Perhatikan bagaimana sejarah bermain dengan kita, atau mempermainkan kita, atau kita dipermainkan sejarah: Majlis Profesor Negara, melalui Ketua Kluster sekian sekian ... , Prof. Datuk Zainal Kling, mengisytiharkan dengan tegas, dengan sokongan para profesor di dalam kumpulannya (dipanggil kluster) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, kerana raja-raja Melayu terus berdaulat di bawah naungan British, dan semua pekerja kerajaan yang berada di negeri-negeri Melayu adalah anggota kerajaan baginda, oleh itu sesiapa juga yang melakukan kesalahan adalah menderhaka kepada baginda dan layak dihukum, dan hukuman itu dijalankan bagi pihak baginda oleh British yang menaungi kerajaan baginda. Itulah sekira-kira hujah yang diketengahkan. Isunya: Tanah Melayu tidak terjajah, oleh itu kemerdekaan Tanah Melayu dan raja-raja Melayu tidak pernah digugat dengan kehadiran British di Tanah Melayu yang hanya menjalankan tugas sebagai penasihat kepada raja-raja Melayu. Kata Prof. Zainal Kling: “Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah oleh British. Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik.” (Catatan: ahli akademik tidak termasuk dalam senarai itu, tidak juga ahli sejarah; untuk makluman, Prof. Zainal Kling bukan ahli sejarah, tetapi seorang “pakar” antropologi yang pernah dibimbing oleh (Prof ) Dr. Syed Husin Ali.)
Menurut Prof. Zainal Kling, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri Perak akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Katanya: “Dinaungi tidak sama dengan kolonial ... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.” Prof. Zainal Kling tidak menjelaskan bagaimana ketiga-tiga “Negeri Selat” itu terjajah atau diserahkan untuk dijajah oleh British. Fakta sejarah mengatakan, ada pun “Negeri-negeri Selat” itu asalnya tanah jajahan raja-raja Melayu, dijual kepada British untuk membayar hutang. Mengapa sampai begitu sekali? Hutang apa? Mungkin “fakta” ini ada disebut di mana-mana buku sejarah, tetapi tidak disebut oleh Prof. Zainal Kling walaupun penting kerana fakta ini mesti diketahui oleh rakyat. Beliau juga tidak sebut, dengan berpengkalan di Negeri-negeri Selat itulah British merancang penaklukan negeri-negeri Melayu kerana raja-raja Melayu didapati tidak berupaya menjaga keamanan sehingga menjejaskan perniagaan British di Tanah Melayu; di samping itu British selalu sangsi terhadap kejujuran raja-raja Melayu yang mungkin saja membuat perjanjian dengan kuasa-kuasa Eropah seperti Belanda, Jerman dan lain-lain sehingga merugikan British. Misalnya, di Perak sebelum Perjanjian Pangkor, Perak membuat perjanjian dengan Belanda dan menempatkan kubu Belanda di Sungai Perak untuk menjaga kepentingan Belanda dan sekali gus mempertahankan kedudukan Sultan Perak. Itulah asal mula cerita kita ini, yang sebenarnya bermula dengan penaklukan Melaka oleh Portugis 1511. Jadi cerita penjajahan Tanah Melayu ini sudah lama. British masuk kemudian setelah kuasa ekonomi British di Tanah Melayu terus berkembang, dan untuk menjamin kepentingan ekonomi mereka itulah maka British “melindungi atau manaungi” negeri-negeri Melayu dengan persetujuan raja-raja Melayu, seperti yang disebut oleh Prof. Zainal Kling.
