Catatan: Entri 10 Mei 2017 telah saya sunting dengan berapa pindaan dan tambahan. Saya siarkan di sini untuk makluman.
--------------------------------------------------------------------------
Pendahuluan
Dalam makalah ini, saya ingin memperkenalkan sebuah teori sastera yang dijana oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 dalam bahagian esei terbaik. Tulisan beliau yang memang itu disiarkan dalam Dewan Sastera 2005 (September 2005, halaman 74-80); juga disiarkan dalam Jurnal Pengajian Media Malaysia, Jilid 7 No. 1 2005, hlm 91-99) bertajuk, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”. Makalah ini penting kerana tujuannya ditulis ialah untuk mempertahankan kedudukan novel Naratif Ogonshoto sebagai novel terbesar dalam sastera Melayu sepanjang zaman.
Sebagai pengarang novel persuratan Pujangga Melayu, saya ingin menegaskan novel persuratan itu tidak mempunyai ciri-ciri “teori kerancuan sastera”. Pujangga Melayu mempunyai hanya tiga ciri: berasaskan konsep ilmu yang benar; mengutamakan wacana, bukan cerita; keindahan bahasa berdasarkan konsep ihsan. Ketiga-tiga ciri ini tidak terdapat dalam Naratif Ogonshoto. Peringatan ini penting kerana “teori” baru yang diperkenalkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak boleh dipakai untuk menilai karya persuratan.
“Teori Kerancuan Sastera” Janaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengemukakan teori sastera beliau sendiri dalam lambakan “teori sastera tempatan” yang sebenarnya bukan teori, hanya panduan umum atau sejenis fatwa sastera yang ditukangi oleh para sarjana sastera untuk memuaskan naluri akademik mereka, walaupun dari segi ilmiah tidak dapat diberi kedudukan sebagai sebuah “teori”. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memperkenalkan teori kerancuan sastera beliau ketika membela Naratif Ogonshoto sebagai novel teragung sepanjang zaman dalam sastera Melayu, yang satu-satunya berjaya merentasi dunia global membawa bersamanya genre penglipur lara yang dimulai Anwar Ridhwan melalui novel pertamanya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Sekarang kita sudah mempunyai lebih dari 20 “teori sastera tempatan” yang sedang giat dikembangkan di universiti di kalangan para pelajar sastera yang amat gembira berada dalam kerancuan analisis dan penilaian sastera, yang memberi mereka kebebasan untuk menjawab soalan peperiksaan mengenai sastera dalam acuan “teori kerancuan sastera” yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika mempertahankan keagungan Naratif Ogonshoto sebagai novel Melayu teragung sepanjang zaman.
Supaya pembaca tidak merayau terlalu jauh untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan kerancuan, saya salin maknanya daripada Kamus Dewan (KD) dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Menurut KD, kerancuan berasal dari rancu, bermakna tidak teratur, campur aduk, kacau (bahasa). Kerancuan, keadaan tidak teratur, kekacauan. (Contoh yang diberikan oleh KD: kekeliruan penggunaannya hanya akan meningkatkan kadar kerancuan kita berbahasa.) Kita lihat pula KBBI. Rancu bererti tidak teratur, campur aduk, kacau (terutama tentang berfikir, menggunakan bahasa dan lain-lain). Kedua-dua kamus ini merujuk kepada penggunaan bahasa yang kacau dan kelemahan berfikir. Itulah maksud dan makna kerancuan. Sebuah kamus lagi, oleh Hassan Noel Arifin, Kamus Besar Bahasa Indonesia, menambah makna rancu dengan perkataan janggal, tentang penggunaan bahasa (pembentukan ayat). Memang banyak yang janggal dalam tulisan akademik Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika menilai dan memuji Naratif Ogonshoto. Seterusnya kita lihat apakah yang dikatakan “teori kerancuan sastera” itu.
Apakah yang dimaksudkan dengan “teori kerancuan sastera”? Dalam makalah yang menang Hadiah Sastera Perdana 2004-2005, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memberi senarai yang panjang tentang ciri-ciri “teori kerancuan sastera” hasil pemikiran beliau setelah membaca dengan teliti Naratif Ogonshoto, yang telah membuahkan hasilnya yang luar biasa, sebuah teori sastera baru. Tidak sia-sia Naratif Ogonshoto diangkat menjadi novel terbaik sepanjang zaman dengan lahirnya “teori kerancuan sastera”. Kita lihat senarai panjang ciri-ciri kerancuan sastera ini.
