Wacana. Konsep wacana penting dalam PB kerana konsep ini dapat menyelesaikan tiga masalah besar yang dihadapi oleh para sarjana pada waktu ini: (1) kabur dan keliru tentang makna dan maksud “pemikiran” ketika membicarakan aspek “pemikiran” seorang sasterawan; (2) tidak dapat memahami mengapa pentingnya konsep ilmu yang benar dijadikan asas penulisan kreatif dan juga di dalam analisis dan penilian sesebuah karya kreatif; (3) tidak jelas tentang maksud dan matlamat yang ingin dicapai dalam penulisan kreatif, hal ini menjadi masalah yang amat mengusutkan apabila para sasterawan berkata mereka harus diberi kebebasan untuk menulis tentang apa saja dan dalam bentuk yang bagaimana sekali pun, kerana mereka adalah “pejuang kemanusiaan” (?) yang mencintai nilai-nilai kemanusiaan sejagat (rujuk kenyataan empat orang sasterawan negara bertarikh 8 Mac 2011 tentang aspek ini; kenyataan mereka dibincangkan dalam posting bertarikh 24 Mac 2011; juga laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang menekankan peri pentingnya “kebebasan” dan “kemanusiaan” itu). Amat jelas terdapat kekeliruan dan kekacauan kognitif di kalangan pengkritik sastera, sarjana dan ahli akademik, dan lebih-lebih lagi di kalangan para sasterawan apabila mereka berbicara tentang aspek “pemikiran” ini. Malah sebuah institusi besar dan berpengaruh seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menjadi penaung dan pelindung kesusasteraan Melayu, juga berada dalam kekeliruan dan kekacauan yang dimaksudkan itu, seperti yang dapat dilihat dalam program mereka yang memakai istilah “pemikiran”. (Perkara ini telah dibahaskan dengan panjang lebar dalam posting bertarikh 6 Disember 2010; lihat juga posting 18 November 2010; posting bertarikh 4 Disember 2010). Oleh itu, adalah jelas masalah definisi dan huraian tentang makna dan maksud “pemikiran” itu dijelaskan dengan teratur supaya setiap kali orang berbicara tentang “pemikiran”, dia menggunakan istilah itu dalam konteks suatu istilah, bukan dalam konteks common sense dan retorik kosong sahaja, seperti yang terjadi sekarang.
Dalam laporan yang ditulis oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kekusutan dan kekacauan ini amat jelas, tetapi tidak disedari oleh mereka. Misalnya, apabila mereka berkata, “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu.” (Laporan 1985, hal. 13). Tetapi dalam kesimpulan berikutnya, mereka berkata: “A. Samad Said ingin mengatakan kepada pembaca betapa tidak berperikemanusiaannya peperangan. Jadi ada falsafah atau perutusan, hanya A. Samad Said sebagai novelis tidak ingin terlalu menonjolkan tema dan perutusannya. Daripada segi inilah beliau membawa pembaharuan, kerana beliau lebih suka membawa aliran-aliran Barat seperti realisme atau naturalisme, ... dan mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (hal. 13). Tetapi jika anda membaca Salina dengan kritis dan berhati-hati, anda akan dapati semua kesimpulan ini tidak tepat, bertentangan dengan fakta yang ada di dalam novel itu. Malah A. Samad Said sendiri mengaku beliau ingin menulis tentang seorang pelacur yang laris, dengan itu memberi keistimewaan kepada watak utamanya; dan ini memang dapat dikesan dengan mudah dalam novel itu. Tetapi yang paling mengaibkan ialah kesimpulan Panel dalam laporannya bertentangan dengan maksud realisme dan naturalisme yang difahami di Barat.
Pengarang Theory of Literature, Rene Wellek, yang menjadi ikutan dan sandaran para pengkritik dan sarjana sastera di Malaysia, dijadikan teks dalam kritikan sastera di universiti di Malaysia, yang memang dikenali oleh semua anggota Panel, membuat kesimpulan yang bertentangan dengan yang dibuat oleh Panel tentang makna dan maksud realisme yang ditiru oleh A. Samad Said. Kata Rene Wellek: “Realism is didactic, moralistic, reformist” (Concepts of Criticism, hal. 253). Seterusnya kata Rene Wellek, “I do not consider realism the only and ultimate method of art. It is, I should emphasize, only one method, one great stream which has its marked limitations, shortcomings, and conventions. In spite of its claim to penetrate directly to life and reality, realism, in practice, has its set of conventions, devices, and exclusions. ... The theory of realism is ultimately bad aesthetics because all art is ‘making’ and is a world in itself of illusion and symbolic forms” (hal. 254-255. Ayat akhir itu ialah kesimpulan beliau tentang realisme.) Dilihat dalam konteks ini, pujian Panel lebih mengarah kepada pandangan common sense yang keliru. Katakanlah mereka tidak tahu pandangan Rene Wellek, mereka pasti dapat mengagak, jika mereka menggunakan common sense yang betul, bahawa realisme dan naturalisme secara tabii bersifat didaktik kerana yang diangkat menjadi tema karya adalah kejadian sebenar dalam masyarakat, khususnya tentang penindasan manusia. Oleh itu, apabila Panel berkata karya yang realistik itu tidak sepatutnya mempunyai unsur didaktik, maka mereka membuat kesimpulan itu kerana tidak memahami konsep dan maksud realisme yang mereka sanjung itu. Tetapi jika anda anggap Panel lebih berwibawa daripada Rene Wellek, anda perlu menghujahkannya untuk dimanfaatkan oleh para sarjana dan pengkritik sastera, juga para sasterawan yang mabuk realisme. Penegasan Rene Wellek memperlihatkan betapa kacaunya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, hingga tidak saja tidak dapat menilai karya A. Samad Said dengan wajar, malah tidak pula memperlihatkan mereka faham konsep-konsep yang mereka gunakan sebagai hujah, seperti konsep realisme tadi. Sebenarnya keadaan ini sudah menjadi standard dalam penilaian sastera di Malaysia.
