Catatan: Pujangga Melayu tidak mempunyai
ciri-ciri kerancuan teori sastera. Pujangga
Melayu mempunyai hanya tiga ciri: berasaskan konsep ilmu yang benar;
mengutamakan wacana, bukan cerita; keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan.
Ketiga-tiga ciri ini tidak terdapat dalam Naratif
Ogonshoto.
--------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah,
akhirnya berjaya juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengemukakan teori sastera
beliau sendiri dalam lambakan “teori sastera tempatan” yang bukan teori, hanya panduan umum atau fatwa
sastera daripada sasterawan “ulama” yang mahu tumpang kuah dalam kawah teori
sastera Melayu. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad memperkenalkan teori kerancuan
sastera beliau ketika membela Naratif
Ogonshoto sebagai novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, yang
satu-satunya berjaya merentasi dunia global membawa bersamanya genre penglipur
lara yang dimulai Anwar Ridhwan melalui novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.
Sekarang kita sudah mempunyai lebih dari 20 “teori sastera tempatan”
yang sedang giat dikembangkan di universiti di kalangan para pelajar sastera yang amat gembira berada dalam kerancuan
analisis dan penilaian sastera, yang memberi mereka kebebasan untuk menjawab
soalan peperiksaan mengenai sastera dalam acuan “teori kerancuan sastera” yang
ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika mempertahankan keagungan Naratif Ogonshoto sebagai novel Melayu
teragung sepanjang zaman.
Supaya anda
tidak merayau terlalu jauh untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan kerancuan, saya salin maknanya daripada
Kamus Dewan (KD)dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Menurut KD, kerancuan berasal dari rancu, tidak teratur, campur aduk, kacau
(bahasa). Kerancuan, keadaan tidak teratur, kekacauan. (Contoh: kekeliruan penggunaannya hanya akan
meningkatkan kadar kerancuan kita berbahasa.)
Kita lihat pula KBBI. Rancu tidak teratur, campur aduk, kacau
(terutama tentang berfikir, menggunakan bahasa dan lain-lain). Kedua-dua kamus
ini merujuk kepada penggunaan bahasa yang kacau dan kelemahan berfikir. Itulah
maksud dan makna kerancuan. Sebuah kamus
lagi, oleh Hassan Noel Arifin, Kamus
Besar Bahasa Indonesia, menambah
makna rancu dengan perkataan janggal, tentang bahasa (pembentukan ayat). Memang
banyak yang janggal dalam tulisan akademik Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika
menilai dan memuji Naratif Ogonshoto.
Seterusnya kita lihat apakah yang dikatakan “teori kerancuan sastera” itu.
Apakah yang
dimaksudkan dengan “teori kerancuan sastera”?
Dalam sebuah makalah yang menang Hadiah Sastera Perdana 2004-2005,
“Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memberi senarai yang panjang tentang
ciri-ciri teori kerancuan sastera hasil pemikiran beliau setelah membaca dengan
teliti Naratif Ogonshoto, yang telah membuahkan
hasilnya yang luar biasa, sebuah teori sastera baru. Tidak sia-sia Naratif Ogonshoto diangkat menjadi novel terbaik sepanjang zaman dengan
lahirnya teori kerancuan sastera. Kita
lihat senarai panjang ciri-ciri teori kerancuan sastera ini.
Prinsip
utama teori kerancuan sastera ialah kerancuan
bentuk dan makna. Dari situ menjalarlah berpuluh ciri yang disenaraikan
oleh sarjana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang menang Hadiah
Sastera Perdana Malaysia 2004-2005. Saya tidak ragu-ragu untuk menegaskan bahawa
semua ciri itu hanya mengarut, mengada-ada, penuh dengan pretensi akademik yang
tidak bermakna apa-apa dalam konteks ilmu yang menjadi pegangan sarjana Islam. Menurut
sarjana ini, sebagai hasil seni Naratif
Ogonshoto tidak memberikan makna yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya
pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran konpleksitinya. Naratif Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun
dikisahkan menurut aturan naratif tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang
tersirat di bawah lapisan naratif a la cerita rakyat yang nampak mudah. Tanggapan
dapat disejajarkan pada sebuah cerpen (atau bab?) dalam teks ini, iaitu “Pentafsir”.
