Sunday, September 11, 2011

THE BULLSHIT THEORY OF REVISED MALAYSIAN HISTORY (By Majlis Profesor Negara)


Tanpa disangka, Mat Sabu muncul sebagai Bapa Penulisan Semula Sejarah Malaysia, kini diusahakan dengan gigih oleh Majlis Profesor Negara melalui kenyataan akhbar yang diberikan oleh Prof. Dato’ Zainal Kling, mewakili Majlis Profesor Negara. Kini terdapat dua versi yang jelas dalam sejarah Malaysia, khususnya mengenai “perjuangan kemerdekaan”. Versi popular menerima para ulama, golongan nasionalis kiri dan lain-lain sebagai pejuang kemerdekaan, yang menjadi pelopor perjuangan kemerdekaan; versi kedua, terbaru yang diperkenalkan oleh Majlis Profesor Negara, menolak sama sekali “sumbangan” golongan ulama dan golongan nasionalis  kiri yang kini disahkan oleh mereka sebagai penderhaka kepada raja-raja Melayu yang menurut mereka bercita-cita membina sebuah negara bercorak republik. Majlis Profesor Negara menegaskan, Tanah Melayu tidak pernah dijajah, hanya dilindungi Inggeris dengan meletakkan negeri-negeri Melayu itu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan melalui penguasaan undang-undang Inggeris, pentadbiran bercorak Inggeris, dan ekonomi kapitalis cara Inggeris. Itulah hakikat sejarah Tanah Melayu, kata Majlis Profesor Negara. Inilah kesan daripada pandangan Mat Sabu yang berpendapat Mat Indera itu pejuang kemerdekaan, bukan komunis dan bukan pengkhianat. UMNO dan kerajaan BN yang di bawahnya bernaung Majlis Profesor Negara menolak andaian itu. Timbulnya dua versi ini adalah hasil dari reaksi melampau Majlis Profesor Negara terhadap pandangan kritis Mat Sabu tentang sejarah perjuangan rakyat. Untuk mempertahankan kedudukan UMNO dalam sejarah, Majlis Profesor  Negara mengemukakan versi mereka. Dari segi itu, Mat Sabu layak diberi gelaran Bapa Penulisan Semula Sejarah Malaysia kerana beliau telah berjaya meletupkan kepalsuan sejarah yang ditulis daripada perspektif UMNO yang mendewakan tokoh-tokoh mereka sendiri yang dari segi fakta sejarah adalah para pemimpin suruhan dan bikinan British. Tahniah kepada beliau yang bukan ahli sejarah, tetapi kerana kecekapannya bermain politik, telah menggegarkan dan menggegerkan sejarah Malaysia. Di Malaysia, semuanya boleh berlaku; termasuk pembunuhan seorang wanita cantik dari Mongolia bernama Altantuya, yang kemudiannya diletupkan untuk mensensasikan pembunuhannya, dengan itu menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.  Adakah pembunuhan dan peletupan Altantuya satu fakta sejarah Malaysia yang penting? Anda boleh menjawabnya setelah membaca tulisan Prof. Emeritus Khoo Kay Kim nanti. Semua boleh terjadi di Malaysia. Kini kita dibenarkan menulis dua versi sejarah kita sendiri: satu versi berasaskan fakta; satu lagi berasaskan analisis penyelewengan fakta. Dalam  dua  buah tulisan Prof. Emeritus Khoo Kay Kim (JMBRAS, Part 1, 1966: “The Origin of British Administration in Malaya” (hal. 52-91); dan JMBRAS, Part 1, 1974: “The Pangkor Engagement of 1874” (hal. 1-12), kita diberitahu British adalah kuasa penjajah yang datang ke Tanah Melayu sebagai penjajah. Tetapi dalam perkembangan terbaru, Prof. Khoo Kay Kim didakwa telah menyertai Majlis Profesor Negara. Namun dua buah tulisan beliau itu masih relevan kerana ditulis berasaskan fakta yang boleh diperiksa kebenarannya; selain dari itu beliau telah memberi beberapa pandangan menarik tentang penulisan sejarah.

