UNTUK MENJADI CERDIK KITA TIDAK PERLUKAN SASTERAWAN NEGARA
Oleh Mohd. Affandi Hassan
[Kertas ini telah disiarkan dalam akhbar SIASAH akhir 2009. Disiarkan kembali untuk makluman pembaca bersama dengan laporan Puan Ainon Mohd sebagai bukti apa yang ditulis dalam kertas ini tepat sekali mencerminkan hakikat sebenar persoalan yang dibangkitkan di sini dan disentuh oleh Puan Ainon dalam laporannya.]
Dengan terpilihnya sasterawan negara ke sepuluh baru-baru ini, tamatlah episod Asas 50 dalam kesusasteraan Melayu moden. SN pertama yang dilantik tahun 1981 adalah seorang tokoh terkemuka Asas 50; manakala SN kesepuluh pula adalah tokoh terakhir pengikut Asas 50 yang diberi gelaran sasterawan negara. Apakah yang telah kita capai setelah melantik 10 orang sasterawan negara dari satu kumpulan sasterawan yang bernaung di bawah pengaruh Asas 50? Nampaknya kita belum lagi berupaya membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan perdananya pada tahun 1972 itu tidak tepat. Dalam syarahan penting yang hingga kini belum dicabar oleh mana-mana ahli akademik itu, Prof. Syed Naquib al-Attas menegaskan bahawa yang disebut “sastera Melayu moden” itu adalah sastera pinggiran, yang tidak berjejak dalam tadisi Melayu-Islam dan tidak pula berakar dalam tradisi Barat. (Rujuk karya beliau Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu). Menurut beliau, hasil “sastera Melayu moden” itu ditulis dan dinilai oleh “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu” (hal. 55). Kesimpulan ini dibuktikan dalam sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mulai tahun 1981 hingga 2009. Yang diberi pujian tinggi dalam sepuluh laporan itu ialah keupayaan sasterawan Melayu menjadi peniru dan pengikut sastera Barat. Laporan 1985 tentang A. Samad Said mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan ulung kerana berjaya meniru teknik novel Barat sehingga memungkinkan terciptanya novel Salina yang mengagungkan kehidupan seorang pelacur Melayu, yang kini diterima oleh ahli akademik Malaysia sebagai wanita unggul yang menjadi korban peperangan dan percintaan yang gagal. A. Samad Said juga dipuji oleh Panel kerana karyanya tidak mempunyai matlamat, tidak mempunyai tema yang tetap, tidak langsung mempunyai unsur didaktik di dalamnya.
Dalam Laporan 2009 pula, Anwar Ridhwan dipuji dalam nada yang sama, dengan mengangkat sasterawan ini sebagai seorang sasterawan yang menulis karya eksperimen yang matang, dengan kekuatan gaya dan teknik naratif yang inovatif, eksperimental dan mencabar intelek pembaca, menggunakan bahasa puitis, segar dan sarat dengan metafora, imejan, dan lambang. Berbeza dengan A. Samad Said yang tidak mempunyai tema tertentu, Anwar Ridhwan pula disanjung kerana mengemukakan tema-tema “besar”, seperti cerita penglipur lara, pawang buaya, pemimpin yang gila kuasa dan lain-lain. Seperti dalam seluruh laporan Panel selama tiga puluh tahun ini, tidak sebuah pun karya “besar” itu disorot dengan mendalam, mengemukakan hujah yang mantap dalam analisis yang cermat. Laporan 2009 misalnya mengutip pendapat seorang sarjana yang membuat kesimpulan salah sebuah novel Anwar Ridhwan adalah novel terbaik di Malaysia. Sudah wajar jika novel terbaik itu disorot dengan mendalam. Tetapi yang terjadi hanya ditonjolkan ujaran berbentuk umum, seolah-olah karya besar itu tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika dianalisis dan diberi bukti konkrit dalam analisis yang kritis. Panel mengejek penulis yang suka menggunakan klise dalam tulisan mereka, dan mengutuk khutbah sebagai gaya yang tidak mempunyai daya estetika. Tetapi mereka sendiri menggunakan semua jenis klise yang sudah lusuh dalam penilaian mereka, misalnya dengan memuji penulis yang menggunakan realisme magis, atau yang pandai meniru teknik Barat seperti …(anda boleh senaraikan sendiri kerana mudah dikesan). Di samping itu, mereka cukup seronok melontarkan khutbah yang cetek dalam penilaian mereka. Mengapa mereka sendiri melakukan apa yang mereka kutuk orang lain melakukannya?