Anwar seperti watak resi tua dalam cerpen tersebut – kata-katanya sukar
ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan
“… kata-kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata
terpilih itu pula tidak pernah mempunyai
makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta
perlambangan.” Makna yang dikendong
dalam teks ini bukan sahaja berlapis-lapis dan pelbagai, malahan bentuknya juga
bebas daripada konvensionaliti. Kebebasan kreativiti dalam pembinaan teks ini
membuka satu dimensi baru dalam persoalan genre. Dalam usaha mengenal pasti
genre teks ini, kita berhadapan dengan masalah yang sengaja ditimbulkan oleh
pengarang/penerbit di samping coraknya yang merentasi sempadan pelbagai genre.
Anwar mengumpulkan manek yang berwarna-warni daripada pelbagai sumber tradisi
lalu menggabungkannya dalam adunan wacana moden hingga menjadikannya sebuah
teks sinkretik, iaitu gabungan pelbagai
unsur. Adunannya menjadi, dan rasanya tersendiri, “Seperti madu tersaring,
bunga tunggalnya tidak dikenal lagi kerana lebah mungkin telah menyunting tujuh
jenis bunga dari tujuh taman.” Kerancuan
makna memang gejala teks pascamoden. Dalam sastera pascamoden tiada makna
tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak. Kebenaran dan jawapan makna terletak
pada tafsiran pembaca menurut situasi dan kondisi yang mengelilinginya. Oleh
itu, teks ini dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Lebih menyukarkan
tafsiran apabila pengarang bermain dengan lambang personal – bilangan hari
dalam bab “Mainan”, simbol ikan dan kelapa emas dalam “Pentafsir”, atau iceberg
dalam “Aisberg”. Begitu pun, kesukaran inilah yang menghidupkan sesebuah karya
dalam jangka hayat yang pajang kerana sifatnya yang sentiasa mengundang
tafsiran yang polisemi. Kerancuan genre juga menjadi masalah kajian yang tidak
kuran g menariknya. Wujud unsur pengaburan genre dalam teks ini sama ada hendak
digolongkan sebagai cerpen atau novel, sastera tradisional atau sastera moden.
Yang jelas, semua genre itu dapat dilabelkan pada teks ini. Pada bahagian
awalan buku ini diterangkan bahawa teks ini merupakan kumpulan cerita pendek
dan sebuah daripadanya yang bertajuk “Hering” sudah disiarkan dalam Dewan Sastera Ogos 2000. Pengakuan ini
sudah cukup untuk mengelompokkannya ke dalam kumpulan cerpen selain kemandirian
setiap bab sebagai cerpen yang berasingan. Namun begitu, apabila dibaca
bahagian prolog hingga epilognya ternyata bab-bab yang episodik tersebut
merupakan kisah yang berangkaian lalu membentuk sebuah novel.” Itu saja yang dapat saya salin, dan semua
ciri yang disenaraikan dengan panjang ini sudah cukup untuk membolehkan kita
membuat kesimpulan betapa seronoknya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyanjung
novel besar sepanjang zaman ini. Apa
pula kata-kata novel itu sendiri terhadap dirinya?
Menurut Naratif Ogonshoto tentang dirinya
sendiri, dia hanya sejenis lamunan
seseorang yang sedang bermimpi, atau sedang berangan-angan, yang tidak siuman,
yang tidak dapat merangkaikan “pemikirannya” yang jelas tentang “cerita” yang
tersangkut-sangkut logik naratifnya. Pendeknya, yang menghadapi masalah kerancuan bahasa dan pemikiran.
