Saturday, September 10, 2011

HADIAH PERSURATAN PETRONAS

Dewan Bahasa dan Pustaka, tanggal 25 Mei 2006, mengadakan “Seminar Impak Anugerah Sastera dan Hadiah Sastera Ke Atas Perkembangan Sastera Kebangsaan”, menjemput saya membentangkan kertas bertajuk, “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”.  Kertas itu agak panjang, belum pernah tersiar di mana-mana; kecuali satu komentar ringkas oleh seorang pegawai DBP sendiri dalam website DBP. Dalam kertas itu, saya mencadangkan supaya DBP dengan kerjasama PETRONAS menganjurkan Hadiah Persuratan PETRONAS, di bahagian akhir kertas. Kertas yang agak panjang itu diedit dan diringkaskan supaya dapat disiarkan dalam posting ini untuk perhatian pembaca yang berminat. Terima kasih.

Saranan yang dikemukakan dalam kertas ini bolehlah dianggap sebagai usaha untuk membaiki atau mengatasi masalah kelesuan dalam pemikiran dan kekacauan dalam penilaian karya kreatif yang berleluasa, yang kini telah dikanunkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kertas ini berpendapat cara para sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera melihat sastera yang ada sekarang menjadi penghalang kepada kemajuan berfikir masyarakat, di samping menyalurkan nilai-nilai negatif dalam masyarakat. Karya sastera yang dianggap penting dan dikatakan bermutu tinggi sering kali menjadi contoh bagaimana maksiat diangkat ke taraf tinggi untuk disanjung dan dijadikan nilai baru masyarakat. Aspek ini ditekankan dalam kertas ini dengan cadangan tegas bahawa konsep sastera perlu ditukar kepada konsep persuratan jikalau kita ingin memajukan pemikiran bangsa kita dan meningkatkan pencapaian kreatif para penulis Malaysia. Dalam konteks ini, agenda gagasan Persuratan Baru adalah sebuah agenda besar dalam perkembangan intelektual dan perkembangan seni penulisan di Malaysia, terutama untuk abad 21 ini.
               

Beberapa Isu Penting Yang Perlu Diteliti

                Selama lebih 80 tahun sastera Melayu moden dikembangkan tanpa memberi perhatian khusus kepada aspek pemikiran, dengan memberi tumpuan berlebihan kepada aspek propaganda dan kemahuan hawa nafsu yang diberi acuan “kebebasan kreatif”. Sastera Melayu moden selepas 1950-an diarahkan kepada tuntutan propaganda dengan slogan “seni untuk masyarakat”, yang menurut Prof. Sahlan Mohd. Saman “merugikan sejarah sastera dan martabat keintelektualan Melayu” (Teori dan Kritikan Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 511). Kini sudah timbul kesedaran bahawa gerakan Asas 50 adalah bersifat anti-intelektual dan tidak memihak kepada aspirasi Islam. Pengaruh gerakan anti-intelektual ini terbawa-bawa hingga sekarang, apabila muncul kumpulan sarjana, sasterawan, dan pengkritik yang menjadikan pandirisme (mediocrity) sebagai landasan dalam menentukan kedudukan dan nilai sesebuah karya yang mereka nilai. Antara contoh yang boleh dikemukakan ialah sekumpulan tulisan para sarjana yang membicarakan novel-novel terpilih dalam Wacana Karya Abad Dua Puluh (Langkawi, Disember 2005 anjuran DBP).  Kecuali tulisan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani tentang Arena Wati, kesemua tulisan yang dibentangkan dalam seminar itu menggunakan teori dan pendekatan Barat, padahal pada waktu ini, menurut Prof. Sahlan Mohd. Saman, sudah wujud industri teori sastera di Malaysia. Teori sastera yang banyak itu tidak digunakan dalam menilai novel-novel Abad 20, mungkin teori-teori itu tidak lebih daripada lanjutan sejenis plagiarisme akademik yang tidak berbeza dengan teori-teori Barat yang menjadi tempat ambilan dan peniruan para pengemuka “teori”. Ternyata industri teori itu tidak mendatangkan faedah, tidak boleh membantu kecerdasan berfikir tentang seni dan tidak juga menyediakan ukuran yang tepat yang boleh membantu para peneliti dan penggemar seni mengarang untuk menilai sesebuah karya dengan jitu dan pasti.

Dalam keadaan beginilah karya-karya kreatif dinilai dan diberi hadiah, dan para sasterawan diberi anugerah. Penerima hadiah dan anugerah ditentukan oleh para penilai yang aktif dalam plagiarisme akademik ini, yang melihat mutu sesebuah karya dari perspektif Barat yang ukurannya mereka perolehi daripada pembacaan yang tidak mendalam buku-buku kritikan dan teori sastera yang mereka terima sebagai kaedah terbaik dan wajar digunakan. Mereka menggunakan sejenis teori sastera yang diberi nama “the bullshit theory of literature/criticism” yang dipadankan daripada teori politik yang dikaitkan dengan sistem demokrasi, iaitu “the bullshit theory of democracy”. Teori inilah yang menjadi dasar penilaian yang digunakan dalam memilih pemenang hadiah atau anugerah, atau dalam membuat pilihan dalam projek-projek tertentu seperti memilih buku teks, projek Novel Abad 20 atau cerita pendek Abad 20 dan lain-lain. Di Malaysia idea pertama teori ini dimulai oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad apabila beliau menulis dan menerbitkan bukunya yang terkenal, Shit. Kini “the bullshit theory of literature/criticism” telah diterima menjadi aliran perdana dalam sastera.

                Dilihat dari perspektif ini, terdapat tiga isu besar dalam pemberian hadiah dan anugerah sastera ini. Isu-isu itu ialah tentang kesan negatif dalam sistem nilai masyarakat Malaysia; pembinaan mitos di sekitar tokoh-tokoh tertentu yang sengaja diada-adakan; dan akhirnya wujud anti-intelektualisme yang menghalang kemajuan berfikir apabila para penilai menggalakkan pandirisme dengan memberi penghargaan tinggi kepada karya picisan, erotik dan cetek analisisnya.

