Tuesday, May 23, 2017

WUJUDKAH PEMIKIRAN TANPA ILMU?

Terdapat satu keanehan yang istimewa dan membanggakan dalam sastera Melayu, iaitu peri wujudnya “pemikiran” dalam karya sastera yang dengan jelas menolak unsur ilmu. Bagaimana “pemikiran” boleh wujud tanpa unsur ilmu? Telah berkata para sarjana, pengkritik, dan sasterawan, bahawa sastera tidak perlukan ilmu. Sastera adalah cerita, dan cerita adalah hiburan, dan setiap cerita diasaskan kepada konsep fictionality, bukan konsep ilmu. Jika anda membaca karya para sasterawan negara, yang telah diterima sebagai pengasas pembinaan tamadun seperti yang ditegaskan oleh ITBM dalam buku mereka, Sastera Teras Negara Bangsa, anda akan dapat melihat betapa kuatnya semangat anti-ilmu di kalangan sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.  S. Othman Kelantan, yang telah menegaskan bahawa jika seorang penulis mahu menulis tentang ilmu, tulislah buku ilmiah, bukan karya kreatif. Inilah pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.  Karya Anwar Ridhwan, Penyeberang Sempadan, telah dipuji sebagai sebuah karya intelektual, sebuah karya ilmu.  Sekarang mana satu yang betul? Kini seolah-olah para sasterawan berusaha menulis karya intelektual supaya mendapat pujian para sarjana.  Adakah ini satu perubahan?  Tidak juga, kerana mereka menolak konsep ilmu yang benar, tetapi menerima dengan baik konsep fictionality sebagai asas bersastera. Demikian hebatnya kekeliruan tentang konsep ilmu dalam sastera Melayu.  Tidak hairan jika mereka (tiga kumpulan tadi) menolak Gagasan Persuratan Baru kerana tidak seorang pun di antara mereka yang sudah dapat menulis sebuah karya seperti Pujangga Melayu yang ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar.  Bagi mereka, novel persuratan ini adalah sebuah karya yang gagal dan membosankan kerana terlalu banyak khutbah dan syarahan yang membuat pembacanya tertidur!  Mereka memuji Naratif Ogonshoto yang berasaskan fictionality sepenuhnya, tetapi pada waktu yang sama mereka juga menegaskan Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya intelektual, yang berunsur Islam pula!  Kalau sudah berunsur Islam, bermakna mengutamakan ilmu yang benar. Tetapi novel ini menjadikan kejahatan dan  perilaku yang weird sebagai unsur utama dalam cereka, yang seluruhnya berasaskan fictionality  yang anti-ilmu dan anti moral. Demikian hebatnya kekeliruan dalam sastera Melayu!  Semua ini memberi gambaran yang jelas tentang betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu, sehingga menjadikan para sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera terhuyung hayang mabuk Barat, tetapi pada waktu yang sama ingin juga dikenali sebagai penulis intelektual, yang tidak mengutamakan ilmu, sebaliknya mengutamakan  fictionality. Kemabukan ini tidak dapat dielakkan, kerana kesetiaan kepada pengaruh Barat tetap dikekalkan kerana itulah yang paling mudah dilakukan, tidak perlu berfikir, cukup dengan hanya meniru.

Maka terjadilah pertarungan merebut pengaruh antara para peniru ini  dengan para pemikir sastera Melayu yang menerima kembali konsep persuratan dan mula membicarakan karya kreatif dalam konteks wacana  berasaskan ilmu yang benar.

Tidak ada sebab yang munasabah untuk para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan untuk memberi pendapat yang tidak benar, seperti dengan gigih sekali berkata Naratif Ogonshoto itu sebuah karya besar dan terbaik dalam sejarah penulisan novel Malaysia, padahal apabila dianalisis berasaskan konsep ilmu yang benar, novel itu hanya mengarut dan bertentangan dengan nilai-nilai murni yang dijadikan projek pendidikan oleh Kementerian Pelajaran.  Hingga kini belum lagi tampil sesiapa pun yang menyanggah kesimpulan ini, yang sekali gus menolak semua penilaian yang dilontarkan oleh para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan. 

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru dengan serta-merta menjadikan konsep fictionality itu adalah simbol anti-ilmu dan anti-intelektual, sebagai sumber kemunduran berfikir  yang diiringi dengan kekacauan makna kreatif yang hanya bergantung pada sensasi, bukan stylization of ideas seperti yang diberi bentuk oleh PB yang menjadikan kreativiti itu didefinisikan sepenuhnya dalam konteks taklif, oleh itu kreativiti itu diasaskan kepada konsep ilmu, keadilan, dan usaha ikhtiar yang terbaik dari segi mencapai matlamat untuk mencipta hasil kreatif yang “indah dan bermakna”.  Ungkapan “indah dan bermakna” diasaskan sepenuhnya kepada konsep taklif, oleh itu menolak sepenuhnya konsep fictionality yang menjadi tunjang kreatif para sasterawan, yang dijadikan asas untuk melaksanakan teknik sensasi sepenuhnya seperti yang ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam novel-novelnya.  Dalam konteks inilah karya Anwar Ridhwan dan para sasterawan negara lainnya adalah karya picisan yang penuh sensasi hasil dari imaginasi berteraskan fictionality, bukan menyerlahkan hakikat ilmu.  Kesimpulan ini tidak dapat dielakkan, dan tidak dapat ditolak. Gagasan Persuratan Baru, yang hadir sebagai satu sistem yang lengkap, memperkenalkan standard yang jelas dalam penulisan kreatif dan dalam penilaiannya, oleh itu amatlah sukar untuk anda memperlekehkannya, kerana yang terjadi anda sendirilah yang akan menyerlahkan keselekehan anda sebagai pengkritiknya. Kesimpulan ini telah dihuraikan dengan jelas dalam satu tulisan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam kertas kerja beliau yang disiarkan dalam   ASIATIC, VOLUME 9, NUMBER 1, JUNE 2015:   “ Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary Methodologies”.   Anda boleh baca di sana.



KESIMPULAN

Saya tidak ada masalah dengan para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan jika mereka mahu forever  memperhambakan diri mereka menjadi jurucakap yang cetek meraba-raba kepada teori sastera Barat, dan bangga memperagakan kecetekan kefahaman mereka terhadap teori Barat yang mereka banggakan bahawa merekalah golongan yang tahu apakah sebenarnya “sastera” dan apakah yang sebenarnya boleh dibuat oleh konsep sastera yang menjadi pegangan mereka, yakni konsep fictionality dan sensasi sebagai wahananya. Tetapi saya perlu menegaskan lagi di sini, bahawa sumbangan mereka dari segi intelektual dan pemikiran dalam pembinaan tamadun negara ini tidaklah sebesar mimpi mereka yang bombastik yang dengan agak biadab mengatakan bahawa sastera itulah yang layak menjadi teras negara bangsa.  Mereka mengadakan persidangan besar khusus untuk mencanang kembali slogan Asas 50 yang telah gagal memperkaya dan memperkasa pemikiran bangsa kita, yang pada hakikatnya menjadikan ilmu sebagai musuh kerana mereka tidak dapat menerima bahawa sumber ilmu itu hanya dari al-Quran, kerana menurut mereka jika mereka menerima hakikat itu akan hancurlah segala sumbangan mereka selama ini yang menurut mereka akan diketepikan.  Jika apa yang mereka panggil sebagai “sumbangan” itu tidak seberapa, malah hanya mengusutkan lagi kefahaman mereka tentang ilmu, maka kedegilan mereka  untuk mempertahankan kekeliruan mereka bukanlah sesuatu yang mulia dan bermaruah.

Apakah pilihan mereka? Jika mereka benar-benar percaya sumbangan mereka begitu besar dan amat bermakna kepada pembangunan tamadun kita, maka mereka seharusnya terbuka untuk dinilai dengan sehabis kritis dan objektif. Penilaian ini boleh dibuat dengan adil dan objektif oleh Gagasan Persuratan Baru, seperti yang ditunjukkan dengan jelas dalam makalah Prof. Ungku Maimunah yang saya rujuk itu.  Selain dari itu, Prof.  Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan perdananya yang saya rujuk banyak kali dalam blog ini  mencadangkan  supaya diwujudkan disiplin “kesusasteraan Islami bandingan” dalam sistem pendidikan kita di universiti.  Cadangan ini, jika dilaksanakan, akan membuka mata para sarjana dan pengkritik sastera Melayu akan kekayaan ilmiah dalam bidang kreatif dan akademik yang kini tidak diketahui mereka. Beberapa contoh yang disebut oleh Prof. Bukhari Lubis dalam syarahan perdananya menjadi bukti betapa perlunya kita wujudkan disiplin yang beliau cadangkan itu untuk membantu para sarjana dan pengkritik sastera mengenal dunia lain yang lebih hebat daripada hanya menjadi hamba teori sastera Barat.  Jangan salah faham, saya tidak menentang teori sastera Barat; tetapi saya selalu mengingatkan anda supaya memahami dengan mendalam tiga perkara tentang teori sastera Barat ini: sumber ilmu yang menjadi rujukan mereka; tafsiran mereka terhadap ilmu; dan sikap mereka terhadap disiplin ilmu dari budaya lain.  Semua peringatan ini tidak bermakna apa-apa jika anda siang-siang lagi sudah menolak konsep adab dalam epistemologi Islam, tetapi dengan tidak sedar mempraktikkan aspek ‘iwajan dalam pemikiran dan tulisan anda.  Anda selalu bercakap tentang kebenaran dan kejujuran, tetapi anda melakukan sebaliknya. Kalau begitu, apakah makna kejujuran dan kebenaran dalam fahaman anda?

Selain dari membaca dan memahami dengan mendalam teori sastera Barat, anda perlu juga membaca dan memahami Gagasan Persuratan Baru. Kerana itulah yang anda perlukan untuk menjadi sarjana yang jujur dan tahu makna kebenaran dalam dunia ilmu.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Mei 2017.

Catatan: selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri kepada semua. Maaf zahir batin.  Kita hanya berbeza pendapat, tetapi tidak bersengketa.


Friday, May 19, 2017

CITRA ISLAM DALAM KARYA KREATIF

Sejauh mana citra Islam dikhianati dalam karya kreatif? Ini persoalan besar yang perlu dibicarakan kerana kesan negatifnya terlalu besar, tetapi seolah-olah digalakkan dalam karya sastera.  Perbincangan kita akan tertumpu pada konsep sastera dan bagaimana konsep itu diterjemahkan dalam karya kreatif. 

Secara umum karya sastera dibina daripada tiga perkara:  Fictionality, perwatakan, tema.  Fictionality adalah yang terpenting dalam sesebuah karya kreatif, kerana semua cereka berasaskan imaginasi penulis. Walaupun aspek tema berlatar-belakang  kehidupan watak yang dipilih, namun watak itu masih dalam konteks imaginasi pengarang.   Perpaduan antara fictionality dan imaginasi, dalam karya sastera yang difahami dalam sastera Melayu,  dibina berasaskan konsep sensasi yang dijadikan teknik untuk menarik minat pembaca.  Aspek sensasi ini amat penting dalam penulisan cereka sastera Melayu, yang boleh kita lihat dengan mudah dalam semua karya para sasterawan negara.    Kemuncak penggunaan sensasi ialah dalam novel teragung sastera Melayu, Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridhwan.  Novel agung ini menggunakan sepenuhnya fictionality sebagai asas cereka. 