Saya telah menunjukkan kepincangan penilaian yang bermasalah dan tidak tepat ini dalam kertas kerja yang dibentang dalam “Seminar Jenaka Melayu Nusantara” (anjuran DBP dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 21-23 Ogos 2003). Kertas kerja bertajuk, “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-Kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”, membincangkan secara kritis penilaian yang dibuat oleh panel dan nilai sebenar novel itu sendiri. Dalam penelitian saya, panel telah gagal menilai karya ini dengan saksama dan wajar. Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., yang menganjurkan peraduan menulis novel Hadiah Sako II, tentulah mempunyai alasan tersendiri untuk memilih sebuah novel picisan untuk memenangi hadiah itu. Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana para penilai yang terpilih, yang bertaraf profesional dalam bidang mereka, boleh tertarik kepada karya picisan ini dengan memberinya kemenangan.
Kegagalan panel membuat penilaian yang tepat dan bagaimana kegagalan ini membuktikan betapa keliru dan kacaunya ukuran yang dipakai oleh para penilai perlu dibincangkan, kerana kesilapan yang mereka lakukan mempunyai kesan buruk kepada perkembangan sastera Malaysia. Kegagalan ini akhirnya menjadi Skandal Sastera Abad 21, sebagai bukti betapa meragukan citarasa para penilai sastera di negara ini, dan betapa longgarnya hujah-hujah mereka untuk mempertahankan citarasa yang meragukan tadi. Kesannya kepada perkembangan sastera sudah jelas: karya-karya yang disanjung selama ini sebenarnya bukanlah karya terbaik, tidak mencerminkan kecerdikan dan ketajaman analisis, sekadar menyerlahkan keupayaan sasterawan yang sebenarnya amat sederhana (mediocre), di samping menonjolkan kegopohan dan kekeliruan para penilai. Jarang orang bersedia mengaku bahawa kesilapan dalam penilaian jauh lebih merosakkan daripada kehadiran karya tidak bermutu. Kita akan melakukan dua kesilapan besar apabila berlaku kesilapan dalam membuat pilihan dengan meletakkan karya yang tidak bermutu, yang picisan, sebagai karya besar dan bermutu tinggi. Perkara seumpama ini perlu dibetulkan, dan dihindarkan daripada berlaku lagi. Penilai dan sarjana sastera tidak harus terlampau ghairah memuji karya-karya yang amat sederhana mutunya (mediocre), atau memberi hadiah dan kedudukan tinggi kepada karya-karya demikian. Kita tidak harus menggalakkan mediocrity dalam kegiatan intelektual kita. Kawin-kawin adalah sebuah novel cemuhan yang ditulis berasaskan kebencian dan rasa meluat penulisnya terhadap seteru politiknya. Kesimpulan ini tidak dapat dielak kerana Azizi Hj. Abdullah tidak sedikit pun berusaha menganalisis persoalan yang ingin dikemukakannya secara objektif, sehingga boleh membuat seseorang memahami persoalannya dan dapat melihat mengapa persoalan itu timbul dan bagaimana penulisnya menganalisis persoalan tadi dalam konteksnya. Kita diberitahu bahawa terdapat seorang perempuan kaya bernama Mas Umm, yang suka berlaki, dan menjadi rebutan para lelaki. Sekali imbas Mas Umm itu seolah-olah Semenanjung Tanah Melayu, yang dijajah oleh Inggeris, oleh itu kata penulisnya suami Mas Umm yang pertama ialah Bani Putih, yakni orang Inggeris. Menurut penulis, “perkahwinan” itu lebih tepat dipanggil perogolan, kerana tidak ada kerelaan di pihak Mas Umm. Dia dipaksa berkahwin dengan Bani Putih. Jelas di sini Azizi merujuk kepada penjajahan Tanah Melayu oleh Inggeris. Tetapi kemudiannya Mas Umm menjadi tokoh lain samasekali, apabila kita diberitahu bahawa selepas Bani Putih meninggal, dia berkahwin mut’ah dengan beberapa orang tokoh.
