Maksud keselekehan akademik di sini
ialah hasil kerja yang tidak mencapai standard yang sepatutnya dalam tulisan
akademik. Antara lain, adakah isu yang hendak dibincang itu jelas diberi takrif
dan huraian yang mantap. Sebagai panduan, sila rujuk rencana Susan Peck
MacDonald, “The Literary Argument and Its Discursive Conventions”, dalam The Writing Scholar, ed. Walter Nash
(London: Sage Publications, 1990).
Mempertahankan Faedah Diri Dalam Status Quo Yang Lapuk
Kita tidak tahu dengan pasti berapa
banyak wang yang dibelanjakan oleh ITBM untuk menganjurkan Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014. Mungkin setengah juta, mungkin lebih, mungkin juga hanya
beberapa ribu saja untuk membayar sewa hotel. Yang kita pasti ialah kualiti
kertas kerja yang dibentangkan dalam sidang agung itu membuat kita insaf betapa sukarnya mendapat
tulisan akademik yang boleh membuat kita bangga kerana kita telah melahirkan
begitu ramai para sarjana yang hebat
pemikirannya. Ada yang menulis
panjang-panjang, ada pula yang kontot-kontot, malah agak mengejutkan ada pula
yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja. Inilah kali
pertama dalam sejarah sastera Malaysia, dalam sejarah kebudayaan Melayu,
seorang profesor memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerjanya
yang langsung tidak mempunyai kualiti akademik walaupun beliau telah
diisytiharkan sebagai seorang sarjana ulung di Malaysia. Ternyata mendapat gelaran jauh lebih mudah
daripada membuktikan kemampuan intelektual dan akademik yang benar-benar
mantap. Terdapat kecenderungan untuk melonjakkan gelaran daripada
menghasilkan tulisan yang benar-benar menggambarkan kehebatan gelaran yang
diberikan.
Seorang penulis terpenting dalam
sastera Melayu, seorang sasterawan negara yang paling unggul, yang menghasilkan
sebuah novel paling agung dan paling bernas ideanya yang belum pernah lagi
ditulis oleh sesiapa pun di dalam dunia, sehingga novel itu mendapat kedudukan paling
unggul dalam sastera Melayu dan dalam sastera dunia, memberikan pendapatnya
yang saya kira bernas, dalam kata-kata beliau seperti ini: “Pendidikan sastera
harus berupaya mengesan bakat individu pelajar dan berusaha untuk
mengembangkannya. Pelajaran Sastera bukanlah untuk golongan yang kurang pintar,
kerana sastera sebagai suatu ilmu mempunyai kaedah, prinsip, teori dan
epistemologi yang harus dipelajari secara sistematik. Sastera memerlukan
pelajar yang pintar dan berbakat, yang dapat mengembangkan potensi diri, dan
memperoleh hasil daripada kebolehan dirinya.” (hal. 217)
Itulah harapan sasterawan negara
ini, penulis Naratif Ogonshoto yang
picisan, yang penuh sensasi dan sadisme. Novel beliau tidak mungkin, dan
mustahil, dapat mencapai apa yang diluahkan oleh Anwar Ridhwan ini. Hakikat ini
perlu difikirkan dengan serius oleh para pegawai Kementerian Pelajaran yang
telah membuat kesilapan besar memilih novel picisan yang anti-ilmu ini.
Walaupun pendapatnya bernas, tetapi
sikapnya terhadap ilmu menimbulkan keraguan kita, kerana beliau tidak memberi
apa-apa cadangan untuk membaiki keadaan, padahal jalan keluar kepada masalah
ini sudah pun diberikan oleh PB. Beliau tidak membaca buku-buku tentang PB,
oleh itu sebagai seorang sarjana dan sasterawan, beliau tidak mempunyai sedikit
pun pengetahuan terkini tentang apa yang berlaku dalam sastera Melayu. Bagi para sarjana, pengkritik dan sasterawan,
sifat memperbodohkan diri dari perkembangan baru adalah suatu kelebihan, sesuatu
yang terpuji kerana menurut mereka tidak diperlukan apa-apa perubahan lagi,
kerana sastera Melayu sudah sempurna segala-galanya. Inilah yang disebut sikap “lembu kenyang” dalam
budaya Kelantan. Bagi mereka (yakni para
sasterawan dan sarjana) tidak perlu idea baru, lebih-lebih lagi jika idea itu
bertentangan dengan faham sastera yang menjadi anutan mereka. Itulah kemajuan,
yakni berada di tempat lama yang sudah sempurna tanpa mempedulikan apa juga
perubahan yang sedang berlaku. Inilah
mentaliti keldai di kincir air, yang telah saya bincang tempoh hari.
Mentaliti keldai di kincir air ini
dijadikan landasan dalam pengajaran sastera di sekolah-sekolah dan
universiti. Metodologi pengajaran
sastera di Malaysia sudah lama ketinggalan zaman, sudah menjadi klise sejak
berpuluh tahun, paling kurang dalam tiga empat dekad ini. Ketika orang sudah lama meninggalkan konsep
naratif yang lama, Malaysia memuji novel Naratif
Ogonshoto yang berasaskan sensasi dan sadisme (rujuk beberapa entri
mengenai persoalan ini). Percubaan
Kementerian Pelajaran kononnya kaedah kemahiran berfikir aras tinggi akan
menjadikan pelajar cerdik, tidak akan
tercapai oleh itu tidak akan mencerdikkan para pelajar selagi tidak diberi
penjelasan tentang makna dan maksud ilmu dalam memahami konsep berfikir. Konsep
ilmu berkaitan dengan adab, dan dari situ dibina peribadi yang tinggi dan
peradaban bangsa. Kemahiran berfikir aras tinggi hanya dapat dicapai berasaskan
syarat-syarat yang disebutkan. Kritikan
saya terhadap novel Naratif Ogonshoto
berasaskan prinsip-prinsip itu, oleh itu novel ini tidak perlu ditulis dan
tidak wajar diterbitkan kerana novel ini menggalakkan kejahatan dan memberi
pengiktirafan kepada kezaliman, menggalakkan faham syirik di kalangan murid
Islam ketika mereka membaca cerita khayal novel sensasi ini. Tidak mungkin akan
terbina peribadi yang unggul di kalangan pelajar jika novel ini digunakan
mereka untuk mempelajari sastera Melayu.
Seorang guru yang tidak faham maksud syirik dalam Islam akan membenarkan
pendapat dan pandangan resi tua dalam bab 7 (Pentafsir), yang bercakap tentang
“kebenaran” dan Tuhan, tetapi dalam konteks syirik. Bagi sesiapa juga yang siuman,
dan tahu makna syirik, seluruh bab 7 itu merayakan konsep syirik dalam
kehidupan beragama yang dilambangkan oleh si resi tua, yang kata-katanya
mempunyai makna berlapis-lapis dalam konteks faham syirik yang dianutinya.
