlah dengan akal, bukan dengan nafsu serakah. Orang yang telah sampai ke peringat itu, kata Iqbal, "sanggup menggegar langit angkasa". Menurut al-Quran, orang yang diberi hikmah (yakni yang faham Quran dan Sunnah), telah diberikan kebaikan yang banyak (rujuk al-Quran, 2: 269). Perlukah Hadiah Nobel lagi? Hanya yang berjiwa picisan saja yang mendambakan Hadiah Nobel atau apa-apa juga hadiah. Wallahu a'lam.
Petaling Jaya,
1 Jun 2002.


ADAKAH KITA PERLUKAN KORUPSI DALAM MEMBANGUN NEGARA?

Menurut  ahli sosiologi Barat, korupsi adalah unsur penting dalam pembangunan negara di mana-mana saja, oleh itu soal halal haram korupsi tidak timbul. Kalau begitu, mengapa ramai orang masih lagi ditangkap kerana melakukan korupsi?  Saya tidak ada jawapan, habis sangat saya boleh berkata ialah, Nasib dialah…

Kalau dihalalkan, mengapa Malaysia perlu wujudkan satu institusi yang khusus untuk memerhati dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sesiapa yang korup.  Apa maksud ke atas sesiapa yang korup? Ini satu pertanyaan cepu emas yang mungkin tidak perlu dijawab. Tetapi sekali-sekala perlu juga kita berikan perhatian, kerana jawapan itu sendiri membuktikan betapa pentingnya korupsi dalam sesebuah negara yang mahu maju secara kebendaan.  Begini: korupsi itu perlu dijadikan tindakan untuk menghukum musuh politik kumpulan yang berkuasa. Di kalangan mereka sendiri hampir tidak ada tindakan diambil, kerana ini akan memalukan kumpulan mereka (atau kerajaan) dan mungkin menimbulkan kemarahan rakyat. Jika ini berlaku, maka kalahlah dalam pilihan raya nanti.

Mengikut  tokoh-tokoh politik yang berkuasa, korupsi yang dilakukan oleh lawan politik mereka mesti diberi perhatian penting, kerana penangkapan yang dibuat nanti akan menjadi bukti betapa korupnya sesebuah kerajaan.

Dalam kes 1MDB, riuh rendah suara percakaran ahli politik yang “bermusuhan” saling menuduh dan mencarut sesama mereka untuk membuktikan musuh mereka korup. Diikuti senarai dan jumlah wang yang lesap… Timbul persoalan: Kalau tokoh-tokoh politik ini begitu jahat dan tidak boleh dipercayai, mengapa mereka masih disokong?  Jangan jawab dulu, kerana anda sendiri akan terbongkar seorang yang korup juga!

Demikianlah hebatnya permainan korupsi ini. Yang menentang korupsi pun korup juga, apatah lagi yang betul-betul korup dalam tindakan politik mereka.  Kalau itulah realitinya, sepatutnya tidak ada tangkapan rasuah sama sekali, kerana pada hakikatnya dalam politik sekular, korupsi adalah realiti politik yang diterima oleh semua pihak. Yang berbeza hanya siapa yang berkuasa. Yang berkuasa, yakni kerajaan, boleh menuduh dan menangkap sesiapa saja yang mereka tuduh korup. Di sinilah tersirat ironi yang jarang dikesan dan diketahui orang. Mungkin anda sudah nampak sekarang, korupsi adalah permainan politik untuk menindas musuh politik yang ditakuti akan naik dalam perjuangan politiknya. Perjuangan? Ini pun satu istilah yang lumrah dalam pembicaraan tentang korupsi. Yang tepat perjuangan yang difahami dan dipraktikkan dalam politik adalah sebenarnya sebahagian dari kegiatan rasuah itu. Jika anda dapati sukar hendak memahami kesimpulan ini, cuba anda ambil satu atau dua tokoh politik dan perhatikan kegiatan politik mereka. Kita akan dapati, ada ahli politik yang dengan mudah dan megah berpindah tempat atau sokongan jika dengan berbuat begitu dia mendapat habuan yang dikejarnya. Ini sangat banyak berlaku dalam politik, dan terutama sekali dalam politik Malaysia. Tak payah sebut nama atau tunjukkan orangnya; hanya lihat saja bagaimana orang ini tampil dalam berita dan bagaimana pula berita itu ditulis tentangnya. Kalau anda tidak terkesan dengan penipuan perilaku ini, anda bolehlah dikatakan mempunyai potensi untuk menjadi wakil ketua parti yang korup itu. Masih belum faham?

Apa yang saya tulis dengan ringkas ini sudah pun dianalisis oleh Dr. Rosli Khan dalam Harakah 14 March 2012. Baca kembali ulasan beliau.  Anda akan dapat melihat wajah sebenar Tun Dr. Mahathir Mohammad dipaparkan dalam tulisan itu. Pada dasarnya orang politik Malaysia adalah bangsat: bangsat dari segi kewangan; bangsat dari segi mencari pengaruh; bangsat dari segi moral atau akhlak.    Dari segi kewangan mereka mengumpul harta haram dari pelbagai sumber (anda perlu buat senarai sendiri mengenai sumber ini); mereka juga bangsat dari segi pengaruh, mereka mahu dihormati dan dijadikan tokoh rujukan (sebagai contoh dalam kejayaan hidup).  Bangsat dari segi moral ini pula boleh dilihat dalam sikap mereka terhadap kejahatan, apa juga jenis kejahatan yang dilakukan manusia.  Sekarang PM ke 8 dikutuk oleh orang yang tidak bersetuju dengan beliau sebagai PM pencuri masuk ke rumah orang melalui pintu belakang atau tebuk atap. Dia tidak ada suara dari segi bilangan ahli parlimen, walaupun ada yang mengatakan dia sudah melebihi angka yang diperlukan. Tapi belum diuji, kerana tidak mahu dibawa ke Parlimen untuk diundi.  Kata puak yang tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tokoh ini tidak ada keyakinan dia boleh  bertahan jika diikuti procedure biasa. Inilah tabiat pencuri, kata orang yang mengutuk PM tebuk atap ini. Sudah jelas dilihat dari segi mana sekali pun (segi politik, segi moral dan lain-lain) PM 8 ini memenuhi semua ukuran yang dikenakan kepada pencuri. Ini tidak menjadi masalah dalam politik, kerana politik berkuasa mengubah segala nilai yang dulunya terpakai, boleh saja ditukar dengan nilai-nilai terkutuk oleh masyarakat, asal saja yang mengubahnya mempunyai kuasa untuk membentuk nilai baru dari segi politik, walaupun tidak dari segi moral. Persis inilah yang dilakukan oleh PM 8 ini, yang setiap ucapannya disusuli dengan keratan ayat-ayat Quran yang sesuai dengan kehendaknya dan motifnya. Satu keistimewaan beliau ialah, para ustaz yang kini menjadi anggota kabinetnya, menerima perubahan ini dan menyokong sikap mengada-ada PM 8 ini ketika memperkuat kedudukannya yang lemah itu dengan melontarkan ayat-ayat Quran  untuk mendapat sokongan Melayu.  Walaupun ada yang berkata beliau menjual agama, nampaknya tidak menjadi sesuatu yang salah kerana sahabat barunya dari PAS sudah lama melakukan perbuatan yang sama.  Presiden PAS yang dimuliakan masih belum dapat meyakinkan masyarakat bahawa dia tidak menerima apa-apa bantuan daripada UMNO melalui Datuk Sri Najib Tun Razak. Inilah kes Sarawak Report yang amat memalukan PAS, jika mereka masih mempunyai perasaan malu itu.  Sejahat-jahat Datuk Sri Najib Tun Razak, beliau berjaya meletakkan PAS di atas bara munafik yang membakar seluruh integriti dan digniti PAS. Inilah kumpulan yang mendapat pembelaan dan sokongan kuat daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semua yang dicontohkan di sini merupakan contoh penyelewengan yang amat jelas, yang tidak dapat diragukan. Oleh itu, bagaimana kita boleh terima pendapat ramai bahawa PM 8 yang mencuri masuk rumah melalui atap atau pintu belakang ini dikatakan PM terbaik dan yang paling merendah diri, yang tinggi moralnya, mengatasi semua PM yang sudah dihasilkan oleh Malaysia.  Tidakkah tokoh ini amat hebat? Tetapi ramai pula yang mengutuknya sebagai pencuri melalui atap atau pintu belakang. Mana satu yang benar? Jawapannya sangat mudah: bagi yang menyokong beliau, maka beliaulah PM terbaik sepanjang sejarah Malaysia. Bagi yang tidak bersetuju dengan beliau, yang mengutuk beliau sebagai perompak jawatan PM itu, maka beliau adalah  … (saya tak tergamak hendak memberi senarainya, anda senaraikanlah sendiri!).

PM 8 ini dikatakan anak tuan guru, tetapi ketika beliau membaca beberapa potongan ayat Quran, bahasa Arabnya sama sekali tidak fasih, seperti misalnya fasihnya bahasa Arab Anwar Ibrahim.  Satu perkara yang patut kita kagumi beliau: tentang keberaniannya menggunakan Islam dan ayat-ayat Quran untuk memperlihatkan beliau seorang pemimpin Islam.  Dalam politik Malaysia, sesiapa juga yang pernah menjadi tokoh UMNO tidak boleh dipercayai, oleh itu sukar untuk diterima sebagai tokoh politik yang berjiwa Islam.  Beragama Islam, ya; tetapi belum tentu berjiwa Islam. Jika anda penyokong PAS sekali pun, jangan terlalu yakin anda berjiwa Islam. Menggunakan Islam sebagai alat politik memang sah, tiada siapa pun yang menafikan. Nanti satu hari nanti kita akan bincang apa yang kita maksudkan dengan berjiwa Islam ini. Yang pasti, mereka tidak akan menerima rasuah, dalam bentuk apa sekali pun; dan konsep rasuah mengikut Islam jelas bagi mereka. Sekarang konsep rasuah itu tidak jelas, terlalu samar-samar. Kita akan bahaskan ini satu ketika yang sesuai nanti. Sekarang tokoh-tokoh ini, termasuk TS Muhyiddin Yassin, menggunakan Islam untuk mendapat pengaruh.  Masihkah orang Melayu boleh menerima penipuan dan pengkhianatan ini?  Cuba anda fikirkan sedikit secara bodoh: adakah parti yang dicuri PM 8 sebuah parti Islam? Tentu saja tidak, kalau begitu anda pun masukkan apa yang anda fikir “unsur Islam” secara mencuri juga, hanya untuk mendapat sokongan orang Melayu dan anda pun boleh berkata parti yang anda curi itu berjiwa Islam.

