Tuesday, June 30, 2020

ADAKAH KITA PERLUKAN KORUPSI DALAM MEMBANGUN NEGARA?

Menurut  ahli sosiologi Barat, korupsi adalah unsur penting dalam pembangunan negara di mana-mana saja, oleh itu soal halal haram korupsi tidak timbul. Kalau begitu, mengapa ramai orang masih lagi ditangkap kerana melakukan korupsi?  Saya tidak ada jawapan, habis sangat saya boleh berkata ialah, Nasib dialah…

Kalau dihalalkan, mengapa Malaysia perlu wujudkan satu institusi yang khusus untuk memerhati dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas sesiapa yang korup.  Apa maksud ke atas sesiapa yang korup? Ini satu pertanyaan cepu emas yang mungkin tidak perlu dijawab. Tetapi sekali-sekala perlu juga kita berikan perhatian, kerana jawapan itu sendiri membuktikan betapa pentingnya korupsi dalam sesebuah negara yang mahu maju secara kebendaan.  Begini: korupsi itu perlu dijadikan tindakan untuk menghukum musuh politik kumpulan yang berkuasa. Di kalangan mereka sendiri hampir tidak ada tindakan diambil, kerana ini akan memalukan kumpulan mereka (atau kerajaan) dan mungkin menimbulkan kemarahan rakyat. Jika ini berlaku, maka kalahlah dalam pilihan raya nanti.

Mengikut  tokoh-tokoh politik yang berkuasa, korupsi yang dilakukan oleh lawan politik mereka mesti diberi perhatian penting, kerana penangkapan yang dibuat nanti akan menjadi bukti betapa korupnya sesebuah kerajaan.

Dalam kes 1MDB, riuh rendah suara percakaran ahli politik yang “bermusuhan” saling menuduh dan mencarut sesama mereka untuk membuktikan musuh mereka korup. Diikuti senarai dan jumlah wang yang lesap… Timbul persoalan: Kalau tokoh-tokoh politik ini begitu jahat dan tidak boleh dipercayai, mengapa mereka masih disokong?  Jangan jawab dulu, kerana anda sendiri akan terbongkar seorang yang korup juga!

Demikianlah hebatnya permainan korupsi ini. Yang menentang korupsi pun korup juga, apatah lagi yang betul-betul korup dalam tindakan politik mereka.  Kalau itulah realitinya, sepatutnya tidak ada tangkapan rasuah sama sekali, kerana pada hakikatnya dalam politik sekular, korupsi adalah realiti politik yang diterima oleh semua pihak. Yang berbeza hanya siapa yang berkuasa. Yang berkuasa, yakni kerajaan, boleh menuduh dan menangkap sesiapa saja yang mereka tuduh korup. Di sinilah tersirat ironi yang jarang dikesan dan diketahui orang. Mungkin anda sudah nampak sekarang, korupsi adalah permainan politik untuk menindas musuh politik yang ditakuti akan naik dalam perjuangan politiknya. Perjuangan? Ini pun satu istilah yang lumrah dalam pembicaraan tentang korupsi. Yang tepat perjuangan yang difahami dan dipraktikkan dalam politik adalah sebenarnya sebahagian dari kegiatan rasuah itu. Jika anda dapati sukar hendak memahami kesimpulan ini, cuba anda ambil satu atau dua tokoh politik dan perhatikan kegiatan politik mereka. Kita akan dapati, ada ahli politik yang dengan mudah dan megah berpindah tempat atau sokongan jika dengan berbuat begitu dia mendapat habuan yang dikejarnya. Ini sangat banyak berlaku dalam politik, dan terutama sekali dalam politik Malaysia. Tak payah sebut nama atau tunjukkan orangnya; hanya lihat saja bagaimana orang ini tampil dalam berita dan bagaimana pula berita itu ditulis tentangnya. Kalau anda tidak terkesan dengan penipuan perilaku ini, anda bolehlah dikatakan mempunyai potensi untuk menjadi wakil ketua parti yang korup itu. Masih belum faham?