Semua ciri
yang disenaraikan oleh sarjana ini, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sebenarnya
membuktikan Naratif Ogonshoto
bukanlah karya besar dan ulung seperti yang disangkakan, tetapi ciri-ciri Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad membuktikan Naratif
Ogonshoto adalah sebuah karya yang confused,
yang tidak siuman, yang penuh dengan khayalan terpisah-pisah seorang tokoh
(??... pengarang sendiri atau wataknya yang tidak bernama?) yang berserabut
tentang perkara-perkara yang tidak penting, atau jika pun dianggap penting oleh
penulis sasterawan ini menjadi tidak penting dan karut kerana tidak diwacanakan
secara siuman. Satu-satunya ciri yang
membuat pembaca yang dangkal dan cetek meraba-raba menyanjung karya ini ialah
beberapa kalimah Jepun atau latar belakang Jepun yang sebenarnya tidak
mencerminkan kehebatan Jepun sebagai negara yang punya budaya yang cintakan
ilmu. Saya beri satu contoh yang tidak diketahui oleh manusia Melayu yang tidak
sukakan musik Arab, tentang alat musik qanun
dan gambus. Saya beritahu anak saya (ketika itu masih berumur 7 atau 8 tahun),
qanun dicipta oleh Al-Farabi, seorang ahli falsafah, ahli matematik, ahli nahu
bahasa Arab, seorang doktor, dan tentu saja seorang pemain musik. Dia mencipta
qanun, berasakan formula matematik, untuk memainkan semua musik dunia. Dengan
81 tali, kata Al-Farabi, semua jenis musik seluruh dunia boleh dimainkan dengan
menggunakan qanun. Dalam usaha kami mencari pemain qanun yang terkenal seluruh
dunia, kami bertemu beberapa nama Jepun, pemain qanun dan gambus yang pakar. Lalu saya suruh anak saya
cari pemain musik yang boleh digelar “sheikh” dalam bidangnya, perdengarkan
kepada saya. Bila saya bertanya, siapa nama pemain itu? Dia menyebut beberapa
nama Jepun! Pastilah Anwar Ridhwan tidak
tahu semua ini, tidak juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, oleh itu kedua-duanya
“terpesona” dengan perkara-perkara remeh temeh, yang bertentangan dengan
semangat Jepun dalam bidang seni, ilmu, penulisan dan sebagainya. Satu contoh
lagi, orang yang suka membaca tentang Islam, tentu sudah mendengar nama
Toshihiko Izutsu, seorang sarjana terkenal tentang Islam yang saya sendiri
tidak berasa was-was kerana bagi saya tokoh ini tidak mempunyai niat jahat
seperti para paderi Kristian yang menulis tentang Islam yang berkata dengan “polite” (dalam budaya mereka) bahawa
Nabi SAW mungkin jujur, tetapi melakukan kesilapan. Saya beri contohnya dalam tulisan Montgomery Watt, seorang paderi, yang terdapat di dalam brosur International
Baccalaureate (IB) yang programnya
dipuji oleh Anwar Ridhwan dalam tulisannya yang termuat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa, (hal. 256.) kerana kononnya program ini akan mengajar
pelajar menjadi cerdik dan terbuka fikirannya.
Dalam brosur IB di bawah tajuk “Wahy” kita dapat kutipan ini:
“To say
that Muhammad was sincere does not imply that he was correct in his beliefs. A
man may be sincere but mistaken. The
modern Westerner has no difficulty in showing how Muhammad may have been
mistaken. What seems to a man to come from ‘outside himself’ may actually come from his unconscious.”
(Daripada bukunya, Muhanmad: Prophet and
Statesman”, hal. 17).
Sangat jelas
kutipan ini disengajakan untuk meragukan pelajar Islam tentang Islam dan terus
memberi maklumat palsu kepada yang bukan Islam.
Apakah yang
sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalah
beliau? Jawapannya telah saya berikan dalam entri bertarikh 7 Ogos 2016, “Maksiat Intelektual dalam
Kesenian dan Penulisan”. Maksiat
intelektual ini tidak pernah dibincangkan padahal inilah jenis maksiat yang
berkaitan dengan konsep ilmu. Hasilnya yang amat negatif dapat kita lihat dalam
makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini dan terciptanya teori kerancuan sastera
oleh beliau. Sekiranya beliau menolak
adanya teori kerancuan sastera itu sebagai hasil cetusan pemikiran akademik
beliau tentang sebuah novel agung yang amat disanjungnnya, maka tindakan beliau itu menjadi hujah akan
betapa karutnya pujian beliau dalam makalahnya itu. Tetapi jika beliau mempertahankan “kebenaran”
pendapatnya maka beliau secara sukarela menghumbankan dirinya dalam maksiat
intelektual yang saya bincang dalam entri berkenaan. Apakah pilihan beliau?