Tentulah sangat celaka jika inilah ajaran nilai-nilai murni yang diajarkan
kepada murid-murid sekolah. Kementerian Pelajaran dan bahagian-bahagian yang
terlibat dalam pemilihan novel ini harus berfikir dengan siuman mengenai
perkara ini. Anda semua tidak wajar melaksanakan faham syirik dalam pendidikan
sastera yang seluruhnya bertentangan dengan konsep nilai-nilai murni yang
dianjurkan oleh kerajaan sendiri. Para pegawai ini perlu membaca dengan kritis
novel picisan ini, dan menarik balik daripada dijadikan teks sastera. Jangan
rosakkan anak-anak kita yang bergelar pelajar. Ini satu amaran keras yang perlu
diberi perhatian serius.
Pendidikan
Sastera Yang Sudah Klise
Pendidikan Sastera seperti yang dikonsepsikan oleh penulis
agung Malaysia (ungkapan berprestij ini perlu diulang kerana inilah kedudukan
beliau di kalangan sarjana ciritan) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, bertentangan sama
sekali dengan karya beliau yang penuh khayalan, anti-ilmu, penuh sensasi dan
sadisme, dan yang paling celaka untuk diterima oleh masyarakat bertamadun,
ialah karya yang memberi penekanan kepada kejahatan, kezaliman, dan mengangkat
faham syirik sebagai landasan kehidupan manusia bertamadun. Kalau kesimpulan
ini tidak betul, anda harus membuat bantahan; dan saya sendiri akan
menyerlahkan satu persatu aspek ini dalam jawapan saya nanti. Persoalan ini
sangat penting dan perlu kita bincang dalam dialog yang siuman, mengemukakan
bukti dan hujah masing-masing sama ada menerima atau menolak kesimpulan ini.
Anda kini berbicara tentang karya seorang sasterawan negara, oleh itu anda
tidak boleh selekeh dalam mempertahankan atau menolak karya beliau. Senang saja
untuk anda membela beliau, dengan memberi alasan bahawa semua kejahatan yang
beliau masukkan dalam novel agung itu hanya sekadar peringatan, untuk dikenal
pasti oleh para pelajar supaya dapat dijadikan teladan. Tetapi hujah ini sangat
naif, kerana jika anda menggunakan teori sastera, anda dapat lihat betapa
lemahnya hujah tadi. Karya agung itu, yang picisan sebenarnya, memang sebuah
karya sensasi yang penuh khayalan. Malah, jika anda membaca dengan teliti,
semua peristiwa yang diceritakan itu sebenarnya khayalan seorang watak yang
bernama Noor, yang berasal dari Kg. Sungai Besar dari Selangor, yang namanya
kita dapat di akhir novel. Dia seorang yang tidak siuman, malah lebih tepat
digelar orang gila, yang sedang berangan-berangan dan berkhayal menceritakan
segala khayalannya sebagai orang gila untuk menjadi kisah autentik Naratif Ogonshoto. Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad perlu membaca kembali dan menafikan kesimpulan ini. Tentulah amat
memalukan jika kita dapati novel agung ini sebenarnya kisah khayalan seorang
yang tidak siuman, orang gila, yang menunggu dia dibedah. Jika ada bacaan yang
berbeza, selain dari yang diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, yang telah
saya tolak, maka kita perlu diberi peluang membacanya. Berasaskan bacaan yang
salah inilah saya kira para pegawai di Kementerian Pelajaran yang memilih buku
ini membuat keputusan mereka. Siapa mereka ada disenaraikan dalam edisi murid
yang diterbitkan oleh DBP. Bagaimana ini terjadi saya berikan rujukannya. (Baca
tulisan dalam The Writing Scholar
yang dirujuk).
Sikap siuman ini tidak ada dalam
perbincangan tentang sastera Melayu, seperti yang dibuktikan dengan begitu
jelas dalam tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji Naratif Ogonshoto.
Sepatutnya saya tidak perlu sebut lagi perkara ini, tetapi tidak dapat
dielakkan kerana inilah contoh dan bukti terbaik tentang tiadanya sifat siuman dalam
perbincangan akademik dalam sastera Melayu.
Kerana pengaruh sikap tidak siuman ini begitu besar di kalangan para
pegawai Kementerian Pelajaran yang memilih novel picisan ini untuk mengajar
para pelajar menjadi bodoh, maka masalah standard yang saya bincang tempoh hari
perlu kita bereskan, supaya para pelajar kita tidak terus hanyut dalam khayalan
palsu membaca dan membincangkan sebuah (atau beberapa buah) karya picisan
dengan memberikan pretensi intelektual yang palsu dalam perbincangan itu.
Bagaimana ini boleh dilakukan? Saya telah mencadangkannya dengan kita
menyerlahkan kekuatan dan kelemahan sesuatu karya berasaskan kajian
perbandingan, yang nampaknya tidak mahu dilayan oleh para sarjana ciritan dan
para pegawai Kementerian Pelajaran yang diberi tugas untuk mencerdikkan para
pelajar negara, tetapi sebaliknya memilih karya picisan untuk dijadikan asas
bagaimana kecerdikan itu boleh dibina. Tidakkah ini tidak siuman?
Oleh sebab kita sudah mempunyai
sebuah karya berasaskan ilmu yang benar dalam Pujangga Melayu, adalah tepat dan sangat berpatutan jika karya ini
dijadikan standard untuk menilai Naratif
Ogonshoto. Anda hanya perlu
melakukan dua perkara mudah: membuktikan Pujangga
Melayu tidak dapat dijadikan standard itu kerana kelemahan karya itu sebagai
sebuah karya kreatif yang bermutu; atau anda membuktikan tanpa sedikit pun
keraguan bahawa Naratif Ogonshoto
memang berlandaskan ilmu, bukan khayalan sensasi dan sadisme yang merayakan aspek syirik dalam kehidupan
beragama. Tidak ada alasan sama sekali
untuk anda takut membuat penilaian secara perbandingan ini, kerana hasilnya
nanti akan memberikan kepada kita “kebenaran” yang nampaknya dicari oleh Dato’
Dr. Anwar Ridhwan sendiri (melalui watak si resi tua) dalam kutipan yang saya
ambil dari tulisannya. Saya yakin beliau
sendiri mahu karyanya diberi penilaian yang tuntas, dan kritis, berasaskan
konsep ilmu yang benar yang beliau sendiri percaya itulah yang seharusnya
menjadi asas penulisan kreatif dalam sastera Melayu. Baca kembali kutipan dari tulisan beliau.