Salah satu kejayaan besar kumpulan Asas 50 yang berpindah dari Singapura dan bertapak di Kuala Lumpur ialah usaha mereka mewujudkan Anugerah Sastera Negara setelah terlebih dahulu diwujudkan Hadiah  Pejuang Sastera. Tokoh pertama yang menerima gelaran Sasterawan Negara ialah Keris Mas, yang sepatutnya diikuti oleh Usman Awang, tetapi giliran itu terpaksa diundurkan untuk memberi tempat kepada Shahnon Ahmad. Beliau menjadi orang kedua bergelar Sasterawan Negara, dengan satu laporan 19 halaman, yang paling pendek di antara sembilan laporan (hingga tahun 2005 ketika kertas ini ditulis) penting mengenai anugerah ini. Mengapa hal ini terjadi? Soalan ini tidak pernah ditimbulkan, dan nampaknya orang tidak berminat. Tetapi di sinilah tersembunyi aspek politik dalam anugerah sastera. Ketika itu Shahnon Ahmad adalah orang kuat parti pemerintah, penyokong kerajaan yang dikenali masyarakat. Beliau barangkali tidak melobi (?) anugerah itu, tetapi dari segi strategi adalah lebih baik jika giliran itu diberikan kepada beliau. Maka terjadilah sedikit huru-hara di kalangan ahli panel penilai, yang harus menyediakan laporan dengan segera. Jika kita baca laporan pendek itu, jelas ditulis secara tergesa-gesa, seolah-olah sebuah esei seorang mahasiswa yang kesuntukan masa kerana tarikh pemulangannya sudah sangat hampir. Laporan itu mengecewakan, kerana terlalu biasa dan tanpa sebarang analisis yang munasabah untuk sebuah laporan sepenting itu. Cuba bandingkan pula dengan laporan yang disediakan untuk Usman Awang, yang terpanjang sehingga ini, yang sudah jelas disediakan sejak awal dalam masa santai. Tentulah dari segi strategi tidak baik jika seorang lagi tokoh Asas 50 diangkat menjadi Sasterawan Negara, yang boleh menimbulkan tanda-tanya nanti. Yang agak lucu, dan paling serius dari segi ilmiah, ialah hakikat bahawa pendeknya laporan terhadap Shahnon Ahmad boleh saja dianggap kerana beliau belum cukup syarat untuk diberi anugerah ketika itu; atau kerana memang karyanya tidak memberikan sesuatu yang bermanfaat jika dibandingkan dengan sumbangan Usman Awang. Mana-mana pun andaian yang kita terima, satu perkara sangat jelas, iaitu perihal sewenang-wenangnya ukuran yang dipakai, sehingga sesiapa saja boleh dipadankan dengan syarat yang ditentukan jika beliau sudah dipilih sejak awal lagi. Hal ini menjadi bertambah jelas jika kita meneliti pemilihan Sasterawan Negara kesembilan, yang kemudiannya dipertikaikan oleh pihak tertentu yang mempunyai wibawa dalam pemilihan itu. Sasterawan Negara kesembilan ini berasa kecil hati dan tersinggung apabila kehadiran beliau dalam majlis tertentu tidak dihormati dengan menyebut namanya, padahal yang lain-lain diberi penghormatan itu. Adakah dalam hal ini seorang Sasterawan Negara meletakkan dirinya begitu istimewa sehingga harus disebut dalam majlis yang beliau hadir? Barangkali itulah yang sepatutnya, untuk memastikan kehebatannya. Seperti kata Jami dalam konteks lain: “Seseorang itu tidak mulia kerana kedudukannya; tetapi kedudukan itu menjadi mulia kerana beliau berada di situ.” Adakah Sasterawan Negara kita memenuhi syarat Jami itu?

Kemunculan Shahnon Ahmad sebagai Sasterawan Negara kedua boleh dibandingkan dengan peristiwa di sekitar Toni Morrison dalam tahun 1987. Pada tahun itu novel beliau Beloved diterbitkan, dan dijangka akan memenangi National Book Award for Fiction, atau National Book Critics Award for Fiction. Beliau tidak terpilih, dan ini menimbulkan kemarahan penulis-penulis berkulit hitam Amerika, diwakili 48 orang di antara mereka yang menulis di Times Book Review membantah keputusan itu. Beberapa bulan kemudian Toni Morrison dianugerah Pulitzer Prize dan lima tahun kemudian diberi Hadiah Nobel. Sejauh mana politik sastera ini menguasai pemberian hadiah di negara kita? Belum ada penyelidikan, dan barangkali sukar dilakukan kerana semua perkara penting di Malaysia adalah rahsia, tidak boleh diketahui, apalagi jika terhidu bau penipuan di dalamnya. Tetapi kita perlu melakukan penyelidikan ini, dan menjadi tanggungjawab para ahli akademik kita untuk memulainya.

Perkara yang dibangkitkan di sini ada kaitannya dengan pembinaan mitos di sekitar para sasterawan negara ini. Pembinaan mitos ini menimbulkan masalah dari segi akademik, dan melanggar tatasusila kritikan sastera. Dari segi akademik, laporan dan penilaian panel anugerah sastera negara terlalu umum dan subjektif, tidak bersandarkan teori tertentu. Laporan dan penilaian umum itu tidak muktamad. Ruang untuk menilai semula para sasterawan negara ini sangat luas dan besar, oleh itu dari segi akademiknya banyak perkara yang masih boleh didebatkan. Dari segi kritikan sastera pula, karya para Sasterawan Negara ini sudah wajar diberi kritikan paling kritis, sebagai ujian yang diperlukan jika kita benar-benar ingin memajukan pemikiran masyarakat dan bangsa kita di samping memberi arah yang betul untuk perkembangan selanjutnya. Tulisan-tulisan Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani yang membicarakan karya para Sasterawan Negara ini membuktikan usaha menilai kembali secara kritis sumbangan para Sasterawan Negara ini akan menyerlahkan aspek lain yang sangat penting dalam kritikan sastera. Misalnya, konsep “ruang naratif” yang dipakai oleh beliau dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam menganalisis novel, memberikan kita satu cara analisis yang padat untuk melihat kekuatan dan kelemahan sesebuah novel daripada aspek wacana dan cerita. Hakikat ini belum lagi difahami oleh para sarjana dan ahli akademik, oleh itu mereka tidak dapat melihat bagaimana aspek wacana dan cerita ini boleh dijadikan panduan berkesan dalam penulisan novel yang bermutu, yang mengutamakan pemikiran, bukan cerita melulu.

Pembinaan mitos ini dengan jelas melanjutkan gerakan anti-intelektual yang telah dimulai oleh Asas 50, yang menolak karya bukan ahli mereka ketika kumpulan cerita pendek Mekar dan Segar (1959) diterbitkan. Hamzah, yang bertentangan pendapat dengan golongan Asas 50, tidak diberi tempat dalam buku itu, walaupun karya beliau jauh lebih “segar dan mekar” daripada yang dihasilkan oleh anggota Asas 50. Adakah kita akan meneruskan mitos ini dalam bentuk Anugerah Sastera Negara yang memberi sanjungan berlebihan kepada sasterawan negara sehingga tidak boleh dikritik dan dinilai semula? Sikap anti-intelektual ini sepatutnya tidak wujud lagi dalam suasana sekarang, ketika kita sudah melahirkan beribu sarjana dan beratus pemegang ijazah Ph.D. dalam sastera.

