Tuesday, September 6, 2011

KESUSASTERAAN MELAYU SUDAH MATI DI MALAYSIA (Ruh Islamnya)

Kesusasteraan Melayu sudah mati di Malaysia, menjadi korban para sarjana yang ketinggalan zaman dan ketinggalan ilmu, para pengkritik yang terus kabur dan keliru dalam membuat penilaian, dan para sasterawan yang masih meraba-raba mencari kepuasan emosi dengan menentang sebarang usaha untuk membawa ilmu ke dalam karya kreatif, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Rahman Shaari dan teman-teman beliau yang “cintakan” sastera tetapi terus membunuhnya dengan menolak ke tepi unsur penting yang boleh menghidupkan sastera, iaitu ilmu yang benar. Saya telah menyentuh perkara ini dalam posting bertarikh 16 Julai 2011 (sila rujuk di sana, terutama sekali tentang pandangan Prof. Rahman Shaari).  Jika anda membaca dengan kritis karya-karya sastera, sama ada karya para sasterawan negara mahu pun karya yang bukan diberi cap mohor sasterawan negara, anda akan melihat betapa lembeknya karya-karya ini, sehingga tidak mahu diberi analisis dan kritikan kecuali untuk memuji. Sebaik saja gagasan Persuratan Baru  bertapak dalam medan persuratan dan kesusasteraan, para sarjana, pengkritik dan para sasterawan mula risau, yang akhirnya menjadi histerikal seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Fatimah Busu yang menulis “kritikan hamun” dalam bukunya yang memalukan para sarjana yang berpegang kepada kualiti akademik, Nyanyi Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin, (Univision (2007). Saya namakan buku ini jenis buku “asal tulis”, tidak terurus sama sekali penghujahannya, malah saya yakin penulisnya tidak mempunyai kemampuan untuk memahami perkara yang ingin dikritiknya, dan tidak juga mempunyai keterampilan berfikir secara sistematik untuk mengemukakan pemikirannya dan menolak pemikiran yang ingin dikritiknya. Ini adalah hasil penulis yang menulis Salam Maria dalam bentuk kritikan: kedua-duanya tidak mementingkan standard dan penghujahan, tetapi hanya ingin meluahkan perasaan yang tidak terkawal. Dalam keadaan beginilah, dan dalam tangan para sasterawan beginilah kesusasteraan Melayu dibunuh perlahan-lahan sehingga akhirnya merempat di dalam  negaranya sendiri. Mengapa terjadi demikian?