Tetapi fakta itu tidak penting. Lebih penting ialah, mengapa baru sekarang, setelah diwujudkan Majlis Profesor Negara, ahli akademik kita (semua mereka?) sedar Tanah Melayu tidak pernah dijajah? Apa sudah jadi dengan ahli sejarah kita? Tak perlulah kita membuat andaian, misalnya dengan mengatakan mereka cuai, atau sedang mabuk fakta sehingga tak tahu memilih mana fakta yang betul mana yang palsu, atau pun pengajian sejarah mereka begitu cetek sehingga tidak tahu cerita sebenar sehinggalah kerajaan menubuhkan Majlis Profesor Negara, barulah mereka sedar mereka telah tertipu dan oleh itu perlulah diberitahu hakikat sebenar tentang sejarah Tanah Melayu yang tak pernah menjadi koloni British, kecuali tiga buah negeri selat yang dijual oleh raja-raja Melayu kepada British untuk membayar hutang atau apa-apa juga sebab yang raja-raja itu sendirilah yang mengetahuinya. Sampai setengah abad ahli sejarah kita tidur, atau khayal dalam dunia sejarah mereka, sehinggalah disedarkan oleh Majlis Profesor Negara bahawa sejarah kita selama ini palsu, oleh itu mesti dibetulkan sekarang, serta-merta, kerana sudah tenat betul sampai tidak kenal lagi siapa pejuang, siapa pengkhianat, siapa komunis siapa pejuang Islam, dan macam-macam lagi. Gila betul dibuatnya, dibuat oleh pakar sejarah yang telah menipu kita semua, termasuk ahli politik yang berarak bertempik minta dimerdekakan, padahal selama-lamanya kita telah merdeka. Yang paling aneh, raja-raja Melayu sendiri tidak tahu mereka tidak dijajah, sehinggalah diberitahu oleh Majlis Profesor Negara. Apa sudah jadi dengan akal Melayu dan raja-raja mereka sebelum 4 September 2011, saat mereka diberitahu mereka sebenarnya sudah merdeka, oleh itu tidak perlu berjuang sampai mematikan diri untuk mendapat kemerdekaan. Lebih memalukan lagi, terhegeh-hegeh ketua-ketua UMNO pergi ke England untuk berunding mendapatkan kemerdekaan, padahal sudah merdeka. Apa punya ahli politik yang tak tahu apa yang mereka buat? Kata para pemimpin UMNO, yang bodoh dan buta sejarah bukanlah mereka, tetapi Mat Sabu dari PAS yang telah membangkitkan perihal sejarah perjuangan kemerdekaan yang tidak betul itu, sehingga menimbulkan kemarahan semua ahli UMNO dan Mat Sabu sendiri diisytiharkan seorang Komunis atau penyokong Komunis, sehingga Timbalan Perdana Menteri berkata Mat Sabu kena bertaubat dan seluruh anggota UMNO meminta kerajaan mereka supaya memenjarakan Mat Sabu sehingga dalam satu forum seorang bekas profesor dan seorang bekas Naib Canselor universiti berjanji akan menampar Mat Sabu jika beliau berjumpa Mat Sabu di mana-mana! (Baca laporan/berita dalam Malaysiakini, 15/9/2011). Mungkin betul juga Mat Sabu ini bodoh kerana membuka tembelang UMNO sehingga membuat mereka hilang akal, hatta seorang profesor pun sanggup menjadi samseng hendak menampar Mat Sabu. Undang-undang apa yang profesor ini pakai? Sungguh haram jadah jadinya kelakuan manusia apabila sudah terlalu marah kerana pecah tembelang, sampai seorang profesor bercawat kote (istilah Kelantan) bertukar menjadi samseng. Demikian besarnya pengaruh sejarah ke atas manusia. Dan ini dibuktikan oleh Barbara Watson Andaya dalam rencana beliau (JMBRAS, Part 1 1974) yang menulis tentang “The Installation of the First Sultan of Selangor in 1766”. Kata beliau, sejarah itu ditulis untuk memenuhi keperluan politik atau kuasa kumpulan yang menulis sejarah masing-masing; oleh itu cerita pertabalan Sultan Selangor dalam Misa Melayu tidak sama penekanannya seperti yang ditulis oleh orang Bugis dalam Tuhfat al-Nafis. Hakikat ini ditegaskan oleh Prof. Khoo Kay Kim yang mengatakan, “The historian unavoidably has to write according to the dictates of his own interest or that of persons for whom he writes.” (JMBRAS 1974, hal. 3). Dalam ceramahnya yang terbaru selepas kontroversi Mat Sabu ini, Prof. Khoo Kay Kim menegaskan bahawa tidak pernah menjadi polisi British dan tidak pernah dilakukan oleh mereka untuk melaksanakan polisi “pecah dan perintah”; demikian juga British hanya membawa orang India ke Tanah Melayu kerana pada waktu itu mereka menjajah India, tetapi British tidak membawa seorang pun kuli China ke Tanah Melayu kerana China bukan jajahan takluk British; malah kata Profesor Khoo Kay Kim, yang membawa kuli China ialah usahawan China sendiri. Dia tidak pula menyebut dengan bantuan dan galakan dari British, kerana tidak perlu. Kata sumber dari Perak, orang-orang besar Peraklah, dan mungkin juga sultan sendiri, antara yang membawa kuli China untuk bekerja di lombong-lombong bijih milik mereka. Sekiranya Mat Sabu tidak buta sejarah, seperti tuduhan pemimpin dan ahli UMNO, dia tidak akan bercakap tentang penipuan dalam penulisan sejarah, kerana sejarah memang begitu sifatnya. Oleh itu memang betul kata-kata Majlis Profesor Negara seperti yang diucapkan oleh jurucakap mereka, Prof. Zainal Kling walaupun dia pun bukan ahli sejarah seperti Mat Sabu juga.
