Wednesday, September 7, 2011

Respon kepada seorang Anonymous ...

“Sudah-sudahlah tu ...” kata seorang yang tidak mahu dikenali. Apa maksud beliau? Memberi nasihat dan peringatan itu bagus, tapi nasihat yang bagaimana? Tentulah yang tidak bertentangan dengan ajaran al-Quran: “Berpesan-pesanlah kamu dengan yang hak dan dengan kesabaran”. Seterusnya: “Wahai orang-orang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan dengan berdoa (mengerjakan solat), sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.”  Itu ajaran kita, tidak boleh berhenti menyeru kebaikan kerana sudah berasa bosan atau apa-apa. Itulah tuntutan taklif. Walaupun secara fitrah manusia inginkan kebaikan, tetapi melalui cultural conditioning (melalui program TV, akhbar, pengajaran di sekolah dan di universiti dll), dia lebih gemarkan keburukan kerana baginya itulah realisme. Itulah pandangan para sasterawan, yang terjelma dalam karya mereka, dan disokong oleh para sarjana/ahli akademik. Perhatikan kata-kata Prof. Rahman Shaari: “Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara yang ketara dianggap karya didaktik. Karya sastera absurd, psikologikal, eksistensialistik dan lain-lain, akan ditinjau mengikut kriteria dalam pelaksanaan kesenian itu sendiri, bukan berasaskan nilai murni, ilmu dan lain-lain yang diputuskan melalui pemikiran pendidikan.” (Sinar Harian, 6/5/2011).  Apa jenis pengajaran yang cuba diajar oleh profesor ini? Supaya kita dapat lihat betapa karutnya pandangan begini, kita ambil satu contoh yang terkenal dalam seni lukis (seni lukis pun seni juga, macam seni sastera).  Seorang pelukis pascamoden, Duchamp, mengambil mangkuk kencing yang telah digunakan dan dibersihkan “secara seni” untuk digantung sebagai hasil seni, satu arca pascamoden. Jika kita mengikut pendapat Prof. Rahman Shaari, “objek seni” mesti dinilai dalam konteks yang dimaksudkan oleh penciptanya, kerana itu walaupun sebuah “urinal” bekas najis, tidak harus dianggap bekas najis, kerana telah diangkat menjadi objek seni. Di Malaysia, sasterawan negara Shahnon Ahmad telah menjadikan najis tahi sebagai objek seni, dan novel Shit beliau telah diterima sebagai sebuah hasil seni, satu materpiece dalam bidangnya, yakni bidang  “seni tahi”.  Perhatikan sekali lagi pandangan Prof. Rahman Shaari: sastera tidak perlu ilmu. Jadi apa jenis pelajaran yang diajar oleh para profesor dan pensyarah yang mengajar sastera? What kind of shit is this?  Bolehkah kita diam berdepan dengan kegilaan melampau begini?  Nasihat “Sidah-sudahlah tu ...” wajar ditujukan kepada mereka.

 Tulisan-tulisan yang dirujuk disiarkan di bawah tajuk besar, “Persuratan Baru Merombak Kaedah Lama Dalam Analisis dan Penilaian Karya Kreatif”. Siri ini akan diakhiri dengan sebuah posting yang sudah saya siapkan, tunggu masa yang sesuai untuk diterbitkan, berjudul “Hadiah Persuratan PETRONAS”.  Siri ini dimulai dengan pendahuluan (posting bertarikh 18/7/2011) yang antara lain mencadangkan supaya diajarkan kritikan bandingan di universiti, meliputi tamadun Islam, Barat, India dan China. Kita sudah ada sastera bandingan. Kita perlu wujudkan kritikan bandingan pula. Semua kritikan saya diasaskan kepada gagasan Persuratan Baru. Sejauh mana tajuk besar itu telah saya buktikan dalam kritikan saya terhadap Panel Anugerah Sastera Negara boleh dibahaskan secara objektif. Kritikan itu penting kerana mutu laporan mereka tidak sebaik yang kita harapkan.  Mereka boleh buat lebih baik dengan kepakaran mereka yang ada. Siri berikutnya selepas ini akan membicarakan secara khusus tentang pendidikan estetika dan pendidikan sastera di Malaysia, untuk menghidupkan kembali persuratan Melayu di samping menyegarkan minat pelajar dalam kesusasteraan sebelum mereka bersedia untuk berpindah kepada persuratan Melayu.

Kritikan saya terhadap profesor tertentu tidak dapat dielakkan, kerana mereka telah melontarkan pendapat yang tidak dilengkapkan dengan hujah dan analisis yang boleh membantu pembaca memahami maksud mereka.  Saya anggap pendapat yang mereka lontarkan penting dibincang;  jika tidak penting, mengapa anda melontarkannya? Saya hanya meminta sedikit tanggungjawab akademik daripada para sarjana kita.  Tentang gagasan Persuratan Baru,  cara terbaik bagi para sarjana menguji kewajarannya sebagai satu kaedah analisis ialah dengan menggunakannya, atau memperkenalkannya kepada para pelajar sekolah menengah dan universiti. Para pelajar ini harus diajar berfikir dengan kritis.          Para sasterawan sendiri pun begitu.

