Wacana juga memberi makna kepada konsep ruang naratif dan paksi naratif yang menjadi tunjang kepada tema yang diolah dalam karya. Dengan itu wacana mentakrifkan maksud cerita sekali gus, menjelaskan kedudukan cerita dalam karya kreatif yang tidak lagi dibiarkan hanyut seperti yang terdapat dalam karya sastera yang secara sedar mengutamakan cerita tanpa memberi perhatian kepada aspek “pemikiran” dan keunggulan teknik, seperti yang dicontohkan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam analisisnya tentang Harga Sebuah Maruah, karya Azizi Hj. Abdullah yang memenangi peraduan jubli emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. (Rujuk makalah beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara”, yang akan dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Indonesia-Malaysia XII (SKIM XII 29-30 November 2011). Peranan wacana dalam membentuk cerita meletakkan wacana lebih utama daripada cerita dalam karya persuratan. Ini berkaitan dengan apa yang dipanggil oleh Prof. Ungku Maimunah sebagai keutamaan isian ilmu daripada isian cerita dalam menentukan bagaimana ruang naratif dalam sebuah karya persuratan berfungsi dari segi pembinaan struktur karya berkenaan. Ini tidak bererti cerita diketepikan atau tidak diberi fungsi langsung; malah cerita juga penting dilihat dari peranannya sebagai pelengkap kepada wacana yang tidak boleh berdiri sendiri tanpa disokong oleh cerita dalam penggunaan ruang naratif yang berkesan. Maksud berkesan ialah penggunaan ruang naratif tadi tidak menyimpang daripada paksi naratif yang menjadi tunjang sesebuah karya persuratan. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani mentakrifkan paksi naratif seperti berikut: “Yang dimaksudkan dengan ‘paksi naratif’ di sini ialah pendirian (stance) novel terhadap cerita yang dipaparkan, yang sekali gus akan menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel tentang sesuatu perkara. Menurut PB, peranan paksi naratif ini penting kerana ia akan mempengaruhi penggembelingan strategi-stretagi penceritaan yang akan menegakkan paksi naratif tersebut. ...” (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, 2008, hal. 325). Dalam buku yang sama (hal. 384), Dr. Mohd. Zariat menegaskan, “konsep paksi naratif (narrative axis) pada amnya merujuk kepada matlamat dan pendirian novel terhadap sesuatu perkara yang dibangkitksan melalui cerita yang dipaparkan, kecenderungan dan hala tuju novel secara keseluruhannya. Peranan paksi naratif ini penting kerana ia mempengaruhi pembikinan naratif sesebuah novel, khususnya strategi-strategi penceritaan yang digembleng bagi menegakkan paksi naratif tersebut.”
Dengan menggunakan konsep paksi naratif yang dijadikan tunjang pembinaan wacana dalam sesebuah karya, melalui penggunaan ruang naratif yang mengutamakan isian ilmu daripada isian cerita, maka konsep plot yang selama ini dilihat daripada perspektif cerita dan urutan peristiwa dalam sesebuah novel, tidak lagi berkesan untuk dijadikan tumpuan penting dalam analisis dan penilaian sesebuah novel. Dilihat dari perspektif ini, analisis dan penilaian yang dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara terhadap karya A. Samad Said misalnya, telah gagal menonjolkan kualiti sebenar karya A. Samad Said seperti Salina dan Langit Petang yang dipuji tinggi oleh Panel, padahal kedua-dua buah novel itu hanyalah novel picisan, jika dinilai dari pemikirannya. Hanya dengan menggunakan kaedah dan teori Barat sajalah novel-novel itu boleh “diperlihatkan” sebagai “bermutu”. Tetapi adakah ini kaedah dan cara penilaian terbaik untuk menyerlahkan kualiti sebenar karya itu? Pada pandangan PB, penilaian Panel Anugerah Sastera Negara tidak tepat dan mengelirukan. Penilaian Panel tidak dapat dipertahankan secara akademik apabila ukuran yang mereka gunakan dianalisis satu persatu dan diberi konteks yang tepat seperti yang diujar oleh Panel. Contoh: apabila Panel berkata Salina tidak mempunyai tema tertentu dan tidak mempunyai matlamat, bagaimana kedua-dua ukuran ini boleh dijadikan ukuran secara objektif dalam sesebuah novel? Panel kemudiannya sedar akan kesilapannya, lalu menegaskan memang ada temanya dan ada matlamatnya, tetapi tidak mempunyai unsur didaktik sama sekali. Kekeliruan pertama tadi dihujahkan dengan menggunakan kekeliruan kedua, mengenai aspek didaktik itu. Apa bila sudah ada tema, dan sudah ada matlamatnya, maka pastilah unsur didaktik itu mengikut saja. Jadi mana satu kesimpulan yang ingin dipakai oleh Panel? Ketiga-tiganya tidak dapat dipakai. Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani, yang menganalisis novel Salina dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, menunjukkan dengan meyakinkan kualiti sebenar novel itu, dengan itu secara mutlak menolak penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Satu-satunya hujah yang boleh digunakan oleh Panel ialah dengan mengatakan bahawa penilaian mereka berasaskan kaedah dan teori sastera Barat. Panel ingin menjadikan ukuran mereka berasaskan kaedah dan teori sastera Barat itu sebagai ukuran yang mutlak, jika itulah hujah yang mereka kemukakan. Dengan itu tidak ada penilaian lain yang berbeza. Inilah yang saya maksudkan beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang dihempap ke atas kita semua. Inilah yang dimaksudkan oleh peribahasa Melayu, tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Dan akhirnya, kita akan terus mendukung biawak hidup dalam persuratan Melayu jika hujah Panel Anugerah Sastera Negara itu diterima sebagai pilihan yang tepat dan terbaik. Kita harus keluar dari pendirisme ini.
Dengan menggunakan konsep wacana, kita dapat mengukur ketangkasan berfikir seorang penulis; manakala keupayaan kreatifnya dapat dilihat dari penggunaan teknik stylization of ideas yang mengiringi penggunaan wacana tadi. Tidak saja penghujahan bersifat ilmu diperlukan dalam penggunaan wacana; malah penghujahan kreatif juga diperlukan untuk menjadikan sebuah karya kreatif “indah dan bermakna” (rujuk Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid). Ini bermakna kehadiran cerita di dalam karya tidak sekadar untuk memanjangkan cerita, dengan itu menjadikan sesebuah novel itu tebal tidak pada tempatnya, tetapi bertujuan untuk mempertajam makna yang ingin dicapai melalui penggunaan wacana tadi. Dalam konteks ini, secara mudah seseorang penulis perlu dapat membezakan antara konsep ilmu dengan pengetahuan dan peranan maklumat dalam pembinaan ilmu pengetahuan, sama ada secara saintifik (dalam ilmu-ilmu sains) mahupun secara penghujahan dan penilaian (dalam ilmu-ilmu bukan sains). Ilmu-ilmu sains menuju ke arah kemahiran menggunakan teknologi untuk membina tamadun bersifat kebendaan; manakala ilmu-ilmu bukan sains (sains di sini dirujuk kepada ilmu fizik dan sebagainya) membina tamadun yang bersifat pemikiran dan kerohanian yang membolehkan manusia faham akan kedudukannya sebagai manusia di alam dunia ini, dan tahu pula tempatnya di Akhirat. Ilmu-ilmu itu untuk mengenal diri; manakala ilmu-ilmu yang pertama tadi untuk mengenal dan menggunakan alam. Kedua-duanya menjadi asas kepada konsep ilmu yang benar yang ditekankan di dalam Islam. Kedua-duanya diperlukan untuk manusia mengenal dirinya dan mencapai tingkat keyakinan terhadap kewujudan Allah SWT. Kemahiran tinggi dalam ilmu sihir yang ditunjukkan oleh ahli sihir Firaun, membolehkan mereka mengenal realiti hakiki dan terus menerimanya, dengan itu menerima kewujudan Allah SWT dan kehadiran Nabi Musa ‘a.s. sebagai pembawa agama tauhid, lalu beriman dengannya. Adakah para sasterawan dan sarjana sastera sudah sampai ke tingkat itu? Dari analisis yang telah kita lihat, ternyata mereka lebih percaya kepada “sihir teori sastera Barat” daripada apa juga “teori” yang berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Inilah beban intelektual yang hanya dapat dilepaskan dari pundak kejahilan dengan menerima hakikat ilmu yang diajarkan oleh al-Quran. Apakah hujah yang boleh mereka kemukakan untuk membenarkan/mempertahankan kedudukan mereka yang menolak konsep ilmu yang benar itu dan segala implikasinya?