Apakah peranan guru yang ditakdirkan
untuk mengajar novel ini? Dari bukti yang ada, melalui sebuah ulasan yang
ditulis oleh seorang guru, kira-kira 160 halaman, kita dapati sang guru yang
berani itu meluahkan begitu saja segala peristiwa dalam novel khayalan ini
dengan memberi perincian setiap peristiwa, tanpa sebarang usaha untuk
memberikan penjelasan yang mempunyai sedikit kualiti ilmiah. Sungguh kasihan
kepada para murid yang membaca buku panduan ini. Mereka juga akan dihumban ke
dalam gaung kekeliruan dan kebodohan yang luar biasa. Sekali lagi, anda
perlukan satu standard yang mantap untuk menilai karya ini; dan ini menjadi
amat mudah jika anda membuat kajian perbandingan dengan Pujangga Melayu. Jalan keluar yang dicadangkan ini akan membantu
para guru memahami persoalan yang saya cuba jelaskan di sini. Seorang guru
sastera wajib menjadi pembaca pertama kepada persoalan baru. Jangan biarkan
pelajar anda menjadi bodoh kerana dibekalkan dengan maklumat yang salah,
padahal maklumat yang betul sudah ada, tetapi tidak diketahui oleh para guru
sastera kerana tidak diberitahu oleh para pegawai di Kementerian Pelajaran yang
menjadi penilai dalam senarai jawatan kuasa pemilihan. Para guru ini berada
dalam ketakutan yang luar biasa kerana sekiranya mereka berbeza pendapat dengan
para pegawai Kementerian Pelajaran, mereka tidak dinaikkan pangkat. Tidakkah
itu satu perkara yang merugikan kerjaya mereka? Tidak mengapa jika pelajar
mereka menjadi bodoh, asal kerjaya mereka maju dan dengan itu berpeluang untuk
dinaikkan pangkat. Kerana itu, para guru wajib mengikut saja arahan dari
pakar-pakar di Kementerian Pelajaran, tanpa sebarang keraguan. Adakah ini corak
pendidikan sastera yang wajar? Saya tidak tahu pendapat sasterawan negara Dato’
Dr. Anwar Ridhwan mengenai persoalan ini, tetapi saya yakin beliau bersetuju
dengan pendirian para guru dan para pegawai di Kementerian Pelajaran. Pilihan
beliau tepat, walaupun tidak betul.
Adakah
Sastera Malaysia Mempunyai Wajah?
Dalam buku Sastera
Teras Negara Bangsa ini terdapat satu bahagian yang amat menarik tajuknya,
tetapi begitu mengecewakan isinya. Tajuknya, “Wajah Sastera Malaysia:
Seharusnya Bagaimana?” Tulisan Dr.
Norhayati Ab. Rahman banyak menyebut perkataan “ilmu”, tetapi tidak sepatah pun
dimaklumkan apakah yang beliau maksudkan dengan ilmu. Nampaknya jelas sekali
beliau bukan bercakap tentang ilmu, tetapi tentang maklumat. Ilmu tidak sama
dengan maklumat, dan maklumat hanya menjadi ilmu setelah diproses berasaskan
ajaran wahyu. Jadi ilmu bersumber dari al-Quran, bukan saja-saja difikirkan
sendiri kemudian diklaim itulah ilmu. Inilah yang dilakukan oleh para sarjana,
termasuk di Malaysia. Sekali lagi, contoh terbaik tentang kecelaruan dan
kekeliruan tentang konsep ilmu ini diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
dalam pujiannya terhadap Naratif
Ogonshoto. Sarjana ini tidak bercakap tentang ilmu, tetapi tentang
kecelaruan dan kekeliruan beliau sendiri yang cuba menelurkan satu “teori”
sastera yang dinamakannya “Teori Kerancuan Sastera”. (Saya telah ulas usaha
sarjana ini dalam beberapa entri.)
Inilah “teori” yang dipakainya untuk memuji dan membela Naratif Ogonshoto. Hasilnya amat
memeranjatkan: novel itu tiba-tiba muncul sebagai sebuah novel paling agung
sepanjang zaman dalam sastera Melayu, tiada tolok bandingnya lagi. Kesimpulan
sarjana ini merupakan satu tragedi paling mengejutkan, mengalahkan semua
tragedi Shakespeare. Pembaca yang cerdik, yang tahu apa yang cuba disampaikan
oleh sarjana ini, akan berasa amat tersinggung kerana mereka seolah-olah diperbodohkan
dengan pandangan yang cetek dan mengarut, sama mengarutnya dengan novel agung
itu sendiri. Tidak saja pendapat sarjana ini tidak masuk akal, malah novel
agung itu sendiri selain anti-ilmu, juga anti-moral; lantas menjadikannya
sebuah karya nihilistik. (Saya juga telah bincang perkara ini dalam entri yang
lepas). Sekarang kita faham mengapa Dr. Norhayati Ab. Rahman tidak menyebut
sedikit pun tentang novel agung ini, yang dipandangnya tidak penting dan tidak
mencerminkan sebarang unsur ilmu di dalamnya.
Inilah yang dimaksudkan dengan tragedi yang mengejutkan itu, apabila
pandangan sarjana pemuja novel ini ditolak bulat-bulat, atau sekurang-kurang tidak diterimanya novel
ini adalah karya teragung dalam sastera Melayu. Kalau betul sebuah karya
teragung, semua sarjana sastera mesti menerimanya dengan gembira; tentulah
kurang adab jika karya seagung ini diremehkan oleh para sarjana. Lainlah halnya
jika mereka menilainya daripada perspektif ilmu yang dimajukan oleh PB, maka
sudah sepatutnya mereka menolak penilaian yang karut itu. Bagi yang cetek ilmu, seolah-olah terdapat
kontradiksi dengan adanya perbezaan penilaian ini. Sebenarnya yang berlaku
ialah kesilapan seseorang yang tidak dapat membezakan antara buah kuini dengan
buah embacang, yang kelihatan serupa tetapi rasanya berbeza. Gambaran ini
bermaksud untuk menyatakan penilaian yang berbeza mestilah berasaskan
pengetahuan dan pengalaman intelektual yang mantap, seperti dalam perbandingan
tadi. Tidak boleh silap, kerana buah kuini kelihatan sama, tetapi berbeza
dengan embacang.
Sekarang saya harap anda faham
mengapa PB tolak sasterawan negara dan karya mereka sebagai karya picisan saja.
Jika kesimpulan ini merugikan tamadun Melayu, sila bangkit dengan hujah yang
mantap untuk menolak kesimpulan yang dibuat oleh PB. Jangan biarkan kepalsuan
berterusan, ketika kita dapat membezakan mana yang genuine dan mana pula yang fake
(palsu).
Dalam konteks inilah pandangan Dr.
Norhayati Ab. Rahman tidak genuine,
terlalu bertentangan dengan pujiannya yang begitu hebat terhadap Ayu Utami,
penulis novel lucah dari Indonesia, yang diagungkannya dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan
Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (Penerbit USM 2012). Oleh itu pendapat beliau tentang sastera,
ilmu dan sebagainya dalam makalah beliau adalah fake, tidak genuine, dan
amat bertentangan dengan magnum opus
beliau dalam bidang akademik berupa tesis beliau tentang kelucahan dalam
sastera Melayu dan Indonesia.