Seperti yang telah saya tegaskan dalam blog ini, begitu mewahnya penggunaan sensasi dalam novel agung sepanjang zaman ini sehingga hasilnya bertukar menjadi sebuah karya mengarut yang tidak ada sedikit pun bayangan “pemikiran” yang ditumpukan kepada sesuatu persoalan besar dalam kehidupan manusia, sebaliknya cerita disensasikan sepenuhnya untuk hanya bercerita.  Keinginan untuk bercerita dalam bentuk sensasi  yang extraodinaire  menimbulkan masalah psikologi sang sasterawan yang nampaknya obses dengan perkara-perkara yang bersifat tidak siuman seperti si gadis melakukan persetubuhan dengan mayat politikus muda, yang disebut necrophilia. Apakah yang membuat Anwar Ridhwan memilih necrophilia? Tidak lain untuk menimbulkan sensasi yang paling ekstrem. Apakah kebijaksanaan yang kita dapat dalam babak begini? Bagi para pengkritik dan sarjana sastera, inilah yang mereka gelar “makna yang berlapis-lapis”. Saya kira mereka ini sudah hilang akal, memberi pendapat yang tidak siuman hanya kerana mereka takutkan Anwar Ridhwan yang sudah mereka keramatkan sebagai satu-satunya tokoh sasterawan yang serba boleh dan serba canggih.  Tetapi semua ini andaian palsu, yang amat bertentangan dengan kualiti novel Naratif Ogonshoto yang mengarut dan terlalu cetek pengolahannya.  Sebab itu saya secara sinis memberitahu para pemuji ini supaya membaca Hikayat Buyung Lurus dengan Naratif Ogonshoto, dan tengok mana satu karya yang siuman dan berkualiti dari segi pemikiran dan pengolahan idea.  Hikayat Buyung Lurus ditulis dengan memakai teknik tinju Muhammad Ali.  Jika anda lebih cerdik, tentulah anda akan membaca novel teragung Anwar Ridhwan ini bersama Pujangga Melayu, dan melihat sejauh mana Naratif Ogonshoto itu sebuah karya yang siuman jika dibandingkan dengan Pujangga Melayu.  Jangan takut untuk membuat perbandingan itu, kerana yang terbaik perlu diuji dan dinilai sehabis kritis seperti menilai Pujangga Melayu yang memerlukan anda mempunyai pengalaman intelektual yang luas.  Para penilai Naratif Ogonshoto terbukti dari kumpulan sarjana yang tidak luas pengalaman intelektualnya, yang pengetahuannya cetek meraba-raba. Anda boleh menolak kesimpulan ini dengan membaca sehabis kritis Pujangga Melayu; di situ anda mungkin berjaya membuktikan Pujangga Melayu tidak bernilai; atau sebaliknya, anda membuktikan sendiri kecetekan pengetahuan anda. Tentulah menarik sekali jikalau anda, sebagai sarjana dan pengkritik sastera, dapat membenamkan Pujangga Melayu dalam lubuk pandirisme, dengan itu membuktikan konsep ilmu yang benar itu tidak berguna sama sekali dalam penulisan novel persuratan. Sekiranya anda menolak undangan ini, jelaslah anda sama mengarutnya dengan novel yang anda puji melangit itu.

Tujuan cabaran ini sebenarnya baik untuk novel Naratif Ogonshoto dan para pemuji novel ini, kerana anda dapat membuktikan dengan jelas kehebatan, atau sebaliknya sifat picisan, novel teragung dalam sastera Melayu ini.  Pembaca dan masyarakat umum wajar mengetahui nilai sebenar novel agung ini, atau semua pujian itu fake saja, sama mengarutnya dengan novel yang mereka nilai begitu tinggi.  Lagi pula, cabaran ini sesuai dengan pengakuan para penilai dan penulisnya bahawa novel ini mempunyai nilai-nilai Melayu-Islam. Saya masih mencari di mana nilai Islamnya dalam novel agung ini. Belum lagi bertemu. Bantu saya untuk mendapatkannya.  Sekadar panduan, saya salin sedikit rumusan Prof. Bukhari Lubis dalam syarahan perdana beliau mengenai nilai Islam dalam sastera ini, diambil daripada tesis Ph.D.  Dr. Zulkarnain Mohamad.  Prof. Bukhari memulai dengan penegasan ini: “Dalam pelayaran ilmiah saya, saya terpanggil untuk menjelajah isu ini. Walaupun ada kebebasan dalam pengkaryaan, antara yang lain seperti kemunculan istilah licentia poetica, namun  dalam tamadun Islam hal ini mempunyai batas-batasnya.” Lalu beliau merumuskan isi-isi penting dalam tesis Dr. Zulkarnain Mohamad dalam 5 kesimpulan: (1) Tidak boleh mempersenda dan menghina rukun-rukun Islam. (2) Tidak boleh meniru, mencedok atau mengambil dan menganut aliran “fahaman yang bercanggah dengan Islam” seperti orientalisme yang prejudis, liberalisme, feminisme, dan komunisme.  (3) Tidak boleh menyamakan Syariat, akidah dan akhlak Islamiah dengan apa saja yang terdapat dalam agama lain, atau merendah, atau melecehkannya. (4) Tidak boleh menggunakan imaginasi yang melampau tanpa bersandarkan akidah, Syariat dan akhlak Islamiah.  (5) Tidak boleh meletak atau merangkumkan diri dalam fahaman, pegangan, anutan yang bukan Islam.” (hal. 29)

Itulah 5  rumusan penting; dan rumusan (4) itu tepat mengenai novel Naratif Ogonshoto. Kesimpulan saya adalah terbuka untuk pembetulan, oleh itu sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan kesimpulan saya mengenai rumusan (4) boleh membuat bantahan.

Kalau kita meneliti aspek fictionality yang menjadi dasar kreatif dalam sastera Melayu, maka kita akan dapati fictionality tidak boleh diterima sebagai asas kreatif, yang akan berakhir dengan sensasi yang melampau seperti yang dibuktikan dalam novel Naratif Ogonshoto.  Dilihat dari segi yang mudah ini pun sudah jelas Naratif Ogonshoto bukanlah sebuah karya besar sepanjang zaman seperti yang didakwa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan rakan-rakannya, juga yang didakwa oleh ahli panel yang memilih novel ini sebagai novel agung sepanjang zaman, atau oleh DBP yang mengangkat novel ini sebagai novel terbaik abad 20 dan 21. Menarik juga kesimpulan Dr. Noriah Taslim dalam kertas kerjanya ketika membicarakan novel agung ini.   Setelah menyebut beberapa pujian yang dibacanya, beliau terus membuat kesimpulan, “Novel ini dianggap oleh ramai pengkritiknya sebagai “luarbiasa”. Saya amat bersetuju …  dan seterusnya)”.

 Bagi saya, yang meneliti karya agung ini dari perspektif ilmu, semua penilaian ini adalah mengarut, sama mengarutnya dengan novel itu sendiri.  Sungguh kasihan kepada para pelajar yang perlu membaca novel mengarut ini setelah dijadikan teks sastera di sekolah di Tanah Melayu dan Wilayah Borneo. Lebih kasihan lagi kepada guru-guru sastera, yang agaknya termuntah membaca karya yang tidak perlu ditulis ini, seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali dalam blog ini. Sekiranya para guru sastera tidak merasakan ini suatu penghinaan kepada akal sihat mereka, maka teruskanlah bergelumang dalam karya sampah seperti ini. Guru sastera yang cerdik dan tahu makna sastera dalam konteks ilmu, seharusnya bangkit membantah penghinaan yang dihempap ke atas mereka untuk menerima dan membicarakan sebuah karya picisan seperti Naratif Ogonshoto ini.

Dalam beberapa entri terbaru dalam bulan April dan Mei 2017 saya banyak menyentuh persoalan ini, dengan harapan anda yang cerdik dapat mengesan bahawa anda telah diperbodohkan oleh para sasterawan yang memaksa anda menerima fictionality sebagai asas kreatif, bukannya ilmu yang benar. Anda telah diberitahu bahawa kebenaran dalam sastera dibina berasaskan fictionality, bukan berasaskan konsep ilmu yang benar. Amatlah menghairankan jika anda boleh terima kepalsuan seumpama ini.  Tetapi memang benar sukar bagi anda hendak menolaknya, kerana itulah yang anda pelajari di universiti dan yang diberi sokongan padu oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran. Kerajaan yang menegaskan betapa perlunya nilai-nilai murni diajarkan di sekolah-sekolah, memilih untuk melontarkan karya palsu seperti Naratif Ogonshoto di dalam bilik darjah. Mana ada nilai murni dalam novel agung sepanjang zaman ini?  Jika para pelajar berani dan tegas dalam mencari ilmu, mereka seharusnya mengumpul semua novel ini untuk dibuang ke dalam Sungai Kelang, atau mana-mana sungai yang kotor, untuk menjadi baja yang membunuh ikan dan segala makhluk air di dalam sungai. Inilah cara terbaik untuk membantah penipuan intelektual yang dipaksakan ke atas para pelajar dan guru-guru mereka. Isu ini serius, kerana sudah jelas karya sastera yang tidak menjadikan ilmu sebagai asas kreatif, akan hanya melahirkan karya palsu yang merosakkan masyarakat dan moral manusia. Apakah moral yang anda dapat dalam perilaku necrophilia yang dirayakan dalam novel Naratif Ogonshoto ini?

Novel agung yang meraikan necrophilia ini diakui sendiri Anwar Ridhwan mempunyai makna yang berlapis-lapis; kemudiannya diikuti oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad; Umar Junus, Dr. Mawar Shafei, Kamaruddin Mohd. Said, Awang Azman Awang Pawi, Goh Teck, Panel LHSPM (Laporan Hadiah Sastera Perdana Malaysia), Dr. Noriah Taslim dan beratus-ratus lagi sarjana dan para sasterawan serta pengkritik sastera yang menegaskan novel agung ini mempunyai makna yang berlapis-lapis. Mengapa di antara lapis yang begitu banyak, tidak muncul pun lapis Islami?  Hilang disambar burung hering atau ditelan ikan paus biru atau dihanyutkan tsunami ketika Pulau Ogonshoto ditimpa tsunami? Tidak ada sesiapa pun di antara beratus sarjana itu yang menyebut ke mana hilangnya lapis Islami itu. Tetapi novel ini adalah novel Melayu-Islam, seperti yang didakwa oleh Anwar Ridhwan sendiri dan para pengikut beliau.  Silap mata, atau sihir ini, mengalahkan sihir Firaun, yang kemudiannya ahli sihirnya tunduk mengaku kepada kebenaran lalu terus masuk Islam setelah melihat ular mereka ditelan tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang menjadi ular besar menelan semua ular palsu para ahli sihir itu. Tetapi tidak Naratif Ogonshoto

Tidak wajar masyarakat tertipu sejauh itu. Mereka sepatutnya sudah sedar bahawa kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberi alternatif yang sangat jelas dalam menilai karya sastera, yang begitu terbuka untuk dikritik atau dibuat pembetulan jika PB melanggar semua teori Barat yang menjadi pegangan dan pujaan para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan yang berkumpul di dalam Mutual Admiration Club.  Dalam bahagian penutup makalahnya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan bahawa “teks ini terhasil sebagai karya yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada sumber yang pelbagai”.  Kesimpulan ini tercekik di rahang makna yang berlapis-lapis  apabila disedari oleh pembicara yang mencari keunggulan pemikiran berasaskan ilmu yang benar yang rupanya dihanyutkan oleh tsunami ambiguiti  yang lahir dari keadaan kejahilan peringkat tinggi yang cetek meraba-raba, sehingga akhirnya muncul sebagai sebuah karya mengarut tanpa sebarang arah yang pasti, kecuali untuk tenggelam dalam tsunami fictionality yang meronta-ronta kehilangan makna yang bermakna kerana makna tadi tidak diasaskan kepada konsep ilmu, tetapi kepada konsep necrophilia seorang gadis yang memotong zakar seorang pemuda setelah memuaskan hawa nafsunya dan berasa menang dan puas lalu mencampakkan zakar itu kepada burung hering yang dengan amat dramatik menyambarnya lalu terbang ke angkasa lepas, seperti terbangnya makna yang berlapis-lapis itu dalam kegelapan yang digambarkan oleh al-Quran ketika menggambarkan keadaan jiwa yang kufr sebagai ditutup dengan kegelapan di atas kegelapan (al-Quran, 24:40).  Saya telah menyebut perkara ini dalam  Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu (1994: hal. 28).    Anda  perlu baca sepenuhnya ayat berkenaan dan lihat tafsirannya dalam Tafsir al-Misbah.  Yang anda temui dalam Naratif Ogonshoto bukanlah makna yang berlapis-lapis, tetapi kegelapan makna yang berlapis-lapis seperti yang digambarkan di dalam ayat al-Quran, 24: 40.

Kesimpulan

Permainan fictionality dalam Naratif Ogonshoto tidak membawa kita ke mana-mana jika dinilai dari perspektif ilmu yang benar. Baiklah, jika anda berkata tidak wajar dan tidak adil menilai sebuah karya yang telah menolak konsep ilmu yang benar itu; tetapi anda berkeras mengatakan karya mengarut ini mempunyai pelbagai makna yang berlapis-lapis, oleh itu apakah dasar yang anda pakai untuk menolak makna tadi dinilai dari perspektif ilmu yang benar?  Sebenarnya anda tidak mempunyai hujah, hanya sekadar permainan fictionality yang tidak boleh dikonkritkan dalam makna yang sebenarnya, yang diberi definisinya oleh konsep ilmu yang benar.  Jika anda menolak hakikat ini, anda akan berterusan berada dalam dunia fictionality yang palsu. Itulah kehebatan novel agung sastera Melayu ini, Naratif Ogonshoto, hanya agung dalam kekosongan fictionality yang palsu. Keagungan yang sifatnya hanya sejenis fatamorgana dalam permainan sensasi yang melampau. Ketika ini anda berada dalam keadaan Ratu Balqis memijak lantai istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang disangkanya kolam, padahal hanya lantai marmar yang berkilat. Hanya fatamorgana. Demikian hebatnya kehidupan manusia yang tidak beriman, terus tertipu oleh fatamorgana. Dengan kesedaran inilah Ratu Balqis memeluk Islam.  Tetapi Anwar Ridhwan dan rakan-rakannya dalam Mutual Admiration Club masih lagi berada dalam realiti semu yang dijelmakan oleh fictionality yang menjadi dasar sastera yang menolak ilmu yang benar kerana tidak mahu berada dalam dunia persuratan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19 Mei 2017.



