Monday, May 1, 2017

MEMBACA NARATIF OGONSHOTO DARI PERSPEKTIF DEKONSTRUKSI

Salah seorang genius Barat yang paling kontroversial ialah Derrida. Kalau anda tidak biasa membaca tulisannya dan tulisan orang lain mengenainya, anda anggap dia seorang yang tidak siuman. Dia mahu samakan sastera dengan falsafah. Bayangkan Naratif Ogonshoto sama tarafnya dengan karya Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas. Andai beruk boleh tertawa macam sasterawan, tentu mereka akan tertawa. Tetapi itulah Derrida. Lain-lain kejutan anda akan dapat sendiri jika anda membacanya. Tetapi beliau mendapat ramai penyokong di Amerika Syarikat suatu masa dulu; tetapi sekarang tidak lagi. Mengapa saya bawa Derrida dalam perbincangan ini? Saya mahu uji bagaimana jadinya novel Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto jika dinilai dari perspektif dekonstruksi. Dan bagaimana pula akan terjadi kepada Pujangga Melayu jika dekonstruksi dijadikan pendekatan untuk menilai novel persuratan itu.  Sekarang saya sedang tertawa, tidak boleh menulis seterusnya. Saya akan sambung beberapa hari lagi jika masih ada mood. Terlalu lucu….  Sesiapa yang ada pengetahuan tentang dekonstruksi, bolehlah cuba dahulu sementara menunggu sambungan tulisan saya.

Petaling Jaya, 29/4/2017.

Kelucuan Akademik

Sekarang sudah ada mood untuk menyambung catatan ringkas saya tempoh hari. Bagaimana agaknya jika Naratif Ogonshoto dibaca dari pendekatan dekonstruksi, yang diperkenalkan oleh Jacques Derrida.  Great!  Hebat. Novel terbaik Malaysia itu akan muncul sebagai karya terhebat, walaupun tidak memberikan makna yang besar dari segi pemikiran. Bagi Derrida, “pemikiran” adalah nonsense, sesuatu yang tidak berharga dalam penulisan. Yang penting ialah kelainan yang disengajakan atau diada-adakan, mahu pun yang secara kebetulan menjadi kelainan yang menarik setelah diberi treatment  dari perspektif dekonstruksi.  Saya pernah mengatakan Naratif Ogonshoto adalah karya mengenai kehidupan seorang ketua Mafia yang berjaya menjadi ketua negara melalui falsafah keganasan dan penipuan yang amat lihai dilaksanakan beliau. Dalam konteks dekonstruksi, hal ini merupakan kejayaan terpuji yang hanya boleh dilakukan dengan selesa oleh seorang tokoh Mafia seperti Sang Presiden dalam Naratif Ogonshoto.  Bagi Derrida, kelincahan seorang penulis dapat dilihat dengan jelas melalui penggunaan bahasa pura-pura yang seolah-olah tidak bermakna, misalnya satu nota biasa yang berbunyi (contoh sahaja) “Akan pulang sekejap lagi”. Beliau menulis sebuah buku untuk membincangkan dengan terperinci aspek komunikasi seperti ini, iaitu dalam bukunya, La carte postale (postcard). Dalam Naratif Ogonshoto, aspek komunikasi ini tidak saja melalui kata-kata, tetapi juga melalui anggota badan, misalnya memotong kemaluan lelaki untuk diberikan kepada hering; atau memotong jari; atau terus menembak seseorang untuk memastikan komunikasi verbal terus terputus.  Semua ini penting bagi Derrida kerana inilah kekuatan seseorang sasterawan yang menjadi natural kepadanya setelah dia menguasai gayanya yang tersendiri.  Inilah kekuatan Anwar Ridhwan menurut Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.  Dilihat dari perspektif ini, dekonstruksi memberikan kekuatan yang luar biasa kepada novel agung Malaysia ini. Paling menonjol ialah tiada lagi perbezaan antara kejahatan dan kebaikan, kerana yang penting ialah komunikasi berkesan untuk mencapai kesan paling mendalam kepada pembaca dan pengkritik sastera. Hal ini difahami sangat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad apabila beliau memuji Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya yang berlapis-lapis maknanya. Semua “makna” memperlihatkan ketelitian sasterawan dalam menghasilkan karyanya. Bagi Derrida, apa juga makna tidak penting, kerana menurut beliau setiap makna tidak stable dan tidak dapat ditentukan, yakni “interpretation is always a misinterpretation”.  Jika kita menggunakan kias ibarat Melayu, sebuah perahu yang bagus adalah perahu yang terus timbul ketika dipukul ribut dan ombak, bukan sebuah perahu yang sampai ke pangkalan. Karya sastera pun seperti itu juga, yang dengan jelas ditunjukkan oleh Naratif Ogonshoto.  Dari penjelasan ringkas ini, ternyata dekonstruksi  adalah teknik analisis yang amat sesuai dipakai untuk menilai Naratif Ogonshoto.