Siapakah yang membunuh kesusasteraan Melayu sehingga menjadi jumud dan membosankan? Mereka adalah para sarjana sastera yang gagal menyediakan suasana ilmiah yang berupaya menarik minat di kalangan mereka untuk membicarakan persoalan sastera secara teratur, mengemukakan idea yang bernas dalam perbahasan yang bercorak ilmiah, bukan yang dikuasai emosi untuk menang. Kita tidak bertemu perbincangan yang menarik dan berterusan tentang beberapa isu yang acap kali disebut di kalangan mereka secara sambil lalu. Misalnya, apabila Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh melontarkan pandangannya bahawa penggunaan teori Barat tidak sesuai, yang dianggapnya sebagai satu kesalahan yang diulang-ulang, beliau sendiri tidak menjelaskannya secara berdisiplin, yang cocok dengan kedudukannya sebagai seorang profesor kesusasteraan dan kini diangkat menjadi Tokoh Akademik Negara selain gelaran sasterawan negara. Kita mahu tahu dengan lebih terperinci bagaimana hal ini terjadi: adakah ini bermaksud para sarjana sastera kita menggunakan teori Barat secara totok, untuk mencari jalan mudah, dengan sikap asal ada saja.  Bagaimana kesalahan itu berlaku, yakni adakah pada peringkat analisis, atau pada peringkat penilaian, atau kedua-duanya sekali. Jika kita beranggapan bahawa sastera Melayu moden memang dimodelkan berasaskan peniruan dari teknik penulisan yang diambil dari Barat, seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, maka mengapa pula teori Barat tidak boleh digunakan, kerana tidakkah karya yang ditulis itu memang karya Barat yang ditulis dalam bahasa Melayu?  Ini perlukan penjelasan, kerana jika kita menerima hakikat bahawa sastera Melayu moden adalah hasil peniruan dari Barat, tidak ada sebab untuk kita berkata karya itu tidak patut dinilai dengan menggunakan teori Barat dan menggunakan ukuran yang terpakai dalam kritikan Barat. Jadi tidak ada kesalahan yang berlaku di sini, malah memang tepat sekali jika teori Barat itu digunakan. Tidakkah sastera Melayu itu sudah sampai ke peringkat antarabangsa, menjadi ahli waris sastera Barat?  Dilihat dari perspektif ini, kesimpulan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak berasas, bertentangan dengan ciri sastera Melayu moden yang memang menggunakan teknik dan stail penulisan yang dimodelkan dari karya Barat. Malah Panel Anugerah Sastera Negara, yang Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menjadi anggotanya berkali-kali, amat bangga apabila seorang sasterawan seperti A. Samad Said sangat cekap dan pandai  meniru dan menggunakan teknik Barat. Kerana kecekapan dan kepandaian itulah beliau diberi anugerah dan gelaran sebagai sasterawan negara. Tidakkah semua sasterawan yang diberi anugerah itu memang peniru teknik Barat?  Jika fakta-fakta ini dijadikan hujah, ternyata apa yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara, para sarjana dan pengkritik sastera memang tepat. Mereka telah meletakkan sastera Melayu moden itu setaraf dengan sastera dunia kerana adanya pengaruh dan peniruan dari teknik Barat yang dilakukan dengan pandai itu. Oleh itu, memang layak jika teori dan praktik Barat diteruskakan saja, tanpa sebarang keberatan yang pura-pura dan mengada-ada. Para sarjana dan sasterawan Indonesia dan lain-lain negara yang pernah dijajah oleh Barat menerima hakikat ini dan mereka bangga menulis karya kreatif mereka dengan meniru dari teknik Barat. Orang Indonesia tidak membangkitkan isu yang dibangkitkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, kerana mereka pasti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan karya mereka bercirikan nilai-nilai sastera Barat.  Itulah kehebatan mereka, yang di Malaysia masih menjadi perbincangan secara isengan seperti yang dilakukan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.

Lebih hebat daripada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh ialah pandangan yang diberikan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang ingin menghumban ke laut semua teori dan nilai-nilai Barat, supaya dengan berbuat begitu “we will approach a text with our own cultural schema to interpret.” Kedengarannya sangat hebat, tetapi tidak bermakna. Tidak pernah dijelaskan apa maksud “our own cultural schema” itu. Tinggal tergantung di awangan, membingungkan kita semua, dan tentu saja membingungkan Prof. Dr. Zawiah Yahya sendiri kerana sudah terlanjur kata. Saya pernah bertanya adakah beliau masih berpegang kepada pendirian yang hebat tetapi kosong ini; dengan jengkel dan marah beliau menegaskan mengapa beliau perlu berubah. Saya sebenarnya meminta penjelasan secara akademik, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang profesor.  Saya bersetuju dengan penegasan beliau yang keras dan lantang itu; tetapi diperlukan sedikit penjelasan, supaya tidak timbul salah faham.  Saya fikir seorang sarjana perlu bertanggungjawab sepenuhnya apabila dia memberikan pendapat dan kenyataan, dan dia harus bermurah hati (ulang sekali lagi, mesti bermurah hati) untuk membantu pembacanya memahami maksudnya. Jika sifat murah hati itu menjadi sebahagian daripada nilai yang mulia seorang ahli akademik, kita mahu lihat bagaimana kenyataan yang begitu memberangsangkan itu dihujahkan dalam sebuah rencana, atau lebih baik dalam satu kajian, supaya semua orang boleh melihat bagaimana kedudukannya suatu teks yang ditafsirkan dengan menggunakan “our own cultural schema” itu. Sekali lagi, “cultural schema” yang bagaimana? Kita semua sudah maklum, Malaysia mempunyai banyak “schema”. Mana satu yang dimaksudkan? Ini mesti jelas.