Sekiranya kewujudan Anugerah Sastera Negara hanya untuk meneruskan gerakan anti-intelektual, maka sudah wajar anugerah ini dan gelaran Sasterawan Negara dihapuskan. Kesan negatif yang terbesar hasil pembinaan mitos di sekitar sasterawan negara ini ialah dari segi nilai baru yang dipaksa ke atas masyarakat untuk diterima. Contoh terbaik di sini ialah kasus novel Salina yang mendapat hadiah penghargaan dalam peraduan menulis novel yang dianjurkan oleh DBP. Setelah novel ini diiktiraf oleh Prof. Teeuw dari Belanda, maka panel anugerah sastera negara memperkuat penilaian Teeuw dengan penegasan bahawa “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu.” (Laporan 1985, hal. 13). Adakah penilaian ini benar? Apa maksudnya? Tidak dijelaskan dalam konteks yang bagaimana “tiadanya tema tertentu” itu membawa perubahan penting, apatah lagi tiada perutusan pula. Kini sudah diterima umum, berasaskan teks itu sendiri, bahawa Salina berbicara tentang kemiskinan dan penderitaan rakyat bawahan yang menjadi korban perang. Tidakkah itu suatu tema? Malah A. Samad Said sendiri dengan bangga mengaku bahawa novelnya itu adalah satu-satunya novel perang yang berjaya dan memikat pembaca seluruh dunia. Jadi temanya tentang peperangan, dan maksudnya untuk mengagungkan perdamaian. Itulah perutusan novel picisan ini.  Penilaian yang aneh ini kemudiannya disimpulkan dengan berani oleh panel penilai yang mengatakan bahawa Salina, watak utama, “pada dasarnya orang yang baik dan berperikemanusiaan” (hal. 14). Demikianlah kejahatan diberi kedudukan baru yang tinggi berasaskan “kebaikan dan perikemanusiaan” yang berasaskan kemahuan hawa nafsu manusia semata-mata. Masyarakat Melayu, terutama kaum wanita yang diwakili oleh para sarjana wanita dan ahli akademik, menerima Salina sebagai watak wanita Melayu yang unggul, berbudi bahasa, belas kasihan, membela orang susah dari hasil pelacurannya. Dalam konteks inilah Abdul Rahman Yusof  menerima Salina sebagai sebuah novel yang hebat dari pelbagai aspek kerana watak-wataknya dikembangkan dengan teliti, menggunakan percakapan seharian dalam dialog, sebuah novel yang tebal, dengan latar yang cukup rinci (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 59). Penilaian panel anugerah sastera negara dan Abdul Rahman Yusof ditolak dengan meyakinkan oleh Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani dalam sebuah analisis terperinci (dimuat dalam Pangsura: Jurnal Pengkajian dan Penelitian Sastera Asia Tenggara; Januari-Jun 2006, Bil. 22/Jil. 12) berjudul, “Antara taklif dan paksi naratif: satu analisis terhadap novel Salina karya A. Samad Said berdasarkan Persuratan Baru.” Inilah kesimpulan Dr. Zariat: “Adalah jelas daripada analisis ini bahawa tanpa perubahan terhadap paksi naratifnya, Salina akan tetap dilihat di sisi Islam sebagai sebuah novel yang ‘membela kejahatan’, dan justeru, pujian atau pengiktirafan terhadapnya akan tetap dianggap sebagai satu percanggahan dengan falsafah dan konsep kesusasteraan menurut Islam” (hal. 223). Tetapi Salina adalah sebuah karya agung dari nilai sastera Barat. Mana satukah daripada dua corak penilaian ini yang lebih tepat, jitu dan objektif berdasarkan konsep ilmu yang benar?
Tetapi hujah panel paling kuat, dan paling penting, novel ini membawa perubahan besar dalam sastera Melayu moden dan mempunyai mutu yang tinggi (menurut ukuran sastera Barat) ialah kerana A. Samad Said meniru dan menggunakan aliran-aliran Barat seperti realisme dan naturalisme (hal. 13) dalam penulisannya. Peniruan aliran-aliran Barat ini menjadi dasar paksi naratif kepada novel ini. Dalam pengertian yang diberikan oleh Dr. Zariat, “paksi naratif merujuk kepada pendirian novel terhadap perkara-perkara yang dipaparkan dalam cerita, yang sekali gus menyerlahkan pandangan, tanggapan serta kecenderungan novel terhadap perkara tersebut” (hal. 208). Dengan kata lain, kisah pelacuran dan perbuatan maksiat zina diperindah begitu rupa dalam novel ini untuk memenuhi maksud ungkapan Samad Said sendiri ketika menulis novel ini: “Tidak mudah untuk menurunkan seluruh liku kisah cinta seorang pelacur berhati baik di tengah-tengah desakan akibat perang” (dikutip oleh Zariat, hal. 208). Penegasan Samad Said adalah penting kerana beliau menolak bulat-bulat penilaian panel anugerah sastera negara yang menghukum novelnya itu tidak punya tema tertentu dan tidak punya perutusan yang jitu. Penegasan panel tentang pengaruh Barat yang ditiru dan dipakai oleh pengarang yang menentukan kualiti novel ini sangat penting kerana kita akan melihat dalam satu penilaian lain oleh satu panel lain dalam tahun 1993, pengaruh Barat itulah juga yang menentukan baik tidaknya sesebuah karya kritikan.

Jikalau hujah panel anugerah sastera negara ini boleh diterima sebagai tepat mencerminkan sastera Melayu moden, maka apakah istimewanya sasterawan Melayu yang meniru teknik dari Barat? Adakah ini berupa satu pengiktirafan tinggi atau satu jenis lelucon ilmiah yang penuh sindiran tajam bahawa para peniru itu memang asli pemikirannya dan patut dijadikan contoh dalam sastera Melayu? Terry Eagleton, ketika mengulas buku Pascale Casanova The World Republic of Letters mengemukakan satu pendapat yang sangat penting dan sangat cocok dengan keadaan di Malaysia. Menurut Eagleton, kriteria dan nilai sastera ditentukan di Eropah untuk diikuti di seluruh dunia, kerana merekalah yang telah melahirkan “gergasi sastera dunia” yang menetapkan bagaimana novel dan sebagainya harus ditulis, dinilai dan ditafsirkan; dan aliran apa yang perlu dipakai. Kesimpulan Eagleton dibuktikan dengan baik sekali oleh penilaian Teeuw tentang Salina, yang serta-merta menjadi bermutu tinggi setelah dinilai oleh beliau dan Prof. Lloyd Fernando yang pakar dalam sastera Inggeris (Barat) menganggapnya sebagai “mahakarya” (disebut oleh Abdul Rahman Yusof, hal. 58). Sekarang kita mengerti mengapa para sarjana Wacana Karya Abad Dua Puluh memilih untuk menggunakan pendekatan Barat ketika menilai novel-novel Melayu, dan mengapa pula para sasterawan Melayu/Malaysia terkinja-kinja tidak sabar lagi untuk diberi Hadiah Nobel, dan mengapa ahli panel Hadiah Sastera 1992/93 menolak buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. 

