Thursday, July 23, 2020

SALAKAN ANJING DALAM POLITIK MALAYSIA

Patutlah seorang novelis dari Britain menulis sebuah novel berjudul Animal Farm, cerita tentang Babi yang menjadi pemimpin besar sebuah negara babi. Rupanya negara babi itu memang wujud, dipimpin oleh para babi hutan yang kini berkeliaran di seluruh Kelantan selepas banjir besar 2014. Dari Hulu Kelantan sampai ke Tumpat, babi berkeliaran sebelah menyebelah sungai. Di kampung saya, Kg. Seberang Pasir Mas, ramai sungguh babi hutan yang besar-besar setinggi pinggang orang dewasa berkeliaran di kampung kami, sehingga kampung kami tidak lagi dapat menghasilkan apa-apa jenis sayuran kerana dibaham oleh  babi hutan. Babi hutan ini pun kadang-kadang masuk ke bandar Kota Bharu mencari makan, mengacau umat manusia yang menjadi penyokong PAS selama-lamanya. Tak boleh buat apa, babi itu terlalu ramai. Jadi begitu kerana kerajaan PAS tebang kayu balak tepi sungai, jadi air hujan turun seperti air terjun, menghanyutkan rumah, membongkar jambatan … Banjir  besar 2014 yang membawa babi ke seluruh Kelantan akibat penebangan balak di tepi sungai. Sungguh celaka sesiapa juga yang memberi kebenaran menebang balak ini.  Menurut rakyat Kelantan yang hanya berani membisikkan, inilah kerja PAS yang memerintah Kelantan, cara mudah mendapat wang. Siapakah tauke balak yang jahat itu? Rakyat Kelantan tahu siapa dia, tetapi saya tidak percaya dia berasal dari Singapura. Sesiapa yang betul-betul tahu cerita ini bolehlah beritahu kami semua cerita sebenarnya. Kita hendak tahu mengapa babi hutan kini menjarah seluruh Kelantan, memusnahkan segala tanaman dan berkeliaran di rumah-rumah orang kampung.

Tokoh-tokoh dalam Animal Farm kini berada dalam politik Malaysia, kononnya diberi kuasa oleh rakyat untuk memerintah mereka. Ketua babi dalam Animal Farm diberi nama Napoleon, kerana orang Inggeris amat marah dengan general Perancis yang hebat itu, yang pengaruhnya amat besar dalam tamadun Barat moden.  Hingga kini pun tiada seorang pun tokoh British yang sebesar-besarnya yang dapat menandingi Napoleon; oleh itu cara terbaik untuk menghina Perancis dan Napoleon ialah dengan memberi nama Ketua Babi itu dengan nama Napoleon!

Benarkah Napoleon yang muncul dalam Animal Farm itu terdapat juga dalam politik Malaysia. Siapakah orangnya?  Tokoh itu memang wujud dalam politik Malaysia, oleh itu terpulang kepada anda untuk membuat pilihan anda sendiri. Cuma anda perlu ingat, Napoleon yang dimaksudkan di sini ialah yang terdapat dalam Animal Farm, bukan Napoleon yang dari Perancis. Ini mesti jelas, supaya anda tidak keliru dalam menentukan kemunculan tokoh Animal Farm ini dalam politik Malaysia. Tokoh ini sudah lama bermaharajalela dalam politik Malaysia, yang dengan angkuh menjadikan dirinya sebagai pembina Malaysia Baru, padahal yang berlaku adalah sebaliknya.  Tokoh Animal Farm Malaysia ini kini sudah disisihkan kerana tokoh-tokoh politik Malaysia sudah sedar bahawa manusia yang dari Animal Farm ini mengganggu ketertiban politik dalam negara Malaysia.  Walaupun dia terus berdegil mahu terus berada dalam Animal Farm supaya gelaran Napoleon itu kekal, namun masyarakat politik Malaysia sudah sedar tentang penipuan dan pengkhianatannya dalam politik Malaysia selama ini.

Kemusnahan sudah berlaku di mana-mana dalam negara Malaysia, hasil usaha ketua babi hutan yang menjadikan Malaysia sebuah Animal Farm supaya mudah dikuasai oleh tokoh gila ini.  Tokoh gila yang ketagih kuasa ini masih berusaha untuk mendapat kembali kuasanya sebagai Napoleon Malaysia seperti yang terdapat dalam Animal Farm,  seolah-olah Malaysia tidak mempunyai tokoh  berkaliber seperti Ketua Babi hutan yang kini sedang menggila untuk mendapat kuasa balik setelah kuasa itu dicuri, lebih tepat disentap, oleh seekor tokoh lain yang kini berusaha gigih untuk mengekalkan kuasa curiannya.  Semua ini terjadi dalam politik Malaysia gara-gara kegilaan Napoleon Malaysia seperti yang diceritakan dalam novel Animal Farm itu.  Sampai sekarang tokoh agung Animal Farm Malaysia ini percaya dialah pembina Malaysia Baru yang maju, dengan memiskinkan orang Melayu di Pantai Timur supaya tidak memilih selain beliau dan rakan-rakannya sebagai tokoh Malaysia yang layak berkuasa sebagai pemimpin rakyat. Inilah kesilapan besar orang Melayu, apabila mereka sanggup diperbodohkan dan diperkuda oleh seorang tokoh politik yang menurut Tunku Abdul Rahman seorang pembohong besar yang tidak boleh dan tidak patut dipercayai sama sekali. Amaran telah dibuat, tetapi orang Melayu masih membuntut tokoh yang mereka tahu telah mengkhianati mereka, tetapi mereka tetap “sayang” (?).  Adakah ini masalah psikologi atau masalah kebodohan asasi yang turun temurun di kalangan pengundi Melayu atau orang Melayu secara umum?  Kini orang Melayu digelar dengan gelaran baru oleh tokoh politik yang mereka sanjung, sebagai bangsa yang bacul yang tidak mahukan kemajuan walaupun telah diusahakan oleh kerajaan di bawah tadbirannya. Kenyataan ini sangat pelik, dan jahat, kerana ia merupakan bukti yang nyata tentang penipuan dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap orang Melayu yang telah dilakukan oleh tokoh yang mereka hormati dan percayai.