Adakah tindakan anda yang anda lakukan dengan penuh semangat itu berjiwa Islam? Masalahnya di sini parti yang berubah nama dalam politik Malaysia semuanya berasal dari UMNO, sebuah parti nasionalis yang menempel sedikit unsur Islam untuk mengabui mata penyokong, jadi bolehlah bercakap “kami pun ada jiwa Islam”, dengan tambahan yang jujur “jiwa Islam kami, kami letakkan di bawah nasionalisme Melayu yang juga berjiwa Islam sejak asal”. Yang jadi masalah, ramai Melayu percaya kepada pembohongan ini, oleh itu mereka tidak keberatan jika dikhianati. Itulah penjelasan yang paling tepat, walaupun mudah hingga kelihatan amat bodoh. Pak Pandir, tokoh besar jenaka Melayu, cukup senang hati menjadi orang bodoh kerana dia rasa selamat. Inilah falsafah yang dipegang oleh anggota parti UMNO yang kini berubah nama, tetapi masih tetap berjiwa UMNO.  Bolehkah ahli politik Melayu lari dari tricks Pak Pandir?  Persoalan ini akhirnya melahirkan falsafah pandirisme yang terkenal itu.

Lihat saja pembohongan tentang perisytiharan harta. Mengapa mesti dibuat secara rahsia dengan memberi maklumat kepada Dewan Rakyat. Untuk siapa? Saya ulang sekali lagi mengenai perisytiharan harta ini yang dibuat oleh PM British 1976. Dia dan ahli kabinet dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan isytihar harta dalam akhbar The Times of London.  Tokoh politik Malaysia lain. Mahu kelihatan jujur, tetapi kelentong. Isytihar harta dengan rahsia. Inikah pemimpin Islam?  Kafir British yang diketuai James Callaghan jauh lebih jujur dan benar-benar ada integriti.  Makin kita bincang tentang politik Malaysia, makin jelas pembohongan dan pengkhianatan yang dijadikan pegangan kukuh dalam kegiatan politik tokoh-tokoh politik Malaysia.   Celakalah sesebuah negara yang dipimpin oleh para pengkhianat dan penipu yang berbohong sepanjang masa. Sungguh celaka!!

Selamatlah jiwa yang sempurna. Hidup penipuan dan pembohongan!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 Jun 2020.


Monday, June 29, 2020

PENEROKA FELDA MESTI BACA SAJAK INI

WAHAI SAHABATKU PENEROKA FELDA

Kau diberi gelar peneroka.
Apakah yang kau teroka?
Kerana miskin kau dihumban ke belantara
Kerana gigihmu menebas hutan
Membelai anak getah dan kelapa sawit
Dengan ketekunan orang miskin papa kedana
Maka mereka gelar kamu peneroka.
Apakah yang kau teroka?
Kau teroka tanah hutan menjadi ladang
Bukan untukmu atau keturunanmu
Tapi untuk tuanmu yang baik hati
Yang menghumban kamu ke belantara.
Kamu jadi hamba mereka yang kaya berkuasa
Kamu jadi pembekal harta milik mereka
Yang kamu bangga anggap kamu punya.
Memang kamu punya tenaga perkasa
Untuk menghasilkan getah dan minyak kelapa
Tapi setiap timbangan bukan kamu tentukan.
Mereka tentukan untuk kamu. Kamu lihat saja.
Meski banyak kamu terima, itu kata mereka
Yang kaya bukan kamu, kerana kamu hamba.
Kamu peneroka hamba feudalisme Malayan Union
Mana kamu peduli siapa pemimpin kamu
Asal kamu dapat upah tak setimpal.
Tanah kamu teroka bukan milikmu.
Hasilnya juga bukan milikmu.
Milikmu hanya melihat hasilnya ditimbang
Yang kamu dapat hanya secebis upah murah
 Bukan jumlah sebenar yang kamu terima.
Wahai saudaraku para peneroka!
Bilakah kamu akan tuntut hasil usahamu
Jumlah sebenar yang patut kamu terima?
Saudaraku, kamu harus jadi peneroka tulen
Merampas kambali hakmu yang tertipu dan ditipu
Mengusir para peneroka palsu yang merampas hasil usahamu
Tidak kira mereka anak raja atau keluarga di raja
Atau pegawai biasa yang diupah menipumu
Tugasmu sebagai peneroka handalan
Membebaskan dirimu dari feudalisme Felda
Dari cengkaman penipu Warisan Malayan Union.

Adakah kamu mengerti,  saudaraku?
Itulah tugas kamu. Tugas peneroka handalan.
Bebaskan dirimu dari Feudalisme Felda
Rentap rantai belenggu Warisan Malayan Union.


4/10/2010.

Friday, June 26, 2020

ADAKAH TUN DR. MAHATHIR MOHAMMAD SEORANG TOKOH PSYCHOPATH?

Sebelum kita bicara seterusnya, inilah definisi psychopath mengikut ahli psikologi:

A psychopath does not have a conscience. A normal person feels good about being good and when they make mistakes that hurt people they feel guilty or embarrassed. A psychopath does not have that feeling.

Adakah definisi itu tepat kena ke batang hidung Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai seorang ahli politik? Persoalan ini timbul bila beliau, so insistent, mahu jadi PM kali ketiga, sebelum dia menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim. Dia sudah lupa, atau mungkin masih ingat, dia pernah berkata dia tidak suka Anwar Ibrahim, yang menurutnya tidak boleh dipercayai. Mana buktinya? Barangkali bukti terbaik diberikan oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya, Saya Adalah Maha Firaun  (1999). Hanya seorang psychopath yang boleh memberi penegasan demikian, dengan bangga and angkuh, persis Firaun asal yang dikutuk dalam al-Quran. Inilah kehebatan Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai ahli politik Malaysia.  Seorang Firaun moden yang lebih besar daripada Firaun dahulu kala yang tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa ‘A.S. Firaus moden ini pula mengejar Anwar Ibrahim supaya tidak dilantik PM Malaysia.

Kita lihat pandangan dan ulasan Mohd. Sayuti Omar dalam kes yang menarik ini. Saya menggunakan istilah “korupsi terancang” untuk menghuraikan perilaku politik Tun Dr. Mahathir Mohammad yang telah dibuktikan oleh para pembicara politik Malaysia, seperti yang saya buktikan dari ulasan bernas Dr. Rosli Khan dalam entri yang lepas. Perilaku politik Tun Dr. Mahatiir Mohammad membuktikan dengan jelas, tanpa sedikit pun keraguan, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Rosli Khan dalam tulisannya.  Beliau merancang dengan teliti gerakan rasuah dalam politik Malaysia, sehingga rasuah diterima sebagai perancangan pembangunan yang memberi kemewahan kepada segolongan elit yang termasuk dalam kelompok yang menerima Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai ketua mereka yang paling progresif dan paling berkesan memajukan negara berasaskan rasuah terancang.

Konsep rasuah terancang ini telah pun dijadikan program pembangunan di negara-negara Barat, dan telah berjaya menghasilkan kemajuan seperti yang mereka rancang.  Selalunya diberi contoh di England dan US  sewaktu dalam pentadbiran Thatcher dan Nixon. Jadi dari segi praktik, bukanlah sesuatu yang pelik. Tetapi di kalangan orang Islam, cara ini bertentangan dengan hukum Islam, oleh itu jelas haramnya. Mana boleh korupsi dijadikan asas pembangunan negara. Tidak adakah sistem pembangunan yang berasaskan nilai-nilai Islam? Bodoh sangatkah sarjana Islam sehingga membiarkan saja gerakan pembangunan negara ini dilaksanakan dengan menentang nilai-nilai Islam. Kalau begitu, bagaimana sekiranya kita mulai di Malaysia? Inilah yang ditentang oleh UMNO, terutama sekali di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Rosli Khan  dan orang lain juga.

Kalau anda jujur, anda tidak ragu-ragu membuat kesimpulan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohammad bukanlah seorang tokoh politik yang diperlukan oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya. Beliau dengan tegas meninggalkan kawasan Pantai Timur terus mundur kerana beliau tidak mahu kawasan itu maju, supaya tidak memberi peluang percuma kepada PAS untuk terus berkuasa. Perhitungan politik begini diterima baik oleh UMNO di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad.  Dengan itu orang Melayu yang patut dimajukan terus tinggal terbiar.  Adakah ini  satu pengkhianatan politik dan ekonomi, atau satu pilihan yang terbaik untuk menyelamatkan UMNO?