Tuesday, May 16, 2017

HEGEMONI UNTUK MEMPERKUKUH PANDIRISME DAN MENEGUHKAN KEDUDUKAN MUTUAL ADMIRATION CLUB

Dunia sastera Melayu sekarang menghadapi malapetaka besar apabila ITBM, menerusi bukunya Sastera Teras Negara Bangsa,  sambil mempromosi konsep hegemoni yang diperkenalkan oleh tokoh akademik terkenal, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan sokongan padu daripada para sasterawan negara dan kumpulan Mutual Admiration Club, telah menetapkan hanya satu pandangan saja yang dibenarkan, yakni yang menyokong dan meneruskan pandirisme dalam sastera Melayu.  Dengan lahirnya “teori kerancuan sastera” yang dicetuskan oleh Dr. Mohamad Salleh Rahamad dalam tulisannya yang memuji keistimewaan Naratif Ogonshoto, maka sastera Melayu secara sah telah menolak dengan mutlak konsep ilmu yang benar, yang mereka anggap tidak relevan dalam penulisan kreatif dan tidak juga relevan dalam teori kritikan.  Sama ada disedari atau tidak, gerakan hegemoni ini sebenarnya diilhamkan oleh konsep ‘iwajan  yang banyak kali disebut dalam blog ini, bersama penjelasan daripada Tafsir al-Misbah.  Bukti terbaik kesimpulan ini ialah kehadiran novel Naratif Ogonshoto  yang mengarut itu, yang diisytiharkan sebagai novel terbaik Malaysia sepanjang zaman, dan telah diberi penilaiannya oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memperkenalkan “teori kerancuan sastera” cetusannya.

Sikap anti-ilmu yang dijadikan pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera akan dikutuk oleh generasi akan datang sebagai pengkhianat budaya ilmu di Malaysia, yang mengutamakan kepentingan puak (yakni anggota Mutual Admiration Club) lebih daripada kepentingan negara.  Nasib mereka samalah dengan Asas 50, yang semakin ketara hanya merugikan sastera Melayu kerana kumpulan ini dan pengikutnya yang ada sekarang, terutama yang bergelar sasterawan negara, adalah kumpulan yang cetek meraba-raba yang keliru tentang ilmu oleh itu mereka bersikap anti-ilmu. Hakikat ini semakin  disedari, walaupun usaha gigih masih diteruskan oleh tokoh-tokoh seperti Dr. Mohamad Salleh Rahamad, Anwar Ridhwan, para sarjana yang menjadi pengikut mereka dan sebagainya. 

Siapakah yang termasuk dalam kumpulan “dan sebagainya” itu? Soalan ini sudah saya  jawab dalam beberapa entri khusus ketika membincangkan tentang sasterawan negara. Ada dalam senarai entri yang saya tunjukkan dulu.  Sekiranya puak Asas 50 di zamannya terpikat kepada idea Marx, untuk melaungkan slogan “sastera untuk masyarakat”, maka dalam tahun 2014 dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, slogan itu menjadi lebih besar dengan laungan “sastera teras negara bangsa”, yang menjadi judul buku ITBM.  Jiwa Marx dibungkus dalam istilah hegemoni oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa,” dengan penegasan “sastera sebagai tenaga hegemoni”. (hal. 41)

Dalam konteks ini saya ingin petik pendapat Prof. Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan perdana beliau, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir  (2 Mei 2017), yang menegaskan, “Bagi sasterawan yang sudah mantap fahamannya tentang Islam, atau merasa dirinya sudah memahami Islam lebih dalam, sedangkan karyanya berbeza dengan gambaran Islam itu sendiri, bermakna dia lemah kerana tiada kesesuaian atau keselarasan antara dia dengan wujud Islam. Perihal begini usah dianggap remeh kerana dia tidak jujur dengan pengakuannya. Hal ini juga bererti hasil karya sasterawan begini tidak bagus penulisannya serta tidak tepat penggambarannya.” (hal 28).  Di mana duduknya Naratif Ogonshoto jika kita menggunakan ukuran yang dikemukakan oleh Prof. Muhammad Bukhari Lubis ini? 

Pendapat Prof. Bukhari menjadi lebih jelas apabila digandingkan dengan pendapat Salih Adam Baylu yang dikutip oleh Prof. Bukhari dalam syarahan perdananya:  “Penulis juga mestilah jujur dan sederhana jiwanya, sehingga dapat menghasilkan gambaran yang jujur … Kejujuran di sini difahami sesuatu yang sesuai dengan fakta, bermaksud kesesuaian antara imaginasi karyawan dengan karya cipta yang disumbangkannya. … Ringkasnya, seseorang sasterawan harus jujur tentang perasaan dirinya, jujur dalam mengungkapkannya dan membersihkan kalbunya dari sifat kepura-puraan.”  (hal. 27).  Kemudian beliau salin pula pendapat seorang lagi sarjana Mesir, Adnan M. Wazzan:  “Kesenian Islami itu juga adalah seni yang mewujudkan keadaan yang memungkinkan atau membuka jalan ke arah paduan sempurna  antara keindahan dengan kebenaran.” (hal. 35). Dalam kutipan ini, termasuk juga seni persuratan atau seni sastera.  Jadi tidak ada tempat untuk kerancuan yang menjadi dasar “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu. Adakah segala ciri yang disebut dalam kutipan ini disempurnakan oleh Anwar Ridhwan dalam karyanya? Inilah kata-kata beliau ketika menerima gelaran sasterawan negara:  “Sastera itu adab persuratan/pelbagai makna serta tafsiran/namun bakat serta indah penulisan/tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran”. Ada dua bait lagi yang tidak saya masukkan,  antaranya yang menarik, “Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya/Bantu membimbing umat manusia.”  Adakah ini terdapat dalam karya cereka Anwar Ridhwan?  Terutama sekali, dalam karya besar beliau Naratif Ogonshoto.  Tidak ada. Yang ada anak gadis membakar mayat ayahnya dan menyimpan abunya dalam botol, dan anak gadis itulah juga yang memotong zakar pemuda yang tak sempat merogolnya untuk dilempar kepada burung hering. Pemuda itu mati dengan zakarnya tegang, menunggu kedatangan si gadis untuk memuaskan nafsunya. Begitu sadis anak dara ini! Dalam novel besar ini tidak ada nama Islam, yang ditekankan ialah kejahatan manusia tidak beragama, tetapi sasterawan negara ini berkata karyanya ini mengenai Melayu-Islam dan mencerminkan jiwa Islam. Ke mana perginya semua dakwaan itu? Baca kembali kutipan yang saya salin daripada syarahan perdana Prof. Bukhhari Lubis, anda akan dapat jawapannya yang tepat.  Mengapa Anwar Ridhwan menulis novel ini, apa yang ingin disampaikannya?  Hanya dua sebab. Pertama, kegemarannya kepada sensasi begitu meluap-luap hingga terciptalah novel yang nihilistik, seperti yang sudah dijelaskan dalam entri yang lalu. Kedua, sebagai seorang yang pemalas dan lemah kemampuan berfikirnya (memang sesuai dengan maksud “teori kerancuan sastera”), beliau recycle tulisan lamanya, dijadikan novel (kononnya), satu kerja mudah. Dapat kepada sarjana ciritan, maka mereka pun berebut-rebut memuji kerja sia-sia ini. Tak sebuah pun karya Anwar Ridhwan mempunyai kebijaksanaan dan pengajaran moral  yang sesuai dengan Islam, walaupun beliau mendakwa semua karyanya memancarkan nilai-nilai Islam. Apakah nilai Islam yang terdapat dalam  Naratif Ogonshoto? Penyelewengan tentang Islam memang ada, tentang kisah banjir besar Nabi Nuh ‘a.s. yang dipinda maknanya dijadikan sebuah dongeng dalam Naratif Ogonshoto. Penyelewengan ini diterima oleh semua sarjana yang memuji novel agung ini.

Maka apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memuji novel ini melebihi langit ketujuh, dan menelurkan teorinya sendiri, “Teori Kerancuan Sastera” yang menggambarkan keagungan novel ini, yang disaring daripada novel agung ini, nyatalah beliau telah menyatakan sesuatu yang tidak benar, yang tiada pun di dalam novel itu, sekiranya kita menerima ukuran yang disenaraikan oleh Prof. Bukhari Lubis tadi. Kalau begitu, di mana agaknya terletak keagungan novel terbaik sepanjang zaman ini yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Kesimpulan saya terdahulu, bahawa semua ini mengarut, adalah tepat. Anda ada hujah untuk membuktikan kesimpulan saya silap?

Demikianlah yang terjadi dalam sastera Melayu dalam karya para sasterawan negara. Jika novel seagung Naratif Ogonshoto itu pun sebenarnya sebuah novel picisan, maka apatah lagi karya yang lain yang ditulis oleh para sasterawan negara ini. Oleh itu, bantahan saya sejak 1981 adalah tepat, dengan itu kita tidak perlukan sasterawan negara. Apatah lagi jika kemunculan mereka hanya untuk meneruskan idea Marx yang menjadi slogan Asas 50, “sastera untuk masyarakat”. Pada pandangan Prof. Bukhari Lubis, slogan “seni untuk masyarakat” dan “seni untuk seni” bertentangan dengan akidah Islam, oleh itu mesti ditolak. Adakah ini termasuk juga slogan “sastera teras negara bangsa” yang menjadi slogan ITBM? Berasaskan slogan warisan Asas 50 ini, tokoh akademik Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad memutuskan sastera adalah “tenaga hegemoni” yang menjadi dasar pembentukan tamadun Melayu moden. Tidakkah ini pun satu ekspresi mengarut juga?  Sekiranya karya para sasterawan negara itu sendiri adalah picisan, maka bagaimana kita boleh gunakan karya mereka sebagai dasar pembangunan tamadun kita? Apa jenis tamadun yang kita bina. Tamadun picisan? Kita perlu jelas dalam perkara ini, oleh itu kita tidak harus menonjolkan cadangan mengarut yang boleh menyesatkan orang yang tidak tahu tentang perkara ini, seperti yang dilakukan oleh ITBM dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang menjadi judul kertas kerja yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Di sinilah perlunya dialog, tetapi ini telah diharamkan dalam semangat hegemoni Marxisme ajaran Gramsci yang dijadikan asas pemikiran hegemoni Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Semua ini adalah akibat hegemoni pandirisme yang menjadi pegangan para sarjana (ciritan), para pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba) dan para sasterawan (yang picisan).

Tidak adakah jalan keluar dari keadaan yang penuh kerancuan ini?  Tidak perlu jalan keluar, tegas mereka, kerana kerancuan itu sendiri sudah dijadikan asas “teori kerancuan sastera”, oleh itu kerancuan adalah sifat semula jadi karya sastera yang tidak dapat dielakkan. Semua ini tertayang dalam karya Anwar Ridhwan dan dalam karya lain oleh para sasterawan negara. Inilah maksud hegemoni yang dilontarkan kepada masyarakat oleh sarjana sastera Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Dalam konteks ini, yang dimaksudkan dengan hegemoni itu ialah hegemoni pandirisme yang kini menguasai kegiatan intelektual, terutama dalam bidang sastera.  Kerana itu, terselamatlah karya para sasterawan negara, sama ada yang picisan, yang mengarut, atau yang memperjuangkan kebengkokan ideologi dalam sastera, yang disebut ‘iwajan dalam al-Quran.  Kebengkokan dan hegemoni, dalam konteks ini, adalah seiring, memperkuat satu sama lain. Jika itulah pilihan anda, jelaslah anda memilih keruntuhan tamadun, bukan membangunkannya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Mei 2017.



Saturday, May 13, 2017

Ringkasan Kepada Perbincangan Yang Lalu

Saya siarkan kembali entri ini sebagai kesimpulan kepada perbincangan saya dalam beberapa entri yang lepas.


Sunday, August 28, 2016

SIAPAKAH GOLOGAN PINGGIRAN DALAM SASTERA MELAYU?



 Dalam syarahan pengukuhan (istilah ini tepat dan perlu kita pakai menggantikan syarahan perdana yang tidak perdana tetapi hanya sejenis penglipur lara akademik) 1972, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyentuh tentang kehadiran kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam sastera Melayu. Beliau maksudkan para sasterawan dan sarjana sastera. Sepanjang yang saya tahu, belum ada sanggahan secara akademik pernah ditulis; ada tidaknya ialah reaksi Prof. Ismail Hussein dan kawan-kawan membantah pendapat itu, tetapi tidak membuktikannya salah. Telah juga diadakan satu forum mengenainya, tetapi kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas hanya dibantah, tetapi tidak ditolak secara akademik. Oleh itu, kesimpulan beliau masih utuh, dan itulah kenyataannya.  Maka apabila dilantik sasterawan negara dengan gelaran itu, kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas menjadi lebih kuat dan disahkan oleh gelaran itu. Para sasterawan negara telah membuktikan mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, hanya sekumpulan penglipur lara moden yang sumbangan intelektualnya tidak signifikan dan berada di pinggiran budaya ilmu yang mereka kutuk sebagai penghalang kepada perkembangan sastera. Ini sangat jelas dalam tulisan yang dimuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.