Sesuatu yang pelik sudah berlaku di mana-mana. Sekarang teriakan merdeka masih dilaungkan, padahal tidak perlu. Merdeka dari siapa? Kalau kita tidak selesaikan kemelut ini, berapa ratus Hospital Tanjung Rambutan pun yang kita bina, tidak akan dapat memuat orang-orang yang perlu diberi kesempatan berada di situ kerana sudah hilang akal dan perlu dikembalikan akal sihatnya!
Apakah yang kita boleh pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Inilah cerita Plato tentang manusia yang hidup di dalam gua, yang percaya mereka berada di dunia realiti, padahal hanya dalam dunia khayalan. Tetapi kerana mereka tidak keluar dari gua itu, mereka tidak tahu dunia ini luas. Dalam skala yang lebih kecil, orang tua-tua Melayu yang bijaksana, telah berkata manusia yang berada dalam gua itu kalau dikampung-kampung Melayu diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Bayangkan begitu lama ahli sejarah kita berada di bawah tempurung, begitu juga ahli politik. Adakah mereka terdiri daripada kluster manusia yang bodoh? Tidak. Mereka hanya dikhayalkan oleh mimpi buatan mereka sendiri yang dulunya tidak sedar mereka kluster hamba yang menurut perintah, atau kluster manusia yang taat setia kepada ketua-ketua mereka, yang akhirnya menjadi hamba, atau pengikut, dan kini pembela, golongan penjajah yang kini disedari bukanlah penjajah, tetapi sahabat yang baik hati. Kalau begitu, apa perlunya dimansuhkan PPSMI yang telah dilaksanakan dan didapati berkesan seperti yang ditunjukkan oleh Majlis Profesor Negara?
Apakah yang boleh kita pelajari daripada episod yang dicipta oleh Majlis Profesor Negara ini? Bagi para sasterawan, sarjana sastera, dan pengkritik sastera yang selama-lamanya menggunakan kaedah Barat dan bangga dipengaruhi oleh nilai-nilai Barat dalam kesusasteraan Melayu moden, yang mentakrifkan makna moden itu sendiri, episod Majlis Profesor Negara ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan mereka, kerana sudah lebih dari 30 tahun mereka telah menerima hakikat itu seperti yang disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang menegaskan para sasterawan tidak pernah terikat kepada mana-mana pengaruh dari Barat, oleh sebab mereka hanya meniru teknik Barat dan menggunakan kaedah analisis dan penilaian dari Barat seperti raja-raja Melayu dan para pahlawan Melayu dan para pemimpin politik Melayu mendapat faedah daripada British dan orang Barat yang membawa mereka kekayaan yang membolehkan mereka membina apa-apa juga yang hendak dibina dan telah dibina, di samping mendapat kekayaan dan kemewahan dan kedudukan yang dihormati, yang kini perlu dipertahankan. Sebenarnya, Majlis Profesor Negara dan Panel Anugerah Sastera Negara tidak berbeza, dan mana-mana orang yang mendapat faedah daripadanya adalah sama.
Yang menjadi pengkhianat dalam perjuangan kemerdekaan yang sudah sedia wujud itu ialah para pejuang tulen yang ikhlas berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan kerana merekalah yang awal-awal lagi sudah keluar dari gua dan sudah menyepak tempurung yang menutup kesedaran politik mereka. Dalam bidang sastera pula, pengkhianat itu ialah golongan (bukan kluster?) yang menamakan diri mereka pengikut gagasan Persuratan Baru yang lantang berkata persuratan Melayu mesti dimerdekakan daripada alam khayal dengan membawa kembali peranan ilmu yang benar seperti yang dipraktikkan oleh para pujangga, ulama dan pendeta sebelum kedatangan kesusasteraan moden yang dibawa oleh penjajah Inggeris. Tetapi kerana telah dibuktikan (tanpa sebarang bukti dan hujah oleh Majlis Profesor Negara kerana tidak perlu) bahawa penjajahan itu tidak pernah wujud, maka sudah sahlah kesusasteraan Melayu pun tidak pernah terjajah. Oleh hal yang demikian, apa perlunya dibawa kembali barang yang hilang yang dinamakan ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam dan dipraktikkan oleh para ulama, pujangga dan pendeta silam itu? Tidakkah semuanya karut belaka? Kita beruntung kerana akhirnya kita diberi peluang oleh kerajaan yang menubuhkan Majlis Profesor Negara untuk menyedarkan kita semua betapa bodohnya kita selama ini kerana tidak mahu berfikir dengan menggunakan akal sihat berasaskan konsep ilmu yang benar itu.
