Monday, July 20, 2020

USAHA YANG SIA-SIA DAN MEMBUANG MASA

(Sebuah rencana yang wajar difikirkan dengan saksama maksud dan maknanya dalam perkembangan persuratan Melayu.)


            Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional yang diadakan di Port Dickson, 4-6 Ogos 2006, anjuran Pena/DBP, telah berjaya menerbitkan dokumen setebal 591 halaman, diberi judul Persuratan dan Peradaban NasionalTujuan dan matlamat seminar itu ialah untuk merumuskan sejenis dasar baru yang dipanggil Dasar Kesusasteraan Kebangsaan (juga dipanggil Dasar Sastera Nasional; kemudian dibesarkan menjadi Dasar Seni Kebangsaan, dan lain-lain nama yang seiras). Dasar itu tidak dimuatkan dalam buku berkenaan, barangkali belum sempat dibincangkan, atau mungkin juga terlalu banyak pertelagahan dari segi memberi nama, menentukan ukuran yang hendak dipakai, atau boleh jadi juga masih terlalu kabur kerana terdapat jerebu intelektual yang tebal, oleh itu prinsip-prinsip yang hendak dipakai tidak nampak dengan jelas.
            Sesiapa juga yang membaca dokumen ini dengan kritis akan berasa amat terkilan kerana masalah yang hendak dibincangkan tidak dijelaskan dengan sempurna dan terang. Apa sebenarnya yang menjadi masalah? Tidak cukup hanya dengan berkata sambil lewa bahawa sastera Melayu dipinggirkan, diketepikan, tidak diberi tempat yang setaraf dengan sains, sehingga memerlukan sebuah dasar. Siapakah yang memerlukan dasar itu? Sebagai seorang penulis, saya tidak perlukan apa-apa dasar untuk menjadi panduan saya. Panduan itu terdapat dalam tradisi Islam, tradisi Melayu, selain sudah disimpulkan dengan kemas dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Jadi masalahnya bukan tidak ada “dasar”. Masalahnya “dasar” itu tidak mahu diikuti, malah sering kali dimusuhi dan ditentang membuta tuli. Jadi masalah kita bukan masalah dasar, tetapi masalah ilmu.
            Kerana masalah ilmu ini tidak beres, maka pelaksanaannya menjadi masalah besar. Masalah pertama, pelajar sastera di universiti terdiri daripada kumpulan pelajar yang kurang pintar. Yang pintar-pintar dimasukkan dalam aliran sains. Hal ini terjadi kerana pembuat dasar pendidikan kita terdiri daripada orang yang keliru konsep ilmunya, oleh itu mereka tidak sedar bahawa yang mereka lakukan melalui dasar pendidikan ialah meruntuhkan peradaban, bukan membinanya. Peradaban bermula dari manusia yang berfikir, dan ini hanya terdapat di kalangan ahli fikir, penulis, ahli sejarah, ahli bahasa (pakar nahu), ahli matematik. Dalam peradaban Islam, yang memberi wajah kepada peradaban itu ialah para ulama, ahli sejarah, ahli nahu, ahli falsafah, ahli matematik, dan para penulis yang dididik oleh tokoh-tokoh dalam bidang itu. Dasar utama sesebuah peradaban ialah bahasa dan matematik, bukan sains dan teknologi. Oleh itu, kita perlu bincangkan dua dasar utama pembinaan tamadun ini. Tokoh yang layak membicarakan aspek ini ialah seorang pakar dalam sejarah intelektual, yang boleh berbicara dengan meyakinkan bagaimana bahasa dan matematik memainkan peranan yang definitif dalam pembinaan tamadun manusia. Sains dan teknologi wujud setelah dua bidang ini dikuasai, bukan sebaliknya. Para sasterawan, pengkritik sastera dan sarjana yang mengajar sastera perlu jelas tentang perkara ini, kerana inilah dasar peradaban.