Prinsip utama teori kerancuan sastera ialah “kerancuan bentuk dan makna”. Dari situ menjalarlah berpuluh ciri yang disenaraikan oleh sarjana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005. Saya tidak ragu-ragu untuk menegaskan bahawa semua ciri itu penuh dengan pretensi akademik yang tidak bermakna apa-apa dalam konteks ilmu yang menjadi pegangan sarjana Islam. Menurut sarjana ini, sebagai hasil seni Naratif Ogonshoto tidak memberikan makna yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran konpleksitinya. Naratif Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun dikisahkan menurut aturan naratif tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang tersirat di bawah lapisan naratif a la cerita rakyat yang nampak mudah. Tanggapan dapat disejajarkan pada sebuah cerpen (atau bab?) dalam teks ini, iaitu “Pentafsir”. Anwar seperti watak resi tua dalam cerpen tersebut – kata-katanya sukar ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan “… kata-kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan.” Makna yang dikendong dalam teks ini bukan sahaja berlapis-lapis dan pelbagai, malahan bentuknya juga bebas daripada konvensionaliti. Kebebasan kreativiti dalam pembinaan teks ini membuka satu dimensi baru dalam persoalan genre. Dalam usaha mengenal pasti genre teks ini, kita berhadapan dengan masalah yang sengaja ditimbulkan oleh pengarang/penerbit di samping coraknya yang merentasi sempadan pelbagai genre. Anwar mengumpulkan manik yang berwarna-warni daripada pelbagai sumber tradisi lalu menggabungkannya dalam adunan wacana moden hingga menjadikannya sebuah teks sinkretik, iaitu gabungan pelbagai unsur. Adunannya menjadi, dan rasanya tersendiri, “Seperti madu tersaring, bunga tunggalnya tidak dikenal lagi kerana lebah mungkin telah menyunting tujuh jenis bunga dari tujuh taman.” Kerancuan makna memang gejala teks pascamoden. Dalam sastera pascamoden tiada makna tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak. Kebenaran dan jawapan makna terletak pada tafsiran pembaca menurut situasi dan kondisi yang mengelilinginya. Oleh itu, teks ini dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. Lebih menyukarkan tafsiran apabila pengarang bermain dengan lambang personal – bilangan hari dalam bab “Mainan”, simbol ikan dan kelapa emas dalam “Pentafsir”, atau iceberg dalam “Aisberg”. Begitu pun, kesukaran inilah yang menghidupkan sesebuah karya dalam jangka hayat yang pajang kerana sifatnya yang sentiasa mengundang tafsiran yang polisemi. Kerancuan genre juga menjadi masalah kajian yang tidak kurang menariknya. Wujud unsur pengaburan genre dalam teks ini sama ada hendak digolongkan sebagai cerpen atau novel, sastera tradisional atau sastera moden. Yang jelas, semua genre itu dapat dilabelkan pada teks ini. Pada bahagian awalan buku ini diterangkan bahawa teks ini merupakan kumpulan cerita pendek dan sebuah daripadanya yang bertajuk “Hering” sudah disiarkan dalam Dewan Sastera Ogos 2000. Pengakuan ini sudah cukup untuk mengelompokkannya ke dalam kumpulan cerpen selain kemandirian setiap bab sebagai cerpen yang berasingan. Namun begitu, apabila dibaca bahagian prolog hingga epilognya ternyata bab-bab yang episodik tersebut merupakan kisah yang berangkaian lalu membentuk sebuah novel.” Itu saja yang dapat saya salin daripada keterangan panjang sarjana ini, dan semua ciri yang disenaraikan dengan panjang ini sudah cukup untuk membolehkan kita membuat kesimpulan betapa seronoknya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyanjung novel besar sepanjang zaman ini. Apa pula kata-kata novel itu sendiri terhadap dirinya?
Menurut Naratif Ogonshoto tentang dirinya sendiri, dia hanya sejenis lamunan seseorang yang sedang bermimpi, atau sedang berangan-angan, yang tidak siuman, yang tidak dapat merangkaikan “pemikirannya” yang jelas tentang “cerita” yang tersangkut-sangkut logik naratifnya. Pendeknya, yang menghadapi masalah kerancuan bahasa dan pemikiran.