Apa yang dicadangkan oleh Majlis Profesor Negara adalah perkara biasa dalam penulisan sejarah. Inilah pendapat/kesimpulan Prof. Emeritus Khoo Kay Kim: “The historian unavoidably has to write according to the dictates of his own interest or that of persons for whom he writes.” (JMBRAS 1974, hal. 3).  Jadi jangan marah jika ramai di antara ahli sejarah yang dididik oleh UMNO menulis sejarah daripada perspektif UMNO dan untuk meletakkan UMNO sebagai satu-satunya pejuang kemerdekaan yang sah dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.  Tetapi ini kemudiannya menjadi masalah besar, kerana menurut Majlis Profesor Negara, sejarah yang benar itu hanya berlaku dalam tahun 1946-1947 ketika Malayan Union diperkenalkan oleh British; jadi dalam masa dua tahun itulah saja perjuangan kemerdekaan itu terjadi, dan inilah peranan UMNO. Apabila darurat diisytiharkan oleh British 1948, semua “bukan pejuang” yang menjadi pengkhianat, menurut definisi Majlis Profesor Negara, ditangkap dan disiksa oleh British. Perkara yang aneh ialah, jika mereka bukan pejuang, bagaimana pula mereka dijadikan pengkhianat negara dan mesti ditahan sebagai penderhaka? Perkara ini perlukan penjelasan daripada Majlis Profesor Negara, kerana antara para pemimpin yang dikata pengkhianat itu ialah Dr. Burhanuddin, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam dan ramai lagi. Adakah mereka ini tidak mempunyai pengaruh langsung dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu? Kita tunggu buku sejarah baru oleh Majlis Profesor Negara untuk melihat bagaimana wira negara yang dinafikan ini memainkan peranan mereka dalam sejarah Tanah Melayu. Kita yakin Majlis Profesor Negara tidak akan menghampakan kita.

Cerita Mat Indera yang dibongkar oleh Mat Sabu dari PAS dengan tidak semena-mena telah menghuru-harakan sejarah Tanah Melayu. Kalau kita boleh percaya “kenyataan” Majlis Profesor Negara (anggotanya lebih tinggi kedudukannya daripada Sasterawan Negara dan Panel Anugerah Sastera Negara), Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah oleh British. Kedatangan British hanya untuk melindungi negeri-negeri Melayu dan raja-raja Melayu yang ketika itu kuat berjudi, berperang sama sendiri, tidak bertamadun dan belum pandai minum arak serta menari dansa. Prof. Khoo Kay Kim ada membuat catatan, tahun 1873 Maharaja Abu Bakar (Johor) berhutang dengan sebuah firma undang-undang di Singapura $65,000.00. (JMBRAS 1966, hal. 60). Mengapa catatan ini penting? Anda perlu semak sendiri rencana beliau. Ketika British masuk ada negeri Melayu yang tidak beraja, berpecah dalam beberapa daerah diperintah anak raja tertentu. Dengan murah hati kerajaan British, anak raja tertentu, atau keturunan raja tertentu, dilantik menjadi sultan dan disahkan, diterima dengan sukacita dan puas hati oleh rakyat jelata Melayu. Itulah jasa British yang membuat raja-raja Melayu dan pembesar Melayu “malu alah” dengan mereka. Dan inilah antara sebab besar mengapa raja-raja Melayu ini bersetuju dengan pembentukan Malayan Union. Para pembesar mereka tidak setuju, menentang kuat, kerana mereka tahu mereka akan kehilangan kuasa dan kehilangan peranan dan pengaruh di bawah projek Malayan Union itu. Apabila para pembesar dan bangsawan Melayu ini memprotes dan meminta pegawai-pegawai British yang sudah bersara “memperjuangkan” hak mereka (baca Albert Law, The Malayan Union Controversy 1942-1948 kalau nak tahu), maka kerajaan British dengan cepat mengambil kesempatan kerana mereka mendapat peluang terbaik untuk mendidik “pemimpin yang mereka mahu” dan pada masa yang sama menghapuskan para pejuang tulen, golongan ulama dan kumpulan nasionalis kiri.  Adakah anggota Majlis Profesor Negara mencontohi kebijaksanaan British itu dengan mengemukakan tesis mereka yang kini sudah menghuru-harakan sejarah perjuangan kemerdekaan itu?  Menurut Prof. Emeritus Khoo Kay Kim, sejarah ditulis berasaskan bentuk soalan yang ingin dijawab. Katanya: “There is no doubt that only one   definition is unanimously acceptable and it is that history is about past everything.  ... If the above arguments are acceptable than it becomes plain that debate about what should constitute the content of history are quite futile.” (JMBRAS 1974, hal. 3).  (Italics in original).

Jika anda bersetuju dengan profesor sejarah yang unggul ini, bolehlah anda fikirkan dengan mendalam kesimpulan beliau, “it becomes plain that debate about what should constitute the content of history are quite futile”. Nampaknya usaha kerajaan Johor melalui Yayasan Warisan Johor telah melakukan sesuatu yang tepat dengan memasukkan Mat Indera sebagai salah seorang tokoh penting yang mengukir sejarah Johor, tepat sekali dengan definisi yang diterima oleh ahli sejarah yang memberi definisi sejarah itu sebagai “history is about past everything” seperti yang dinukilkan oleh Prof. Emeritus Khoo Kay Kim. Nampaknya Mat Sabu telah melakukan sesuatu yang tepat dengan definisi itu dengan membangkitkan peranan Mat Indera itu.