Ini Tun Mahathir sudah ditimpa perasan (ungkapan Kelantan), yang dalam bahasa Inggeris dipanggil psychopath itu.  Dia betul-betul yakin tidak ada sesiapa pun di Malaysia yang pandai berbuat silap mata politik  untuk membuktikan bahawa dia seorang saja di dunia ini yang boleh menipu orang Melayu mempercayainya. Berapa persen agaknya yang masih percayakan ini Tun Mahathir?  Kalau berjumlah 10 persen pun sudah cukup bagus; lebih tepat sekitar 5 peratus saja. Itu pun sudah sangat baik! Tetapi Tun bilang sama orang bahawa dia disokong oleh tidak kurang dari 95 peratus rakyat Malaysia. Belum ada sokongan sebesar itu terhadap sesiapa juga yang pernah menjadi PM Malaysia. Sokongan sebesar 95 peratus milik Tun Dr. Mahathir Mohammad; dengan kepercayaan inilah dia menegaskan dia layak jadi PM 9 untuk menyelesaikan masalah negara yang sedang menimpa semua rakyat dan paling teruk menimpa semua sektor ekonomi, yang menurut beliau tidak lama lagi Malaysia akan bankrap . Sekarang pun sudah bankrap, kata Tun bangga kerana yang boleh menyelesaikan masalah ini hanya dia seorang saja.  Oleh itu dia perlu dilantik jadi PM kali ketiga, khusus untuk membawa Malaysia ke gaung bankrap supaya beliau dapat memulai dasar ekonomi baru yang satu masa dulu sudah gagal!

Gilalah rakyat Malaysia sekiranya mereka percaya kepada ahli politik seperti ini. Miskin sangatkah Malaysia sehingga mempunyai hanya seorang tokoh politik sahaja? Ke mana pergi yang lain? Apa sudah jadi dengan mereka? Semua pertanyaan ini adalah soalan bodoh yang lahir setelah menerima penipuan politik daripada tokoh yang seorang ini. Dalam ilmu pengurusan moden, salah satu fungsi pengurusan ialah menyediakan kakitangan yang boleh mengganti ketua yang ada sekarang, yang akan meninggalkan organisasi bila tiba waktunya. Bagaimana dalam politik? Yang pasti, Tun Dr. Mahathir Mohammad tidak mahu ada saingan. Inilah tabiat buruk seseorang yang berjiwa kecil. Dia tidak punya pengetahuan agama yang mencukupi, malah begitu ceteknya sehingga dia tidak dapat merasakan bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat untuk menjadi pengganti baginda selepas kewafatan baginda. Lihat betapa hebatnya para sahabat baginda yang mendapat pendidikan menyeluruh daripada baginda, termasuk pendidikan kepemimpinan. Ini tidak dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang tidak mahu ada sebarang saingan, apatah lagi jika saingan itu jauh lebih baik daripada beliau dalam semua segi dan aspek kepemimpinan.

Tun Dr. Mahathir Mohammad belum puas jadi PM dua kali, dia mahu kali ketiga. Itu pun belum tentu dia puas hati. Apakah yang mendorongnya menjadi tokoh politik yang begitu tamak kuasa dan tamak pengaruh? Semua ini terjadi kerana beliau seorang psychopath, seorang yang melihat ke dalam dirinya sebagai manusia yang serba sempurna, tiada sesiapa pun yang dapat mencapai keistimewaan yang dilihatnya hanya dia seorang sahaja mempunyai kesempurnaan itu, menurut ukurannya. Itulah sifat-sifat seorang psychopath!!  Perhatikan balik definisi psychopath pada permulaan tulisan ini.

Kegelisahannya yang dialami sekarang berpunca dari keangkuhannya yang mula terasa dia sedang disisihkan, tetapi dia tidak sedar, dan tidak dapat terima, bahawa dia sudah menjadi objek yang menjemukan, dan masyarakat semakin sedar bahawa Tun Dr. Mahathir Mohammad ini seorang  tokoh yang amat tinggi egonya, oleh itu jika muncul tokoh-tokoh lain yang lebih berwibawa, dia tidak dapat menerimanya. Di sini terdapat dua jenis ketakutan: pertama takut hilang kuasa dan hilang pengaruh; dan sebagai akibat dari kehilangan itu, rahsia besar yang disembunyikannya selama ini akan  terpacul juga, dan dia akan terlondeh di tengah-tengah masyarakat sebagai seorang tokoh yang tidak boleh dipercayai.  Oleh itu terdapat desas desus dia sudah bersedia untuk meninggalkan Malaysia, untuk mengelak dari  dihukum oleh rakyat, dan amat pasti dia akan dibicarakan kerana penyelewengan dan penipuan yang semakin jelas setelah ada orang yang mendedahkan bahawa dia menyimpan banyak sekali wang di Bank of Israel di Singapura. Dari mana dia dapat wang berbilion itu? Menurut sumber yang berpunca dari Jufazli Shi Ahmad, Tun Dr. Mahathir Mohammad mempunyai kekayaan yang besar dengan sejumlah wang US sebanyak 42 bilion dalam Bank of Israel itu!!

Mengapa dia pilih Bank of Israel di Singapura? Mengapa tidak disimpan saja di  Bank Islam Malaysia? Dapat juga diagihkan zakatnya kepada yang berhak menerimanya, oleh itu ada peluang untuk hartanya dibersihkan mana yang dapat. Kalau wang sebanyak itu wang haram, didapatkan secara haram, zakat mesti juga dibayar kerana yang berhak menerimanya sangat ramai. Kita boleh lihat  ketulusan Tun Dr. Mahathir Mohammad jika dia isytiharkan hartanya seperti yang dibuat oleh PM England tahun 1976, diisytiharkan melalui akhbar The London Times. Mengapa Malaysia tidak boleh buat begitu, padahal orang kafir yang sudah sah masuk neraka begitu berani dan jujur sebagai pemimpin.  Tun Dr. Mahathir Mohammad akan tetap dianggap sebagai seorang pengkhianat dan penipu selagi dia tidak membersihkan dirinya melalui perisytiharan harta seperti yang dibuat oleh PM England yang kafir itu, tetapi jujur dan bertanggungjawab sebagai seorang tokoh politik. Baca cerita ini seterusnya dalam novel ulung Malaysia, Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Celakalah rakyat Malaysia jika mereka tidak berani mencampakkan tokoh politik mereka yang khianat dan menipu ke dalam Laut Cina Selatan (nama ini haram, laut itu dalam persekitaran Nusantara!  Oleh itu cocok diberi nama Lautan Nusantara), bukan untuk membunuh mereka, tetapi untuk memberi mereka peluang berenang menyelamatkan diri jika mereka benar-benar yakin mereka mempunyai kekuatan dan kemahiran yang dipunyai oleh budak-budak sekolah sekali pun!

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, adakah anda akan membiarkan tokoh politik anda melarikan diri ke luar negeri? Itulah makna kejujuran, yang mungkin masih dipunyai rakyat Malaysia.  Tetapi jika anda sangat pemurah, dan sifat murah hati  untuk memaafkan tokoh penipu dan pengkhianat dalam politik Malaysia, biarkan sesiapa saja yang mahu terus khianat itu mengambil keputusannya sendiri. Selamatlah jiwa yang sempurna! …

Selamat jalan, Mr. Psychopath!!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Jun – 25 Jun 2020

Monday, June 22, 2020

KORUPSI TERANCANG DALAM POLITIK MALAYSIA

Since a politician never believes what he says, he is surprised  when others believe him.
Charles de Gaulle

Sesiapa juga yang mengikuti sepak terajang tokoh politik Melayu akan terkesan dengan dua perkara: sifat tamak dan hasad; dan kedua selalu terbuka untuk mengkhianati “amanah” yang mereka pegang.  Pengkhianatan terhadap amanah itu berlaku dengan kesedaran mereka sendiri, yang boleh kita lihat dalam kegiatan rasuah yang mereka lakukan dengan riang gembira, kerana mereka masih tetap disokong dan diberi sanjungan sebagai pemimpin bangsa.  Rakyat menerima tokoh-tokoh rasuah ini kerana wang rasuah yang diragut mereka kononnya dibelanjakan untuk kebajikan rakyat. Bolehkah kita berkata dengan lapang dada bahawasanya tidak ada pemimpin politik yang tidak rasuah. Jangan dihadkan rasuah itu kepada wang ringgit saja, kerana rasuah dalam konteks fasad yang ditekankan dalam al-Quran meliputi semua kegiatan yang berunsur penipuan dan pengkhianatan. Inilah falsafah Iblis, setelah terkutuk lalu Iblis memohon kepada Allah supaya mereka diberi kebenaran untuk menggoda dan menyesatkan manusia, kecuali yang beriman dengan iman yang benar. 

Dalam politik Malaysia, semua tokoh politik sama ada yang beragama Islam mahu pun dari golongan bukan Islam, berlumba-lumba untuk mendapat kemenangan dalam pertarungan politik, supaya mereka terkenal sebagai pembela rakyat, padahal perbuatan itu adalah perbuatan rasuah yang nyata. Kalau ini bukan rasuah, dalam konteks fasad tadi, maka apakah yang boleh kita panggil?  Dalam falsafah Islam,  tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah keadilan; dan ini tidak ada di kalangan tokoh politik. Menurut Islam, berlumba-lumba dengan mendesak atau pun memujuk untuk diberi kedudukan istimewa dalam hierarki politik adalah kelakuan biadab yang diharamkan dalam Islam. Umat Islam tidak diajar untuk berebut pangkat dan kedudukan.  Hakikat ini diketahui oleh para pemimpin PAS, oleh itu amatlah aneh jika mereka sendiri berlumba-lumba untuk mendapat faedah daripada kegiatan politik dan sekali gus mendapat kedudukan yang istimewa sebagai pemimpin masyarakat. Tidakkah ini sejenis rasuah? Aspek rasuah dalam konteks ini perlu dibincang dengan mendalam supaya  para tokoh politik tidak menjadikan rasuah dalam konteks fasad tadi sebagai matlamat “perjuangan” (?) mereka.  Sekali lagi saya anjurkan anda membaca dengan kritis novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu. Persoalan begini dibincang dalam novel politik yang hebat itu; oleh itu anda “wajib” membacanya dengan kritis. Dan seterusnya insaf …

SLOGAN DAP YANG JAHAT

Slogan DAP Malaysian Malaysia adalah juga sejenis rasuah politik  yang amat jahat dan kotor kerana slogan ini menentang dan dengan sedar cuba membohongi sejarah politik di Persekutuan Tanah Melayu. Nama Persekutuan Tanah Melayu itu masih kekal kerana nama itu diberikan oleh raja-raja Melayu sendiri yang bersekutu walaupun kedudukan mereka di setiap negeri berbeza. Menggunakan slogan Malaysian Malaysia adalah percubaan berani yang tidak siuman dan jahat kerana jelas menentang hakikat sejarah dan hakikat politik yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Tanpa sedar atau memang disedari, kumpulan biadab ini menolak Perlembagaan Malaysia yang telah menerima mereka sebagai rakyat walaupun mereka bukan penduduk asal di negara Melayu ini.  Apabila kumpulan biadab ini menolak penggunaan tulisan Jawi di sekolah, maka mereka telah menentang Perlembagaan Persekutuan yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan kerasmian bahasa itu termasuk penggunaan tulisan Jawi yang memang menjadi lambang negara, tertulis di lambang itu dengan jelas. Dalam tulisan Jawi: Bersekutu Bertambah Mutu. 

