Catatan:
Saya siarkan kembali tulisan
ini (2011) kerana boleh membantu pembaca
memahami entri terbaru yang sudah disiapkan, tetapi masih disemak. Lihat juga
entri bertarikh 9 November 2011 tentang
tiga beban sastera Melayu. Dengan meremehkan gagasan Persuratan Baru, sarjana
sastera dan para pengkritik menjadi penghalang perkembangan baru yang lebih
mencabar dalam bidang kreatif dan kritikan. Semua ini membuktikan omong kosong
Panel Anugerah Sastera Negara, yang disokong oleh para sarjana dan pengkritik,
yang kononnya menyanjung perubahan.
Dalam konteks inilah tulisan ini perlu difahami. Sikap anti-perubahan ini berkait rapat dengan
sikap anti-ilmu di kalangan sarjana dan penilai/pengkritik sastera. Mereka
ingin berleluasa bertindak sesuka hati mereka untuk memastikan mereka masih
terus laku, walaupun harga mereka sangat murah. Dalam dunia ilmu, yang laku
sepatutnya yang berharga mahal, tetapi di Malaysia terbalik. Oleh itu anda perlu juga membaca dengan
kritis entri bertarikh 16 Julai, 2011:
“Persuratan Baru Merombak Kaedah Lama Dalam Analisis dan Penilaian Karya
Kreatif”.
Setelah meneliti entri ini, saya
rupanya sedang berbicara tentang “teori kerancuan sastera” yang belum disedari oleh
saya, walaupun makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu sudah diterbitkan oleh Dewan Sastera 2005. Yang penting ialah saya telah menghuraikan “kerancuan”
dalam sastera Melayu tanpa membaca makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dan ini membuktikan
pendapat saya tentang “kerancuan” ini tepat.
Bacalah balik entri ini, lepas itu cubalah kritik jika anda rasa perlu.
Monday, December 5, 2011
Mana yang lebih utama, bentuk atau
isi? Bagi seorang pengarang, terutama sekali seorang pengarang yang cerdik dan
cukup ilmu (kadang-kadang terjumpa pengarang bodoh yang berpura-pura
cerdik, seperti ada pengkritik bodoh berlagak pandai sambil memandai-mandai
melontar pendapat), mana satu yang lebih utama tidak membuatnya terhuyung
hayang mabuk kognitif kerana belum bersedia untuk menjadi pengarang. Seorang
pengarang yang cerdik dan tinggi daya kreatifnya akan mencipta sesuatu yang
unik kerana adanya kekuatan daya kreatifnya; dan pada waktu yang sama dia
memberikan kebijaksanaan dalam karyanya hasil dari kemampuan inteleknya yang
tinggi. Masalah mana satu yang perlu diutamakan, bentuk atau isi, hanya
menjadi masalah di kalangan pengamal pandirisme dalam penulisan dan kritikan
sastera, tidak di kalangan pengarang Islam yang dididik dalam epistemologi
tauhid dan tanggungjawab taklif.
Katalah anda seorang penulis khat
yang sangat handal. Hasil kerja anda sangat cantik dan benar-benar dikagumi. Di
antara karya khat anda yang paling terkenal dan banyak disimpan orang
salinannya berbunyi: Aku gila, oleh itu aku berjaya. Anda tak mahu jadi
gila? Anda tak akan berjaya. Orang gila masuk syurga. Dia menuliskan
kata-kata itu dalam bentuk khat yang amat cantik, tanpa memperdulikan
maknanya. Adakah dia seorang ahli khat yang siuman? Sekiranya dia
hanya ingin membuktikan bahawa kata-kata yang karut dan bodoh masih dihargai
dan dipandang cantik jika khatnya cantik, maka dia tentulah seorang penulis
khat yang gila. Belum ada lagi penulis khat yang gilakan bentuk tetapi tidak
memperdulikan makna. Kemunculan khat itu sendiri sebagai seni kerana
matlamatnya untuk memberi dua perkara: kecantikan tulisan, dan kecantikan
ucapan. Khat terbentuk kerana manusia sedar kedua-duanya diperlukan oleh
manusia yang siuman, kerana itulah sifat tabii dan hakiki seorang manusia.