Untuk membuktikan Anwar Ridhwan menggunakan bahasa yang indah dan puitis, Panel memberikan contoh-contoh ini: “… kebimbangannya mula memburunya dari belakang, mendekatinya, lalu memukul-mukul hatinya”; “… angin memukul-mukul kaca jendela”; “… kereta api menjerit-jerit dari perut bumi”; dan “Kawai Maru, raksasa besi waja yang terapung-apung, beroleng lembut melayan usikan tangan-tangan gelombang”. Apakah yang indah dari ucapan berbentuk klise ini? Jika anda tidak menemui ucapan klise ini, pastilah anda tidak membaca karya sastera popular (atau picisan) yang gemarkan gaya begini; anda tidak akan menemuinya dalam karya agung para penulis agung dunia. Jika tidak percaya, bacalah Tolstoy, James Joyce, Thomas Mann, Pirandillo, Chekhov, dan ramai lagi. Malah anda akan bertemu dengan pemenang Hadiah Nobel 2003 bernama J.M.Coetzee, misalnya novelnya Elizabeth Costello atau Disgrace atau Slow Man; anda dijamin tidak akan bertemu dengan klise yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Malaysia, malah anda akan bertemu dengan gaya intelektual seorang penulis yang betul-betul matang. Semua ini membuktikan Panel tidak mempunyai pengertian yang jelas dan tepat tentang konsep keindahan bahasa dalam karya kreatif; malah pemahaman mereka tentang estetika pun terlalu samar dan cetek, oleh itu tidak hairan jika mereka memuji kecetekan karya para sasterawan negara yang mereka angkat dengan kata-kata bombastik yang tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang kritis. Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikan aspek ini dengan terperinci dalam Kuliah MASTERA beliau berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009). Sila rujuk buku itu untuk melihat kualiti sebenar “pemikiran” Panel Anugerah Sastera Negara ini. Jika kita menerima contoh-contoh yang dikemukakan oleh Panel sebagai bukti keindahan bahasa yang bercorak puitis, pastilah para sasterawan negara ini tidak layak digelar sasterawan negara jika itulah corak “keindahan bahasa” yang mereka hidangkan. Kesimpulan ini hanya boleh dibatalkan sekiranya Panel tampil dengan contoh dan analisis yang mendalam mengenai keindahan bahasa dan aspek estetika ini. Apa yang jelas kepada kita ialah mereka menghadapi masalah kognitif yang berat dalam memahami dua aspek kreatif ini.
Dalam semua laporannya Panel mengejek para sasterawan yang bergelumang dengan klise, tanpa menyedarinya bahawa mereka sendirilah yang bergelumang dengan klise dalam penilaian mereka yang bersifat umum, bombastik, keliru dan gagal menyediakan ukuran yang boleh diuji ketepatannya. Sebagai contoh, apabila Panel berkata, A. Samad Said itu seorang sasterawan yang istimewa kerana beliau seorang peniru yang handal; atau Anwar Ridhwan seorang sasterawan yang hebat melahirkan novel-novel yang hebat pula, misalnya kerana beliau pandai menggunakan teknik realisme magis, maka apakah hujah yang boleh kita kemukakan bahawa menjadi peniru itu sangat istimewa dan orang-orang yang pandai meniru layak digelar sasterawan negara? Tentulah kita akan berasa malu jika sasterawan hebat kita hanya seorang peniru saja, kecuali jika kita kemukakan hujah bahawa meniru teknik dan idea Barat itu harus digalakkan kerana hanya dengan berbuat demikian saja kita boleh melahirkan sasterawan besar yang layak diberi kedudukan sebagai sasterawan negara. Tetapi kita mesti ingat, jika kita membuat kesimpulan begitu, kita dengan sukarela bersetuju dengan kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas yang menegaskan seperti yang beliau telah tegaskan. Akhirnya kita akan berlagak angkuh menyodorkan sasterawan pinggiran “yang cetek meraba-raba” ini sebagai tokoh besar yang istimewa, walaupun mereka hanya para peniru saja. Mencari tempat bergantung dari Barat ini telah dianalisis dengan mendalam oleh Pascale Casanova dalam bukunya The World Republic of Letters (2004). Dalam buku itu ditegaskan bahawa terdapat dua kiblat yang diikuti oleh sasterawan negara membangun, iaitu Paris dan London. Dari situlah nilai dan ukuran hasil sastera yang baik dan bermutu ditetapkan. Dan itulah juga ikutan para sasterawan Malaysia dan para penilainya. Tidakkah ini membuktikan betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas itu?
