Saturday, May 13, 2017

Ringkasan Kepada Perbincangan Yang Lalu

Saya siarkan kembali entri ini sebagai kesimpulan kepada perbincangan saya dalam beberapa entri yang lepas.


Sunday, August 28, 2016

SIAPAKAH GOLOGAN PINGGIRAN DALAM SASTERA MELAYU?

Dalam syarahan pengukuhan (istilah ini tepat dan perlu kita pakai menggantikan syarahan perdana yang tidak perdana tetapi hanya sejenis penglipur lara akademik) 1972, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menyentuh tentang kehadiran kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam sastera Melayu. Beliau maksudkan para sasterawan dan sarjana sastera. Sepanjang yang saya tahu, belum ada sanggahan secara akademik pernah ditulis; ada tidaknya ialah reaksi Prof. Ismail Hussein dan kawan-kawan membantah pendapat itu, tetapi tidak membuktikannya salah. Telah juga diadakan satu forum mengenainya, tetapi kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas hanya dibantah, tetapi tidak ditolak secara akademik. Oleh itu, kesimpulan beliau masih utuh, dan itulah kenyataannya.  Maka apabila dilantik sasterawan negara dengan gelaran itu, kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas menjadi lebih kuat dan disahkan oleh gelaran itu. Para sasterawan negara telah membuktikan mereka adalah golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, hanya sekumpulan penglipur lara moden yang sumbangan intelektualnya tidak signifikan dan berada di pinggiran budaya ilmu yang mereka kutuk sebagai penghalang kepada perkembangan sastera. Ini sangat jelas dalam tulisan yang dimuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa.

Tiba-tiba muncul apa yang disebut sebagai kumpulan indie dalam penerbitan dan penulisan di Malaysia. Terdapat tulisan dalam buku ITBM itu yang menyebut kumpulan ini adalah kumpulan pinggiran, tidak termasuk dalam arus perdana. Yang dikatakan arus perdana itu ialah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba dalam konteks syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Sekarang timbul persoalan yang memerlukan penyelesaian: adakah yang kononnya arus perdana itu pada hakikatnya masih lagi pinggiran yang cetek meraba-raba? Nampaknya begitulah, jika kita membaca kertas kerja SKPM yang diterbitkan oleh ITBM itu. Jadi di mana duduknya kumpulan indie ini? Sejenis kumpulan pinggiran yang berada di pinggiran kumpulan pinggiran perdana?  Jadi sekarang kita mempunyai dua kategori pinggiran: penggiran perdana yang diwakili kumpulan Mutual Admiration Club yang tercokol di dalamnya para sasterawan negara di bawah naungan Panel Anugerah Sastera Negara yang melantik mereka. Satu lagi kumpulan indie yang ditegaskan dengan angkuh oleh kumpulan pinggiran perdana sebagai kumpulan pengacau perkembangan sastera Malaysia. Nampaknya hebat juga perkembangan terbaru ini. Pinggiran di atas pinggiran, maka di mana pula bertenggeknya pandirisme dalam kegiatan intelektual Malaysia?  Saya lebih cenderung meletakkan kumpulan pinggiran perdana itulah pelopor pandirisme dalam gerakan intelektual Malaysia. Untuk memahami kesimpulan ini, sila rujuk senarai entri blog untuk mendapat entri yang membicarakan persoalan ini.  Atau pilihan terbaik ialah membaca dengan kritis kertas kerja dalam SKPM dan juga kertas kerja seminar “pemikiran” sasterawan negara. Kedua-duanya adalah sumber terbaik untuk melihat bagaimana pandirisme memainkan peranannya dalam tulisan “akademik” kita.  Diperlukan sedikit peringatan: jika anda tidak jelas konsep ilmu anda dan tidak dapat menempatkan ilmu dalam penilaian anda, saya jamin anda akan menghadapi kesukaran yang luar biasa untuk melihat belukur pandirisme dalam budaya intelektual Malaysia. Anda tidak dapat membezakan mana satu belukur dan mana satu haruan, walaupun kedua-duanya jenis air tawar.