Memperkenalkan konsep fasad dalam politik Malaysia adalah penting supaya pengertian rasuah yang difahami dan diperangi di Malaysia sekarang difahami betul-betul, untuk mengelak berlakunya tafsiran songsang dan salah tentang konsep rasuah, yang jika difahami oleh tokoh-tokoh politik Malaysia, rasuah dalam konteks yang mereka fahami sekarang adalah sebahagian daripada mobilization of bias yang menjadi tonggak faham demokrasi. Kepalsuan demokrasi dan meluasnya korupsi telah dibicarakan dengan mendalam, antara lain dalam tiga buah buku yang mudah didapati: (1) Sherry Berman, Democracy and Dictatorship in Europe: From the Ancient Regime to the Present Day  (OUP, 2019).  (2)  Paul Heywood ed. Political Corruption  (London: Blackwell Publishers, 1997).  (3)  David Leigh & Ed Vulliamy eds. Sleaze: The Corruption of Parliament  (London: Fourth Estate Ltd., 1997). Lihat juga karya Daniel Hellinger & Dennis R. Judd, The Democratic Fa├žade (1991) mengenai penipuan dalam pilihan raya di Amerika Syarikat (Buyung Lurus, hal. 116).

Kejahatan dan penipuan dalam politik sudah diterima oleh semua ahli politik sebagai dua syarat utama dan penting untuk berjaya dalam politik. Sesiapa yang tidak mahu berbuat demikian bukanlah ahli politik yang boleh dipercayai.  Oleh itu beliau tidak akan terpilih menjadi ketua atau tokoh yang disegani dan dihormati. Semua PM Malaysia sedar dua ciri penting yang menentukan kejayaan tokoh politik yang berjaya dan dihormati. Oleh itu, seseorang ahli politik yang rasuah akan dikagumi oleh para pengikutnya, kerana ahli politik yang tidak mengambil kesempatan itu adalah ahli politik yang lemah, oleh itu tidak wajar dijadikan ketua. Semua ini diketahui oleh para pengikut, oleh itu mereka akan marah jika ketua mereka tidak mengambil kesempatan itu. Itulah caranya para pengikut mendapat habuan masing-masing.  Buku-buku yang disenaraikan itu membuktikan kesimpulan ini sebagai wajar, oleh itu dijadikan amalan biasa oleh para ahli politik yang berjaya.

Anda mungkin akan bertanya: jika rumusan itu benar, mengapa kita di Malaysia perlukan Suruhanjaya Pencegah Rasuah  Malaysia  (SPRM)? Untuk siapa ditubuhkan badan itu?  Badan itu penting untuk memberitahu rakyat bahawa perbuatan memberi dan menerima rasuah boleh dihukum jika disabitkan dalam perbicaraan. Dengan memberi kesedaran ini, tidak bermakna rasuah boleh dihapuskan, tetapi boleh dicegah untuk memastikan rasuah terkawal. Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam penjelasan ini, maka itu boleh dijadikan tanda bahawa perbuatan rasuah itu sentiasa terbuka luas untuk dilakukan oleh sesiapa saja yang tergoda untuk melakukannya, kerana keuntungan yang didapat mendorong manusia memberi dan menerima rasuah.

Dengan penjelasan ini, dalam konteks demokrasi yang diamalkan di Malaysia, rasuah adalah sebahagian daripada ciri utama demokrasi. Cuba anda perhatikan dengan teliti bagaimana demokrasi dilaksanakan di negara-negara yang mengatakan mereka demokratik.  Jika anda perhatikan dengan cermat, semua negara yang mengaku demokratik mengamalkan mobilization of bias, untuk memastikan merekalah, yakni parti merekalah yang akan menjadi pilihan rakyat. Tidak ada paksaan dalam membuat pilihan itu, tetapi terdapat gesaan yang hebat supaya sesuatu parti dipilih kerana faktor-faktor tertentu. Gesaan itulah paksaan tersembunyi yang dibalut dengan teliti dalam mobilization of bias tadi. 

FUNGSI RASUAH

Salah satu fungsi rasuah ialah untuk mempercepat “pembangunan” sesebuah negara, dan dalam hal ini Malaysia juga menggunakan rasuah untuk membangun negara. Dalam teori pembangunan ekonomi, terdapat satu teori yang diterima dengan baik oleh masyarakat dunia, iaitu teori peri pentingnya rasuah dalam  pembangunan ekonomi. Jika anda berminat, anda boleh dapat huraian tentang teori ini dalam buku yang membicarakan pembangunan ekonomi dan masyarakat.  Perkara ini disebut juga dalam Hikayat Buyung Lurus.  (Lihat hal. 114-124). Demikianlah cara orang Barat menyelesaikan masalah masyarakat mereka.  Cara ini tidak diterima dalam Islam, kerana Islam amat mementingkan keadilan, seperti yang disebut tadi: meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika terdapat ramai orang miskin yang memerlukan bantuan, maka mereka mesti diberi keadilan yang disebutkan.  Walaupun Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah hanya dua setengah tahun, dalam pemerintahannya tidak ada orang miskin yang layak menerima zakat atau sedekah. Allah Ta’ala membantu hamba Nya yang dilantik menjadi Khalifah yang jujur dan takwa seperti khalifah Islam. Semut dan katak pun mendapat rahmat itu, apatah lagi manusia yang menjadi rakyat. Itulah maksud keadilan dalam Islam. Dalam masyarakat yang seperti itu, mana ada tempat untuk sesiapa pun melakukan rasuah. Allahu Akbar!!!

KORUPSI TERANCANG TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD

Dalam konteks sistem kapitalis, yang Malaysia sendiri menjadikan panduan dalam pembangunan negara, rasuah diterima dan diuruskan dengan baik supaya yang disebut pembangunan itu tidak terganggu. Siapakah yang mendapat faedah daripada projek besar-besaran itu? Penjelasan yang mudah dan senang difahami telah diberikan oleh Dr. Rosli Khan dalam sebuah rencana panjang menganalisis korupsi Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam program korupsi yang terancang dengan rapi. Korupsi terancang ini dilakukan dengan leluasa di negara-negara Eropah dan di Amerika Syarikat; melalui Amerika dilaksanakan pula  di negara-negara Arab, terutama Mesir, melaksanakan korupsi terancang ini dalam pilihan raya yang hanya membenarkan sebuah parti yang dikuasai kerajaan mengambil bahagian, dengan sokongan Amerika untuk menentukan gerakan Islam dapat dihapuskan di Mesir dan di lain-lain negara Arab, yakni di negara-negara Islam.

Korupsi terancang oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dianalisis dengan jelas sekali oleh Dr. Rosli Khan dalam tulisannya yang disiarkan dalam Harakah 14 Mac 2012.  Tulisan ini mengkritik penswastaan sebagai punca segala bentuk rasuah yang menjadikan politik wang sebagai budaya politik di Malaysia hingga ke saat ini, dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pemurah dengan pujian terhadap segala projek mega penswastaan yang telah membawa kemajuan pesat dan cepat dalam pembangunan negara.  Tepat sekali andaian para sarjana sosiologi pembangunan yang menegaskan betapa pentingnya rasuah dalam pembangunan negara.

Inilah pandangan bernas Dr. Rosli Khan: “Privatization took over the entire nerves and functions of the government under Mahathir. It became the  buzz word in the country. The new found method was quickly followed  by many  privatization exercises in Malaysia …This was the start of the great money politics of a grand design. It further accelerated UMNO’s tendency towards nepotism and cronyism practices, and high level corruption era. The face of Malaysian politics has completely transformed by this policy into multi-billion ringgit business. And Mahathir’s leadership was clearly responsible for that. Many a highway concession had been given to party cronies or nominees of politicians in power, one after another. Suddenly, Klang Valley was proliferated with tolled highways.”

Dengan perkembangan istimewa ini dalam pembangunan Malaysia, maka termaktublah Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai tokoh terbesar yang mempelopori  korupsi terancang di Malaysia. Tahniah kepada tokoh besar korupsi ini.

GALAKKAN KORUPSI UNTUK MEMBINA NEGARA

Korupsi adalah senjata politik yang tajam dan amat berkesan untuk menyingkirkan  atau terus membunuh musuh politik.  Antara hujah yang berupa kritikan tajam terhadap YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin Yassin ialah program bercorak rasuah yang terancang olehnya untuk memastikan kedudukannya  tidak tergugat dengan melantik orang-orang kepercayaannya yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, setiausaha parlimen dan lain-lain jawatan politik yang dikatakan  berjumlah lebih dari 70 jawatan menteri dan yang serumpun dengannya; selain itu lantikan ke badan-badan berkanun tertentu dengan gaji besar.  Dalam konteks politik moden, gerakan seperti ini amat jelas unsur rasuahnya; sekurang-kurangnya dibuktikan dari besarnya beban rakyat untuk membayar habuan kewangan yang besar kepada lantikan yang bersifat rasuah ini. Tetapi dari segi undang-undang semua gerakan yang bersifat rasuah ini tidak mempunyai kesan perundangan, oleh itu selamat digunakan oleh tokoh politik untuk mengukuhkan kedudukan mereka.  Perlu ditegaskan di sini bahawa perbuatan seumpama ini dari perspektif Islam adalah perbuatan rasuah; dan menurut Islam pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka. Tetapi kesedaran begini sudah luput dalam perhitungan tokoh politik Islam di Malaysia.

