Nota: saya terjumpa tulisan ini ketika meneliti fail lama. Disiarkan untuk kritikan anda, atau lebh baik untuk dimanfaatkan seadanya. TK
Katak Bawah
Tempurung Tak Lepas Lompat Busut
Oleh
Mohd. Affandi Hassan
Sekitar tahun 1970-an, para
sasterawan dan pengkritik sastera geger menjerit-jerit marah kononnya saya
membunuh bakat-bakat baru melalui tulisan saya. Kini timbul pula jeritan baru
yang menuduh gagasan Persuratan Baru yang saya kemukakan bertujuan menjatuhkan
sasterawan besar negara. Persuratan Baru bertujuan memartabatkan karya kreatif
dengan menjadikan taklif sebagai asas penulisan kreatif, menggunakan stylization of ideas sebagai teknik
utama. Tidak ada langsung matlamat untuk menjatuhkan sesiapa pun. Jika ada yang
merasa dirinya terketepi, maka hal itu terjadi kerana kelemahan mutu karya
mereka, bukan kerana Persuratan Baru.
Tuduhan-tuduhan
begini tidak saja tidak berasas, malah mencerminkan kerendahan pemikiran para
sasterawan sendiri yang takut dinilai dengan kritis, kononnya akan terpelanting
jatuh dari gunung ketinggian yang mereka duduki sekarang. Berapa ratus bakat
baru yang saya bunuh tidak pernah dinyatakan, demikian juga berapa puluh orang
tokoh besar yang saya jatuhkan tidak pernah ditunjukkan. Inilah cara berfikir
picisan yang masih menjadi pegangan para sasterawan, penilai dan pengkaji
sastera Melayu. Bahawa hal ini timbul pada waktu ini bagi saya sangat menarik,
membuktikan sekali lagi sifat sebenar pemikiran picisan dan penilaian picisan yang
menjadi kemegahan para sasterawan dan penilai sastera Melayu. Dalam bulan Mei
2002 saya menulis beberapa buah rencana untuk membahaskan beberapa perkara yang
saya anggap penting, tetapi tidak sebuah pun tulisan itu tersiar. Yang tersiar
(Mingguan Malaysia, 25/5/2002),
menurut maklumat yang disampaikan kepada saya dari Utusan Melayu dan
universiti, ialah tulisan yang sudah lebih enam bulan, malah mungkin sudah
setahun disimpan oleh akhbar itu. Tulisan itu kini disiarkan untuk menunjukkan
bahawa tulisan-tulisan saya yang tidak tersiar itu bertujuan "menjatuhkan
tokoh-tokoh besar".
Antara tulisan yang tidak mahu
disiarkan itu membicarakan tokoh agung abad 20, tentang Utusan Melayu telah
tertipu kerana memberikan Hadiah Sako II kepada sebuah karya picisan, tentang
penilai dan penilaian picisan dalam sastera Melayu, dan lain-lain. Saya tidak
bermaksud mengulas tulisan-tulisan tersebut, tetapi saya ingin menyebut di sini
bahawa terdapat kecenderungan untuk "membisukan" saya dengan tidak
menyiarkan tulisan-tulisan tadi, supaya tokoh-tokoh tertentu yang jelas
bukanlah tokoh yang besar dan utuh sebenarnya, tidak terjejas kedudukannya.
Jika ini benar, masyarakat sudah kehilangan peluang besar untuk menimbang
pendapat-pendapat kritis saya yang boleh membuat mereka lebih teliti dan
bertanggungjawab dalam membuat penilaian. Jika andaian ini benar, tentulah
masyarakat akan jadi marah apabila dalam abad moden pun masih terdapat
mentaliti "carik baju raja dilompati todak sebab akal budak", yang
berdegar-degar menyesali pembunuhan budak cerdik, tetapi awak sendiri
mengamalkan diskriminasi dalam memberi pendapat. Apa-apa juga yang awak tidak
mahu dengar, awak ketepikan. Apa bezanya awak dengan raja yang membunuh budak
cerdik itu?
Sejak gagasan Persuratan Baru
diketengahkan, jarang benar kita dengar orang bercakap tentang anjakan
paradigma (paradigm shift), mungkin
kerana mereka ketakutan akan berpindah dari sastera kepada Persuratan Baru.
Mereka tidak perlu takut, kerana perpindahan itu akan membuat mereka lebih
cerdik, dan karya mereka akan lebih bermutu. Sebenarnya para pengkritik saya
sehingga sekarang belum lagi membahaskan dengan mendalam apa-apa juga pandangan
saya yang mereka anggap "membunuh" dan "menjatuhkan" itu.
Mereka tidak berupaya berbuat demikian, selain kerana ilmu yang cetek, mereka
sebenarnya takut terkena ke batang hidung sendiri jika analisis saya dibahaskan
dengan mendalam. Jalan paling mudah ialah membuat tuduhan, kemudian mendiamkan
diri. Merekalah yang sebenarnya berbuat keburukan yang jelik sekali, iaitu
membuat tuduhan palsu yang tidak pernah dibuktikan. Siapa yang jahat
sebenarnya?
