Setiap kali musim durian tiba, para penjual durian akan menunjukkan kehebatan durian Musang King yang besar-besar ulasnya dan kecil atau tiada langsung bijinya. Inilah durian paling sedap. Apa pula kopi paling sedap? Ialah kopi tahi musang. Kopi luwak. Apabila buah kopi sudah masak, musang akan makan buah kopi itu, kemudian berak di mana-mana yang mereka rasa selesa. Kini musang (luwak) dipelihara dalam kandang musang, dihidangkan biji kopi yang telah masak untuk dinikmati mereka. Jadi tahi musang tidak perlu dikutip lagi, sudah siap tersedia seperti longgokan dokumen dalam almari atau di rak-rak perpustakaan untuk digunakan oleh ahli sejarah untuk menulis buku-buku sejarah mereka. Menurut cerita, zaman Belanda dulu, orang Belanda yang berkebun kopi tidak membenarkan rakyat Indonesia minum kopi. Jadi rakyat yang miskin papa kedana itu mengutip tahi musang yang ada biji kopi dan memprosesnya untuk dijadikan kopi. Rupanya kopi tahi musang ini amat sedap. Saya belum cuba, hanya dengar cerita. Kata Majlis Ulama Indonesia dalam fatwanya, kopi berasal dari tahi musang itu halal, kerana yang dijadikan kopi bukan tahi tetapi biji kopi yang tidak hancur. Tahi musang dikutip kerana biji kopi yang dimakan tidak terjejas. Biji kopi itu dibasuh, dibersihkan, dijemur dan dijadikan kopi. Itulah kopi yang paling sedap. Harganya sangat mahal, beratus ringgit untuk satu kilo. Tetapi kerana sedapnya, dan peminum kopi yang banyak wang mahu berbangga minum kopi yang paling sedap dan paling mahal, mereka tidak keberatan membayarnya walaupun kopi itu berasal daripada tahi musang. Itu kisah musang dalam makanan yang enak.
Dalam konteks lain, orang Melayu telah mencipta peribahasa tentang musang, antaranya yang paling terkenal dan sering disebut ialah “musang berbulu ayam”. Sekarang orang sedang galak berbicara tentang siapa pejuang kemerdekaan, siapa perunding, siapa wira siapa petualang, dan lain-lain seumpama itu. Yang anehnya, tidak kedengaran peribahasa “musang berbulu ayam” itu disebut dalam wacana perjuangan kemerdekaan itu. Adakah kerana semua pejuang sekali dan beberapa kali dalam hayat perjuangan mereka pernah menjadi “musang berbulu ayam”? Ahli sejarah tidak dapat membantu, kerana mereka yang menyokong sesuatu puak (iaitu puak yang mereka suka dan mendapat faedah daripadanya) tidak ragu-ragu lagi menggelarkan puak yang tidak disokong atau tidak disukai mereka sebagai “musang berbulu ayam”, maksudnya sebagai golongan penipu yang mencari kesempatan. Dalam wacana sejarah yang ditimbulkan oleh Majlis Profesor Negara, ahli sejarah rasmi negara yang menyokong UMNO dan kerajaan Barisan Nasional, juga tidak menyebut peribahasa ini, tetapi mereka tidak ragu-ragu menuduh musuh UMNO sebagai pengkhianat. Di antara orang yang termasuk dalam golongan itu antaranya orang yang terkenal alim, kuat ibadatnya, lemah lembut tutur kata dan pembawaannya, seperti Dr. Burhanuddin dan Ustaz Abu Bakar Bakir. Termasuk juga orang yang telah meringkuk di dalam penjara/tahanan kerana keyakinan politiknya, seperti Ahmad Boestamam, Ishak Hj. Muhammad dan lain-lain. Kesemua tokoh ini tidak layak digolong sebagai “musang berbulu ayam” kerana mereka tidak menipu sesiapa, hanya memperjuangkan keyakinan politik mereka untuk membebaskan tanah air mereka. Mereka tidak layak dipanggil “musang berbulu ayam”, kerana mereka bukan penipu yang mencari kesempatan untuk mendapat faedah untuk diri mereka sendiri.