Tiba-tiba muncul apa yang disebut sebagai kumpulan indie dalam penerbitan dan penulisan di Malaysia. Terdapat tulisan dalam buku ITBM itu yang menyebut kumpulan ini adalah kumpulan pinggiran, tidak termasuk dalam arus perdana. Yang dikatakan arus perdana itu ialah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam konteks syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Sekarang timbul persoalan yang memerlukan penyelesaian: adakah yang kononnya arus perdana itu pada hakikatnya masih lagi pinggiran yang cetek meraba-raba? Nampaknya begitulah, jika kita membaca kertas kerja SKPM yang diterbitkan oleh ITBM itu. Jadi di mana duduknya kumpulan indie ini? Sejenis kumpulan pinggiran yang berada di pinggiran kumpulan pinggiran perdana?  Jadi sekarang kita mempunyai dua kategori pinggiran: penggiran perdana yang diwakili kumpulan Mutual Admiration Club yang tercokol di dalamnya para sasterawan negara di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara yang melantik mereka. Satu lagi kumpulan indie yang ditegaskan dengan angkuh oleh kumpulan pinggiran perdana sebagai kumpulan pengacau perkembangan sastera Malaysia. Nampaknya hebat juga perkembangan terbaru ini. Pinggiran di atas pinggiran, maka di mana pula bertenggeknya pandirisme dalam kegiatan intelektual Malaysia?  Saya lebih cenderung meletakkan kumpulan pinggiran perdana itulah pelopor pandirisme dalam gerakan intelektual Malaysia. Untuk memahami kesimpulan ini, sila rujuk senarai entri blog untuk mendapat entri yang membicarakan persoalan ini.  Atau pilihan terbaik ialah membaca dengan kritis kertas kerja dalam SKPM dan juga kertas kerja seminar “pemikiran” sasterawan negara. Kedua-duanya adalah sumber terbaik untuk melihat bagaimana pandirisme memainkan peranannya dalam tulisan “akademik” kita.  Diperlukan sedikit peringatan: jika anda tidak jelas konsep ilmu anda dan tidak dapat menempatkan ilmu dalam penilaian anda, saya jamin anda akan menghadapi kesukaran yang luar biasa untuk melihat belukur pandirisme dalam budaya intelektual Malaysia. Anda tidak dapat membezakan mana satu belukur dan mana satu haruan, walaupun kedua-duanya jenis air tawar.

Kita mahu tingkatkan perbincangan kita tentang perkembangan intelektual di Malaysia kerana kita sebenarnya ketinggalan terlalu jauh. Semuanya terjadi, menurut pemerhatian saya, kerana terdapat keraguan yang amat ketara di kalangan sasterawan dan sarjana tentang konsep ilmu yang benar itu. Sikap mereka menunjukkan mereka menolak aspek ini dalam perbincangan serius, hanya untuk menutup kelemahan mereka sendiri. Kerana itulah saya mengalih harapan kepada kumpulan indie, dengan keyakinan bahawa pasti ada di kalangan mereka yang berminat kepada ilmu dan bersedia untuk menjadi ilmuan tulen, bukan ilmuan celup yang kini menjadi golongan  opportunis yang bersikap anti-ilmu. Itulah sebabnya saya kutip pandangan al-Quran tentang “ulama” dengan harapan golongan indie ini akan memberi perhatian serius kepada persoalan ilmu ini. Itu sebabnya saya minta mereka membaca dengan kritis buku Prof. Wilkinson tentang peranan Islam di Eropah dan negara-negara sekutu mereka. Banyak yang boleh kita pelajari daripada buku itu, andainya kita faham membacanya dan bersedia untuk berbincang tentangnya.

Tafsiran yang diberikan oleh pengarang kitab Tafsir al-Misbah (jilid 11, hal. 61-62) tentang konsep “ulama” boleh dijadikan panduan: “Pendapat yang menyatakan bahawa yang dimaksud dengan “ulama” pada ayat ini adalah “yang berpengetahuan agama” bila ditinjau dari segi penggunaan bahasa Arab tidaklah mutlak demikian. Siapa pun yang memiliki pengetahuan, dan dalam disiplin apa pun pengetahuan itu, maka ia dapat dinamai ‘alim.  Dari konteks ayat ini pun kita memeroleh kesan bahawa ilmu yang disandang oleh ulama itu adalah yang berkaitan dengan fenomena alam.  Sayyid Quthub menamai fenomena alam antara lain yang diuraikan ayat-ayat di atas dengan nama Kitab alam yang sangat indah lembaran-lembarannya dan sangat menakjubkan bentuk dan warnanya. Ulama ini kemudian menulis bahawa: Ulama adalah mereka yang memerhatikan kitab yang menakjubkan itu. Kerana itu, mereka mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya. Mereka mengenal-Nya melalui hasil ciptaan-Nya, mereka menjangkau-Nya melalui dampak kuasa-Nya, serta merasakan hakikat kebesaran-Nya dengan melihat hakikat ciptaan-Nya, dari sini maka mereka takut kepada-Nya serta bertakwa sebenar-benarnya. Demikian Sayyid Quthub.”

Golongan pinggiran perdana tidak boleh diharapkan. Mereka telah gagal memberi kemimpinan intelektual yang kita harapkan. Konsep sastera yang menjadi pegangan mereka telah merosakkan diri mereka dan seterusnya melambakkan karya yang bertaraf pandirisme untuk dijadikan karya arus perdana pinggiran ini.  Jika anda dapat melihat apa yang saya maksudkan, anda tentu akan berusaha untuk membaiki kerosakan yang telah dikerjakan tanpa teguran oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini. Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh kumpulan indie. Saya yakin sudah ada di kalangan mereka tokoh yang boleh kita anggap bertaraf genius sekiranya kita memberi mereka peluang, seperti yang saya impikan dalam “Rumah Impian Polan Cupan”.


SARJANA, PENGKRITIK, SASTERAWAN WAJAR MENOLAK GAGASAN PERSURATAN BARU

Analisis tentang “teori kerancuan sastera” oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad  dalam entri lepas membuktikan betapa rendahnya kualiti pemikiran dan kualiti akademik sarjana dan pengkritik sastera kita. Tidak sia-sia jika saya sering menyebut mereka sebagai sarjana ciritan, pengkritik yang cetek meraba-raba.  Gaya yang begitu bombastik dan angkuh dalam melontarkan pujian yang tidak sepatutnya, yang bertentangan dengan kualiti sebenar karya yang dianalisis, menyerlahkan dengan jelas betapa rendahnya kualiti pemikiran para sarjana ciritan ini. Yang amat menghairankan, bagaimana sebuah novel seperti Naratif Ogonshoto yang picisan itu mendapat pujian begitu tinggi. Novel itu dikatakan sebuah novel intelektual dan berciri Islam, tetapi wataknya tidak bernama dan kelakuan mereka bukan sebagai orang Islam, malah anak gadis yang memotong zakar pemuda yang merogolnya membakar mayat ayahnya untuk disimpan. Sejak bila orang Islam membakar mayat? Kita juga diberitahu novel ini berciri Melayu-Islam, tetapi mengapa memperihalkan kehidupan orang beragama Hindu atau tidak ada agama?  Ungkapan yang saya guna bahawa karya ini mengarut dalam kepura-puraan kononnya menonjolkan kualiti intelektual yang tinggi  tepat mencirikan keseluruhan novel ini, yang juga diakui, mungkin tanpa sedar, oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sendiri dalam makalahnya, akan kualiti sebenar yang penuh dengan kerancuan, seperti yang diberi maknanya  dalam tiga buah kamus yang saya rujuk.  Semua yang karut-marut tidak dapat dikesan dan dilihat jika anda masih menggunakan teori sastera Barat; tetapi sekiranya anda menggunakan Gagasan Persuratan Baru, anda  boleh  melihat dengan jelas ciri sebenar novel picisan ini.

Konsep sastera yang terpakai sekarang hanya dapat diselamatkan dan diteruskan sekiranya Gagasan Persuratan Baru ditentang habis-habisan. Oleh itu, amatlah munasabah dan cukup wajar sekiranya para sarjana (ciritan), pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba), dan para sasterawan (yang picisan) bangkit dengan gagah, menggunakan segenap zarah semangat ‘iwajan yang ada pada mereka untuk memastikan sastera Melayu tidak berubah seperti yang selalu diminta oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang menegaskan betapa pentingnya eksperimen, kelainan, perubahan, dan idea baru diperkenalkan. Semua yang diminta oleh Panel itu bermaksud para sasterawan hendaklah terus menggunakan segala teknik dan idea dalam sastera Barat untuk dibawa masuk dalam sastera Melayu. Menurut mereka, hanya dengan berbuat demikian saja sastera Melayu akan maju dan dapat diterima oleh seluruh manusia sejagat.

Pandangan ini tidak saja cetek, tetapi juga tidak bermaruah. Dengan terus bergantung pada Barat, sastera Melayu hanya akan terus berada dalam kepincangan pemikiran dan terus menjadi hamba kepada kepalsuan yang menjadi teras teori sastera Barat.  Saya telah menghuraikan panjang lebar bagaimana kekeliruan ini melahirkan dua jenis pembohongan, satu bersifat akademik dan satu lagi pembohongan  kreatif dalam “teori kerancuan sastera” oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan kepalsuan kreatif yang hanyut dalam dunia khayal yang penuh sampah ‘iwajan dalam Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara.  Kedua-duanya dibelit kegilaan teori sastera Barat yang hanya berupaya menampilkan segala aspek ‘iwajan  dalam kehidupan manusia yang menolak ilmu yang benar.  Kedua-dua tokoh besar ini menolak konsep ilmu yang benar sebagai tidak relevan dalam seni kreatif dan dalam bidang akademik yang memerlukan kebebasan yang tidak dibataskan oleh konsep ilmu yang benar itu. Dengan pendirian ini, mereka menjadikan diri mereka sebagai sumber ilmu dan sumber nilai, sama seperti yang dianuti oleh para sarjana dan sasterawan Barat. Itulah yang universal, menurut pandangan mereka.  Pendirian ini diterima dengan baik oleh semua persatuan penulis dan oleh para sasterawan sendiri, sementara dari golongan ahli akademik kita dapati yang menyebelahi Gagasan Persuratan Baru menolak andaian golongan pertama itu. 

Ketakutan golongan ini kepada Gagasan  Persuratan Baru memaksa mereka menolak sumber ilmu dari al-Quran, hanya kerana tidak mahu mengaku kalah dan tidak mahu menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai sah dijadikan panduan dalam menulis karya kreatif dan bidang akademik.  Walaupun pendirian ini sebenarnya tidak siuman dan merosakkan bukan saja diri mereka yang menentang kebenaran, tetapi juga masyarakat yang mereka pengaruhi dan para pelajar yang mereka  kuliahkan dalam bidang sastera. Namun pendirian ini memberi mereka kepuasan intelektual kerana bagi mereka Gagasan Persuratan Baru dapat dikalahkan dalam pertarungan ilmiah dengan menggunakan kedudukan mereka secara rasmi sebagai pensyarah atau penggiat sastera.  Pendirian ini sebenarnya sesuai dengan pendirian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan sasterawan negara Anwar Ridhwan  seperti yang dibincangkan secara khusus dalam konteks “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Salleh Rahamad ketika menilai karya Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto sebagai karya terulung dalam sastera Melayu sepanjang zaman.  Kedudukan Gagasan Persuratan Baru mesti dipinggirkan untuk memastikan kedudukan sasterawan negara dan “teori kerancuan sastera” tidak tergugat.

Tetapi malangnya, ketakutan mereka itulah yang memaksa mereka menendang satu sama lain untuk terjun ke gaung pandirisme. Mereka bernasib baik kerana di dalam gaung pandirisme itulah mereka mendapat kedudukan  yang terjamin dan dengan itu tidak memerlukan mereka menghadapi Gagasan Persuratan Baru secara kontan.  Inilah status quo yang ada sekarang.  Mereka puas hati berada dalam gaung pandirisme itu kerana masih dapat mengekalkan hegemoni mereka sebagai kumpulan Mutual Admiration Club yang kini berkuasa penuh dalam daerah pandirisme itu.  Sebagai golongan majoriti, kedudukan mereka yang weird ini tidak menggusarkan mereka, kerana semua faedah yang mereka perjuangkan selama ini masih kekal dalam tangan mereka.  Inilah yang mereka buktikan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang mereka jadikan resolusi rasmi untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia. (Untuk rujukan tentang resolusi itu, rujuk entri bertarikh 18 Ogos 2016.)

