CATATAN: Selepas menulis tentang kelesuan berfikir dalam kesusasteraan Melayu, saya menulis posting berikutnya berjudul KESUSASTERAAN MELAYU SUDAH MATI DI MALAYSIA, yang akan disiarkan beberapa hari kemudian. Tetapi sebelum itu, saya terjumpa sebuah tulisan lama, ditulis awal 2008, tentang peminggiran sastera, membahaskan beberapa perkara yang ditimbulkan dalam akhbar sekitar 1999 dan lebih rancak lagi dalam tahun 2008. Saya fikir lebih baik saya siarkan tulisan itu yang tidak diterbitkan di mana-mana walaupun dikirim kepada akhbar yang menimbulkan isu ini. Oleh kerana saya menulis posting bertajuk KESUSASTERAAN MELAYU SUDAH MATI DI MALAYSIA dengan tidak merujuk rencana lama itu, saya fikir lebih baik diterbitkan dulu rencana itu kerana perkara yang dibincangkan di situ amat mirip dengan posting terbaru yang sudah saya siapkan. Rupanya isu ini sudah lama dibincangkan; dan sepanjang mengenai tulisan saya, saya tidak pasti mengapa tidak disiarkan. Inilah tulisan itu.
SARJANA DAN SASTERAWAN SEBAGAI PUNCA PEMINGGIRAN PENGAJARAN SASTERA DI MALAYSIA
Perbincangan tentang pengajaran sastera Melayu di sekolah berada di antara dua ekstrem. Berita Harian 12/1/2008 melaporkan, bahan sastera bagi tahun 2010 tidak memasukkan karya sasterawan negara, pemenang SEA Write Award, serta tidak juga dari pemenang sebarang hadiah sastera. Yang terpilih ialah karya-karya picisan yang dipanggil sastera popular, untuk memudahkan pelajar membaca dan memahaminya. Inilah sikap ekstrem pertama. Pemilih teks terdiri daripada guru bahasa dan guru sastera (peringkat pakar), tidak lagi sarjana dan sasterawan antara anggotanya. Bagaimana keputusan luar biasa ini terjadi kita akan bincang kemudian, jika perlu. Kali ini kita bincang pandangan ekstrem yang kedua.
Sudah acap kali ditimbulkan masalah pengajaran sastera di Malaysia yang semakin terpinggir. Hal ini merisaukan sarjana dan sasterawan, kerana menurut mereka kemajuan Malaysia tidak sempurna jika mata pelajaran sastera tidak diajar dan diwajibkan, terutama dengan membaca karya-karya sasterawan yang menerima hadiah dan yang diberi anugerah. Oleh itu timbul cadangan supaya hanya karya sasterawan negara dan pemenang SEA Write Award saja dijadikan teks, sebab karya itu sangat bermutu dan diakui bertaraf dunia. Karya-karya bertaraf dunia ini tidak boleh dikritik, penulisnya tidak boleh dipersoalkan. Karya dan penulisnya harus disanjung setinggi mungkin, untuk memastikan mereka dihormati oleh masyarakat. Cadangan begini, berupa ekstrem kedua, yang diragui sifat siumannya, tentulah aneh dan tidak masuk akal, hatta pada Zaman Batu pun tidak layak diusulkan kerana manusianya sudah tahu berfikir, apatah lagi pada zaman teknologi nano sekarang. Sarjana dan sasterawan tidak boleh menerima hakikat ini, lalu mereka dengan angkuh memfosilkan karya dan sasterawan dalam mangkuk kaca untuk ditonton, tidak boleh dijamah. Inilah masalah kita sebenarnya, dan inilah yang membuat pendidikan sastera itu tidak menarik. Kita sendiri memfosilkan akal fikiran para pelajar dengan tidak memberi mereka kebebasan untuk berfikir, menilai dan memberi pendapat yang berbeza. Markah mereka ditentukan oleh sejauh mana mereka bersetuju dengan acuan fosil yang ditetapkan, jadi tidak hairan jika para pelajar ini semakin merosot dari segi kualiti dan bilangannya. Sebenarnya kita harus berbangga jika bilangan mereka merosot, sebab kemerosotan itu memberi isyarat kepada kita bahawa mereka sudah pandai menilai dan dengan itu menolak untuk difosilkan dalam pelajaran sastera yang membekukan otak mereka. Jadi masalah yang kita hadapi ini berasal daripada sarjana dan sasterawan sendiri, yang memilih untuk membunuh kreativiti dan kebebasan berfikir di kalangan pelajar sastera. Cadangan untuk pelajar membaca hanya karya dua puak saja, puak sasterawan negara dan puak SEA Write Award, adalah bukti terbaik sikap buruk sarjana dan sasterawan yang menjadi punca masalah.