Tetapi di dalam kemelut orang-orang bodoh yang cerdik ini, yang pernah saya gelar “cerdik pandir” (yang berbeza daripada “cerdik pandai”), saya lebih tertarik mengikuti analisis Prof. Amin Sweeney (semoga dicucuri Allah ruhnya dan diampunkan dosanya) dalam JMBRAS Part 1 1976 yang menulis tentang Pak Pandir dalam rencananya, “The Pak Pandir Cycle of Tales”. Berasaskan pentingnya Pak Pandir sebagai seorang pemikir Melayu yang asli, saya meminjam falsafah beliau dalam cerita-cerita jenaka yang beliau lakonkan bersama Mak Andeh, untuk dijadikan istilah ilmu yang saya namakan pandirisme, yang kini sudah menjadi aliran perdana dalam kebudayaan Melayu. Saya juga telah menulis sebuah cerita pendek yang panjang bertajuk, “Rumah Impian Dr. Polan Cupan”, kisah seorang cucu Pak Pandir yang bernama Polan bin Cupan (cupan itu singkatan dari ‘cucu pak pandir’), seorang arkitek Melayu yang terkenal yang setaraf dengan arkitek Mesir bernama Hassan Fathi, guru beliau yang disayanginya. Cerita pendek itu telah diserahkan kepada Persatuan Penulis Kelantan lebih dari lima tahun dahulu yang mahu menerbitkan satu kumpulan karya penulis-penulis Kelantan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Wilayah Timur. Saya mendapat tahu semua karya yang sudah dikumpulkan itu tenggelam dalam banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, tidak dapat diselamatkan lagi. Jika PPK dan DBP masih berminat, saya masih simpan salinannya dan saya akan hantar salinan baru bila-bila masa saja yang mereka perlukan. Rasanya masa inilah kumpulan cerita pendek itu sesuai diterbitkan, kerana di dalamnya terdapat cerita cucu Pak Pandir yang saya yakin pasti akan menarik minat anggota Majlis Profesor Negara kerana sebuah sejarah Pak Pandir yang selama ini dalam khayalan orang Melayu, telah muncul dalam arena budaya dan intelektual Malaysia melalui konsep pandirisme yang kini menjadi budaya arus perdana.
Saya sebut perkara ini dalam konteks ini kerana baru-baru ini saya bertemu, secara tidak sengaja, sebuah seloka baru ditulis oleh seorang penulis yang tak pernah saya kenal dan tak pernah saya baca karyanya, tetapi seloka beliau yang saya temui itu sangat bagus dan bernilai seni, sama seperti seloka Melayu lama yang dinukilkan oleh Za’ba dalam Ilmu MengarangMelayu, antaranya tentang Pak Kaduk, Lebai Malang, dan sebagainya. Seloka ini bagi saya jauh lebih baik daripada sajak-sajak sasterawan negara kerana ketajaman analisisnya, yang setiap barisnya boleh ditulis syarahnya dalam sebuah buku. Inilah seloka itu yang saya salin daripada blog penulisnya (saya mohon izin saudara, diharap saya tidak disaman nanti kerana sekarang saman-menyaman ini sudah dibudayakan di Malaysia, seperti rajinnya orang menulis laporan polis misalnya laporan polis terhadap Mat Sabu sudah makan bilangan ribu, sungguh rajin orang Melyu yang sayangkan negara dan kebenaran menurut tafsiran mereka menyaman sesiapa juga yang mereka anggap boleh membodohkan mereka dan membuka tembelang mereka). Perhatikan baris akhir seloka ini: “Tak sangka ada professor kuku”. Tidakkah itu satu kesimpulan yang bertaraf genius?
Inilah seloka itu:
Hang punya pasai Mat Sabu....
Negara diselubungi jerebu
Dari KL hingalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu
Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru
Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku
Keris Silau
13 September 2011
Dari KL hingalah ke Sibu
Banyak asap dan debu
Reda sedikit isu Mat Sabu
Senyap terus isu JAIS serbu
SPR pula diam dalam kelambu
Semakin hari semakin kelabu
Dakwat kekal atau guna jari ibu
Hari-hari ada cerita baru
Timbul pula profesor keliru
Mungkin dia mabuk tairu
Kepala tak gatai pun dia garu
Dijajah atau tak jadi isu terbaru
Pening semua cikgu dan guru
Guru konpius murid haru-biru
Nak guna pen merah atau biru
Cerita sejarah macam katak puru
Habis kita nak gelar apa kat Tunku
Bapa Kemerdekaan dah tak laku
Laungan merdeka jadi lawak tigasuku
Kena cetak semula semua buku-buku
Salah fakta tentang sejarah tanahairku
Profesor Kling buat rakyat terkaku
Tak sangka ada professor kuku
Keris Silau
13 September 2011
Mohd. Affandi Hassan, 15/9/2011.
Excellent....
ReplyDeletepar excellence ! hebat entry ini.
ReplyDelete