Berkali-kali
saya menegaskan bahawa karya para sasterawan negara adalah picisan, dan dengan
serius pula telah memberikan hujah saya mengenai masalah ini. Mengapa persoalan ini penting dalam sastera Melayu? Dua perkara yang anda perlu beri perhatian
dan memahaminya. Pertama, apakah ukuran
yang kita pakai untuk mengatakan sesebuah karya itu begitu dan tidak begini? Kedua, adakah ukuran itu boleh diuji dengan
tepat atau objektif sehingga kita boleh melihatnya dengan jelas apabila
digunakan dalam analisis dan penilaian, maka hasilnya begitu dan tidak begini. Bagaimana dua keadaan ini boleh pula
dipastikan keabsahannya atau kebenarannya atau ketepatannya dalam membuat
analisis dan penilaian. Inilah keadaan
yang telah melahirkan bermacam-macam teori dalam sastera Barat; tetapi asasnya
atau dasarnya hanya berlegar kepada tiga entiti saja: pengarang, karya,
pembaca. Sekiranya anda melebihkan
pengarang, anda mahu tahu apakah niat atau maksud atau dorongan yang membuatnya
menulis sesatu novel dan apakah pendiriannya tentang teknik penulisan. Sekiranya anda menumpukan kepada karya, anda
akan menggunakan ukuran New Criticism.
Sebaliknya, sekiranya anda memberi keutamaan kepada pembaca, anda akan
mengemukakan teori tentang pentafsiran mengenai makna sesuatu teks atau karya
dan kesannya kepada pembaca dan masyarakat. Itu cara mudah untuk memahami tiga
aspek ini. Ada teori yang menegaskan adalah mustahil untuk mengetahui niat atau
maksud penulis. Ada pula yang mengatakan sesebuah karya boleh ditafsirkan dalam
seribu makna (atau: makna yang berlapis-lapis kata sasterawan dan sarjana
sastera). Kata Tun Razak, yang membaca ucapan yang mungkin ditulis oleh A.
Samad Ismail, “sasterawan adalah propagandis zamannya”. Dia meletakkan kepentingan karya kepada
masyarakat, sama ada untuk mendidik masyarakat, atau mengajar masyarakat untuk
berkelakuan buruk. Saya biarkan saja
kesimpulan ini seperti adanya, dengan kepercayaan bahawa pakar sastera, atau
sarjana sastera, boleh memberi contoh (yang memang banyak dalam sastera Melayu)
karya siapa dan mengapa ditulis sebegitu. Supaya anda tidak terlalu jauh
terkeliru, saya berikan satu contoh. Shahnon Ahmad menulis novel lucahnya yang
terkenal, TIVI; sambil menegaskan
kelucahan adalah realiti pun (itu cara
dia bercakap) oleh itu tidaklah lucah. Kelucahan dijadikan umpan untuk menarik
minat pembaca. Yang lucah itulah yang mempunyai unsur sufi! (Lihat Dewan Sastera, Oktober 1997.)
Mengapa
Derrida timbul lagi dalam blog ini?
Jawapannya mudah: Dialah orangnya yang memberi maruah kepada sastera
Melayu, seperti telah saya bincang dalam beberapa entri yang lepas. Dialah yang
mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dan pengkritik sastera,
termasuk sarjana sastera. Ketiga-tiga
golongan ini memerlukan Derrida untuk menjadi pembela mereka. Hanya Derrida sahaja yang berupaya memberi
mereka kedudukan yang tinggi dan mulia. Sekiranya anda tidak setuju dengan
kesimpulan ini, sahlah anda memang buta sastera.
Walaupun
tiada apa-apa yang boleh kita bincang dengan orang yang buta sastera, namun
kehadiran mereka penting untuk meramaikan khalayak sastera. Sekurang-kurangnya
saya boleh tambah pembeli Pujangga Melayu
mungkin sekitar 2% hingga 5%. Angkanya kecil, tetapi yang kecil itu amat
bermakna jika mereka menjadi tidak lagi buta sastera, tetapi bertambah cerdik
dan tahu menikmati karya persuratan.
Sasterawan
dan pengkritik serta sarjana sastera perlukan Derrida. Apa maknanya? Maknanya
sangat besar. Derrida mewakili seluruh faham sastera dan kritikan sastera dari
Barat, yang tidak dapat dilakukan oleh New
Criticism, walaupun pada umumnya Derrida
dikatakan anak haram New Criticism. Pengaruh Derrida ternyata amat besar, menular
hampir dalam semua teori sastera Barat secara langsung mahu pun tidak langsung,
melalui misalnya, antara lain, pengkritik Derrida seperti sekiranya kita menolak teori dan pendekatan
Barat Habermas. Tidak ada bidang
akademik Barat yang tidak ditulari pengaruh pemikiran Derrida, begitu hebat
sekali tokoh ini. Di Malaysia, tokoh besar kita sendiri dalam diri Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh adalah pelopor yang membawa pengaruh Derrida,
jika yang beliau tulis dalam syarahan perdananya belum dipadamkan. Beliau menggesa sasterawan dan sarjana
sastera membaca Derrida dan menggunakan ideanya. Inilah satu-satunya jasa tokoh
besar ini yang tidak boleh diragui, seperti kita meragui beberapa tindakan dan
pandangan beliau yang kadang-kadang sangat pelik, misalnya tentang tidak
perlunya kita pakai pendekatan Barat untuk menilai kita yang menulis dalam
bahasa Melayu dan mempunyai budaya kita sendiri. Tidak ada sastera Melayu dan kritikan sastera
jika kita menolak teori dan pendekatan Barat. Jabatan sastera boleh ditutup.