            Di mana letaknya sastera? Sastera yang bermutu hanya akan lahir daripada penulis yang mahir menggunakan bahasa, dan mahir pula menggunakan konsep, pemikiran, dan logik. Pengajaran sastera di Malaysia dipermudahkan begitu rupa dengan memberi penekanan kepada aspek cerita dan pembinaan cerita yang sering kali tidak masuk akal, sehingga akhirnya karya sastera menjadi beku, kaku, gersang, membosankan, dan sangat cetek analisisnya. Cerita-cerita yang cetek dan dangkal seperti dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan atau Seorang Tua di Kaki Gunung diberi pujian tinggi, dijadikan teks dalam pengajaran sastera, walaupun ceritanya bertentangan dengan akal sihat. Pengajaran sastera di Malaysia menjadi sejenis proses songsang untuk mengajar murid-murid menjadi bodoh, bukan mencergaskan pemikiran mereka. Ini terjadi kerana penilaian yang dibuat tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Kalau anda mahukan buktinya, lihatlah bagaimana sastera kita dinilai, seperti yang dapat dilihat dalam Wacana Novel Abad 20 anjuran DBP (Disember 2005); juga penilaian yang dibuat oleh panel Anugerah Sastera Negara. Merekalah yang jadi penghalang perkembangan pemikiran dalam sastera, yang membantut kemajuan dalam penulisan kreatif. Para penilai ini keliru dalam konsep ilmu dan diragui cita rasa sasteranya. Bagaimana orang-orang ini boleh merumus dasar sastera jika merekalah yang menjadi penghalang pembinaan sastera yang berteraskan ilmu yang benar? Tidak mungkin lahir dasar yang baik daripada golongan yang keliru ini.
            Jadi bereskan dulu konsep ilmu. Tetapi inilah yang ditolak oleh sarjana, pengkritik dan sasterawan. Mereka mengejek apa juga yang mereka anggap sebagai pandangan yang bersifat preskriptif (hal. xiii, Pengenalan) ketika menyinggung gagasan Persuratan Baru; tetapi mereka menerima dan mendesak supaya diterima apa yang mereka sebut Dasar Kesusasteraan Nasional, yang seratus peratus bersifat preskriptif itu. Dolak-dalik begini memperlihatkan sikap mereka yang anti-intelektual, yang berasa sangat pandai, tetapi sebagai sarjana tidak berupaya mengkritik sebuah gagasan cetek sekalipun seperti gagasan Persuratan Baru. Keengganan untuk berbahas secara rasional dan akademik tentang masalah ilmu ini membuat golongan anti-intelektual ini berebut-rebut memperagakan sikap negatif mereka terhadap ilmu, tanpa sebarang usaha bersungguh-sungguh dan jujur untuk memahami pandangan orang lain yang mereka anggap remeh. Apabila sarjana meremehkan ilmu, lebih-lebih lagi jika sarjana itu berada di universiti sebagai pengajar, maka hasilnya ialah kehilangan adab. Bagaimana orang-orang seperti ini boleh bercakap tentang peradaban?
            Perbincangan tentang “peradaban” menjadi begitu cetek dan keliru apabila soal pokok tentang konsep ilmu yang benar itu diketepikan. Perhatikan pemahaman mereka tentang konsep “persuratan” dan “kesusasteraan”. Sekali lagi mereka keliru, tidak dapat membezakan dua konsep penting yang menjadi tajuk seminar mereka. Paling baik yang mereka dapat berkata tentang dua konsep ini ialah: “Soal nama, sama ada kesusasteraan atau persuratan, boleh difikirkan semula kerana kedua-duanya membawa makna yang bertindih dan berbeza sekali gus” (hal. 522). Jika itulah pendirian penganjur, maka apa gunanya diadakan seminar tentang “peradaban dan persuratan” jika tajuk itu tidak mahu dibahaskan dengan mendalam dan bertanggungjawab? Mengapa mesti difikirkan semula jika seminar itu memang diadakan untuk memikirkan persoalan itu? Akhirnya yang digembar-gemburkan ialah soal-soal remeh-temeh di sekitar “peminggiran” sastera dalam pendidikan dan kecilnya ruang sastera di akhbar; atau penerimaan masyarakat (dengan andaian, sastera Melayu tidak bermutu dan tidak bersifat kebangsaan jika diragui dan tidak diterima oleh orang bukan