Monday, September 19, 2011

PENULISAN SEMULA SEJARAH NEGARA VERSI MAJLIS PROFESOR NEGARA


Wujudnya Majlis Profesor Negara (MPN) telah memungkinkan penulisan semula sejarah negara apabila Prof. Dato’ Zainal Kling, mewakili MPN, menegaskan dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini bahawa Tanah Melayu  tidak pernah terjajah, hanya dilindungi oleh British untuk menjaga kepentingan ekonominya yang ketika itu sedang pesat berkembang, setelah Singapura dijual (atau ditipu British untuk dijual) kepada British. Hanya tiga buah negeri saja yang terjajah, yakni Negeri-Negeri Selat: Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Kenyataan ini menimbulkan pelbagai reaksi, yang pada umumnya mempersoalkan kesahihan kesimpulan profesor senior itu.  Beliau telah membuat “pembetulan” baru-baru ini dalam Harakahdaily Online.  (Rujuk Lampiran).

Sama ada beliau silap atau betul tidaklah penting, kerana perkara yang lebih penting ialah persoalan yang ditimbulkan yang sangat kontroversial, antaranya tuduhan bahawa pejuang berlandaskan Islam dan pejuang nasionalis kiri, adalah pengkhianat dan penderhaka kepada sultan atau raja-raja Melayu kerana mereka bercita-cita membentuk Melayu Raya, sebuah republik yang menjadi sebahagian daripada Indonesia. Satu-satunya kumpulan yang boleh digelar pejuang bangsa dan penegak “ketuanan Melayu” ialah UMNO, dengan bukti bahawa para pemimpin UMNOlah yang berjaya “memerdekakan” Tanah Melayu 1957, yang sekali gus memberi kerakyatan penuh kepada kaum pendatang seperti yang disyaratkan oleh British.  Fakta ini selalu disembunyikan, diketepikan dan tidak diungkit kerana akan menimbulkan kemarahan orang Melayu. Dato’ Onn Jaafar, yang dianggap pelopor kemerdekaan (walaupun beliau muncul lewat, itu pun untuk mempertahankan kepentingan bangsawan Melayu dan raja-raja Melayu), menentang keras rancangan jus soli dengan menerbitkan akhbar khas, Mingguan Kritik, untuk menyatakan pendapatnya.  Tetapi UMNO yang sangat intim dengan British dan tidak sabar lagi untuk “mendapat kemerdekaan”, bersetuju dengan  cadangan jus soli  walaupun merugikan orang Melayu yang terpaksa menerima kerakyatan kaum pendatang tanpa tapisan. Itulah kejayaan besar UMNO dalam menambah rakyat Malaysia dengan menerima kaum pendatang secara aotomatik sebaik saja Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957. Jadi walaupun Tanah Melayu tidak terjajah secara rasmi, menurut Prof. Zainal Kling,  namun dari segi kuasa politik ternyata  British mempunyai kuasa penuh dan boleh memaksa pemimpin Melayu (yang mereka pilih sendiri) untuk menerima cadangan mereka “demi perpaduan negara”.  Walaupun Melayu menerima jus soli,  kaum pendatang yang mendapat “durian runtuh” dengan kemerdekaan Tanah Melayu, tidak dapat menerima “hak-hak istimewa orang Melayu” yang boleh dihapuskan bila-bila masa saja, sedangkan jus soli sudah menjadi sejarah, tidak boleh dipinda lagi walaupun syarat kerakyatan baru sudah dikuatkuasa. Bagaimana kita boleh hadapi kenyataan ini dalam penulisan sejarah baru nanti? Di sinilah pentingnya sumbangan golongan kiri dan para pejuang berlandaskan Islam yang kemudiannya dianggap pengkhianat, seperti yang dilabel oleh British. 

Saya mengalu-alukan penulisan semula sejarah perjuangan para pejuang kemerdekaan, pendekatan mana pun yang diambil.  Jika MPN boleh tulis dalam masa terdekat (mereka mempunyai ramai pakar berwibawa dalam sejarah), tentu sangat baik.  Saya setuju dengan cadangan Prof. Khoo Kay Kim (dalam wawancara B/H 4/9/2011) perlu dimasukkan beberapa perkara yang ketinggalan, bukan tentang tokoh politik dan perkembangan politik saja. Misalnya, tokoh-tokoh pemikir Melayu seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dll, tentang perkembangan dalam sastera dan kritikan sastera,  mesti dimasukkan juga dalam buku  “magnum opus” sejarah Malaysia itu.

