Sunday, May 7, 2017

PANDIRISME, SASTERA MELAYU, DAN KRITIKAN SASTERA

Pendahuluan

Kedudukan kritikan sastera sekarang sudah berubah dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru. Semakin lama anda menjauhkan diri dari PB, semakin jauh anda ketinggalan, dan ini akan membuat anda menghadapi academic incompetency yang akan membuat anda serba salah kerana tidak tahu perubahan yang sedang berlaku, sedangkan selama ini anda bercakap tentang perubahan paradigma dan lain-lain perubahan yang anda banggakan dalam penulisan kreatif, walaupun tiada apa-apa perubahan dari segi memahami konsep sastera, masih tahap lama yang sudah klise yang secara semberono berkata sastera itu bahasa yang indah dan mestilah menceritakan realiti masyarakat.  Padahal anda sendiri tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan bahasa yang indah, kerana dalam karya yang mencarut dan lucah pun anda masih berkata bahasanya indah! Tentang realiti masyarakat, bunyinya bagus, tetapi kefahaman anda tentang persoalan ini sangat cetek. Ini telah ditunjukkan dengan amat jelas oleh Shahnon Ahmad dalam karya beliau, terutama karya lucah beliau yang terkenal, TIVI, yang amat dangkal sekali membicarakan konon realiti masyarakat akibat menonton TV.  Tetapi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, kedudukan anda sebagai sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tercabar untuk melakukan perubahan paradigma yang anda pernah canangkan itu, dan memahami dengan mendalam maksud sebenar bahasa yang indah, yang mestilah bermakna dalam konteks pemikiran yang diolah dengan teratur dan cermat dalam penulisan kreatif.

Gagasan Persuratan Baru

Gagasan Persuratan Baru tidak saja mencabar anda sejauh mana sebenarnya anda menguasai teori sastera Barat; tetapi juga memberi anda kemudahan baru untuk membaca karya sastera secara berkesan, memahaminya dengan lebih tepat, dan membuat penilaian yang lebih objektif.  Anda mungkin bertanya, bagaimana pula PB boleh membantu anda memahami teori sastera Barat? Inilah satu perkara yang anda tidak pernah terfikir, kerana ketika membaca teori sastera Barat, anda hanya digalakkan menjadi peniru dan pengguna yang cetek teori itu, tetapi tidak pernah mendorong anda berfikir walaupun tokoh-tokoh seperti Derrida,  Bloom, de Man, dan lain-lain menggunakan tajuk buku mereka untuk mencabar keinginan dan kemampuan intelektual anda membacanya. Misalnya: Paul de Man,  Blindness and Insight  (1971); The Resistance to Theory  (1986);  Harold Bloom,  The Anxiety of InfluenceThe Spirit of Revenge;  E.D. Hirsch,  The Hermeneutics of Innocence.  Buku Derrida yang memuat polemiknya dengan Searle diberi tajuk  Limited INC  (1977). Buku ini sangat unik dan istimewa kerana Derrida sendiri tidak memahaminya, apatah lagi orang lain. John Searle yang suka mengusik Derrida dengan kritikan yang sarkastik berkata, “With Derrida, you can hardly misread him, because he is so obscure” (2000). Di Malaysia, satu-satunya tokoh yang boleh memahami Derrida ialah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, yang menggesa sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera membaca Derrida dengan rajin dan serius. Berasaskan kesimpulan tokoh besar inilah saya turut menggesa sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera membaca Derrida. Nampaknya mereka tidak berminat, mungkin kerana bahasa Inggeris mereka agak lemah; mungkin juga mereka bosan dengan retorik belon naik ke udara Si Derrida  dan pecah ditiup angin.  Walau apa pun pendapat anda, saya tetap mengatakan hanya Derrida yang dapat memahami Naratif Ogonshoto sekiranya beliau membacanya, oleh itu saya sandarkan Derrida kepada novel agung sepanjang zaman ini untuk memberi keyakinan kepada pembaca bahawa inilah novel yang sama kusutnya dengan Derrida, oleh itu amat munasabah jika novel ini dibaca dengan menggunakan kaedah dekonstruksi.  Agak aneh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menjadi champion dalam mempertahankan Naratif Ogonshoto, tidak menggunakan kaedah Derrida, tetapi menggunakan falsafah penglipur lara Melayu untuk menginternasionalkan novel besar ini.