Tentulah amat malang jika inilah yang terjadi, inilah realitinya. Tetapi nampaknya amat sukar hendak menolak kesimpulan ini, jika kita membaca dengan teliti analisis Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya. Sebagai contoh, Prof. Ungku Maimunah membuktikan bagaimana gandingan realisme dan novel menjadi begitu serasi dalam analisis novel dan dalam penulisan novel; begitu dogmatiknya mereka (pengkritik dan penulis novel) terhadap realisme sehingga mereka mencedok “realisme magis” apabila mereka ingin berada dalam dunia Awang Sulung Merah Muda, atau dalam alam Dewa Muda yang dijadikan cerita utama oleh Tok Minduk dalam Main Puterinya. Hakikat ini terserlah dengan jelas dalam semua sepuluh laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut Prof. Ungku Maimunah lagi, ideologi realisme ini dijadikan ideologi estetik yang amat disenangi dalam Abad ke-19 di Eropah. Inilah juga yang diikuti oleh para sasterawan dan pengkritik/ahli akademik Malaysia. Nampaknya mereka selesa betul berada dalam Abad ke-19, dan merasa tersinggung sekali jika keselesaan mereka digugat dengan pemikiran dan kaedah baru Abad 21. Misalnya, mereka tidak suka, dan amat benci, jika karya kreatif berasaskan ilmu, apatah lagi memakai konsep ilmu yang benar. Boleh dikatakan 98% di antara mereka menolak apa juga bentuk analisis dan kaedah menulis jika berdasarkan konsep ilmu yang benar. Apakah yang membuat mereka begitu tersinggung dan gelisah? Menurut mereka, jika kaedah itu diterima, maka para sasterawan negara akan kelihatan begitu kerdil, tak ubahnya seperti “scare crow” yang dipuisikan oleh T.S.Eliot itu. Benarkah begitu? Seharusnya, secara logik, apabila seorang tokoh besar seperti sasterawan negara itu diangkat darjatnya, maka mereka layak diberi penilaian yang kritis berasaskan kaedah apa sekalipun. Tidak ada alasan sama sekali untuk melindungi mereka dengan pantang larang tertentu bahawa mereka hanya layak dinilai mengikut kaedah yang boleh meninggikan darjat mereka sahaja. Maka itulah sebabnya semua Laporan Anugerah Sastera Negara ditulis secara umum, kabur dan berbelit-belit, untuk menyenangkan hati semua orang. Tetapi ini bertentangan dengan kehendak akademik, yang menilai sesuatu berasaskan ukuran akademik yang boleh diukur ketepatannya secara objektif. Nampaknya mahu tidak mahu kita terpaksa meletakkan para sasterawan negara kita dan para penilai mereka dalam gelanggang ilmu untuk diuji sehabis kritis berasaskan ukuran yang boleh diuji pula ketepatannya. Itulah kehendak Abad 21 yang kononnya dikenali sebagai Abad Ilmu (padahal dalam tamadun Islam Abad Ilmu itu telah bermula awal-awal lagi, sehingga kini dipersetujui ledakan ilmu dalam tamadun Islam itulah yang menjadi asas kemajuan ilmu di Barat moden.)