Sekali imbas ideanya kelihatan seolah-olah bagus untuk dijadikan bahan novel yang menarik, tetapi kerana Azizi Hj. Abdullah tidak berminat meneroka dengan mendalam konflik politik ini, maka dia hanya berjaya menghasilkan sebuah karya picisan yang di dalamnya penuh dengan watak-watak yang gemar mencabut bulu ketiak, mencabut bulu hidung, suka mengorek tahi telinga kemudian menciumnya. Semua ini dianggapnya perlakuan jenaka, lalu diulang-ulang untuk mendapatkan kesan humor. Tetapi sangat jelas betapa kampungan “humor” yang cuba diselit Azizi dalam bukunya. Dengan itu Azizi masih terus kekal sebagai sasterawan kampungan, yang berasa nikmat dan bangga menggambarkan para wataknya mencabut bulu hidung dan sebagainya itu. Semua ini mencerminkan hanya satu perkara, iaitu sifat picisan karya ini dan sifat picisan pemikiran penulisnya.
Seperti biasa dalam novel-novel Melayu, yang digambarkan ialah kebodohan dan kepandiran orang Melayu, termasuk para pemimpin yang memerintah negara dan negeri. Oleh kerana novel ini ditulis untuk mengkritik sifat munafik para pemimpin politik nasionalis oleh seorang penulis yang cenderung kepada politik agama (bukan seorang intelektual), maka di dalamnya penuh dengan sumpah-seranah, maki-hamun, cacian dan laknatan, ungkapan lucah dalam bahasa yang kasar dan kesat, yang nyatalah lahir daripada kebencian yang mendalam, dendam yang membara, kemarahan yang meluap-luap, dan perasaan meluat yang dicurahkan semahu-mahunya membanjiri setiap muka surat novel ini. Dengan mengutuk watak-wataknya, tanpa memberi sebarang hujah dan analisis yang munasabah terhadap setiap peristiwa dan persoalan yang ingin diketengahkan, maka Azizi sebenarnya tidak mempunyai persoalan yang jelas, kecuali untuk mengutuk, menyeranah, dan memaki-hamun sewenang-wenangnya.
Oleh itu dia bukan menulis sebuah karya seni yang cermat dan penuh kebijaksanaan, kerana tumpuannya kepada soal-soal picisan, dengan meninggalkan sama sekali persoalan politik yang saya kira menjadi dasar novelnya. Demikianlah novel yang malang ini, yakni malang kerana dinobatkan sebagai novel terbaik sekarang, adalah sebuah novel picisan. Ideanya picisan, tekniknya picisan, analisisnya picisan, wataknya picisan, dan sedikit “humor” yang cuba dimasukkan sasterawan ini adalah “humor” picisan.
Andainya novel ini diambil sebagai adanya, tanpa mengaitkannya dengan tokoh-tokoh politik tertentu dari parti-parti yang mereka wakili, seperti kita mengambil cerita Pak Pandir sebagai adanya, maka sifat picisannya akan kelihatan lebih jelas, lebih ketara, lebih menonjol, dan mutunya sebagai karya kreatif akan lebih rendah lagi. Cerita jenaka Pak Pandir ternyata lebih baik dan lebih bernilai. Di sinilah kesilapan para penilai dalam membuat pemilihan untuk memberi kemenangan kepada novel picisan ini.
Adalah amat ironis bahawa selepas melahirkan beberapa orang Sasterawan Negara, sastera Melayu moden akhirnya memasuki era picisan. Saya telah membicarakan persoalan ini dalam tulisan saya, “Era Picisan Dalam Sastera Melayu” (Dewan Sastera, Julai 2002). Dalam tulisan itu, saya menegaskan bahawa istilah picisan tidak boleh difahami secara picisan, dengan hanya membataskannya kepada aspek kelucahan semata-mata. Istilah picisan haruslah difahami secara menyeluruh, meliputi idea, tema, bahasa, gaya, watak dan perwatakan, lambang, dialog, paksi naratif, kriteria penilaian, dan lain-lain aspek yang berhubungan dengan penciptaan karya kreatif dan penilaiannya. Semua aspek itu menjadi picisan apabila diolah secara mudah, cetek, dangkal, menyeleweng daripada nilai-nilai tamadun manusia yang beradab, yakni melihat semua perkara daripada kemahuan hawa nafsu manusia yang ingin bebas lepas daripada tanggungjawab taklif. Sebuah karya akan menjadi karya picisan apabila karya tersebut menjadikan kejahatan sebagai nilai utama dalam penciptaan karya tadi, misalnya apabila perzinaan diperindahkan begitu rupa untuk kononnya menyerlahkan tragedi manusia yang tertindas, teraniaya, tertipu dan sebagainya, dengan memaparkan dengan terang perlakuan perzinaan tadi sehingga menjadi lambang tertentu dalam karya tersebut. Misalnya, apabila perkahwinan mut’ah yang haram dalam Sunni Islam, dijadikan paksi naratif dalam sebuah karya dan para watak digambarkan ingin melaksanakan perkahwinan mut’ah tadi untuk mencapai matlamat dan kemahuan hawa nafsu mereka, seperti yang terjadi dalam Kawin-kawin. Dalam Salina, sebuah novel picisan yang disanjung tinggi, perzinaan diperindah begitu rupa dengan diberi aspek cinta suci, apabila Salina sang pelacur bersekudukan dengan seorang lelaki yang dianggapnya mempunyai iras yang sama dengan bekas kekasihnya. Penilaian terhadap novel Salina menjadi picisan apabila aspek ini dijadikan salah satu kriteria, digandingkan dengan kriteria yang lain seperti sifat kemanusiaan dan belas kasihan Salina, penderitaan yang dialaminya, dan kezaliman masyarakat yang memaksanya menjadi pelacur. Semua kriteria ini dikatakan menyumbang kepada kehebatan perwatakan Salina, sehingga dia dijadikan seorang wanita unggul untuk dicontohi oleh wanita Melayu yang beragama Islam. Ukuran dan penilaian begini menjadi picisan kerana melonjakkan kejahatan setinggi-tingginya untuk dijadikan hujah bagi menentukan mutu sesebuah karya, padahal kejahatan itu tidak mungkin menjadi baik jika diukur daripada perspektif hawa nafsu manusia semata-mata, jauh menyimpang daripada hakikat taklif yang menjadi asas kejadian manusia.