Apabila kita serius ingin memberi penilaian yang objektif kepada karya besar sepanjang zaman ini, saya dapati hanya Gagasan Persuratan Baru yang dapat melakukannya dengan success.  Tetapi masalahnya ialah Naratif Ogonshoto tidak muncul sebagai novel agung apabila dinilai dari perspektif PB; malah sebaliknya. Adakah PB juga gagal membaca Naratif Ogonshoto?  Sekiranya soalan ini ditanyakan kepada Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dia akan menjawab itulah yang terjadi. Beliau mungkin berkata, PB menjadi lembik bila berdepan dengan karya besar sepanjang zaman ini. Is it so? Nampaknya kedua-dua karya ini menjadi masalah kepada sastera Melayu. Nampaknya hanya Derrida yang dapat menyelesaikan masalah ini, dan inilah yang dibuatnya. Tentu anda masih ingat, mengikut Derrida novel persuratan Pujangga Melayu adalah nonsense, bukan novel dan bukan karya falsafah; karya nonsense saja!  Saya fikir beliau betul, kerana penilaian beliau, seperti juga penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar. Ilmu yang benar itu, kata Derrida, adalah nonsense. Saya tidak pasti apa pula pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Saya fikir beliau sendiri pun tidak dapat menjawabnya, kerana sesuatu kekangan yang tidak dapat dielakkan. Kalau anda seorang pembaca yang cerdik, anda faham maksud saya.

Bila kita lihat semua pandangan ini, kita mula faham mengapa Gagasan Persuratan Baru ditolak oleh para sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan.

Maslahnya ialah mereka memerlukan PB untuk maju dan mampu menghasilkan karya persuratan yang memberi keutamaan kepada pemikiran dan wacana, bukan sekadar cerita seperti karya sastera. Inilah masalah pandirisme yang mencengkam sastera Melayu.

Mengapa Pandirisme Penting
Pandirisme adalah anak kandung PB, untuk membantu anda semua memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu.  Buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia bukanlah sebuah karya sehebat Naratif Ogonshoto,  oleh itu para pengikut Naratif Ogonshoto tidak akan membaca huraian tentang pandirisme ini. Tetapi ini tidak bermakna kita tidak boleh bertanya, Adakah Naratif Ogonshoto menjadi bukti betapa pentingnya konsep pandirisme itu difahami dalam sastera Melayu?  Pertanyaan ini amat ditakuti oleh para sarjana, pengkritik, dan sasterawan.   Cara termudah untuk mengelak daripada menjawab pertanyaan ini ialah dengan tidak memberi laluan kepada pertanyaan seumpama ini. Sikap ini sendiri hanya boleh muncul dalam konteks pandirisme, oleh itu tiada sesiapa pun boleh mengelak daripada membincangkan aspek pandirisme ini dalam sastera Melayu.  Pandirisme memberi perhatian penting, dan utama, kepada dua aspek perkembangan sastera Melayu. Pertama, pandirisme berminat untuk mengetahui dan memahami mengapa sastera Melayu anti-ilmu. Kedua, pandirisme juga berminat hendak memahami mengapa sastera Melayu dibangunkan sepenuhnya berasaskan teori sastera Barat. Untuk menjawab dua persoalan ini, anda memerlukan satu kaedah yang membolehkan anda menggali sebab-sebab yang melahirkan dua perkara ini. Hanya Gagasan Persuratan Baru yang boleh memberi jawapan dan penjelasan yang memuaskan. Bagaimana ini dilakukan? Saya ingin merujuk dua buah karya Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir untuk membantu anda memahami persoalan ini. Pertama sekali buku beliau, berupa Syarahan MASTERA 2008,  Dinamika Pemikiran Sastera Melayu  (DBP 2009; buku ini tidak dijual.)   Kedua, Pendahuluan kepada edisi kedua Gagasan Persuratan Baru.  Dua dokumen ini akan memberi anda penjelasan yang anda perlukan untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu. Seterusnya, Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir mengemukakan bagaimana persoalan ini boleh diselesaikan dalam syarahan perdana beliau, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu (UKM 2007).  Tiga dokumen ini, jika dibaca dengan serius, akan membantu anda memahami mengapa pandirisme penting dalam sastera Melayu.

Bolehkah pandirisme dijadikan ukuran sejauh mana sebuah karya itu mempunyai nilai intelektual yang tinggi?  Inilah yang saya lakukan ketika membaca Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan lain-lain karya Anwar Ridhwan.  Hasilnya telah saya jelaskan dalam entri bertajuk, Keunggulan Yang Cacat (entri bertarikh 28/10/2014).

