Setelah
membaca beberapa buah buku penting mengenai korupsi dan peranan korupsi dalam
sistem demokrasi, saya dengan tidak sengaja mengambil buku saya sendiri yang
tidak dibaca di Malaysia, hingga sekarang kata penerbit masih tidak laku. Saya
ambil Hikayat Salim Adil; saya baca
bab tentang sastera, berjudul “Karya Falsampah” (hal. 24-47). Tak kering gusi
saya tertawa, begitu “menghibur” tetapi bukan pada tahap hedonisme, sebaliknya menghiburkan
dari perspektif intelektual. Inilah satu-satunya karya intelektual dalam bahasa
Melayu yang tidak dibaca oleh para sarjana dan sasterawan, kerana tahap
pemikiran mereka masih lagi berada pada tahap Pak Hasan, seniman bodoh dan lara
(lagha, bahasa Arabnya), yang pada
hakikatnya akan diketawakan oleh Pak Pandir dan rakan-rakannya Lebai Malang dan
Si Luncai jika mereka membaca karya sasterawan negara berjudul Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Saya telah mengkritik karya bodoh ini dalam
blog ini, tetapi nampaknya tiada siapa pun di kalangan sasterawan dan sarjana
sastera yang membacanya. Tiada dan tidak ada pun reaksi mereka, padahal mereka
sedang disebat begitu teruk di tengah
khalayak budak-budak sekolah yang bersorak melihat para sarjana dan sasterawan
dirotan secara intelektual dalam perkumpulan budak-budak sekolah yang baru
hendak belajar sastera.
Cerita
pendek “Karya Falsampah” adalah satu kritikan yang paling sadis ditujukan
secara khusus kepada para sasterawan negara dan penyokong mereka para sarjana
sastera. “Sadis”? Mengapa saya pakai istilah lucu ini? Mudah saja sebabnya:
mereka yang disebat itu sangat gembira kerana kesakitan kecil kena sebat itu telah membuat mereka terkenal
di kalangan sasterawan dan pembaca! Mendapat kepuasan daripada kritikan tajam
adalah sejenis sadisme intelektual (???) yang menjadi keseronokan para
sasterawan negara dan para sarjana sastera yang menyanjung mereka. Kata mereka, walaupun mereka menulis karya picisan
dan pujian terhadap mereka oleh para sarjana juga picisan, tetapi hakikat
bahawa mereka diberi perhatian walaupun untuk dikutuk adalah satu jenis
sanjungan yang membuat mereka berasa puas. Tidakkah itu boleh dipanggil sadisme
intelektual? Sifat picisan golongan ini membuat mereka berasa seronok dikecam
dan dikritik kerana menurut mereka kedudukan mereka menjadi terkenal dengan kritikan itu dan kini sudah pun
diiktiraf di kalangan sarjana antara bangsa.
Lalu mereka menyindir: Siapa yang membaca Pujangga Melayu dan Gagasan
Persuratan Baru di peringkat antara bangsa? Karya kami dibaca dan dijadikan
kajian di peringkat antara bangsa, kata mereka dengan angkuh. Tahniah kerana memperkenalkan kebodohan
Melayu di peringkat antara bangsa.
Sekiranya mereka tidak menipu diri sendiri dan megah berada dalam
penipuan itu, mereka tentu membaca dan memperkenalkan Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden, satu-satunya buku yang mengupas dan
menganalisis dengan mendalam projek sasterawan negara yang palsu itu, dengan
beberapa penilaian ke atas karya para sasterawan negara. Keputusan bodoh yang mereka ambil membuktikan
dengan jelas sifat picisan mereka, dan ketakutan mereka kepada kebenaran, oleh
itu mereka berasa selamat jika idea baru dalam penilaian kreatif dan
penulisannya yang dianjurkan oleh PB
tidak dikenali oleh sarjana luar negeri yang berminat dalam sastera Melayu
moden. Inilah antara persoalan yang
dijadikan satira dalam cerita pendek
“Kaya Falsampah”.
Hikayat Salim Adil adalah sebuah karya yang unik,
kerana boleh dibaca sebagai sebuah novel, boleh juga sebagai sebuah karya
akademik yang membicarakan beberapa persoalan penting dalam kajian sastera dan
juga dalam teknik penulisan kreatif.