Sampai berapa lama kedudukan yang weird ini dapat diteruskan oleh kumpulan Mutual Admiration Club ini?  Bagi anggota Mutual Admiration Club, soalan ini tidak perlu ditanyakan, oleh itu tidak perlu dijawab. Mereka percaya tidak ada perubahan yang akan berlaku, kerana kedudukan mereka yang begitu kuat akan bertambah kuat dengan adanya sokongan padu dari kerajaan yang juga menolak Gagasan Persuratan Baru daripada memasuki institusi kerajaan, terutamanya  universiti dan sekolah. Barangkali kumpulan Mutual Admiration Club dan para penyokong mereka lupa bahawa dengan penentangan sebegitu, Gagasan Persuratan Baru akan bertambah kuat dari segi komitmen para penyokong dan pendukungnya untuk mempertahan kelangsungan konsep ilmu yang benar dalam wacana intelektual di Malaysia.

Ada dua perkara yang wajar diketahui mengenai Gagasan Persuratan Baru. Pertama, PB adalah suatu sistem yang agak lengkap, yang boleh dipelajari dan difahami dengan mudah oleh sesiapa sekali pun.  Oleh itu tidak ada halangan untuk sesiapa sekali pun memahaminya dan selepas itu menerima atau menolaknya. Kumpulan Mutual Admiration Club kerana sifat anti-ilmu yang menguasai anggota mereka, terlupa bahawa mereka akan bertukar menjadi anti-Islam hanya kerana kebencian mereka kepada konsep ilmu yang benar itu, yang mereka anggap menjadi ancaman kepada kumpulan mereka. Dalam hal ini mereka boleh membuat pilihan untuk terus memusuhi konsep ilmu yang benar atau memahaminya sebagai satu kumpulan terpelajar yang mempunyai maruah akademik tersendiri. Kedua, kesan dari keengganan menerima konsep ilmu yang benar  itu ialah terlucutnya peluang para pelajar, baik di sekolah mahupun di universiti, untuk mendapat manfaat daripada pelaksanaan Gagasan Persuratan Baru yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai terasnya.  Tanpa disedari atau tidak, terdapat pengkhianatan akademik yang tidak sepatutnya berlaku di institusi pelajaran, lebih-lebih lagi sudah pula dijadikan polisi untuk mengajar nilai-nilai murni kepada pelajar. Tentulah tidak mungkin suatu kumpulan yang biadab mengajarkan prinsip-prinsip adab, dalam konteks nilai-nilai murni tadi, sekiranya mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar.  Dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, terdapat satu makalah yang ditulis oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan yang membicarakan aspek ini dari perspektif negatifnya.  Beliau tidak menerima konsep ilmu yang benar kerana ini baginya menghalang para pelajar dari mempelajari karya yang kontroversi seperti sajak “Pulang Si Tanggang” yang dalam versi Muhammad Haji Salleh tokoh yang dipanggil Si Tanggang itu adalah seorang peniaga yang berjaya. Jadi terdapat sesuatu yang positif dalam penderhakaan Si Tanggang.  Sekiranya profesor ini menggunakan pendekatan PB, penjelasannya tentulah berlainan. Saya biarkan saja untuk anda fikirkan sendiri apakah yang berlainan itu, dan adakah yang berlainan itu memberi faedah.  Yang penting, kita harus menghindarkan diri dari berlakunya “pengkhianatan akademik” dalam membela Si Tanggang.

Saya kembali kepada tajuk entri ini. Sekali imbas agak aneh bagaimana para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan dinasihatkan untuk menolak Gagasan Persuratan Baru, seolah-olah mereka ini tidak layak diberi amanah untuk melaksanakan konsep ilmu yang benar dalam kerjaya mereka. Maksud tajuk entri ini cukup mudah. Sesiapa juga boleh menerima atau menolak konsep ilmu yang benar, dan sekali gus menolak Gagasan Persuratan Baru, dengan terlebih dahulu memahaminya dengan betul.  Tajuk ini hanya ingin memberi penekanan kepada aspek adab dalam mencari ilmu dan menyebarkannya kepada kumpulan masing-masing (contoh: pensyarah universiti kepada para pelajarnya.)  Seseorang tidak boleh menerima atau menolak sesuatu yang tidak diketahuinya atau tidak difahaminya.  Prinsip ini sangat mudah, oleh itu selalu dilupakan dan diremehkan. Sebenarnya inilah punca utama berlakunya kehilangan adab dalam masyarakat, yang kemudiannya diikuti dengan meluasnya kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang akan berakhir dengan kemunculan para pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan manusia. Kesimpulannya semudah itu, akibatnya seberat itu pula.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 12/5/2017.



Wednesday, May 10, 2017

Welcome TEORI KERANCUAN SASTERA OLEH DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD

Catatan: Pujangga Melayu tidak mempunyai ciri-ciri kerancuan teori sastera. Pujangga Melayu mempunyai hanya tiga ciri: berasaskan konsep ilmu yang benar; mengutamakan wacana, bukan cerita; keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan. Ketiga-tiga ciri ini tidak terdapat dalam Naratif Ogonshoto.
--------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengemukakan teori sastera beliau sendiri dalam lambakan “teori sastera tempatan” yang bukan teori, hanya panduan umum atau fatwa sastera daripada sasterawan “ulama” yang mahu tumpang kuah dalam kawah teori sastera Melayu.  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memperkenalkan teori kerancuan sastera beliau ketika membela Naratif Ogonshoto sebagai novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, yang satu-satunya berjaya merentasi dunia global membawa bersamanya genre penglipur lara yang dimulai Anwar Ridhwan melalui novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.  Sekarang kita sudah mempunyai lebih dari 20 “teori sastera tempatan” yang sedang giat dikembangkan di universiti di kalangan para pelajar sastera  yang amat gembira berada dalam kerancuan analisis dan penilaian sastera, yang memberi mereka kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan mengenai sastera dalam acuan “teori kerancuan sastera” yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika mempertahankan keagungan Naratif Ogonshoto sebagai novel Melayu teragung sepanjang zaman.

Supaya anda tidak merayau terlalu jauh untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan kerancuan, saya salin maknanya daripada Kamus Dewan (KD)dan Kamus Besar Bahasa Indonesia  (KBBI).  Menurut KD, kerancuan berasal dari rancu, tidak teratur, campur aduk, kacau (bahasa).  Kerancuan, keadaan tidak teratur, kekacauan. (Contoh:  kekeliruan penggunaannya hanya akan meningkatkan kadar kerancuan kita berbahasa.)  Kita lihat pula KBBI.  Rancu tidak teratur, campur aduk, kacau (terutama tentang berfikir, menggunakan bahasa dan lain-lain). Kedua-dua kamus ini merujuk kepada penggunaan bahasa yang kacau dan kelemahan berfikir. Itulah maksud dan makna  kerancuan.  Sebuah kamus lagi, oleh Hassan Noel Arifin, Kamus Besar Bahasa Indonesia,  menambah makna rancu dengan perkataan janggal,  tentang bahasa (pembentukan ayat). Memang banyak yang janggal dalam tulisan akademik Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika menilai dan memuji Naratif Ogonshoto. Seterusnya kita lihat apakah yang dikatakan “teori kerancuan sastera” itu.

Apakah yang dimaksudkan dengan “teori kerancuan sastera”?  Dalam sebuah makalah yang menang Hadiah Sastera Perdana 2004-2005, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”,  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad  memberi senarai yang panjang tentang ciri-ciri teori kerancuan sastera hasil pemikiran beliau setelah membaca dengan teliti Naratif Ogonshoto, yang telah membuahkan hasilnya yang luar biasa, sebuah teori sastera baru.  Tidak sia-sia Naratif Ogonshoto diangkat menjadi novel terbaik sepanjang zaman dengan lahirnya  teori kerancuan sastera. Kita lihat senarai panjang ciri-ciri teori kerancuan sastera ini. 

Prinsip utama teori kerancuan sastera ialah kerancuan bentuk dan makna. Dari situ menjalarlah berpuluh ciri yang disenaraikan oleh sarjana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia  2004-2005.  Saya tidak ragu-ragu untuk menegaskan bahawa semua ciri itu hanya mengarut, mengada-ada, penuh dengan pretensi akademik yang tidak bermakna apa-apa dalam konteks ilmu yang menjadi pegangan sarjana Islam. Menurut sarjana ini, sebagai hasil seni Naratif Ogonshoto tidak memberikan makna yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran konpleksitinya. Naratif Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun dikisahkan menurut aturan naratif tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang tersirat di bawah lapisan naratif a la cerita rakyat yang nampak mudah. Tanggapan dapat disejajarkan pada sebuah cerpen (atau bab?) dalam teks ini, iaitu “Pentafsir”. Anwar seperti watak resi tua dalam cerpen tersebut – kata-katanya sukar ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan  “… kata-kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai  makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan.”  Makna yang dikendong dalam teks ini bukan sahaja berlapis-lapis dan pelbagai, malahan bentuknya juga bebas daripada konvensionaliti. Kebebasan kreativiti dalam pembinaan teks ini membuka satu dimensi baru dalam persoalan genre. Dalam usaha mengenal pasti genre teks ini, kita berhadapan dengan masalah yang sengaja ditimbulkan oleh pengarang/penerbit di samping coraknya yang merentasi sempadan pelbagai genre. Anwar mengumpulkan manek yang berwarna-warni daripada pelbagai sumber tradisi lalu menggabungkannya dalam adunan wacana moden hingga menjadikannya sebuah teks sinkretik, iaitu gabungan  pelbagai unsur. Adunannya menjadi, dan rasanya tersendiri, “Seperti madu tersaring, bunga tunggalnya tidak dikenal lagi kerana lebah mungkin telah menyunting tujuh jenis bunga dari tujuh taman.”  Kerancuan makna memang gejala teks pascamoden. Dalam sastera pascamoden tiada makna tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak. Kebenaran dan jawapan makna terletak pada tafsiran pembaca menurut situasi dan kondisi yang mengelilinginya. Oleh itu, teks ini dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Lebih menyukarkan tafsiran apabila pengarang bermain dengan lambang personal – bilangan hari dalam bab “Mainan”, simbol ikan dan kelapa emas dalam “Pentafsir”, atau iceberg dalam “Aisberg”. Begitu pun, kesukaran inilah yang menghidupkan sesebuah karya dalam jangka hayat yang pajang kerana sifatnya yang sentiasa mengundang tafsiran yang polisemi. Kerancuan genre juga menjadi masalah kajian yang tidak kuran g menariknya. Wujud unsur pengaburan genre dalam teks ini sama ada hendak digolongkan sebagai cerpen atau novel, sastera tradisional atau sastera moden. Yang jelas, semua genre itu dapat dilabelkan pada teks ini. Pada bahagian awalan buku ini diterangkan bahawa teks ini merupakan kumpulan cerita pendek dan sebuah daripadanya yang bertajuk “Hering” sudah disiarkan dalam Dewan Sastera Ogos 2000. Pengakuan ini sudah cukup untuk mengelompokkannya ke dalam kumpulan cerpen selain kemandirian setiap bab sebagai cerpen yang berasingan. Namun begitu, apabila dibaca bahagian prolog hingga epilognya ternyata bab-bab yang episodik tersebut merupakan kisah yang berangkaian lalu membentuk sebuah novel.”  Itu saja yang dapat saya salin, dan semua ciri yang disenaraikan dengan panjang ini sudah cukup untuk membolehkan kita membuat kesimpulan betapa seronoknya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyanjung novel besar sepanjang zaman ini.  Apa pula kata-kata novel itu sendiri terhadap dirinya?

Menurut Naratif Ogonshoto tentang dirinya sendiri,  dia hanya sejenis lamunan seseorang yang sedang bermimpi, atau sedang berangan-angan, yang tidak siuman, yang tidak dapat merangkaikan “pemikirannya” yang jelas tentang “cerita” yang tersangkut-sangkut logik naratifnya. Pendeknya, yang menghadapi masalah kerancuan bahasa dan pemikiran.