Kehadiran kedua-dua mereka dalam sastera Melayu adalah satu kebetulan, setelah sedar mereka tidak mempunyai tempat jika berterusan berada dalam lingkungan sastera Inggeris. Oleh sebab mereka tidak mengenal tradisi persuratan Melayu, maka mereka meraba-raba mencari perlidungan, dan akhirnya singgah di belukar sastera Melayu moden yang tidak teratur serta penuh semak samun yang perlu ditebas supaya kelihatan lebih tersusun. Dengan kesal dan kecewa mereka berkata: Kita sudah salah kerana guna sastera Inggeris;  kita kena gunakan tradisi/nilai kita sendiri untuk menilai teks kita. Sayangnya kedua-dua orang ini tidak berbuat seperti yang mereka laungkan, mereka masih berada dalam bayangan sastera Barat dan nampaknya ingin kekal di situ. Mereka tidak mempunyai jalan keluar, kecuali jalan keluar yang diketahui mereka, yakni yang disediakan oleh teori sastera Barat. Dengan itu mereka terus menggunakan teori Barat dalam kerja-kerja akademik mereka, dan menjadi semakin degil  mempertahankan teori dan pemikiran Barat dalam kajian sastera di universiti Malaysia. Andainya mereka menggunakan kaedah yang disediakan dalam gagasan Persuratan Baru, dan mengkritik Persuratan Baru berasaskan pemahaman mereka yang terbatas dan rasa kagum mereka terhadap teori Barat, mereka mungkin akan lebih dihargai dan dihormati sekurang-kurangnya kerana menyatakan pendirian mereka dengan berterus-terang, tidak bermain dengan retorik seperti yang mereka lakukan kini.  Dalam tangan sarjana jenis ini, kesusasteraan Melayu akan terus kabur dan keliru dalam menentukan kedudukannya dalam konteks epistemologi. Di Barat masalah ini tidak ketara kerana sarjana mereka sudah disediakan pengalaman intelektual yang luas yang membicarakan dengan mendalam, dalam konteks mereka, masalah epistemologi itu. Oleh itu mereka pada umumnya memilih untuk berada di bawah naungan Plato atau Aristotle, di bawah naungan idealisme atau empirisisme. Bagi sarjana Islam, pembahagian begini tidak  timbul, kerana dicantum dengan kemas dan padat dalam konsep tauhid yang menjadi asas epistemologi Islam. Oleh itu, sarjana Islam tidak menghadapi masalah dualisme seperti yang terdapat di Barat dan yang kini dianuti dengan gigih oleh para sarjana Malaysia, walaupun mereka tidak sedar mereka sedang mengamalkannya dan berada dalam kekeliruan yang dahsyat (andainya mereka mengerti). 

Dalam konteks ini, jika kita ingin menilai sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam perkembangan kesusasteraan Melayu dan dalam perkembangan ilmu, kita harus mengaku bahawa DBP telah gagal melaksanakan tugasnya, jika itulah antara tugasnya. Adalah amat malang apabila kita terpaksa membuat kesimpulan bahawa DBP menjadi pendorong utama dalam kelesuan berfikir dalam kesusasteraan Melayu, yang akhirnya membunuh kesusasteraan Melayu melalui institusi Anugerah Sastera Negara.  Institusi inilah yang dengan gigih memperjuangkan konsep kesusasteraan dalam wajah Barat sepenuhnya, seperti yang dibuktikan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Sesiapa juga yang ingin menafikan kesimpulan ini harus membaca dengan teliti dan mendalam asas-asas penilaian yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Orang-orang yang cerdik dan cerdas pemikirannya akan melihat dengan jelas bagaimana Panel Anugerah Sastera Negara menyembelih dengan kejam tradisi persuratan Melayu yang berjiwa Islam untuk menghidupkan kesusasteraan Melayu moden yang hampir secara mutlak berkiblat ke Barat. Dalam konteks inilah saya pernah mencadangkan supaya DBP menilai dengan kritis sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara dan kesannya terhadap “pemikiran” dalam kesusasteraan dan dalam penilaian karya sastera, dilakukan melalui seminar dan penyelidikan dengan bantuan DBP. 