Dalam contoh-contoh yang dikemukakan, jelas bahawa pemberian hadiah dan anugerah tidak mencerminkan kecerdikan dan keunggulan karya, tidak juga kejituan ukuran dan penilaian para anggota panel. Hakikat ini telah disebut oleh seorang penulis Amerika, Joseph Epstein dalam kata-kata berikut: “Prizes are nice, but they don’t say anything about the quality of your achievements.” (The World Street Journal, 7 November 2005. Antara karya beliau ialah Envy dan Ambition). Yang terserlah ialah sejenis keaiban intelektual yang lahir dari prasangka buruk, sehingga sesuatu yang baru seperti pandangan yang dikemukakan dalam buku Pendidikan Estetika ... itu tidak dapat dibaca dan difahami kerana tidak mempunyai pengalaman ilmiah yang mencukupi untuk menilainya dengan objektif. Akhirnya yang dinilai ialah gaya berunsur lucu yang tidak disukai pada permulaan buku itu, bukan hujah dan analisis yang menjadi isi buku itu. Untuk buku “penyelidikan”, panel dengan santai memperakukan dua buah buku untuk diberi hadiah, masing-masing ditulis oleh Umar Junus dan Fatimah Busu. Betapa asingnya Pendidikan Estetika ... itu diakui oleh Prof. Rahman Shaari (salah seorang ahli panel) dalam tulisannya (Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 8 dan 9), “walaupun berfaedah untuk dijadikan asas pemilihan teks.” Menurutnya, pendapat dalam buku itu tidak dapat dipraktikkan, kerana selain sangat asing, bertentangan pula dengan masyarakat majmuk di Malaysia dan apa yang disebut sebagai “aliran perdana” yang ada sekarang. Lalu dengan sinis dan penuh sindiran memperolokkan, beliau mencadangkan supaya diwujudkan Kesusasteraan Melayu – Islam di sekolah! (Saya sebut perkara ini untuk memberi satu contoh bagaimana sarjana kita menghadapi masalah dalam memahami konsep yang mereka tidak faham dan tidak biasa. Sebenarnya kurangnya kemampuan ini terserlah lebih jelas dalam tulisan-tulisan yang menggunakan konsep-konsep paling biasa sekali pun yang dikemukakan dalam Wacana Karya Abad Dua Puluh yang telah dirujuk.) 

“The Bullshit Theory of Democracy” Dan Sastera Melayu

                Untuk memahami persoalan yang ditimbulkan dalam tulisan ini, kita akan gunakan teori politik demokrasi sebagai perbandingan, kerana adanya persamaan dalam proses demokrasi untuk mendapat kuasa dengan proses penilaian dan pemilihan hadiah, anugerah dan sebagainya yang dilaksanakan dalam kegiatan sastera untuk memilih tokoh-tokoh yang akan diberi hadiah, anugerah dan sebagainya. Kita akan melihat perkara ini dalam konteks teori popular dalam demokrasi yang diberi nama “the bullshit theory of democracy”, yang dalam konteks sastera menjadi “the bullshit theory of literature/criticism.” Sasterawan Negara Shahnon Ahmad telah memperkenalkan konsep “shit” dalam sastera dan politik melalui novelnya yang terkenal, Shit, dengan itu “the bullshit theory” ini sudah dikenali oleh semua sasterawan dan sarjana sastera di Malaysia. Dengan menggunakan idea yang diperkenalkan oleh Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ini, kita akan dapat membaca dan mentafsir dengan mudah segala jenis perlakuan sastera yang menjadi “arus perdana” kesusasteraan Melayu sekarang.

