Adakah politik, seperti yang
diamalkan sekarang, satu kegiatan haram? Maksudnya, Islam tidak menerima demokrasi dan sistem pilihan
raya yang dianjurkan oleh demokrasi kerana demokrasi dan pilihan raya
berasaskan pembohongan dan penipuan yang diaktakan
menurut sistem undang-undang Barat.
Anda mesti faham premis yang dikemukakan di sini sebelum anda memberi atau
membuat keputusan bersetuju atau menolak. Bagi orang Islam, persoalan ini penting
kerana seluruh amal ibadat mereka akan sia-sia jika mereka menjadikan sistem
demokrasi Barat sebagai asas mereka berpolitik, tanpa menyedari dan mengetahui
bahawa sistem demokrasi itu diasaskan kepada pembohongan dan penipuan yang
dibenarkan dengan maksud untuk menarik minat pengundi untuk memilih calon yang
mereka fikir boleh memberi faedah kepada keselesaan kehidupan mereka. Ini disebut dalam teori demokrasi Barat
sebagai mobilization of bias, yang dalam konteks Malaysia
diwujudkan dalam manifesto pilihan raya sesebuah parti yang bertanding. Contoh
terbaik ialah Wawasan Kemakmuran Bersama
2030 yang diterbitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad setelah beliau mengaku
Wawasan 2020 sudah gagal, digagalkan
oleh dua orang PM selepas beliau.
Sudah tiba
masanya perkara ini diberi perhatian oleh rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Bagaimana kedudukan ibadat mereka jika mereka terlibat dalam pembohongan dan
penipuan, sekurang-kurangnya percayakan mereka yang menipu dan berbohong itu
untuk diangkat menjadi ketua mereka sebagai menteri dan Perdana Menteri.
Masalah ini
sekarang sedang didebatkan bila kedudukan PM ke 8 dipersoalkan sebagai PM tebuk
atap, yakni yang didapatkan melalui penipuan politik, dan diteruskan dengan
segala macam projek yang berunsurkan penipuan itu untuk menarik minat penyokong
yang boleh mempertahankan kedudukan PM tebuk atap itu. Dari segi demokrasi yang
diamalkan sekarang, PM ke 8 ini tidak mendapat kuasa dalam pilihan raya, malah
melalui “pembelian” sokongan dari kalangan para political opportunists yang ramai di Malaysia. Walau bagaimana pun, persoalan ini tidak
wujud dan jika wujud sekali pun ia merupakan persoalan remeh temeh yang
ditimbulkan oleh mereka yang tidak mendapat kuasa walaupun mereka berusaha
mendapatkannya. Dalam persoalan penting
ini, semua
tokoh politik yang berasaskan Islam menerima penipuan dan pembohongan ini
sebagai alat politik yang sah, oleh itu sesuai dan serasi dengan nilai-nilai
Islam. Keghairahan kepada kuasa politik mendorong mereka melakukan
korupsi politik yang amat hebat dan berani dengan menggunakan kedudukan mereka
sebagai tokoh Islam.
Saya telah
banyak menulis mengenai aspek ini, tetapi tidak mendapat perhatian masyarakat
kerana mereka sudah selesa berada dalam dunia penipuan dan pembohongan politik
yang sudah dibudayakan di Malaysia. Semua
tokoh politik ini menegaskan bahawa kuasa politik yang mereka dapat adalah
sesuai dengan kehendak Islam yang dipraktikkan di Malaysia, dengan memberi
bukti dalam contoh bekas seorang Mufti telah diangkat menjadi Menteri Agama
yang sah dan sesuai dengan fatwa politik yang diungkap oleh Mufti itu dalam
kehidupan barunya sebagai seorang Menteri yang dilantik khusus untuk
“menghalalkan” politik tebuk atap ini.
Sekiranya politik tebuk atap tidak wujud sekali pun, kemunculan Mufti
ini sebagai ahli politik dan seorang Menteri masih bertentangan dengan Islam.