Bagaimana minat tentang kesusateran itu dibunuh oleh Kementerian Pelajaran dan DBP dapat dilihat dalam cara mereka menyediakan bahan bacaan untuk projek sastera dalam pelajaran bahasa Melayu. Bahan-bahan yang dipilih adalah tidak lebih daripada sampah kreatif yang ditulis oleh para penulis yang  belum matang berkarya, yang miskin dari segi pemikiran dan yang tidak mempunyai keupayaan kreatif yang tinggi, terutama dari segi teknik.  Kelemahan ini sudah sering dikritik, tetapi tidak dipedulikan kerana “politik sastera dalam pendidikan” terlalu kuat mencengkam ukuran yang digunakan dalam membuat pilihan. Sekiranya DBP menentingkan kualiti, dan tegas dalam pendirian mereka, sudah pasti mereka tidak akan membenarkan sampah kreatif ini memasuki  bilik darjah, memaksa para guru sastera menggunakan bahan yang tidak bermutu untuk dipuji-puji kerana telah memenuhi syarat tentang nilai murni yang dipropagandakan oleh kerajaan. Inilah yang telah membunuh minat pelajar dalam kesusasteraan, apatah lagi kaedah yang digunakan bersifat anti-ilmu, tidak berupaya membantu pelajar menggunakan daya kreatif dan kekuatan kognitif mereka dalam membaca karya kreatif  tidak bermutu yang dilonggokkan kepada mereka.  Benarkah tidak ada karya bermutu yang boleh digunakan? Dari segi kaedah mengajar sastera, sudah jelas kaedah yang dipakai dan diterima tidak mendorong pelajar melihat bagaimana pemikiran di dalam karya dijalin dengan indah oleh penulis, jika ada; dan bagaimana ketiadaan pemikiran itu boleh dihuraikan dengan munasabah dengan menggunakan ukuran yang boleh diuji keberkesanannya dan kejituannya. Kita perlu mewujudkan kaedah itu jika kita betul-betul berminat hendak mendidik para pelajar kita berfikir secara kreatif. Inilah yang cuba dibuat melalui Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992, 2005). 

Perbuatan sekumpulan anggota sasterawan negara dalam kenyataan akhbar mereka pada 8 Mac 2011 yang menyokong dibenarkan karya tidak bermutu dijadikan teks semata-mata kerana ditulis oleh seorang sasterawan negara, adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab dari segi akademik jika kita meneliti hujah mereka yang hanya bergantung pada keinginan mereka diberikan kebebasan untuk menulis, tanpa dikaitkan dengan aspek ilmu. Mereka menggunakan hujah yang diberikan oleh Kritikan Baru (New Criticism) tentang autonomy sastera, yang telah ditolak di Amerika Syarikat, tempat lahirnya teori itu, sejak tahun 1980-an lagi (malah lebih awal dari itu). Apa perlunya kita terus berhujah dengan hujah-hujah yang sudah ketinggalan zaman dan tidak diyakini lagi di tempat asalnya?  Cengkaman pemikiran terjajah ini terlalu kuat di kalangan sarjana dan sasterawan Malaysia, sehingga sampai ke peringkat dogmatik yang memalukan. Tetapi jika anda tidak lagi mempunyai perasaan malu dan tidak mementingkan maruah akademik anda, buatlah apa yang anda suka! Tetapi jangan dilibatkan orang lain ...