Pilihan terbaik ialah kembali ke pangkal, bukan meneruskan pembohongan dan  agenda rasuah terancang yang diusahakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Jika beliau belum insaf dan tidak mahu insaf, biarkanlah beliau dengan labu-labunya. Biarkan Si Luncai politik Malaysia ini tenggelam dengan labu-labunya.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

 Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Jun 2020

Nota tentang Dr. Rosli Khan:
Dr. Rosli Khan, a Harakahdaily reader, obtained his PhD in Transport Economics from Cranfield Universiti, UK. He has been a practicing consultant/company director in the last 25 years, being involved primarily in infrastructure development and economic policies.


Friday, June 19, 2020

MEMBACA KAMBALI HIKAYAT SALIM ADIL YANG LUCU TETAPI CERDIK

Setelah membaca beberapa buah buku penting mengenai korupsi dan peranan korupsi dalam sistem demokrasi, saya dengan tidak sengaja mengambil buku saya sendiri yang tidak dibaca di Malaysia, hingga sekarang kata penerbit masih tidak laku. Saya ambil Hikayat Salim Adil; saya baca bab tentang sastera, berjudul “Karya Falsampah” (hal. 24-47). Tak kering gusi saya tertawa, begitu “menghibur” tetapi bukan pada tahap hedonisme, sebaliknya menghiburkan dari perspektif intelektual. Inilah satu-satunya karya intelektual dalam bahasa Melayu yang tidak dibaca oleh para sarjana dan sasterawan, kerana tahap pemikiran mereka masih lagi berada pada tahap Pak Hasan, seniman bodoh dan lara (lagha, bahasa Arabnya), yang pada hakikatnya akan diketawakan oleh Pak Pandir dan rakan-rakannya Lebai Malang dan Si Luncai jika mereka membaca karya sasterawan negara berjudul Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.  Saya telah mengkritik karya bodoh ini dalam blog ini, tetapi nampaknya tiada siapa pun di kalangan sasterawan dan sarjana sastera yang membacanya. Tiada dan tidak ada pun reaksi mereka, padahal mereka sedang disebat begitu teruk di tengah khalayak budak-budak sekolah yang bersorak melihat para sarjana dan sasterawan dirotan secara intelektual dalam perkumpulan budak-budak sekolah yang baru hendak belajar sastera.

Cerita pendek “Karya Falsampah” adalah satu kritikan yang paling sadis ditujukan secara khusus kepada para sasterawan negara dan penyokong mereka para sarjana sastera. “Sadis”? Mengapa saya pakai istilah lucu ini? Mudah saja sebabnya: mereka yang disebat itu sangat gembira kerana kesakitan kecil  kena sebat itu telah membuat mereka terkenal di kalangan sasterawan dan pembaca!  Mendapat kepuasan daripada kritikan tajam adalah sejenis sadisme intelektual (???) yang menjadi keseronokan para sasterawan negara dan para sarjana sastera yang menyanjung mereka.  Kata mereka, walaupun mereka menulis karya picisan dan pujian terhadap mereka oleh para sarjana juga picisan, tetapi hakikat bahawa mereka diberi perhatian walaupun untuk dikutuk adalah satu jenis sanjungan yang membuat mereka berasa puas. Tidakkah itu boleh dipanggil sadisme intelektual? Sifat picisan golongan ini membuat mereka berasa seronok dikecam dan dikritik kerana menurut mereka kedudukan mereka menjadi terkenal  dengan kritikan itu dan kini sudah pun diiktiraf di kalangan sarjana antara bangsa.  Lalu mereka menyindir: Siapa yang membaca Pujangga Melayu dan Gagasan Persuratan Baru di peringkat antara bangsa? Karya kami dibaca dan dijadikan kajian di peringkat antara bangsa, kata mereka dengan angkuh. Tahniah kerana memperkenalkan kebodohan Melayu di peringkat antara bangsa.  Sekiranya mereka tidak menipu diri sendiri dan megah berada dalam penipuan itu, mereka tentu membaca dan memperkenalkan Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden,  satu-satunya buku yang mengupas dan menganalisis dengan mendalam projek sasterawan negara yang palsu itu, dengan beberapa penilaian ke atas karya para sasterawan negara.  Keputusan bodoh yang mereka ambil membuktikan dengan jelas sifat picisan mereka, dan ketakutan mereka kepada kebenaran, oleh itu mereka berasa selamat jika idea baru dalam penilaian kreatif dan penulisannya  yang dianjurkan oleh PB tidak dikenali oleh sarjana luar negeri yang berminat dalam sastera Melayu moden.  Inilah antara persoalan yang dijadikan satira dalam cerita pendek  “Kaya Falsampah”.

Hikayat Salim Adil adalah sebuah karya yang unik, kerana boleh dibaca sebagai sebuah novel, boleh juga sebagai sebuah karya akademik yang membicarakan beberapa persoalan penting dalam kajian sastera dan juga dalam teknik penulisan kreatif.  Sebagai contoh, sila rujuk halaman 146 dan seterusnya yang membicarakan persoalan ini.  Anda akan mendapat dua kepuasan jika anda baca Hikayat Salim Adil dengan kritis;  kepuasan intelektual dan kepuasan kreatif. Inilah satu-satunya karya dunia yang begini sifatnya. Anda boleh belajar tentang konsep sastera mengikut pandangan Islam, yang dibawa oleh Gagasan Persuratan Baru; anda juga akan memahami betapa karut teori sastera Barat yang tidak berteraskan ilmu, sekadar berteraskan andaian yang kelam kabut dan kusut huraiannya. Anda perlu baca buku-buku teori sastera Barat dan karya Barat yang terkenal untuk memahami kesimpulan ini. Saya yakin seratus persen jika anda faham, benar-benar faham, anda akan menjadi pengikut PB untuk mengelak dari perasaan malu kerana terikut-ikut teori sastera Barat yang tidak berasaskan konsep ilmu itu. Jika ini berlaku secara teratur, yang paling menyakitkan para sasterawan negara dan para pengikut mereka yang bergelar sarjana sastera ialah anda tidak dapat pertahankan konsep sastera yang anda tiru dari Barat, oleh itu anda tidak berupaya pula mempertahankan kedudukan para sasterawan negara berasaskan konsep ilmu yang benar.  Ini suatu tragedi ilmu yang amat melucukan, dan sekali gus amat menyedihkan dan menyakitkan hati.

Anda menghadapi sejenis trauma intelektual yang saya gelar sebagai sadistik itu. Sadisme intelektual yang diharapkan dapat menyingkirkan PB dalam dunia ilmu, tiba-tiba menjadi sejenis kekacauan psikologi yang saya gelar sadisme sastera itu. Saya harap anda faham maksud saya, walaupun saya tahu para sarjana kita amat cetek kefahaman mereka tentang ilmu, akibat terlalu meniru teori sastera Barat tanpa memahami dengan mendalam asasnya dari segi epistemologi. Para sarjana sastera ini menjaja ilmu sastera yang tawar heber dari segi kandungan ilmunya, hanya kulit-kulit kerapu yang gatal yang mereka dapat dari teori sastera Barat yang tidak mereka fahami betul-betul. Saya tidak mahu sebut contoh-contoh untuk mengelak dari keterkejutan yang boleh membawa anda menghadapi epilepsi ilmu.  Sungguh dahsyat akibatnya, jika anda pernah lihat bagaimana pesakit epilepsi ini tiba-tiba jatuh terguling dengan mulut berbuih… Anda perlu memberi mereka rawatan segera! 

Sebenarnya ramai di antara para sarjana dan sasterawan kita yang mengidap penyakit epilepsi ilmu ini. Bantu mereka, kerana mereka amat memerlukan bantuan kita semua. Anda dapat melakukan tugas penting ini dengan membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil.  Jika anda kebetulan seorang sarjana sastera yang mengajar sastera, barangkali dengan gelar akademik tertentu, dan anda seorang sarjana yang jujur yang tunduk kepada kebenaran ilmu yang benar, ketika itu anda boleh membantu para pelajar sastera anda untuk berbincang dengan kritis dan jujur tentang peranan epistemologi dalam kajian dan penilaian sastera. Teks yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat ini tidak lain dari Hikayat Salim Adil. Lebih cantik jika dibaca bersama Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Berilah peluang pelajar sastera menjadi cerdik dengan membaca dengan kritis buku-buku ini. Persoalan ini dibincang seterusnya  dengan lebih luas dalam Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016), kerana budaya pandirisme ini telah dijadikan budaya utama di kalangan para sarjana dan sasterawan. Sebelum itu, saya telah membincangkan dengan agak detail dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992; cetakan kedua 2005).  Semua buku ini sudah lebih dari cukup  untuk membina budaya ilmu dalam kesusasteraan Melayu (lebih tepat dalam persuratan Melayu.)

Jalan untuk mencapai kecemerlangan baru dalam persuratan Melayu telah terbuka. Terpulang kepada anda sama ada untuk terus berada dalam budaya pandirisme dan seronok mengulit gendang kosong yang menakutkan harimau, tetapi tidak dipedulikan oleh lembu yang sedang meragut rumput.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 18 Jun 2020

Tuesday, June 16, 2020

PENGKHIANATAN POLITIK DALAM POLITIK MALAYSIA

Jasa terbesar Tun Dr. Mahathir Mohammad ialah kejayaan beliau menjadikan pengkhianatan politik sebagai satu budaya yang mendapat sanjungan masyarakat. Itulah legasi yang akan beliau tinggalkan dalam sejarah Malaysia, untuk menjadi panduan tokoh-tokoh politik kemudian hari. Mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan “pengkhianatan politik” dan bagaimana dibudayakan dalam kegiatan politik Malaysia.