Kita perlukan jawapan yang tepat terhadap persoalan mengapa orang Melayu anggup diperbodohkan dan dikhianati oleh pemimpin mereka? Mereka terus miskin tetapi para pemimpin mereka yang mereka hormati kaya raya dan semakin kaya setiap kali memenangi pilihan raya dan diberi kedudukan?  Nampaknya orang Melayu tidak nampak penipuan dan pengkhianatan yang mereka terima daripada para tokoh politik yang mereka sanjung, yang boleh kita lihat dalam kedudukan ekonomi mereka yang tidak berubah padahal begitu banyak  wang, kononnya, dibelanjakan  untuk memajukan orang Melayu.  Di mana silapnya, atau kesilapan itu memang disengajakan oleh pemimpin atau tokoh politik yang diikuti oleh orang Melayu?  Saya sudah membaca beberapa analisis mengenai persoalan ini, tetapi nampaknya Melayu masih lagi berada dalam keadaan “sarung indeks” yang dibangkitkan oleh Prof. Ungku Aziz lama dulu, ketika meneliti kemiskinan Melayu di Terengganu. Sejauh mana sarung indeks ini telah lenyap dalam kehidupan biasa orang Melayu yang diakui oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad masih terus miskin dan terbiar?  Adakah ini kesilapan pemimpin politik yang telah menipu mereka, atau mereka sendiri tidak mahu berubah?

Kalau tidak ada penipuan, pembohongan dan pengkhianatan, maka itu bukan politik. Di mana saja di dunia ini, kalau seseorang itu menggelar dirinya seorang ahli politik, maka dia akan melakukan tiga perkara itu; malah jika dia tidak melakukannya dia bukanlah seorang ahli politik yang sebenar.  Jika anda ikuti perkembangan politik masa ini di Amerika Syarikat, itulah yang anda akan dengar dan dibincangkan berkali-kali supaya para pengikut, yang akan memberi undi nanti, akan faham peranan mereka.  Inilah teras demokrasi, seperti yang telah dihuraikan dengan mendalam dalam beberapa buah buku yang pernah saya senaraikan dalam blog ini.  Demokrasi adalah alat kapitalis untuk mengangkat wakil-wakil mereka supaya undang-undang yang akan digubal nanti memihak kepada mereka. Tentu saja contoh terbaik ialah yang dilaksanakan dengan gigih sekali di Amerika Syarikat dari dulu hingga sekarang. Di Malaysia juga begitu, seperti yang dibuktikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad. (Baca balik tulisan Dr. Rosli Khan dalam Harakah 14 Mac 2012).

Kerana penipuan dan pengkhianatan ini sudah dijadikan amalan utama dalam demokrasi, termasuk yang dilaksanakan dengan gigih di Malaysia, maka demokrasi sudah dijadikan pelacur politik yang sungguh memuaskan hawa nafsu sesiapa juga yang mendapatnya. Di Malaysia sejak beberapa bulan ini sudah ada istilah baru “kerajaan tebuk atap”, kerajaan “pintu belakang” dan beberapa gelaran lagi yang menjadi bukti bahawa demokrasi ditunggangi seperti pelacur yang menjadi rebutan setiap ahli politik kerana keseronokan yang akan mereka dapat selepas mendapat pelacur demokrasi yang menjadi rebutan semua ahli politik itu, termasuk yang menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk mendapat kuasa dan kemewahan.  Seperti pelacur, demokrasi boleh dijual beli, boleh dirasuahkan kepada pengundi yang memang mengharapkan habuan tertentu dalam pertandingan merebut kuasa itu.

Hari ini, 14 Julai 2020, Dewan Rakyat bersidang.  Begitu hebat tuduh menuduh dan kutukan sesama sendiri pada hari pertama Dewan R. Sesiapa yang pernah melihat anjing bertengkar, boleh membayangkan kebisingan itu. Penipu dan pengkhianat besar paling kuat jeritannya dan penafiannya terhadap kejahatan yang telah dilakukannya, padahal dia tahu semua ahli Parlimen tahu  ceritanya. Tetapi cerita itu tidak penting, oleh itu tidak perlu diketahui kerana dalam politik demokrasi yang berasaskan mobilization of bias, tidak ada penipuan yang dimaksudkan, yang ada hanya pujukan supaya pengundi mempercayai mereka.  Dengan itu demokrasi dapat diselamatkan sebagai satu sistem politik daripada sebarang penipuan. Inilah hujah tokoh agama ketika menerima demokrasi sama kedudukannya dengan syura.
NONE






Mohd. Affandi Hassan,

 Petaling Jaya.

No comments:

Post a Comment