Terdapat
satu keanehan yang istimewa dan membanggakan dalam sastera Melayu, iaitu peri
wujudnya “pemikiran” dalam karya sastera yang dengan jelas menolak unsur ilmu.
Bagaimana “pemikiran” boleh wujud tanpa unsur ilmu? Telah berkata para sarjana,
pengkritik, dan sasterawan, bahawa sastera tidak perlukan ilmu. Sastera adalah
cerita, dan cerita adalah hiburan, dan setiap cerita diasaskan kepada konsep fictionality, bukan konsep ilmu. Jika
anda membaca karya para sasterawan negara, yang telah diterima sebagai pengasas
pembinaan tamadun seperti yang ditegaskan oleh ITBM dalam buku mereka, Sastera Teras Negara Bangsa, anda akan
dapat melihat betapa kuatnya semangat anti-ilmu di kalangan sasterawan, sarjana
dan pengkritik sastera. S. Othman
Kelantan, yang telah menegaskan bahawa jika seorang penulis mahu menulis
tentang ilmu, tulislah buku ilmiah, bukan karya kreatif. Inilah pegangan para
sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.
Karya Anwar Ridhwan, Penyeberang
Sempadan, telah dipuji sebagai sebuah karya intelektual, sebuah karya
ilmu. Sekarang mana satu yang betul? Kini
seolah-olah para sasterawan berusaha menulis karya intelektual supaya mendapat
pujian para sarjana. Adakah ini satu
perubahan? Tidak juga, kerana mereka
menolak konsep ilmu yang benar, tetapi menerima dengan baik konsep fictionality sebagai asas bersastera. Demikian
hebatnya kekeliruan tentang konsep ilmu dalam sastera Melayu. Tidak hairan jika mereka (tiga kumpulan tadi)
menolak Gagasan Persuratan Baru kerana tidak seorang pun di antara mereka yang
sudah dapat menulis sebuah karya seperti Pujangga
Melayu yang ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Bagi mereka, novel persuratan ini adalah
sebuah karya yang gagal dan membosankan kerana terlalu banyak khutbah dan
syarahan yang membuat pembacanya tertidur!
Mereka memuji Naratif Ogonshoto
yang berasaskan fictionality
sepenuhnya, tetapi pada waktu yang sama mereka juga menegaskan Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya
intelektual, yang berunsur Islam pula!
Kalau sudah berunsur Islam, bermakna mengutamakan ilmu yang benar.
Tetapi novel ini menjadikan kejahatan dan
perilaku yang weird sebagai
unsur utama dalam cereka, yang seluruhnya berasaskan fictionality yang anti-ilmu
dan anti moral. Demikian hebatnya kekeliruan dalam sastera Melayu! Semua ini memberi gambaran yang jelas tentang
betapa kuatnya pengaruh Barat dalam sastera Melayu, sehingga menjadikan para
sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera terhuyung hayang mabuk Barat,
tetapi pada waktu yang sama ingin juga dikenali sebagai penulis intelektual,
yang tidak mengutamakan ilmu, sebaliknya mengutamakan fictionality.
Kemabukan ini tidak dapat dielakkan, kerana kesetiaan kepada pengaruh Barat
tetap dikekalkan kerana itulah yang paling mudah dilakukan, tidak perlu
berfikir, cukup dengan hanya meniru.
Maka
terjadilah pertarungan merebut pengaruh antara para peniru ini dengan para pemikir sastera Melayu yang
menerima kembali konsep persuratan dan mula membicarakan karya kreatif dalam
konteks wacana berasaskan ilmu yang
benar.
Tidak ada
sebab yang munasabah untuk para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan
untuk memberi pendapat yang tidak benar, seperti dengan gigih sekali berkata Naratif Ogonshoto itu sebuah karya besar
dan terbaik dalam sejarah penulisan novel Malaysia, padahal apabila dianalisis
berasaskan konsep ilmu yang benar, novel itu hanya mengarut dan bertentangan dengan nilai-nilai murni yang dijadikan
projek pendidikan oleh Kementerian Pelajaran.
Hingga kini belum lagi tampil sesiapa pun yang menyanggah kesimpulan
ini, yang sekali gus menolak semua penilaian yang dilontarkan oleh para
sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan.
Kemunculan Gagasan Persuratan
Baru dengan serta-merta menjadikan konsep fictionality
itu adalah simbol anti-ilmu dan anti-intelektual, sebagai sumber kemunduran
berfikir yang diiringi dengan kekacauan
makna kreatif yang hanya bergantung pada sensasi, bukan stylization of ideas seperti yang diberi bentuk oleh PB yang
menjadikan kreativiti itu didefinisikan sepenuhnya dalam konteks taklif, oleh
itu kreativiti itu diasaskan kepada konsep ilmu, keadilan, dan usaha ikhtiar
yang terbaik dari segi mencapai matlamat untuk mencipta hasil kreatif yang
“indah dan bermakna”. Ungkapan “indah
dan bermakna” diasaskan sepenuhnya kepada konsep taklif, oleh itu menolak
sepenuhnya konsep fictionality yang
menjadi tunjang kreatif para sasterawan, yang dijadikan asas untuk melaksanakan
teknik sensasi sepenuhnya seperti yang ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam
novel-novelnya. Dalam konteks inilah
karya Anwar Ridhwan dan para sasterawan negara lainnya adalah karya picisan
yang penuh sensasi hasil dari imaginasi berteraskan fictionality, bukan menyerlahkan hakikat ilmu. Kesimpulan ini tidak dapat dielakkan, dan
tidak dapat ditolak. Gagasan Persuratan Baru, yang hadir sebagai satu sistem
yang lengkap, memperkenalkan standard yang jelas dalam penulisan kreatif dan
dalam penilaiannya, oleh itu amatlah sukar untuk anda memperlekehkannya, kerana
yang terjadi anda sendirilah yang akan menyerlahkan keselekehan anda sebagai pengkritiknya.
