Kesilapan
terbesar, dan paling bodoh, yang pernah dilakukan orang Melayu ialah apabila
mereka menyokong dan memberi peluang kepada seorang manusia bernama Mahathir
Mohammad (kemudiannya bergelar Tun) untuk menjadi pemimpin mereka dalam UMNO.
Tunku Abdul Rahman telah memberi amaran bahawa Mahathir Mohammad adalah seorang
pembohong besar, tetapi nampaknya tiada siapa memberi perhatian kepada amaran
Tunku. Akhirnya seluruh orang Melayu dicucuk hidung oleh Tun Dr. Mahathir
Mohammad, digiring ke sana ke mari untuk membuktikan beliau mendapat sokongan
Melayu. Hanya baru sekarang mereka sedar mereka telah ditipu selama 22 tahun
plus 2 tahun kerana menerima manusia bernama Mahathir Mohammad itu menjadi
pemimpin mereka. Segala-galanya telah terlewat, kemusnahan terlalu banyak
dilakukan oleh orang yang bernama Mahathir ini. Kelantan dan seluruh negeri
Pantai Timur ditinggalkan terbiar, malah ketika orang ini sedang memuncak
pengaruhnya, dia menindas kawasan PAS ini untuk mengajar orang Melayu supaya
tidak menyokong PAS.
Yang paling celaka tentang sesiapa
juga yang bergelar manusia yang menjadi pemimpin ialah semua keputusan yang
dibuatnya adalah untuk dirinya, untuk kemegahan dirinya supaya diberi gelaran
sebagai seorang pemimpin yang hebat. Itulah pegangan Mahathir Mohammad, yang akhirnya berakhir
dengan penipuan demi penipuan. Jika anda
mahu tahu cerita sebenar tentang manusia ini, bacalah analisis dan ulasan dalam
YouTube yang diberikan dengan terperinci oleh Jufazli Shi Ahmad. Anak muda ini perlu diberi perhatian kerana
usahanya memberi maklumat penting tentang penipuan tokoh-tokoh politik yang
kesemuanya menjadikan penipuan sebagai panduan mereka untuk mendapat kejayaan
politik yang tidak kekal dan yang pasti akan menjadi kutukan masyarakat sebaik
saja masyarakat tahu tentang pengkhianatan tokoh-tokoh politik ini. Yang menarik perhatian ialah tokoh-tokoh
politik yang menggunakan Islam sebagai teras politik mereka sama jahatnya
dengan tokok politik sekular yang memang sepanjang hidupnya hanya mengumpul
harta untuk memperkaya diri dan para kroni serta kaum keluarga terdekat. Berapakah jumlah kekayaan yang dipunyai Tun
Dr. Mahathir Mohammad anak-beranak?
Walaupun mereka simpan wang mereka di Bank of Israel di Singapura,
Jufazli Shi Ahmad boleh memberikan anda nombor
akaun orang kaya Malaysia ini. Dalam politik, mencuri dan menipu adalah
kewajipan penting seorang tokoh politik yang ingin berjaya. Tidak ada
pengecualian, kecuali jika ahli politik itu seorang pemimpin tulen yang
berjuang untuk membela rakyat. Jelaslah Tun Dr. Mahathir anak-beranak tidak
boleh digolongkan dalam kumpulan ini. Tokoh politik yang menjadikan agama
sebagai unta mereka pun melakukan perkara yang sama. Kemahiran berpolitik bukan
untuk mendapat tempat istimewa di akhirat, sebaliknya untuk mendapat kejayaan
cemerlang di dunia, terkenal dan dikagumi para penyokong. Contohnya ramai di Malaysia, dan anda tentu
tahu siapa mereka.
Tun Dr.
Mahathir Mohammad dengan jujur telah memberitahu kepada kita semua bahawa
beliau telah berbohong dalam kempen pilihan raya 2018, kerana dia dengan jujur
mengaku dia tidak yakin akan menang. Kejujuran untuk berbohong dan mengaku
dengan jujur pula seseorang ahli politik berbohong, adalah satu tindakan yang
amat dikagumi oleh ahli politik dan para pengundi yang memberi kemenangan
kepada pembohong tadi. Kata Tun Dr.
Mahathir Mohammad degan jujur, bayaran toll tidak boleh dihapuskan walaupun
telah dijanjikan, kerana wang yang dikutip diperlukan untuk memelihara lebuh
raya itu tidak rosak. Katanya, wang itu digunakan untuk kesejahteraan rakyat
yang menggunakan lebuh raya itu.
Bolehkah kita berkata, ahli politik yang dengan jujur mengaku dia
berbohong, kejujurannya itu akan membawanya ke syurga? Tetapi, siapakah di
antara ahli politik yang percayakan adanya syurga dan neraka? Walaupun mereka
sering berkata kepada lawan mereka, You
can go to hell!
Dengan itu
para pembohong ini akan terus menang dan menjadi tokoh besar yang menguasai
pentadbiran negara, dan layak diberi bintang kehormatan yang dikeluarkan oleh
negara. Demikianlah pembohongan
memainkan peranan penting, malah peranan utama, dalam percaturan politik dan
sesiapa juga yang bijak berbohong akan diberi kedudukan istimewa sebagai tokoh
negara yang menguasai pentadbiran negara.
Dalam politik, seseorang yang pandai berbohong akan diberi dan mendapat
kedudukan mulia dalam negara dan di mata rakyat. Tetapi di sini terjadi satu
keanehan yang agak lucu. Jika itulah kedudukannya, mengapa seseorang yang kalah
didakwa telah menipu dan rasuah? Sekiranya menipu dan melakukan rasuah itu
sebahagian daripada tindakan politik yang perlu dilaksanakan dengan jujur, mengapa
pula para penipu dan perasuah didakwa di mahkamah jika mereka kalah? Itulah
yang lucunya… Lebih lucu lagi, Tun Dr.
Mahathir Mohammad yang dengan jujur mengaku dia berbohong untuk menang pilihan
raya, tidak pula diseret ke mahkamah. Demikianlah untungnya sekiranya anda
muncul sebagai seorang tokoh yang menang. Anda tidak akan didakwa kerana telah
melakukan penyelewengan dan pembohongan. Itulah hakikat politik yang membuat
politik itu sangat menarik. Inilah
antara keistimewaan yang dimiliki oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam politik
Malaysia.
(Catatan:
Dalam beberapa entri yang lepas, saya telah memberi beberapa judul buku
mengenai persoalan ini. Sesiapa juga yang berminat boleh rujuk entri berkenaan. Antaranya buku The Democratic Facade.)
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 7 Julai 2020.
No comments:
Post a Comment