Tuesday, May 16, 2017

HEGEMONI UNTUK MEMPERKUKUH PANDIRISME DAN MENEGUHKAN KEDUDUKAN MUTUAL ADMIRATION CLUB

Dunia sastera Melayu sekarang menghadapi malapetaka besar apabila ITBM, menerusi bukunya Sastera Teras Negara Bangsa,  sambil mempromosi konsep hegemoni yang diperkenalkan oleh tokoh akademik terkenal, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan sokongan padu daripada para sasterawan negara dan kumpulan Mutual Admiration Club, telah menetapkan hanya satu pandangan saja yang dibenarkan, yakni yang menyokong dan meneruskan pandirisme dalam sastera Melayu.  Dengan lahirnya “teori kerancuan sastera” yang dicetuskan oleh Dr. Mohamad Salleh Rahamad dalam tulisannya yang memuji keistimewaan Naratif Ogonshoto, maka sastera Melayu secara sah telah menolak dengan mutlak konsep ilmu yang benar, yang mereka anggap tidak relevan dalam penulisan kreatif dan tidak juga relevan dalam teori kritikan.  Sama ada disedari atau tidak, gerakan hegemoni ini sebenarnya diilhamkan oleh konsep ‘iwajan  yang banyak kali disebut dalam blog ini, bersama penjelasan daripada Tafsir al-Misbah.  Bukti terbaik kesimpulan ini ialah kehadiran novel Naratif Ogonshoto  yang mengarut itu, yang diisytiharkan sebagai novel terbaik Malaysia sepanjang zaman, dan telah diberi penilaiannya oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memperkenalkan “teori kerancuan sastera” cetusannya.

Sikap anti-ilmu yang dijadikan pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera akan dikutuk oleh generasi akan datang sebagai pengkhianat budaya ilmu di Malaysia, yang mengutamakan kepentingan puak (yakni anggota Mutual Admiration Club) lebih daripada kepentingan negara.  Nasib mereka samalah dengan Asas 50, yang semakin ketara hanya merugikan sastera Melayu kerana kumpulan ini dan pengikutnya yang ada sekarang, terutama yang bergelar sasterawan negara, adalah kumpulan yang cetek meraba-raba yang keliru tentang ilmu oleh itu mereka bersikap anti-ilmu. Hakikat ini semakin  disedari, walaupun usaha gigih masih diteruskan oleh tokoh-tokoh seperti Dr. Mohamad Salleh Rahamad, Anwar Ridhwan, para sarjana yang menjadi pengikut mereka dan sebagainya. 

Siapakah yang termasuk dalam kumpulan “dan sebagainya” itu? Soalan ini sudah saya  jawab dalam beberapa entri khusus ketika membincangkan tentang sasterawan negara. Ada dalam senarai entri yang saya tunjukkan dulu.  Sekiranya puak Asas 50 di zamannya terpikat kepada idea Marx, untuk melaungkan slogan “sastera untuk masyarakat”, maka dalam tahun 2014 dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, slogan itu menjadi lebih besar dengan laungan “sastera teras negara bangsa”, yang menjadi judul buku ITBM.  Jiwa Marx dibungkus dalam istilah hegemoni oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya, “Sastera Teras Peradaban Negara Bangsa,” dengan penegasan “sastera sebagai tenaga hegemoni”. (hal. 41)

Dalam konteks ini saya ingin petik pendapat Prof. Muhammad Bukhari Lubis dalam syarahan perdana beliau, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir  (2 Mei 2017), yang menegaskan, “Bagi sasterawan yang sudah mantap fahamannya tentang Islam, atau merasa dirinya sudah memahami Islam lebih dalam, sedangkan karyanya berbeza dengan gambaran Islam itu sendiri, bermakna dia lemah kerana tiada kesesuaian atau keselarasan antara dia dengan wujud Islam. Perihal begini usah dianggap remeh kerana dia tidak jujur dengan pengakuannya. Hal ini juga bererti hasil karya sasterawan begini tidak bagus penulisannya serta tidak tepat penggambarannya.” (hal 28).  Di mana duduknya Naratif Ogonshoto jika kita menggunakan ukuran yang dikemukakan oleh Prof. Muhammad Bukhari Lubis ini? 