Kertas yang satu lagi tidak
memberikan apa-apa pandangan bernas, sebaliknya hanyut dalam retorik peragaan
tanpa sebarang usaha dari penulisnya untuk memahami tajuk yang
diberikan/dipilih olehnya. Konsep sastera perdana yang dikemukakannya terasa
amat aneh dan amat janggal. Hal ini terjadi kerana beliau tidak melihat apa
yang disebutnya sastera perdana itu dalam konteks yang betul. Anda tentu masih
ingat bagaimana apa yang dianggap perdana itu adalah kumpulan pinggiran yang
tidak mengenal warisan sendiri dan tidak pula mengenal warisan Barat dengan
mendalam. Jika anda melihat dari perspektif kesimpulan atau rumusan 1972, anda
sudah diberitahu dengan tegas bahawa para sasterawan yang terdapat di Malaysia
dan Indonesia adalah kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang keliru
konsep ilmunya dan yang kehilangan adab. Penulis kertas ini nampaknya tidak
tahu pun kesimpulan 1972 itu masih utuh,
tanpa sebarang usaha dari mana-mana pihak untuk menolaknya. Bagaimana anda
boleh berbicara tentang sastera perdana jika yang dikatakan sastera perdana itu
adalah sastera pinggiran yang cetek meraba-raba?
Kesimpulannya, kedua-dua penulis
makalah ini tidak memberikan apa-apa pandangan konkrit tentang wajah sastera
akan datang, meskipun telah dibincangkan dengan terperinci dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua.
Ternyata mereka tidak pernah tahu wujudnya buku yang memberikan garis panduan
karya persuratan yang akan menjadi kategori utama dalam perkembangan persuratan
Melayu abad ini dan seterusnya. Sikap mereka yang begitu angkuh menolak PB
merupakan satu tragedi intelektual yang amat memilukan kita semua…
Itulah yang kita dapat dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa ini!
Pengaruh Pandirisme Dalam Sastera Melayu
Penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa adalah bukti yang amat jelas akan
kegagalan konsep sastera yang dipraktikkan oleh para sasterawan yang hanya
berjaya melahirkan pandirisme dalam sastera Melayu, yang boleh kita lihat
dengan jelas dalam karya mereka. Mujurlah (mujur di sini tidak bermakna bernasib
baik) Anwar Ridhwan menulis novelnya yang agung itu, yang menjadi bukti betapa
kuatnya cengkaman pandirisme dalam kegiatan kreatif Malaysia. Melalui novel
ini, maka muncullah satu “teori” sastera baru yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad, “teori kerancuan sastera” yang beliau gunakan sepenuhnya untuk
memuji dan meletakkan novel Anwar Ridhwan di puncak awan, untuk memastikan
hujan pandirisme turun di segenap pelosok dunia. Dengan terbitnya terjemahan novel ini dalam
pelbagai bahasa dunia, maka hujan pandirisme itu benar-benar turun di pelosok
dunia, yang boleh kita lihat dalam pujian dari dalam dan luar negeri tentang
keagungan novel ini, Naratif Ogonshoto. Hujan pandirisme yang hanyir dengan sensasi
dan sadisme yang menjadi ciri utama novel ini, akhirnya menimpa Kementerian
Pelajaran dan dengan itu terpilihlah Naratif
Ogonshoto yang telah dikontotkan untuk menjadi teks sastera. Kehanyiran
unsur sensasi dan sadisme itu menjadi sejenis bau busuk yang melanda sistem
nilai masyarakat apabila para pelajar dipaksa mengunyah bangkai manusia dalam
bentuk perwatakan yang mendominasi novel ini, yang akan dijadikan bahan
analisis dalam pelajaran sastera mereka. Seluruh novel ini diseliputi bau
hanyir dan busuk yang timbul dari unsur-unsur syirik yang menjadi latar naratif
novel ini yang tercermin dengan jelas dalam watak-watak utama novel ini.
Bagaimana guru sastera akan menghadapi persoalan besar ini tergantung kepada
pengetahuan agama mereka, sejauh mana mereka faham konsep syirik dan peranan
syirik dalam pembinaan tamadun manusia. Dalam sistem pelajaran moden pun
aspek syirik ini memainkan peranan
penting dalam konsep pendidikan itu sendiri, yang berkait dengan konsep ilmu.
Para pegawai yang memilih novel ini untuk dijadikan teks juga terlibat dalam
penyebaran faham syirik dalam sastera dengan memilih novel ini untuk kononnya
dijadikan bahan berfikir para pelajar. Ini persoalan besar, yang memerlukan
kejujuran intelektual dan keberanian membuat keputusan yang tepat dan adil. Saya kemukakan persoalan yang berat ini kepada anda kerana amanah
intelektual yang saya pikul tidak membenarkan saya mendiamkan diri padahal saya
sedar akan masalah ini dan tahu pula bagaimana hendak menyelesaikannya, seperti
yang telah saya kemukakan dalam beberapa entri di blog ini. Hanya anda sebagai
pembaca, tidak memberi perhatian.
Kelemahan perwatakan yang amat jelas
Dalam entri bertarikh 28 Oktober
2014, “Keunggulan yang cacat”, saya telah membahaskan aspek perwatakan ini
dalam novel-novel Anwar Ridhwan. Aspek perwatakan ini penting dalam pendidikan
sastera kerana inilah satu-satunya tajuk
yang berkaitan dengan sistem nilai yang menjadi tunjang kepada makna
naratif yang dibawa oleh sesebuah novel.
Sebagai contoh, dalam Naratif
Ogonshoto terdapat satu bab yang amat sensasi dan sadis mengenai seorang
gadis yang melakukan persetubuhan dengan mayat seorang pemuda yang membunuh
bapanya. Setelah selesai melakukan persetubuhan itu dan dia merasa puas,
dipotongnya zakar pemuda itu dan dilempar kepada burung hering. Bab ini dibuang
dalam edisi murid, membuktikan bahawa segala kritikan saya tentang novel ini
adalah tepat, berasaskan analisis yang teliti dan penghujahan yang rapi,
seperti anda boleh lihat dalam “Keunggulan yang cacat” itu. Sepatutnya bab ini
tidak dibuang, jika Kementerian Pelajaran jujur untuk mendidik pelajar menjadi
cerdik. Mereka tidak patut ditipu dengan menyembunyikan sesuatu yang perlu
mereka tahu jika mereka mahu memahami mengapa novel ini ditulis. Di tempat lain, yang dikekalkan dalam versi
murid, kita dapati tukang masak Presiden menceritakan dia memotong kepala
seorang tamunya di rumahnya yang tidak diketahuinya menghidap siplis. Mayat
tamunya itu dijadikan daging kisar, mengganti daging rusa yang sudah pupus di
pulau itu, untuk dijadikan nasi bubur sebagai hidangan utama dalam jamuan
negara yang dianjurkan oleh Presiden. Ramai yang terkena jangkitan dan mati.