Lainlah jika sarjana kita tidak cirit untuk menggunakan Gagasan Persuratan
Baru, yang menurut orang tua-tua kita, seperti menunggu kucing bertanduk.
Risikonya amat besar…
Apakah
risiko itu? Pertama sekali, risiko
kedudukan sastera dan para sasterawan negara tidak lagi di atas, di tempat
pertama. Mereka tidak mempunyai pilihan, kecuali meletakkan diri mereka di
bawah karya persuratan, yang akibatnya boleh melucutkan kedudukan sasterawan
negara di tempat teratas. Tempat teratas itu diambil oleh karya persuratan
berasaskan sumbernya konsep ilmu yang benar. Apakah yang akan terjadi jika mereka menolak
kedudukan baru itu? Tidak ada apa-apa yang terjadi, kecuali sejarah intelektual
akan ditulis dalam kerangka persuratan, bukan lagi kerangka sastera. Kecacatan
sejarah ini akan kekal; samalah seperti yang berlaku kepada kumpulan Asas 50
yang menolak agama dan tulisan Jawi, yang kekal dalam sejarah sebagai kumpulan
yang membawa idea Marxisme untuk mengganti kedudukan ilmu dan para ulama serta
cendekiawan yang sejak beratus tahun membina tamadun Melayu berasaskan
nilai-nilai Islam. Walaupun Asas 50
masih popular di kalangan sasterawan dan sarjana, namun dengan munculnya
Gagasan Persuratan Baru, penilaian terhadap Asas 50 dilakukan dengan lebih
objektif berdasarkan analisis daripada pendekatan Gagasan Persuratan Baru yang
memberi penekanan yang jelas kepada peranan ilmu dalam bidang persuratan dan
kesusasteraan. Melalui pendekatan yang dirumuskan dengan jelas dalam Gagasan
Persuratan Baru, kita dengan mudah dan tepat boleh menilai kedudukan sebenar
Asas 50 dalam sastera Melayu moden; dan serentak dengan itu kita juga dapat
menempatkan dengan tepat dan objektif kedudukan dan sumbangan para sasterawan
negara dalam perkembangan intelektual Malaysia. Sila rujuk entri bertarikh
14/4/2017 untuk mendapat penjelasan ringkas tentang Gagasan Persuratan Baru.
Masa untuk
kita berceloteh dalam sastera sudah tamat. Sekarang kita berbicara tentang
input intelektual dalam penulisan kreatif, yang hanya anda boleh dapat melalui
Gagasan Persuratan Baru. Tetapi anda perlu menyiapkan diri dengan membantu diri
anda sendiri untuk memahami konsep ilmu yang benar dan bagaimana boleh digunakan dengan berkesan dalam penulis
kreatif, atau dalam bidang akademik. Untuk itu anda harus membaca dengan kritis
DAN kreatif buku-buku berikut sebagai persediaan yang paling minimum. (Senarainya
sudah diberikan dalam entri lain). Tidak guna anda bercakap besar, memuji
melambung teman-teman anda dalam Mutual Admiration Club, jika yang anda
borakkan itu tidak mempunyai kualiti ilmu, malah akan lebih mengelirukan lagi
diri anda sendiri dan orang lain yang malas membaca dan malas berfikir. Sila
lihat senarai buku-buku yang saya maksudkan. Kesimpulannya, anda harus kembali
kepada ilmu dan faham maksud ilmu yang benar.
