Wednesday, July 29, 2020

BRAVO…! 1MDB SAH SEBAGAI NARATIF BARU DALAM SASTERA MELAYU!!

Dalam entri yang lepas, saya mulai begini:
Adakah politik, seperti yang diamalkan sekarang, satu kegiatan haram?
Berasaskan kesimpulan ini, kita lihat perkembangan terbaru dalam politik Malaysia.

Bekas PM, anak PM Malaysia ke-2, telah dihukum oleh Mahkamah Tinggi sebagai bersalah dalam kes rasuah besar-besaran dalam penipuan dan korupsi politik dan kewangan terbesar Malaysia.  Orang pertama yang memberi perhatian kepada kes rasuah ini dalam sastera Melayu ialah Mohd. Affandi Hassan, dalam bukunya Hikayat Salim Adil.  Dia memberi nama gaya baru dalam penulisan kreatif itu “Teknik Naratif 1MDB Salim Adil”. (Rujuk entri 19/6/2020.) Kalau anda baca novel satira terbesar Malaysia itu dalam konteks ini, anda akan dapati betapa aspek penipuan itu tidak saja berlaku dalam politik, ekonomi, dalam kegiatan agama terutama dalam konteks pemimpin politik yang menggunakan agama (Islam) sebagai landasan untuk mendapat faedah politik dan prestij dalam masyarakat, dan seterusnya (senarai ini anda boleh tambah sendiri jika mahu).  Dari segi hukum, Dato’ Seri Najib Tun Razak mungkin telah mendapat perbicaraan yang adil dari perspektif undang-undang sekular yang menjadi teras undang-undang Malaysia, tetapi keadilan yang dimaksudkan itu mungkin bertentangan dengan hukum Islam. Apa akan jadi kepada beliau jika digunakan hukum jenayah Islam?  Adakah  beliau akan mendapat keadilan dalam makna dan maksud yang berbeza seperti yang difahami dan dipraktikkan dalam undang-undang sekular. Adakah tangan dan kaki beliau akan dipotong berselang (potong tangan kanan; potong kaki kiri.)  Tidak semudah itu sebenarnya, kerana anda perlu membawa empat orang saksi yang diterima persaksiannya dalam hukum Islam. Siapakah orang itu, yakni saksi itu?  Pertanyaan ini terkena juga kepada hakim yang membicarakan kes itu.  Apakah syarat-sayat wajib yang perlu ada kepada seorang hakim dalam perundangan Islam?  Saya timbulkan persoalan ini untuk menolak sebarang kesangsian terhadap hukuman yang dikenakan ke atas bekas seorang PM. Dalam hukuman itu, tidak langsung diambil kira kebaikan yang diberikannya kepada rakyat dan negara. Berapa ketul agaknya kebaikan itu? Dalam undang-undang moden, istilah lain untuk undang-undang Barat, kebaikan yang dilakukan tidak diambil kira, tidak masuk perhitungan kerana semua kebaikan itu menjadi kejahatan semuanya kerana adanya kesalahan yang dibuatnya yang berhak menjadi asas dakwaan ke atasnya. Itulah yang terjadi kepada bekas PM ini. Mari kita lihat perkara ini dalam konteks perwatakan dalam novel.  Sering disebut, seseorang watak perlu memperlihatkan kebaikan dan kejahatannya, yakni kelemahan dan kekurangannya, kerana dia sebagai watak fiksi pun adalah manusia biasa. Tetapi tidak demikian dalam undang-undang  Barat, yang dengan tegas menafikan semua kebaikan yang telah dilakukan orang yang didakwa. Inilah kebiadaban moden yang menjadi teras undang-undang Barat yang dipakai di Malaysia.  Adakah persoalan yang ditimbulkan di sini sensitif dan haram dibicarakan kerana tidak dibenarkan mengkritik kezaliman undang-undang sekular Barat yang telah diaktakan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, yang anggotanya semuanya orang istimewa yang tidak pernah melakukan kesilapan, kesalahan dan dosa apa-apa sekali pun. Wah, ini bukan lagi manusia; malaikat pun bukan; jauh sekali Iblis yang kerjanya hanya berbuat onar dan kejahatan.  Siapakah manusia sebenarnya?  Soalan ini tidak boleh dijawab, kerana jika diberi jawapan yang tepat dan padat, tidak ada seorang pun manusia yang sempurna, walaupun dia seorang hakim atau seorang PM atau bekas PM. Perhatikan, betapa hebatnya watak dalam Pujangga Melayu, yang berdiri sebagai manusia yang tetap membuat kesilapan tetapi dengan kesedaran yang jujur untuk mengaku kesilapannya. Watak dalam Pujangga Melayu adalah manusia; tetapi watak dalam politik bukan manusia. Siapakah mereka?