Pendapat Prof. Bukhari menjadi lebih jelas apabila digandingkan dengan pendapat Salih Adam Baylu yang dikutip oleh Prof. Bukhari dalam syarahan perdananya:  “Penulis juga mestilah jujur dan sederhana jiwanya, sehingga dapat menghasilkan gambaran yang jujur … Kejujuran di sini difahami sesuatu yang sesuai dengan fakta, bermaksud kesesuaian antara imaginasi karyawan dengan karya cipta yang disumbangkannya. … Ringkasnya, seseorang sasterawan harus jujur tentang perasaan dirinya, jujur dalam mengungkapkannya dan membersihkan kalbunya dari sifat kepura-puraan.”  (hal. 27).  Kemudian beliau salin pula pendapat seorang lagi sarjana Mesir, Adnan M. Wazzan:  “Kesenian Islami itu juga adalah seni yang mewujudkan keadaan yang memungkinkan atau membuka jalan ke arah paduan sempurna  antara keindahan dengan kebenaran.” (hal. 35). Dalam kutipan ini, termasuk juga seni persuratan atau seni sastera.  Jadi tidak ada tempat untuk kerancuan yang menjadi dasar “teori kerancuan sastera” bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu. Adakah segala ciri yang disebut dalam kutipan ini disempurnakan oleh Anwar Ridhwan dalam karyanya? Inilah kata-kata beliau ketika menerima gelaran sasterawan negara:  “Sastera itu adab persuratan/pelbagai makna serta tafsiran/namun bakat serta indah penulisan/tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran”. Ada dua bait lagi yang tidak saya masukkan,  antaranya yang menarik, “Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya/Bantu membimbing umat manusia.”  Adakah ini terdapat dalam karya cereka Anwar Ridhwan?  Terutama sekali, dalam karya besar beliau Naratif Ogonshoto.  Tidak ada. Yang ada anak gadis membakar mayat ayahnya dan menyimpan abunya dalam botol, dan anak gadis itulah juga yang memotong zakar pemuda yang tak sempat merogolnya untuk dilempar kepada burung hering. Pemuda itu mati dengan zakarnya tegang, menunggu kedatangan si gadis untuk memuaskan nafsunya. Begitu sadis anak dara ini! Dalam novel besar ini tidak ada nama Islam, yang ditekankan ialah kejahatan manusia tidak beragama, tetapi sasterawan negara ini berkata karyanya ini mengenai Melayu-Islam dan mencerminkan jiwa Islam. Ke mana perginya semua dakwaan itu? Baca kembali kutipan yang saya salin daripada syarahan perdana Prof. Bukhhari Lubis, anda akan dapat jawapannya yang tepat.  Mengapa Anwar Ridhwan menulis novel ini, apa yang ingin disampaikannya?  Hanya dua sebab. Pertama, kegemarannya kepada sensasi begitu meluap-luap hingga terciptalah novel yang nihilistik, seperti yang sudah dijelaskan dalam entri yang lalu. Kedua, sebagai seorang yang pemalas dan lemah kemampuan berfikirnya (memang sesuai dengan maksud “teori kerancuan sastera”), beliau recycle tulisan lamanya, dijadikan novel (kononnya), satu kerja mudah. Dapat kepada sarjana ciritan, maka mereka pun berebut-rebut memuji kerja sia-sia ini. Tak sebuah pun karya Anwar Ridhwan mempunyai kebijaksanaan dan pengajaran moral  yang sesuai dengan Islam, walaupun beliau mendakwa semua karyanya memancarkan nilai-nilai Islam. Apakah nilai Islam yang terdapat dalam  Naratif Ogonshoto? Penyelewengan tentang Islam memang ada, tentang kisah banjir besar Nabi Nuh ‘a.s. yang dipinda maknanya dijadikan sebuah dongeng dalam Naratif Ogonshoto. Penyelewengan ini diterima oleh semua sarjana yang memuji novel agung ini.

