Konsep wacana juga dapat membantu para sarjana dan sasterawan memahami kedudukan ilmu dalam penilaian karya kreatif dan juga dalam penulisannya (karya kreatif). Matlamat ilmu dalam Islam ialah mencapai darjat keyakinan tentang wujudnya Allah SWT yang dari situ manusia akan faham pula kewujudan dirinya. Tanpa yang pertama, yakni tanpa keyakinan tadi, manusia tidak mungkin dapat memahami kewujudan dirinya dan mengerti mengapa ia dilahirkan ke dunia. Inilah yang dimaksudkan dengan hakikat ilmu yang menjadi prinsip penting dalam gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks inilah wacana itu dibina: maksudnya, wacana bertujuan untuk menghuraikan hakikat ilmu yang difahami dalam Islam, dengan memeriksa sumbernya (sumber ilmu), dan meletakkan sumber itu pada tampatnya (yakni menjadikan sumber itu teras untuk memahami hakikat ilmu dalam kehidupan manusia). Oleh sebab tujuan dan matlamat ilmu ialah untuk mencapai keyakinan tentang wujudnya Allah SWT, maka sumbernya ialah wahyu dan sunah rasulNya, diikuti dengan pendapat para ulama yang menjadi pewaris para nabi yang menghuraikan dengan mendalam peranan wahyu dan sunah tadi dalam kehidupan manusia dalam semua bidang kehidupannya (tidak perlu disenaraikan kerana terlalu panjang). Termasuk di situ ialah kegiatan penulisan, baik yang bersifat kreatif dalam bentuk seni penulisan, mahu pun dalam kegiatan yang bersifat akademik dan penyelidikan (termasuk di dalamnya bidang kritikan, penilaian karya kreatif dan sebagainya). Jika anda, sebagai seorang sarjana atau ahli akademik, ingin membina “teori sastera” atau “teori kritikan”, dan anda seorang Muslim, maka anda dari awal lagi terikat kepada hakikat ilmu yang menjadi asas teori anda. Jika “teori” anda berada di luar hakikat ilmu yang difahami dalam Islam, maka “teori” tadi tidak sekali-kali dapat membawa penggunanya kepada darjat keyakinan yang sepatutnya dapat dicapai melalui ilmu. Inilah maksud ilmu yang benar yang sering ditegaskan ketika membicarakan tentang konsep ilmu dalam gagasan Persuratan Baru.
Apabila wacana yang dibina dalam karya kreatif dan dalam penilaian karya dinilai dari perspektif ilmu yang dihuraikan, maka karya tadi diberi kedudukan sewajarnya, sesuai dengan mutu seninya (jika anda mahu berkata begitu), sebagai usaha manusia yang sedar dan insaf tentang hakikat dirinya sebagai hamba Allah SWT dan pada waktu yang sama mempunyai peranan sebagai khalifahNya di dunia, dengan segala implikasinya. Implikasi itu terangkum dalam tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah: ilmu pengetahuan; keadilan; dan usaha ikhtiar. Di dalam konsep taklif itu sendiri sudah tertanam konsep ilmu yang benar, yang perlu diketahui oleh setiap manusia, Islam atau bukan Islam (kafir). Jika dia Islam, dia harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua tindakannya. Jika dia bukan Islam, dia pun harus tahu asal usulnya yang sebenar, dan pengetahuan itu membolehkannya menjadi lebih terbuka kepada kepelbagaian fahaman dalam kehidupan manusia, dengan itu dia harus memahami pendirian Islam dalam semua bidang kehidupan. Dengan adanya ilmu tadi barulah dia dapat bertindak dengan adil, baik bagi orang Islam mahupun bagi yang bukan Islam. Walaupun ini merupakan keadaan yang ideal, tetapi boleh dicapai sekiranya sistem pendidikan menyediakan masyarakat untuk memahami keadaan yang ideal yang boleh diwujudkan ini. Dalam konteks Malaysia, yang menjadikan nilai-nilai Barat yang bersifat sekular sebagai asas dalam sistem itu, orang Islam tidak dapat bertindak adil terhadap agamanya yang dijadikan sistem pinggiran yang bersifat individu dalam konteks ibadat peribadi saja, bukan sistem negara yang mentakrifkan setiap perilaku warganegara dalam konteks Islam. Kerana adanya halangan dari segi sistem pendidikan yang bercorak Barat ini, maka keadilan dalam bidang-bidang kehidupan yang utama