Monday, June 22, 2020

KORUPSI TERANCANG DALAM POLITIK MALAYSIA

Since a politician never believes what he says, he is surprised  when others believe him.
Charles de Gaulle

Sesiapa juga yang mengikuti sepak terajang tokoh politik Melayu akan terkesan dengan dua perkara: sifat tamak dan hasad; dan kedua selalu terbuka untuk mengkhianati “amanah” yang mereka pegang.  Pengkhianatan terhadap amanah itu berlaku dengan kesedaran mereka sendiri, yang boleh kita lihat dalam kegiatan rasuah yang mereka lakukan dengan riang gembira, kerana mereka masih tetap disokong dan diberi sanjungan sebagai pemimpin bangsa.  Rakyat menerima tokoh-tokoh rasuah ini kerana wang rasuah yang diragut mereka kononnya dibelanjakan untuk kebajikan rakyat. Bolehkah kita berkata dengan lapang dada bahawasanya tidak ada pemimpin politik yang tidak rasuah. Jangan dihadkan rasuah itu kepada wang ringgit saja, kerana rasuah dalam konteks fasad yang ditekankan dalam al-Quran meliputi semua kegiatan yang berunsur penipuan dan pengkhianatan. Inilah falsafah Iblis, setelah terkutuk lalu Iblis memohon kepada Allah supaya mereka diberi kebenaran untuk menggoda dan menyesatkan manusia, kecuali yang beriman dengan iman yang benar. 

Dalam politik Malaysia, semua tokoh politik sama ada yang beragama Islam mahu pun dari golongan bukan Islam, berlumba-lumba untuk mendapat kemenangan dalam pertarungan politik, supaya mereka terkenal sebagai pembela rakyat, padahal perbuatan itu adalah perbuatan rasuah yang nyata. Kalau ini bukan rasuah, dalam konteks fasad tadi, maka apakah yang boleh kita panggil?  Dalam falsafah Islam,  tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah keadilan; dan ini tidak ada di kalangan tokoh politik. Menurut Islam, berlumba-lumba dengan mendesak atau pun memujuk untuk diberi kedudukan istimewa dalam hierarki politik adalah kelakuan biadab yang diharamkan dalam Islam. Umat Islam tidak diajar untuk berebut pangkat dan kedudukan.  Hakikat ini diketahui oleh para pemimpin PAS, oleh itu amatlah aneh jika mereka sendiri berlumba-lumba untuk mendapat faedah daripada kegiatan politik dan sekali gus mendapat kedudukan yang istimewa sebagai pemimpin masyarakat. Tidakkah ini sejenis rasuah? Aspek rasuah dalam konteks ini perlu dibincang dengan mendalam supaya  para tokoh politik tidak menjadikan rasuah dalam konteks fasad tadi sebagai matlamat “perjuangan” (?) mereka.  Sekali lagi saya anjurkan anda membaca dengan kritis novel Hikayat Buyung Lurus: Sebuah Hikayat Politik Melayu. Persoalan begini dibincang dalam novel politik yang hebat itu; oleh itu anda “wajib” membacanya dengan kritis. Dan seterusnya insaf …

SLOGAN DAP YANG JAHAT

Slogan DAP Malaysian Malaysia adalah juga sejenis rasuah politik  yang amat jahat dan kotor kerana slogan ini menentang dan dengan sedar cuba membohongi sejarah politik di Persekutuan Tanah Melayu. Nama Persekutuan Tanah Melayu itu masih kekal kerana nama itu diberikan oleh raja-raja Melayu sendiri yang bersekutu walaupun kedudukan mereka di setiap negeri berbeza. Menggunakan slogan Malaysian Malaysia adalah percubaan berani yang tidak siuman dan jahat kerana jelas menentang hakikat sejarah dan hakikat politik yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia. Tanpa sedar atau memang disedari, kumpulan biadab ini menolak Perlembagaan Malaysia yang telah menerima mereka sebagai rakyat walaupun mereka bukan penduduk asal di negara Melayu ini.  Apabila kumpulan biadab ini menolak penggunaan tulisan Jawi di sekolah, maka mereka telah menentang Perlembagaan Persekutuan yang menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan kerasmian bahasa itu termasuk penggunaan tulisan Jawi yang memang menjadi lambang negara, tertulis di lambang itu dengan jelas. Dalam tulisan Jawi: Bersekutu Bertambah Mutu. 