Sebagai contoh, sila rujuk halaman 146 dan seterusnya yang membicarakan
persoalan ini. Anda akan mendapat dua
kepuasan jika anda baca Hikayat Salim
Adil dengan kritis; kepuasan
intelektual dan kepuasan kreatif. Inilah satu-satunya karya dunia yang begini
sifatnya. Anda boleh belajar tentang konsep sastera mengikut pandangan Islam,
yang dibawa oleh Gagasan Persuratan Baru; anda juga akan memahami betapa karut
teori sastera Barat yang tidak berteraskan ilmu, sekadar berteraskan andaian
yang kelam kabut dan kusut huraiannya. Anda perlu baca buku-buku teori sastera
Barat dan karya Barat yang terkenal untuk memahami kesimpulan ini. Saya yakin
seratus persen jika anda faham, benar-benar faham, anda akan menjadi pengikut
PB untuk mengelak dari perasaan malu kerana terikut-ikut teori sastera Barat
yang tidak berasaskan konsep ilmu itu. Jika ini berlaku secara teratur, yang
paling menyakitkan para sasterawan negara dan para pengikut mereka yang
bergelar sarjana sastera ialah anda tidak dapat pertahankan konsep sastera yang
anda tiru dari Barat, oleh itu anda tidak berupaya pula mempertahankan
kedudukan para sasterawan negara berasaskan konsep ilmu yang benar. Ini suatu tragedi ilmu yang amat melucukan,
dan sekali gus amat menyedihkan dan menyakitkan hati.
Anda
menghadapi sejenis trauma intelektual yang saya gelar sebagai sadistik itu. Sadisme intelektual yang diharapkan
dapat menyingkirkan PB dalam dunia ilmu, tiba-tiba menjadi sejenis kekacauan
psikologi yang saya gelar sadisme sastera itu. Saya harap anda faham maksud
saya, walaupun saya tahu para sarjana kita amat cetek kefahaman mereka tentang
ilmu, akibat terlalu meniru teori sastera Barat tanpa memahami dengan mendalam
asasnya dari segi epistemologi. Para sarjana sastera ini menjaja ilmu sastera
yang tawar heber dari segi kandungan
ilmunya, hanya kulit-kulit kerapu yang gatal yang mereka dapat dari teori
sastera Barat yang tidak mereka fahami betul-betul. Saya tidak mahu sebut
contoh-contoh untuk mengelak dari keterkejutan yang boleh membawa anda
menghadapi epilepsi ilmu. Sungguh
dahsyat akibatnya, jika anda pernah lihat bagaimana pesakit epilepsi ini
tiba-tiba jatuh terguling dengan mulut berbuih… Anda perlu memberi mereka
rawatan segera!
Sebenarnya
ramai di antara para sarjana dan sasterawan kita yang mengidap penyakit
epilepsi ilmu ini. Bantu mereka, kerana mereka amat memerlukan bantuan kita semua.
Anda dapat melakukan tugas penting ini dengan membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil. Jika anda kebetulan seorang sarjana sastera
yang mengajar sastera, barangkali dengan gelar akademik tertentu, dan anda
seorang sarjana yang jujur yang tunduk kepada kebenaran ilmu yang benar, ketika
itu anda boleh membantu para pelajar sastera anda untuk berbincang dengan
kritis dan jujur tentang peranan epistemologi dalam kajian dan penilaian
sastera. Teks yang boleh digunakan
untuk mencapai matlamat ini tidak lain dari Hikayat
Salim Adil. Lebih cantik jika dibaca
bersama Anugerah Sastera Negara dalam
Kesusasteraan Melayu Moden. Berilah
peluang pelajar sastera menjadi cerdik dengan membaca dengan kritis buku-buku
ini. Persoalan ini dibincang seterusnya dengan lebih luas dalam Pandirisme dalam Komuniti Dunia (2016), kerana budaya pandirisme
ini telah dijadikan budaya utama di kalangan para sarjana dan sasterawan.
Sebelum itu, saya telah membincangkan dengan agak detail dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan
Tauhid (DBP 1992; cetakan kedua 2005).
Semua buku ini sudah lebih dari cukup untuk membina budaya ilmu dalam kesusasteraan
Melayu (lebih tepat dalam persuratan Melayu.)
Jalan untuk
mencapai kecemerlangan baru dalam persuratan Melayu telah terbuka. Terpulang
kepada anda sama ada untuk terus berada dalam budaya pandirisme dan seronok
mengulit gendang kosong yang menakutkan harimau, tetapi tidak dipedulikan oleh
lembu yang sedang meragut rumput.
Selamatlah jiwa yang sempurna!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 18 Jun 2020
Pilihan terbaik, jalan petunjuk yang lurus, benar dan menjamin keselamatan terbentang di hadapan warganegara tercinta ini.
ReplyDeleteNamun bagaimana mereka memilih, memahami dan memberikan perhatian yang serius terhadap misi sempurna yang diserukan agama, kita sebenarnya sentiasa was-was, kurang arif dengan kehendak dan cita-cita,matlamat terakhirnya.
Masihkah mereka mengambil sikap meraba-raba, mencari sesuatu yang lain dari jalan yang lurus itu.
Sekian, selamat berjuang dan istiqamah bersama kebenaran dan keindahan.
Terima kasih tuan haji dengan pengajaran yang baik dan berterusan mencurahkan ilmu untuk pembaca yang menginginkan kecerdikan berfikir dan bertindak. Inshaa-Allah.