Wajarkah ditubuhkan Institut Persuratan Baru supaya gagasan Persuratan Baru diberi kemudahan yang akan membolehkannya lebih senang didekati? Idea itu nampaknya bagus, tetapi pelaksanaannya tidak semudah mencadangkannya. Tidak perlu wang atau apa-apa kemudahan, tegas teman yang mencadangkannya. Hanya diperlukan daya kreatif untuk menggunakan “kemudahan maya” yang sedia ada dan boleh digunakan bila-bila masa saja oleh sesiapa sekali pun. Apakah yang dimaksudkan dengan “kemudahan maya”? Iaitu menggunakan teknologi maya yang luas terbuka untuk dimanfaatkan oleh sesiapa juga yang ingin mendapat manfaatnya. Kedengarannya mudah, tetapi bagaimana? Dunia maya sekarang sudah tersedia untuk dimanfaatkan oleh sesiapa saja yang mempunyai daya kreatif yang akan membolehkannya membina “struktur maya” untuk melancarkan apa juga bentuk aktiviti maya yang boleh dengan mudah dijelmakan ke dunia nyata, tanpa sekatan dan mudah pula diakses di mana-mana sekali pun. Salah satu cara yang amat popular sekarang ialah dengan menggunakan blog, dan dari situ orang atau pengguna boleh menyalin apa juga maklumat yang dipilihnya untuk dijadikan dokumen dan digunakan sebagai rujukan. Kini sudah ada “percetakan maya”, yang membolehkan seseorang penulis menerbitkan karyanya dalam bentuk e-book. Buku itu boleh dijual, atau diberi percuma. Terpulang. Biasanya diberi percuma. Pendapatan dikutip melalui penggunaan ruang iklan yang tiada batas, tetapi perlu dikawal supaya tidak disalahguna. Inilah cara yang terbuka untuk membina Institut Persuratan Baru. Cara lain ialah membina website sendiri; atau menerbitkan majalah secara online. Macam-macam boleh dibuat, jika kita tahu bagaimana membuatnya. Pilih saja caranya yang paling mudah tetapi berkesan, yakni dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.
Dalam dunia maya yang serba mungkin, Institut Persuratan Baru boleh diapungkan di dunia maya tanpa sebarang halangan. Tetapi saya yang tidak mempunyai kepakaran dalam teknologi maya, kini melontarkan idea ini kepada anda semua yang berminat dan tahu caranya, untuk membantu mewujudkan Institut ini. Yang diperlukan sekarang ialah seorang (atau beberapa orang?) penyelenggara (administrator) yang akan melancarkan Institut ini dan membukanya untuk diisi oleh sesiapa juga yang dengan ikhlas ingin melihat gagasan Persuratan Baru menjadi agenda penting dalam Abad 21. Agenda penting itu ialah menjadikan konsep ilmu yang benar yang dikehendaki dalam Islam dijadikan asas penulisan kreatif, dengan menjadikan taklif sebagai pemacu kreativiti. Matlamatnya untuk meletakkan manusia kembali sebagai hamba dan khalifah Allah dengan seluruh kesedaran insaniah yang telah menerima janji azali sebagai tanggungjawabnya. Untuk memastikan tidak ada sesiapa yang tergelincir dari landasan, penyelenggara yang dimaksudkan seeloknya mahir berbahasa Arab dan seorang yang berpengetahuan luas dalam pengajian Islam; di samping itu baik pula bahasa Inggerisnya. Pada waktu ini, tidak sukar mendapatkan tokoh yang dikehendaki itu di Malaysia. Sudah ramai.
“Wahai orang-orang beriman, mintalah pertolongan (daripada Allah) dengan kesabaran dan dengan berdoa (mengerjakan solat); sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar” (Quran, 2: 153).
Semuanya bisa terjadi dengan izin Allah. Setelah diusahakan.
No comments:
Post a Comment