Apakah yang dimaksudkan dengan “pengkhianatan politik”? Terhadap siapa pengkhianatan itu ditujukan? Mengapa pengkhianatan politik muncul dalam politik Malaysia? 

Kegiatan politik Tun Dr. Mahathir Mohammad adalah contoh terbaik yang boleh digunakan untuk memahami konsep “pengkhianatan politik” ini.  Moh kita lihat satu persatu pengkhianatan politik Tun Dr. Mahathir Mohammad sebelum beliau menjadi PM dan selepas beliau disingkirkan oleh pengikutnya sendiri, dan kini sedang berusaha untuk “mendapatkan” kembali  (lebih tepat, dan lebih cantik kita gunakan ungkapan “untuk merebut” kembali) jawatan PM itu!

Kehebatan kegiatan politik Tun Dr. Mahathir Mohammad sangat terkenal dalam politik Malaysia. Semua PM sebelumnya dan selepasnya dikhianati oleh beliau kerana menurut beliau, tiada seorang pun PM sebelum dan selepas beliau yang setanding dengan kehebatan beliau sebagai PM Malaysia. Ini saja pun sudah cukup untuk membuktikan “pengkhianatan politik” tokoh politik yang gila kuasa ini.  Persoalan ini dibincangkan dengan agak kritis oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya, Saya Adalah Maha Firaun (1999). Satu ketika dulu dia melihat Anwar Ibrahim boleh digunakan oleh beliau untuk mengimbangi pengaruh PAS, oleh itu menurut perhitungannya sebelum Anwar Ibrahim diambil oleh PAS, dia dulu melompat “memegang tangan” Anwar Ibrahim mengheretnya ke dalam gerombulan politiknya. Di sinilah Tun Dr. Mahathir Mohammad memperlihatkan keulungan langkah politiknya yang paling hebat, yang tidak pernah dan mungkin tidak akan berlaku lagi dalam politik Malaysia jika moral dan akhlak para pemimpin politik selepas beliau lebih baik moral dan akhlaknya daripada beliau.  Jangan salah faham. Kesimpulan ini tidak bermaksud untuk menidakkan keulungan moral pemimpin ulung Melayu ini.  Kesimpulan ini kini sedang menular di kalangan pembicara politik dan di kalangan rakyat juga, yang mula melihat wajah sebenar tokoh besar ini.  Wajah sebenar itu menurut mereka mengejutkan, kerana bertentangan dengan wajah yang dipamerkan. Menurut mereka, ada sesuatu rahsia besar yang ingin disembunyikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad, yang jika terbuka seluruh kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh rakyat akan berkecai, dan beliau tidak lagi akan dipercayai oleh rakyat. Hal ini, menariknya, didedahkan oleh seorang pemuda yang aktif membicarakan soal-soal politik dan pembohongan para pemimpin Malaysia. Beliau ialah Jufazli Shi Ahmad (TV). Lihat huraian beliau yang menarik dan mungkin mengejutkan bagi sesiapa yang terlalu percayakan tokoh besar yang …. (anda perlu tambah sendiri mengikut selera anda.)

Adakah Tun Dr. Mahathir Mohammad akan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada orang Melayu, atas segala keterlanjuran beliau selama ini yang memang terakam dalam sejarah politik Malaysia.  Tidak ada manusia politik di mana-mana negara pun yang terlepas daripada kelakuan dan tindakan seperti yang dilakukan Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam melaksanakan tugas politiknya. Cuma agak aneh mengapa beliau sampai menceroboh sistem kehakiman dengan memecat seorang hakim negara yang terkenal warak, Tun Salleh Abas. Ada sebuah buku yang ditulis khas untuk menyokong keputusan Tun Dr. Mahathir sebagai tepat, dengan itu Tun Dr. Mahathir Mohammad ternyata mendapat penyokong yang sanggup menulis sebuah buku yang agak tebal untuk membelanya.  Itulah kehebatan Tun Dr. Mahathir Mohammad, kesalahan beliau dengan tuntas diberi pembelaan oleh seorang peguam yang menulis buku tersebut.  Saya sengaja tidak menyebut nama pengarang dan judul buku itu, kerana terlalu popular di kalangan pemerhati politik.  Adakah penulis buku ini juga seorang pengkhianat? Anda berilah pertimbangan sendiri selepas membaca buku yang dari segi ilmiah adalah picisan. Sesiapa yang berusaha mempertahankan kesalahan adalah picisan dan berjiwa Iblis laknat.  Merekalah anjing-anjing politik yang mencari faedah diri dengan melompat parti, mempersetankan undi rakyat.

Satu peruntukan undang-undang pilihan raya perlu diwujudkan yang menyatakan sesiapa yang melompat parti akan hilang kedudukannya sebagai wakil rakyat, dan tidak dibenarkan bertanding lagi sekurang-kurangnya selama dua kali pilihan raya. Hak rakyat mesti dan wajib dipertahankan dalam sistem demokrasi jika anda betul-betul jujur melaksanakan demokrasi.  Masalah yang kita hadapi ialah kejujuran bukan satu sifat penting dalam politik, oleh itu sesiapa saja dibenarkan melakukan pengkhianatan politik, termasuk melompat parti dan mendapat faedah jangka pendek pula.  Perbuatan ini tidak dinamakan rasuah, walaupun dari perspektif Islam perbuatan ini adalah perbuatan fasad, yakni rasuah dalam konteks yang menyeluruh. Konsep fasad ini wajib dipopularkan, untuk memberi kesedaran kepada para pengkhianat supaya lebih berhati-hati dalam melakukan pengkhianatan mereka. Itulah kehebatan kegiatan politik, bebas untuk menipu dan melakukan pengkhianatan tanpa sebarang risiko. Itulah juga kekuatan sistem demokrasi yang menjadi anutan Malaysia.  Beberapa penjelasan yang menarik ada juga diberikan oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya yang saya sebut beberapa kali di sini. Tentu saja buku beliau yang terbaik ialah tentang Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mengaku dia adalah Maha Firaun!

Tokoh politik PAS mengatakan tidak ada rasuah dalam politik Islam. Menerima hadiah dan pemberian bukanlah rasuah, tetapi pemberian ikhlas daripada kumpulan politik yang berbeza untuk membantu pemimpin politik yang berbeza parti bagi melawan pengkhianatan dalam politik.  Dengan itu bersihlah PAS dari menerima rasuah politik berupa wang hampir seratus juta yang diberikan UMNO melalui Datuk Seri Najib Tun Razak.  Timbul persoalan: sejauh mana wang pemberian itu tidak dari dana 1MDB?  Soalan cepu emas ini perlu dijawab oleh mana-mana pihak yang terlibat dengan soalan itu. Benarkah pemberian Najib bukan dari dana 1MDB? Sebenarnya PAS belum lagi memberi penjelasan yang konkrit dan jujur bahawa pemberian itu bukan rasuah. Sehingga isu ini jelas bukan rasuah, maka PAS tetap dilihat sebagai penerima rasuah daripada UMNO. Seperti yang diketahui oleh semua orang Islam, pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya ahli neraka. Sekiranya tokoh politik Islam, sama ada dari UMNO lebih-lebih lagi dari PAS, berpegang kepada amaran Rasulullah SAW ini, kejadian ini tidak timbul. Tetapi kerana pengkhianatan politik sudah dibudayakan, maka perbuatan begini dibenarkan dari segi politik, demi untuk membela rakyat!  Begitu jahatnya orang politik, menggunakan wang haram untuk mendapatkan undi mereka, kemudian membentuk kerajaan, dan seterusnya. Tidakkah kerajaan itu sendiri adalah kerajaan haram? Sungguh baik sekali jika gembung-gembung agama dalam PAS yang berhati mulia untuk tampil menjelaskan rasuah politik yang dihalalkan ini. Masalahnya, kerana rasuah itu sudah dimasyarakatkan melalui politik, maka soal halal haram dalam politik tidak relevan lagi. Sungguh celaka para pemimpin yang menipu rakyat dengan cara yang jahat ini!!

Begitulah hakikatnya, saudara. Pengkhianatan politik oleh para pengkhianat telah membawa kita semua ke lereng neraka, dan menjadikan kita golongan Jahiliah yang terkutuk. Adakah kita akan meneruskan kutukan ini?

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 13-16 Jun 2020.

Monday, June 15, 2020

DENDAM DAN HASAD DENGKI DI KALANGAN TOKOH POLITIK MELAYU


Gelagat hasad dengki di kalangan tokoh politik Melayu adalah sesuatu yang normal, yang tidak boleh tidak mesti dihidupkan dengan subur, dan meriah, di kalangan tokoh politik Melayu.  Oleh itu jika kita melihat setiap hari terjadi maki hamun dan hina menghina di kalangan ahli politik Melayu, maka itu adalah sesuatu yang mesti dilakukan untuk menghidupkan suasana politik, di samping memberi semangat kepada para pengikut untuk memperkuat sokongan mereka kepada tokoh pilihan mereka.  Di kalangan tokoh politik yang menggunakan agama Islam sebagai perantara untuk menyampaikan kemahuan dan hasrat  mereka untuk mendapat kejayaan dalam pilihan raya, gelagat hina menghina ini sudah menjadi nasi makan air minum bagi mereka, tiada segan silu lagi kerana bagi mereka semua manusia yang tidak termasuk dalam golongan mereka adalah musuh dan oleh itu mesti dihina serendah-rendahnya dengan memberi beberapa gelaran yang sangat indah dari segi penghinaannya. Mahu contoh? Anda perlu teliti sendiri, supaya dapat melihat dan menyaksikan gaya politik Islam di Malaysia.