Walau apa pun kritikan yang dilemparkan terhadap MPN dalam kontroversi ini, saya fikir MPN kini sudah meletakkan dirinya  sebagai satu organisasi yang perlu diberi perhatian serius. Itu cukup bagus. Kini yang perlu dilakukan ialah menulis dan menerbitkan buku sejarah mengikut versi MPN. Tentu saja Prof. Khoo Kay Kim  boleh membantu, kerana beliau mempunyai  cukup dokumen untuk dirujuk. Yang kurang barangkali dari segi sejarah pemikiran, tetapi kita sudah mempunyai ramai ahli sejarah dalam bidang ini pun.  Buku-bukunya pun sudah ada yang diterbitkan.  Tak ada masalah untuk menulis “magnum opus” sejarah Malaysia itu.  Dari segi perkembangan bahasa, kita ada Prof. Asmah;  cuma kalau dapat  baik sekali jika ada sarjana kita (saya terfikir Dr. Bukhari Lubis) yang boleh menulis tentang sumber-sumber Arab yang dirujuk oleh Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu dan dalam buku-buku nahunya.  Aspek ini langsung ditinggalkan, sungguh sayang. Saya juga fikir satu bab khusus tentang kegiatan cendekiawan Johor abad 19 dimasukkan. Begitu juga peranan Shah Wali Allah di Kelantan sejak 1930-an hingga kini wajar diberi tempat dalam buku ini.   

 Saya sungguh-sungguh berharap sejarah versi MPN akan menjadi kenyataan, kerana versi ini saya anggap hasil dari pakar sejarah terbaik yang berada dalam MPN. Saya kira kita sudah cukup dewasa, selepas setengah abad "merdeka" (saya harap kita sudah betul-betul merdeka) untuk menilai hasil MPN ini; jika nanti ada perbahasan, kita mempunyai teks untuk rujukan. Ini akan memudahkan saya memperkenalkan idea tentang Dua Mitos Agung itu, kerana masyarakat sudah bersedia untuk memahaminya.  Idea tentang Dua Mitos Agung ini telah saya bayangkan dalam tulisan saya yang dimuat dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (2010) yang disunting oleh Prof. Ungku Maimmuman Mohd. Tahir.

Apa yang disebut oleh Prof. Zainal itu (saya maksudkan tentang istilah yang beliau pakai)  penting dalam konteks  lingusitik politik/linguistik sosial, dilihat dari segi peranan retorik sebagai pelindung kebenaran (maksud saya ialah retorik yang melindungkan kebenaran, supaya apa juga tindakan akan kelihatan baik dan berguna). Dalam konteks ini contoh paling bagus ialah istilah globalisasi. Inilah istilah yang dipakai untuk imperialisme bentuk pascamoden. Dengan menggunakan istilah itu, ekonomi, pendidikan, politik, ideologi, agama dan sebagainya dijadikan senjata oleh kuasa besar untuk memaksa negara kecil menerima apa juga yang mereka ingin capai mengikut ukuran mereka. Dalam konteks pendidikan, bayangkan bagaimana kalutnya keinginan universiti tempatan untuk naik ke taraf dunia, supaya cita-cita globalisasi itu tercapai: mesti jadi universiti kelas pertama bertaraf dunia. Bahasa Melayu yang sudah agak kukuh menjadi pengantar di universiti, dalam alam globalisasi ini menjadi terpinggir; dan kita kembali menggunakan bahasa penjajah dengan megah. Bagi saya masalah pokok ialah kualiti pemikiran pelajar kita: bagaimana universiti boleh melahirkan pelajar yang pintar berfikir, yang membaca karya dunia dalam banyak bidang, yang boleh bebicara tentang falsafah (tak mengapa tidak mendalam), dan dapat membahaskan pemikiran ahli fikir moden/lama dengan baik. Kenalkah mereka siapa Hj. Agus Salim, tahu apa yang difikirkannya, mengapa dia tokoh besar? Siapa pula Tok Kenali yang tidak berbaju itu, tetapi yang mencetuskan pembentukan Majlis Agama Islam di Kelantan: apakah pengaruh tindakan itu dalam pendidikan?   Saya yakin jika pelajar kita tidak disekat dengan akta, dan mereka diberi input intelektual yang teratur,  mereka akan lebih pintar berfikir dan berbicara, dan lebih pintar berurusan dalam kehidupan moden. Boleh membaca sastera dunia dan faham, kenal ahli falsafah besar dunia. Itulah yang kita harap universiti kita lakukan, bukan menjadi hamba ukuran moden yang mungkin bertentangan dengan keperluan kita.

