Friday, June 12, 2020

MAKNA DAN MATLAMAT RASUAH YANG DIRASUAHKAN

Ungkapan “rasuah yang dirasuahkan” akan menjadi ungkapan penting dalam politik Malaysia dan juga dalam kegiatan intelektual, seperti kegiatan sastera.  Kedua-dua aspek ini telah saya bincang dalam beberapa tulisan, termasuk dalam beberapa entri dalam blog ini. Apakah sebenarnya makna dan maksud “rasuah yang dirasuahkan”?

Dalam kegiatan politik di Malaysia, terdapat dua perkara yang tidak dapat dielakkan yang mesti dilakukan dengan selesa oleh semua ahli politik. Pertama, mereka berbohong untuk mendapat kuasa. Dalam perbincangan politik di Barat kegiatan ini dinamakan mobilization of bias, yang dijelmakan dengan gah dan megah dalam manifesto parti yang bertanding dalam pilihan raya.  Inilah yang dinamakan demokrasi; kerana itu jika anda tidak terlalu bodoh, anda boleh melihat bahawa demokrasi menggalakkan tokoh politik untuk berbohong supaya mereka mendapat perhatian pengundi dan jumlah undi itu akan menentukan mereka mendapat kuasa atau tidak.  Setelah mendapat kuasa, mereka menggunakan kuasa itu untuk mendapat faedah peribadi, yakni untuk mendapat kekayaan yang dirompak oleh mereka atas nama untuk membela rakyat. Kekayaan yang dirompak itu menurut mereka digunakan untuk faedah rakyat. Dua perkara ini dilakukan dengan megah dan bangga oleh semua ahli politik seluruh dunia. Dengan itu pembohongan telah diterima sebagai nilai penting yang tidak dapat dielakkan dalam pertarungan politik untuk mendapat kuasa itu.

Inilah yang dimaksudkan dengan “rasuah yang dirasuahkan”.  Inilah hakikat demokrasi dari segi teori dan praktiknya. Anda perlu faham perkara ini secara menyeluruh dan agak mendalam, untuk memastikan anda tidak berasa terganggu dalam kegiatan politik anda. Penipuan dan pembohongan adalah alat politik seluruh dunia, tidak hanya dilakukan oleh tokoh-tokoh politik di Malaysia sahaja. Jika anda faham aspek demokrasi ini, anda akan mengerti mengapa orang-orang yang berada dalam parti yang bercorak Islam, seperti PAS, melakukan dua perkara ini dengan selesa. Untuk memahami aspek penting ini, anda perlu memahami mengapa PAS terjebak dalam kontroversi Sarawak Report, yang pada hakikatnya memberi gambaran sebenar kegiatan politik PAS.  Kes ini memberi gambaran yang cukup jelas maksud “rasuah yang dirasuahkan” itu.  Sedikit lagi penjelasan supaya ahli politik Islam menjadi cerdik sedikit. Dalam Islam, konsep rasuah itu tersemat dalam konsep fasad yang lebih luas maknanya. (Rujuk Arabic-English Dictionary of Qur’anic Usage:  Elsaid M. Badawi & Muhammad Abdel Haleem.  Leiden: Brill, 2008; hal. 709.)  Jika anda mahu tahu bagaimana fasad dijadikan ideologi politik oleh tokoh politik Melayu, baca Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu.

Demikianlah makna dan maksud “rasuah yang dirasuahkan” dalam kegiatan politik. Tidak dapat dielakkan. Oleh itu, melakukan rasuah adalah bahagian penting dalam kegiatan politik. Sekiranya anda menolak aspek ini, kita mahu dengar hujah anda supaya boleh pula ditiru oleh orang lain.