Perkara ini menjadi “halal” dengan adanya fatwa Mufti ini yang tidak
dinyatakan, tetapi dilakukan oleh beliau melalui penyertaannya dalam
politik. Seperti biasa, orang Malaysia
yang beragama Islam tidak ambil kisah, kerana mereka sudah dibiasakan dengan
perilaku haram jadah yang diangkat menjadi perilaku terpuji atas nama politik.
Perilaku
haram jadah ini sudah diterima oleh masyarakat Melayu yang mengaku mereka
beragama Islam dengan memberi hujah bahawa dalam Islam terdapat konsep syura
yang sama dengan demokrasi. Hal ini telah diberi penjelasan yang salah oleh
Ketua PAS yang bernama Haji Hadi Awang dalam bukunya mengenai sistem politik
demokrasi di Barat dan syura dalam Islam. Kesan saya membaca buku ini amat
negatif, tidak tepat dengan sistem politik Barat yang bernama demokrasi itu dan
huraian beliau tentang syura dalam Islam pun kabur dan mengelirukan. Tokoh
politik yang menggunakan Islam sebagai tunggangannya ini tidak faham istilah
dan konsep demokrasi Barat. Dia tidak pernah dengar istilah yang terkenal di
Barat, mobilization of bias, yang
digunakan dalam demokrasi untuk memujuk pengundi supaya memilih calon tertentu
daripada parti tertentu. Konsep mobilization
of bias ini tanpa diketahui makna dan matlamatnya digunakan seluas-luas
oleh PAS dalam kempen politik mereka. Mereka tidak sedar mereka menggunakan
konsep politik demokrasi yang bertentangan dengan konsep syura dalam Islam.
Kalau anda membaca buku Haji Hadi Awang tentang demokrasi dan Islam anda dapat
merasakan betapa ceteknya huraian beliau tentang konsep demokrasi dalam politik
Barat dan bagaimana syura dalam Islam itu bertentangan dengan konsep demokrasi
yang berasaskan mobilization of bias itu.
Melalui
sistem demokrasi Barat, masyarakat
Melayu tertipu sepanjang hidup mereka dengan memilih tokoh-tokoh politik yang
mengkhianati kepercayaan mereka untuk menjadi kaya raya dan berpengaruh dalam
masyarakat walaupun mereka adalah golongan penipu yang nyata. Kesan penipuan
ini sangat jelas bila kita analisis kemajuan dan pembangunan yang ada di Pantai
Timur, yang hingga kini menjadi kawasan terpinggir dari pembangunan dan terus
menerus ditinggalkan mundur jika dibandingkan dengan bahagian sebelah Barat
Semenanjung. Ini adalah bentuk kezaliman
politik, sosial dan ekonomi yang dipaksakan ke atas rakyat daerah Pantai Timur
itu. Tidakkah ini satu perbuatan fasad
yang disebut dalam al-Quran? Saya cabar
para ulama untuk menafikan kesimpulan ini, jika mereka bukan ulama palsu yang
menggunakan agama untuk mendapat faedah politik dan kekayaan ekonomi dalam
kehidupan peribadi mereka.
Kemunculan
tokoh politik palsu dan penipu dalam politik Malaysia memerlukan catatan untuk
menjadi panduan para pengundi, supaya mereka tidak tertipu dan ditipu setiap
kali diadakan pilihan raya. Untuk mencapai maksud ini, kita perlukan satu
senarai lengkap mengenai tokoh politik dari semua parti, menceritakan kegiatan
mereka dan sejauh mana mereka boleh dipercayai. Untuk mencapai maksud ini, kita
perlukan ukuran yang boleh difahami oleh para pengundi, supaya mereka tidak
tertipu lagi setiap kali diadakan pilihan raya.
