Analisis
tentang “teori kerancuan sastera”
oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam
entri lepas membuktikan betapa rendahnya kualiti pemikiran dan kualiti akademik
sarjana dan pengkritik sastera kita. Tidak sia-sia jika saya sering menyebut
mereka sebagai sarjana ciritan, pengkritik yang cetek meraba-raba. Gaya yang begitu bombastik dan angkuh dalam
melontarkan pujian yang tidak sepatutnya, yang bertentangan dengan kualiti
sebenar karya yang dianalisis, menyerlahkan dengan jelas betapa rendahnya
kualiti pemikiran para sarjana ciritan ini. Yang amat menghairankan, bagaimana
sebuah novel seperti Naratif Ogonshoto
yang picisan itu mendapat pujian begitu tinggi. Novel itu dikatakan sebuah
novel intelektual dan berciri Islam, tetapi wataknya tidak bernama dan kelakuan
mereka bukan sebagai orang Islam, malah anak gadis yang memotong zakar pemuda
yang merogolnya membakar mayat ayahnya untuk disimpan. Sejak bila orang Islam
membakar mayat? Kita juga diberitahu novel ini berciri Melayu-Islam, tetapi
mengapa memperihalkan kehidupan orang beragama Hindu atau tidak ada agama? Ungkapan yang saya guna bahawa karya ini
mengarut dalam kepura-puraan kononnya menonjolkan kualiti intelektual yang
tinggi tepat mencirikan keseluruhan
novel ini, yang juga diakui, mungkin tanpa sedar, oleh Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad sendiri dalam makalahnya, akan kualiti sebenar yang penuh dengan kerancuan, seperti yang diberi
maknanya dalam tiga buah kamus yang saya
rujuk. Semua yang karut-marut tidak
dapat dikesan dan dilihat jika anda masih menggunakan teori sastera Barat;
tetapi sekiranya anda menggunakan Gagasan Persuratan Baru, anda boleh
melihat dengan jelas ciri sebenar novel picisan ini.
Konsep
sastera yang terpakai sekarang hanya dapat diselamatkan dan diteruskan
sekiranya Gagasan Persuratan Baru ditentang habis-habisan. Oleh itu, amatlah
munasabah dan cukup wajar sekiranya para sarjana (ciritan), pengkritik sastera
(yang cetek meraba-raba), dan para sasterawan (yang picisan) bangkit dengan
gagah, menggunakan segenap zarah semangat ‘iwajan
yang ada pada mereka untuk memastikan sastera Melayu tidak berubah seperti yang
selalu diminta oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang
menegaskan betapa pentingnya eksperimen, kelainan, perubahan, dan idea baru
diperkenalkan. Semua yang diminta oleh Panel itu bermaksud para sasterawan
hendaklah terus menggunakan segala teknik dan idea dalam sastera Barat untuk
dibawa masuk dalam sastera Melayu. Menurut mereka, hanya dengan berbuat
demikian saja sastera Melayu akan maju dan dapat diterima oleh seluruh manusia
sejagat.
Pandangan
ini tidak saja cetek, tetapi juga tidak bermaruah. Dengan terus bergantung pada
Barat, sastera Melayu hanya akan terus berada dalam kepincangan pemikiran dan
terus menjadi hamba kepada kepalsuan yang menjadi teras teori sastera Barat. Saya telah menghuraikan panjang lebar bagaimana
kekeliruan ini melahirkan dua jenis pembohongan, satu bersifat akademik dan satu
lagi pembohongan kreatif dalam “teori
kerancuan sastera” oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan kepalsuan kreatif yang
hanyut dalam dunia khayal yang penuh sampah ‘iwajan
dalam Naratif Ogonshoto Anwar
Ridhwan, seorang sasterawan negara.