Dalam kisah seorang guru memotong
jarinya kerana sesuatu muslihat bodoh untuk dirinya sendiri, nampaknya para
pemilih buku ini untuk dijadikan teks mempersetankan saja penghinaan Anwar
Ridhwan terhadap para guru yang begitu bodoh, tidak siuman, tidak mampu membuat
pertimbangan yang waras. Watak guru seumpama ini hanya terjadi dalam sebuah
karya yang mengutamakan sensasi. Guru disensasikan kebodohannya, bukan
kecerdikannya. Perbuatan Anwar Ridhwan menghina para guru sedemikian rupa amat
menghairankan. Perlukah guru dihina dan dipersetankan begitu rupa? Bagaimana
reaksi guru terhadap penghinaan ini tidak perlu kita tahu, kerana bagi mereka
seorang sasterawan negara yang dihormati boleh menulis apa saja yang dia mahu
kerana dia telah diizinkan oleh negara dan masyarakatnya untuk memperbodohkan
orang lain dan dirinya sendiri. Dalam perkara ini, saya ingin membawa kepada
perhatian anda tiga buah cerita pendek saya tentang guru: “Angin Dari Gunung”,
“Masih Murid Lagi”, dan “Rumah Impian Polan Cupan.” Saya tidak mahu komen, seorang guru yang
membaca cerita pendek ini tentu cukup cerdik untuk membacanya dalam mod bacaan
intelektual, bukan mod bacaan cerita. Kalau
anda seorang guru, apakah kesannya kepada kewarasan anda sebagai seorang guru
bila membaca gambaran guru bodoh oleh Anwar Ridhwan ini? Bolehlah anda bincang
sesama guru untuk melihat pemikiran dalam cerita pendek karya saya ini; dan anda perlu membandingkannya
dengan cerita pendek dalam Naratif
Ogonshoto. Mungkin anda akan sedar seorang sasterawan negara sedang
menyeranah anda sebagai kaum guru yang bodoh, memotong jari sendiri for no reason! Budak-budak bodoh yang jadi samseng pun
tidak akan melakukannya.
Demikianlah kelemahan perwatakan
dalam karya Anwar Ridhwan. Izinkan saya kutip satu perenggan dalam entri
bertarikh 28/10/2014 mengenai kelemahan perwatakan dalam karya Anwar Ridhwan.
Kelemahan paling besar dan paling menonjol dalam karya Anwar
Ridhwan ialah dalam perwatakan. Watak yang ditonjolkannya adalah watak yang
tidak saja lemah dari segi psikologi manusia, tetapi juga terlalu naif untuk
dapat diterima sebagai watak yang boleh berfikir dan membuat keputusan yang
tepat. Anda boleh ambil watak mana pun yang anda mahu, termasuk yang paling
jahat sekali pun, anda akan melihat betapa lemahnya watak-watak yang dijadikan
penggerak sebuah novel yang bercorak intelektual. Dilihat dari segi ini pun
sudah cukup untuk menolak andaian palsu bahawa novel-novel dan cerita pendek
Anwar Ridhwan mengangkat persoalan bersifat intelektual, apatah lagi yang
bersifat filosofikal seperti yang diklaim oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Kalau wataknya sudah bodoh dan lemah, apakah jenis pemikiran yang diharapkan
akan lahir daripada tindakan mereka? Kita telah melihat bagaimana hal ini
terjadi kepada Pak Hassan, yang hanyut dalam penyerahan kepada nasib, padahal
dia ditegaskan oleh penciptanya sebagai watak yang membawa persoalan
intelektual. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri? Apakah pemikiran unggul
yang ditonjolkannya? Yang kita nampak ialah sensasi yang berlebihan, terutama
tentang kejahatan dan kebodohan watak-watak utama dalam karyanya. Sekiranya konsep
uswatun hasanah yang menjadi salah satu pegangan gagasan Persuratan Baru
dijadikan ukuran, manakah watak yang boleh memberikan contoh teladan terbaik
itu? Mungkin ini disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mendorong
mereka berkata contoh itu tidak diperlukan dalam karya kreatif. Jika ini benar,
maka bagaimana pula mereka boleh bercakap tentang jalur itu jalur ini yang
hebat yang mengubah iklim penulisan cerita pendek atau novel yang telah
dilakukan oleh Anwar Ridhwan dalam karya eksperimental, yang inovatif dan
kreatif, yang membawa perubahan dan sebagainya itu? Kesimpulan saya, ini semua
adalah bullshit semata-mata.
Kepada para guru yang mengajar
sastera, terutama yang menggunakan Naratif
Ogonshoto sebagai teks, mungkin
berfaedah jika aspek ini dijadikan tajuk perbincangan dengan pelajar. Pelajar harus diajar menjadi cerdik dengan
membincangkan aspek perwatakan. Dalam seni mengarang cereka, perwatakan adalah
bukti kekuatan imaginasi kreatif seorang pengarang untuk menyerlahkan kemampuan intelektualnya dalam membina
perwatakan yang kuat, bukan sekadar menyebut nama seperti yang dilakukan oleh
sasterawan negara ini.
Para sarjana ciritan dan pengkritik
yang cetek meraba-raba menganggap Anwar Ridhwan seorang sasterawan intelektual,
lantas mereka memberi pujian yang tinggi kepada sasterawan ini. Tetapi jika
anda membaca karyanya dengan kritis, anda akan dapati sukar untuk menjadikan
beliau sebagai sasterawan intelektual. Novel beliau yang dianggap teragung
dalam sastera Melayu sebenarnya adalah sebuah karya mediocre, yang sangat cetek unsur pemikirannya, jika ada. Anwar
Ridhwan lebih tertarik kepada aspek sensasi dan lain-lain kerana beliau tidak perlu berfikir untuk
memasukkannya dalam karyanya. Oleh itu beliau memilih unsur sensasi dan sadisme
dan khayalan liar yang hanyut dalam imaginasi yang hanya berjaya membuktikan
kelemahan kognitifnya dan kelemahan kreatifnya, tetapi cukup kaya dalam
pretensi intelektual sehingga berjaya memabukkan para sarjana dan pengkritik
sastera untuk mengangkatnya sampai ke langit ke tujuh walaupun mereka ini tidak
memberikan bukti konkrit yang membolehkan tokoh ini diangkat ke langit ke
tujuh! Dengan kemampuan intelektual yang
terbatas, dengan kelemahan kognitif untuk berfikir dengan teratur, dan dengan
khayalan liar yang menjadi kekuatannya, maka tepat benarlah beliau menulis
novel berjudul Arus, kerana beliau
sendiri sudah tenggelam dalam arus mediocrity,
dalam arus pandirisme, untuk muncul dengan karya yang penuh sensasi. Paling
menarik, Naratif Ogonshoto pada
hakikatnya adalah lamunan seorang gila yang sudah tua, yang ketakutan
menghadapi pembedahan. Apakah kelebihan
tokoh atau watak ini untuk dijadikan watak misteri novel ini? Dari segi
psikologi, kemunculan Anwar Ridhwan dengan karyanya yang begitu kaya dengan sensasi, unsur sadisme, dengan perwatakan yang amat
aneh, memerlukan satu analisis psikologi, yang mungkin boleh dilakukan oleh
Prof. Hashim Awang yang memang satu-satunya pakar dalam psikologi Freud dalam
bidang kritikan sastera Melayu. Tokoh misteri di akhir cerita yang diberi nama
Noor oleh Anwar Ridhwan, berasal dari
Sungai Besar, tempat lahir Anwar Ridhwan sendiri. Sungai Besar dipanggil Kali
Besar dalam novel. Adakah Noor itu beliau sendiri? Hanya Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad yang tahu jawapannya.