Oleh itu, siapakah yang layak diberi gelaran “musang berbulu ayam” itu? Di sinilah terjadi pertikaian besar kerana golongan yang layak diberi gelaran itu berjaya mendapat kuasa tanpa susah payah untuk mengorbankan diri mereka, hanya dengan sambil berbual dan berunding dengan pemegang kuasa, mereka mendapat apa yang mereka mahu dan direstui pula oleh golongan yang berkuasa tadi, yang menjadi pilihan mereka untuk diserahkan kuasa. Jadi di sini menjadi “musang berbulu ayam” bukanlah sesuatu yang tidak baik, malah sebaliknya sesuatu yang terpuji kerana itulah puncak strategi yang paling sempurna untuk mendapat kepuasan, faedah, dan kemenangan. Diceritakan, Mat Indera ditangkap oleh teman-temannya sendiri yang memakai strategi “musang berbulu ayam” dengan memberi minum Mat Indera kopi kecubung (bukan kopi luwak?) sehingga dia mabuk dan terus ditangkap, dibawa kepada Inggeris untuk dihukum gantung. Dengan hal yang demikian, peribahasa “musang berbulu ayam” bukanlah menggambarkan sesuatu yang tidak baik, malah sesiapa juga yang menjadi “musang berbulu ayam” adalah ahli strategi yang paling cerdik. Jadi, peribahasa ini berbicara tentang kepintaran menggunakan strategi, bukan tentang penipuan atau apa-apa maksud yang tidak baik.
Tidakkah inilah yang dipakai oleh UMNO untuk mendapat kuasa daripada British? British telah ditipu hidup-hidup oleh para pemimpin UMNO yang menggunakan strategi ini kerana dapat meyakinkan pihak British bahawa mereka akan memenuhi semua tuntutan British dalam perundingan itu tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu. Contoh: orang Melayu mendapat bahasanya yang dijadikan bahasa rasmi negara; orang Melayu juga mendapat agamanya yang dijadikan agama rasmi negara; orang Melayu tidak kehilangan raja-rajanya yang dijadikan raja-raja berperlembagaan; dan yang lebih utama orang Melayu mendapat kuasa politik dan layak menjadi Perdana Menteri dan sebagainya. Dengan menggunakan strategi “musang berbulu ayam”, orang Melayu yang menjadi rakyat diyakinkan bahawa dengan kemerdekaan yang tercapai hasil perundingan tadi, tidak sedikit pun mereka kehilangan apa-apa faedah yang mereka dapat pada waktu itu. Kerakyatan mereka tidak hilang, walaupun kerakyatan kaum pendatang diberi secara automatik sebaik saja diisytiharkan tarikh kemerdekaan. Di sinilah para ahli sejarah bingung dan keliru. Tujuan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu ialah untuk memastikan seberapa ramai rakyat bukan Melayu dengan secara automatik menjadi rakyat Tanah Melayu merdeka. Jadi di sini tarikh itu penting, walau pun Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Tanpa tarikh itu, amat sukar bagi kaum pendatang hendak menjadi rakyat secara automatik, seperti yang dikehedaki oleh British sebagai satu hadiah istimewa mereka kepada kuli ladang, kuli bijih dan semua saudagar Cina yang membantu mereka memakmurkan negara, sementara orang Melayu hanya berdiam diri mengangkat tangan menyembah raja-raja mereka. Dua golongan ini berjasa kepada British, kerana tanpa kehadiran dua golongan ini, semua kepentingan British akan dimilik-negarakan seperti yang berlaku di Indonesia. Belanda rugi besar, hilang sumber ekonomi yang dengan susah payah diperjuangkan selama ini. Britisah tidak perlu bersusah payah menjaga kepentingan mereka di negara Melayu yang merdeka sekarang, kerana tugas itu ditanggung beres oleh para perunding kemerdekaan sendiri. Inilah kemenangan “sama-sama menang” kerana kepentingan masing-masing tidak terjejas. Siapa yang diketepikan dalam kemenangan ini? Selama 54 tahun atau lebih selepas merdeka, orang Melayu masih lagi bercakap tentang kemiskinan. Ada berapa jenis kemiskinan yang mereka tahu? Mereka hanya tahu sejenis saja, iaitu kemiskinan tegar, yang bererti terus menerus miskin sejak beradad-abad. Mereka tidak tahu terdapat kemiskinan jenis lain, iaitu kemiskinan membuat pilihan terbaik untuk mereka setiap kali mereka diberi peluang memilih para wakil mereka di Dewan Rakyat. Walaupun dewan itu dibangunkan atas nama mereka, namun kemakmuran bukan hak mereka, oleh itu mereka masih terjerit-jerit minta dibantu. Tetapi jangan bimbang, kerana mereka tidak dimasukkan penjara atau dijadikan orang tahanan. Yang menghadapi peluang itu ialah orang-orang yang berjuang untuk mereka, untuk mengubah nasib mereka. Demikianlah bijaknya British menyusun kemerdekaan negara kita, sampai ada profesor yang berkata Tanah Melayu tidak pernah terjajah secara rasmi. Apa lagi yang kita mahu? Bodohlah jika kita tidak berterima kasih kepada mereka, dengan mengutuk mereka, padahal merekalah yang memberi kuasa kepada para pemimpin yang mereka senangi dalam struktur politik dan pentadbiran yang mereka tetapkan. Itulah semangat kemerdekaan yang sebenar, yang tidak dipengaruhi oleh strategi “musang berbulu ayam.” Itulah yang diceritakan semula oleh Majlis Profesor Negara. Cuma di sini ahli MPN silap, apabila mereka menafikan terdapatnya tarikh kemerdekaan. Bagaimana mereka tersilap hanya boleh difahami jika kita kaji semangat kemerdekaan mereka sendiri. Ahli MPN telah meletakkan diri mereka di bawah naungan kerajaan, seperti raja-raja Melayu dahulu meletakkan diri mereka di bawah naungan British. Jadi seperti raja-raja dahulu juga, maka ahli MPN ini mendapat faedah percuma daripada penaung mereka. Itulah faktor yang membuat mereka silap tidak mengiktiraf tarikh kemerdekaan, padahal dengan tarikh itulah beratus ribu (berjuta-juta?) pendatang asing ketika itu secara automatik menjadi rakyat Malaya merdeka. Belum nampak lagi?