Melalui PBB, imperialisme dipraktikkan oleh kuasa besar dengan sewenang-wenangnya. Kita harus tulis sejarah kita dalam konteks ini, mengenal dan memahami penjajahan dalam bentuk politik dan budaya, dalam bentuk pendidikan dan agama. Liberalisme agama sekarang adalah hasil globalisasi yang berasaskan imperialisme keagamaan. Bayangkan berapa banyak dana yang diterima oleh tokoh-tokoh ini di Indonesia; dan kini sudah mula bertapak di Malaysia. Sejarah kita harus membuat rakyat kita mengenal erti penjajahan dalam kehidupan manusia moden dan peranan barunya dalam idea globalisasi itu. Jika kita membaca sejarah kita dengan cermat, kita dapat melihat  arah yang terjadi sekarang dengan hanya menggunakan mitos politik yang sudah lama wujud dalam sejarah kita, termasuk dalam pembinaan sejarah baru. Bolehkah ditulis satu sejarah moden kita dalam konteks itu? Saya fikir boleh, dan inilah yang kita perlukan. Kita harus membaca sejarah kita dalam konteks perkembangan dunia moden, dengan itu dapat memahami segala pergolakan yang sedang berlaku sekarang, yang sebenarnya mengubah dengan drastik nilai-nilai kita. Sebagai contoh: kini apabila bercakap tentang konsep ilmu, kita hanya kaitkan dengan sains dan kemajuan dalam bidang sains. Kita tidak boleh mengaitkan lagi dengan dimensi yang lebih asasi, itu ilmu yang boleh membuat kita kenal diri kita dan peranan kita di dunia dan dalam dunia ilmu. Itu telah dilakukan oleh para ilmuan Islam dahulu, oleh para ulama, para penyair kita. Lihat betapa manusia moden berminat hendak mengenal Rumi, Iqbal dll. Kerana mereka berbicara tentang kebenaran yang sejagat, yang paling halus yang memang difahami oleh akal manusia berilmu. Dengan kepercayaan ini, saya masih optimis MPN akan berupaya menulis sejarah kita dalam konteks yang disebutkan (tapi mestilah bukan yang ditulis oleh Prof. Zainal). Saya lihat sudah ada ahli sejarah yang berfikiran seperti yang saya cuba jelaskan. Dan mereka ini sudah bertaraf profesor.  Oleh kerana sejarah itu tentang perjalanan hidup manusia, maka penulisan sejarah harus mencerminkan penggembelingan ilmu. Saya setuju dengan saranan Prof. Khoo Kay Kim dalam wawacancara beliau di Berita Harian. Sejarah kita harus mencerminkan penggembelingan ilmu dan kesannya dalam kehidupan kita. Saya kira MPN mampu melakukannya kerana majlis ini dianggotai oleh orang-orang yang bertaraf pakar dalam bidang masing-masing. Mengapa kita tidak boleh menggunakan konsep penggembelingan ilmu itu melalui MPN?  Dan tulis sejarah kita dalam konteks itu? Dari segi itu, ada hikmahnya perkara ini disebut oleh Mat Sabu, dan diberi reaksi oleh MPN melalui Prof. Zainal Kling.  Rugi rasanya jika kita  biarkan berlalu begitu saja, ketika orang begitu ghairah ingin melihat kesudahannya yang bermanfaat bagi kita semua.  Wallahu a’lam.