Bagaimana jika sikap anti-ilmu itu berterusan? Kita tidak mempunyai pilihan kecuali menghapuskan Anugerah Sastera, diganti denan Anugerah Persuratan yang lebih luas cakupannya. Cadangan ini telah dikemukakan dalam sebuah kertas kerja penulis ini bertajuk, “Anugerah dan Hadiah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (DBP, 25 Mei 2006). Dalam kertas itu, telah dicadangkan supaya diwujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS, dikeluarkan setiap tahun untuk semua bidang ilmiah yang dihasilkan oleh para penulis yang menggunakan bahasa Melayu, termasuk para sasterawan dan lain-lain yang sejenis dengannya. Hadiah itu diberi nama Hadiah Persuratan kerana yang diutamakan ialah pencapaian sebenarnya dari segi ilmu, termasuk yang bercorak karya kreatif. Dengan memberi perhatian kepada ilmu, kita akan mengelak daripada memberi hadiah dan anugerah kepada sesiapa juga yang tidak layak menerimanya. Kita harus kembali kepada maksud “persuratan” yang menjadi asas tamadun Melayu yang dibina di atas dasar tauhid yang hasilnya cukup cemerlang untuk diremehkan oleh sastera dan para sasterawan. Kita telah bosan membaca laporan Panel yang berserabut dengan klise itu, untuk hanya memilih para sasterawan yang tidak boleh disentuh lagi selepas diberi cap mohor Panel Anugerah Sastera Negara. Sikap yang melemaskan ini terlalu jelas anti-ilmunya, oleh itu tidak wajar diteruskan jika kita benar-benar mahu maju dalam bidang pemikiran dan mewujudkan keupayaan kreatif yang tinggi. Lebih penting lagi, kita tidak harus mencampakkan tokoh-tokoh pemikir kita dengan memberi keutamaan kepada para sasterawan yang tidak boleh berdiri jika diuji dengan kritis berasaskan ilmu yang difahami dalam Islam. Dengan menggunakan konsep dan istilah persuratan, kita akan kenal tokoh-tokoh yang sepatutnya kita sanjung, seperti Pendeta Za’ba, Prof. Syed Naquib al-Attas, Haji Agus Salim, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, dan lain-lain tokoh yang mungkin kita tidak kenal lagi atau sudah lupa. Jika kita benar-benar mahu berubah ke arah kebaikan yang sebenarnya, atau membuat anjakan paradigma seperti yang dilaung-laungkan satu masa dahulu, maka inilah masanya untuk melakukan anjakan paradigma itu. Wujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS; hapuskan Anugerah Sastera Negara dan gelaran Sasterawan Negara yang mengelirukan itu. Wallahu a’lam.
[Petaling Jaya. 22 November, 2009].
__________________________________________________________
Laporan Puan Ainon Mohd dalam blog beliau, disiarkan semula menggunakan pautan yang diberikan oleh Sdr. Zahiruddin Zabidi.
Tuesday, May 03, 2011
Respon Terhadap Pendapat SN Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh
Pada Ahad 1 Mei 2011, bertempat di PWTC, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menganjurkan majlis Bicara Sasterawan Negara, dengan tajuk 'Mengantarabangsakan Karya Sastera Tempatan'. Majlis diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).
Dua orang Sasterawan Negara yang menjadi panel ada Dato A Samad Said dan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Saya membuat catatan idea-idea utama yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Beliau berpendapat langkah yang paling penting bagi mengantarabangsakan sastera tempatan ke peringkat antarabangsa adalah dengan meningkatkan mutu karya tempatan supaya mencapai mutu antarabangsa. Ini dapat dilakukan dengan cara penulis tempatan menguasai pemikiran antarabangsa. Tanpa penguasaan itu, "Susah nak lawan sastera German dan sastera Inggeris" kata beliau.
Beliau juga mengatakan kita berada dalam 'lumba antarabangsa' dan 'lumba tamaddun'. Dalam nada itulah beliau menyarankan perlunya sasterawan tempatan menguasai pemikiran falsafah dan sastera antarabangsa, dan juga pemikiran tamaddun-tamaddun peringkat antarabangsa.
Beliau juga menyebut tentang 'kesejukan' dunia sastera tempatan, dengan maksud pada saat ini sastera tempatan tidak menyaksikan penghasilan karya sastera yang aktif dan bermutu, yakni tidak timbul nama-nama sasterawan baru mahupun karya-karya baru yang benar-benar bermutu tinggi.