Kedua-duanya dibelit kegilaan teori sastera Barat yang hanya berupaya
menampilkan segala aspek ‘iwajan dalam kehidupan manusia yang menolak ilmu
yang benar. Kedua-dua tokoh besar ini
menolak konsep ilmu yang benar sebagai tidak relevan dalam seni kreatif dan
dalam bidang akademik yang memerlukan kebebasan yang tidak dibataskan oleh
konsep ilmu yang benar itu. Dengan pendirian ini, mereka menjadikan diri mereka
sebagai sumber ilmu dan sumber nilai, sama seperti yang dianuti oleh para
sarjana dan sasterawan Barat. Itulah yang universal, menurut pandangan
mereka. Pendirian ini diterima dengan
baik oleh semua persatuan penulis dan oleh para sasterawan sendiri, sementara
dari golongan ahli akademik kita dapati yang menyebelahi Gagasan Persuratan
Baru menolak andaian golongan pertama itu.
Ketakutan
golongan ini kepada Gagasan Persuratan
Baru memaksa mereka menolak sumber ilmu dari al-Quran, hanya kerana tidak mahu
mengaku kalah dan tidak mahu menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai sah
dijadikan panduan dalam menulis karya kreatif dan bidang akademik. Walaupun pendirian ini sebenarnya tidak
siuman dan merosakkan bukan saja diri mereka yang menentang kebenaran, tetapi
juga masyarakat yang mereka pengaruhi dan para pelajar yang mereka kuliahkan dalam bidang sastera. Namun pendirian
ini memberi mereka kepuasan intelektual kerana bagi mereka Gagasan Persuratan
Baru dapat dikalahkan dalam pertarungan ilmiah dengan menggunakan kedudukan
mereka secara rasmi sebagai pensyarah atau penggiat sastera. Pendirian ini sebenarnya sesuai dengan
pendirian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan sasterawan negara Anwar Ridhwan seperti yang dibincangkan secara khusus dalam
konteks “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Salleh Rahamad ketika
menilai karya Anwar Ridhwan Naratif
Ogonshoto sebagai karya terulung dalam sastera Melayu sepanjang zaman. Kedudukan Gagasan Persuratan Baru mesti
dipinggirkan untuk memastikan kedudukan sasterawan negara dan “teori kerancuan
sastera” tidak tergugat.
Tetapi
malangnya, ketakutan mereka itulah yang memaksa mereka menendang satu sama lain
untuk terjun ke gaung pandirisme. Mereka bernasib baik kerana di dalam gaung pandirisme
itulah mereka mendapat kedudukan yang
terjamin dan dengan itu tidak memerlukan mereka menghadapi Gagasan Persuratan
Baru secara kontan. Inilah status quo yang ada sekarang. Mereka puas hati berada dalam gaung
pandirisme itu kerana masih dapat mengekalkan hegemoni mereka sebagai kumpulan
Mutual Admiration Club yang kini berkuasa penuh dalam daerah pandirisme itu. Sebagai golongan majoriti, kedudukan mereka
yang weird ini tidak menggusarkan
mereka, kerana semua faedah yang mereka perjuangkan selama ini masih kekal
dalam tangan mereka. Inilah yang mereka
buktikan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang mereka jadikan
resolusi rasmi untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia. (Untuk rujukan
tentang resolusi itu, rujuk entri bertarikh 18 Ogos 2016.)
Sampai
berapa lama kedudukan yang weird ini
dapat diteruskan oleh kumpulan Mutual Admiration Club ini? Bagi anggota Mutual Admiration Club, soalan
ini tidak perlu ditanyakan, oleh itu tidak perlu dijawab. Mereka percaya tidak
ada perubahan yang akan berlaku, kerana kedudukan mereka yang begitu kuat akan
bertambah kuat dengan adanya sokongan padu dari kerajaan yang juga menolak
Gagasan Persuratan Baru daripada memasuki institusi kerajaan, terutamanya universiti dan sekolah. Barangkali kumpulan
Mutual Admiration Club dan para penyokong mereka lupa bahawa dengan penentangan
sebegitu, Gagasan Persuratan Baru akan bertambah kuat dari segi komitmen para
penyokong dan pendukungnya untuk mempertahan kelangsungan konsep ilmu yang
benar dalam wacana intelektual di Malaysia.