                Sebagai satu sistem politik, demokrasi yang dipraktikkan sekarang, terutama di Amerika Syarikat, mempunyai banyak teori, berpusat kepada proses bagaimana demokrasi itu dilaksanakan. Antara teori yang terkenal ialah yang dikemukakan oleh C. Wright Mills (the elitist theory of democracy), Robert Dahl (the pluralist theory), Bachrach dan Baratz (the neo-elitist theory), Steven Lukes (synthesis theory). Mills berpendapat demokrasi adalah manipulasi kuasa yang dipegang oleh golongan elite politik, ekonomi dan akademik. Pentadbiran Bush di Amerika Syarikat dirancang oleh sekumpulan elite yang menamakan diri mereka “the neoconservatives” (neocons) yang berpusat di sebuah institut yang khusus diwujudkan untuk mendapatkan kuasa politik melalui pilihan raya. Robert Dahl menolak teori Mills, dan berusaha melalui beberapa buah buku yang dikatakan berasaskan ujian di lapangan untuk membuktikan bahawa yang berkuasa adalah masyarakat yang memilih para pemimpin melalui pilihan raya yang telus. Bachrach dan Baratz berhujah bahawa pada dasarnya pengaruh golongan elite tidak mutlak, kerana mereka masih bergantung  pada pengundi yang berada dalam masyarakat. Kemenangan golongan elite ditentukan oleh strategi tertentu untuk mengalih pandangan pengundi kepada isu-isu yang diwujudkan dengan sengaja oleh para elite itu. Inilah yang dipanggil “mobilization of bias”. Maksudnya, golongan elite, selalunya yang sudah berkuasa, akan menggunakan semua saluran propaganda untuk menarik perhatian pengundi kepada isu-isu yang mereka reka sama ada untuk menakutkan pengundi, membuat mereka bencikan golongan yang dimusuhi pihak berkuasa dan sebagainya. Misalnya, ditekankan dengan hujah-hujah palsu bahawa negara sedang menghadapi ancaman keselamatan yang serius, oleh itu tindakan kerajaan menyekat kebebasan rakyat adalah wajar demi keselamatan negara dan rakyat. Sekiranya rakyat merungut barang-barang keperluan semakin mahal akibat naiknya harga minyak, maka mereka diberi gambaran bahawa kenaikan harga itu perlu untuk kesejahteraan dan kesenangan mereka masa depan, kerana dengan naiknya harga minyak kerajaan dapat menyelamatkan berbilion ringgit dari segi subsidi yang tidak lagi diberikan, dengan itu terdapat penjimatan yang boleh digunakan untuk memajukan kemudahan kenderaan awam. Perbuatan ini boleh berlaku di mana-mana saja kerana pihak berkuasa mempunyai maklumat yang tidak dipunyai atau diketahui oleh orang ramai. Oleh sekumpulan pakar sains politik, proses demokrasi seumpama itu dijadikan topeng untuk mendapatkan kuasa, oleh itu terjadilah “democratic fasade” dalam sistem demokrasi. Dua orang sarjana dari Amerika, Daniel Hellinger dan Dennis R. Judd Brooks telah menghuraikan perkara ini dengan mendalam dalam buku mereka yang terkenal, The Democratic Fasade (1991). Inilah wajah sebenar sistem ini, yang pada dasarnya adalah kejam dan penuh penipuan, kerana demokrasi adalah alat yang sangat berkesan untuk melaksanakan sistem kapitalis dalam ekonomi, satu sistem yang kaya dengan pembaziran, penipuan, korupsi dan kekejaman bersifat jasmani mahupun kerohanian. Contoh paling ketara ialah kehancuran Afghanistan dan Iraq oleh Amerika Syarikat, yang diperlukan untuk mewujudkan sistem pentadbiran yang tunduk kepada kemahuan Amerika Syarikat. Amerika kemudiannya melantik para agen CIA seperti Hamid Karzai di Afghanistan dan sekumpulan agen CIA di Iraq untuk bertanding dalam pilihan raya yang dikuasai oleh tentera. Dalam sejarah Malaysia sendiri hal yang sama terjadi selepas Perang Dunia II, apabila atas desakan Amerika yang menang besar dalam perang itu, kerajaan British ditekan supaya membebaskan tanah jajahan mereka. Sebagai satu strategi, pembentukan Malayan Union ternyata sangat berkesan untuk menghapuskan kepimpinan politik yang menentang British dengan mewujudkan kelompok pemimpin yang diasuh oleh British sendiri. Bukti-bukti yang diberikan oleh ahli sejarah dan penganalisis politik seperti J. de V. Allen, Albert Lau, Noordin Sopiee dan lain-lain menunjukkan bahawa British menggalakkan perhimpunan rakyat menentang Malayan Union untuk menaikkan imej para pemimpin yang mereka ketengahkan supaya menjadi pemimpin rakyat, yang mereka ambil dari birokrasi dan kaum bangsawan Melayu. Merekalah kemudiannya menjadi jaguh perunding kemerdekaan (Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain), apabila para pejuang kemerdekaan seperti Dr. Burhanuddin, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain dimusnahkan hingga ke akar umbi. Sejarah perjuangan umat Melayu yang kita baca sekarang adalah sejarah yang bersumber daripada mitos politik yang dicipta British dengan memperkenalkan sistem demokrasi yang dengannya kepentingan mereka terjamin. Sistem politik Melayu diasaskan pada dua mitos agung, Mitos Sejarah Melayu kepada sistem beraja, dan Mitos Malayan Union yang memperkukuh sistem pertama untuk memastikan para pewaris perunding kemerdekaan kekal berkuasa dengan memitoskan Malayan Union sebagai perjuangan kemerdekaan yang sebenarnya ditentang oleh suku-sakat mereka.
                “The bullshit theory of democracy” adalah satu nama yang diberikan oleh para penentang penipuan dan penentang rasuah, terdiri kebanyakannya daripada penulis, wartawan, dan ahli akademik. Dalam teori ini, suatu puak yang mendapat “majoriti” dalam pilihan raya diiktiraf sebagai pemenang, walaupun kemenangan itu bersifat minoriti. “The bullshit theory of democracy”, diambil daripada kiasan yang berasal daripada tabiat lembu. Sekiranya kita mempunyai tiga ekor lembu, A:B:C, maka sekiranya tahi lembu A lebih besar daripada B dan C, walaupun jika dijumlahkan B dan C tahi lembu itu jauh lebih besar, maka dalam pertandingan itu tahi lembu A diisytiharkan menang. Teorinya sangat mudah, tetapi melaksanakannya memerlukan kepintaran menipu yang luar biasa.  Kepintaran ini biasanya dimiliki oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang mempunyai banyak pengalaman dalam pelbagai jenis strategi penipuan yang sukar dikesan, lebih-lebih lagi penipuan itu dilindungi undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa sendiri.

                Sistem politik Islam yang berasaskan konsep syura tidak menerima sistem demokrasi yang penuh penipuan itu, tetapi diamalkan dalam masyarakat Islam dengan mengadakan pilihan raya yang dikuasai sepenuhnya oleh propaganda kumpulan yang berkuasa dengan menggunakan “mobilization of bias” yang dipaparkan dalam manifesto pilihan raya. Di Iran demokrasi disesuaikan dengan teori politik Syiah yang memberi kedudukan tinggi dan definitif kepada para ulama; oleh itu sesiapa saja yang terpilih dalam pilihan raya harus tunduk kepada kumpulan ulama yang memilih seorang Ayatullah yang berfungsi sebagai pengawas pelaksanaan hukum Islam.

                Apakah kaitan teori ini dengan sastera Melayu moden? Dalam sastera Melayu moden, terdapat proses penilaian dan pemilihan karya yang mirip dengan proses demokrasi tadi. Sesuatu karya yang diangkat oleh sekumpulan penilai yang diberi kuasa untuk menentukan siapa yang akan diberi hadiah utama dan siapa pula yang dinafikan, maka karya yang terpilih itu dijadikan ukuran perkembangan sastera Melayu moden, diiktiraf sebagai sebuah karya yang bermutu tinggi dan layak dijadikan teks di sekolah-sekolah untuk dipelajari dan disanjung oleh para pelajar dan guru-guru mereka. Karya tadi layak dimasukkan ke dalam kumpulan karya-karya bermutu yang telah ditetapkan oleh sarjana dan pengkritik sastera.  Inilah yang dinamakan “aliran perdana” dalam sastera Melayu moden. Setiap karya yang dimasukkan ke dalam “aliran perdana” dengan sendirinya menjadi bukti ketinggian nilai seninya, walaupun novel itu memperagakan kebodohan dan kebiadaban wataknya, seperti dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung. Karya itu tetap bermutu kerana telah dipilih untuk memenangi hadiah dalam satu peraduan menulis, oleh itu layak dipilih sebagai salah sebuah novel terbaik Abad 20. Secara ringkas, itulah yang dimaksudkan dengan “the bullshit theory of literature/citicism”, kerana dari segi proses pemilihannya sama saja dengan kemenangan parti politik berkuasa dalam pilihan raya. Inilah proses pendemokrasian sastera. Demikianlah karya-karya seperti Salina dan lain-lain novel picisan sepertinya dipertahankan oleh sekumpulan kecil ahli akademik dan sebagainya sebagai karya bermutu tinggi yang mesti diagungkan. Dalam kasus Salina, pada mulanya hanya pendapat seorang sarjana Belanda saja yang telah meletakkan karya itu dalam arus perdana; selepas itu diperkukuh oleh sekumpulan penilai yang menjadi anggota panel penilai anugerah sastera negara. Akibat “the bullshit theory of literature/criticism”, maka terjadilah kekeliruan dalam konsep ilmu, dalam penilaian, dalam menentukan ukuran, dan dalam pemilihan karya, yang akhirnya mewujudkan anti-intelektualisme dalam perkembangan sastera dan meluasnya budaya pandirisme. Paksaan oleh sekumpulan elite sastera ke atas masyarakat untuk menerima pilihan mereka sebagai mewakili masyarakat dalam proses pendemokrasian sastera itu dilakukan melalui sejenis proses “mobilization of bias” dalam penilaian mereka berasaskan ukuran dari Barat, supaya masyarakat boleh menerima karya picisan seperti Salina, Ranjau Sepanjang Jalan dan lain-lain sebagai mewakili yang terbaik dalam sastera. Melalui proses ini terjadilah sejenis “pendemokrasian sastera” dalam bentuk memasyarakatkan karya sastera. Proses inilah yang akhirnya menjadi “the bullshit theory of literature/criticism”.