Satu hari saya berkereta menggunakan jalan kampung, untuk melihat kemajuan orang kampung. Walau pun jalannya kecil, tetapi agak sibuk kerana orang cuba lari daripada membayar tol. Sebaik saja saya masuk sempadan Johor, terasa dahaga, lalu singgah di sebuah warung di antara warung-warung yang berceretek di tepi jalan. Ramai juga orang berhenti minum. Kerana ingin tahu, saya bertanya mereka apakah perniagaan penduduk di situ. Cepat sekali mereka jawab, dengan bangga pula, bahawa mereka pengusaha kopi. Sepantas itu pula tuan warung mengeluarkan bungkusan kopi. “Ini kopi baik, tuan. Murah.” Saya mengambilnya untuk melihat keistimewaannya. Baunya bagus juga. Lalu saya tanya bersahaja, “Kopi luwak ada?” Tuan punya warung tertawa, bersama beberapa orang penghuni yang sedang minum. “Mana ada, tuan. Mahal. Sangat mahal. Lagi pula orang Malaysia tidak pelahap sangat, sampai minum kopi tahi musang. Mahal pula tu!” Saya gembira kerana maklumat mereka global, bukan glokal. Kerana melihat mereka mesra, saya mula berbicara tentang harga barang-barang. “Masih murah, tuan, jika dibanding dengan Singapura.” Saya makin gembira kerana maklumat mereka global, bukan glokal. Ternyata mereka menonton TV dan mendengar radio, kerana itu mereka tahu harga barang di Malaysia masih murah. “Tuan dari mana?” tanya seorang pelanggan warung. Belum sempat saya jawab, kerana sedang menghirup minuman, seorang lagi bertanya, “Tuan seorang profesor?” Gamaknya kerana dia lihat saya berjanggut, dia fikir saya profesor, orang cerdik-cerdik. Melihat saya tersenyum seolah-olah mengiakan, ada yang mengerutkan kening, kemudian terjadilah perkara yang memeranjatkan saya. Seorang demi seorang meninggalkan warung itu sambil memerhatikan saya dengan curiga. Tuan warung terperanjat, merenung saya, dengan renungan, seperti kata Keris Mas, “seperti orang Islam melihat anjing” dalam cerita pendeknya “Mereka Tidak Mengerti”. Saya yang tergamam terus membayar dan terus keluar dari warung. Ketika membuka pintu kereta, saya tertawa sendirian. “Wah, hebat betul rakyat sekarang,” bisik hati saya sambil tersenyum puas, dan terus berlalu sambil menjeling warung bersejarah itu.
Mohd. Affandi Hassan, 16/9/2011 (sempena Hari Malaysia, bukan Hari Merdeka yang tak wujud.)
orang PAS marah sangat dengan buku sejarah dan Tunku Abdul Rahman sebab orang PAS takde peranan dalam kemerdekaan tanahair.
ReplyDeleteMasa orang UMNO sibuk berjuang untuk kemerdekaan orang Pas buat apa? takde apa-apa....
Sekarang dah 50 tahun Merdeka baru orang PAS sibuk komplaint itulah inilah. Dan kemudian bersekongkol dengan DAP dan menyanjung komunis
..masa tu bayang pas belum ada le... 0rang umno ysng berunding dengan british tu pun bukan ahli umno sekarang...ni apa jenis komen ler ni
ReplyDeleteZa'ba menitipkan sebuah pantun,.
ReplyDeleteBuatlah baik ayuhai rakan
Buangkan ke dalam lautan;
Jika tidak dikenal ikan
Tuhanmu tahu iakah bukan.
Jika tak salah ingatan,jika silap tolong betulkan,sekian terimakasih dan wassalam wbt.