LAMPIRAN


Harakahdaily   
http://bm.harakahdaily.net/images/stories/harakahdaily/person/tokoh2/zainal-kling.jpgKUALA LUMPUR, 16 Sept: “Ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain,” kata Prof Datuk Dr Zainal Kling.
Namun, jelasnya terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang), Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS.
Katanya, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'.
Menurutnya, pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara pentadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu.
“Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar,” ujarnya dalam tulisan yang diemel kepada Harakahdaily, petang ini.
Tambahnya, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan.
Oleh kerana itu, ujarnya para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah).
Katanya lagi, para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung).
“Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga,” jelasnya.
Berikut tulisan penuh beliau.
YBhg. Saudara Editor Harakah Daily,
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Doa agar saudara dan rakan-rakan di Harakah sentiasa dalam barakah dan sihat sentosa.
Sukacita saya merujuk kepada penerbitan Harakah, Edisi Jumaat, 18-20 Syawal 1432 bersamaan 16-18 September 2011 berkaitan pelbagai berita, ulasan dan pandangan pada halaman N1, N2, N4, N11, N13, N14, F3, F4, F11, F17, N21, N26, N29, yang terdapat di dalam penerbitan pada hari itu.
Saya amat berterikasih dan syukur jika Saudara dapat menyiarkan petikan dari apa yang dirakam dan diedarkan dalam 'Kenyataan Akhbar' dalam persidangan media Majlis Profesor Negara pada Hari Jumaat September 2011 itu. Tujuannya sekadar menjelaskan dan memaklumkan catatan sebenar agar perselisihan pandangan mungkin dapat dibetulkan. Saya akan mengutip edaran Kenyataan Akhbar yang dimaksudkan itu.
Berkaitan isu Tanah Melayu ukan Koloni tetapi Naungan, Kenyataan Akhbar itu ditulis, antara lain, seperti berikut:
"Negeri-negteri Melayu (B- FMS- atau tidak Bersekut - UFMS) tidak pernah menjadi colony atau tanah jajahan British .... Tanah Melayu tidak pernah terjajah (kecuali Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) walaupun kesan pentadbiran itu merupakan satu bentuk 'penjajahan' (colonialism)...Penilaian pengkaji sejarah kolonialsme British terhadap perilaku 'penjajahan' British itu disifatkan sebagai 'Breach of trust' (R. Braddell) dan 'indirect rule' (R.Emerson)...Mereka melakukan penjajahan walaupun tidak sahih (illegitimate)."
Dua perkara yang ditegaskan di situ. Pertama, ada beza antara konsep 'colony' dan 'protecorate'. Pada realitinya di zaman British itu, ada beza antara penbtadbiran Singapura dengan Kelantan atau Trengganu. Bezanya cukup banyak dan jelas dari segi kuasa, pentadbiran dan hubungan luar. Kedua, walaupun antara 'colony' dan 'protectorate' berbeza tetapi kesan dari pentadbiran 'protectorate' adalah juga penjajahan. Oleh kerana itu, para ahli undang-undang seperti Roland Braddell melihatnya sebagai 'breach of trust' (pecah amanah). Para ahli sejarah seperti R. Emerson, melihatnya sebagai 'idirect rule' (pemerintahan taklasung). Kedua-duanya penilaian itu adalah melihat kesan pentadbiran British sebagai 'penjajahan' (colonialism) juga.
Dengan demikian, ingin saya tegaskan bahawa saya melihat kehadiran British itu sebagai penjajahan (colonialism) juga dan telah membawa kesan dan natijah yang amat buruk terhadap bangsa Melayu dan golongan-golongan lain. Namun terdapat sedikit perebezaan antara penjajahan berbentuk 'colony' seperti berlaku di Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) , Canada, Australia ataupun malahan India, dengan penjajahan berbentuk 'protectorate' di dalam FMS dan UFMS. Singapura mempunyai Sultan Husin Syah tetapi kerana pulau itu sebuah colony maka institusi raja itu terhapus begitu sahaja. Sebaliknya, Kelantan adalah sebuah 'protectorate' maka institusi raja, keistimewaan Melayu serta pelbagai peruntukan perundangan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-Negeri itu dapat kekal hingga menjadi bentuk kerajaan pada masa ini. Perbezaan 'tipis' (seperti kata Profesor Aziz Bari) ini harus menjadi pemahaman oleh semua, bukan hanya oleh pakar yang bijaksana, kerana ia mempunyai makna dan implikasi yang amat asasi serta bernatijah dalam kewujudan warganegara, negara dan negeri masa kini dan akan datang.
Diharap sedikit penjelasan ini dapat mengurangkan jurang pendapat yang telah muncul. Salam bahagia dan terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah.
Profesor Datuk Dr Zainal Kling.





No comments:

Post a Comment