Prof. A. Wahab Ali telah menimbulkan perkara ini dalam seminar “Pendidikan Kesusasteraan Ke Arah Wawasan 2020” (UPM 1992) dalam kertas kerjanya ketika membicarakan novel Tunggul-tunggul Gerigis oleh Shahnon Ahmad. Menurut Prof. Wahab, novel itu “terlalu banyak pengulangan menyebabkan kita loya dan muntah”, oleh itu beliau “melontarkan buku itu setiap habis membaca 5-6 halaman”. Menurut Prof. Wahab, komen beliau menimbulkan kemarahan Shahnon Ahmad kerana karya beliau dikritik. Jika seorang profesor sastera tidak boleh mengkritik sasterawan negara, bayangkan seorang pelajar SPM atau STPM mengkritik karya sasterawan negara dalam jawapan peperiksaannya, tentulah budak itu akan dihukum berat. Inilah maksud saya dengan memfosilkan karya sastera, yang tidak dapat dinafikan menjadi arus perdana dalam perbincangan tentang sastera. Contoh lain, seorang sarjana bertaraf Ph.D. sastera, menyatakan kejengkelannya apabila ada sarjana lain menilai secara kritis karya Shahnon Ahmad dalam sebuah seminar mengenai pemikirannya. Sarjana itu marah-marah dalam satu majlis rasmi di DBP dengan menuduh pengkritik tadi, juga seorang sarjana, berlaku biadab kerana berani menilai Shahnon Ahmad dengan kritis. Kita tahu, siapa sebenarnya yang biadab di sini; tetapi sikap biadab memfosilkan pemikiran ini diterima dengan baik. Dalam peristiwa lain, seorang “tokoh besar dan sarjana besar” pula (menurut dakwaan beliau sendiri), membandingkan huraian tentang ilmu dalam gagasan Persuratan Baru tidak sampai ke taraf “kentut” Prof. Syed Naquib al-Attas sekalipun. Beliau diberi tepukan kerana komennya itu, sesuai dengan teori kritikan Melayu yang mengutamakan kesopanan dan sifat halus budi bahasa dalam kritikan Melayu itu. Dalam suasana beginilah masalah peminggiran sastera ini dibincangkan oleh tokoh-tokoh yang celupar yang menolak kebebasan berfikir di kalangan para ahli sekali pun. Jika mereka ini berpuak-puak, dan mengutamakan kepentingan peribadi sendiri, maka sudah seharusnya mereka bertindak begitu kerana itulah wajah sebenar orang-orang jenis ini.
Layakkah mereka bercakap tentang peminggiran sastera oleh kerajaan jika mereka sendiri, dalam kelakuan dan pemikiran mereka, meminggirkan golongan yang tidak sehaluan dengan mereka? Sifat tamakkan keuntungan peribadi dan perasaan hasadkan orang yang dianggap musuh menyebabkan sastera terpinggir, dipinggirkan oleh golongan tamak dan hasad ini. Bukan kerajaan yang meminggirkan sastera, tetapi kumpulan inilah yang menjadi puncanya. Mereka sanggup memfosilkan sastera untuk menjamin kedudukan mereka tidak tergugat. Berita Harian (keluaran 11 dan 12 Ogos 1999) melaporkan bagaimana golongan ini memilih karya anak-beranak, kawan-teman dan penulis yang sehaluan untuk dijadikan teks sastera. Kini mereka mencadangkan supaya kerajaan menerima hanya karya sasterawan negara dan pemenang SEA Write Award saja untuk dijadikan teks sastera, kerana merekalah yang menulis karya itu. Masalah ini tidak akan selesai selagi mereka diberi tugas untuk “menyelesaikan” masalah yang mereka wujudkan sendiri untuk kepentingan mereka.