Pengaruh Barat Dalam Sastera Melayu
Bolehkah kita berkata tiada sastera
Melayu moden tanpa pengaruh Barat? Mungkin lebih tepat jika kita berkata
sastera Melayu moden tidak akan muncul tanpa pengaruh dari sastera moden
Indonesia. Saya kira kesimpulan ini
lebih munasabah, walaupun kita tahu sastera moden Indonesia sendiri menerima
pengaruh besar dari sastera Barat. Indonesia lebih beruntung kerana cerdik
pandai mereka menguasai bahasa Belanda, Perancis, German, Inggeris, Arab dan
lain-lain. Oleh itu mereka membaca karya asing itu dalam bahasa asal. Hingga
kini kita ketinggalan terlalu jauh dalam aspek ini. Agaknya, berapa bahasa
asing yang dikuasai oleh Sutan Takdir Ali Sjahbana? Belanda. German. Inggeris.
Perancis … Di kalangan sarjana yang menulis tentang sastera Melayu, yang saya
tahu yang menguasai bahasa Arab, Inggeris, Turki, Urdu, Parsi … ialah Prof.
Bukhari Lubis.
Tentulah ideal jika seseorang
mengetahui/menguasai banyak bahasa; tetapi jika anda menguasai satu bahasa
asing pun sudah cukup andainya anda menggunakannya untuk mendapat ilmu. Setiap
bahasa adalah gedung ilmu, apatah lagi dalam bahasa-bahasa moden yang pesat
berkembang. Khusus dalam sastera, jika anda benar-benar tekun membaca buku-buku
penting yang terdapat dalam bahasa Inggeris, atau yang diterjemahkan ke dalam
bahasa Inggeris, maka usaha itu sangat berguna kerana setiap penulis tidak
hanya memberi pendapatnya, tetapi memberi pandangan kritis terhadap pendapat
orang lain. Dengan itu suatu tajuk yang kelihatan mudah, akan berkembang menjadi
satu perbahasan yang sering kali cukup mendalam dikupas sehingga pembaca yang
rajin akan dapat pelbagai pandangan terhadap suatu tajuk yang biasa saja
sekalipun. Itulah kehebatan sarjana Inggeris atau Barat. Saya tidak perlu
memberi contoh, kerana jika anda membaca buku Frank Lentricchia, After the New Criticism, anda sudah
dapat “menguasai” berbagai-bagai pendekatan dalam kritikan sastera Barat. Jika anda cerdik, anda akan bertanya,
bagaimana mereka mendapat sumber ilmu
mereka? Jika anda perdalami pertanyaan itu sehingga ke akar umbi, anda akan
mula berfikir dengan serius, dan bertanya diri anda sendiri, Adakah ini yang
aku perlukan? Ketika itulah anda akan
menyoal dari segi apa bacaan anda itu berguna dan dari segi apa pula hanya akan
mengusutkan anda jika anda tidak berhati-hati. Jika anda seorang Islam yang
kritis, anda akan mula memberi kritikan anda sendiri terhadap pendapat yang
anda dapat dalam teori sastera Barat itu. Dan jika anda bernasib baik, anda
akan kembali kepada sumber ilmu dalam Islam dan melihat sastera dan kritikan
sastera dari perspektif itu.
Tahu menggunakan ilmu dan maklumat
yang kita dapat adalah satu kelebihan yang akan menghindarkan kita daripada
terjebak dalam kesesatan ilmiah atau kesesatan akademik sekiranya anda pandai-pandai
sendiri menentukan sesuatu, yakni membuat pilihan, tanpa autoriti yang sah.
Itulah caranya untuk anda menjadi keliru dan kemudiannya bangga berada dalam
kumpulan orang yang kehilangan adab.
Sekiranya anda membaca dengan kritis setiap kertas kerja yang dimuat
dalam Sastera Teras Negara Bangsa,
anda akan dapati dengan mudah perkara-perkara yang saya kemukakan di sini. Jika anda bernasib baik, ketika itu anda akan
mengerti mengapa saya begitu kritis menilai pandangan dan pendapat yang disogok
dalam kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014.
Pada pandangan saya, kita tidak
perlu buang ke laut segala pandangan Barat, seperti yang ingin dibuat oleh
Prof. Zawiyah Yahya dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Mengapa kita bangga menjadi bodoh ketika
kita diberi peluang untuk menjadi cerdik?
Gagasan Persuratan Baru banyak mendidik saya untuk menjadi pemikir
sastera yang cerdik, yang mampu menulis karya persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai
Maqamat … dan seterusnya. Jika saya mencabar anda untuk menilai
Naratif Ogonshoto dari perspektif PB,
maka itu hanya satu permintaan yang kecil saja. Permintaan yang lebih besar
ialah kita mula dari sekarang membina kembali persuratan Melayu berasaskan
konsep ilmu yang benar. Nampaknya semua
sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tidak mahu perubahan ke arah itu.
Mereka dengan keras dan tegas mempertahankan status quo yang memberi
keuntungan kepada mereka, seperti yang mereka tegaskan dalam resolusi Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Tetapi
pada waktu yang sama mereka bercakap tentang perubahan dan sebagainya, seperti
yang disarankan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.