Persoalan ini tidak dapat dielakkan akan ditimbulkan kerana tidak semua rakyat Malaysia sanggup menjadi penjenayah semu dengan mengutuk seorang manusia seperti mereka yang tidak lagi memegang jawatan tertinggi negara sebagai PM.  Ada sesuatu yang tidak kena dalam undang-undang Barat ini. Apakah yang tidak kena itu? Persoalan ini mungkin boleh difahami dengan mudah oleh seorang pengkritik sastera yang salah satu kerja utamanya ialah menganalisis karya rekaan dari segi perwatakan yang terdapat dalam karya itu; tetapi kesedaran itu tidak ada di kalangan orang politik dan manusia biasa yang berpegang kepada undang-undang Barat yang sering kali menafikan hak asasi manusia biasa sekiranya dia dituduh bersalah atau melakukan sesuatu jenayah yang diberi takrifannya mengikut undang-undang Barat yang diaktakan dan diluluskan dalam Dewan Rakyat oleh manusia yang semuanya sempurna belaka, kerana kalau tidak sempurna mereka tidak layak dan tidak berhak menjadi Ahli Dewan Rakyat yang menggubal undang-undang untuk semua rakyat, tetapi bukan untuk mereka sendiri.

Jika kita mengambil kira persoalan ini, kita akan dapati watak yang berada di dalam novel agung Pujangga Melayu adalah manusia; tetapi tidak ahli Dewan Rakyat. Bagaimana boleh jadi begitu?  Jawapannya mudah, jika anda memakai otak yang sihat dan anda seorang yang jujur sebagai manusia; tetapi jika anda seorang ahli politik, anda tidak boleh terima semua kedudukan ini kerana anda berada di luar, sebagai manusia luar biasa. Apakah yang luar biasa itu? Jawapan kepada pertanyaan ini belum pernah diberikan oleh sesiapa pun.  Adakah kita perlu memberi jawapannya sekarang? Jawapan itu memang telah diberikan oleh Hakim yang menghukum Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Puaka 1MDB ini telah memakan diri penciptanya. Kalau anda seorang peneliti sastera Barat, anda akan tahu terdapat watak yang mencipta watak yang kemudiannya membunuhnya. Tahu tidak apakah judul novel itu?  Dalam bahasa Melayu yang baku, pertanyaan itu seharusnya: Tahukah tidak judul novel itu?

Peristiwa 1MDB dalam politik Malaysia adalah tugu yang dibina untuk memperingati erti pembohongan dan pengkhianatan dalam politik Malaysia, yang meliputi semua tokoh politik dari semua jenis parti politik, termasuk yang bukan Melayu. Inilah contoh terbaik apa yang dimaksudkan dengan mobilization of bias dalam politik; oleh itu politik adalah haram dalam Islam kerana asasnya pembohongan dan penipuan, walaupun yang menubuhkan parti yang kononnya berasaskan Islam.


(Nota Penting: Jika anda bukan seorang budiman, anda akan menuduh saya memuji karya sendiri dengan menyebut dua buah karya saya. Apa salahnya? Di mana salahnya? Saya hanya ingin seseorang yang cerdik dan jujur secara ilmiah  memberi hujah mengapa dua buah novel yang saya sebut itu bukan karya agung dalam sastera Melayu. Buktikan hujah anda untuk menjadi panduan penulis dan pembaca karya itu.)

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/7/2020.



1 comment:

  1. Sebaik-baik perundangan adalah menjamin keadilan yang saksama terhadap seluruh anggota sesebuah masyarakat dalam negara itu tanpa ada mengecualikan sesiapa pun dalam hukum.
    "Berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di sisi Tuhan".
    Sekian pendapat saya. Terima kasih Tn Haji.
    Wassalam.

    ReplyDelete