Dalam dunia penulisan lebih-lebih lagi. Jika teknik anda selekeh, anda
tidak mungkin menghasilkan karya kreatif yang bernilai. Itu klise, diketahui
oleh penulis yang paling tumpul akalnya sekali pun. Tetapi jarang orang
sedar bahawa teknik dan makna tidak dapat dipisahkan: penulis yang berjaya
diukur dari kecanggihan teknik dan kemampuan inteleknya mengolah persoalan yang
dikemukakannya dengan cermat dan mendalam. Tetapi hakikat ini tidak disedari
oleh Panel Anugerah Sastera Negara sekali pun, jika anda membaca laporan mereka
dan meneliti kritikan saya tentang laporan itu.
Betulkah orang gila masuk syurga?
Anda akan bertanya soalan ini jika anda seorang yang siuman. Bagaimana jika
anda tidak saja seorang yang siuman, tetapi juga seorang kaya, berilmu,
ada firma sendiri (tak kiralah firma apa pun), dan pada waktu yang sama
anda seorang yang amat gemarkan kesenian, sukakan keindahan. Khat tadi memang sangat
indah, sesiapa juga yang melihatnya akan terpesona. Kerana anda seorang yang
kaya dan berjaya, anda bersedia membayar satu juta atau lebih untuk
mendapatkannya. Anda tayang, atau gantung khat itu di tempat paling mulia di
dalam rumah anda atau di pejabat anda. Sesiapa juga yang melihatnya akan
terpesona dan terus memujinya. Bagaimana jika yang melihat itu tidak tahu
membaca jawi? Dia masih boleh menikmati keindahan khat itu tanpa mengetahui
ertinya. Dia pun boleh dan masih dianggap siuman jika dia mahu membeli “khat”
tulisan China atau tulisan dari bahasa apa sekali pun kerana terpesona melihat
keindahannya. Adakah dia seorang yang paling siuman? Atau hanya seorang yang
gila-gila seni (kononnya) lalu membeli dengan harga mahal sesuatu hasil seni
yang dia sendiri tidak tahu maknanya, kecuali hanya untuk melihat
bentuknya. Selama mana dia akan tergilakan bentuk? Tidakkah dia akan berasa
bosan melihat sesuatu seperti tikus melihat besi? Katalah dia terus terpesona
... Tiba-tiba datanglah seorang cucunya yang boleh bercakap dengan fasih
walaupun masih seorang budak berumur tiga empat tahun. Tanya sang cucu: Mengapa
datuk gantung benda itu? Datuk yang cerdik dan gemarkan keindahan itu menjawab
selamba: Nanti kamu akan faham bila kamu sudah besar. Kerana budak itu
cerdik, dia tidak bertanya lagi, kerana dia pun tahu dia tidak akan diberikan
jawapan, hanya helah atau alasan menurut cita rasa datuknya.
Bagaimana jika anda yang melihat
khat itu dan membaca ayat: Orang gila masuk syurga. Siapakah yang
akan memastikan ucapan atau ungkapan itu betul? Dari perspektif mana? Katalah
anda seorang Islam, dan anda mahu tahu betul tidaknya ucapan itu, kerana anda
ada seorang sahabat yang gila, oleh itu anda mahu tahu, adakah sahabat anda
akan masuk syurga? Dia gila kerana bangkrap, terlalu tamak waktu siumannya,
sehingga kekayaan dan kejayaannya lesap sekelip mata kerana terlalu tamak untuk
mendapat lebih banyak lagi. Dia gagal. Terus gila. Adakah betul dia akan
masuk syurga? Untuk menjawab soalan itu, anda perlu bertanya seseorang yang
tahu aspek kegilaan yang bagaimana yang akan membawa seseorang gila ke syurga.