Kita perlu menubuhkan satu badan khusus untuk membuat kerja yang amat
diperlukan oleh para pengundi ini, supaya setiap kali diadakan pilihan raya
mereka dapat mengenal pasti tokoh yang boleh dipercayai dan yang boleh didekati
untuk diberi peringatan supaya tidak menipu dalam kehidupan politik mereka. Kita mesti menghalang tokoh politik penipu
dan pengkhianat ini daripada mendapat kuasa, supaya kekayaan negara dan
kehidupan rakyat terjamin. Rakyat juga mahu tahu harta kekayaan para pemimpin
mereka sebagai bukti bahawa mereka tidak menggunakan politik untuk mendapat
kekayaan. Pada waktu ini kekayaan negara dikuasai oleh segelintir tokoh politik
dan konco-konco mereka yang membantu mereka memenangi pilihan raya dan setelah
itu mereka diberi segala kemudahan untuk mendapat kekayaan negara. Inilah yang
terjadi, inilah hakikat gerakan politik Malaysia. Dan seluruh dunia. Politik
dengan itu merupakan satu gerakan yang amat korup dan umat Islam sepatutnya
diharamkan daripada menganggotai kumpulan korup ini, yang bergelar parti
politik. Memilih pengkhianat dan penipu sebagai pemimpin umat Islam adalah satu
dosa besar. Saya cabar para ulama untuk menafikan kesimpulan penting ini.
Seterusnya,
bolehkah diberi jaminan para pemimpin yang mengaku mereka tokoh agama ini
benar-benar boleh dipercayai, dan tiada seorang pun dari mereka yang korup. Untuk
mencapai maksud ini, kita harus memberi definisi yang paling tepat tentang
konsep korupsi itu; dalam konteks inilah dicadangkan supaya kita menggunakan
konsep fasad yang dipakai dalam al-Quran untuk memberi penjelasan mengapa
perbuatan yang menyeleweng ini dilakukan manusia. Apakah matlamat yang ingin mereka capai
melalui kegiatan korup yang mereka lakukan? Dalam politik Barat, korupsi adalah
unsur penting yang mesti dilaksanakan dengan bijaksana oleh parti politik,
dengan menggunakan retorik tertentu untuk menutup korupsi terpendam itu daripada
kelihatan dengan jelas oleh para pengundi.
Contoh terbaik ialah yang berlaku di Amerika Syarikat dan negara-negara
Eropah, seperti contoh yang diberikan
dalam buku-buku berikut (lihat senarai
dalam entri 22 Jun 2020).
Telah
diterbitkan sebuah buku yang sangat penting dan wajib (wajib di sini dengan maksud sangat digalakkan) dibaca oleh semua
ahli politik Malaysia dan para wartawan serta manusia yang berkeliaran dalam
badan-badan bebas (?) yang kononnya memerhatikan dengan teliti masalah negara dalam
konteks penipuan para penggiat politik dalam usaha mereka mendapat kedudukan
dalam pentadbiran negara. Buku ini
mengenai korupsi dalam Parlimen Inggeris. Judul dan pengarang: Sleaze: The Corruption of Parliament,
oleh David Leigh dan Ed Vulliamy. (London: Fourth Estate, 1997; dihadiahkan
oleh bapa saudara saya, Tan Sri Ahmad Noordin Zakaria, adik ibu saya, Hjh.
Zaharah binti Hj. Zakaria. Ibu saya tidak bersekolah, tetapi dia tahu membaca
Rumi dan Jawi, termasuk buku-buku dari Indonesia yang tertulis dalam ejaan
lama. Semua karya saya dibacanya, termasuk Pujangga
Melayu. Al-Fatihah.)