Keterlibatan PAS sebagai parti berasaskan Islam dalam “rasuah yang dirasuahkan” ini sangat penting difahami oleh masyarakat Malaysia, supaya mereka tidak tertipu dalam memahami kegiatan politik yang berasaskan pembohongan itu.  Bagi saya, contoh terbaik yang boleh dikemukakan ialah buku yang ditulis oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kini ketua agung PAS. Judul buku: Islam dan Demokrasi.  Baca buku ini dengan kritis bersama keterlibatan PAS seperti yang dihuraikan dalam Sarawak Report. Dua dokumen ini membuktikan dengan amat jelas maksud pembohongan dalam politik itu. Saya bawa contoh ini untuk memberitahu anda bahawa peranan agama (Islam) dalam politik di Malaysia adalah sama sahaja dengan kegiatan politik kelompok yang berasaskan nasionalisme, atau semangat kebangsaan Melayu. Malah, amat jelas penggunaan agama dalam politik Malaysia adalah wajah lain dari nasionalisme itu. Maka fahamlah kita mengapa sekarang PAS dan UMNO berada dalam khemah yang sama, tidur sebantal, kata peribahasa Melayu. 

Walaupun inilah hakikatnya, kita masih terbuka untuk mendengar penjelasan atau hujah yang menolak kesimpulan ini.  Anggota PAS berkata Sarawak Report itu bertujuan untuk memalukan PAS dengan melibatkan Tuan Guru Hadi Awang dalam pembohongan politik dan korupsi yang menurut mereka tidak pernah berlaku; dan jika berlaku sekali pun, bukan begitu penjelasannya. Jika ini  benar, berilah penjelasan yang benar itu supaya kita semua tidak tertipu oleh gelagat PAS yang kini lebih jelas dalam tindak tanduk mereka dalam perkembangan politik terakhir di Malaysia. Haji Hadi Awang kini dilantik dan menerima lantikan untuk menjadi duta Islam di dunia Islam. Apa maksud lantikan ini dan mengapa Haji Hadi Awang terlibat dalam perkara ini? Kita perlukan penjelasan.  Kita juga mahu mendengar penjelasan mengapa Haji Hadi Awang menulis dalam bahasa Arab memaki hamun Anwar Ibrahim. Tentulah dia tahu perbuatan itu haram dalam Islam, dan berdosa besar. Keaiban seseorang orang Islam perlu dilindungi, menurut Tok Guru zaman dulu sebelum politik dijadikan hujah untuk menipu. Adakah ini pendirian Islam? Jika benar, mengapa ahli politik Islam memburukkan orang lain yang mereka anggap sebagai seteru berasaskan sebab-sebab tertentu menurut ukuran peribadi mereka. Semua ini sangat jelas dalam Islam, sehingga tidak perlu diperingatkan lagi, terutama oleh Tuan-Tuan Guru yang terhormat. Kita perlukan  penjelasan yang jujur, bukan penjelasan atau helah yang bersifat membujur lalu melintang patah.  Orang yang bersetuju dengan Haji Hadi baik; yang tidak bersetuju dengannya jahat dan penipu. Inilah yang telah dikenakan oleh Tuan Guru ini satu masa dulu kepada pemimpin UMNO, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mengapa kini berubah? Kita perlukan penjelasan supaya tidak berlaku fitnah di kalangan para pemimpin Melayu.  Ungkapan “matlamat menghalalkan cara” sangat terkenal dalam politik Malaysia, dan memang dipraktikkan oleh semua ahli politik. Menurut mereka, inilah falsafah politik Machiavelli; tetapi mereka tidak tahu sikap Machiavelli yang terukir dalam ucapannya, “Men are infamous and detestable who are  destroyers of religion, squanderers of kingdoms and republics, and enemies of the virtues.” (Maurizio Viroli, Machiavelli. London: Granta Publications, 2008.)  Sebagai maklumat tambahan, Machiavelli pernah menegaskan dengan sombong bahawa beliau lebih suka masuk neraka kerana di dalam neraka itu ramai orang berilmu, golongan intelektual. Katanya, syurga “boring”, semua tersedia! Agak tuan-tuan, berapa ramai ahli politik Melayu yang akan bertemu Machiavelli di neraka nanti… Sekadar bertanya, bukan apa. 