Semua ciri yang disenaraikan oleh sarjana ini, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sebenarnya membuktikan Naratif Ogonshoto bukanlah karya besar dan ulung seperti yang disangkakan, tetapi ciri-ciri Dr. Mohamad Saleeh Rahamad membuktikan Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya yang confused, yang tidak siuman, yang penuh dengan khayalan terpisah-pisah seorang tokoh (??... pengarang sendiri atau wataknya yang tidak bernama?) yang berserabut tentang perkara-perkara yang tidak penting, atau jika pun dianggap penting oleh penulis sasterawan ini menjadi tidak penting dan karut kerana tidak diwacanakan secara siuman.  Satu-satunya ciri yang membuat pembaca yang dangkal dan cetek meraba-raba menyanjung karya ini ialah beberapa kalimah Jepun atau latar belakang Jepun yang sebenarnya tidak mencerminkan kehebatan Jepun sebagai negara yang punya budaya yang cintakan ilmu. Saya beri satu contoh yang tidak diketahui oleh manusia Melayu yang tidak sukakan musik Arab, tentang alat musik qanun dan gambus. Saya beritahu anak saya (ketika itu masih berumur 7 atau 8 tahun), qanun dicipta oleh Al-Farabi, seorang ahli falsafah, ahli matematik, ahli nahu bahasa Arab, seorang doktor, dan tentu saja seorang pemain musik. Dia mencipta qanun, berasakan formula matematik, untuk memainkan semua musik dunia. Dengan 81 tali, kata Al-Farabi, semua jenis musik seluruh dunia boleh dimainkan dengan menggunakan qanun. Dalam usaha kami mencari pemain qanun yang terkenal seluruh dunia, kami bertemu beberapa nama Jepun, pemain qanun dan  gambus yang pakar. Lalu saya suruh anak saya cari pemain musik yang boleh digelar “sheikh” dalam bidangnya, perdengarkan kepada saya. Bila saya bertanya, siapa nama pemain itu? Dia menyebut beberapa nama Jepun!  Pastilah Anwar Ridhwan tidak tahu semua ini, tidak juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, oleh itu kedua-duanya “terpesona” dengan perkara-perkara remeh temeh, yang bertentangan dengan semangat Jepun dalam bidang seni, ilmu, penulisan dan sebagainya. Satu contoh lagi, orang yang suka membaca tentang Islam, tentu sudah mendengar nama Toshihiko Izutsu, seorang sarjana terkenal tentang Islam yang saya sendiri tidak berasa was-was kerana bagi saya tokoh ini tidak mempunyai niat jahat seperti para paderi Kristian yang menulis tentang Islam yang berkata dengan “polite” (dalam budaya mereka) bahawa Nabi SAW mungkin jujur, tetapi melakukan kesilapan. Saya beri contohnya dalam  tulisan Montgomery Watt, seorang paderi,   yang terdapat di dalam brosur International Baccalaureate  (IB) yang programnya dipuji oleh Anwar Ridhwan dalam tulisannya yang termuat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa, (hal. 256.)  kerana kononnya program ini akan mengajar pelajar menjadi cerdik dan terbuka fikirannya.  Dalam brosur IB di bawah tajuk “Wahy” kita dapat kutipan ini:

 “To say that Muhammad was sincere does not imply that he was correct in his beliefs. A man may be sincere but mistaken.  The modern Westerner has no difficulty in showing how Muhammad may have been mistaken. What seems to a man to come from ‘outside himself’  may actually come from his unconscious.” (Daripada bukunya, Muhanmad: Prophet and Statesman”, hal. 17).   

Sangat jelas kutipan ini disengajakan untuk meragukan pelajar Islam tentang Islam dan terus memberi maklumat palsu kepada yang bukan Islam.

Apakah yang sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalah beliau? Jawapannya telah saya berikan dalam entri bertarikh  7 Ogos 2016, “Maksiat Intelektual dalam Kesenian dan Penulisan”.  Maksiat intelektual ini tidak pernah dibincangkan padahal inilah jenis maksiat yang berkaitan dengan konsep ilmu. Hasilnya yang amat negatif dapat kita lihat dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini dan terciptanya teori kerancuan sastera oleh beliau.  Sekiranya beliau menolak adanya teori kerancuan sastera itu sebagai hasil cetusan pemikiran akademik beliau tentang sebuah novel agung yang amat disanjungnnya,  maka tindakan beliau itu menjadi hujah akan betapa karutnya pujian beliau dalam makalahnya itu.  Tetapi jika beliau mempertahankan “kebenaran” pendapatnya maka beliau secara sukarela menghumbankan dirinya dalam maksiat intelektual yang saya bincang dalam entri berkenaan. Apakah pilihan beliau? Yang akan menentukannya ialah beliau sendiri. Tetapi apa pun juga pilihan beliau, teori kerancuan sastera janaan beliau itu telah melempar Naratif Ogonshoto dan teori kerancuan sastera itu sendiri ke dalam gaung pandirisme.

Bila saya baca novel agung ini, dan melihat bagaimana confusednya sasterawan negara ini, saya tidak hairan jika beliau tidak berminat kepada ilmu, walaupun dari Jepun tempat dia pernah cari makan. Apa yang dia dapat dari Jepun? Hanya nama-nama karut yang tidak mencerminkan kehebatan kebudayaan ilmu Jepun. Maka amatlah aneh jika buku yang begitu mengarut seperti Naratif Ogonshoto itu diberi pujian melangit, padahal isinya hanya khayalan tidak siuman seorang watak yang di hujung buku itu rupanya penulis sendiri, yang berasal dari Sungai Besar (tokoh sarjana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad pun sebut nama Sungai Besar yang dalam novel disebut Kali Besar dan diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh Anwar Ridhwan.)  Sungai Besar adalah tempat Anwar Ridhwan dilahirkan dan membesar.  Apakah yang special tentang Sungai Besar dalam novel agung ini yang tiba-tiba disebut di akhir novel? Satu iklan buat Anwar Ridhwan sendiri!  Mungkin inilah keistimewaannya, seperti yang disenaraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, bahawa novel agung ini bersifat multigenre, oleh itu boleh dimasukkan apa saja seperti omelan orang tidak siuman ketika berceramah seorang diri di atas tong kosong…  Bagi saya Naratif Ogonshoto adalah sebuah novel autobiografi tentang pengalaman Anwar Ridhwan di Jepun dan di kampung halamannya. Itulah keagungan isinya.

Pujangga Melayu tidak mempunyai ciri-ciri kerancuan teori sastera. Pujangga Melayu mempunyai hanya tiga ciri: berasaskan konsep ilmu yang benar; mengutamakan wacana, bukan cerita; keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan. Ketiga-tiga ciri ini tidak terdapat dalam Naratif Ogonshoto.

Apakah yang mendorong seorang sarjana handalan seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk memberi pujian yang begitu tinggi kepada sebuah novel yang penuh kerancuan sama ada dari segi teknik mahu pun dari segi idea? Novel yang mengarut ini tidak wajar diberi kedudukan begitu istimewa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Apa sudah jadi sebenarnya dalam kritikan sastera Melayu?

All in all, naratif “teori kerancuan sastera” Saleeh Rahamad sama pincangnnya dengan Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan.  Dirgahayu pandirisme!

Peringatan Penting: Pandangan dan kesimpulan saya berasaskan Gagasan Persuratan Baru.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 9 Mei 2017.


Nota Hujung


Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini penting kerana ia membuktikan betapa sia-sianya dua sumbangan, satu secara akademik; satu lagi dalam penulisan kreatif. Kedua-duanya tidak mempunyai matlamat dan maksud yang jelas dan betul. Sekadar untuk menulis sesuatu yang tidak bermanfaat, malah mengusutkan lagi perkara yang sudah selesai dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Huru-hara dalam sastera Melayu yang ditimbulkan oleh dua orang tokoh ini mesti dihentikan dan kesilapan mereka mesti diberitahu. Itulah tujuan saya menulis panjang lebar mengenai masalah ini. Sekarang anda mempunyai peluang yang luas terbuka untuk menolak hujah-hujah saya atau memberikan pembelaan akademik kepada dua orang tokoh ini. Silakan.

Sunday, May 7, 2017

PANDIRISME, SASTERA MELAYU, DAN KRITIKAN SASTERA

Pendahuluan

Kedudukan kritikan sastera sekarang sudah berubah dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Semakin lama anda menjauhkan diri dari PB, semakin jauh anda ketinggalan, dan ini akan membuat anda menghadapi academic incompetency yang akan membuat anda serba salah kerana tidak tahu perubahan yang sedang berlaku, sedangkan selama ini anda bercakap tentang perubahan paradigma dan lain-lain perubahan yang anda banggakan dalam penulisan kreatif, walaupun tiada apa-apa perubahan dari segi memahami konsep sastera, masih tahap lama yang sudah klise yang secara semberono berkata sastera itu bahasa yang indah dan mestilah menceritakan realiti masyarakat.  Padahal anda sendiri tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan bahasa yang indah, kerana dalam karya yang mencarut dan lucah pun anda masih berkata bahasanya indah! Tentang realiti masyarakat, bunyinya bagus, tetapi kefahaman anda tentang persoalan ini sangat cetek. Ini telah ditunjukkan dengan amat jelas oleh Shahnon Ahmad dalam karya beliau, terutama karya lucah beliau yang terkenal, TIVI, yang amat dangkal sekali membicarakan konon realiti masyarakat akibat menonton TV.  Tetapi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, kedudukan anda sebagai sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tercabar untuk melakukan perubahan paradigma yang anda pernah canangkan itu, dan memahami dengan mendalam maksud sebenar bahasa yang indah, yang mestilah bermakna dalam konteks pemikiran yang diolah dengan teratur dan cermat dalam penulisan kreatif.

Gagasan Persuratan Baru

Gagasan Persuratan Baru tidak saja mencabar anda sejauh mana sebenarnya anda menguasai teori sastera Barat; tetapi juga memberi anda kemudahan baru untuk membaca karya sastera secara berkesan, memahaminya dengan lebih tepat, dan membuat penilaian yang lebih objektif.  Anda mungkin bertanya, bagaimana pula PB boleh membantu anda memahami teori sastera Barat? Inilah satu perkara yang anda tidak pernah terfikir, kerana ketika membaca teori sastera Barat, anda hanya digalakkan menjadi peniru dan pengguna yang cetek teori itu, tetapi tidak pernah mendorong anda berfikir walaupun tokoh-tokoh seperti Derrida,  Bloom, de Man, dan lain-lain menggunakan tajuk buku mereka untuk mencabar keinginan dan kemampuan intelektual anda membacanya. Misalnya: Paul de Man,  Blindness and Insight  (1971); The Resistance to Theory  (1986);  Harold Bloom,  The Anxiety of InfluenceThe Spirit of Revenge;  E.D. Hirsch,  The Hermeneutics of Innocence.  Buku Derrida yang memuat polemiknya dengan Searle diberi tajuk  Limited INC  (1977). Buku ini sangat unik dan istimewa kerana Derrida sendiri tidak memahaminya, apatah lagi orang lain. John Searle yang suka mengusik Derrida dengan kritikan yang sarkastik berkata, “With Derrida, you can hardly misread him, because he is so obscure” (2000). Di Malaysia, satu-satunya tokoh yang boleh memahami Derrida ialah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, yang menggesa sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera membaca Derrida dengan rajin dan serius. Berasaskan kesimpulan tokoh besar inilah saya turut menggesa sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera membaca Derrida. Nampaknya mereka tidak berminat, mungkin kerana bahasa Inggeris mereka agak lemah; mungkin juga mereka bosan dengan retorik belon naik ke udara Si Derrida  dan pecah ditiup angin.  Walau apa pun pendapat anda, saya tetap mengatakan hanya Derrida yang dapat memahami Naratif Ogonshoto sekiranya beliau membacanya, oleh itu saya sandarkan Derrida kepada novel agung sepanjang zaman ini untuk memberi keyakinan kepada pembaca bahawa inilah novel yang sama kusutnya dengan Derrida, oleh itu amat munasabah jika novel ini dibaca dengan menggunakan kaedah dekonstruksi.  Agak aneh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menjadi champion dalam mempertahankan Naratif Ogonshoto, tidak menggunakan kaedah Derrida, tetapi menggunakan falsafah penglipur lara Melayu untuk menginternasionalkan novel besar ini.

Apabila kita serius ingin memberi penilaian yang objektif kepada karya besar sepanjang zaman ini, saya dapati hanya Gagasan Persuratan Baru yang dapat melakukannya dengan success.  Tetapi masalahnya ialah Naratif Ogonshoto tidak muncul sebagai novel agung apabila dinilai dari perspektif PB; malah sebaliknya. Adakah PB juga gagal membaca Naratif Ogonshoto?  Sekiranya soalan ini ditanyakan kepada Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dia akan menjawab itulah yang terjadi. Beliau mungkin berkata, PB menjadi lembik bila berdepan dengan karya besar sepanjang zaman ini. Is it so? Nampaknya kedua-dua karya ini menjadi masalah kepada sastera Melayu. Nampaknya hanya Derrida yang dapat menyelesaikan masalah ini, dan inilah yang dibuatnya. Tentu anda masih ingat, mengikut Derrida novel persuratan Pujangga Melayu adalah nonsense, bukan novel dan bukan karya falsafah; karya nonsense saja!  Saya fikir beliau betul, kerana penilaian beliau, seperti juga penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Ilmu yang benar itu, kata Derrida, adalah nonsense. Saya tidak pasti apa pula pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Saya fikir beliau sendiri pun tidak dapat menjawabnya, kerana sesuatu kekangan yang tidak dapat dielakkan. Kalau anda seorang pembaca yang cerdik, anda faham maksud saya.

Bila kita lihat semua pandangan ini, kita mula faham mengapa Gagasan Persuratan Baru ditolak oleh para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan.