Saya berpendapat, selagi kita menggunakan kayu ukur ciptaan Inggeris dan Jerman, selagi itu kita akan terus membuat kesimpulan bahawa sastera tempatan tidak bermutu tinggi, dan selagi itu juga kita terpaksa mengemis pengiktirafan daripada penilai-penilai Inggeris dan Jerman.
Saya berpendapat, sastera tempatan perlu dinilai menggunakan kayu ukur tempatan, yakni kayu ukur yang kita cipta sendiri. Dengan menggunakan kayu ukur tempatan, karyawan tempatan hanya perlu menguasai falsafah dan pemikiran tempatan sahaja. Hasilnya nanti, baru kita dapat melihat kerancakan perkembangan sastera tempatan yang sedang berlaku di hadapan mata kita saat ini.
CATATAN Mohd. Affandi Hassan: Jika laporan ini tepat, sasterawan negara tidak perlu dijemput untuk berborak seumpama ini. Memang benar, adalah silap besar untuk mengharapkan sesuatu pendapat yang bernas daripada sasterawan negara. Mereka masih berada dalam dunia khayal mereka sendiri, memandai-mandai memberi nasihat, padahal karya awak sendiri tidaklah sampai ke taraf yang awak harap orang lain menulisnya. Sasterawan Malaysia tidak perlu berlumba-lumba, terhegeh-hegeh berlagak mengada-ngada kononnya mahu diiktiraf di peringkat antarabangsa. Cukuplah jika mereka mempunyai sikap terbuka untuk menerima pandangan dan pendapat yang berbeza dengan mereka; dengan itu apa yang disebut sebagai “kesejukan” sastera itu tidak timbul apabila orang-orang seperti Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, yang telah diisytiharkan oleh teman-temannya sebagai “Tokoh Akademik Malaysia” berminat, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya, untuk membicarakan pemikiran orang lain, tidak menolaknya dengan angkuh sebelum mendalaminya terlebih dahulu. Misalnya, kenal dahulu apa dia gagasanPersuratan Baru, beri pendapat anda yang kritis dan bijaksana itu tentang kemungkinan gagasan Persuratan Baru mencetus perkembangan persuratan Melayu yang dinamik dan berteraskan ilmu yang benar. Jika sarjana Malaysia tidak kenal pemikiran sarjana tempatan, malah meremehkannya kerana orang yang mengemukakan sesuatu idea (yang barangkali bernas) tidak ada apa-apa gelaran (sikap dan tabiat lama manusia berjiwa feudal dan megah menjadi a colonial boy), maka yang terjadi tidak saja ‘kesejukan’ berkarya tetapi kebekuan berfikir para sarjana yang memang dibayar gaji untuk berfikir, bukan untuk memandai-mandai memberi nasihat yang tidak diikuti sendiri. Indah dan tepat sekali peribahasa Melayu: Mengata dulang paku serpih, … Bagus juga jika mahu contohi orang Jerman: buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid diperaku oleh seorang sarjana Jerman yang menjadi profesor pengajian Melayu/Indonesia di sebuah universiti terkenal di England sebagai salah sebuah buku utama dalam pemikiran Islam Abad 20/21 yang disenaraikan oleh Aga Khan University Institute for The Study of Muslim Civilisations (rujuk Gagasan Persuratan Baru, ms. 150).
Terbaik!!!
ReplyDeleteAssalamualaikum Tuan Mohd. Affandi,
ReplyDeletesaya turut hadir pada sesi berkenaan. Moderator (atau Pak Samad Said sendiri, saya lupa) ada menyebut bahawa 'kehebatan' Salina diperakui oleh Prof. A Teeuw.
Lantas saya bertanya soalan, adakah perlu kepada memantapkan bidang kritikan sastera untuk memartabatkan bidang sastera tanah air. Oleh sebab soalan dan jawapan dikumpul secara pukal, saya sendiri tidak pasti bahawa soalan saya itu dijawab secara tepat oleh ahli panel.
Cuma, dua orang Sasterawan Negara ini menegaskan kepada perlunya lebih ramai berkecimpung dalam sastera serius untuk mengangkat martabat sastera Malaysia.