Pentingnya pandirisme ini menjadi semakin jelas dengan terbitnya buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014). Saya telah menulis satu siri entri mengupas buku ini. Lihat entri 14/1/2015 dan 19/1/2015 tentang  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014;  tentang pandirisme dalam entri 21/2/2015; ulasan buku ITBM, rujuk entri bertarikh 3/10/2015, 5/10/2015 dan 21/10/2015.

Pujangga Melayu Sebagai Sebuah Manifesto Persuratan

Ada beberapa sambutan yang menarik tentang Pujangga Melayu. Derrida, yang dilantik menjadi “Sheikh Kritikan Sastera” menyatakan dengan tegas, berasaskan interpretasi terhadap pandangannya tentang kritikan sastera, baginya Pujangga Melayu adalah sebuah karya nonsense. Bukan novel, jauh sekali sebuah karya falsafah, tidak ada nilai falsafah di dalamnya. Bukan sebuah hasil kreatif, bukan satu mitos baru yang aggressive menentang klise dalam sastera moden. Walaupun beliau tidak membacanya, tetapi penilaian beliau tepat, kata para sarjana (ciritan), para sasterawan (picisan), dan pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba). Semua mereka, seperti Derrida, tidak pernah membaca Pujangga Melayu, tetapi menurut mereka penilaian yang mereka lakukan adalah tepat dan sangat objektif. Apakah pendirian anda pula?  Mungkin anda termasuk dalam kalangan yang bagi saya merupakan satu berita baik dan memberangsangkan. Dengan terbitnya edisi baru Pujangga Melayu yang diuruskan oleh Klasika Media, maka minat pembaca semakin bertambah; sehingga ada di antara pembaca tertarik melihat kulit novel persuratan ini dan gemuknya halaman novel yang melebihi 750 halaman. Para pembeli karya ini sanggup berbelanja sedikit dan sanggup pula membacanya walaupun tebal. Dari segi itu, mereka ternyata lebih baik dan lebih jujur daripada para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera yang semakin meluat melihat edisi baru yang cantik ini. Itulah Pujangga Melayu, yang kini mulai dikenali oleh pembaca golongan muda yang bukan berminat dalam sastera tetapi berminat dalam ilmu.

Kritikan Sastera Melayu Melumpuhkan Perkembangan Intelektual

Tidak saja teknik Barat menjadi pilihan para sasterawan, yang ditiru mereka dengan bangga, malah kritikan sastera juga menjadi jurucakap pendekatan teori Barat,  apabila para pengkritik sastera melambakkan segala macam “teori” sastera yang mereka gunakan untuk memperaga kononnya mereka tahu teori Barat, tetapi tidak kenal secara mendalam.  Apa bila anda “kenal” dari dekat teori Barat, anda pasti akan bertanya: Apakah yang ingin dicapai oleh teori ini? Contoh paling mudah, dan popular, yang sering disebut dalam blog ini, ialah dekonstruksi.  Apakah yang ingin dicapai oleh teori Derrida ini?  Sebenarnya tidak ada sesiapa pun yang tahu dengan pasti, oleh itu setiap sarjana atau pengkritik sastera akan memberikan pendapat mereka yang saling bertentangan, kononnya itulah sifat dekonstruksi sendiri.  Tetapi ada tiga perkara yang jelas yang timbul dari penggunaan dekonstruksi ini. Pertama, semua teks boleh dilapah untuk dicari aporianya. Kedua, setiap teks tidak mempunyai makna yang stable, oleh itu tidak dapat ditafsirkan dengan tepat. Ketiga, setiap teks adalah penjelmaan daripada teks lain, oleh itu tidak ada yang asli dalam pembinaan teks baru, semuanya hasil jiplak yang kini diberi nama baru intertekstualiti.  Kalau begitu, apakah yang diberikan oleh dekonstruksi kepada kita? Saya tidak mahu jawab pertanyaan ini. Anda sendirilah yang perlu menjawabnya, mengikut kehendak dan kemampuan anda sendiri. Apakah yang anda dapat dari dekonstruksi?  Berapa ramai di antara pembaca blog ini yang pernah membaca Imam Ghazali tidak menjadi masalah; yang penting setiap yang sudah membaca Imam Ghazali pastilah sudah tahu bahawa tujuan dan matlamat ilmu ialah mendapatkan keyakinan, yang dalam bahasa yang mudah tetapi sukar difahami ialah menghayati tauhid, ertinya menjadi orang beriman dengan segala implikasinya seperti yang anda sudah tahu. Salah satunya ialah ilmu itu sumbernya daripada Tuhan, melalui al-Quran. Sama ada anda beriman atau tidak itulah hakikatnya. Bagi orang Islam, persoalan ini tidak ada masalah; tetapi di situlah masalahnya yang paling rumit  untuk difahami oleh orang Islam sendiri; dan inilah yang membuat mereka menolak al-Quran sebagai sumber ilmu. Bukti penolakan itu amat jelas boleh kita lihat dalam “keyakinan” para sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera. Kebanyakan mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar, oleh itu mereka tidak sedar bahawa inilah punca mereka menjadi terhuyung hayang dalam dunia akademik, kerana tidak ada keyakinan tentang maksud dan matlamat ilmu itu untuk mendapatkan keyakinan, seperti yang dihuraikan dengan panjang lebar oleh Imam Ghazali. Anda bangga sebagai seorang sasterawan jika karya anda sukar difahami atau tidak dapat difahami dengan jelas, kerana menurut anda itulah bukti karya itu mempunyai “berlapis-lapis makna” yang mesti dicari. Tetapi dalam Islam tidak begitu, kerana yang “berlapis-lapis” itu namanya kejahilan, bukan ilmu. Ini amat jelas dalam konsep ‘iwajan yang sudah banyak kali disebut dalam blog ini, yang memang sudah dapat difahami jika anda bukan dari golongan yang “berlapis-lapis kejahilannya” kerana menolak konsep ilmu yang benar yang boleh membawa anda kepada keyakinan, the truth. Dekonstruksi menegaskan setiap teks mempunyai teks yang lain, berangkai-rangkai tiada kesudahannya, oleh itu setiap teks berserabut dengan unsur aporia, pertentangan makna yang menjadi ciri setiap teks. Bagi al-Quran inilah pembohongan yang paling besar, kerana al-Quran berkata, al-Quran itu diturunkan, diwahyu, dalam bahasa Arab yang boleh difahami dengan jelas. (16: 103, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab yang jelas.)