Pendemokrasian ilmu di Malaysia terpusat kepada pendidikan di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi dari segi penyertaan yang meluas dalam sistem pendidikan itu. Yang dijadikan tumpuan ialah penyediaan peluang untuk mendapatkan pendidikan dari peringkat rendah hingga ke universiti, dengan itu apa yang disebut sebagai pendemokrasian ilmu itu hanya berlaku dalam aspek pembelajaran yang lebih ditumpukan kepada penguasaan sesuatu kemahiran yang bersifat profesional, komunikasi, latihan kemahiran tertentu. Tidak diberi perhatian kepada aspek pemikiran dan pembinaan peribadi unggul berasaskan nilai-nilai moral yang tinggi dengan kemampuan intelektual yang tajam dan berupaya memahami konsep-konsep yang abstrak dalam hubungannya dengan pembinaan tamadun berasaskan ilmu, seperti yang ditekankan oleh al-Quran. Perkembangan ke arah ini dibantutkan dengan penyediaan bahan pembelajaran tidak bermutu dalam pendidikan kesusasteraan dan kebahasaan. Karya-karya kreatif yang dijadikan bahan bacaan dan teks di sekolah-sekolah tidak terarah kepada pemikiran dan kecerdikan, sebaliknya ditumpukan kepada khayalan dan kekeliruan nilai dan konsep ilmu. Salah satu faktor yang membawa kepada kebodohan para pelajar ialah pemilihan buku-buku bacaan seperti novel, sajak dan sebagainya yang diasaskan kepada karya yang ditulis oleh sasterawan yang menang dalam peraduan menulis atau yang telah diberi hadiah tertentu (termasuk hadiah yang disediakan untuk budak-budak muda). Semua ini terjadi kerana pemilihan itu tertumpu pada apa yang disebut sebagai karya kreatif, yakni karya sastera. Oleh itu terpilihlah cerita pendek dan sajak-sajak yang ditulis oleh budak-budak sekolah atau anak-anak muda yang dangkal pengetahuannya dan sempit pula pengalamannya, atau karya-karya yang disebut sebagai sastera remaja. Pemilihan begini diasaskan kepada pemahaman tentang konsep sastera yang sempit, yang keliru dan tidak berasaskan konsep ilmu yang betul. Selain dari itu, terdapat kecenderungan untuk menerima setiap karya yang mendapat hadiah sebagai bermutu dan sesuai untuk dijadikan teks.  Maka masuklah dalam kelas sastera karya-karya picisan seperti Ranjau Sepanjang Jalan yang seluruhnya mengangkat kebodohan para watak sebagai aspek drama kehidupan manusia yang penting, diasaskan kepada konsep tragedi yang cetek dan bersifat anti-intelektual. Demikian juga kehadiran novel Seorang Tua di Kaki Gunung, yang memenangi hadiah satu peraduan menulis, oleh itu secara automatik dikira bermutu, padahal dari segi pemikiran sama saja dengan yang terdapat dalam Ranjau Sepanjang Jalan.

Hadiah dan sebagainya nampaknya menimbulkan masalah besar kepada kita, iaitu dari segi kesannya kepada pembinaan pemikiran yang waras dan selaras dengan konsep ilmu yang benar. Dari contoh-contoh dan analisis yang diberikan setakat ini jelas sekali kesan negatifnya kepada pembinaan sistem nilai yang selama ini sudah mantap dalam tamadun Melayu. Hal ini terjadi akibat penilaian yang terlalu umum, longgar dan relatif, tidak dipancangkan kepada nilai-nilai mutlak yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Sastera Barat dapat menerima keadaan ini kerana masyarakat Barat telah menolak peranan agama sebagai asas tamadun dan tidak lagi menerima nilai-nilai mutlak dalam kehidupan mereka. Walaupun sasterawan Melayu masih berpegang kepada agama, namun dalam kegiatan kreatif nilai-nilai itu diketepikan kerana dianggap menyekat kebebasan mereka sebagai sasterawan. Salah satu kritikan para sarjana dan sasterawan terhadap gagasan Persuratan Baru ialah gagasan itu terlalu ideal, tidak dapat dipraktikkan dan bertentangan dengan realiti masyarakat Malaysia. Kritikan seumpama ini lahir dari kebiasaan berfikir dan bertindak yang kuat dipengaruhi pandangan hidup Barat, yang menolak sumber ilmu berasaskan wahyu. Pendirian ini menjadi masalah apabila terdapat keengganan untuk menerima pandangan lain yang bertentangan daripada yang biasa diterima dari Barat, oleh itu perlu diwujudkan halangan supaya apa juga pandangan alternatif tidak menggugat pengaruh Barat yang menjadi pegangan selama ini. Di sinilah berlakunya anti-intelektualisme, yang akhirnya akan melahirkan budaya pandirisme dalam kegiatan kreatif dan penilaian sastera. Inilah akibat terlalu memberi penekanan kepada tokoh, bukan kepada karya dan pemikirannya. Dalam konteks inilah panel anugerah sastera negara dan lain-lain panel penilai yang diwujudkan menjadi penghalang kepada perkembangan intelektual yang sihat, apabila keputusan mereka tidak mencerminkan hakikat persuratan Melayu yang berteraskan Islam, tetapi hanya menjadi pengukuh kepada pengaruh Barat dalam sastera Melayu moden.

Oleh itu cadangan paling penting yang ditekankan dalam kertas ini ialah peralihan dari kegiatan sastera yang sempit kepada bidang persuratan yang lebih luas. Maka itulah dicadangkan supaya sebarang hadiah dan anugerah tidak lagi tertumpu pada karya sastera, tetapi diperluas kepada bidang-bidang ilmu yang utama, seperti matematik, perubatan, dan sebagainya seperti yang dijelaskan di atas. Jika ini dilaksanakan, maka kita menaikkan darjat bahasa Melayu yang digunakan untuk mengembangkan ilmu-ilmu berkenaan. Dengan itu kita berpindah dari bidang kreatif yang sempit kepada bidang ilmu yang lebih luas di bawah konsep persuratan itu. Dengan itu kita akan menyaring yang terbaik daripada hasil persuratan itu untuk dipelajari oleh anak-anak sekolah. Mereka akan didedahkan kepada pemikir dan pemikiran bangsanya, bukan hanya membaca cerita semata-mata. Yang bersifat kreatif tidak ditinggalkan, tetapi dipilih dengan teliti untuk memastikan karya kreatif yang terpilih itu boleh mencerdikkan bangsa kita, bukan mengelirukannya seperti yang diperlihatkan dalam contoh-contoh yang diambil daripada karya para sasterawan negara.