Dalam novel Kawin-kawin ini, Azizi Hj. Abdullah menjadikan perkahwinan mut’ah sebagai permainan politik para wataknya, yang menunggu giliran untuk mengahwini Mas Umm. Mengingat bahawa kahwin mut’ah ditolak oleh Sunni Islam, dan barangsiapa yang melakukannya adalah melakukan zina, adakah Azizi Hj. Abdullah ingin memberitahu kita bahawa terjadi “perzinaan” politik di Malaysia sejak tertubuhnya UMNO dan berkuasanya parti itu hingga sekarang? Jika itu maksudnya, mengapa dia menjadikan perkahwinan mut’ah sebagai paksi naratif, padahal dia tahu dia sebenarnya menjadikan perzinaan sebagai kegiatan terhormat dan mulia dalam masyarakat? Dia sebenarnya tidak bermaksud hendak menghina para pemimpin UMNO semata-mata, malah dikenakannya juga kepada para pemimpin politik agama seperti Tuan Guru Lebai Yazan. Halaman 159, dua baris akhir, memberitahu kita persetujuan Tuan Guru Lebai Yazan yang menerima perkahwinan mut’ah sebagai sah di sisi Sunni Islam, dan boleh dipraktikkan dengan meluas oleh ahli politik nasionalis dan agama. Pendeknya, semua ahli politik pada pandangan Azizi Hj. Abdullah mengamalkan kahwin mut’ah dalam keghairahan mencari kuasa dan kepuasan nafsu. Golongan nasionalis dan agama, menurut Azizi Hj. Abdullah, melakukan “perzinaan” politik di Malaysia. Yang menghairankan ialah mengapa Azizi menjadikan perkahwinan mut’ah dan perzinaan sebagai paksi naratifnya, seolah-olah beliau tidak sedar bahawa perbuatan itu menghina Islam dan institusi perkahwinan dalam Islam.
Lebih menghairankan lagi ialah bagaimana panel pemilih tidak melihat bahawa Azizi mempersendakan Islam, menghina dan mempermainkan hukum perkahwinan dalam Islam. Semudah itukah seorang sasterawan boleh menjadikan institusi perkahwinan sebagai metafor kepada perlakuan politik haram menurut pandangannya? Dan senaif itu pulakah para penilainya melihat novel ini sebagai “membawa persoalan yang segar yang dapat menyumbang kepada usaha mempelbagaikan tema novel berbahasa Melayu”, sebuah karya yang “mempunyai kekuatan tersendiri dari segi kemungkinan untuk pembacaan pelbagai lapis atau multidimensi”? Mungkin mereka akan berkata bacaan saya adalah salah satu bacaan pelbagai lapis atau multidimensi itu! Tetapi saya tidak fikir begitu, kerana novel ini mempunyai hanya satu dimensi, yakni dimensi picisan, yang tidak mungkin diberi tafsiran yang lebih mendalam, kerana memang tidak terdapat apa-apa yang boleh membuat kita pergi lebih jauh daripada dimensi picisan tadi. Oleh itu, tafsiran saya adalah tepat, sahih, dan paling wajar dengan sifat picisan novel ini, satu-satunya tafsiran yang berlaku adil kepada novel ini dan kepada Azizi Hj. Abdullah sendiri.