Ada dua
perkara yang wajar diketahui mengenai Gagasan Persuratan Baru. Pertama, PB
adalah suatu sistem yang agak lengkap, yang boleh dipelajari dan difahami
dengan mudah oleh sesiapa sekali pun.
Oleh itu tidak ada halangan untuk sesiapa sekali pun memahaminya dan
selepas itu menerima atau menolaknya. Kumpulan Mutual Admiration Club kerana
sifat anti-ilmu yang menguasai anggota mereka, terlupa bahawa mereka akan
bertukar menjadi anti-Islam hanya kerana kebencian mereka kepada konsep ilmu
yang benar itu, yang mereka anggap menjadi ancaman kepada kumpulan mereka.
Dalam hal ini mereka boleh membuat pilihan untuk terus memusuhi konsep ilmu
yang benar atau memahaminya sebagai satu kumpulan terpelajar yang mempunyai
maruah akademik tersendiri. Kedua, kesan dari keengganan menerima konsep ilmu
yang benar itu ialah terlucutnya peluang
para pelajar, baik di sekolah mahupun di universiti, untuk mendapat manfaat
daripada pelaksanaan Gagasan Persuratan Baru yang menjadikan konsep ilmu yang
benar sebagai terasnya. Tanpa disedari
atau tidak, terdapat pengkhianatan akademik yang tidak sepatutnya berlaku di
institusi pelajaran, lebih-lebih lagi sudah pula dijadikan polisi untuk
mengajar nilai-nilai murni kepada pelajar. Tentulah tidak mungkin suatu
kumpulan yang biadab mengajarkan prinsip-prinsip adab, dalam konteks
nilai-nilai murni tadi, sekiranya mereka tidak menerima konsep ilmu yang benar. Dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa, terdapat satu makalah yang ditulis
oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan yang membicarakan aspek ini dari perspektif
negatifnya. Beliau tidak menerima konsep
ilmu yang benar kerana ini baginya menghalang para pelajar dari mempelajari
karya yang kontroversi seperti sajak “Pulang Si Tanggang” yang dalam versi
Muhammad Haji Salleh tokoh yang dipanggil Si Tanggang itu adalah seorang
peniaga yang berjaya. Jadi terdapat sesuatu yang positif dalam penderhakaan Si
Tanggang. Sekiranya profesor ini
menggunakan pendekatan PB, penjelasannya tentulah berlainan. Saya biarkan saja
untuk anda fikirkan sendiri apakah yang berlainan itu, dan adakah yang
berlainan itu memberi faedah. Yang
penting, kita harus menghindarkan diri dari berlakunya “pengkhianatan akademik”
dalam membela Si Tanggang.
Saya kembali
kepada tajuk entri ini. Sekali imbas agak aneh bagaimana para sarjana,
pengkritik sastera dan sasterawan dinasihatkan untuk menolak Gagasan Persuratan
Baru, seolah-olah mereka ini tidak layak diberi amanah untuk melaksanakan
konsep ilmu yang benar dalam kerjaya mereka. Maksud tajuk entri ini cukup
mudah. Sesiapa juga boleh menerima atau menolak konsep ilmu yang benar, dan
sekali gus menolak Gagasan Persuratan Baru, dengan terlebih dahulu memahaminya
dengan betul. Tajuk ini hanya ingin
memberi penekanan kepada aspek adab dalam mencari ilmu dan menyebarkannya
kepada kumpulan masing-masing (contoh: pensyarah universiti kepada para
pelajarnya.) Seseorang tidak boleh
menerima atau menolak sesuatu yang tidak diketahuinya atau tidak
difahaminya. Prinsip ini sangat mudah,
oleh itu selalu dilupakan dan diremehkan. Sebenarnya inilah punca utama
berlakunya kehilangan adab dalam masyarakat, yang kemudiannya diikuti dengan
meluasnya kekeliruan dalam memahami konsep ilmu, yang akan berakhir dengan
kemunculan para pemimpin palsu dalam segenap bidang kehidupan manusia.
Kesimpulannya semudah itu, akibatnya seberat itu pula.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 12/5/2017.
No comments:
Post a Comment