Tujuan atau matlamat yang ingin dicapai dengan menggunakan konsep ilmu yang benar itu ialah untuk dijadikan panduan dalam berkarya dan menilai karya itu. Matlamat akhir ialah mewujudkan ukuran yang baku, yang boleh diuji kesahihannya dan boleh pula dipertahankan apabila kesahihan itu dicabar. Dalam sejarah peradaban Islam, perkara pertama yang ditekankan dan diajar kepada masyarakat atau penganut agama Islam ialah  mendedahkan masyarakat atau penganut Islam kepada konsep tauhid. Dari situ diadakan pemisahan yang jelas nyata antara zaman jahiliah dengan zaman Islam. Dari situ pulalah ditegaskan wujudnya ilmu yang benar berasaskan tauhid. Hakikat ini ditegaskan dengan wujudnya kekeliruan dalam konsep ilmu yang bersumber dari Iblis sebagai akibat dari khayalan hawa nafsu yang timbul dari pemikiran jahiliah. Dengan wujudnya pemisahan yang jelas nyata ini, maka penganut Islam dapat meletakkan diri mereka pada tempat yang diterima oleh ajaran Islam, dan mengelakkan diri mereka daripada terjerumus dalam perbuatan jahiliah. Kesedaran seumpama ini juga penting dalam kritikan sastera, untuk memastikan segala prinsip yang dipakai untuk menilai karya sastera diasaskan kepada konsep ilmu yang benar seperti yang dikehendaki oleh Islam. Jika kesedaran ini tidak ada, maka kritik sastera tidak akan mampu memainkan peranannya sebagai penentu nilai dalam penilaian karya. Kritik sastera akan terjerumus ke dalam lubuk kepalsuan dengan mengutarakan nilai-nilai palsu untuk dijadikan ukuran dalam menentukan mutu sesebuah karya sastera, yakni diasaskan kepada konsep ilmu yang keliru dan menyesatkan. Dalam laporan panel Anugerah Sastera Negara kita boleh lihat kekeliruan ini ditegaskan berkali-kali bagaimana penilaian sesebuah karya kreatif dan sumbangan seorang sasterawan diasaskan kepada pandangan umum yang tidak ditunjang kepada ukuran yang mantap berasaskan konsep ilmu yang benar. Sebagai contoh, ketika menilai karya-karya Samad Said, panel menegaskan bahawa karya-karya Samad Said tidak didaktik, tidak mempunyai perutusan tertentu, tidak ada matlamat untuk dicapai, tidak menekankan aspek moral dan pendidikan, malah karya-karya itu menjadi bermutu tinggi dan istimewa kerana meniru teknik dan gaya penulisan Barat (rujuk Laporan 1985). Penilaian ini ternyata bertentangan dengan fungsi sastera dalam tradisi sastera Melayu tradisional, yang menekankan sifat didaktiknya, yakni yang mempunyai tujuan dan matlamat untuk mengajar masyarakat menjadi cerdik dan beradab.

                Persoalan ini ditekankan dalam kertas ini kerana terdapat kaitan yang erat antara ukuran yang digunakan untuk menilai sesebuah karya dengan konsep ilmu yang benar. Para penilai, pengkritik, sarjana dan sasterawan Melayu menolak konsep ilmu yang benar itu, yang menurut mereka tidak relevan dalam kritikan sastera kerana terlalu menekankan nilai-nilai agama, yang menurut mereka disempitkan lagi kepada hanya nilai-nilai Islam, oleh itu kata mereka tidak universal sifatnya. Sedangkan sastera dan karya sastera itu universal, tegas mereka bersungguh-sungguh. Tetapi dengan tidak menerima konsep ilmu yang benar, maka mereka terjerumus untuk menerima dan memakai konsep ilmu yang salah dan menyesatkan, yang terhad kepada segelintir pandangan pemikir sastera Barat tertentu, bukan menyeluruh dan tidak sekali-kali universal. Misalnya mereka menerima andaian Freud tentang manusia, yang kemudiannya dipakai dalam kritikan sastera Barat. Bagaimana mereka boleh berkata pandangan Freud itu universal, sedangkan di Barat sendiri idea Freud ditolak oleh kebanyakan tokoh besar mereka, misalnya K. R. Popper. Begitu juga dengan gerakan New Criticism, yang kemudiannya ditolak apabila timbul teori-teori baru tentang sastera Barat. Adakah sesuatu yang universal itu hanya diterima oleh segolongan kecil pengikut setia, untuk suatu jangka waktu tertentu saja? Nampaknya inilah pandangan pengkritik sastera, para sarjana, dan sasterawan Melayu pada umumnya; oleh itu pandangan mereka tidak berasas, dan harus ditolak sebagai keliru besar serta bertentangan dengan fakta.

                Dengan berselindung di sebalik sifat kritikan yang subjektif seperti yang ditegaskan dalam “the bullshit theory of literature/criticism”, maka seolah-olah sesiapa pun boleh mentafsirkan sesuatu karya dalam cara yang bagaimana sekali pun. Di sinilah kita menghadapi kekeliruan dan tentangan yang paling besar. Para sasterawan, pengkritik dan sarjana sastera hampir sepakat mengatakan bahawa tiada siapa pun, dan tidak ada sebarang teori, yang boleh menentukan arah perkembangan sesuatu kegiatan kreatif seperti penulisan novel, sajak dan lain-lain. Para sasterawan bebas memilih aliran mana sekali pun yang mereka gemar, dan setiap sasterawan bebas menulis dalam bentuk dan tentang apa sekali pun. Sebenarnya hujah inilah yang membenarkan tanggapan bahawa kesusasteraan itu pada dasarnya terikat oleh emosi, bukan oleh akal sihat. Oleh itu kesusasteraan memilih untuk menulis tentang kejahatan, dan berbangga kerana dapat membebaskan diri menulis tentang kejahatan, keburukan, dan kelakuan syaitan manusia yang menjadi bahannya. Apa yang disebut kebebasan  itu bukanlah kebebasan, tetapi hanya kelangsungan hawa nafsu semata-mata. Sekali lagi konsep ilmu yang benar sangat penting untuk memahami kepalsuan hujah ini. Dalam konteks epistemologi Islam, kebebasan hanya terdapat apabila manusia memilih kebaikan, bukan memilih kejahatan. Manusia yang memilih kejahatan tidak bebas sama sekali, malah terikat kepada prinsip-prinsip kejahatan (seperti tamak, hasad, khianat, menipu dan sebagainya) yang terpaksa dilakukan untuk mendapat kepuasan sementara. Sebaliknya, kebebasan untuk berbuat baik tidak terbatas sama sekali, tidak terikat kepada prinsip yang membelenggu seperti dalam kejahatan, malah terbuka luas untuk melakukan kebaikan itu berasaskan panduan yang kait mengait yang semuanya akan membahagiakan manusia, kerana kebaikan itu adalah fitrah kejadian manusia. Dalam konteks inilah kita harus menilai kembali konsep keindahan bahasa yang kini menjadi pegangan para sasterawan dan dipersetujui oleh pengkritik dan sarjana sastera.