Para
penentang Gagasan Persuratan Baru mungkin tidak sedar bahawa mereka berusaha
bermati-matian untuk mengekalkan padirisme dalam penulisan kreatif dan dalam
penulisan akademik tentang sastera. Yang amat menghibakan kita ialah jika
mereka ini benar-benar mendalam pengetahuannya tentang teori Barat dan falsafah
Barat, saya yakin mereka akan berminat untuk mengkritik atau membicarakan
Gagasan Persuratan Baru sebagai seorang yang berwibawa dalam bidang
masing-masing, yakni sama ada dalam bidang kreatif, atau bidang kritikan, juga
dalam bidang akademik yang khusus membicarakan tentang teori sastera. Masa untuk mengkhianati perjuangan
mencerdikkan bangsa Melayu ini sudah berlalu, oleh itu sesiapa saja yang
menjadi penentang harus kembali ke dalam saf untuk memperkayakan masyarakat
dengan konsep ilmu yang benar, supaya mereka tidak lagi mudah ditipu oleh para
aktivis dalam bidang apa pun yang mereka ceburi. Tanpa pengetahuan tentang konsep ilmu dan
Gagasan Persuratan Baru, anda dengan mudah ditipu hidup-hidup untuk menerima
slogan “sastera teras negara bangsa”, yang sebenarnya berupa slogan Asas 50
“seni untuk masyarakat”. Kalau anda
tidak dapat mengesan perulangan kekeliruan dalam peranan sebenar seni menulis
untuk membina tamadun bangsa berasaskan ilmu, maka anda akan tertipu sepanjang hayat untuk
meneruskan kekeliruan tadi dan menjadikannya “asas negara bangsa” seperti yang
dislogankan semula oleh ITBM dan DBP dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
2014. Satu usaha yang sia-sia dan tidak
bermanfaat, yang penuh dengan sifat-sifat ‘iwajan
(crookedness) yang dikutuk oleh al-Quran. Lebih-lebih lagi apabila golongan ini
menjadikan Derrida sebagai seorang “sheikh sastera Melayu” dan tanpa segan lagi
terus berlindung di bawah pengaruh Derrida. Hanya Derrida yang dapat menerima
kekeliruan mereka, yang disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai
“kerancuan” karya seperti Naratif
Ogonshoto yang membuatnya layak diangkat menjadi karya terbaik sepanjang
zaman dalam sastera Melayu. Sekiranya anda terima kesimpulan ini sebagai sesuatu yang siuman, anda boleh
saja meneruskan falsafah “kerancuan” anda untuk membingungkan diri anda sendiri
dan orang lain yang menolak ilmu yang benar. (Lihat entri bertarikh 20/4/2017
mengenai makna kerancuan mengikut Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia.)
Jika kita melihat kerancuan dari perspektif ilmu yang benar, maka tidak
ada keraguan lagi bahawa inilah dia yang dikatakan ‘iwajan (crookedness)
dalam al-Quran. Jika anda masih ragu
(tidak dimaksudkan anda meragui kebenaran al-Quran; hanya ragu kerancuan itu
sama dengan ‘iwajan), maka anda wajib
mendapat kepastian daripada para ulama, bukan daripada ustaz yang banyak
berjenaka dalam ceramah TV mereka.
Kini kita
sampai kepada soalan yang paling penting dan kontroversial. Wajarkah kita meneruskan kerancuan sastera Melayu untuk meneruskan “warisan” anti-ilmu Asas
50 seperti yang diberi slogan baru oleh ITBM dan DBP dalam Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014? Dua organisasi
rasmi kerajaan ini, dengan sokongan kuat daripada PENA di bawah pimpinan Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad, jelas sekali mahu meneruskan kekeliruan dan sikap
anti-ilmu Asas 50, dengan itu
meremehkan konsep ‘iwajan yang
ditegaskan al-Quran supaya dijauhi.
Inilah kesimpulan paling tepat keadaan yang kita hadapi sekarang. Sikap
lembu kenyang yang dijadikan arus perdana dalam kegiatan sastera telah
dibudayakan oleh PENA dan GAPENA dan mungkin juga lain-lain persatuan penulis,
yang sentiasa mengharap dan meminta bantuan kerajaan untuk hidup. Meskipun
sudah ada jalan keluar yang dihulurkan oleh Gagasan Persuratan Baru untuk
memulai perkembangan baru dalam dunia penulisan dan penilaian karya kreatif,
namun di bawah pengaruh hegemoni yang dikuasai para sasterawan, sarjana dan
pengkritik sastera, apa juga jalan keluar dari kemelut kerancuan budaya ini ditolak bulat-bulat sebagai tidak relevan,
kerana merugikan kedudukan mereka dan kumpulan Mutual Admiration Club yang
anti-ilmu dan anti-kemajuan serta anti-perubahan; walaupun mereka sering
bercakap tentang perkara itu. Saya
menaruh harapan tinggi kepada kumpulan
indie yang saya fikir akan memulai satu revolusi pemikiran dan perubahan
dalam persuratan Melayu sekiranya mereka bersedia menolak pandirisme dan
menerima konsep ilmu yang benar dalam kegiatan intelektual yang mereka
ceburi. Saya fikir itulah harapan mereka
dan harapan kita juga. Sekiranya saya
bermimpi sekali pun, itulah mimpi paling indah seorang pejuang intifadah intelektual.
If you can dream, you can make it
a reality. Tak ingat, kalau tak
silap itu kata-kata Walt Disney.
You can
design and create, and build the most wonderful place in the world. But it
takes people to make the dream a reality. Walt Disney
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4/5/2017.
No comments:
Post a Comment