Memperkenalkan konsep fasad dalam politik Malaysia adalah penting supaya pengertian rasuah yang difahami dan diperangi di Malaysia sekarang difahami betul-betul, untuk mengelak berlakunya tafsiran songsang dan salah tentang konsep rasuah, yang jika difahami oleh tokoh-tokoh politik Malaysia, rasuah dalam konteks yang mereka fahami sekarang adalah sebahagian daripada mobilization of bias yang menjadi tonggak faham demokrasi. Kepalsuan demokrasi dan meluasnya korupsi telah dibicarakan dengan mendalam, antara lain dalam tiga buah buku yang mudah didapati: (1) Sherry Berman, Democracy and Dictatorship in Europe: From the Ancient Regime to the Present Day  (OUP, 2019).  (2)  Paul Heywood ed. Political Corruption  (London: Blackwell Publishers, 1997).  (3)  David Leigh & Ed Vulliamy eds. Sleaze: The Corruption of Parliament  (London: Fourth Estate Ltd., 1997). Lihat juga karya Daniel Hellinger & Dennis R. Judd, The Democratic Façade (1991) mengenai penipuan dalam pilihan raya di Amerika Syarikat (Buyung Lurus, hal. 116).

Kejahatan dan penipuan dalam politik sudah diterima oleh semua ahli politik sebagai dua syarat utama dan penting untuk berjaya dalam politik. Sesiapa yang tidak mahu berbuat demikian bukanlah ahli politik yang boleh dipercayai.  Oleh itu beliau tidak akan terpilih menjadi ketua atau tokoh yang disegani dan dihormati. Semua PM Malaysia sedar dua ciri penting yang menentukan kejayaan tokoh politik yang berjaya dan dihormati. Oleh itu, seseorang ahli politik yang rasuah akan dikagumi oleh para pengikutnya, kerana ahli politik yang tidak mengambil kesempatan itu adalah ahli politik yang lemah, oleh itu tidak wajar dijadikan ketua. Semua ini diketahui oleh para pengikut, oleh itu mereka akan marah jika ketua mereka tidak mengambil kesempatan itu. Itulah caranya para pengikut mendapat habuan masing-masing.  Buku-buku yang disenaraikan itu membuktikan kesimpulan ini sebagai wajar, oleh itu dijadikan amalan biasa oleh para ahli politik yang berjaya.

Anda mungkin akan bertanya: jika rumusan itu benar, mengapa kita di Malaysia perlukan Suruhanjaya Pencegah Rasuah  Malaysia  (SPRM)? Untuk siapa ditubuhkan badan itu?  Badan itu penting untuk memberitahu rakyat bahawa perbuatan memberi dan menerima rasuah boleh dihukum jika disabitkan dalam perbicaraan. Dengan memberi kesedaran ini, tidak bermakna rasuah boleh dihapuskan, tetapi boleh dicegah untuk memastikan rasuah terkawal. Jika anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam penjelasan ini, maka itu boleh dijadikan tanda bahawa perbuatan rasuah itu sentiasa terbuka luas untuk dilakukan oleh sesiapa saja yang tergoda untuk melakukannya, kerana keuntungan yang didapat mendorong manusia memberi dan menerima rasuah.

Dengan penjelasan ini, dalam konteks demokrasi yang diamalkan di Malaysia, rasuah adalah sebahagian daripada ciri utama demokrasi. Cuba anda perhatikan dengan teliti bagaimana demokrasi dilaksanakan di negara-negara yang mengatakan mereka demokratik.  Jika anda perhatikan dengan cermat, semua negara yang mengaku demokratik mengamalkan mobilization of bias, untuk memastikan merekalah, yakni parti merekalah yang akan menjadi pilihan rakyat. Tidak ada paksaan dalam membuat pilihan itu, tetapi terdapat gesaan yang hebat supaya sesuatu parti dipilih kerana faktor-faktor tertentu. Gesaan itulah paksaan tersembunyi yang dibalut dengan teliti dalam mobilization of bias tadi. 

FUNGSI RASUAH

Salah satu fungsi rasuah ialah untuk mempercepat “pembangunan” sesebuah negara, dan dalam hal ini Malaysia juga menggunakan rasuah untuk membangun negara. Dalam teori pembangunan ekonomi, terdapat satu teori yang diterima dengan baik oleh masyarakat dunia, iaitu teori peri pentingnya rasuah dalam  pembangunan ekonomi. Jika anda berminat, anda boleh dapat huraian tentang teori ini dalam buku yang membicarakan pembangunan ekonomi dan masyarakat.  Perkara ini disebut juga dalam Hikayat Buyung Lurus.  (Lihat hal. 114-124). Demikianlah cara orang Barat menyelesaikan masalah masyarakat mereka.  Cara ini tidak diterima dalam Islam, kerana Islam amat mementingkan keadilan, seperti yang disebut tadi: meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika terdapat ramai orang miskin yang memerlukan bantuan, maka mereka mesti diberi keadilan yang disebutkan.  Walaupun Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah hanya dua setengah tahun, dalam pemerintahannya tidak ada orang miskin yang layak menerima zakat atau sedekah. Allah Ta’ala membantu hamba Nya yang dilantik menjadi Khalifah yang jujur dan takwa seperti khalifah Islam. Semut dan katak pun mendapat rahmat itu, apatah lagi manusia yang menjadi rakyat. Itulah maksud keadilan dalam Islam. Dalam masyarakat yang seperti itu, mana ada tempat untuk sesiapa pun melakukan rasuah. Allahu Akbar!!!