dinafikan dan tidak mahu dilaksanakan hatta dalam konteks kehidupan orang Islam sekali pun. Dalam konteks inilah segala keriuhan tentang hukum hudud dijadikan isu untuk mengusutkan persoalan baik di kalangan orang Islam sendiri, lebih-lebih lagi di kalangan orang bukan Islam. Dalam isu ini, perihal utamanya Perlembagaan negara yang dibentuk dari acuan Barat itu begitu menonjol, dan ini diperjuangkan untuk dikekalkan oleh para pemimpin Islam sendiri. Inilah akibat daripada kepalsuan konsep ilmu yang menjadi pegangan negara dan masyarakat, yang menafikan wujudnya keadilan, dan dengan secara langsung pula membawa kepada pilihan yang tidak tepat, yang merugikan semua. Jadi konsep taklif itu sebenarnya mendorong manusia untuk mendapatkan ilmu yang benar, yang dari situ akan memungkinkannya bertindak adil, yang sekali gus mendorongnya untuk membuat pilihan terbaik berasaskan ilmu dan keadilan. Jika para sasterawan memahami isu penting ini, dan para sarjana sendiri pun memahaminya pula, maka penulisan karya kreatif tidak lagi dibiarkan berterusan untuk melangsungkan kebebasan hawa nafsu manusia seperti yang dibuktikan dari karya para sasterawan (ingat kembali pendirian Azizi Hj. Abdullah dalam hal ini seperti dijelaskannya sendiri di atas, menerusi bukunya Kuras-kuras Kreatif); di samping itu para penilai sendiri akan menggunakan ukuran yang lebih tepat, objektif dan jitu berasaskan konsep ilmu yang benar. Di sinilah pentingnya konsep wacana yang dianjurkan oleh gagasan Persuratan Baru. Beberapa contoh yang diberikan dalam analisis Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani memperlihatkan betapa menyimpangnya penilaian yang dibuat selama ini, terutama sekali oleh badan penilai tertinggi negara, Panel Anugerah Sastera Negara, seperti yang ditunjukkan di atas dan juga dalam tulisan-tulisan yang lain.
Aspek ketiga, tentang matlamat dan tujuan karya kreatif, dijelaskan dengan mendalam oleh Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman, Ustaz Zulkarnain Mohamed dan Mohd. Shahrizal Nasir dalam tulisan mereka dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, ATMA 2010). Aspek ini berkaitan dengan konsep adab, yang mencirikan karya persuratan sebagai hasil daripada epistemologi Islam, yang dihasilkan dari pemahaman yang mendalam tentang konsep taklif sebagai asas utama PB, sama ada dalam menghasilkan karya kreatif atau membuat analisis dan penilaian tentang karya persuratan yang terhasil daripada taklif tadi. Jadi semua ini kait-mengait, yang akhirnya dijelmakan dalam teknik stylization of ideas (siratan makna). Di situlah makna “pemikiran” itu diberi wajah yang konkrit melalui penggunaan bahasa yang indah berdasarkan konsep ihsan, dengan penekanan kepada makna dan kebijaksanaan yang ingin diserlahkan dalam karya tersebut, seperti yang dicontohkan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (hal. 113, dengan contoh konkrit di hal. 122-124) ketika membicarakan aspek “pemikiran” dengan mengemukakan episod memberi nama rumah Prof. Awang dalam perbincangan dengan isterinya Aini Faridah di dalam novel Pujangga Melayu. Di situ tidak kelihatan apa-apa konflik, hanya penjelasan, tetapi dari segi makna yang mendalam, episod ini menggambarkan konflik nilai antara Aini yang masih melihat segala-galanya dalam konteks kebendaan dan kepuasan hawa nafsu, manakala Prof. Awang pula melihatnya sebagai pencapaian tertinggi kehidupannya yang bersifat kerohanian dengan memberi pengertian yang mendalam kepada konsep kesyukuran nikmat yang diperolehinya. Aini menerima penjelasan itu dengan penuh insaf kerana dia sendiri telah disediakan dari segi moral dan mental dengan peristiwa perceraian yang membuat kedua watak ini berada dalam penyesalan yang hanya dapat diselesaikan melalui perkahwinan mereka kali kedua, dan berada dalam kediaman yang menjadi persoalan dalam dialog berkenaan.