Maka apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memuji novel ini melebihi langit ketujuh, dan menelurkan teorinya sendiri, “Teori Kerancuan Sastera” yang menggambarkan keagungan novel ini, yang disaring daripada novel agung ini, nyatalah beliau telah menyatakan sesuatu yang tidak benar, yang tiada pun di dalam novel itu, sekiranya kita menerima ukuran yang disenaraikan oleh Prof. Bukhari Lubis tadi. Kalau begitu, di mana agaknya terletak keagungan novel terbaik sepanjang zaman ini yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Kesimpulan saya terdahulu, bahawa semua ini mengarut, adalah tepat. Anda ada hujah untuk membuktikan kesimpulan saya silap?

Demikianlah yang terjadi dalam sastera Melayu dalam karya para sasterawan negara. Jika novel seagung Naratif Ogonshoto itu pun sebenarnya sebuah novel picisan, maka apatah lagi karya yang lain yang ditulis oleh para sasterawan negara ini. Oleh itu, bantahan saya sejak 1981 adalah tepat, dengan itu kita tidak perlukan sasterawan negara. Apatah lagi jika kemunculan mereka hanya untuk meneruskan idea Marx yang menjadi slogan Asas 50, “sastera untuk masyarakat”. Pada pandangan Prof. Bukhari Lubis, slogan “seni untuk masyarakat” dan “seni untuk seni” bertentangan dengan akidah Islam, oleh itu mesti ditolak. Adakah ini termasuk juga slogan “sastera teras negara bangsa” yang menjadi slogan ITBM? Berasaskan slogan warisan Asas 50 ini, tokoh akademik Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad memutuskan sastera adalah “tenaga hegemoni” yang menjadi dasar pembentukan tamadun Melayu moden. Tidakkah ini pun satu ekspresi mengarut juga?  Sekiranya karya para sasterawan negara itu sendiri adalah picisan, maka bagaimana kita boleh gunakan karya mereka sebagai dasar pembangunan tamadun kita? Apa jenis tamadun yang kita bina. Tamadun picisan? Kita perlu jelas dalam perkara ini, oleh itu kita tidak harus menonjolkan cadangan mengarut yang boleh menyesatkan orang yang tidak tahu tentang perkara ini, seperti yang dilakukan oleh ITBM dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang menjadi judul kertas kerja yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.  Di sinilah perlunya dialog, tetapi ini telah diharamkan dalam semangat hegemoni Marxisme ajaran Gramsci yang dijadikan asas pemikiran hegemoni Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Semua ini adalah akibat hegemoni pandirisme yang menjadi pegangan para sarjana (ciritan), para pengkritik sastera (yang cetek meraba-raba) dan para sasterawan (yang picisan).

Tidak adakah jalan keluar dari keadaan yang penuh kerancuan ini?  Tidak perlu jalan keluar, tegas mereka, kerana kerancuan itu sendiri sudah dijadikan asas “teori kerancuan sastera”, oleh itu kerancuan adalah sifat semula jadi karya sastera yang tidak dapat dielakkan. Semua ini tertayang dalam karya Anwar Ridhwan dan dalam karya lain oleh para sasterawan negara. Inilah maksud hegemoni yang dilontarkan kepada masyarakat oleh sarjana sastera Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Dalam konteks ini, yang dimaksudkan dengan hegemoni itu ialah hegemoni pandirisme yang kini menguasai kegiatan intelektual, terutama dalam bidang sastera.  Kerana itu, terselamatlah karya para sasterawan negara, sama ada yang picisan, yang mengarut, atau yang memperjuangkan kebengkokan ideologi dalam sastera, yang disebut ‘iwajan dalam al-Quran.  Kebengkokan dan hegemoni, dalam konteks ini, adalah seiring, memperkuat satu sama lain. Jika itulah pilihan anda, jelaslah anda memilih keruntuhan tamadun, bukan membangunkannya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Mei 2017.



No comments:

Post a Comment