Melayu, seolah-olah merekalah yang menentukan sifat kebangsaan sastera tersebut); atau tentang perlunya meniru teknik Barat untuk memastikan karya itu berupaya menjadi “mahakarya”. Semua preskripsi ini akhirnya disimpulkan dalam sejenis keangkuhan yang agak biadab apabila dengan beraninya ditegaskan bahawa sastera Melayu itu terkurung  dalam tradisi Melayu-Islam, oleh itu tidak akan maju-maju (hal. 280). Jika sebuah seminar yang begitu mahal ongkosnya, yang mengumpulkan begitu ramai golongan intelektual kelas pertama bertaraf dunia, pada akhirnya mengusulkan tradisi Melayu-Islam itu menjadi penghalang kemajuan, yang “mengurung” sastera Melayu dalam dunianya yang sempit dan terasing, oleh itu harus “dipecahkan” dengan mewujudkan apa yang dinamakan “sastera kebangsaan” (dan Dasar Kesusasteraan Kebangsaan yang menjadi payungnya), maka seminar Pena/DBP ini tidak saja hanyut begitu jauh dalam khayalan liar, tetapi menolak hakikat sejarah dan keadaan semasa yang ditegaskan dengan jelas dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Tentulah sangat menghairankan, dan sukar difahami, apabila seorang sarjana tidak tahu menahu tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan (yang barangkali masih terpakai, atau sudah diketepikan?), yang dengan tegas menetapkan bahawa kebudayaan kebangsaan itu berteraskan kebudayaan rantau Nusantara, dengan Islam sebagai unsur penting. Adakah Dasar Kesusasteraan Kebangsaan bertujuan mengetepikan Dasar Kebudayaan? Jika kesimpulan yang disebut tadi boleh dipercayai (mengapa penulisnya perlu berbohong?), maka nampaknya begitulah.
            Kekeliruan dan kekacauan seperti ini terjadi kerana tidak dibahaskan dengan mendalam konsep “persuratan” dan konsep “sastera” tadi. Jika hal ini telah jelas, tidak akan timbul kutukan bahawa sastera Melayu terkurang dalam kepompong Melayu-Islam yang menjadi sebab kemundurannya, kerana sejarah, seperti yang dibuktikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, telah membuktikan tanpa syak lagi bahawa Islam itulah yang telah mentakrifkan dan menjadi umbi kemajuan orang Melayu dalam semua bidang kehidupan mereka. Apakah alasan Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional untuk menolak hakikat sejarah ini?
            Memahami perbezaan antara konsep “persuratan” dengan “sastera”  adalah penting, kerana konsep “sastera” itu tidak saja baru, tetapi secara kognitif dan praktik berselirat dengan kekeliruan dari aspek epistemologinya. “Sastera” bukan bahasa yang indah, seperti yang dijeritkan oleh para sasterawan dan sarjana sastera; tetapi tidak lain daripada lubuk kotor yang penuh bau hanyir, busuk, hancing, masam dan sebagainya. Hal ini akhirnya disedari oleh SN Shahnon Ahmad, yang mengaku kesilapannya dan memohon maaf daripada pembaca yang telah tertipu dengan karya sastera ciptaannya (rujuk Mingguan Malaysia, 12/3/2006). Sebaliknya konsep persuratan itulah yang harus diterima dan dijadikan asas pembinaan tamadun, seperti yang telah dibuktikan dari sejarah. Seminar ini telah mengambil langkah dan keputusan yang betul dengan menggunakan istilah persuratan, tetapi semuanya menjadi bercelaru apabila istilah itu dipakai seolah-olah seerti dan sama dengan istilah kesusasteraan. Kekeliruan ini perlu dibereskan. Yang paling senang dilakukan oleh sesiapa saja yang ingin membahaskan perkara ini dengan mendalam dan bermakna, ialah dengan mengkritik gagasan Persuratan Baru, yang memang dijana untuk menjadi panduan dalam penulisan kreatif Abad 21. Wallahu a’lam.

Petaling Jaya,

4 September 2006.

No comments:

Post a Comment