Dalam tulisannya, Dr. Rahmah Ahmad Othman menjelaskan ciri karya Islam seperti berikut: “Cara berkarya dan berseni dalam Islam tidak terbatas sekadar memaparkan realiti tentang yang baik dan buruk, tentang kekuatan dan kelemahan, tentang yang kurang dan yang sempurna sahaja. Ia tidak juga terbatas sekadar memaparkan gambaran idealistik yang ‘partial’ dan ‘biased’ yang hanya dapat dilaksanakan dalam alam yang khayal dan angan-angan. Islam melakarkan dalam jiwa individu gambaran yang lengkap dan sempurna tentang kehidupan” (hal. 75-76). Seterusnya beliau membuat kesimpulan yang penting ini: “... menurut Islam, sastera mesti bermatlamat, dan matlamatnya ialah menyampaikan ilmu yang benar. Sesungguhnya ilmu yang terkandung di dalam al-Quran adalah bersifat mutlak dan tidak sesekali berubah inti patinya walau dengan apa juga penemuan baru kerana ia datang daripada Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Bijaksana. Ia adalah semata-mata bertujuan untuk membentuk manusia yang sempurna serta sentiasa sedar akan kedudukan dirinya sebagai hamba Allah SWT di muka bumi ini. Apa yang pasti, hanya ilmu yang hakiki dapat memberikan kesan mendalam dalam diri setiap individu serta membuatkan mereka mampu untuk mengenal diri sendiri, mematuhi ajaran agama demi mencari keredaan Ilahi. Sastera berperanan sebagai antara wadah berkesan dalam menyampaikan ilmu. Karya sastera yang kosong daripada ilmu akan menjadikannya sesuatu yang tiada manfaat buat kehidupan manusia” (hal. 77).
Pandangan Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman disokong oleh Ustaz Zulkarnain Mohamed dalam dua makalahnya dan dalam makalah Mohd. Shahrizal Nasir yang terdapat di dalam buku itu. Antara perkara penting yang ditegaskan dalam makalah mereka ialah, perutusan dalam karya harus jelas (hal. 148-149), kerana “matlamat sastera Islami yang pertama dan terakhir ialah untuk berdakwah (yakni menurut keupayaan masing-masing)” (hal. 147). Bagi Mohd. Shahrizal Nasir yang menulis khusus mengenai sumbangan Najib al-Kilani, sepuluh prinsip sastera Islam yang dihuraikan oleh Najib al-Kilani perlu dijadikan panduan oleh para pengarang Islam (hal. 527-529). Selain dari itu, kesimpulan beliau ini penting juga diberi perhatian: “Karya yang menepati ciri-ciri Sastera Islam adalah yang memiliki objektif dan bukan hanya susunan omongan kosong tanpa faedah. Ia juga sentiasa memerihalkan aspek kehidupan dan alam semesta bertepatan dengan tasawur Islam, serta tidak sesekali didasari oleh khayalan yang melampau dan meyalahi logik akal fikiran manusia. Inilah definisi Sastera Islam yang telah dijelaskan oleh sarjana-sarjana kesusasteraan Islam khususnya daripada Timur Tengah” (hal. 530-531).