Semua ciri yang disenaraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sebenarnya membuktikan Naratif Ogonshoto bukanlah karya besar dan ulung seperti yang disangkakan, tetapi sebaliknya ciri-ciri Dr. Mohamad Saleeh Rahamad membuktikan Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya yang confused, yang tidak siuman, yang penuh dengan khayalan terpisah-pisah seorang tokoh (??... pengarang sendiri atau wataknya yang tidak bernama?) yang berserabut tentang perkara-perkara yang tidak penting, atau jika pun dianggap penting oleh penulis sasterawan ini, menjadi tidak penting dan karut kerana tidak diwacanakan secara siuman. Satu-satunya ciri yang membuat pembaca yang dangkal dan cetek meraba-raba menyanjung karya ini ialah beberapa kalimah Jepun atau latar belakang Jepun yang sebenarnya tidak mencerminkan kehebatan Jepun sebagai negara yang punya budaya yang cintakan ilmu. Saya beri satu contoh yang tidak diketahui oleh manusia Melayu yang tidak sukakan muzik Arab, tentang alat muzik qanun dan gambus. Saya beritahu anak saya (ketika itu masih berumur 7 atau 8 tahun), qanun dicipta oleh Al-Farabi, seorang ahli falsafah, ahli matematik, ahli nahu bahasa Arab, seorang doktor, dan tentu saja seorang pemain muzik. Dia mencipta qanun, berasakan formula matematik, untuk memainkan semua muzik dunia. Dengan 81 tali, kata Al-Farabi, semua jenis muzik seluruh dunia boleh dimainkan dengan menggunakan qanun. Dalam usaha kami mencari pemain qanun yang terkenal seluruh dunia, kami bertemu beberapa nama Jepun, pemain qanun dan gambus yang pakar. Lalu saya suruh anak saya cari pemain muzik yang boleh digelar “sheikh” dalam bidangnya, perdengarkan kepada saya. Bila saya bertanya, siapa nama pemain itu? Dia menyebut beberapa nama Jepun! Pastilah Anwar Ridhwan tidak tahu semua ini, tidak juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, oleh itu kedua-duanya “terpesona” dengan perkara-perkara remeh temeh, yang bertentangan dengan semangat Jepun dalam bidang seni, ilmu, penulisan dan sebagainya. Satu contoh lagi, orang yang suka membaca tentang Islam, tentu sudah mendengar nama Toshihiko Izutsu, seorang sarjana terkenal tentang Islam yang saya sendiri tidak berasa was-was kerana bagi saya tokoh ini tidak mempunyai niat jahat seperti para paderi Kristian yang menulis tentang Islam yang berkata dengan “polite” (dalam budaya mereka) bahawa Nabi SAW mungkin jujur, tetapi melakukan kesilapan. Saya beri contohnya dalam tulisan Montgomery Watt, seorang paderi, yang terdapat di dalam brosur International Baccalaureate (IB) yang programnya dipuji oleh Anwar Ridhwan dalam tulisannya yang termuat dalam buku ITBM Sastera Teras Negara Bangsa, (hal. 256.) kerana kononnya program ini akan mengajar pelajar menjadi cerdik dan terbuka fikirannya. Dalam brosur IB di bawah tajuk “Wahy” kita dapat kutipan ini:
“To say that Muhammad was sincere does not imply that he was correct in his beliefs. A man may be sincere but mistaken. The modern Westerner has no difficulty in showing how Muhammad may have been mistaken. What seems to a man to come from ‘outside himself’ may actually come from his unconscious.” (Daripada bukunya, Muhanmad: Prophet and Statesman”, hal. 17).
Sangat jelas kutipan ini disengajakan untuk meragukan pelajar Islam tentang Islam dan terus memberi maklumat palsu kepada yang bukan Islam.