Sekarang kita lihat pula bagaimana sekiranya Pujangga Melayu dinilai dari perspektif dekonstruksi.  Pertama sekali, anda perlu sedar bahawa Derrida tidak menerima konsep kebenaran (the truth) sebagai suatu nilai atau faktor penting, malah menjadikan kebenaran sebagai faktor dalam penilaian adalah suatu kejanggalan yang hanya berlaku di kalangan orang yang tidak sempurna akalnya, yang dari segi rasional amat cacat. Oleh itu, bagi Derrida Pujangga Melayu adalah sebuah karya nonsense, yang terlalu subjektif untuk diterima oleh semua orang sebagai sebuah karya yang berlapis-lapis maknanya seperti Naratif Ogonshoto. Sekarang timbul persoalan yang amat menarik, yang benar-benar mencabar kebijaksanaan pertimbangan anda sebagai seorang manusia yang siuman. Sekiranya benar dari segi dekonstruksi  Pujangga Melayu adalah sebuah karya nonsense, maka jelaslah dekonstruksi tidak bersifat universal, sebaliknya terlalu parochial dan sempit sekali cakupan aplikasinya. Maksudnya, hanya karya yang terumbang ambing dari segi penerapan ilmu yang benar sahaja yang universal dan bersifat sejagat, seperti yang diklaim oleh Dr. Mohamad Sasleeh Rahamad dalam makalahnya. Oleh sebab Pujangga Melayu mengasaskan penulisan karya itu kepada konsep ilmu yang benar, maka teknik dekonstruksi tidak dapat digunakan, tidak berupaya untuk menggigit Pujangga Melayu.  Kerana itu, novel persuratan ini bukan sebuah novel seperti yang difahami secara universal seluruh dunia sejak beribu tahun, yang sekali imbas, menurut dekonstruksi seolah-olah memperagakan sesuatu yang baru dan segar dari segi pengolahan idea dan pemikiran, tetapi dari perspektif dekonstruksi adalah sebuah karya nonsense.  Nah, inilah yang saya tegaskan kita menghadapi suatu keadaan yang menarik itu. Kita harus membuat pilihan berasaskan ilmu bahawa antara dekonstruksi sebagai teknik analisis dengan Pujangga Melayu sebagai pemaparan pemikiran berasaskan konsep ilmu yang benar, mana satu pilihan anda? Jika anda memilih dekonstruksi, anda mempertahankan keistimewaan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya teragung dalam sastera Melayu. Sebaliknya jika anda memilih kedudukan Pujangga Melayu sebagai  sebuah karya persuratan yang mementingkan konsep ilmu yang benar, maka anda akan menolak dekonstruksi, dan dengan itu Naratif Ogonshoto tidak lagi dapat diperthankan. Anda tidak boleh berkata kita perlu menggunakan kedua-duanya, dekonstruksi dan konsep ilmu yang benar; kerana jika inilah pilihan anda, maka anda akan berada di menara relativisme yang amat menjijikkan yang sebenarnya ditolak oleh sebahagian besar ahli falsafah Barat sekali pun, seperti yang dihuraikan oleh Ernest Gellner dalam bukunya, Postmodernism, Reason and Religion. (Rujuk hal. 22 dan seterusnya).  Kalau begitu, sekali lagi, apakah pilihan anda? Anda sayangkan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya agung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, tetapi ini hanya berlaku jika anda menilainya dari perspektif dekonstruksi yang menolak adanya kebenaran dan sumber ilmu seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan konsep uswatun hasanah. Segalanya menjadi tidak relevan, kerana yang relevan ialah kewujudan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya agung yang  disepakati oleh semua sarjana sastera Malaysia. Dan lebih dari itu, mendapat sokongan Derrida pula!

Kesimpulan

Apa yang ingin saya bentangkan di sini ialah kedudukan Gagasan Persuratan Baru vis-à-vis  dekonstruksi. Di kalangan sebahagian besar sarjana sastera Malaysia, mereka memilih dekonstruksi kerana ini boleh dijadikan benteng untuk mempertahankan kewujudan para sasterawan negara dan sekali gus keagungan Naratif Ogonshoto.  Adakah ini suatu pilihan atau suatu keputusan yang baik, yang paling siuman. Jawapannya diberikan oleh al-Quran dalam Surah al-Kahfi, ayat pertama:  “Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab dan tidak membuat padanya kebengkokan”.  (18: 1) [Kitab Tafsir al-Misbah, karangan M. Quraish Shihab, Jilid 7, hal. 231.  Dalam keterangannya beliau berkata, “’iwaj adalah kebengkokan yang sulit terlihat dan memerlukan pemikiran yang dalam untuk mengetahuinya.”  Keterangan ini sangat penting difahami dan diberi perhatian.