Politik sebagai gerakan untuk mencari pengaruh dan mendapatkan kemewahan setelah pengaruh itu mengangkat seseorang tokoh menjadi wakil rakyat atau jawatan khusus dalam kerajaan,  menjadi pendorong utama kepada sesiapa juga untuk sanggup bergelumang dalam lumpur pertarungan merebut pengaruh. Kita pernah mendengar slogan “politik itu panglima” (atau yang hampir serupa dengan slogan ini) untuk memberi gambaran bahawa pertarungan di kalangan panglima politik ini akan berterusan walaupun sesuatu puak menang dalam pertarungan itu, tetapi kemenangan itu tidak kekal walaupun UMNO pernah memerintah Malaysia selama lebih dari 60 tahun!  Yang meruntuhkan UMNO ialah tokoh UMNO sendiri yang mahu terus memegang kuasa. Jawapannya tersembunyi dalam konsep demokrasi yang memberi peluang yang luas kepada sesiapa saja untuk membohongi pengundi (atau rakyat) dalam pertarungan merebut pengaruh itu. Pengaruh adalah peluang yang terbuka luas untuk mendapat kuasa dan selepas itu kekayaan. Siapakah di antara ahli politik yang berpengaruh di Malaysia yang papa kedana? Saya belum berjumpa orang itu, kerana jika orang itu wujud, maka nyatalah dia seorang yang bodoh dan tidak layak menjadi seorang tokoh politik.  Jika anda melihat perspektif ini dalam konteks “rasuah yang dirasuahkan” yang menjadi tajuk perbincangan baru dalam wacana politik Malaysia, anda akan dapati  wacana baru ini sudah pun dijadikan tradisi yang utuh dalam kegiatan politik Malaysia, dan di mana juga sekali pun.  Apakah maknanya?

Di dalam pertarungan merebut pengaruh dan kedudukan, seseorang mesti berbohong dan bersedia untuk menipu kerana inilah dua keadaan yang mesti dilalui dengan gigih jika anda mahu mendapat kemenangan dan dari situ layak dipanggil tokoh politik yang berjaya.  Untuk membuktikan rumusan ini tepat, dan sentiasa berulang dalam kegiatan politik Malaysia, maka anda harus berani meneliti perkembangan ketokohan seseorang ahli politik dan pencapaiannya yang dikagumi oleh rakyat. Siapa mereka, tokoh-tokoh ini, dalam politik Malaysia? Biarlah anda sendiri menentukannya…

Apa kaitannya kejayaan dalam politik dengan dendam dan hasad di kalangan tokoh politik Melayu?  Antara buku yang menarik, yang membicarakan aspek ini dalam politik Malaysia, ialah buku Mohd. Sayuti Omar, Saya Adalah Maha Firaun (Tinta Merah, Kuala Lumpur 1999.)  Yang dirujuk sebagai Maha Firaun itu ialah Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tidak seorang pun rakyat Malaysia yang tidak kenal beliau itu siapa, dan mengapa diberi gelaran itu.  Walaupun Firaun dikutuk di dalam al-Quran, dalam politik Malaysia terjadi sebaliknya, disanjung dan diberi penghormatan tertinggi. Anda mungkin mahu bertanya, adakah orang Malaysia sudah tidak siuman, dalam bahasa kasarnya gila, mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohammad yang mengaku Maha Firaun sebagai tokoh terbesar mereka, mengatasi Firaun yang dikutuk di dalam al-Quran? Saya tidak dapat memberi penjelasan, kerana kecetekan pengalaman dalam politik; maka dengan penuh harapan saya berharap akan tampil pembicara yang berani dan mendalam pengetahuannya tentang politik, untuk membicarakan keistimewaan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang bangga mengaku beliau Maha Firaun, jika benarlah seperti yang dirakam oleh Mohd. Sayuti Omar dalam bukunya itu.

Adakah semua ini terjadi kerana dendam dan hasad dengki? Tajuk ini penting diberi analisis yang tepat, kerana pengaruhnya dalam perkembangan politik Malaysia sangat besar dan mengaibkan jika dilihat dari perspektif moral.   Tokoh wartawan terkenal seperti Mohd. Sayuti Omar telah memberi pencerahan dalam gaya beliau yang tersendiri ketika membicarakan ketokohan Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai tokoh politik terbesar dan teragung Malaysia.

Yang penting, malah yang maha penting dalam perkara ini ialah, Tun Dr. Mahathir Mohammad sendiri mengaku beliaulah tokoh politik terkemuka dan paling lama menjadi PM Malaysia, mencurahkan segala kepandaian beliau dalam politik untuk mengekalkan kuasa hingga kini, walaupun akhir-akhir ini gerakan politiknya tergelincir sedikit dari landasan sehingga beliau diketepikan dengan bijak oleh PM ke 8 yang amat disenangi dan dikasihi rakyat itu – menurut para penyokong dan pengagum beliau!  Begitu sayangnya beliau kepada kedudukan dan pengaruh itu membuat beliau berjanji bohong dengan pencabar beliau yang pada umumnya adalah pengikut Tun Dr. Mahathir Mohammad yang setia, yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim.  Saya tidak pasti berapa ramai di antara rakyat Malaysia yang tahu mengapa beliau ini sanggup menjadi pengikut Tun Dr. Mahathir Mohammad walaupun sudah tertipu banyak kali apabila Tun kita yang bijak itu mungkir janji dan berbohong. Malah Tun kita yang hebat ini akhir-akhir ini menegaskan bahawa belau tidak selesa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tidak mahu beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Bagusnya pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memuji dan menyokong Tun yang bijak ini. Mungkin ada orang yang agak cerdik dalam politik dapat memberi penjelasan mengapa hubungan tidak siuman antara dua tokoh ini berterusan dan menjadi masalah dalam politik Malaysia. 

Kini sudah amat jelas  boleh kita lihat, dan dengan pengakuan Tun yang bijak ini  bahawa Anwar Ibrahim tidak berpeluang menjadi PM Malaysia bila-bila masa pun. Nampaknya Tun M berjaya,  kerana kini sudah banyak kedengaran persetujuan dan sokongan daripada rakyat yang memberi nasihat kepada Anwar Ibrahim supaya lupakan sajalah cita-cita beliau itu, kerana tidak direstui oleh tokoh teragung politik Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tegas itu. Beliau  sendiri sudah menegaskan bahawa beliau akan memastikan Anwar Ibrahim tidak terpilih sebagai PM Malaysia.  Jawatan itu telah direbut dengan bijak sekali oleh tokoh besar Johor yang bernama Tan Sri Muhyiddin Yassin, anak seorang ulama terkenal dari Johor, seperti yang diwar-warkan sendiri oleh Tan Sri ini.  Sekarang PM ke 8 ini sedang memperkuat kedudukannya dengan sokongan padu daripada tokoh-tokoh yang tidak terkenal yang telah mendapat kedudukan penting dalam politik Malaysia untuk menjadi pembela dan penyokong setia kepada Muhyiddin Yassin.  Gaya dan corak kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad telah dipakai dengan selesa dan berjaya oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memperkukuh kedudukannya, dengan menggunakan helah yang biasa digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam karier politiknya.

Tetapi ada satu perkara penting yang memerlukan perhatian serius rakyat Malaysia. Tun Dr. Mahathir Mohammad sedang berada dalam keadaan serba salah yang amat sangat, takut semua rahsia besarnya akan terbongkar dalam masa terdekat. Dia merasakan sukar hendak melindungi anak-anaknya yang kaya raya terlalu-lalu hasil pusaka hidup ketika Tun Dr. Mahathir Mohammad memegang jawatan PM yang lama itu. Sekarang apakah pilihan rakyat Malaysia?  Rakyat harus memilih menyelamatkan negara atau menyelamatkan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang menggusarkan beliau ketika ini. Siapa di antara pembaca blog ini yang mahu menulis tentang perkara ini? Saya tidak mahu membuang masa, malah lebih baik mengikut perhitungan saya kita biarkan saja Tun Dr. Mahathir Mohammad mencari helah baru!!!  Mungkin telah terlewat, maka dengan itu dia akan pergi bukan membawa nama yang harum, tetapi sebaliknya. Kita tunggu saja pengakhirannya.  Bayangan pengakhiran ini terdapat dalam buku Mohd. Sayuti Omar yang anda perlu baca dengan teliti,  Saya adalah Maha Firaun.

@@@@

Satu perkara penting yang sukar di atasi ialah sikap perkauman, yang memang menjadi nasi makan air minum tokoh politik Malaysia.  Bagi orang Cina dan India (di Kelantan disebut Keling, sesuai dengan panggilan mesra dalam Sejarah Melayu), isu perkauman ini tidak akan dapat diselesaikan kerana inilah salah satu akibat mobilization of bias yang menjadi tunggak demokrasi. Demokrasi menggalakkan perkauman, yang kelihatan dengan jelas dalam nasionalisme dan sosialisme sebagai faham politik terkemuka di Malaysia.  Parti DAP yang mendakwa tidak perkauman, adalah sebuah parti perkauman yang tidak mungkin akan menerima tokoh politik Melayu sebagai ketua parti itu. Orang Melayu boleh menjadi ahli DAP, tetapi tidak ketuanya. Paling baik mungkin menjadi ahli jawatan kuasa, itu pun dalam bilangan yang amat kecil. Mahu tidak mahu, kita harus menerima DAP sebagai parti perkauman yang paling tegas mempertahankan sifat perkauman itu, berasaskan faham sosialisme Cina.  Dosa DAP yang paling besar ialah tercetusnya rusuhan kaum di Kuala Lumpur 1969, apabila DAP yang menang besar di KL berarak sambil menjerit, “Melayu balik kampung!”  Belum apa-apa lagi mereka telah menghalau Melayu … Itulah hakikat dan sikap sebenar DAP seperti yang ditunjukkan oleh ketua DAP sendiri.