Kita mahu tingkatkan perbincangan kita tentang perkembangan intelektual di Malaysia kerana kita sebenarnya ketinggalan terlalu jauh. Semuanya terjadi, menurut pemerhatian saya, kerana terdapat keraguan yang amat ketara di kalangan sasterawan dan sarjana tentang konsep ilmu yang benar itu. Sikap mereka menunjukkan mereka menolak aspek ini dalam perbincangan serius, hanya untuk menutup kelemahan mereka sendiri. Kerana itulah saya mengalih harapan kepada kumpulan indie, dengan keyakinan bahawa pasti ada di kalangan mereka yang berminat kepada ilmu dan bersedia untuk menjadi ilmuan tulen, bukan ilmuan celup yang kini menjadi golongan  opportunis yang bersikap anti-ilmu. Itulah sebabnya saya kutip pandangan al-Quran tentang “ulama” dengan harapan golongan indie ini akan memberi perhatian serius kepada persoalan ilmu ini. Itu sebabnya saya minta mereka membaca dengan kritis buku Prof. Wilkinson tentang peranan Islam di Eropah dan negara-negara sekutu mereka. Banyak yang boleh kita pelajari daripada buku itu, andainya kita faham membacanya dan bersedia untuk berbincang tentangnya.

Tafsiran yang diberikan oleh pengarang kitab Tafsir al-Misbah (jilid 11, hal. 61-62) tentang konsep “ulama” boleh dijadikan panduan: “Pendapat yang menyatakan bahawa yang dimaksud dengan “ulama” pada ayat ini adalah “yang berpengetahuan agama” bila ditinjau dari segi penggunaan bahasa Arab tidaklah mutlak demikian. Siapa pun yang memiliki pengetahuan, dan dalam disiplin apa pun pengetahuan itu, maka ia dapat dinamai ‘alim.  Dari konteks ayat ini pun kita memeroleh kesan bahawa ilmu yang disandang oleh ulama itu adalah yang berkaitan dengan fenomena alam.  Sayyid Quthub menamai fenomena alam antara lain yang diuraikan ayat-ayat di atas dengan nama Kitab alam yang sangat indah lembaran-lembarannya dan sangat menakjubkan bentuk dan warnanya. Ulama ini kemudian menulis bahawa: Ulama adalah mereka yang memerhatikan kitab yang menakjubkan itu. Kerana itu, mereka mengenal Allah dengan pengenalan yang sebenarnya. Mereka mengenal-Nya melalui hasil ciptaan-Nya, mereka menjangkau-Nya melalui dampak kuasa-Nya, serta merasakan hakikat kebesaran-Nya dengan melihat hakikat ciptaan-Nya, dari sini maka mereka takut kepada-Nya serta bertakwa sebenar-benarnya. Demikian Sayyid Quthub.”

Golongan pinggiran perdana tidak boleh diharapkan. Mereka telah gagal memberi kemimpinan intelektual yang kita harapkan. Konsep sastera yang menjadi pegangan mereka telah merosakkan diri mereka dan seterusnya melambakkan karya yang bertaraf pandirisme untuk dijadikan karya arus perdana pinggiran ini.  Jika anda dapat melihat apa yang saya maksudkan, anda tentu akan berusaha untuk membaiki kerosakan yang telah dikerjakan tanpa teguran oleh para sarjana ciritan dan sasterawan picisan ini. Di sinilah peranan yang boleh dimainkan oleh kumpulan indie. Saya yakin sudah ada di kalangan mereka tokoh yang boleh kita anggap bertaraf genius sekiranya kita memberi mereka peluang, seperti yang saya impikan dalam “Rumah Impian Polan Cupan”.


No comments:

Post a Comment