Seperti anggota panel yang “membaca” novel ini secara harfiah, secara tersurat, oleh itu tidak boleh “membaca” makna tersirat novel ini yang menghina institusi perkahwinan dalam Islam, maka demikianlah juga penulisnya sendiri pun tidak sedar bahawa dia sedang mempermainkan hukum Islam dan menghina Islam sebagai satu agama yang memandang tinggi perkahwinan, sebagai asas kehidupan bermasyarakat. Mungkin kerana kebencian Azizi begitu meluap-luap, maka dia secara tidak sedar telah terdorong untuk mencaci agamanya sendiri ketika dia sedang mempersendakan para pemimpin nasionalis ini. Azizi Hj. Abdullah bukanlah seorang yang jahil, kerana beliau adalah seorang ustaz, yang belajar di sekolah agama yang didirikan oleh almarhum ayahanda Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia sengaja menjadikan perkahwinan dalam Islam sebagai lambang dalam karya yang dipanggil “alegori-komedi” oleh Shahnon Ahmad, adakah beliau sedar implikasinya dalam Islam? Sebagai seorang ustaz, yang tentu saja tahu selok belok Islam, beliau jelas tidak sensitif kepada agamanya dan mempersetankan begitu saja perasaan orang lain yang menganut Islam. Inilah kehairanan yang amat besar yang perlu dijelaskan oleh beliau. Adalah mustahil beliau tidak membaca kitab yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Mastika Hadith (Jilid I, edisi Jawi, hal. 260-266), yang di dalamnya jelas memberitahu kita, barangsiapa mempersendakan ajaran Islam atau hukum-hukumnya atau institusinya (seperti perkahwinan), jika dilakukan dengan sengaja, boleh membuat seseorang jadi murtad. Tidakkah ini satu perkara yang amat serius? Oleh itu amatlah aneh apabila Shahnon Ahmad membuat kesimpulan, bahawa pembaca akan “ketawa besar” membaca “kelucuan” novel ini. Kesimpulan begini sungguh ajaib, kerana tidak mungkin seorang sasterawan yang melaungkan slogan “Sastera Kerana Allah” boleh tertawa ketika agama Islam sedang dipersendakan begitu rupa seperti dalam novel ini.
Kemunculan novel Kawin-kawin sebagai pemenang peraduan menulis novel, membuktikan kegagalan penilaian karya kerana terdapat kekeliruan nilai dan kelonggaran ukuran yang dipakai, sehingga terpilihnya karya picisan ini. Kemunculan novel ini juga membuktikan bagaimana kelirunya konsep sastera seorang sasterawan berpengalaman seperti Azizi Hj. Abdullah. Dari segi nilai dan ukuran yang dipakai, jelaslah bahawa penggunaan apa yang boleh disebut sebagai “nilai sastera” menurut acuan Barat tidak boleh dipakai lagi untuk menilai karya sastera Melayu, tanpa risiko terbabas landasan untuk kemudiannya menerima sebuah karya yang nyata bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya Melayu. Ukuran panel penilai yang menjadikan “tema baru” sebagai asas penilaian mereka ternyata tidak tepat, lebih-lebih lagi dari segi konsepnya “tema baru” itu tidak diberi takrif yang jelas. Apakah yang baru dalam novel ini? Panel ternyata silap dengan menganggap “kawin-kawin” sebagai “tema baru”, padahal ungkapan itu sudah lama dipakai oleh anak-anak dalam permainan mereka. Jika para watak dalam novel ini memang menjadikan “kawin-kawin” sebagai permainan mereka, yakni sebagai permainan politik, maka jelaslah perbuatan itu bertentangan dengan semangat perkahwinan dalam Islam.
Watak-watak dalam novel ini adalah penganut Islam dan terdiri daripada orang Melayu. Di sinilah timbul masalah yang disebut dalam tulisan ini, iaitu apabila penulisnya dengan begitu sewenang-wenang mempersendakan institusi perkahwinan dalam Islam sebagai paksi naratif untuk mengutuk/mengkritik musuh-musuh politiknya. Azizi Hj. Abdullah menghadapi masalah pengolahan tema yang berat, yang tidak dapat ditanganinya oleh kerana beliau tidak mencuba menganalisis persoalannya dengan mendalam. Akibatnya, dia hanya berjaya membina sebuah naratif biasa, sejenis omongan sastera yang di dalamnya terdapat “humor” kampungan yang biasa kita dengar di kedai-kedai kopi kampung. Dengan menjadikan Malang begitu bodoh, Azizi tidak menghadapi masalah pengolahan dalam pembinaan watak dan penerokaan naratif yang boleh dipakai untuk menghuraikan perlakuan aneh para wataknya. Dengan menulis dalam bentuk yang dihidangkannya kepada kita, maka dia tidak memberi kesempatan kepada wataknya untuk mentakrifkan masalah yang mereka hadapi, dan pembaca pula tidak dihadapkan dengan konflik dan pemikiran yang canggih. Persoalan atau tema yang dikemukakan adalah terlalu dibuat-buat, diada-adakan, penuh dengan fantasi murahan yang bukan berlandaskan renungan dan pemikiran yang mendalam.