Apa yang saya tulis dengan ringkas ini sudah pun dianalisis oleh Dr. Rosli Khan dalam Harakah 14 March 2012. Baca kembali ulasan beliau.  Anda akan dapat melihat wajah sebenar Tun Dr. Mahathir Mohammad dipaparkan dalam tulisan itu. Pada dasarnya orang politik Malaysia adalah bangsat: bangsat dari segi kewangan; bangsat dari segi mencari pengaruh; bangsat dari segi moral atau akhlak.    Dari segi kewangan mereka mengumpul harta haram dari pelbagai sumber (anda perlu buat senarai sendiri mengenai sumber ini); mereka juga bangsat dari segi pengaruh, mereka mahu dihormati dan dijadikan tokoh rujukan (sebagai contoh dalam kejayaan hidup).  Bangsat dari segi moral ini pula boleh dilihat dalam sikap mereka terhadap kejahatan, apa juga jenis kejahatan yang dilakukan manusia.  Sekarang PM ke 8 dikutuk oleh orang yang tidak bersetuju dengan beliau sebagai PM pencuri masuk ke rumah orang melalui pintu belakang atau tebuk atap. Dia tidak ada suara dari segi bilangan ahli parlimen, walaupun ada yang mengatakan dia sudah melebihi angka yang diperlukan. Tapi belum diuji, kerana tidak mahu dibawa ke Parlimen untuk diundi.  Kata puak yang tidak bersetuju dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tokoh ini tidak ada keyakinan dia boleh  bertahan jika diikuti procedure biasa. Inilah tabiat pencuri, kata orang yang mengutuk PM tebuk atap ini. Sudah jelas dilihat dari segi mana sekali pun (segi politik, segi moral dan lain-lain) PM 8 ini memenuhi semua ukuran yang dikenakan kepada pencuri. Ini tidak menjadi masalah dalam politik, kerana politik berkuasa mengubah segala nilai yang dulunya terpakai, boleh saja ditukar dengan nilai-nilai terkutuk oleh masyarakat, asal saja yang mengubahnya mempunyai kuasa untuk membentuk nilai baru dari segi politik, walaupun tidak dari segi moral. Persis inilah yang dilakukan oleh PM 8 ini, yang setiap ucapannya disusuli dengan keratan ayat-ayat Quran yang sesuai dengan kehendaknya dan motifnya. Satu keistimewaan beliau ialah, para ustaz yang kini menjadi anggota kabinetnya, menerima perubahan ini dan menyokong sikap mengada-ada PM 8 ini ketika memperkuat kedudukannya yang lemah itu dengan melontarkan ayat-ayat Quran  untuk mendapat sokongan Melayu.  Walaupun ada yang berkata beliau menjual agama, nampaknya tidak menjadi sesuatu yang salah kerana sahabat barunya dari PAS sudah lama melakukan perbuatan yang sama.  Presiden PAS yang dimuliakan masih belum dapat meyakinkan masyarakat bahawa dia tidak menerima apa-apa bantuan daripada UMNO melalui Datuk Sri Najib Tun Razak. Inilah kes Sarawak Report yang amat memalukan PAS, jika mereka masih mempunyai perasaan malu itu.  Sejahat-jahat Datuk Sri Najib Tun Razak, beliau berjaya meletakkan PAS di atas bara munafik yang membakar seluruh integriti dan digniti PAS. Inilah kumpulan yang mendapat pembelaan dan sokongan kuat daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semua yang dicontohkan di sini merupakan contoh penyelewengan yang amat jelas, yang tidak dapat diragukan. Oleh itu, bagaimana kita boleh terima pendapat ramai bahawa PM 8 yang mencuri masuk rumah melalui atap atau pintu belakang ini dikatakan PM terbaik dan yang paling merendah diri, yang tinggi moralnya, mengatasi semua PM yang sudah dihasilkan oleh Malaysia.  Tidakkah tokoh ini amat hebat? Tetapi ramai pula yang mengutuknya sebagai pencuri melalui atap atau pintu belakang. Mana satu yang benar? Jawapannya sangat mudah: bagi yang menyokong beliau, maka beliaulah PM terbaik sepanjang sejarah Malaysia. Bagi yang tidak bersetuju dengan beliau, yang mengutuk beliau sebagai perompak jawatan PM itu, maka beliau adalah  … (saya tak tergamak hendak memberi senarainya, anda senaraikanlah sendiri!).