Pandangan Machiavelli ini perlu dibaca dengan teliti dalam konteks demokrasi yang diasaskan kepada mobilization of bias itu. Jangan hendaknya ahli politik Melayu terutamanya tidak tahu, atau bodoh sangat dengan aspek demokrasi yang penting ini. Kalau perlu, saya tidak keberatan untuk memberi kuliah kepada ahli politik tentang demokrasi dari perspektif politik Barat. Dalam Islam tidak ada demokrasi; di sinilah Haji Hadi Awang keliru besar kerana beliau tidak ada ilmu politik Barat tentang makna dan proses demokrasi itu. Orang agama yang jahil politik dan tidak tahu pula cara demokrasi dilaksanakan dalam politik Barat, tanpa malu-malu lagi mengatakan demokrasi terdapat dalam Islam, dengan menyamakan syura dan demokrasi. Kita boleh jadi jahil, tetapi jangan jadi bodoh dengan memberi maklumat palsu dan salah seperti yang terjadi dalam buku Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang itu.  Maklumat salah dan palsu yang dimaksudkan ialah erti demokrasi dalam politik Barat yang tidak sama dengan konsep syura dalam Islam. Demokrasi digunakan dengan berjaya untuk menipu dan berbohong melalui mobilization of bias manakala tidak ada unsur itu dalam konsep syura dalam Islam. Ini pun tokoh besar PAS ini tidak tahu dan tidak dapat membezakannya. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga, nanti nampak sangat bodohnya.   Maaf kerana membuat teguran bodoh ini!

Betapa bodoh pun rakyat Malaysia, betapa jahil sekali pun, jangan biarkan mereka terkapai-kapai dalam kekeliruan ketika kekeliruan itu boleh dileraikan.  Pokoknya, para pemimpin perlu bersikap jujur dan tidak hanya tahu “bermain” politik, walaupun melanggar aspek kejujuran itu. Dalam konteks ini, hamba mahu bertanya, apakah bezanya “bermain burit dan semburit” dalam politik? Ungkapan “bermain burit dan semburit” mesti dilihat dan ditafsirkan dalam konteks politik, bukan dalam konteks seks semata-mata. Adakah kepuasan seks sama degan kepuasan mendapat kuasa dalam politik? Pertanyaan ini sangat penting diberi jawapan kerana implikasinya dalam soal kepemimpinan politik sangat besar. Siapa yang boleh membicarakan persoalan ini dengan objektif dan analisis yang mendalam?  Atau, adakah pembohongan adalah wajah lain makna kejujuran dalam politik? Nampaknya begitulah.  Dalam makna hakikinya seperti yang diamalkan dalam politik, kejujuran dan pembohongan adalah dua aspek kegiatan politik yang setaraf.  Hakikat ini diakui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tindak tanduk beliau dan dalam ucapan beliau. Dalam satu surat yang disiarkan dalam Harakah (keluaran bertarikh 14 Mac 2012, artikel bertajuk “Mahathir’s legacy of camouflaged corruption”, oleh Dr. Roslan Khan – pembaca Harakah, Ph.D. dalam kajian transport, Granfield University, UK.  Practising consultant/company director in the last 25 years.)  Harakah menyiarkan surat Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak yang baru menang pilihan raya Israel dan dilantik menjadi PM. Mahathir menulis “on behalf of UMNO”. Menteri Luar Malaysia ketika itu, Syed Hamid al-Bar akan mengiringi Mahathir menghadiri UN Session, dan Syed Hamid dijangka akan menemui Mr. David Levy Menteri Luar Israel untuk berbincang mengenai “fund raising” untuk menghadapi pilihan raya, diambil daripada Clinton Fund, untuk melawan parti PAS dalam pilihan raya.