KORUPSI TERANCANG TUN DR MAHATHIR MOHAMMAD

Dalam konteks sistem kapitalis, yang Malaysia sendiri menjadikan panduan dalam pembangunan negara, rasuah diterima dan diuruskan dengan baik supaya yang disebut pembangunan itu tidak terganggu. Siapakah yang mendapat faedah daripada projek besar-besaran itu? Penjelasan yang mudah dan senang difahami telah diberikan oleh Dr. Rosli Khan dalam sebuah rencana panjang menganalisis korupsi Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam program korupsi yang terancang dengan rapi. Korupsi terancang ini dilakukan dengan leluasa di negara-negara Eropah dan di Amerika Syarikat; melalui Amerika dilaksanakan pula  di negara-negara Arab, terutama Mesir, melaksanakan korupsi terancang ini dalam pilihan raya yang hanya membenarkan sebuah parti yang dikuasai kerajaan mengambil bahagian, dengan sokongan Amerika untuk menentukan gerakan Islam dapat dihapuskan di Mesir dan di lain-lain negara Arab, yakni di negara-negara Islam.

Korupsi terancang oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dianalisis dengan jelas sekali oleh Dr. Rosli Khan dalam tulisannya yang disiarkan dalam Harakah 14 Mac 2012.  Tulisan ini mengkritik penswastaan sebagai punca segala bentuk rasuah yang menjadikan politik wang sebagai budaya politik di Malaysia hingga ke saat ini, dipelopori oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pemurah dengan pujian terhadap segala projek mega penswastaan yang telah membawa kemajuan pesat dan cepat dalam pembangunan negara.  Tepat sekali andaian para sarjana sosiologi pembangunan yang menegaskan betapa pentingnya rasuah dalam pembangunan negara.

Inilah pandangan bernas Dr. Rosli Khan: “Privatization took over the entire nerves and functions of the government under Mahathir. It became the  buzz word in the country. The new found method was quickly followed  by many  privatization exercises in Malaysia …This was the start of the great money politics of a grand design. It further accelerated UMNO’s tendency towards nepotism and cronyism practices, and high level corruption era. The face of Malaysian politics has completely transformed by this policy into multi-billion ringgit business. And Mahathir’s leadership was clearly responsible for that. Many a highway concession had been given to party cronies or nominees of politicians in power, one after another. Suddenly, Klang Valley was proliferated with tolled highways.”

Dengan perkembangan istimewa ini dalam pembangunan Malaysia, maka termaktublah Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai tokoh terbesar yang mempelopori  korupsi terancang di Malaysia. Tahniah kepada tokoh besar korupsi ini.

GALAKKAN KORUPSI UNTUK MEMBINA NEGARA

Korupsi adalah senjata politik yang tajam dan amat berkesan untuk menyingkirkan  atau terus membunuh musuh politik.  Antara hujah yang berupa kritikan tajam terhadap YAB Tan Sri Hj. Muhyiddin Yassin ialah program bercorak rasuah yang terancang olehnya untuk memastikan kedudukannya  tidak tergugat dengan melantik orang-orang kepercayaannya yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, setiausaha parlimen dan lain-lain jawatan politik yang dikatakan  berjumlah lebih dari 70 jawatan menteri dan yang serumpun dengannya; selain itu lantikan ke badan-badan berkanun tertentu dengan gaji besar.  Dalam konteks politik moden, gerakan seperti ini amat jelas unsur rasuahnya; sekurang-kurangnya dibuktikan dari besarnya beban rakyat untuk membayar habuan kewangan yang besar kepada lantikan yang bersifat rasuah ini. Tetapi dari segi undang-undang semua gerakan yang bersifat rasuah ini tidak mempunyai kesan perundangan, oleh itu selamat digunakan oleh tokoh politik untuk mengukuhkan kedudukan mereka.  Perlu ditegaskan di sini bahawa perbuatan seumpama ini dari perspektif Islam adalah perbuatan rasuah; dan menurut Islam pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya masuk neraka. Tetapi kesedaran begini sudah luput dalam perhitungan tokoh politik Islam di Malaysia.

Pilihan terbaik ialah kembali ke pangkal, bukan meneruskan pembohongan dan  agenda rasuah terancang yang diusahakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. Jika beliau belum insaf dan tidak mahu insaf, biarkanlah beliau dengan labu-labunya. Biarkan Si Luncai politik Malaysia ini tenggelam dengan labu-labunya.

Selamatlah jiwa yang sempurna!

 Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Jun 2020

Nota tentang Dr. Rosli Khan:
Dr. Rosli Khan, a Harakahdaily reader, obtained his PhD in Transport Economics from Cranfield Universiti, UK. He has been a practicing consultant/company director in the last 25 years, being involved primarily in infrastructure development and economic policies.


No comments:

Post a Comment