Kesimpulan ini telah dihuraikan dengan jelas dalam satu tulisan oleh Prof.
Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam kertas kerja beliau yang disiarkan dalam ASIATIC, VOLUME 9, NUMBER 1, JUNE 2015: “ Persuratan Baru: An Alternative Paradigm to Western Literary
Methodologies”. Anda boleh baca di
sana.
KESIMPULAN
Saya tidak
ada masalah dengan para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan jika
mereka mahu forever memperhambakan diri mereka menjadi jurucakap
yang cetek meraba-raba kepada teori sastera Barat, dan bangga memperagakan
kecetekan kefahaman mereka terhadap teori Barat yang mereka banggakan bahawa
merekalah golongan yang tahu apakah sebenarnya “sastera” dan apakah yang
sebenarnya boleh dibuat oleh konsep sastera yang menjadi pegangan mereka, yakni
konsep fictionality dan sensasi
sebagai wahananya. Tetapi saya perlu menegaskan lagi di sini, bahawa sumbangan
mereka dari segi intelektual dan pemikiran dalam pembinaan tamadun negara ini
tidaklah sebesar mimpi mereka yang bombastik yang dengan agak biadab mengatakan
bahawa sastera itulah yang layak menjadi teras negara bangsa. Mereka mengadakan persidangan besar khusus
untuk mencanang kembali slogan Asas 50 yang telah gagal memperkaya dan memperkasa
pemikiran bangsa kita, yang pada hakikatnya menjadikan ilmu sebagai musuh
kerana mereka tidak dapat menerima bahawa sumber ilmu itu hanya dari al-Quran,
kerana menurut mereka jika mereka menerima hakikat itu akan hancurlah segala
sumbangan mereka selama ini yang menurut mereka akan diketepikan. Jika apa yang mereka panggil sebagai
“sumbangan” itu tidak seberapa, malah hanya mengusutkan lagi kefahaman mereka
tentang ilmu, maka kedegilan mereka
untuk mempertahankan kekeliruan mereka bukanlah sesuatu yang mulia dan
bermaruah.
Apakah pilihan
mereka? Jika mereka benar-benar percaya sumbangan mereka begitu besar dan amat
bermakna kepada pembangunan tamadun kita, maka mereka seharusnya terbuka untuk
dinilai dengan sehabis kritis dan objektif. Penilaian ini boleh dibuat dengan
adil dan objektif oleh Gagasan Persuratan Baru, seperti yang ditunjukkan dengan
jelas dalam makalah Prof. Ungku Maimunah yang saya rujuk itu. Selain dari itu, Prof. Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan
perdananya yang saya rujuk banyak kali dalam blog ini mencadangkan supaya diwujudkan disiplin “kesusasteraan
Islami bandingan” dalam sistem pendidikan kita di universiti. Cadangan ini, jika dilaksanakan, akan membuka
mata para sarjana dan pengkritik sastera Melayu akan kekayaan ilmiah dalam
bidang kreatif dan akademik yang kini tidak diketahui mereka. Beberapa contoh
yang disebut oleh Prof. Bukhari Lubis dalam syarahan perdananya menjadi bukti
betapa perlunya kita wujudkan disiplin yang beliau cadangkan itu untuk membantu
para sarjana dan pengkritik sastera mengenal dunia lain yang lebih hebat
daripada hanya menjadi hamba teori sastera Barat. Jangan salah faham, saya tidak menentang
teori sastera Barat; tetapi saya selalu mengingatkan anda supaya memahami
dengan mendalam tiga perkara tentang teori sastera Barat ini: sumber ilmu yang
menjadi rujukan mereka; tafsiran mereka terhadap ilmu; dan sikap mereka
terhadap disiplin ilmu dari budaya lain.
Semua peringatan ini tidak bermakna apa-apa jika anda siang-siang lagi
sudah menolak konsep adab dalam epistemologi Islam, tetapi dengan tidak sedar
mempraktikkan aspek ‘iwajan dalam
pemikiran dan tulisan anda. Anda selalu
bercakap tentang kebenaran dan kejujuran, tetapi anda melakukan sebaliknya.
Kalau begitu, apakah makna kejujuran dan kebenaran dalam fahaman anda?
Selain dari
membaca dan memahami dengan mendalam teori sastera Barat, anda perlu juga
membaca dan memahami Gagasan Persuratan Baru. Kerana itulah yang anda perlukan
untuk menjadi sarjana yang jujur dan tahu makna kebenaran dalam dunia ilmu.
Mohd. Affandi
Hassan,
Petaling
Jaya, 22 Mei 2017.
Catatan:
selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri kepada semua. Maaf zahir
batin. Kita hanya berbeza pendapat,
tetapi tidak bersengketa.
No comments:
Post a Comment