Jadi kita lihat perbincangan tentang
sastera di Malaysia masih berlegar di sekitar soal remeh-temeh, masih berada
pada peringkat gosip, peringkat ocehan di kedai kopi. Ini terjadi kerana para
sasterawan dan pembicara sastera kita masih kampungan, masih berada di bawah
tempurung kecil kampungan, takut melihat matahari yang akan menyerlahkan kurap
intelek mereka, dan jika sekali sekala keluar melompat, mereka hanya bermain di
lopak-lopak kecil atau berkeliling di busut-busut kecil. Melompat busut kecil
pun tak lepas, apatah lagi hendak mendaki gunung ilmu yang tinggi-tinggi. Saya
telah membicarakan panjang-lebar tentang perkara ini dalam tulisan berjudul
"Dari paradigm shift ke paradigm shit: Sastera Melayu dalam
Siratan Makna dan Ciritan Kata", dan sebuah lagi tulisan yang menghuraikan
corak pemikiran dan penilaian picisan berjudul "Era Picisan Dalam Sastera
Melayu". Kedua-dua tulisan ini membicarakan pemikiran kampungan dan picisan
yang sangat bangga dimegahkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera,
terutama sekali jenis "sarjana guru sekolah" yang banyak merosakkan
sastera Melayu moden. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan saya akan diberi
peluang seluas-luasnya membahaskan hujah dan bukti yang saya kemukakan.
Baru-baru ini timbul sedikit
keriuhan tentang Hadiah Nobel. Saya telah memberikan pandangan saya, tetapi
tidak disiarkan. Di sini saya ingin mengulang pandangan saya bahawa keriuhan di
sekitar perkara ini sekali lagi membuktikan kebenaran tesis saya betapa
kampungan dan picisannya pemikiran sasterawan kita. Benarlah kesimpulan
Muhammad Iqbal yang menyatakan bahawa orang yang suka meminta-minta itu berjiwa
hamba dan berhati kambing, tidak layak dihormati, tidak mempunyai peribadi
tinggi yang boleh dicontohi. Adalah aneh bagi seorang yang telah menulis sajak
panjang tentang Al-Amin masih
mendambakan pemberian Alfred Nobel yang mencipta bahan letupan (dynamite) yang boleh membunuh dan
menghancurkan apa saja, padahal seorang tokoh sufi tak terkenal yang digelar
Wak Ali dari Wakaf Baru, Kelantan, ketika diminta menjelaskan bagaimana
seharusnya seseorang beramal, dengan rendah diri berkata, "Beramallah
seolah-olah kamu sedang meriba Nabi Muhammad." Perhatikan istilah
"riba", lambang kasih sayang dan sifat prihatin terhadap orang yang
kita kasihi. Seratus pemenang Hadiah Nobel pun tidak dapat menandingi kata-kata
indah yang ringkas, tetapi amat berharga bagi yang tidak picisan pemikirannya
itu. Kata-kata itu lahir daripada seorang yang menghayati ajaran Nabi s.a.w.
Wak Ali jauh lebih besar daripada Alfred Nobel dan sebarang pemenang Hadiah
Nobel Sastera, dalam sistem nilai yang kita orang Islam pakai. Renungkanlah
dengan akal, bukan dengan nafsu serakah. Orang yang telah sampai ke peringat
itu, kata Iqbal, "sanggup menggegar langit angkasa". Menurut
al-Quran, orang yang diberi hikmah (yakni yang faham Quran dan Sunnah), telah
diberikan kebaikan yang banyak (rujuk al-Quran, 2: 269). Perlukah Hadiah Nobel
lagi? Hanya yang berjiwa picisan saja yang mendambakan Hadiah Nobel atau
apa-apa juga hadiah. Wallahu a'lam.
Petaling
Jaya,
1 Jun 2002.
Assalamualaikum Tuan.. rasa gembira sekali dapat membaca tulisan Tuan dalam blog ini. Betapa lama tidak saya soroti penulisan Tuan selepas tamat belajar dari UPSI dan kini bekerja.Semoga Tuan diberi kesihatan yang baik dan tetap menulis.
ReplyDelete
ReplyDeleteTerima kasih banyak Sumarni. Saya menulis untuk generasi muda, membangunkan kemampuan intelektual mereka yang tinggi dan sah berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam perjuangan ini, saya tidak pernah merasa bosan untuk terus mendidikan generasi baru menjadi cerdik dan cekap berhujah berasaskan konsep ilmu yang benar. Terima kasih sekali lagi. Selamatlah jiwa yang sempurna.
Betapa masih relevannya tulisan ini, khususnya berkenaan mengejar hadiah. Alhamdulillah.
ReplyDelete