PM 8 ini dikatakan anak tuan guru, tetapi ketika beliau membaca beberapa potongan ayat Quran, bahasa Arabnya sama sekali tidak fasih, seperti misalnya fasihnya bahasa Arab Anwar Ibrahim.  Satu perkara yang patut kita kagumi beliau: tentang keberaniannya menggunakan Islam dan ayat-ayat Quran untuk memperlihatkan beliau seorang pemimpin Islam.  Dalam politik Malaysia, sesiapa juga yang pernah menjadi tokoh UMNO tidak boleh dipercayai, oleh itu sukar untuk diterima sebagai tokoh politik yang berjiwa Islam.  Beragama Islam, ya; tetapi belum tentu berjiwa Islam. Jika anda penyokong PAS sekali pun, jangan terlalu yakin anda berjiwa Islam. Menggunakan Islam sebagai alat politik memang sah, tiada siapa pun yang menafikan. Nanti satu hari nanti kita akan bincang apa yang kita maksudkan dengan berjiwa Islam ini. Yang pasti, mereka tidak akan menerima rasuah, dalam bentuk apa sekali pun; dan konsep rasuah mengikut Islam jelas bagi mereka. Sekarang konsep rasuah itu tidak jelas, terlalu samar-samar. Kita akan bahaskan ini satu ketika yang sesuai nanti. Sekarang tokoh-tokoh ini, termasuk TS Muhyiddin Yassin, menggunakan Islam untuk mendapat pengaruh.  Masihkah orang Melayu boleh menerima penipuan dan pengkhianatan ini?  Cuba anda fikirkan sedikit secara bodoh: adakah parti yang dicuri PM 8 sebuah parti Islam? Tentu saja tidak, kalau begitu anda pun masukkan apa yang anda fikir “unsur Islam” secara mencuri juga, hanya untuk mendapat sokongan orang Melayu dan anda pun boleh berkata parti yang anda curi itu berjiwa Islam.

Adakah tindakan anda yang anda lakukan dengan penuh semangat itu berjiwa Islam? Masalahnya di sini parti yang berubah nama dalam politik Malaysia semuanya berasal dari UMNO, sebuah parti nasionalis yang menempel sedikit unsur Islam untuk mengabui mata penyokong, jadi bolehlah bercakap “kami pun ada jiwa Islam”, dengan tambahan yang jujur “jiwa Islam kami, kami letakkan di bawah nasionalisme Melayu yang juga berjiwa Islam sejak asal”. Yang jadi masalah, ramai Melayu percaya kepada pembohongan ini, oleh itu mereka tidak keberatan jika dikhianati. Itulah penjelasan yang paling tepat, walaupun mudah hingga kelihatan amat bodoh. Pak Pandir, tokoh besar jenaka Melayu, cukup senang hati menjadi orang bodoh kerana dia rasa selamat. Inilah falsafah yang dipegang oleh anggota parti UMNO yang kini berubah nama, tetapi masih tetap berjiwa UMNO.  Bolehkah ahli politik Melayu lari dari tricks Pak Pandir?  Persoalan ini akhirnya melahirkan falsafah pandirisme yang terkenal itu.

Lihat saja pembohongan tentang perisytiharan harta. Mengapa mesti dibuat secara rahsia dengan memberi maklumat kepada Dewan Rakyat. Untuk siapa? Saya ulang sekali lagi mengenai perisytiharan harta ini yang dibuat oleh PM British 1976. Dia dan ahli kabinet dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan isytihar harta dalam akhbar The Times of London.  Tokoh politik Malaysia lain. Mahu kelihatan jujur, tetapi kelentong. Isytihar harta dengan rahsia. Inikah pemimpin Islam?  Kafir British yang diketuai James Callaghan jauh lebih jujur dan benar-benar ada integriti.  Makin kita bincang tentang politik Malaysia, makin jelas pembohongan dan pengkhianatan yang dijadikan pegangan kukuh dalam kegiatan politik tokoh-tokoh politik Malaysia.   Celakalah sesebuah negara yang dipimpin oleh para pengkhianat dan penipu yang berbohong sepanjang masa. Sungguh celaka!!

Selamatlah jiwa yang sempurna. Hidup penipuan dan pembohongan!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 Jun 2020.


No comments:

Post a Comment