Satu soalan cepu emas: Mengapa di kalangan orang Melayu ada yang menjadi ahli DAP? Belum ada lagi huraian dan analisis kepada persoalan penting ini. Nampaknya para pembicara politik Malaysia takut hendak berterus terang dalam persoalan ini. Dalam konteks ini, anda perlu baca dengan kritis buku Tunku Abdul Rahman Putra, May 13:  Before & After  (Kuala Lumpur: Utusan Melayu, 1969). Buku ini penting dijadikan teks dalam kajian politik di semua universiti Malaysia.  Berapa lama DAP boleh bertahan setelah menghalau Melayu Kuala Lumpur supaya balik kampung?  Kalau UMNO boleh diketepikan buat sementara waktu, adakah DAP juga akan menerima keadaan yang sama? Soalan ini penting diberi jawapan kerana sifat perkauman DAP telah terbukti dalam kerajaan PH, yang memberi peluang kepada tokoh DAP untuk menjadi Menteri Kewangan.  Tindakan bodoh DAP untuk menjadikan isu tulisan Jawi di sekolah sebagai isu perkauman membuktikan DAP adalah parti perkauman yang memakai topeng sosialisme. Semua ini adalah bayangan kepada sorakan mereka di Kuala Lumpur 1969 supaya Melayu balik kampung! 

DAP memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia, dan dengan tegas menolak nama asal Persekutuan Tanah Melayu. Bagi DAP, Melayu sama saja dengan Cina dan Keling (menurut loghat Kelantan, seperti yang terdapat dalam Sejarah Melayu), kerana mereka juga kaum pendatang, terutama dari Indonesia. Kata DAP, Semenanjung Tanah Melayu adalah milik orang asli yang dihalau oleh orang Melayu menjadi penghuni hutan. Dari mana DAP dapat fakta ini tidak jelas bagi saya. Yang jelas bagi saya orang Cina dibawa Inggeris untuk bekerja di lombong bijih di Perak, dan orang India (Keling dalam loghat Kelantan) dibawa oleh British untuk menjadi kuli di kebun getah. Dua jenis manusia ini adalah pendatang baru, selepas 1940, kecuali Baba Melaka yang berasal dari Maharaja Cina ketika Sultan Melaka melawat Cina atas jemputan. Sejarah ini mesti diajar di sekolah, supaya anak-anak Cina dan Keling tahu asal usul mereka dan terima fakta bahawa Melayu adalah asal Nusantara. Semua Kepulauan Melayu adalah tanah air Melayu, hingga ke Kemboja. Melayu lebih awal jadi penghuni dunia daripada Cina dan India. Fakta ini ada dan diketahui oleh ahli sejarah. Sila rujuk sejarah ini daripada seorang profesor di Cambridge, yang dapat memberi susur galur Melayu secara saintifik.  Lihat juga perbincangan dan huraian Prof. Madya Mat Rofa Ismail dari UPM yang membicarakan asal usul Melayu bukan dari Yunan, tetapi dari tempat lain.

Dalam apa juga kajian sejarah, kesilapan terjadi bukan kerana tidak ada fakta, tetapi fakta itu ditutup supaya tidak diketahui. Tujuannya ialah untuk membuat tafsiran baru berasaskan pembohongan sejarah. Inilah yang berlaku tentang asal usul Melayu yang dikatakan berasal dari Yunan, padahal fakta yang betul tidak begitu. Prof. Madya Mat Rofa Ismail dan rakan-rakannya menemui pembohongan ini memang sengaja dilakukan dengan tujuan untuk memberi gambaran buruk kepada bangsa Melayu. Salah satu contoh terbaik ialah konsep Malaysian Malaysia, yang merupakan pembohongan sejarah yang amat ketara. Ke mana pun mereka ini pergi, mereka tetap bukan berasal dari Kepulauan Melayu; tetapi pendatang yang dibawa Inggeris untuk menjadi kuli di lombong bijih atau di kebun getah.  Sejarah mesti digali supaya pembohongan dapat ditolak, supaya anak-anak sekolah tidak terus berada dalam kegelapan sejarah, seperti misalnya propaganda Malaysian Malaysia itu.  Pengkhianatan intelektual mesti ditentang apabila orang politik cuba menyelewengkan sejarah.

_______________

Kekayaan Yang Luar Biasa

Siapakah di antara tokoh politik Malaysia yang amat kaya? Terkejut juga kita apabila seorang pembicara di YouTube yang bernama Jufazli Shi Ahmad yang mendedahkan kekayaan luar biasa Tun Dr. Mahathir Mohammad dan anak-anaknya. Harta karun itu disimpan dalam Bank of Israel di Singapura.  Mengapa tidak di Malaysia?  Bank di Malaysia terlalu kecil untuk dapat menampung jumlah harta karun yang begitu besar.  Jadi tidak selamat, dan senang diketahui oleh rakyat yang mungkin boleh saja mencurinya, kerana di kalangan orang Melayu pun terdapat pencuri yang handal. Tidak hanya tokoh politik yang handal mencuri kekayaan negara, pencuri biasa pun berupaya mencuri dari bank.  Bagaimana jika hukum Islam (i.e hukum hudud) dilaksanakan di Malaysia, wajarkah tokoh politik yang disahkan mencuri dipotong tangannya?  Tetapi ahli politik sudah muafakat antara mereka perkara seumpama ini tidak akan berlaku di Malaysia, dengan mengharamkan penggunaan hukum hudud dalam masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia.  Kata mereka, jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia, orang Islam yang mencuri dan dipotong tangannya akan menjadi peristiwa lucu di kalangan orang bukan Islam. Tidakkah ini memalukan umat? Kesimpulan: tak perlu hukum hudud dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. Adakah ini keputusan parti PAS juga?  Mungkin sudah ada cara lain yang sudah pun dikonsepsi oleh para ulama PAS untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Malaysia tanpa menimbulkan kontroversi.  Pelaksanaan hukum Islam tidak memerlukan persetujuan masyarakat, oleh itu sebarang halangan masyarakat tidak diterima. Kalau begitu, mengapa hingga sekarang pelaksanaan hukum hudud itu menjadi masalah?   Saya tahu jawapannya, tetapi saya fikir lebih baik kita tunggu saja jawapan para ulama PAS.

Tiba-tiba timbul persoalan hukum, padahal undang-undang jenayah Malaysia adalah yang terbaik, antaranya, jika dibandingkan dengan undang-undang di negara lain. Ertinya, tidak perlu laksanakan hukum hudud. Dengan itu terselamatlah tokoh politik yang korup daripada dipotong tangan mereka jika mereka disahkan mencuri harta negara.  Bunyi kesimpulan ini seperti mengada-ada, memperkecil tokoh besar negara yang banyak berjasa mengumpul harta yang tidak habis dimakan hatta seribu tahun pun!  Apa salahnya menjadi kaya, walaupun dengan menipu? Dalam politik dan dalam perniagaan, pembohongan dan penipuan dibenarkan, sebagai pemudah-cara mendapat pengaruh dan harta. Jika kesimpulan ini benar, maka tiada seorang pun ahli politik dan peniaga yang tidak menipu dalam kegiatan masing-masing.  Tidak hairan jika terdapat PM yang rapat dengan para peniaga besar. Apakah peranan para peniaga kaya ini dalam politik?  Wang mereka banyak, oleh itu natural saja jika mereka diperlukan dalam pilihan raya. Habuannya besar jika menang, baik kepada tokoh politik mahu pun peniaga. Ini bukan korupsi; ini namanya strategi.

Menurut DAP, inilah cara UMNO; bukan cara DAP. Satu masa dulu PAS dikatakan memohon bantuan jihad daripada anggotanya; berjuta-juta juga dikumpulkan. Rupanya para pengikut PAS ada wang untuk diderma, ada harta untuk digunakan dalam pilihan raya. Semua ini kita tahu betapa mahalnya kos pilihan raya; menurut satu anggaran, tak kurang dari 400 juta setiap kali diadakan pilihan raya. Berapa pula belanja calon yang bertanding? Kalau anda mahu tahu, bacalah novel politik, Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Dalam hikayat moden ini dicadangkan penubuhan satu institusi yang dipanggil Pusat Pengesan Penipuan Negara (PUPEN, lihat indeks.  Lihat hal. 78-85.)  Dalam keadaan sekarang yang penuh tepu dengan penipuan dari segi politik dan penampilan tokoh politik yang korup sebagai tokoh yang patut disokong dan dicontohi, maka penubuhan PUPEN menjadi sesuatu yang wajib dari segi politik, supaya sekurang-kurang terdapat rekod yang lengkap tentang penipuan politik dalam Malaysia.  Tetapi penubuhan PUPEN ditentang hebat oleh ahli politik, yang dengan tegas berkata kita tidak perlu institusi baru, kerana kita sudah ada Badan Pencegah Rasuah (BPR). Yang sangat ironis, BPR malah menggalakkan penipuan dan rasuah kerana badan itu seolah-olah menentang rasuah, tetapi menggalakkan kegiatan fasad dalam keseluruhan kegiatan yang bersifat politik. Anda perlu membaca dengan kritis novel besar ini dalam konteks penggalakan perbuatan fasad dalam politik Malaysia. Anda perlu faham apa yang dimaksudkan dengan fasad dalam tindakan politik tokoh-tokoh politik Malaysia.  Jika anda menolak konsep fasad, maka anda adalah seorang yang korup dalam konteks yang luas dan menyeluruh yang terkandung dalam konsep fasad yang diberi penekanan penting dalam al-Quran. Anda jangan harap DAP akan menerima konsep ini, walaupun mereka mendakwa mereka menentang korupsi. Ini tidak aneh, kerana dalam definisi mereka korupsi itu diberi definisi yang sempit supaya mereka bebas melakukan perbuatan fasad yang dikutuk dalam al-Quran.  Sejauh mana anda faham kesimpulan ini? Baca lagi dengan teliti dan kritis, sampai anda betul-betul faham dan tahu dengan mendalam makna korupsi seperti yang dimaksudkan dengan konsep fasad itu. Bacalah Hikayat Buyung Lurus dengan kritis sekiranya anda mahu menjadi manusia yang cerdik dan tahu makna sebenar konsep korupsi itu.

(Akan disambung jika perlu)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10-15 Jun 2020