Apakah yang sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalah beliau? Jawapannya telah saya berikan dalam blog saya, gagasan persuratan blogspot.com bertarikh 7 Ogos 2016, “Maksiat Intelektual dalam Kesenian dan Penulisan”. Maksiat intelektual ini tidak pernah dibincangkan padahal inilah jenis maksiat yang berkaitan dengan konsep ilmu. Hasilnya yang amat negatif dapat kita lihat dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini dan terciptanya teori kerancuan sastera oleh beliau. Sekiranya beliau menolak adanya teori kerancuan sastera itu sebagai hasil cetusan pemikiran akademik beliau tentang sebuah novel agung yang amat disanjungnya, maka tindakan beliau itu menjadi hujah akan betapa karutnya pujian beliau dalam makalahnya itu. Tetapi jika beliau mempertahankan “kebenaran” pendapatnya maka beliau secara sukarela menghumbankan dirinya dalam maksiat intelektual yang saya bincang dalam entri berkenaan. Apakah pilihan beliau? Yang akan menentukannya ialah beliau sendiri. Tetapi apa pun juga pilihan beliau, teori kerancuan sastera janaan beliau itu telah melempar Naratif Ogonshoto dan teori kerancuan sastera itu sendiri ke dalam gaung pandirisme.
Bila saya baca novel agung ini, dan melihat bagaimana confusednya sasterawan negara ini, saya tidak hairan jika beliau tidak berminat kepada ilmu, walaupun dari Jepun tempat dia pernah cari makan. Apa yang dia dapat dari Jepun? Hanya nama-nama remeh yang tidak mencerminkan kehebatan kebudayaan ilmu Jepun. Maka amatlah aneh jika buku yang begitu mengarut seperti Naratif Ogonshoto itu diberi pujian melangit, padahal isinya hanya khayalan tidak siuman seorang watak yang di hujung buku itu rupanya penulis sendiri, yang berasal dari Sungai Besar (tokoh sarjana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad pun sebut nama Sungai Besar yang dalam novel disebut Kali Besar dan diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh Anwar Ridhwan.) Sungai Besar adalah tempat Anwar Ridhwan dilahirkan dan membesar. Apakah yang istimewa tentang Sungai Besar dalam novel agung ini yang tiba-tiba disebut di akhir novel? Satu iklan buat Anwar Ridhwan sendiri! Mungkin inilah keistimewaannya, seperti yang disenaraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, bahawa novel agung ini bersifat multigenre, oleh itu boleh dimasukkan apa saja seperti omelan orang tidak siuman ketika berceramah seorang diri di atas tong kosong… Bagi saya Naratif Ogonshoto adalah sebuah novel autobiografi tentang pengalaman Anwar Ridhwan di Jepun dan di kampung halamannya. Itulah keagungan isinya.
Apakah yang mendorong seorang sarjana handalan seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk memberi pujian yang begitu tinggi kepada sebuah novel yang penuh kerancuan sama ada dari segi teknik mahu pun dari segi idea? Apa sudah jadi sebenarnya dalam kritikan sastera Melayu? Naratif “teori kerancuan sastera” Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sama pincangnya dengan Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan. Di situlah keistimewaan makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan novel Naratif Ogonshoto ini. Pandangan dan kesimpulan saya ini berasaskan Gagasan Persuratan Baru, berdasarkan konsep ilmu yang benar; dengan itu saya jamin ketepatan analisis dan penilaiannya. Kesimpulan ini boleh dicabar oleh sesiapa pun, menggunakan teori Barat yang dikuasainya. Sekiranya cabaran ini tidak disahut, maka Naratif Ogonshoto telah dipaku dalam keranda pandirisme, yang telah melahirkan karya agung ini. Sekiranya falsafah pandirisme dalam budaya Melayu ditolak, dengan mengemukakan hujah dan bukti yang benar-benar akademik, maka kedudukan Naratif Ogonshoto bolehlah diteruskan; sebaliknya jika pandirisme menyerlahkan kebenaran yang cuba ditutup oleh para sarjana sastera dalam penilaian mereka, maka kedudukan Naratif Ogonshoto berada sebagai sebuah karya picisan yang tidak mempunyai pemikiran berasaskan konsep ilmu yang benar. Sekarang pembaca diberi cabaran yang lain pula: Mengapa konsep ilmu yang benar tidak boleh dipakai dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif? Apabila sudah sampai ke tahap ini, anda tidak mempunyai pilihan selain memperlihatkan ketangkasan anda berfikir sebagai seorang ahli akademik atau seorang sasterawan. Itulah pilihan anda. Malangnya, tiada sasterawan atau sarjana sastera yang sanggup menerima cabaran ini; dengan itu kerancuan idea dalam sastera Melayu akan berterusan. Inilah kesan pandirisme yang paling ketara, yang akan diteruskan oleh para sarjana dan sasterawan.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5 Jun 2017.
No comments:
Post a Comment