Yang  diterjemahkan sebagai “kebengkokan” dalam bahasa Arabnya ‘iwajan.  Adakah Naratif Ogonshoto   kena tempias ‘iwajan (crookedness)? Bagaimana pula dengan Dr.  Mohamad Saleeh Rahamad?  Kedua-duanya terlepas dari terjebak dalam kategori itu kerana mereka sendiri tidak tahu mengenainya, oleh itu dimaafkan. Syaratnya mereka harus menerima konsep ilmu yang benar, kerana konsep ‘iwajan yang ditegaskan al-Quran itu berpunca daripada al-Quran sebagai sumber ilmu yang sah, bukan pandangan Derrida (dari keturunan Yahudi yang ibu bapanya fasih berbahasa Arab, yang lahir di Algeria, tetapi tidak pasti sama ada beliau sendiri tahu bahasa Arab atau tidak).  Ada pun tentang Pujangga Melayu, dekonstruksi akan tunduk membisu seperti tikus kerana tidak berupaya menyentuh kedudukan Pujangga Melayu dan Gagasan Persuratan Baru sebagai satu-satunya cabaran terhadap teori Barat dalam kritikan dan dalam analisis dan penilaian karya sastera. Kedudukan dan kewajaran sasterawan negara sendiri sangat bergantung pada teori Barat, dengan itu amatlah wajar jika para sarjana dan sasterawan negara memusuhi Gagasan Persuratan Baru. Mereka perlu menjaga kedudukan mereka, bukan kebenaran (the truth) yang diperjuangkan oleh Persuratan Baru. Jika mereka menerima ‘iwajan sebagai alat retorik mereka, maka hal itu sudah wajar memandangkan mereka mengutamakan kedudukan mereka sendiri. Jika anda faham duduknya perkara, anda akan lebih senang membuat pilihan yang terbaik untuk anda.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 1/5/2017.




PENGAJARAN DARIPADA SUATU PERKEMBANGAN YANG TIDAK SIUMAN

Sastera Malaysia mendapat dua jenis keberuntungan yang mungkin tidak disedari oleh pembaca biasa, tetapi amat dimaklumi oleh para sarjana sastera dan para sasterawan.  Pertama sekali, Malaysia sangat beruntung mendapat sebuah karya besar yang tiada tandingannya dengan lahirnya Naratif Ogonshoto dan munculnya seorang sarjana yang tajam analisisnya dalam ketokohan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang melonjakkan Naratif Ogonshoto ke langit ketujuh bersama-sama Panel Anugerah Sastera Negara yang telah membawa Naratif Ogonshoto ke angkasa lepas dalam pujian mereka. Saya menggunakan lenggok bahasa penutur penglipur lara, andainya anda masih berpeluang mendengar cerita-cerita penglipur di bangsal-bangsal yang dibangunkan khas untuk mereka menuturkan kisah-kisah penglipur lara. Saya beruntung kerana dibesarkan dalam dunia penglipur lara Selampit yang penceritanya menggunakan rebab untuk mengalunkan cerita-cerita yang sangat mengasyikkan, antaranya yang saya minati ialah cerita Awang Lutung.  Keberuntungan kedua ialah munculnya dekonstruksi ciptaan Derrida di Perancis, maka secure lah Naratif Ogonshoto dalam dunia penglipur laranya yang telah dimodenkan dengan nihilisme dengan diberi pula kekuatan retorik bercorak dekonstruksi dengan menjadikan kejahatan sebagai simbol peradaban dan pengajaran moral dalam konteks nilai-nilai murni yang ditafsirkan secara rasmi oleh Kementerian Pelajaran yang telah menerima Naratif Ogonshoto sebagai novel beretika mulia, lalu dijadikan teks sastera untuk dipelajari oleh para pelajar.  Semua perkembangan ini sudah diberi kedudukan tinggi dalam konteks hegemoni budaya yang menjadikan sastera teras negara bangsa.  Perkembangan ini amat menarik kerana dalam dunia Melayu yang sejak beratus tahun di bawah pengaruh para ulama dan cendekiawan, kini sudah berpindah kepada para sasterawan dan sarjana sastera yang menghidupkan kembali dunia penglipur lara dan mempertahankannya sebagai satu gerakan global untuk memperkenalkan kehebatan para sasterawan yang menurut para sarjana telah mengangkat tema penglipur lara itu menjadi sastera dunia. Inilah kesan daripada kemunculan dekonstruksi Derrida yang menjadi pegangan para sarjana dan sasterawan Malaysia. Sebagai penulis karya persuratan Pujangga Melayu, saya melihat semua perkembangan ini dalam konteks sebuah hikayat yang saya tulis 2004, Hikayat Zaman Hanyut, membicarakan perubahan nilai dalam masyarakat Melayu. Cerita pendek “Zaman Hanyut” sudah disiarkan Utusan Zaman 2005 dan diulas oleh (tak ingat nama, dulu bekerja di DBP); pemenang banyak hadiah sastera).  Nampaknya, setiap persoalan yang saya jadikan tema tulisan saya menjadi kenyataan. Tetapi yang paling lucu ialah apabila dekonstruksi seperti yang difahami oleh Derrida sendiri meletakkan Pujangga Melayu sebagai sebuah karya nonsense! Bergemuruh sorakan para sarjana dan sasterawan. Padan muka, puji mereka.


Petaling Jaya, 1/5/2017.

No comments:

Post a Comment