Tajuk bahagian ini yang berjudul, “Kritikan sastera Melayu melumpuhkan perkembangan intelektual”, bertujuan memberi peringatan kepada para sarjana, pengkritik dan sasterawan untuk tidak terpesona dengan ungkapan  yang menjadi kebanggaan para pengkritik, juga sarjana sastera, ialah mencari “makna yang berlapis-lapis”, bukan kebenaran; oleh itu mereka menerima aporia sebagai sesuatu yang boleh membawa makna yang berlapis-lapis itu.  Tanpa mereka sedari, mereka terjebak dalam kegiatan ‘iwajan yang ditolak oleh al-Quran.  Semua ini tidak menjadi masalah jika konsep ilmu yang benar itu difahami dan dijadikan pegangan.

Kesimpulan

Kelesuan berfikir yang kita hadapi sekarang dalam bidang kreatif dan akademik bukanlah sesuatu yang diada-adakan, tetapi suatu kenyataan yang semakin berleluasa jika kita meneliti bagaimana karya kreatif dan akademik dinilai untuk diberi hadiah atau anugerah.  Saya tidak perlu mengulangi contoh-contoh yang telah saya sebut dan bincang di dalam blog ini; tetapi sekadar peringatan bagaimana korupnya penilaian kita, yang dilakukan oleh para pemilih atau penilai, saya akan sebut kembali beberapa contoh yang begitu ketara, dan biadab, sehingga perlu ditegur dan dikritik.  Tidak, sebenarnya tidak perlu disebut, kerana dihuraikan dengan amat jelas dalam blog ini dalam beberapa entri yang boleh anda cari sendiri jika anda berminat; jika anda tidak berminat, anda boleh saja meneruskan kekeliruan anda, atau apa yang diistilahkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai “kerancuan bentuk dan makna”. Kita beruntung kerana mempunyai Kamus Dewan yang menjelaskan dengan cukup mudah makna dan maksud kerancuan itu.

Jika kita terima istilah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini, maka sastera Melayu amat berjaya kerana memang kaya dengan kerancuan bentuk dan makna, terutama sekali yang diperlihatkan oleh Naratif Ogonshoto, novel teragung sepanjang zaman yang penuh dengan kerancuan itu.  Jika anda terima istilah penting yang diperkenalkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini, anda tidak perlu gusar dan tidak perlu mempertahankan karya kreatif Melayu yang memang kaya dengan kerancuan itu.  Malah anda seharusnya berbangga kerana kini anda mempunyai ukuran yang tepat untuk menolak Pujangga Melayu sebagai karya persuratan, dengan sekali gus menolak Gagasan Persuratan Baru. Itulah kemenangan yang besar bagi pandirisme dalam sastera Melayu. Dirgahayu pandirisme!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 7/5/2017.





No comments:

Post a Comment