Peranan Kritikan Sastera
Adakah kita sudah mempunyai sejumlah
pengkritik sastera yang benar-benar berwibawa? Soalan ini tidak pernah
ditanyakan, oleh itu jawapannya tentulah sukar terutama sekali jika anda tidak
menguasai bidang kritikan yang memang memerlukan anda menguasai teorinya. Jika anda tidak menggunakan teori tertentu,
maka anda bukan seorang pengkritik sastera, sekadar penilai biasa yang sering
kali tidak dapat menjelaskan, bila ditanya, mengapa anda membuat penilaian atau
kesimpulan tertentu. Seperti yang telah saya tunjukkan dalam beberapa entri,
misalnya dalam entri “Keunggulan yang cacatan,”
tanpa suatu teori yang mantap, anda tidak mungkin dapat membaca dan
menilai Naratif Ogonshoto dengan
meyakinkan. Saya telah memberi contohnya dalam tulisan
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Ada lagi beberapa contoh lain, yang anda tentu sudah
membacanya (saya tidak mahu sebut di sini, kerana mudah dicari). On second thought, wajar jika saya sebut
contoh lain itu untuk menjadi peringatan kepada anda. Misalnya, usaha Mana Si
Kana meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan, telah saya
tolak dengan penghujahan yang anda boleh patahkan jika anda rasa perlu. Saya
pun mahu dengar pendapat anda yang lebih mantap dan lebih ilmiah, oleh itu anda
tidak perlu berdiam diri merungut di sana sini, tetapi tidak mampu, atau tidak
mahu berkongsi ilmu dengan orang lain. Ini bukan sikap positif seorang ahli
akademik.
Tindakan para pegawai di Kementerian
Pelajaran menyekat pendekatan alternatif dalam pendidikan sastera, seperti yang
saya cadangkan dalam buku-buku saya, telah membantut perkembangan kognitif para
pelajar untuk melihat segi lain dalam pendidikan sastera, yang dihidangkan oleh
PB. Sepatutnya pada waktu kita sudah berada dalam dunia moden yang terbuka
kepada ilmu, kita seharusnya bertindak lebih bijak dan lebih terbuka untuk
meneliti alternatif baru yang dikonsepsikan oleh sarjana kita sendiri. Tidak ada sebab untuk kita gagal memberi
peranan positif kepada kritikan sastera dan pendidikan sastera dengan mula
meneliti sumbangan pemikir kita sendiri. Hendaknya kita tidak khianati amanah
akademik kita dengan menonjolkan pendekatan yang kurang sesuai dalam pendidikan
sastera, ketika kita sudah pun mempunyai pendekatan yang lebih baik yang
dicetuskan oleh sarjana kita sendiri. Saya cadangkan Kementerian Pelajaran cuba
menjenguk pendekatan alternatif yang dikemukakan oleh PB. Kita mempunyai cukup
rujukan untuk itu.
Perkembangan Kritikan
Kritikan sastera di Malaysia
bergantung sepenuhnya kepada teori Barat. Anda boleh lihat perkara ini dengan
mudah jika anda membaca kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” (?) para
sasterawan negara dalam seminar khusus untuk membincangkan “pemikiran” mereka.
Tujuan seminar itu ialah untuk memuji dan mengangkat para sasterawan negara.
Seorang profesor sastera pernah memberitahu dalam seminar “pemikiran” A. Samad
Said, apa gunanya mengangkat para sasterawan negara jika untuk dikritik. Oleh
itu, semua mereka perlu dipuji supaya gelaran sasterawan negara itu cocok
dengan hasil kreatif mereka. Kaedah ini telah berjaya memberi gambaran palsu
terhadap sumbangan para sasterawan negara, apabila semua mereka didapati
berjaya menghasilkan karya yang bermutu dan kaya dengan keindahan bahasa dan
berjaya pula mengemukakan tema atau persoalan baru dalam karya mereka, dengan
itu memperkaya pengalaman intelektual pembaca.
Adakah ini pendapat yang betul? Saya telah mengkritik pandangan salah
ini dalam banyak entri yang disiarkan dalam blog ini, malah telah mengumpul
sebahagian daripada entri itu di dalam dokumen yang diberi judul, “Kita Tidak
Perlukan Sasterawan Negara.” (setebal 260 halaman.)
Idea Baru dan Cabaran Masa Depan
Satu-satunya idea baru yang tersusun
secara sistematik ialah Gagasan Persuratan Baru. Kemunculan Persuratan Baru
(seterusnya PB) tidak mengejutkan sesiapa pun di kalangan sasterawan dan
sarjana sastera. Bagi mereka perkara biasa saja yang boleh timbul kemudian
tenggelam dan timbul yang lain pula.
Tetapi sebaik saja mereka sedar PB mencabar konsep sastera yang menjadi
pegangan mereka dan mempersoalkan kewajaran projek sasterawan negara, maka
bermulalah perang dingin. Secara siuman hal ini tidak perlu, tetapi kedudukan
para sasterawan dan sasterawan negara yang dipersoalkan secara ilmiah, secara
akademik, membangkitkan kegelisahan golongan ini. Apakah yang mereka boleh
buat? Tidak ada. Tetapi ini menimbulkan
keresahan apabila mereka diberitahu karya para sasterawan negara, yang dianggap
mercu kejayaan kreatif di Malaysia, sebenarnya tidak dapat menandingi karya
persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai Maqamat dan lain-lain. Lalu, tindakan bijaksana yang mereka lakukan
ialah mendiamkan diri dan pada waktu yang sama menghalang PB daripada dikenali
oleh masyarakat sastera. Nampaknya
mereka berjaya kerana secara rasmi mereka mempunyai kedudukan yang intim dengan
pihak berkuasa, yakni Kementerian Pelajaran. Maka berjayalah Naratif Ogonshoto, sebuah karya picisan,
diangkat untuk dijadikan teks sastera yang nantinya akan membolehkan para
pelajar menggunakan fikiran aras tinggi untuk membaca dengan kritis dan menilai
karya agung ini. Saya mengatakan mereka tidak boleh melakukannya, kerana mereka
tidak mempunyai alat akademik untuk digunakan dengan berkesan. Segala konsep
yang mereka gunakan selama ini sudah menjadi klise, dengan itu hanya berupaya
membuat mereka hanyut dalam khayalan ketika menilai sebuah karya kreatif. Tidak
ada gigi lagi untuk menggigit secara ilmiah karya kreatif yang dikononkan
bernilai tinggi, tetapi sebenarnya tidak jika digunakan pendekatan yang lebih
canggih dan terbaru, yakni menggunakan pendekatan PB yang memberi perhatian
khusus kepada konsep ilmu yang benar.
Hasilnya adalah yang anda baca dalam entri yang lepas, ketika saya
mengkritik Naratif Ogonshoto
berasaskan ukuran konsep ilmu yang benar.