Ke mana pun anda pergi, dan bagaimana pun anda berdalih, anda akan hanya
mendapat jawapan yang betul apabila anda tahu perspektifnya. Jika anda seorang
Islam, anda akan mendapat jawapan yang memuaskan daripada seorang yang tahu
tentang aspek kegilaan dalam kehidupan manusia, dan gila yang bagaimana yang
sekira-kira dapat menjamin anda akan masuk syurga. Pendeknya, anda harus
bertanya seorang yang berilmu, tetapi bukan sebarang ilmu. Sebaik saja mendapat
kepastian jawapan daripada seorang yang berilmu, dan anda memang jujur ingin
tahu betul tidaknya orang gila masuk syurga, maka anda akan membuat keputusan
yang tepat: Perlukah aku simpan khat yang cantik itu di tempat yang
istimewa pula? Sekarang anda sudah tahu maknanya, oleh itu lebih mudah anda
membuat keputusan. Keputusan itu tidak lagi berasaskan kegemaran anda kepada
keindahan semata-mata, tetapi sekarang berasaskan ilmu yang anda dapat. Kini
anda berupaya membuat keputusan yang betul dan adil. Katalah keputusan
itu seperti ini: Anda mahu jual khat itu dengan harga mahal untuk
mendapat keuntungan besar. Sebuah galeri sudah bersedia membayarnya kerana
galeri itu tahu khat itu hasil seni seorang penulis khat yang amat terkenal.
Menyimpan khat itu saja pun satu perbuatan yang amat dikagumi, yang
“berprestij”. Katalah anda berjaya menjualnya dengan harga dua juta. Tiba-tiba
setahun kemudian anda bertemu dengan orang yang anda kemukakan kemusykilan
anda, yang kini bertanya anda: Bagaimana dengan khat itu? Dengan bangga
anda menjawab: Saya sudah jual dengan harga dua juta. Orang yang bijaksana itu
terkejut. Katanya dengan kesal: Tidakkah itu sejenis penipuan dan
pembohongan? Anda tahu khat itu sia-sia dan mengelirukan. Mengapa kekeliruan
itu dipindahkan kepada orang lain? Tidakkah itu pembohongan dan kekeliruan yang
lebih besar? Anda hanya tersenyum, tidak berasa tergugat atau kesal. Dalam hati
anda berfikir dengan jelas, Aku dapat dua juta senang-senang. Apa yang kelirunya?
Memang anda seorang yang cerdik dan
pintar kerana sekarang anda tidak saja tahu makna sebenar kata-kata yang
berbunyi, Orang gila masuk syurga; tetapi anda juga sudah berjaya
menjual khat yang istimewa itu dengan harga mahal. Anda untung dalam dua perkara:
tahu hakikat sebenar dan makna tulisan khat itu; dan berjaya pula mendapat
faedah dari keuntungan perniagaan anda. Tetapi adakah anda seorang yang
bijaksana, jujur, ikhlas, dan insaf serta sudah bertaubat? Oleh sebab
semua itu bukan masalah anda sebenarnya, tetapi masalah orang-orang seperti
saya, maka perbuatan anda itu akan tetap menjadi persoalan kepada saya: Mengapa
orang seperti anda itu terus wujud dalam kehidupan manusia? Adakah saya
akan mendapat jawapan kepada soalan itu?
Dalam dunia sastera Melayu, inilah
masalah yang dihadapi berterusan oleh para sasterawan, pengkritik sastera dan
para sarjana yang mengajar dan menulis tentang sastera, mungkin tidak akan ada
keputusannya kerana mereka (yakni sasterawan, pengkritik, sarjana) memang tidak
mahu menerima keputusan yang mereka anggap merugikan mereka. Mengapa
mereka beranggapan demikian? Jawapannya mudah: konsep ilmu mereka tidak
beres, oleh itu keliru, dan dengan itu tidak dapat dijadikan sandaran untuk
membuat keputusan yang tepat dan adil. Sebenarnya ini bukan masalah nilai
atau masalah ilmu. Ini masalah sikap. Anda tahu, sebagai orang Islam, mana satu
yang betul mana pula yang tidak. Anda cukup faham, kerana itu anda selalu
sebut: amar makruf, nahi mungkar. Tetapi mengapa anda masih berdegil
dan terus melakukan yang mungkar? Kerana yang mungkar itu dilakukan
oleh orang lain; anda sendiri tidak pernah melakukan kemungkaran itu.