Kelemahan paling menonjol dalam novel picisan ini ialah temanya tidak pernah ditakrifkan dengan jelas, kerana itu tidak mungkin dapat diolah dengan memuaskan. Akibatnya, perwatakan dalam novel ini menimbulkan kontradiksi yang aneh: Malang tiba-tiba menjadi gila, Siti Menurra yang berbudi pekerti mulia itu akhirnya muncul sebagai seorang perempuan yang penuh tipu muslihat, kejam dan jahat; tetapi yang lebih mengejutkan ialah Tuan Guru Lebai Yazan muncul sebagai seorang munafik yang tidak boleh dipercayaai, yang seolah-olah “pandai” bercakap tentang agama, tetapi tidak kelihatan sama sekali ketinggian akhlak dan sifat ihsannya. Dalam bahagian akhir novel (hal. 241-266), sifat munafik Lebai Yazan dan Siti Menurra terserlah lebih jelas apabila mereka menghadapi Malang yang kini gila. Kedua-duanya cukup berpuas hati kerana akhirnya musuh mereka dikalahkan, dan bangga kerana dapat menghina musuh politik mereka di hadapan para jemaah mereka sendiri. Lebai Yazan, seperti kucing jantan yang garang, dan Siti Menurra, seperti kucing betina yang galak, seronok mempermainkan Malang, tikus bodoh yang tidak putus asa ingin berbaik-baik dengan kucing yang sejak awal-awal lagi memandang rendah kepadanya. Demikianlah kisah picisan ini berakhir, dengan kemenangan mutlak golongan pemimpin agama yang sudah dapat membalas dendam mereka dan berpuas hati dengan kemenangan itu. Yang agak mengejutkan pembaca yang naif dan kurang kritis ialah akhir cerita berupa kemenangan munafik agama ke atas munafik nasionalis. Barangkali inilah kejayaan sebenar Azizi Hj. Abdullah yang mungkin tidak disangka-sangkanya.
Tetapi yang paling menghairankan, yang juga memeranjatkan kita, ialah bagaimana tokoh-tokoh pemimpin nasionalis yang jahat itu tidak muncul sebagai orang jahat yang sepatutnya jika dibandingkan dengan kemunculan tokoh-tokoh pemimpin agama tadi. Sesuatu yang ajaib telah berlaku kepada struktur naratif Azizi, yang telah membuat tokoh-tokoh yang dibenci hilang begitu saja. Apabila Malang dijadikan gila, dari segi struktur naratifnya tokoh-tokoh pemimpin agama didedahkan sifat sebenar mereka, dan Malang menjadi bukti akan kepalsuan mereka. Kesimpulan ini agak sukar difahami jika seseorang tidak pernah mencuba membina naratif dalam karya kreatif, tetapi sebenarnya boleh difahami oleh sesiapa juga yang tajam pemerhatiannya dan cerdas akalnya untuk melihat kontradiksi yang disebutkan itu. Andainya Malang muncul sebagai watak yang benar-benar insaf, jujur, berani menghadapi kebenaran, dan terdidik dengan nilai-nilai Islam, maka perubahan ini akan membuatnya menjadi watak yang kuat, dan Lebai Yazan sendiri akan benar-benar muncul sebagai tokoh agama yang bijaksana. Ketika itulah sifat picisan novel ini akan terhapus, atau setidak-tidaknya dikurangkan. Tetapi kerana unsur jenaka murahan itulah yang menjadi tumpuan Azizi, maka kesempatan yang ada untuk membuat novel ini bermutu hilang begitu saja. Beliau tidak belajar daripada kisah Rabiatul Adawiyyah, atau daripada kisah Fudail bin Iyad, yang kedua-duanya sangat terkenal dalam sejarah Islam sebagai orang-orang yang tidak berapa beruntung awalnya, tetapi menjadi ahli sufi terkenal dan disanjung umat Islam kerana keinsafan mereka kemudiannya. Kedua-duanya hidup sezaman, dengan Rabi’ah meninggal dua tahun awal daripada Fudail. Mengapa Azizi tidak mahu menjadikan Malang berubah menjadi baik berasaskan teladan dua orang tokoh ini, yang salah satunya disebut olehnya? Barangsiapa yang tahu kisah hidup Fudail bin Iyad tentu akan berasa terkilan apabila Azizi melemparkan begitu saja berlian yang ada di dalam tangannya, mungkin kerana dia tidak kenal, dan jika kenal tidak ada kemahiran untuk mengukirnya menjadi kalung yang indah.
Oleh itu, tidak seorang pun di antara watak-watak dalam novel ini yang muncul sebagai orang baik-baik, yang bermoral dan yang kuat perwatakannya. Seperti yang saya tegaskan, mereka tidak lebih daripada sejenis hantu sahaja, mempunyai nama, tetapi tidak ada peribadi sebagai manusia yang hidup dan berfikir. Inilah hasil kegelojohan bercerita dan kerakusan berjenaka yang tidak didasarkan kepada pemikiran yang mendalam. Azizi dengan sewenang-wenangnya mempermain-mainkan agama Islam, menjadikannya bahan jenaka murahan. Hasilnya amat mengecewakan, dan sungguh mengejutkan, baik sebagai hasil sastera maupun sebagai hasil analisis politik (?). Oleh itu, novel ini tetaplah berada di peringkat picisan dari segi tema, perwatakan, bahasa, struktur, dan pengolahan. Novel ini hanya mencerminkan kemunduran dan kedangkalan para sasterawan, bukan kecerdikan dan kepintaran mereka mengolah watak dan persoalan. Barangkali Kawin-kawin adalah novel picisan terbaik selepas Salina dan Shit.