Ketika saya menulis rencana ini, macam-macam cerita tentang Tun Dr. Mahathir Mohamad yang boleh kita baca dalam pelbagai media, semuanya mengenai tindak tanduk beliau yang bertentangan dengan moral, semuanya untuk kepentingan politik peribadi belaka. Seorang penulis yang menggunakan YouTube untuk berbicara memberitahu kita bahawa Tun M menyimpan wangnya sebanyak 42 bilion US dalam Bank of Israel di Singapura. Lihat YouTube, antara lain bertarikh Dec. 2, 2019  mengenai perkara ini. Rujuk Jufazli Shi Ahmad TV.

Kalau politik tidak kotor, dan tidak berumbikan pembohongan, maka dalam ilmu politik moden itu bukan politik. Di Malaysia contoh terbaik ahli politik yang berbohong seumur hidupnya, sehingga membuat Tunku berpesan kepada Ku Li supaya tidak mempercayai Mahathir, kerana menurut Tunku “Mahathir seorang pembohong.”  Kesimpulan Tunku berasaskan pengalaman pahit beliau difitnahkan oleh Mahathir Mohamad ketika Tunku menjadi Perdana Menteri. Adakah Tunku sendiri tidak pernah berbohong? Pertanyaan ini hanya boleh dijawab oleh Mahathir atau lain-plain pemimpin UMNO. Tetapi tentang Mahathir, benarnya tuduhan Tunku itu diberikan oleh Mahathir sendiri dalam tindak-tanduk politiknya, terutama akhir-akhir ini. Isunya ialah, Mahathir telah berbuat yang terbaik untuk membenarkan tuduhan Tunku terhadap beliau. Dan itu merupakan tindakan politik yang paling lihai, yang benar-benar genius!!  Walaupun Muhyiddin cuba memberi warna hijau dalam tindakan politiknya, dengan membaca doa sendiri (bukan suruh Imam masjid), namun dari segi tindakan politik belau tidak berbeza daripada cara dan gaya Mahathir. Beliau malah lebih hebat lagi, dengan menggunakan pintu belakang (ada yang kata menebuk bumbung) untuk menjadi PM 8.  Dalam politik moden, perbuatan sebegini adalah tindakan yang cerdik, oleh itu wajar disanjung. Itulah yang diberikan kepada Muhyiddin ketika ini.  Menurut para penyokong beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah PM terbaik dan paling bersih dalam sejarah politik Malaysia, walaupun semua orang tahu beliau naik melalui bumbung bersama satu kumpulan yang amat lihai yang menggunakan taktik pencuri ayam masuk guk ayam ketika tuan ayam sedang tidur nyenyak!

Dalam konteks perbincangan kita, inilah contoh “rasuah yang dirasuahkan” yang diterima baik oleh sebahagian masyarakat. Dengan itu anggota UMNO yang menjadi ketua UMNO terus menerus mengkonkritkan pembohongan politik ini dalam tindakan mereka, dan diterima dengan baik oleh masyarakat yang memang tahu perkara itu dan menerimanya sebagai tindakan politik yang cerdik.  Dalam politik Malaysia, yang bijak ialah jenis musang; yang cerdik jenis Sang Kancil. Kelemahan Sang Kancil ialah dia tidak pernah masuk reban untuk mencuri ayam, tidak seperti musang. Di antara ahli politik Malaysia, mana satu jenis musang dan mana pula jenis Sang Kancil? Atau semuanya jenis musang?  Hanya dua orang tokoh politik yang boleh menjawab soalan ini.  Siapa mereka anda tentu tahu, kerana jika anda tidak tahu anda adalah orang paling bodoh tentang politik Malaysia.