Dilihat dari perspektif ini, konsep “seni sastera” yang difahami dan ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka adalah keliru dan tidak tepat dengan maksud dan matlamat seni sebagai hasil pemikiran seseorang penulis Islam dalam bentuk kreatif. Ditekankan ungkapan “penulis Islam” kerana kesemua sasterawan yang dinilai oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah sasterawan Melayu yang beragama Islam. Adakah hakikat bahawa mereka beragama Islam tidak penting dan tidak relevan? Inilah pandangan rasmi Panel Anugerah Sastera Negara, dan pandangan ini tidak mencerminkan nuilai-nilai yang selama ini menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun berbahasa Melayu selepas orang Melayu menerima agama Islam dan dimaktubkan dalam Perlembagaan mereka sebagai agama rasmi negara. Adakah fakta ini pun tidak relevan dalam penilaian karya sastera di sebuah negara yang menegaskan dalam Perlembagaannya peri pentingnya Islam itu dalam kehidupan rakyatnya? Tentu saja tidak tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Panel Anugerah Sastera Negara telah melanggar Perlembagaan Negara dengan memperkecilkan peranan agama Islam dalam masyarakat Melayu dan dalam politik Malaysia; yang lebih tepat ialah betapa selekehnya pemahaman para sarjana tentang “seni penulisan kreatif” yang dinamakan kesusasteraan itu. Dengan memisahkan sastera dari nilai-nilai masyarakat yang sejak beratus tahun menjadi asas pembinaan tamadun Melayu, maka Panel menonjolkan kumpulan mereka sebagai satu kumpulan yang amat janggal yang dengan tidak senonoh mengetepikan begitu saja satu tamadun tinggi dalam persuratan Melayu hanya kerana terlalu terpengaruh dengan nilai-nilai dan teori sastera Barat. Inilah konteks yang paling jelas bagi sesiapa yang ingin memahami kesimpulan bahawa Panel dan para sasterawan yang mereka nilai menjadi beban intelektual, beban akademik, dan beban moral dalam kebudayaan Melayu. Jika anda faham maksud yang ingin disampaikan di sini, maka anda akan berasa amat tersinggung sekali apabila asas tamadun anda selama ini diketepikan dengan tidak bertanggungjawab oleh sekumpulan sarjana yang dengan angkuh menolak begitu saja warisan persuratan mereka sendiri.