Kepincangan penilaian ini berlaku sekali lagi dalam Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka 2007. Sekali lagi Azizi Hj. Abdullah diberi kemenangan, dengan mendapat tempat kedua dengan hadiah RM50,000.00. Novel yang diberi kemenangan itu berjudul Harga Sebuah Maruah. Prof. Ungku Maimunah telah menulis satu analisis yang mendalam tentang novel ini dalam sebuah kertas kerja, yang akan dibincangkan dalam satu seminar. Oleh itu saya tidak akan membicarakan novel ini di sini; kita tunggu saja kertas kerja Prof. Ungku Maimunah itu dibentang oleh beliau nanti. Dalam sebuah tulisan lain, “Wanita Sebagai Objek Seks: Persepsi dan Pengungkapannya Dalam Novel Bila Hujan Malam oleh Azizi Hj. Abdullah” (dibentangkan dalam Seminar SEBUMI 3 2010, 12-13 Oktober 2010 di UKM), Prof. Ungku Maimunah mengutip kesimpulan A. Rahim Abdullah tentang “semangat keislaman” Azizi, dalam kata-kata berikut: “minatnya [Azizi] terhadap kesucian agama Islam menjadi titik tolak pengarang ini menghasilkan novel dan fiksyennya” yang bercorak Islam. Tetapi huraian dan analisis Prof. Ungku Maimunah terhadap novelnya Bila Hujan Malam (1976) dan analisis saya tentang Kawin-Kawin (2002) menunjukkan sebaliknya, dengan itu kesimpulan A. Rahim Abdullah tidak saja amat disangsikan kewajarannya, malah membuktikan betapa naifnya penilaian para peneliti sastera, atau pengkritik sastera, seperti A. Rahim Abdullah. Ini menjadi lebih menarik apabila Prof. Ungku Maimunah dalam kertasnya membuat kesimpulan berikut: “Penelitian tentang Laporan Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu penilaian karya sastera tertinggi di negara kita, jelas menunjukkan “keyakinan” yang serupa mendasari penilaian anugerah berprestij tersebut”. Prof. Ungku Maimunah merujuk pandangan dan pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang menjelaskan mengapa beliau cukup selesa menulis karya picisan yang berunsur seks, “mendukung fahaman perlunya kekotoran diutamakan sebagai paksi cerita” seperti yang disimpulkan oleh Prof. Ungku Maimunash. Inilah bukti yang diberikan oleh beliau, dalam kata-kata Azizi sendiri: “Ini bukan salah saya. Yang salah ialah karya dan penulisan penulis lain yang mendedahkan dan menelanjangkan semua ini sehingga memberi keyakinan bahawa jika hendak menjadi penulis, dunia seperti inilah yang perlu dikecimpung” (hal. 9 dalam buku beliau, Kuras-kuras Kreatif, DBP 2007). Terdahulu dari itu, Prof. Ungku Maimunah mengutip pengakuan Azizi Hj. Abdullah yang memeranjatkan ini: “Pada masa itu [1960-an] karya kreatif berunsur lucah sering tersiar ... Saya cuma nampak dunia kejahatan sahaja yang perlu ditulis jika mahu menjadi seorang penulis. ... Bagi saya ketika itu, dunia penulisan ialah dunia yang penuh dengan kekotoran yang perlu dibongkar dan diceritakan kepada umum. Bagi saya ilham hanyalah boleh diangkat dari tempat kotor termasuk di dalam tandas” (hal. 8-9). Dengan sikap yang begitu naif, yang menyerlahkan aspek pandirisme seorang sasterawan yang hanya suka bercerita (yang bersifat erotik yang mengutamakan kehangatan unsur seks dalam novel), maka tidak hairanlah jika beliau tidak mahu menjadi seorang “pemikir”, cukup hanya menjadi seorang “peniru” seperti yang diakuinya. Dalam konteks inilah Azizi Hj. Abdullah mensensasikan hampir semua novelnya, dan ini amat dikagumi oleh pengkritik seperti A. Rahim Abdullah, atau seorang sarjana seperti Prof. Mohd. Mokhtar Hassan yang memberi pujian tinggi terhadap novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang menggunakan ciri sensasi dalam perilaku watak untuk membina cerita yang tidaklah lebih baik daripada sebuah novel picisan biasa. (Lihat tulisan profesor ini, “Seorang Tua di Kaki Gunung: Dari Teks ke Teks”, untuk Wacana Karya Abad 20, anjuran DBP, Langkawi 19-21 Disember 2005).