Satu
pertanyaan bodoh yang tidak semestinya memerlukan jawapan: Sejauh mana ahli
politik Malaysia terlibat dalam rasuah? Adakah ahli Dewan Rakyat semuanya tidak
seorang pun yang korup? Pertanyaan ini
dianggap berunsur fitnah, oleh itu sesiapa juga yang bertanya boleh ditangkap
dan dihukum hanya kerana melontarkan pertanyaan yang tidak disukai oleh ahli
politik. Oleh itu saya ingin membuat penegasan, bahawa dua pertanyaan itu
sebenarnya meminta para sarjana membuat penyelidikan teliti mengenai persoalan
ini, dan menghasilkan buku seperti buku tentang Parlimen Britain itu. Dalam keadaan politik yang kita alami
sekarang, buku seumpama Sleaze itu
sangat perlu diusahakan. Kita berhak tahu sejauh mana ahli Dewan Rakyat kita
bersih dari fitnah korupsi itu. Sesiapa juga yang menghalang rakyat dari
mengetahui maklumat ini adalah korup dari segi intelektual dan moral, yang
demikian akan membawa kepada korupsi berupa kewangan dan salah guna kuasa dan
kedudukan rasmi. Kalau dan andainya ada yang tidak faham maksud
penjelasan ini, maka dia tidak saja lemah otaknya, malah dia secara sah berada
dalam kumpulan yang korup moralnya.
Dalam
konteks ini para ulama perlu tampil memberi pendapat melalui buku tulisan
mereka. Satu-satunya buku yang boleh dijadikan bukti ialah karangan Mohd.
Affandi Hassan, Hikayat Salim Adil. Walaupun buku ini sebuah karya kreatif,
tetapi isinya mengenai persoalan politik secara umum seperti yang difahami dan
dibincangkan dalam masyarakat Malaysia. Saya ingin mengambil kutipan ini untuk
perhatian anda semua: [sila baca dengan
teliti Ruang 6 hingga habis (hal. 117-123)].
“Dalam bab
bercerita, aku menolak konsep penglipur lara, tukang cerita yang hanyut dalam
intertekstualiti yang karut, yang telah berjaya memesongkan ramai sarjana
ciritan di negaraku. Aku bercerita dalam konteks suatu wacana berdasarkan
konsep ilmu yang benar. Kamu pernah
dengar semua ini, tetapi kamu dapati sukar memahaminya kerana warisan yang
mencetuskan idea itu telah terputus daripada kamu, tidak kamu kenali lagi.
Semuanya terjadi kerana kamu menolak konsep persuratan.
Kini aku
akan ajar kamu satu teknik baru dalam penulisan kreatif yang aku namakan
“Teknik 1MDB”. Aku kira semua rakyat Malaysia tahu apakah Projek 1MDB dalam
pembangunan negara Malaysia yang kaya ini, yang memungkinkan terciptanya Projek
1MDB. Orang selalu berkata 1MDB adalah cerita korupsi dan penipuan ahli politik
untuk menyumbat wang ke dalam poketnya sendiri. Tidak. Bagiku tidak. …”
[anda perlu baca sendiri sampai ke halaman 123 untuk memahaminya.]
Dalam
penelitian saya, 1MDB tidak hanya berlaku dalam politik Malaysia, tetapi sudah
lama terjadi dalam perkembangan sastera Melayu, bermula sejak tahun 1981 lagi
apabila projek Anugerah Sastera Negara diperkenalkan. Perkara ini sudah saya bincang panjang lebar
dalam blog ini, secara khusus dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden. (Penerbit
Wadi al-Irfan, 2019.) Buku ini tidak
dibaca oleh sarjana dan sasterawan picisan dan sarjana sastera yang cetek
meraba-raba, oleh itu jadilah mereka pengkhianat intelektual yang terus berada
dalam dunia pandirisme, tidak malu dan tidak segan menjeritkan kebodohan mereka
yang sesat dalam belantara teori sastera Barat yang tidak pun mereka kuasai
dengan mendalam, seperti yang telah dibuktikan dengan jelas dalam buku di atas
dan di dalam blog ini. Kalau anda belum
lupa, saya telah menulis tentang pengkhianatan intelektual ini ketika membicarakan
dua orang sarjana yang menjadi pensyarah sastera, yang karya mereka yang
berasal dari tesis Ph.D. telah mendapat hadiah istimewa dari universiti dan
dari badan sastera, padahal yang mereka bicarakan itu jika dilihat dari perspektif
ilmu adalah karya picisan saja, diberi hadiah kerana ukuran yang digunakan
adalah juga picisan. Inilah situasi yang
kita hadapi sekarang, yang belum berubah dan sedang dipertahankan dengan gigih
untuk melindungi sasterawan picisan dan sarjana yang cetek meraba-raba. Kalau ini bukan pengkhianatan intelektual,
apakah nama yang boleh kita panggil terhadap penipuan akademik ini?