Ketiga-tiga pandangan ini memberikan kepada kita ciri-ciri yang tepat dan jelas tentang makna dan tujuan sebuah karya Islam, yang saya rumuskan sebagai “karya persuratan”. Karya-karya kreatif yang dianalisis dan diberi penilaian oleh Panel Anugerah Sastera Negara berada di luar dari lingkungan karya yang dibicarakan oleh tiga orang sajana ini, dengan itu mereka membuktikan betapa kuatnya cengkaman pengaruh Barat dalam kesusasteraan Melayu moden. Keputusan yang mereka buat dalam penilaian mereka mungkin tidak sampai ke tahap yang bercorak anti-Islam, tetapi jelas sikap mereka yang meremehkan tamadun Islam, dan dari perspektif kejahilan inilah mereka menjadi begitu angkuh berpegang kepada idea-idea dari Barat, tanpa mengetahui dengan sewajarnya pemikiran yang boleh didapat dengan mudah tentang persuratan yang mencirikan unsur-unsur Islam seperti yang dirumuskan oleh tiga orang sarjana di atas. Dalam konteks inilah kita perlu berubah, dan Panel Anugerah Sastera Negara harus menyatakan pendirian mereka terhadap perkara ini, yang menjadi unsur penting dalam tamadun Melayu, termasuk dalam bidang persuratan. Hanya dalam konteks ini saja kita dapat menentukan bentuk kemajuan yang kita ingini dalam persuratan Melayu. Jika konteks ini diketepikan, kita akan terus berada dalam keadaan “cetek meraba-raba” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Nampaknya “keadaan cetek meraba-raba” inilah yang terus menjadi pilihan para sasterawan Malaysia, yang disokong dengan kuat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan diberi kedudukan arus perdana oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah yang saya maksudkan dengan pandirisme dalam kebudayaan Melayu yang menjadi sanjungan para sasterawan Malaysia.
Dalam konteks inilah Sasterawan Negara menjadi beban dan kehadiran Panel Anugerah Sastera Negara sendiri menjadi beban kerana seluruh kegiatan para sasterawan untuk memastikan nilai-nilai Barat tetap dipelihara dan diperjuangkan di Malaysia, dijadikan agenda utama dalam kegiatan kreatif dan juga dalam kegiatan akademik dalam bidang ini. Mereka mempertahankan konsep kebebasan seperti yang difahamkan di Barat, iaitu membiarkan para sasterawan menulis tentang apa saja dan dalam bentuk yang bagaimana sekali , walaupun bertentangan dengan nilai-nilai tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam itu. Kerana itulah ada di antara sasterawan ini menulis tentang perlunya sasterawan bersikap kurang ajar jika mereka mahu memenangi Hadiah Nobel Sastera. Lebih merugikan lagi ialah peranan Panel Anugerah Sastera Negara yang secara totok memperjuangkan kelangsungan nilai-nilai Barat dalam penilaian dan penulisan karya sastera. Membaca laporan Panel ini menyerlahkan betapa komitednya mereka kepada nilai dan teori sastera Barat, dengan menjadikan nilai-nilai yang dipakai dalam sastera Barat sebagai ukuran mutlak, kerana nilai-nilai itulah yang mereka terima menjadi asas penting dalam membina sastera Melayu moden. Bagaimanakah kita akan menjawab pertanyaan ini: Adakah pilihan inilah yang menjadi pilihan terbaik dalam membina tamadun persuratan Melayu?