Barangkali contoh terbaik tentang kekeliruan penilaian ini diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Ketika menilai novel-novel A. Samad Said, Panel memberikan pendapat ini untuk novel Langit Petang (DBP 1980; dicetak semula 1988): “Yang benar-benar berjaya dalam Langit Petang ialah tekniknya. Di sinilah terletaknya keistimewaan A. Samad Said sebagai penulis sehingga tiga buah cerpen dapat diadun menjadi sebuah novel yang berkesan. ... Tidak dapat disangkal bahawa novel Langit Petang tidak membawa satu tema yang pokok, malahan tidak juga mengemukakan satu perutusan yang sengaja. Tetapi selain tekniknya yang merupakan hallmark karangan-karangan A. Samad Said yang mementingkan pengamatan yang terperinci, novel itu mendedahkan kepelbagaian ragam dan tindakan manusia. ... Jadi sebenarnya ada persoalan atau perutusan dalam novel Langit Petang, yang mestilah dicari melalui teknik-teknik yang secara sedar diolah oleh A. Samad Said supaya apa-apa yang digambarkannya dapat mencabar daya fikir kita sebagai pembaca” (Laporan 1985, hal. 16-17). Bagaimana kesimpulan yang saling bertentangan ini muncul boleh dilihat kekacauannya apabila dibaca bersama kenyataan ini: “Bagi A. Samad Said ... sastera adalah seni, walaupun sastera tetap membawa falsafah dan pandangan hidup. Mungkin daripada segi inilah A. Samad Said merupakan seorang peneroka dalam alam penulisan novel Melayu ...” (hal. 15); diikuti dengan kesimpulan yang menarik ini: “Jelas bahawa novel memberi A. Samad Said kesentosaan dan kepuasan bermain di atas kanvas yang besar – menjelajah dengan idea-idea tentang erti hidup – satu hal yang sering mengacau fikiran dan selalu pula diperkatakan dalam tulisan-tulisannya” (hal. 18). Jika kita melihat kesimpulan ini dalam konteks Langit Petang, kita akan berasa amat kecewa kerana karya yang dipuji oleh Panel itu, yang diterbitkan kira-kira 20 tahun selepas Salina, satu jangka waktu yang lama untuk berfikir dan menjadi matang, kita tidak menemui apa yang disebut “penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup” terserlah dalam Langit Petang. Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya, “Gender Relations in A. Samad Said’s Langit Petang” (Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, ATMA 2008; hal. 274-287), menyebut pandangan Rosnah Baharuddin yang menganggap Langit Petang sebagai “a novel of ideas”, dengan memberi kesimpulan ini: “To take Langit Petang on Rosnah’s terms, which is to scrutinise opinions and thoughts expressed by the fictitious characters, one is similarly hard-pressed to credit Langit Petang as a novel of ideas” (hal. 285). Jika kesimpulan ini, yang dicapai dengan analisis yang teliti, dibandingkan dengan kesimpulan longgar yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, kita dapati penerokaan dan “penjelajahan pemikiran dan idea-idea tentang erti hidup” itu tidak terdapat dalam novel yang mendapat pujian tinggi Panel ini, malah yang terjadi adalah sebaliknya. Inilah kesimpulan akhir Prof. Ungku Maimunah dalam analisisnya: “... critical reception that touts Langit Petang as a novel of ideas is faulty at best and harmful at worst. It also points to the need for a fuller understanding of the importance of privileging knowledge and ideas in creative works, and how this may be realised” (hal. 287). Barangkali kesimpulan ini sukar difahami oleh anggota Panel dan Rosnah Baharuddin kerana mereka tidak menerima peranan ilmu (yang benar) dalam karya kreatif, walaupun mereka menyebut tentang falsafah, idea, pemikiran dan sebagainya, tetapi semua itu tidak diterima sebagai ciri penting, malah ciri utama, dalam karya kreatif yang berbobot. Dalam konteks inilah kefahaman tentang konsep wacana boleh membantu mereka memahami di mana duduknya ilmu dan pemikiran dalam karya kreatif. [Akan disambung untuk membincangkan aspek kedua dan ketiga].
Mohd. Affandi Hassan, 5/10/2011.
Jeha gila apabila suaminya meninggal dunia. Hal ini pun menimbulkan keberatan setengah orang. Akan tetapi bagi saya gilanya Jeha adalah lambang daripada keadaan kucar-kacir, keadaan terbiar tidak terbela dan tertindas rakyat tani. Dan di dalam buku ini gilanya Jeha adalah lambang daripada kehancuran famili Lahuma. Shahnon menamatkan novelnya dengan suatu ayat yang amat penting: 'dan Jeha terus menjerit juga sepanjang malam itu". Jeritan tadi tidak lain daripada jeritan para petani yang memintaan pembelaan, yang meminta dipimpin.
ReplyDeleteSdr Anonymous
ReplyDeleteBagus komen anda. Saya setuju. Tapi sekarang yang menjerit ahli politik, bukan Jeha dan suku sakatnya. Kini rakyat diutamakan sebagai slogan. Itulah jeritannya. Sekarang yang dipimpin rakyat tua yang tak berdaya atau tak boleh berjalan saja, waktu mengundi. Pemimpin kita tak pernah lupakan rakyat setiap kali mengundi. Memang patut Shahnon tamatkan begitu: memang orang gila begitu. Itulah realisme.
Saya keliru dengan wacana ini. Saya lebih suka persuratan lama.
ReplyDeleteSdr. Anonymous.
ReplyDeleteTahniah, saya pun suka persuratan lama. Gagasan PB hanya untuk yang berminat saja.
Gagasan PB pun ada kelompok peminatnya sebagaimana gaya persuratan lama, bukankah keduanya dari satu kesatuan yang sudah mantap. Dua-dua sekali patut diaplikasikan guna menambahbaikan - apalagi kan kita bicara tentang wacana. Wacana begini perlu wadahnya, sayang di Malaysia ini, wadahnya kurang memberi impak kepada warga sastera yang ada. Politik lingkungan membendung pemikiran sehingga mampat dan bumpet, sesuatu yang berbeda akan dianggap asing, bukan genre PB.
ReplyDelete