Sunday, June 18, 2017

JASA DR. MOHAMAD SALEEH RAHAMAD KEPADA SASTERA MELAYU MODEN



Ketika saya menulis entri 2011 yang saya siarkan kembali dalam entri lepas, saya tidak sangka persoalan yang saya bincang itu telah dibincang oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang terpilih sebagai esei sastera terbaik 2004-2005. Dalam tulisan 2011 itu saya belum kenal istilah kerancuan yang rupanya telah digunakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lama sebelum entri itu saya tulis. Perbezaannya sangat besar: beliau memuji kerancuan sastera sebagai satu wajah yang melahirkan karya besar sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto; manakala saya pula menyelar kekeliruan besar dalam sastera Melayu mengenai konsep teknik dan makna dalam penulisan kreatif, dengan memberikan satu contoh yang kelihatan lucu, tetapi sebenarnya amat serius kerana contoh itu memperihalkan keadaan sebenar yang sedang berlaku dalam sastera Melayu.  Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyokong tesis saya dengan hujah-hujah yang mantap tentang betapa pentingnya kerancuan dalam perkembangan sastera Melayu, sehingga melahirkan sebuah novel teragung dalam sastera Melayu dari buah tangan sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Yang lucu di sini ialah bagaimana seorang sarjana terkenal menjadikan kerancuan sebagai sifat utama sastera Melayu, sedangkan saya mengkritiknya sebagai satu kerancuan intelektual yang keliru dalam konsep ilmu. Antara dua pandangan ini, mana satu yang boleh diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera? Tidak dapat diragukan lagi, mereka menerima “teori kerancuan sastera” itu sebagai sebuah “teori” yang tepat memperihalkan hakikat sebenar sastera Melayu; manakala saya pula melihat kerancuan  sebagai bukti betapa kuatnya sikap anti-ilmu di kalangan sarjana dan sasterawan, yang berada dalam kekeliruan besar, yakni sesat dalam kerancuan seperti yang diberi maknanya dalam kamus Melayu sendiri.  Adakah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengalami kerancuan berfikir sambil merayau di antara kekeliruan teori sastera Barat yang tidak menjadikan konsep ilmu sebagai teras pemikiran para sarjana mereka. Nampaknya begitulah, tetapi kekeliruan beliau sangat penting dalam kritikan sastera, kerana usahanya menelurkan “teori kerancuan sastera” berjaya mempertahankan kedudukan novel agung sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto.  Dengan itu adalah selamat jika anda memanggil novel besar sepanjang zaman itu sebuah hasil kerancuan kreatif yang paling hebat dalam sastera Melayu, yang diberi pujian tinggi oleh anggota Panel Anugerah Sastera Negara.  Inilah penilaian yang saya kritik daripada perspektif Gagasan Persuratan Baru yang menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas gagasan itu. Dalam keadaan yang biasa dan siuman, seperti yang saya huraikan dalam entri 2011 itu, anda mahu tidak mahu terpaksa membuat pilihan yang paling siuman dan tepat; dan ini telah anda lakukan dengan menjadikan kerancuan intelektual dalam karya kreatif sebagai tonggak yang akan membolehkan sesebuah karya mendapat pujian dan penghargaan tertinggi dalam kritikan sastera Melayu.

Kalau begitu, perbincangan tentang Naratif Ogonshoto ini tamat di sini. Anda sendirilah yang perlu membuat pertimbangan yang paling teliti mana satu di antara dua pandangan ini yang betul; atau kedua-duanya betul; dan mungkin juga kedua-duanya tidak betul. Kalau begitu, sastera Melayu nampaknya berada dalam keadaan yang amat bercelaru, dalam dunia kerancuan intelektual, yang amat teruk.

Sungguh hebat sastera Melayu ini!  Rasanya tidak perlu dibincangkan lagi. Biarlah para sarjana ciritan dan sasterawan picisan bermaharajalela meneruskan tradisi kerancuan intelektual ini.  Saya tinggalkan pandirisme dan Gagasan Persuratan Baru untuk memerhatikan mereka.

Mohd. Affandi Hassan,
18 Jun 2017.

No comments:

Post a Comment