Jikalau kita benar-benar jujur ingin memajukan sastera, maka langkah pertama yang harus dilakukan ialah menyingkirkan golongan ini daripada kedudukan mereka sebagai penentu dalam membuat pilihan teks sastera. Kedua, ukuran yang tepat, jitu dan objektif harus dipakai untuk memilih teks terbaik secara umum, bukan dihadkan kepada dua puak saja seperti yang dicadangkan oleh Prof. Dr. Lim Swee Tin dan jawatankuasanya (Berita Harian, 1/1/2008). Pada waktu ini, hanya gagasan Persuratan Baru saja yang dikenal pasti dapat memenuhi syarat tersebut. Pelajaran sastera yang membekukan pemikiran harus diganti dengan pendidikan estetika, dengan teksnya dipilih daripada khazanah persuratan Melayu yang kaya itu. Gunakan ukuran yang dicadangkan oleh gagasan Persuratan Baru untuk menentukan pemilihan yang tepat. Jika ada bantahan dari sesiapa sekalipun, berasaskan hujah akademik, untuk menolak cadangan ini, maka apa pun juga ukuran yang dipakai mestilah diuji sehabis kritis untuk memastikan hasilnya nanti dapat dipertahankan secara akademik. Jika tidak ada pilihan lain, maka khidmat gagasan Persuratan Baru harus dipakai dengan perasaan terbuka, sesuai dengan tuntutan adab dan kesantunan akademik yang dipegang para sarjana dan sasterawan. Sesiapa juga yang berasa tersinggung dan marah dengan cadangan ini, membuktikan terdapat penyakit hati yang teruk dan berbahaya; oleh itu dia tidak layak menjadi pemimpin untuk menentukan bagaimana pilihan terbaik dapat dibuat.
Ketiga, faktor yang lebih penting, yang tidak pernah disebut dalam perbincangan mengenai masalah ini, ialah tentang pemilihan calon pelajar yang akan mengambil mata pelajaran kesusasteraan. Pada waktu ini, mereka dikatakan “hampas” dari fakulti lain, setelah mereka tidak diterima menjadi pelajar dalam fakulti berkenaan. Sebagai calon yang tidak berkualiti, amat sukar hendak melahirkan pelajar yang pintar. Hal ini menjadi masalah besar apabila terdapat profesor dan pensyarah yang dari segi kemampuan kognitifnya sama saja dengan pelajar tidak berkualiti tadi. Universiti harus jujur membincangkan masalah ini, kerana ini ada kaitannya dengan pasaran pekerjaan yang nampaknya menjadi perhatian penting pihak universiti. Jika anda mahu pelajar kesusasteraan yang bagus, anda harus mengambil pelajar yang pintar, yang telah membuktikan melalui keputusan peperiksaan bahawa mereka mempunyai kemampuan kognitif dan intelek yang tinggi. Anda juga harus memastikan guru, pensyarah dan profesor sastera mempunyai kualiti akademik yang tinggi, selain mempunyai keupayaan kognitif yang tinggi. Kalau anda tidak mahu orang cerdik memasuki fakulti sastera, mengambil mata pelajaran kesusasteraan sebagai pengkhususan, maka anda harus berdiam diri, tidak usah bercakap tentang peminggiran sastera. Jika teks yang digunakan berkualiti tinggi, menggunakan kaedah pendidikan estetika yang mengutamakan ilmu dan memberi kebebasan berfikir kepada pelajar, dan guru-guru (atau pensyarah) yang tinggi pula kemampuan kognitif dan daya inteleknya, maka boleh dikatakan seratus peratus kita akan dapat menghasilkan pelajar yang tidak susah lagi mencari pekerjaan. Tidak ada organisasi yang akan menolak graduan pintar dalam bidang apa sekali pun, termasuk bidang sastera. Tetapi jika graduan sastera tidak boleh menulis dengan baik, tidak boleh berfikir, siapa yang akan menerima fosil hidup yang dicipta oleh sarjana sastera di universiti dan teman-teman mereka para sasterawan yang menulis karya tidak berkualiti? Sekiranya anda menolak semua fakta ini, anda tidak usah bercakap tentang peminggiran sastera. Jika itulah keadaannya, adalah lebih baik dan lebih menjimatkan jika pengajaran sastera dihentikan saja. Kita boleh menyelamatkan anak-anak muda kita daripada terus menjadi bodoh. Keputusan mengejutkan ini diperlukan setelah dibuat keputusan pertama yang bertentangan dengan akal sihat dan bertentangan dengan tatasusila keilmuan, yang mengangkat karya picisan untuk dijadikan teks sastera. Wallahu a’lam.
Petaling Jaya, 12/1/2008.
No comments:
Post a Comment