Jadi bagi anda tidak ada masalah; semua masalah adalah kepunyaan orang
lain. Kerana itulah anda membuat keputusan: dalam karya sastera atau
apa-apa pun jenis kesenian atau yang boleh dipanggil kesenian, bentuklah yang
akan membuat karya itu kekal dinikmati selama-lamanya, bukan isinya, kerana isi
akan berubah tafsirannya mengikut masa dan cita rasa pembaca atau penonton atau
penikmat hasil seni itu. Inilah relativisme yang memang menjadi
persoalan, dan masalah, dalam falsafah seni Barat. Tidak ada yang pasti, yang
kekal, kerana menurut mereka hanya orang gila saja yang pasti dan mahu kekal
dalam kepastian itu. Semuanya berubah, dan menjadi tugas penulis dan
penilai sastera mendewakan perubahan kerana di situlah terdapat kemajuan.
Dengan itu kejayaan dinilai dari perspektif eksperimen yang dilakukan
penulis, bukan isinya. Inilah pandangan dan pendirian Panel Anugerah
Sastera Negara jika anda membaca laporan mereka. Tetapi pendapat ini tidak
mempunyai asas epistemologi sama sekali, apatah lagi asas epistemologi
Islam. Jika hakikat ini disedari, mengapa para sasterawan, pengkritik dan
sarjana yang mengaku Islam menerima suatu pendirian yang tidak berasaskan ilmu?
Jawapannya mudah: kerana mereka keliru dalam konsep ilmu, dengan itu mereka
gagal memberi penilaian yang tepat dan objektif dalam menangani masalah
kejahilan mereka. Mereka adalah golongan ingkar yang amat degil
mempertahankan kejahilan mereka, dan berasa sangat selesa berada dalam
kejahilan itu dan bangga pula membuat keputusan berasaskan kejahilan dan
padirisme.
Salah satu kelebihan gagasan
Persuratan Baru ialah kerana PB dapat menyelesaikan masalah kejahilan dan
kedegilan pandirisme ini. Persuratan Baru terbuka untuk dikritik, dan
dikritik sehabis kritis. Boleh saja dibawa masuk beratus (jika ada) teori
Barat atau teori dari mana saja untuk menangkis gagasan Persuratan Baru dan
membuktikan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru tidak tepat, tidak
objektif dan tidak cocok dengan “bentuk dan isi” karya yang
dinilai. Sila berikan hujah anda supaya pendirian dan penilaian anda boleh
difahami oleh orang lain; dan anda juga mesti bersedia untuk dikritik dengan
sehabis kritis. Kita perlukan dialog terbuka begini, bukan saja untuk memahami
satu sama lain, tetapi juga untuk menolak yang palsu dan selekeh dari segi
pemikiran dan penghujahan. Jika anda belum bersedia untuk dialog
itu, anda diberi peluang dan masa yang anda perlukan, berapa lama pun
anda mahu.
Gagasan Persuratan Baru tidak sukar
untuk difahami. Dalam tesis sarjana oleh R. Sharatha a/p Ramasamy, bertarikh
2007 yang dikerjakan di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya, di bawah
pengawasan dan bimbingan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, berjudul “Pujangga
Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, Puan Sharatha telah
membuktikan seorang sarjana bukan Islam pun dapat memahami gagasan Persuratan
Baru tanpa masalah. Tahniah, Puan Sharatha kerana telah menunjukkan
kemampuan akademik anda menghuraikan dengan mendalam beberapa aspek Pujangga
Melayu dengan menggunakan ukuran Persuratan Baru. Bagus sekali jika anda
(yang membaca tulisan ini) berkata, sesuailah dipakai kerangka analisis
dan penilaian berasaskan gagasan Persuratan Baru, kerana novel itu sendiri
memang ditulis untuk membuktikan gagasan itu boleh menghasilkan karya yang
bermutu. Anda boleh menambah, tentulah sesuai dan tiada apa-apa masalah jika
digunakan Persuratan Baru kerana Mohd. Affandi Hassan memang menulis novel itu
untuk membuktikan Persuratan Baru boleh menghasilkan karya yang bermutu.