Para guru sastera wajar mula mengenali PB kerana dengan menggunakan
pendekatan yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat melihat dengan jelas kekuatan
dan kelemahan sesebuah karya kreatif. Para pelajar perlu diajar menjadi cerdik
sekiranya para guru sastera menggunakan pendekatan PB. Walau bagaimana pun,
anda harus berhati-hati, kerana saya diberitahu Kementerian Pelajaran telah
mengharamkan, secara tidak rasmi (?) pendekatan baru selain daripada yang sedia
ada dan sudah lama digunakan supaya para pelajar tidak menjadi keliru bersama
guru mereka yang besar kemungkinan akan menjadi lebih keliru kerana kecetekan
pengetahuan mereka tentang kritikan sastera dan penilaiannya. Tetapi saya fikir
tidak salah untuk memperkenalkan idea baru ini supaya para pelajar akan dapat
menikmati setiap karya kreatif sebagai pelajar yang dapat membaca sesebuah
karya dalam mod bacaan intelektual, tidak hanya semata-mata dalam mod bacaan
cerita seperti yang mereka lakukan sekarang bersama guru sastera mereka. Kalau tidak cuba anda tidak tahu kesan
positifnya yang amat besar, yang sebenarnya memudahkan anda mempelajari sastera
dan dapat membaca dan menilai karya kreatif dengan berkesan.
Kesimpulan Umum
Tiga isu besar yang ingin saya
ketengahkan untuk perbincangan seterusnya. Pertama, mengenai pendidikan sastera yang sangat lemah
kerana masih menggunakan kaedah lama yang sudah klise. Saya bersetuju dengan
pandangan sasterawan negara Dato’ Dr.
Anwar Ridhwan dalam kutipan yang saya ambil dari tulisan beliau (Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 217),
tetapi beliau tidak memberi apa-apa jalan keluar. Pada umumnya tulisan beliau
dalam buku itu bagus jika dapat dilaksanakan, tetapi tidak dalam konteks lama
yang sudah menjadi klise yang sekian lama menghalang adanya perubahan yang
benar-benar bermakna. Perubahan ini
hanya boleh terjadi jika idea tentang pendidikan estetika yang saya kemukakan
sejak akhir 1980-an yang kemudiannya saya rumuskan menjadi Gagasan Persuratan
Baru; tetapi inilah yang ditentang oleh semua sasterawan, sarjana, dan
pengkritik sastera. Oleh itu, apakah jenis perubahan yang mereka mahu? Mereka
tidak ada jawapannya, tetapi kita tahu yang mereka maksudkan dengan perubahan
itu ialah terus mempertahankan status quo
yang telah gagal memberi kemajuan yang kita mahu. Kita masih berada dalam dekad
kesimpulan 1972. Mana ada perubahan? Tidak ada. Perubahan yang sebenarnya hanya
akan berlaku jika Gagasan Persuratan Baru dijadikan landasan untuk membina
kembali persuratan Melayu.
Isu kedua yang penting ialah
mengenai ukuran yang kita pakai dalam menganalisis dan menilai karya kreatif
dan dalam keterampilan akademik para sarjana dan pengkritik sastera yang amat
jelas masih meraba-raba dalam belantara teori sastera Barat yang mereka tidak
kuasai dengan mantap. Saya berikan beberapa contoh untuk memudahkan anda
memahami isu besar ini. Kerana tiadanya keterampilan akademik itu, maka
terjadilah penilaian yang penuh dengan unsur syirik dan unsur pandirisme ketika
para sarjana memberi pujian tinggi kepada Naratif
Ogonshoto, yang sebenarnya hanya sebuah karya picisan yang tidak
bertunjangkan ilmu walaupun pengarangnya memberitahu kita ilmu adalah penting
dalam karya kreatif. Dolak-dalik ini adalah jenis warisan Pak Kaduk, Si Luncai
dan kawan-kawan mereka dalam cerita jenaka Melayu. Adakah anda masih mahu
mengekalkan cerita jenaka itu dalam bentuk moden?
Isu ketiga, perlunya dialog ilmiah
antara dua golongan yang berbeza, satu yang mahu mempertahankan status quo walaupun telah gagal memberi
kemajuan berfikir kepada masyarakat; satu kumpulan lagi bolehlah dikatakan
telah memulai revolusi dalam pemikiran tentang seni dan keterampilan akademik,
yang diwakili oleh Gagasan Persuratan Baru.
ITBM dan DBP bolehlah mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang
kedua, khusus untuk membincangkan tiga isu penting: (1) peranan ilmu dalam
karya kreatif, (2) kedudukan teori sastera Barat dalam sastera Melayu, dan (3)
masalah pendidikan sastera yang hilang arah dan masih menggunakan teknik
pengajaran yang sudah klise. Sidang
kedua ini juga perlu menonjolkan beberapa buah karya (novel atau kumpulan
sajak) sasterawan negara untuk dinilai daripada perspektif PB, untuk
membuktikan bahawa karya ini juga boleh menyerlah jika dinilai dari perspektif
PB. Perkara ini menjadi lebih mudah setelah Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud
memperkenalkan konsep “ingkar ilmu” yang boleh digunakan untuk meneliti karya
para sasterawan negara ini.
Akhirnya sebagai catatan sejarah
yang penting, saya ingin mengucapkan
terima kasih kepada Puan Rogayah Abdul Hamid yang pernah mengetuai
bahagian sastera di DBP, telah mengusahakan penerbitan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan
Tauhid (diterbitkan oleh DBP 1992; berasal dari makalah panjang yang
disiarkan oleh Allahyarham Sutung Umar yang menjadi editor Dewan Sastera ketika itu.)
Puan Rogayah juga menghubungi Prof. Mohd. Kamal Hassan (kini Prof. Ulung
Tan Sri Mohd. Kamal Hassan) untuk memberikan pendahuluan kepada buku itu. Ketua
Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah bersetuju menerbitkan cetakan kedua
2005. Sekarang cetakan kedua itu pun sudah kehabisan stok. Buku yang mendapat
penghargaan di luar negeri ini kini perlu diterbitkan semula dengan beberapa up-date untuk cetakan ketiga dengan
memasukkan berapa perkembangan baru dan konsep baru setelah terbitnya beberapa
buah buku yang diterbitkan oleh UKM dengan usaha Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir. Buku-buku mengenai PB lebih dari
memadai untuk membolehkan seseorang sarjana atau sesiapa saja memahami PB
dengan mudah. Buku ilmiah seumpama ini tidak ada yang secara khusus
membicarakan permasalahan dalam sastera Melayu, kecuali beberapa buah yang
berasal dari tesis sarjana dan kedoktoran yang diragui kualiti ilmiahnya. Tak
perlu sebut nama dan judul buku, untuk menghormati keutuhan sastera Melayu
moden.
Akhirnya, sesiapa juga yang tidak
bersetuju dengan PB, kini mempunyai dokumen yang lebih dari mencukupi untuk
mengkritik PB secara ilmiah. Sebaiknya, akan muncul karya yang berkualiti
daripada para penentang PB, supaya kita semua senang membuat perbandingan. Masyarakat sastera Malaysia perlu diberi
peluang untuk membuat penilaian mereka mana yang genuine dan mana yang fake dalam perbincangan sastera
Malaysia.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,
18/8/2017.
No comments:
Post a Comment