Maslahnya ialah mereka memerlukan PB untuk maju dan mampu menghasilkan karya persuratan yang memberi keutamaan kepada pemikiran dan wacana, bukan sekadar cerita seperti karya sastera. Inilah masalah pandirisme yang mencengkam sastera Melayu.

Mengapa Pandirisme Penting
Pandirisme adalah anak kandung PB, untuk membantu anda semua memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu.  Buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia bukanlah sebuah karya sehebat Naratif Ogonshoto,  oleh itu para pengikut Naratif Ogonshoto tidak akan membaca huraian tentang pandirisme ini. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bertanya, Adakah Naratif Ogonshoto menjadi bukti betapa pentingnya konsep pandirisme itu difahami dalam sastera Melayu?  Pertanyaan ini amat ditakuti oleh para sarjana, pengkritik, dan sasterawan.   Cara termudah untuk mengelak daripada menjawab pertanyaan ini ialah dengan tidak memberi laluan kepada pertanyaan seumpama ini. Sikap ini sendiri hanya boleh muncul dalam konteks pandirisme, oleh itu tiada sesiapa pun boleh mengelak daripada membincangkan aspek pandirisme ini dalam sastera Melayu.  Pandirisme memberi perhatian penting, dan utama, kepada dua aspek perkembangan sastera Melayu. Pertama, pandirisme berminat untuk mengetahui dan memahami mengapa sastera Melayu anti-ilmu. Kedua, pandirisme juga berminat hendak memahami mengapa sastera Melayu dibangunkan sepenuhnya berasaskan teori sastera Barat. Untuk menjawab dua persoalan ini, anda memerlukan satu kaedah yang membolehkan anda menggali sebab-sebab yang melahirkan dua perkara ini. Hanya Gagasan Persuratan Baru yang boleh memberi jawapan dan penjelasan yang memuaskan. Bagaimana ini dilakukan? Saya ingin merujuk dua buah karya Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir untuk membantu anda memahami persoalan ini. Pertama sekali buku beliau, berupa Syarahan MASTERA 2008,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu  (DBP 2009; buku ini tidak dijual.)   Kedua, Pendahuluan kepada edisi kedua Gagasan Persuratan Baru.  Dua dokumen ini akan memberi anda penjelasan yang anda perlukan untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu. Seterusnya, Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir mengemukakan bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan dalam syarahan perdana beliau, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu (UKM 2007).  Tiga dokumen ini, jika dibaca dengan serius, akan membantu anda memahami mengapa pandirisme penting dalam sastera Melayu.

Bolehkah pandirisme dijadikan ukuran sejauh mana sebuah karya itu mempunyai nilai intelektual yang tinggi?  Inilah yang saya lakukan ketika membaca Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan lain-lain karya Anwar Ridhwan.  Hasilnya telah saya jelaskan dalam entri bertajuk, Keunggulan Yang Cacat (entri bertarikh 28/10/2014).

Pentingnya pandirisme ini menjadi semakin jelas dengan terbitnya buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014). Saya telah menulis satu siri entri mengupas buku ini. Lihat entri 14/1/2015 dan 19/1/2015 tentang  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014;  tentang pandirisme dalam entri 21/2/2015; ulasan buku ITBM, rujuk entri bertarikh 3/10/2015, 5/10/2015 dan 21/10/2015.

Pujangga Melayu Sebagai Sebuah Manifesto Persuratan

Ada beberapa sambutan yang menarik tentang Pujangga Melayu. Derrida, yang dilantik menjadi “Sheikh Kritikan Sastera” menyatakan dengan tegas, berasaskan interpretasi terhadap pandangannya tentang kritikan sastera, baginya Pujangga Melayu adalah sebuah karya nonsense. Bukan novel, jauh sekali sebuah karya falsafah, tidak ada nilai falsafah di dalamnya. Bukan sebuah hasil kreatif, bukan satu mitos baru yang aggressive menentang klise dalam sastera moden. Walaupun beliau tidak membacanya, tetapi penilaian beliau tepat, kata para sarjana (ciritan), para sasterawan (picisan), dan pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba). Semua mereka, seperti Derrida, tidak pernah membaca Pujangga Melayu, tetapi menurut mereka penilaian yang mereka lakukan adalah tepat dan sangat objektif. Apakah pendirian anda pula?  Mungkin anda termasuk dalam kalangan yang bagi saya merupakan satu berita baik dan memberangsangkan. Dengan terbitnya edisi baru Pujangga Melayu yang diuruskan oleh Klasika Media, maka minat pembaca semakin bertambah; sehingga ada di antara pembaca tertarik melihat kulit novel persuratan ini dan gemuknya halaman novel yang melebihi 750 halaman. Para pembeli karya ini sanggup berbelanja sedikit dan sanggup pula membacanya walaupun tebal. Dari segi itu, mereka ternyata lebih baik dan lebih jujur daripada para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera yang semakin meluat melihat edisi baru yang cantik ini. Itulah Pujangga Melayu, yang kini mulai dikenali oleh pembaca golongan muda yang bukan berminat dalam sastera tetapi berminat dalam ilmu.

Kritikan Sastera Melayu Melumpuhkan Perkembangan Intelektual

Tidak saja teknik Barat menjadi pilihan para sasterawan, yang ditiru mereka dengan bangga, malah kritikan sastera juga menjadi jurucakap pendekatan teori Barat,  apabila para pengkritik sastera melambakkan segala macam “teori” sastera yang mereka gunakan untuk memperaga kononnya mereka tahu teori Barat, tetapi tidak kenal secara mendalam.  Apa bila anda “kenal” dari dekat teori Barat, anda pasti akan bertanya: Apakah yang ingin dicapai oleh teori ini? Contoh paling mudah, dan popular, yang sering disebut dalam blog ini, ialah dekonstruksi.  Apakah yang ingin dicapai oleh teori Derrida ini?  Sebenarnya tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan pasti, oleh itu setiap sarjana atau pengkritik sastera akan memberikan pendapat mereka yang saling bertentangan, kononnya itulah sifat dekonstruksi sendiri.  Tetapi ada tiga perkara yang jelas yang timbul dari penggunaan dekonstruksi ini. Pertama, semua teks boleh dilapah untuk dicari aporianya. Kedua, setiap teks tidak mempunyai makna yang stable, oleh itu tidak dapat ditafsirkan dengan tepat. Ketiga, setiap teks adalah penjelmaan daripada teks lain, oleh itu tidak ada yang asli dalam pembinaan teks baru, semuanya hasil jiplak yang kini diberi nama baru intertekstualiti.  Kalau begitu, apakah yang diberikan oleh dekonstruksi kepada kita? Saya tidak mahu jawab pertanyaan ini. Anda sendirilah yang perlu menjawabnya, mengikut kehendak dan kemampuan anda sendiri. Apakah yang anda dapat dari dekonstruksi?  Berapa ramai di antara pembaca blog ini yang pernah membaca Imam Ghazali tidak menjadi masalah; yang penting setiap yang sudah membaca Imam Ghazali pastilah sudah tahu bahawa tujuan dan matlamat ilmu ialah mendapatkan keyakinan, yang dalam bahasa yang mudah tetapi sukar difahami ialah menghayati tauhid, ertinya menjadi orang beriman dengan segala implikasinya seperti yang anda sudah tahu. Salah satunya ialah ilmu itu sumbernya daripada Tuhan, melalui al-Quran. Sama ada anda beriman atau tidak itulah hakikatnya. Bagi orang Islam, persoalan ini tidak ada masalah; tetapi di situlah masalahnya yang paling rumit  untuk difahami oleh orang Islam sendiri; dan inilah yang membuat mereka menolak al-Quran sebagai sumber ilmu. Bukti penolakan itu amat jelas boleh kita lihat dalam “keyakinan” para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Kebanyakan mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar, oleh itu mereka tidak sedar bahawa inilah punca mereka menjadi terhuyung hayang dalam dunia akademik, kerana tidak ada keyakinan tentang maksud dan matlamat ilmu itu untuk mendapatkan keyakinan, seperti yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Imam Ghazali. Anda bangga sebagai seorang sasterawan jika karya anda sukar difahami atau tidak dapat difahami dengan jelas, kerana menurut anda itulah bukti karya itu mempunyai “berlapis-lapis makna” yang mesti dicari. Tetapi dalam Islam tidak begitu, kerana yang “berlapis-lapis” itu namanya kejahilan, bukan ilmu. Ini amat jelas dalam konsep ‘iwajan yang sudah banyak kali disebut dalam blog ini, yang memang sudah dapat difahami jika anda bukan dari golongan yang “berlapis-lapis kejahilannya” kerana menolak konsep ilmu yang benar yang boleh membawa anda kepada keyakinan, the truth. Dekonstruksi menegaskan setiap teks mempunyai teks yang lain, berangkai-rangkai tiada kesudahannya, oleh itu setiap teks berserabut dengan unsur aporia, pertentangan makna yang menjadi ciri setiap teks. Bagi al-Quran inilah pembohongan yang paling besar, kerana al-Quran berkata, al-Quran itu diturunkan, diwahyu, dalam bahasa Arab yang boleh difahami dengan jelas. (16: 103, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas.)

Tajuk bahagian ini yang berjudul, “Kritikan sastera Melayu melumpuhkan perkembangan intelektual”, bertujuan memberi peringatan kepada para sarjana, pengkritik dan sasterawan untuk tidak terpesona dengan ungkapan  yang menjadi kebanggaan para pengkritik, juga sarjana sastera, ialah mencari “makna yang berlapis-lapis”, bukan kebenaran; oleh itu mereka menerima aporia sebagai sesuatu yang boleh membawa makna yang berlapis-lapis itu.  Tanpa mereka sedari, mereka terjebak dalam kegiatan ‘iwajan yang ditolak oleh al-Quran.  Semua ini tidak menjadi masalah jika konsep ilmu yang benar itu difahami dan dijadikan pegangan.

Kesimpulan

Kelesuan berfikir yang kita hadapi sekarang dalam bidang kreatif dan akademik bukanlah sesuatu yang diada-adakan, tetapi suatu kenyataan yang semakin berleluasa jika kita meneliti bagaimana karya kreatif dan akademik dinilai untuk diberi hadiah atau anugerah.  Saya tidak perlu mengulangi contoh-contoh yang telah saya sebut dan bincang di dalam blog ini; tetapi sekadar peringatan bagaimana korupnya penilaian kita, yang dilakukan oleh para pemilih atau penilai, saya akan sebut kembali beberapa contoh yang begitu ketara, dan biadab, sehingga perlu ditegur dan dikritik.  Tidak, sebenarnya tidak perlu disebut, kerana dihuraikan dengan amat jelas dalam blog ini dalam beberapa entri yang boleh anda cari sendiri jika anda berminat; jika anda tidak berminat, anda boleh saja meneruskan kekeliruan anda, atau apa yang diistilahkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai “kerancuan bentuk dan makna”. Kita beruntung kerana mempunyai Kamus Dewan yang menjelaskan dengan cukup mudah makna dan maksud kerancuan itu.

Jika kita terima istilah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini, maka sastera Melayu amat berjaya kerana memang kaya dengan kerancuan bentuk dan makna, terutama sekali yang diperlihatkan oleh Naratif Ogonshoto, novel teragung sepanjang zaman yang penuh dengan kerancuan itu.  Jika anda terima istilah penting yang diperkenalkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini, anda tidak perlu gusar dan tidak perlu mempertahankan karya kreatif Melayu yang memang kaya dengan kerancuan itu.  Malah anda seharusnya berbangga kerana kini anda mempunyai ukuran yang tepat untuk menolak Pujangga Melayu sebagai karya persuratan, dengan sekali gus menolak Gagasan Persuratan Baru. Itulah kemenangan yang besar bagi pandirisme dalam sastera Melayu. Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/5/2017.