Yang akan menentukannya ialah beliau sendiri. Tetapi apa pun juga pilihan
beliau, teori kerancuan sastera janaan beliau itu telah melempar Naratif Ogonshoto dan teori kerancuan
sastera itu sendiri ke dalam gaung pandirisme.
Bila saya
baca novel agung ini, dan melihat bagaimana confusednya
sasterawan negara ini, saya tidak hairan jika beliau tidak berminat kepada
ilmu, walaupun dari Jepun tempat dia pernah cari makan. Apa yang dia dapat dari
Jepun? Hanya nama-nama karut yang tidak mencerminkan kehebatan kebudayaan ilmu
Jepun. Maka amatlah aneh jika buku yang begitu mengarut seperti Naratif Ogonshoto itu diberi pujian
melangit, padahal isinya hanya khayalan tidak siuman seorang watak yang di hujung
buku itu rupanya penulis sendiri, yang berasal dari Sungai Besar (tokoh sarjana
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad pun sebut nama Sungai Besar yang dalam novel disebut
Kali Besar dan diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh Anwar Ridhwan.) Sungai Besar adalah tempat Anwar Ridhwan
dilahirkan dan membesar. Apakah yang special tentang Sungai Besar dalam novel
agung ini yang tiba-tiba disebut di akhir novel? Satu iklan buat Anwar Ridhwan
sendiri! Mungkin inilah keistimewaannya,
seperti yang disenaraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, bahawa novel agung
ini bersifat multigenre, oleh itu boleh dimasukkan apa saja seperti omelan
orang tidak siuman ketika berceramah seorang diri di atas tong kosong… Bagi saya Naratif
Ogonshoto adalah sebuah novel autobiografi tentang pengalaman Anwar Ridhwan
di Jepun dan di kampung halamannya. Itulah keagungan isinya.
Pujangga Melayu tidak mempunyai ciri-ciri kerancuan
teori sastera. Pujangga Melayu
mempunyai hanya tiga ciri: berasaskan konsep ilmu yang benar; mengutamakan
wacana, bukan cerita; keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan. Ketiga-tiga
ciri ini tidak terdapat dalam Naratif
Ogonshoto.
Apakah yang
mendorong seorang sarjana handalan seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk
memberi pujian yang begitu tinggi kepada sebuah novel yang penuh kerancuan sama
ada dari segi teknik mahu pun dari segi idea? Novel yang mengarut ini tidak
wajar diberi kedudukan begitu istimewa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Apa
sudah jadi sebenarnya dalam kritikan sastera Melayu?
All in all, naratif “teori kerancuan sastera”
Saleeh Rahamad sama pincangnnya dengan Naratif
Ogonshoto Anwar Ridhwan. Dirgahayu
pandirisme!
Peringatan Penting: Pandangan dan kesimpulan saya
berasaskan Gagasan Persuratan Baru.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 9 Mei 2017.
Nota
Hujung
Makalah Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad ini penting kerana ia membuktikan betapa sia-sianya dua
sumbangan, satu secara akademik; satu lagi dalam penulisan kreatif. Kedua-duanya
tidak mempunyai matlamat dan maksud yang jelas dan betul. Sekadar untuk menulis
sesuatu yang tidak bermanfaat, malah mengusutkan lagi perkara yang sudah
selesai dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Huru-hara dalam sastera Melayu
yang ditimbulkan oleh dua orang tokoh ini mesti dihentikan dan kesilapan mereka
mesti diberitahu. Itulah tujuan saya menulis panjang lebar mengenai masalah
ini. Sekarang anda mempunyai peluang yang luas terbuka untuk menolak hujah-hujah
saya atau memberikan pembelaan akademik kepada dua orang tokoh ini. Silakan.
No comments:
Post a Comment