Prof. Rahman Shaari berkata, “Gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanaannya juga tidak sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang dikehendaki. ... Saya yakin saya dapat menghasilkan karya yang berpadanan dengan kehendak Affandi, Ungku Maimunah dan Zariat itu, jika nanti saya terdorong.” (Mingguan Malaysia, 16/12/2007). Betulkah begitu? Sebenarnya PB tidak semudah yang disangka oleh profesor sastera ini: tidak betul untuk berkata ringankan cerita dan beratkan ilmu.  Jika rumusan beliau diikuti, hasilnya ialah seperti novel beliau Suluh Peraba dan Pernikahan di Lubuk Hantu yang mutunya lebih baik sedikit  saja daripada sebuah novel picisan biasa. Menariknya (dari segi negatif) kesimpulan Prof. Rahman Shaari ini boleh dilihat apabila dikaitkan dengan komen beliau terhadap permulaan syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah yang menyebut pandangan sasterawan negara S. Othman Kelantan yang berkata “buku sastera bukannya buku ilmu” untuk menegaskan tidak perlunya ilmu dalam karya kreatif. (Sebenarnya inilah juga pandangan Prof. Rahman Shaari sendiri, rujuk tulisan beliau dalam Sinar Harian, 5 Jun 2011 yang menegaskan, ‘Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat’).  Kata Prof. Rahman Shaari: “Kata-kata sasterawan itu hanyalah satu reaksi latah yang layak disebut di kedai kopi”. Tidakkah itulah juga taraf komen beliau yang saya salin itu? Komen yang memperlekehkan PB itu tidak sedikit pun mencirikan gagasan Persuratan Baru sebagai satu sistem yang menghuraikan kaedah menilai dan menganalisis karya kreatif, di samping memberi saranan bagaimana sesebuah karya kreatif yang disebut karya persuratan boleh dihasilkan.  Tulisan saya sendiri dan huraian Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat tentang Persuratan Baru boleh dijadikan perbandingan untuk melihat betapa naif komen Prof. Rahman Shaari, setaraf dengan komen di kedai kopi yang disebut olehnya. Saya tidak yakin beliau dapat menghuraikan Pesuratan Baru secara ilmiah,  sebagai satu hasil penelitian akademik yang berwibawa seperti yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah dan Prof. Madya Dr. Zariat yang diremehkan beliau. Beliau boleh meremehkan PB, tetapi lakukanlah sebagai seorang ahli akademik yang berwibawa. Sekiranya beliau menganggap Persuratan Baru terlalu remeh untuk dibicarakan secara akademik (inilah inti-pati komen beliau dalam Mingguan Malaysia, 16/12/2007 terhadap syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah),  dan beliau membuat keputusan itu sebagai seorang profesor kesusasteraan yang berwibawa, yang telah membacakan syarahan perdananya, maka beliau harus bersedia untuk dipersoalkan kemampuan kognitif dan kualiti akademik beliau sendiri  sebagai seorang sarjana sastera. PB akan menilai kemampuan intelektual  dan kemampuan akademik beliau dengan objektif dalam konteks ini, sama seperti penilaian yang dibuat terhadap laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Saya tidak fikir beliau sekebal yang beliau fikirkan terhadap dirinya. Mungkin dalam siri tentang pendidikan estetika dan pendidikan sastera nanti saya akan menyentuh perkara ini, jika saya terdorong. Hal ini tidak sukar bagi saya kerana saya bukan seorang sarjana sastera yang bertaraf profesor, oleh itu lebih mudah bagi saya memperlihatkan keselekehan akademik saya tanpa merendahkan kualiti pemikiran saya. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 7/9/2011.

4 comments:

  1. Saya doakan insyallah tuan Mohd Affandi Hassan akan dinobatkan menjadi Sasterawan Negara suatu hari nanti Insyallah.

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Janganlah menghina saya sampai begitu sekali. Seumur hidup saya, saya tak pernah hadir menerima apa-apa hadiah walaupun dipilih menerima hadiah sastera lama-lama dulu. Dan saya tidak akan hadir untuk mendapat sesuatu daripada sesiapa kecuali daripada tokoh yang saya hormati. Titik. Terima kasih di atas ingatan anda.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah....saya harap lebih ramai org yg berfikiran seperti Tuan...teruskan perjuangan.....

    ReplyDelete
  4. Salam,

    Alhamdulillah, tulisan tuan meluaskan lagi pandangan saya.

    ReplyDelete