Dosa paling besar DBP ialah apabila institusi ini menerima warisan Asas 50 untuk menghapuskan pengaruh Islam dalam tulisan Jawi. DBP secara rasmi memperkenalkan apa yang disebut sebagai ejaan Jawi yang disempurnakan, sama seperti ejaan Rumi yang disempurnakan dengan berlakunya persefahaman antara Indonesia dan Malaysia dalam penyelarasan ejaan Rumi.  Ejaan Jawi yang disempurnakan itu ialah ejaan Jawi yang paling kacau berserabut, tidak mempunyai sistem sama sekali, kecuali sistem linguistik Barat yang menjadi model ejaan itu. Inilah contoh bagaimana bahasa Inggeris, atau nahu Inggeris, digunakan dalam ejaan Melayu bentuk Jawinya untuk ditarik keluar semua unsur Islam di dalamnya. Kononnya dengan ejaan baru itu tulisan Jawi dapat diaktifkan  kembali dan lebih mudah dipelajari, terutama oleh murid-murid sekolah. Ejaan inilah yang paling gila yang pernah wujud di dunia. Bukti paling mudah ialah apabila ejaan ini memutuskan sama sekali hubungan dan kaitan dengan persuratan Melayu, dengan itu pembaca ejaan Jawi baru tidak mungkin dapat membaca khazanah persuratan Melayu kerana ditulis dalam sistem ejaan berteraskan Islam, menggunakan sistem dalam bahasa Arab yang telah diislamkan. Ejaan Jawi yang disempurnakan oleh DBP ini menjadi bukti kegagalan ilmu linguistik moden, yang sekali gus menjadi bukti kejayaan linguistik moden mensekularkan bahasa Melayu sepenuhnya hingga dalam ejaan Jawinya sekali pun. Satu ketika dahulu, sekitar akhir tahun 1970-an, timbul masalah menulis ayat-ayat Quran dalam tulisan Rumi. Pusat Islam ketika itu mengeluarkan fatwa yang dipersetujui oleh Majlis Fatwa, bahawa menulis ayat-ayat Quran dalam tulisan Rumi adalah haram kerana huruf-huruf Rumi tidak dapat membunyikan huruf Arab dengan tepat seperti yang terdapat dalam bahasa Arab, bahasa al-Quran.  Sewaktu kontroversi ini bermula, saya bertemu di DBP, secara kebetulan, Encik Abdullah Majid. Saya bertanya beliau tentang perkara itu. Beliau dengan jujur menjawab, itulah kesan kesilapan Asas 50 yang menolak tulisan Jawi, dan terus membunuhnya. Saya tidak mempunyai saksi, tetapi saya percaya Encik Abdullah Majid, seorang tokoh Asas 50, memberikan pendapatnya yang jujur. Ada tidaknya bukti yang saya dapat berikan ialah berita tentang perkara ini yang disiarkan dalam akhbar Warta, Bil. 58, bertarikh  6 April 1954. (Rujuk Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 292). Saya kira bukti itu cukup kuat untuk membenarkan kesimpulan Encik Abdullah Majid.  Jadi sekarang apakah yang boleh kita Buat? Kita harus kembali kepada ejaan Jawi yang telah disempurnakan oleh Pendeta Za’ba, dalam Kamus Ejaan Jawi.  Ejaan Jawi hanya akan hidup kembali jika diberi kembali nafas Islam yang telah dicabut kerana kejahilan orang Melayu sendiri yang sudah berlagak sombong kerana boleh menulis cerita pendek dan sajak-sajak moden (masih memakai tulisan Jawi pada peringkat awalnya) setelah menolak unsur-unsur Islam dalam bahasa Melayu. Kononnya mereka sudah bebas dari zaman kuno yang jumud, yang berteraskan Islam itu.  Inilah cara yang berkesan untuk membunuh persuratan Melayu. Dan akhirnya melesukan kesusasteran Melayu moden yang sudah kering dari nilai-nilai ilmu yang selama ini menjadi teras perkembangan persuratan Melayu.  Persuratan  Melayu melahirkan ulama, kesusasteraan Melayu pula melahirkan sasterawan yang hanyut tak tentu arah “ilmu”nya. Tidak syak lagi, kita telah membuat pilihan yang salah dengan menerima sasterawan sebagai tokoh yang lebih utama dan lebih penting daripada ulama dan ahli ilmu. Bodoh sekali pilihan kita itu!

Mohd. Affandi Hassan, 3/9/2011


12 comments:

  1. Sudah-sudahlah tu...

    ReplyDelete
  2. Perbahasan ilmiah adalah warisan tradisi keilmuan dalam tamadun Islam. Yang dikritik/dibahas wajar menerima teguran dengan hati lapang dan terbuka. Maka tak ada sudahnya perbahasan dan perbincangan dalam usaha mencari KEBENARAN dan KEFAHAMAN AGAMA. Teruskan, teruskanlah...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.