Perkara-perkara yang dibangkitkan di sini selama ini tertutup dan tidak disedari kerana sastera dianalisis dan dinilai berasaskan sejauh mana hasil karya kreatif berbentuk cerita seperti novel dan cerita pendek, juga drama, malah sajak sekali pun, ditulis untuk bercerita, bukan untuk menyerlahkan kecanggihan pemikiran penulisnya berlandaskan ilmu. Sebaik saja karya kreatif dianalisis dan dinilai dari perspektif ilmu dan bagaimana ilmu itu diwacanakan dalam karya itu, maka tidak dapat dielakkan lagi akan muncul perkara-perkara yang ditimbulkan di sini. Penggunaan wacana dalam penulisan kreatif memaksa pembaca, penilai dan para sarjana, dan para penulis sendiri, meletakkan kehadiran ilmu sebagai tujuan dan matlamat dalam penulisan kreatif, dengan cerita menjadi pelengkap, bukan unsur utama seperti yang difahami oleh para sarjana, termasuk ahli Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan sendiri. Dengan kesedaran ini, mereka akan menggunakan apa juga pengetahuan yang mereka dapat dari Barat dalam konteks ilmu yang benar, bukan hanya sebagai pak turut yang bangga dan agak angkuh memperagakan bakul nilai dan teori Barat yang mereka angkat ke sana ke mari dengan megah, walaupun bertentangan dengan warisan tamadun mereka sendiri. Jika mereka berkata, mereka hanya mengambil yang sesuai, maka mereka sebenarnya menafikan pegangan mereka sendiri, misalnya yang menegaskan tidak perlunya tema, tujuan dan matlamat, dan tidak wajar mempunyai unsur didaktik; padahal semua itu memang menjadi unsur penting dalam warisan persuratan mereka sendiri. Banyak sekali yang harus mereka bereskan; dan yang paling utama ialah mereka harus membereskan kefahaman mereka tentang konsep ilmu dalam seni mengarang.
Penjelasan yang diberikan di sini mungkin agak asing bagi kumpulan yang “cetek meraba-raba” seperti yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya yang terkenal itu, yang telah dijadikan ukuran dalam pencapaian akademik para profesor yang ingin mengemukakan syarahan perdana mereka. Tetapi sebaik saja mereka memahami gagasan Persuratan Baru, mereka akan melihat dunia yang berbeza sama sekali daripada dunia yang selama ini mereka fikir hanya itulah saja yang wajar mereka ketahui dan ikuti. Hanya pada ketika itu saja mereka akan dapat melihat betapa janggalnya analisis dan penilaian yang mereka buat selama ini, yang dilontarkan ke tengah-tengah masyarakat untuk dijadikan ukuran dalam penilaian karya kreatif. Walaupun ada di antara mereka yang nampaknya sedar peri janggalnya menggunakan ukuran dan teori Barat dalam menilai karya Malaysia, namun mereka tidak dapat menghuraikannya dengan jelas dan tepat kerana mereka masih lagi berbicara dalam konteks ukuran dan teori Barat tadi. Sebenarnya mereka sayang dan kagum sekali terhadap ukuran dan teori Barat itu; tetapi untuk kelihatan mereka juga “sayang” dan “faham” warisan mereka sendiri, maka mereka berkata ukuran dan teori Barat itu tidak cocok dengan nilai-nilai yang mereka warisi. Kerana sedar mereka akan jadi bisu tanpa teori Barat, maka mereka berhenti di situ saja, tidak berupaya menjelaskan maksud mereka. Demikianlah orang yang bersikap tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas, terus menerus mendukung biawak hidup dalam kegiatan akademik mereka. Mereka harus dibantu untuk melepaskan beban itu, dan satu-satunya cara ialah dengan kembali kepada sumber ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran dan sunah Nabi SAW.
Perbincangan tentang wacana dalam Persuratan Baru membawa kita kepada satu kesimpulan yang amat penting: tanpa kefahaman yang jelas tentang konsep ilmu dalam Islam, para sarjana dan para sasterawan akan terus berada dalam gua yang dikritik oleh Plato. Selagi mereka berada di dalam gua, “pemikiran” mereka tetap tertutup, jenis pemikiran penghuni gua yang menentang perubahan untuk kebaikan mereka sendiri yang akan membuat mereka lebih terbuka kepada dunia ilmu yang amat luas itu.
Mohd. Affandi Hassan, 18/10/2011
No comments:
Post a Comment