Contoh bagaimana sasterawan negara ini menjadi beban dalam tamadun Melayu, khususnya dalam kesusasteraan Melayu, diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Novel-novel A. Samad Said diberi pujian tinggi oleh Panel berasaskan ukuran Barat sepenuhnya (Laporan 1985); manakala Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pula diberi sanjungan kerana menulis sajak “kurang ajarnya” yang terkenal itu, “Pulang Si Tenggang”, yang menjadikan legenda Melayu tentang penderhakaan seorang anak sebagai tokoh sanjungan yang kononnya diberi makna baru oleh profesor sastera itu (Laporan 1991); dan terbaru Anwar Ridhwan diberi pujian tinggi kerana kononnya berjaya melakukan eksperimen dalam cerita pendeknya, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, sebuah kisah perzinaan anak-anak muda moden (Laporan 1909). Ketika membicarakan novel Orang Kota Bharu oleh S. Othman Kelantan, Prof. Kamaruddin M. Said memuji “pendirian” watak utamanya, Habib, yang “menganjurkan falsafah ‘berada di atas pagar’, dan hanya berpihak kepada kebenaran. Barangkali satu versi pemikiran pascamoden yang ‘selamat’, yang sering wujud dalam masyarakat yang sedang membangun, dan masyarakat yang berbilang kaum, ialah pemikiran atas pagar yang penuh berdiplomasi dan berupaya menepis rempuhan modeniti yang konvensional” (hal. 550, Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, DBP 2004). Kesimpulan ini pelik dan sangat aneh, kerana tamadun Melayu tidak pernah berada di atas pagar, atau menjadikan sikap “berdiri di atas pagar” itu pendirian yang menjadi ciri utama tamadun Melayu yang memang tegas memilih nilai-nilai Islam sebagai asas tamadun mereka. Lagi pula, terasa sangat janggal apabila dikatakan “berada di atas pagar” itu memihak kepada kebenaran! Tetapi “pendirian” ini memberikan kita contoh yang sangat jitu akan sifat dan sikap para sasterawan yang “cetek meraba-raba” yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Inilah beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang harus kita hadapi. Keadaan ini tepat sekali dengan peribahasa Melayu yang terkenal: Tiada beban dicari beban, pergi ke pulau batu digalas. Akibatnya, ibarat menanggung biawak hidup.
Contoh-contoh ini, apabila dinilai dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, akan menjadi beban dalam persuratan Melayu dan dalam tamadun Melayu yang kini harus menerima nilai-nilai Barat yang disanjung itu, yang secara terang-terangan bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menjadi sumber dan asas persuratan Melayu. Dengan penerimaan nilai-nilai Barat yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam itu, maka karya-karya yang diberi sanjungan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ini tidak boleh lagi dinilai semula dengan menggunakan kaedah yang sesuai dengan pendirian Islam dalam seni penulisan. Inilah beban intelektual, beban akademik, dan beban moral yang diwujudkan oleh Panel dengan sokongan dan dokongan Dewan Bahasa dan Pustaka. Inilah yang dinamakan, dan diterima, sebagai arus perdana dalam kesusasteraan Melayu moden. Adakah ini pilihan terbaik untuk kita? Kita mungkin dapat belajar dari pengalaman Islam dalam sejarah permulaannya, ketika menghadapi Zaman Jahiliah. Umat Islam zaman awal tidak menolak terus unsur-unsur Jahiliah itu, tetapi menyaringnya mengikut nilai-nilai yang ditetapkan dalam Islam. (Rujuk penjelasan Prof. Madya Dr. Rahmah Ahmad Othman dalam makalahnya). Kesusasteraan Melayu moden tidak mengalami Zaman Jahiliah seperti yang dihadapi oleh Islam; tetapi dengan tertolaknya penilaian berasaskan konsep ilmu yang benar seperti yang difahamkan dalam Islam, dan diterimanya faham sastera Barat, maka kita sebenarnya berada dalam Zaman Jahiliah kita sendiri. Masalah ini boleh diatasi dan dihuraikan dengan objektif jika kita menerima noda sejarah dalam tamadun Melayu yang dinamakan kesusasteraan Melayu moden itu dengan menganalisis dan menilainya secara jujur dan objektif berdasarkan konsep ilmu yang benar yang diajar oleh Islam. Untuk itu, kita harus mencari kaedah yang membolehkan kita membuat penilaian sedemikian.
Gagasan Persuratan Baru menolak dengan tegas penerusan pengaruh Barat yang bertentangan dengan semangat persuratan Melayu yang jelas dicorakkan oleh nilai-nilai Islam itu. Seperti yang sudah saya nyatakan berulang kali sejak sekian lama (terbaru dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, hal. 289-379) , kita boleh mengetahui seberapa banyak yang kita perlukan atau yang kita terdaya mengetahuinya tentang nilai dan teori sastera Barat; tetapi kita tidak harus sesat sejauh yang kita usahakan dalam membuat keputusan terbaik untuk kita. [Akan disambung dalam Bahagian III].
Mohd. Affandi Hassan, 13 Oktober 2011.
No comments:
Post a Comment