Pada mulanya, sebelum muncul Majlis Profesor Negara, tidak timbul keraguan terhadap para pemimpin Melayu sebelum UMNO. Ketika itu, menurut Prof. Khoo Kay Kim, perkara yang menjadi perdebatan ialah di sekirar persoalan “Europo-Centricism and Asian-Centricism” (JMBRAS 1974, hal. 3). Mereka yang dianggap pengkhianat itu diberi kedudukan sebagai pejuang, dilihat dari perspektif Asian-Centricism. Tetapi dengan munculnya Majlis Profesor Negara Centricism, makna Asian-Centricism itu terbatas kepada para pemimpin UMNO dan peranan UMNO dalam perundingan kemerdekaan.  Satu huru-hara baru dalam tafsiran sejarah Tanah Melayu telah muncul akibat desakan orang-orang yang disebut oleh Prof. Khoo Kay Kim “persons for whom he (i.e. the historian) writes”.

Apakah makna semua ini? Jika anda membaca dengan kritis posting bertarikh 10/9/2011, anda akan bertemu di situ perbincangan tentang “the bullshit theory of democracy” dan “the bullshit theory of literature/criticism” dan penjelasan tentang bagaimana kedua-duanya mempengaruhi sastera Melayu moden. Kini dengan munculnya Majlis Profesor Negara yang memainkan peranan penting dalam menentukan corak penulisan sejarah baru Malaysia, versi kedua, mungkinkah kita juga mempunyai teori yang boleh dipanggil “the bullshit theory of revised Malaysian history”? Untuk memahami maksud soalan ini, anda perlu membaca buku Prof. Harry G. Frankfurt, seorang profesor dalam bidang falsafah, berjudul On Bullshit (2005). Buku ini mendapat perhatian ahli-ahli falsafah yang lain, dibincangkan dalam tulisan mereka. Anda boleh mendapat maklumat tentangnya melalui Internet. Dilihat dari perspektif “falsafah bullshit” yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt, anda akan dapat memahami dengan lebih mudah “falsafah sejarah” yang dikemukakan oleh Majlis Profesor Negara.  Pembaca yang berminat, bolehlah baca buku Arthur C. Danto, Narration and Knowledge (Including the integral text of Analytical Philosophy of History). Dengan meneliti kandungan buku ini, anda akan dapat dengan mudah meletakkan peranan dan kedudukan Majlis Profesor Negara dalam bidang pemikiran bangsa kita. Apakah perbezaan dan sumbangan Majlis Profesor Negara dengan Panel Anugerah Sastera Negara? Saya harap, bila anda memberi komentar anda nanti, anda sudah bersedia dengan maklumat yang diperlukan, supaya komentar anda nanti berbau haruman akademik, sedikit pun jadi, untuk mengelak dari berbau terlalu tengik dengan emosi (dan lain-lain bau yang kurang enak).  Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 11/9/2011.

5 comments:

  1. "Historical Fact and Faction" adalah karya terbaru Prof Syed Muhammad Naquib Al-Atas.Oleh itu sejajar dengan topik perbincangan di atas adalah sangat relevan bila karya ini turut dibaca bersama.

    ReplyDelete
  2. salam,
    Melihat namanya M.P.N pun seseorang sudah berasa kagum!,dan tesis yang dikemukakan memang dahsyat sehingga mengundang 'tsunami'dunia persejarahan pejuang dan pembinaan negara Malaysia ini.
    Cuma saya cepat terbayang novel 'Aligupit' kerana gambaran 'gaya penceritaannya',haruslah memberikan suatu impak kejiwaan untuk menjadi manusia yang bermaruah.
    Salam 'MERDEKA' buat rakyat pewaris-pewaris negara tercinta ini.

    ReplyDelete
  3. dan dalam blog Prof Madya Dr.Mohd Asri Zainal Abidin pun ada turut menyentuh tentang fakta dam fiksyen dalam pensejarahan. Cuba lihat!

    ReplyDelete
  4. Hakikatnya إنا لله وإنا إليه راجعون ... kita rujuk kepada nas dan kewarasan akal tanpa emosi bias orang-orang yang juling CARPA (cari pangkat) dan CARMA ( ruj: a. samad said).
    Harapkan Prof, Prof makan padi?

    ReplyDelete
  5. Harapkan Prof., Prof makan gaji....:)

    ReplyDelete