Sekarang anda hanya perlu melakukan dua perkara yang mudah: membuktikan PB
tidak boleh dipakai dalam analisis dan penilaian karya kreatif, hanya boleh
digunakan untuk menilai dan menganalisis Pujangga Melayu sahaja, tidak
boleh dipakai untuk menilai karya lain. Anda boleh uji bagaimana selekehnya
gagasan Persuratan Baru jika dipakai untuk menilai “karya besar” dunia
pilihan anda yang akan menelan PB bulat-bulat, dan Mohd. Affandi Hassan
akan terkulat-kulat melihat karya gergasi dunia menelan PB lalu melemparnya ke
laut, tenggelam tidak timbul-timbul lagi. Perkara mudah yang kedua ialah
anda boleh membuktikan, dengan menggunakan PB sebagai pendekatan dalam
menganalisis Pujangga Melayu, bahawa novel itu bukan hasil sastera
yang bermutu, tidak juga sebuah karya persuratan yang dicanangkan, dan PB
sendiri yang dipakai untuk menilai karya itu hanyut dalam kekaburan
akademik. Sebaliknya jika anda berjaya membaca Pujangga Melayu
menggunakan mod bacaan intelektual yang diajukan oleh Prof. Ungku Maimunah,
maka besar kemungkinan anda boleh menerima analisis dan penilaian yang
dibuat oleh Puan Sharatha dalam tesis sarjananya. Saya fikir ini yang lebih
mudah dan lebih siuman, untuk menerima hasil penelitian akademik Puan Sharatha
dan dengan itu berpuas hati bahawa gagasan PB dan Pujangga Melayu telah
dapat mendamaikan masalah “bentuk dan isi” dalam konteks “indah dan bermakna”
yang dijadikan matlamat penulisan kreatif dalam Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid (1992) yang menjadi asas kepada gagasan PB.
Dalam analisis dan penilaiannya,
Puan Sharatha banyak menyebut stylization of ideas. Nampaknya stylization
of ideas itu satu teknik yang berjaya difahami beliau walaupun mungkin
tidak mendalam, dan teknik itu menghapuskan “masalah” yang dipanggil
masalah “bentuk atau isi” itu. Betulkah begitu? Nampaknya
teknik stylization of ideas itu berjaya melahirkan karya persuratan,
yang diterjemahkan oleh beliau genuine literature. Kalau analisis
Puan Sharatha betul, dan boleh diterima, maka sudah sah kita tidak perlu
menjadikan karya sastera itu puncak pencapaian kreatif dan dengan sendirinya
kita tidak perlu bersusah payah mencari sasterawan negara baru kalau hanya
untuk mengangkat karya sastera yang berada di bawah karya persuratan,
jenis karya yang menjadi punca masalah “bentuk atau isi” itu, sehingga
membingungkan SN Shahnon Ahmad yang membuatnya menolak karya-karya awalnya
yang beliau fikir menyeleweng. Betulkah begitu, Prof. Emeritus Shahnon
Ahmad? Anda tidak perlu menjawabnya, kerana jawapan itu telah diberikan
oleh gagasan Persuratan Baru.
Sekali lagi saya ingin mengucap
tahniah kepada Puan Sharatha kerana beliau kini muncul sebagai salah seorang
yang berupaya membicarakan gagasan Persuratan Baru secara akademik, dengan itu
membantu para sasterawan dan sarjana memahami apa maksudnya “bentuk atau isi”
dalam konteks “indah dan bermakna” sebuah karya persuratan. Tesis
sarjana anda (2007) kini menjadi rujukan yang penting. Anda juga telah
menyediakan peluang yang luas terbuka dan patut digunakan oleh orang yang masih
sangsi bahawa gagasan Persuratan Baru akan menjadi asas perkembangan gemilang
persuratan Melayu moden Abad 21 dan seterusnya yang berteraskan ilmu yang
benar. Cabaran bukan lagi terhadap gagasan Persuratan Baru, tetapi
tertumpu pada orang yang sangsi itu.
No comments:
Post a Comment