    Saya berharap agar Tn. Hj. Affandi terus berkongsi ilmu dan pengamatan Tn. Hj. dengan kami. Saya dan rakan-rakan akan terus membaca tulisan Tn. Hj. dan mengambil faedah daripadanya. Yang tidak mahu membaca tulisan Tn. Hj., maka bukanlah tugas kita untuk memaksa mereka. Insha Allah, perubahan akan berlaku dalam dunia Kesusasteraan Melayu. Kalau bukan pun esok, mungkin lusa. Namun usaha menyerlahkan kebenaran wajib diteruskan, tanpa merasa terganggu dengan komentar picisan dan terawang-awangan itu. Kami mahu informasi yang bernas dan benar.

    Wa Allahu a'lam.

    ReplyDelete
  4. Setuju dengan Mohd Shahrizal Nasir tu. Pedulikan komentar picisan dan terawang-awang itu. teruskan mengkritik sasterawan negara. kami mahu informasi yang bernas dan benar.

    Insyallah perubahan akan berlaku dalam dunia Kesusasteraan Melayu.

    ReplyDelete
  5. Sememangnya dunia yang kita hadapi sekarang ini amat muluk mengikut pengaruh yang kelihatan "paling berkesan" walaupun sudah berapa lama kita dimerdekakan. Kini suara Persuratan Baru mula kedengaran (walaupun sudah lama diperkenalkan) atas nama kewujudan blog ini. Inilah pemaknaan "pasaran bebas" yang amat licik, mahu tidak mahu, dicipta daripada "Barat" yang amat disindir oleh tuan blog. Supaya PB benar-benar lagi kelihatan, perlulah "pasaran bebas" itu dimanipulasi, mungkin bukan dgn wang berjuta (seperti lakunya Kerajaan) tetapi gagasan yg bergerak secara berkumpulan, berpersatuan, tak mungkin tuan blog seorang boleh mengemudinya..

    dicadangkan agar ada, pada setiap tahun, senarai pemberitahuan, apakah ada karya yang mencapai PB atau yang tidak (ini semacam pengiktirafan, atau anugerah secara tidak sengaja), yang mana setiap karya itu dikupas mengikut kaedah PB.. ini memaparkan jika PB itu betul2 diikuti dan ada "pengaruh"nya, juga sebagai pelawanan "usang" yg dipaparkan Anugerah Sastera, baik DBP atau mana-mana pihak dengan panel penilai "kebaratan" mereka.

    Untuk makluman tuan blog juga,adalah agak tidak adil bagi membantai DBP sebegitu berkenaan pemilihan senarai judul KOMSAS, apabila tangan2 politik, iaitu org2 kementerian dan guru2 berpengaruh yg menyebabkan "tunggang terbaliknya" senarai judul tersebut. Pihak DBP hanyalah menyelenggara dan tidak ada (ya, begitu mandulnya badan itu sekarang) kuasa dalam proses pemilihan judulnya. wallahu alam.

    ReplyDelete
  6. Satu perbincangan yang penting terutama bagi orang Melayu yang beragama Islam memahami dilema mereka. Hairan juga bila ada individu (saya tebak mungkin orang Islam juga) yang tidak sensitif membacanya hingga boleh mengucapkan "sudah sudah lah tu". Apakah insan ini mengerti apa yang ditulis dan apa pula implikasi nasihatnya itu pada agamanya sendiri (jika dia orang Islam).

    ReplyDelete
  7. "Apakah insan ini mengerti apa yang ditulis dan apa pula implikasi nasihatnya itu pada agamanya sendiri (jika dia orang Islam). "

    ..Kalau benar bagai dikata, apa maksudnya barangkali sesiapa yang tak setuju pada Gagasan Persuratan baru itu ianya jatuh kafir?

    ReplyDelete
  8. Saya pun seorang yang menyokong perjuangan Gagasan persuratan Baru ini. Dan saya juga tak suka dengan komen 'sudahlah sudah tu" Walau apa pun maksudnya(maksudnya tak jelas..samada dia menyuruh Tuan Affandi sudah ataupun juga menyuruh Sasterawan Picisan yang sudah-sudah?)