Thursday, May 4, 2017

DERRIDA DAN KEGEMILANGAN NOVEL PARA SASTERAWAN NEGARA

Berkali-kali saya menegaskan bahawa karya para sasterawan negara adalah picisan, dan dengan serius pula telah memberikan hujah saya mengenai masalah ini.  Mengapa persoalan ini penting dalam sastera Melayu?  Dua perkara yang anda perlu beri perhatian dan memahaminya.  Pertama, apakah ukuran yang kita pakai untuk mengatakan sesebuah karya itu begitu dan tidak begini?  Kedua, adakah ukuran itu boleh diuji dengan tepat atau objektif sehingga kita boleh melihatnya dengan jelas apabila digunakan dalam analisis dan penilaian, maka  hasilnya begitu dan tidak begini.  Bagaimana dua keadaan ini boleh pula dipastikan keabsahannya atau kebenarannya atau ketepatannya dalam membuat analisis dan penilaian.  Inilah keadaan yang telah melahirkan bermacam-macam teori dalam sastera Barat; tetapi asasnya atau dasarnya hanya berlegar kepada tiga entiti saja: pengarang, karya, pembaca.  Sekiranya anda melebihkan pengarang, anda mahu tahu apakah niat atau maksud atau dorongan yang membuatnya menulis sesatu novel dan apakah pendiriannya tentang teknik penulisan.  Sekiranya anda menumpukan kepada karya, anda akan menggunakan ukuran New Criticism. Sebaliknya, sekiranya anda memberi keutamaan kepada pembaca, anda akan mengemukakan teori tentang pentafsiran mengenai makna sesuatu teks atau karya dan kesannya kepada pembaca dan masyarakat. Itu cara mudah untuk memahami tiga aspek ini. Ada teori yang menegaskan adalah mustahil untuk mengetahui niat atau maksud penulis. Ada pula yang mengatakan sesebuah karya boleh ditafsirkan dalam seribu makna (atau: makna yang berlapis-lapis kata sasterawan dan sarjana sastera). Kata Tun Razak, yang membaca ucapan yang mungkin ditulis oleh A. Samad Ismail, “sasterawan adalah propagandis zamannya”.  Dia meletakkan kepentingan karya kepada masyarakat, sama ada untuk mendidik masyarakat, atau mengajar masyarakat untuk berkelakuan buruk.  Saya biarkan saja kesimpulan ini seperti adanya, dengan kepercayaan bahawa pakar sastera, atau sarjana sastera, boleh memberi contoh (yang memang banyak dalam sastera Melayu) karya siapa dan mengapa ditulis sebegitu. Supaya anda tidak terlalu jauh terkeliru, saya berikan satu contoh. Shahnon Ahmad menulis novel lucahnya yang terkenal, TIVI; sambil menegaskan kelucahan adalah realiti pun (itu  cara dia bercakap) oleh itu tidaklah lucah. Kelucahan dijadikan umpan untuk menarik minat pembaca. Yang lucah itulah yang mempunyai unsur sufi! (Lihat Dewan Sastera,  Oktober 1997.)

Mengapa Derrida timbul lagi dalam blog ini?  Jawapannya mudah: Dialah orangnya yang memberi maruah kepada sastera Melayu, seperti telah saya bincang dalam beberapa entri yang lepas. Dialah yang mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dan pengkritik sastera, termasuk sarjana sastera.  Ketiga-tiga golongan ini memerlukan Derrida untuk menjadi pembela mereka.  Hanya Derrida sahaja yang berupaya memberi mereka kedudukan yang tinggi dan mulia. Sekiranya anda tidak setuju dengan kesimpulan ini, sahlah anda memang buta sastera.

Walaupun tiada apa-apa yang boleh kita bincang dengan orang yang buta sastera, namun kehadiran mereka penting untuk meramaikan khalayak sastera. Sekurang-kurangnya saya boleh tambah pembeli Pujangga Melayu mungkin sekitar 2% hingga 5%. Angkanya kecil, tetapi yang kecil itu amat bermakna jika mereka menjadi tidak lagi buta sastera, tetapi bertambah cerdik dan tahu menikmati karya persuratan.

Sasterawan dan pengkritik serta sarjana sastera perlukan Derrida. Apa maknanya? Maknanya sangat besar. Derrida mewakili seluruh faham sastera dan kritikan sastera dari Barat, yang tidak dapat dilakukan oleh New Criticism, walaupun pada umumnya  Derrida dikatakan anak haram New Criticism.  Pengaruh Derrida ternyata amat besar, menular hampir dalam semua teori sastera Barat secara langsung mahu pun tidak langsung, melalui misalnya, antara lain,  pengkritik Derrida seperti  sekiranya kita menolak teori dan pendekatan Barat Habermas.  Tidak ada bidang akademik Barat yang tidak ditulari pengaruh pemikiran Derrida, begitu hebat sekali tokoh ini. Di Malaysia, tokoh besar kita sendiri dalam diri Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh adalah pelopor yang membawa pengaruh Derrida, jika yang beliau tulis dalam syarahan perdananya belum dipadamkan.  Beliau menggesa sasterawan dan sarjana sastera membaca Derrida dan menggunakan ideanya. Inilah satu-satunya jasa tokoh besar ini yang tidak boleh diragui, seperti kita meragui beberapa tindakan dan pandangan beliau yang kadang-kadang sangat pelik, misalnya tentang tidak perlunya kita pakai pendekatan Barat untuk menilai kita yang menulis dalam bahasa Melayu dan mempunyai budaya kita sendiri.  Tidak ada sastera Melayu dan kritikan sastera jika kita menolak teori dan pendekatan Barat. Jabatan sastera boleh ditutup. Lainlah jika sarjana kita tidak cirit untuk menggunakan Gagasan Persuratan Baru, yang menurut orang tua-tua kita, seperti menunggu kucing bertanduk. Risikonya amat besar…

Apakah risiko itu?  Pertama sekali, risiko kedudukan sastera dan para sasterawan negara tidak lagi di atas, di tempat pertama. Mereka tidak mempunyai pilihan, kecuali meletakkan diri mereka di bawah karya persuratan, yang akibatnya boleh melucutkan kedudukan sasterawan negara di tempat teratas. Tempat teratas itu diambil oleh karya persuratan berasaskan sumbernya konsep ilmu yang benar.  Apakah yang akan terjadi jika mereka menolak kedudukan baru itu? Tidak ada apa-apa yang terjadi, kecuali sejarah intelektual akan ditulis dalam kerangka persuratan, bukan lagi kerangka sastera. Kecacatan sejarah ini akan kekal; samalah seperti yang berlaku kepada kumpulan Asas 50 yang menolak agama dan tulisan Jawi, yang kekal dalam sejarah sebagai kumpulan yang membawa idea Marxisme untuk mengganti kedudukan ilmu dan para ulama serta cendekiawan yang sejak beratus tahun membina tamadun Melayu berasaskan nilai-nilai Islam.  Walaupun Asas 50 masih popular di kalangan sasterawan dan sarjana, namun dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, penilaian terhadap Asas 50 dilakukan dengan lebih objektif berdasarkan analisis daripada pendekatan Gagasan Persuratan Baru yang memberi penekanan yang jelas kepada peranan ilmu dalam bidang persuratan dan kesusasteraan. Melalui pendekatan yang dirumuskan dengan jelas dalam Gagasan Persuratan Baru, kita dengan mudah dan tepat boleh menilai kedudukan sebenar Asas 50 dalam sastera Melayu moden; dan serentak dengan itu kita juga dapat menempatkan dengan tepat dan objektif kedudukan dan sumbangan para sasterawan negara dalam perkembangan intelektual Malaysia. Sila rujuk entri bertarikh 14/4/2017 untuk mendapat penjelasan ringkas tentang Gagasan Persuratan Baru.

Masa untuk kita berceloteh dalam sastera sudah tamat. Sekarang kita berbicara tentang input intelektual dalam penulisan kreatif, yang hanya anda boleh dapat melalui Gagasan Persuratan Baru. Tetapi anda perlu menyiapkan diri dengan membantu diri anda sendiri untuk memahami konsep ilmu yang benar dan bagaimana  boleh digunakan dengan berkesan dalam penulis kreatif, atau dalam bidang akademik. Untuk itu anda harus membaca dengan kritis DAN kreatif buku-buku berikut sebagai persediaan yang paling minimum. (Senarainya sudah diberikan dalam entri lain). Tidak guna anda bercakap besar, memuji melambung teman-teman anda dalam Mutual Admiration Club, jika yang anda borakkan itu tidak mempunyai kualiti ilmu, malah akan lebih mengelirukan lagi diri anda sendiri dan orang lain yang malas membaca dan malas berfikir. Sila lihat senarai buku-buku yang saya maksudkan. Kesimpulannya, anda harus kembali kepada ilmu dan faham maksud ilmu yang benar.

Para penentang Gagasan Persuratan Baru mungkin tidak sedar bahawa mereka berusaha bermati-matian untuk mengekalkan padirisme dalam penulisan kreatif dan dalam penulisan akademik tentang sastera. Yang amat menghibakan kita ialah jika mereka ini benar-benar mendalam pengetahuannya tentang teori Barat dan falsafah Barat, saya yakin mereka akan berminat untuk mengkritik atau membicarakan Gagasan Persuratan Baru sebagai seorang yang berwibawa dalam bidang masing-masing, yakni sama ada dalam bidang kreatif, atau bidang kritikan, juga dalam bidang akademik yang khusus membicarakan tentang teori sastera.  Masa untuk mengkhianati perjuangan mencerdikkan bangsa Melayu ini sudah berlalu, oleh itu sesiapa saja yang menjadi penentang harus kembali ke dalam saf untuk memperkayakan masyarakat dengan konsep ilmu yang benar, supaya mereka tidak lagi mudah ditipu oleh para aktivis dalam bidang apa pun yang mereka ceburi.  Tanpa pengetahuan tentang konsep ilmu dan Gagasan Persuratan Baru, anda dengan mudah ditipu hidup-hidup untuk menerima slogan “sastera teras negara bangsa”, yang sebenarnya berupa slogan Asas 50 “seni untuk masyarakat”.  Kalau anda tidak dapat mengesan perulangan kekeliruan dalam peranan sebenar seni menulis untuk membina tamadun bangsa berasaskan ilmu, maka  anda akan tertipu sepanjang hayat untuk meneruskan kekeliruan tadi dan menjadikannya “asas negara bangsa” seperti yang dislogankan semula oleh ITBM dan DBP dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.  Satu usaha yang sia-sia dan tidak bermanfaat, yang penuh dengan sifat-sifat ‘iwajan (crookedness)  yang dikutuk oleh al-Quran.  Lebih-lebih lagi apabila golongan ini menjadikan Derrida sebagai seorang “sheikh sastera Melayu” dan tanpa segan lagi terus berlindung di bawah pengaruh Derrida. Hanya Derrida yang dapat menerima kekeliruan mereka, yang disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai “kerancuan” karya seperti Naratif Ogonshoto yang membuatnya layak diangkat menjadi karya terbaik sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Sekiranya anda terima kesimpulan  ini sebagai sesuatu yang siuman, anda boleh saja meneruskan falsafah “kerancuan” anda untuk membingungkan diri anda sendiri dan orang lain yang menolak ilmu yang benar. (Lihat entri bertarikh 20/4/2017 mengenai makna kerancuan mengikut Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia.)  Jika kita melihat kerancuan dari perspektif ilmu yang benar, maka tidak ada keraguan lagi bahawa inilah dia yang dikatakan ‘iwajan (crookedness) dalam al-Quran.  Jika anda masih ragu (tidak dimaksudkan anda meragui kebenaran al-Quran; hanya ragu kerancuan itu sama dengan ‘iwajan), maka anda wajib mendapat kepastian daripada para ulama, bukan daripada ustaz yang banyak berjenaka dalam ceramah TV mereka.

Kini kita sampai kepada soalan yang paling penting dan kontroversial.  Wajarkah kita meneruskan kerancuan sastera Melayu untuk meneruskan “warisan” anti-ilmu Asas 50 seperti yang diberi slogan baru oleh ITBM dan DBP dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014?  Dua organisasi rasmi kerajaan ini, dengan sokongan kuat daripada PENA di bawah pimpinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, jelas sekali mahu meneruskan kekeliruan dan sikap anti-ilmu Asas 50, dengan itu meremehkan konsep ‘iwajan yang ditegaskan al-Quran supaya dijauhi.  Inilah kesimpulan paling tepat keadaan yang kita hadapi sekarang. Sikap lembu kenyang yang dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera telah dibudayakan oleh PENA dan GAPENA dan mungkin juga lain-lain persatuan penulis, yang sentiasa mengharap dan meminta bantuan kerajaan untuk hidup. Meskipun sudah ada jalan keluar yang dihulurkan oleh Gagasan Persuratan Baru untuk memulai perkembangan baru dalam dunia penulisan dan penilaian karya kreatif, namun di bawah pengaruh hegemoni yang dikuasai para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, apa juga jalan keluar dari kemelut kerancuan budaya ini ditolak bulat-bulat sebagai tidak relevan, kerana merugikan kedudukan mereka dan kumpulan Mutual Admiration Club yang anti-ilmu dan anti-kemajuan serta anti-perubahan; walaupun mereka sering bercakap tentang perkara itu.  Saya menaruh harapan tinggi kepada kumpulan indie yang saya fikir akan memulai satu revolusi pemikiran dan perubahan dalam persuratan Melayu sekiranya mereka bersedia menolak pandirisme dan menerima konsep ilmu yang benar dalam kegiatan intelektual yang mereka ceburi.  Saya fikir itulah harapan mereka dan harapan kita juga.  Sekiranya saya bermimpi sekali pun, itulah mimpi paling indah seorang pejuang intifadah intelektual.  If you can dream, you can make it a reality.  Tak ingat, kalau tak silap itu kata-kata Walt Disney.

You can design and create, and build the most wonderful place in the world. But it takes people to make the dream a reality. Walt Disney

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4/5/2017.