Supaya kita tidak terheret lebih jauh ke dalam belantara akademik, atau lubuk
pengkhianatan akademik dan intelektual,
kita perlu menyediakan ukuran yang tepat dan kukuh dari segi akademik
supaya apa pun yang kita buat keputusan, maka keputusan itu tepat dan tidak
dapat digugat. Dunia ilmu, dunia akademik, dan dunia perbahasan yang tidak
dapat dielakkan perlu dihadapi dalam perbincangan tentang perkara penting dalam
kehidupan manusia, perlu dipertahankan dengan benteng penghujahan yang tepat
dan boleh diukur pembohongan dan kejituannya. Ini permintaan, dan harapan, yang
memang boleh diwujudkan jika kita mahu. Para ulama Islam telah membina berbagai-bagai
ukuran yang kemas teguh ketika mengemukakan petua dan keputusan yang bersifat
hukum. Kita pun perlukan ukuran begini
dalam kegiatan intelektual dan kegiatan persuratan kita pula. Ada satu istilah yang sangat indah yang
digunakan oleh Imam Abu Hanifah ketika membicarakan masalah fatwa, iaitu
istilah istihsan (memaniskan atau mengindahkan fatwa/hukum).
Anda boleh cari maknanya dan maksudnya dari pakar hukum yang ramai di negara
kita, dan anda akan kagum dengan istilah ini.
Saya gunakan istilah ihsan
ketika membicarakan keindahan bahasa dalam karya sastera, dalam tulisan
berjudul, “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan”, dimuat dalam buku Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan
untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (MPH Publishing, 2012). Saya sendiri mengemukakan konsep bahasa
sastera berasaskan konsep ihsan itu dalam novel Pujangga Melayu. Bagus juga jika ada di antara sarjana dan
pengkritik sastera kita yang tampil membahaskan dan menilai novel itu dari perspektif teori
sastera Barat dan kemukakan hujah yang mantap untuk memutuskan novel itu tidak
bermutu! Kita tunggu kemunculan tokoh
besar ini untuk menafikan adanya keunggulan intelektual dan keindahan bahasa
dalam novel agung itu. Bagi saya adalah wajar jika kita mempunyai tokoh besar
dalam kritikan sastera yang dengan tuntas menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang indah khabar dari rupa. Dengan itu tertolaklah semua hujah mengenai
kedudukan ilmu dalam penulisan kreatif yang dirumuskan dalam Gagasan Persuratan
Baru. Itulah gagasan yang dipakai untuk
menulis novel agung itu.
Sesuai
dengan tajuk tulisan ini, bolehkah kita pakai konsep ihsan dalam kegiatan
politik di Malaysia? Kita tunggu jawapan
“ulama politik” untuk memberi pandangan kritis mereka.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26 Julai 2020.
Suatu hakikat, ia merupakan wajah politik negara dan hampir diseluruh dunia. Penjajahan berterusan melalui sistem yang ditinggalkan sebagai warisan kepada negara dan rakyat.
ReplyDeletePengkhianatan, pembohongan terus menerus berlaku dan kekal sepanjang masa. Sistem dicipta untuk terus menindas dan berlaku kezaliman ke atas segolongan manusia yang lemah.
Rakyat kekal di dalam sistem yang mengekalkan mereka untuk mengesahkan barisan kepimpinan negara yang lazimnya melanjutkan segala apa yang berlangsung selama ini.
Tanpa ada jalan keluar dari dunia dan gelap-gelita untuk memperolehi kehidupan yang bercahaya terang benderang.
Negara dan masyarakat yang bijak, bermaruah dan mencapai kemakmuran dan kesejahteraan hidup yang diredai Tuhan.
Mengimpikan masyarakat yang sempurna minda dan berjiwa suci serta berakhlak terpuji.
Sekian salam hormat.