    Tapi saya rasa kita perlu bersikap terbuka dalam persoalan ini. Jika Affandi boleh sewenang-wenangnya memperlekehkan seniman terdahulu, apa salahnya juga jika sekali sekala Affandi dipersoalkan pula?

    Bukankah begitu?

    ReplyDelete
  9. Hello...dalam entri ini Affandi menulis tentang hilangnya roh Islam dalam sastera melayu. Kalau yang membacanya itu cintakan Islam, maka akan terasa sedih dengan nasib Islam seperti yang ditulis. Bukannya beri nasihat "sudah sudah lah tu" (Ini aku bayangkan ungkapan yg ditulis oleh org yang benci Islam). Itu maksudnya ungkapan "Apakah insan ini mengerti...." Tak ada kena mengena pun dengan kafir atau tak!!! Tak sangka ada org yg benak hatinya sampai ke situ pulak difikirkan!!!

    ReplyDelete
  10. Kepada Anonmymous yang menyeru kita bersikap terbuka...

    pandangan saya, kalau nak persoalkan mestilah tulis entri yang serius sama seperti yang Affandi telah buat. Kalau setakat komen dangkal 2-3 ayat (yg budak darjah enam pun boleh buat)..tak usahlah tanam niat nak mempersoalkan hujah affandi.. tak sekufu kata orang..

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum wrt. wkt.

    Mungkin masih ada yang keliru dan berpra-sangka (mungkin). Tidak salah untuk mengkritik tulisan atau idea atau pandangan Tn. Hj. Affandi. Saya juga tertunggu-tunggu kritikan itu. Supaya kita boleh berdiskusi secara ilmiah dan berfakta/berasas. Itulah yang Tn. Hj. Affandi buat apabila beliau mengkritik orang lain. Mengkritik orang lain dengan berhujah. Oleh itu, bagi yang nak kritik PB, silakan. Cuma perlulah berhujah dengan hujah yang jelas. Bukan hanya kata: "Sudah-sudahlah tu" dan seumpamanya. Cara mengkritik sebegini tidak jelas, macam budak-budak yang sedang mengejek perbuatan orang lain. Yang lebih teruk, disebabkan kritikan sebegitu, ia mengundang banyak persoalan, seperti: "Adakah Saudara Anonymous ini benci Islam?". Tidak timbul soal tuduhan kafir mengkafir, cuma setiap orang perlu faham, Islam telah letakkan garis panduan yang jelas agar umatnya tidak tersasar daripada landasan Islam. Justeru, berhati-hatilah bila memberi komen. Komen atau kritik untuk memperbetulkan yang salah atau untuk membenamkan yang benar.

    Wa Allahu a'lam.

    ReplyDelete
  12. Salam saudara semua.

    Terima kasih kerana memberi pandangan. Bernas tidak bernas komentar itu saudara sendiri yang menentukan, saya hanya menerimanya. Melihat komentar2 anda semua, nampaknya PB sudah mula dikenali. Alhamdulillah. Semuanya terjadi dengan izin Allah. Saya nak share satu joke. Seorang teman bertanya: Mungkinkah PB diterima ramai? Kata saya: Aih, tak pernah baca buku2 tentang PB yang telah terbit? Dia tersengih: Bukan apa, aku ni malas nak baca tulisan yang susah nak faham ... Lalu saya bilang: Kita beri masyarakat dengar nama PB dulu, macam Mat Sabu perkenalkan nama Mat Indera. Siapa sangka ada Mat Indera. Sekarang kedua2 Mat ini sangat popular ... Mana tahu ada Mat Sabu Sastera yang gila-gila sikit cakap pasal PB. Teman itu tak tertawa pun; geli hati saya melihatnya melongo saja. Tapi sekarang tak perlu Mat Sabu Sastera lagi, sudah ramai yang bersedia berbicara tentang PB. Panjang pendek tak penting, pokoknya ada yang menerima, ada yang ragu2, ada yang tak kisah sangat. Itu satu kemajuan yang sudah bagus. Terima kasih Shahrizal, Elina, yang tak mahu sebut nama dll. Terima kasih banyak. Tapi kalau muncul Mat Sabu Sastera tentu lagi baik ...

    ReplyDelete