Hadiah Persuratan Petronas
               
Pada waktu ini DBP terlalu berat sebelah ketika merancang program kesusasteraan dengan memberi tumpuan berlebihan kepada para Sasterawan Negara saja, seolah-olah di Malaysia sekarang hanya terdapat sembilan orang (kertas ini ditulis 2005) penulis yang berkualiti. Bagaimana dengan sasterawan lain? Mahu juga kita dengar program untuk mereka, dengan misalnya diadakan seminar membicarakan tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam sebagai sasterawan, atau Dr. Burhanuddin sebagai seorang ahli fikir Melayu dalam agama dan politik dengan membicarakan bagaimana dua orang tokoh ini menggunakan bahasa Melayu yang baik untuk menyampaikan idea mereka. Kita juga ingin tahu pemikiran Abdul Rahim Kajai tentang masalah sosial dan politik di zamannya, juga pemikiran Syed Sheikh al-Hadi tentang peranan media dalam dakwah di zamannya. Dan ramai lagi para penulis yang memang lebih hebat daripada SN yang ketinggalan dan sengaja ditinggalkan kerana DBP terlalu memuja dan memanjakan para SN dalam program mereka.        
                Dari tumpuan kepada sastera dalam pengertiannya yang sempit, DBP harus meluaskan skopnya dengan memberi tumpuan kepada persuratan Melayu, dengan mengadakan program terancang untuk memajukan persuratan Melayu. Dengan itu dicadangkan supaya DBP berusaha mendapatkan kerjasama Petronas dalam program seumpama ini. Sangat elok dan manis benar jika Petronas dilibatkan dalam kegiatan yang bersifat intelektual dan budaya, tidak hanya tertumpu misalnya dalam lumba kereta saja. Petronas kini untung besar sejak harga minyak naik. Baik kita manfaatkan untuk kerja-kerja budaya/intelektual juga, tanpa menjejaskan program mereka yang sedia ada. Seperti yang kita dapat tahu, Petronas berbelanja sejumlah wang yang besar untuk memajukan lumba kereta ini. Tidakkah boleh dikendalikan sejenis program yang bermakna dengan kerjasama DBP untuk memajukan persuratan Melayu dan bidang intelektual dalam bahasa Melayu? DBP wajar mencadangkan kepada Petronas untuk mewujudkan satu hadiah untuk menggalakkan perkembangan persuratan Melayu dalam semua bidang dengan mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas setiap tahun, diberikan kepada sesiapa juga yang menulis dalam bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu.  Supaya Petronas tidak kelihatan lokek dan lekeh dalam program ilmu dan persuratan ini jika dibandingkan dengan projek lumba keretanya, maka hadiah itu hendaknya tidak kurang daripada RM100,000/-, dikeluarkan setiap tahun untuk (1) bidang matematik dan sains (ini termasuk perubatan, pergigian, kimia, fizik dll), (2) bidang sosiologi dan kemanusiaan (termasuk perundangan), dan (3) bidang bahasa dan cereka (novel, cerita pendek, drama dll). Tiap-tiap tahun kita berikan hadiah kepada tiga tokoh yang berjasa dalam bidang-bidang ini. Pemberian hadiah kepada para ilmuan dan penulis kreatif akan mendatangkan faedah yang sangat besar dalam memajukan pemikiran dan memartabatkan lagi bahasa Melayu. Bayangkan penghargaan yang kita berikan kepada para penyelidik perubatan, pertanian, kimia dan lain-lain, di samping sumbangan bermakna para sarjana kemasyarakatan dan lain-lain. Kita dengan itu mendemokrasikan ilmu, tidak hanya mengehadkan kepada penulis kreatif saja. Ini bermakna kita berpindah dari sastera kepada persuratan. Maksud kesimpulan ini perlu difahami dengan jelas supaya sebarang kekeliruan yang akan timbul dari tafsiran yang salah tidak dijadikan pegangan.

Peraduan Menulis Novel Persuratan

                Cabaran Abad 21, menurut pandangan saya, ialah memulai satu janru baru dalam penulisan kreatif. Kertas ini telah membayangkan betapa pentingnya kita membahagikan karya kreatif itu dalam tiga kategori besar: (1) karya persuratan; (2) karya sastera; dan (3) karya picisan/erotik/lucah. Pembahagian ini akan memudahkan kita membuat penilaian yang tepat, dengan itu kita dapat mengukur sejauh mana kita telah maju dalam bidang kreatif ini. Pada waktu ini pembahagian itu tidak jelas, oleh itu panel anugerah sastera negara sendiri mencampuradukkan antara karya “bermutu” dalam kategori karya sastera dengan karya “picisan” dalam kategori karya picisan/erotik/lucah. Ketika membicarakan sastera Islam pun para sasterawan dan sarjana tidak dapat membezakan dua kategori ini, lantas sebuah karya picisan dan lucah seperti TIVI diterima sebagai sebuah karya Islam mithali kerana penulisnya melabelkan demikian, padahal dari segi “sastera”nya lebih tepat dikategori sebagai karya picisan dan lucah.
                Sekarang sudah sampai masanya kita mula menulis karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Dengan itu dicadangkan semacam peraduan menulis novel persuratan yang dikendalikan dengan cermat untuk memastikan hasilnya benar-benar tepat dengan kategori yang dimaksudkan. Cara yang dicadangkan di sini boleh digunakan oleh mana-mana organisasi yang berminat melaksanakannya.
               

Penutup

Jalan keluar yang disarankan oleh kertas ini untuk mewujudkan Hadiah Persuratan Petronas dan Peraduan Menulis Novel Persuratan akan tertumpu ke arah perkembangan ilmu yang dihidangkan dalam bahasa Melayu yang bermutu tinggi, oleh para ilmuwan dan kalangan profesional di negara kita, di samping tulisan-tulisan kreatif yang tidak lagi berdolak-dalik tentang bahasa dan tema, tetapi terus mencerminkan ketinggian bakat, kedalaman ilmu pengarangnya yang menulis dalam konteks konsep ilmu yang benar. Jaminan ini sangat penting, kerana kita tidak mahu lagi “menderita malu besar” apabila tokoh yang kita sanjung dan beri anugerah didapati foni, tidak sehebat yang disangkakan.
Wallahu a’lam.

Petaling Jaya,
14 April 2005.

1 comment:

  1. Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai keyakinan bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.

    ReplyDelete