Saling tuduh menuduh dalam politik Malaysia bahawa musuh politik mereka berbohong dan korup menjadi bukti terkuat tentang perangai musang para tokoh politik ini. Dalam hal ini tiada pengecualian, semua mereka setaraf dan sama-sama menonjol dalam tindakan mereka sebagai musang berbulu ayam. Namun begitu kita masih mengharapkan akan muncul seseorang pembicara politik tampil dengan gagah perkasa untuk menolak kesimpulan ini, dengan memberikan kesimpulan beliau bahawa tidak ada tokoh politik Malaysia yang terlibat dalam penipuan dan pembohongan. Jika benar, beruntunglah rakyat Malaysia. Masalahnya, bagaimana kita boleh huraikan perilaku politik yang jelas berasaskan pembohongan dan penipuan itu yang kita boleh lihat dengan jelas dilakukan tanpa segan silu oleh tokoh-tokoh politik yang gah dan megah sebagai contoh  tokoh terkemuka dalam penipuan dan pembohongan ini!  Contoh-contoh yang diberikan di sini mengarah kepada peri pentingnya aspek pembohongan dan penipuan itu dalam kejayaan politik seseorang tokoh politik.  Untuk mendapat pengalaman di Barat dalam aspek ini, sila rujuk buku yang perlu dibaca oleh anda, Political Corruption, ed. Paul Heywood(Blackwell Publishers, Oxford, UK, 1997.)  Sebuah buku yang membicarakan demokrasi, berjudul Democracy and Dictatorship in Europe: From the Ancient Regime to the Present Day (Oxford Universiti Press, 2019, masih baru lagi.)  Sekarang anda boleh lihat dengan jelas kedudukan buku Tuan Guru Datuk Sri Abdul Hadi Awang yang dirujuk, yang perlu dibaca bersama buku beliau, Amanat Haji Hadi: Penghuraian dan Penjelasan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan PAS Pusat, 2002).  Supaya anda tidak terkeliru, rujuk juga dokumen penting Sarawak Report yang penting itu, untuk kita memahami kedudukan sebenar Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam politik Malaysia.  Bagaimana beliau boleh terlibat dalam penipuan yang dianalisis dengan mendalam dalam Sarawak Report itu?  Penafian tidak cukup. Kita perlukan pengakuan jujur daripada tokoh Islam sedunia ini mengapa beliau terlibat dalam penipuan berharga RM90 juta lebih yang diterima daripada UMNO?  Adakah beliau telah ditipu oleh UMNO?  Jika benar, sebodoh itukah pemimpin taraf dunia ini? Atau ada muslihat lain yang perlu disembunyikan. Jika sesuatu tindakan itu benar dan jujur, mengapa mesti disembunyikan? Semua soalan ini perlukan jawapan.

Sekadar makluman awal, sebuah buku tulisan Mohd. Sayuti Omar, Saya Adalah Maha Firaun, tentang Tun Dr. Mahathir dalam politik Malaysia (terbit KL 1999), wajar dibaca semula untuk melihat siapakah manusia istimewa dalam politik Malaysia ini.

Dengan merujuk buku dan dokumen yang disenaraikan itu, mudah-mudahan anda faham maksud ungkapan “rasuah yang dirasuahkan” itu.

Itulah sahaja dulu. Lain kali kita bincang lagi, kerana tajuk ini sangat penting. Kita tidak mahu orang Melayu ditipu oleh para tokoh politik yang mereka sanjung, yang menjadikan rasuah sebagai kegiatan terpuji dalam penipuan politik. Andainya tidak pernah wujud penipuan yang dimaksudkan di sini, silalah berikan hujah anda dengan contoh-contohnya sekali. Mari kita tegakkan keadilan dalam makna hakikinya, sebagai tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 12 Jun 2020.

Nota untuk makluman:

Jangan lepas lim g e, tun m dan tomy t. pengkianat negara. mereka ini yang huruhara negara dengan ekonomi turun mendadak, jual aset negara, rakyat berpecah belah, perebutan kuasa dan fitnah orang tak bersalah. rakyat inginkan negara setabil dan aman.

NAJIB GESA SIASAT SEMULA KES YANG DIDAKWA DAN DIGUGUR TOMMY THOMAS

•Jun 12, 2020

No comments:

Post a Comment