Kemunculan
buku Pandirisme Dalam Komuniti Dunia
telah berjaya menyerlahkan wajah sebenar sastera Melayu yang telah melahirkan
13 orang sasterawan negara. Siapakah
para sasterawan negara ini? Pertanyaan ini hingga kini belum terjawab. Kita
tidak tahu siapa mereka sebenarnya. Memang mereka mempunyai nama yang berbeza,
tetapi nama hanya panggilan yang tidak memberi apa-apa keistimewaan selain
hanya tanda pengenalan yang belum tentu memberikan makna tertentu, seperti
misalnya apabila kita menyebut nama Imam Ghazali, Iqbal, Jalaluddin Rumi, Prof.
Fazlur Rahman, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas… Yang menjadi tanda tanya ialah tidak seorang
pun di antara sasterawan negara boleh membicarakan dengan meyakinkan sumbangan tokoh-tokoh
ilmuan/ulama yang saya senaraikan itu. Tidak seorang pun di antara para
sasterawan negara yang kenal siapa Shah Wali Allah yang menulis salah sebuah
kitab terbesar dalam dunia ilmu-ilmu Islam, HujjatulLlah
al-Balighah. Tak seorang pun di
antara para sasterawan negara tahu bahawa ajaran Shah Wali Allah telah terkenal
di Kelantan sebelum tahun 1930-an lagi, dan hingga kini Tariq Shah Wali Allah
masih hidup. Seorang sarjana Belanda, J.M.S Baljon, duduk berbulan-bulan di
Kelantan untuk mengenal sejauh mana pengaruh Shah Wali Allah di Kelantan. Tak
seorang pun di antara sasterawan negara yang anda kagumi itu tahu bahawa
politik Kelantan menjadi dinamik dan berbeza dari politik di tempat lain ialah
kerana kuatnya pengaruh ajaran Shah Wali Allah. Sungguh lekeh para sasterawan
negara kita yang amat dikagumi oleh orang yang tidak dapat membezakan keunggulan merak dengan kicau murai yang
bising sepanjang hari.
Satu masa
dahulu, sasterawan negara Kemala pernah menyindir dengan senyuman manis beliau
(orang Kelantan panggil senyuman ikan puyu), “Tidak ada yang original dalam
pemikiran Mohd. Affandi Hassan… semuanya diambil daripada pendapat Syed Naquib
al-Attas.” Memang betul, Mohd. Affandi Hassan tak akan terlawan dengan
kegemaran Kemala, yang menurut Panel Anugerah Sastera Negara telah membawanya
ke peringkat antara bangsa kerana telah menjadikan percintaan Mark Antony dan
Cleopatra sebagai alusi tentang cinta dalam sajaknya. Menurut pengarang buku yang
satu masa dulu sangat popular di Malaysia, Allan Bloom, pengarang The Closing of the American Mind, memberikan komen yang sangat
menarik dalam bukunya yang lain, Love and Friendship, seperti berikut: “Antony
and Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual
intercourse with each other as much as possible.” (hal. 304).
Kehadiran
mereka dalam sajak Kemala amat dikagumi oleh Panel Anugerah Sastera Negara
dalam laporan mereka, oleh itu Panel memberi pujian yang tinggi kepada
kecekapan Kemala memilih tokoh ini untuk dimasukkan ke dalam sajaknya. Kata Panel: “Sebagai penyair yang berjiwa
besar, Kemala juga berani menggunakan alusi seperti rujukan kepada Mark Anthony
(sic) dan Cleopatra. Perkara ini
dilakukannya bukan kerana tidak ada tokoh dalam kalangan penduduk tempatan,
sebaliknya, penggunaan alusi ini memupuk renungan tentang hukum hidup yang
universal dan lumrah. … Justeru, alusi
daripada berbilang budaya menjadikan karya penyair ini universal. Namun
demikian, Kemala tetap bersandar kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam”.
(hal. 20, Laporan Panel 11.) Adakah Panel bergurau? Menempelak? Menyindir?
Komen ini sangat naif, tidak cerdik langsung, sesungguhnya tidak munasabah
diucapkan oleh sekumpulan pakar sastera negara Malaysia! Bagaimana perkara ini boleh timbul dan dalam
konteks yang bagaimana tetap menjadi satu misteri dalam kritikan sastera;
menjadi contoh yang jelas tentang kesesatan
intelektual yang saya maksudkan.
Nampaknya
para sarjana, sasterawan dan penilai sastera menghadapi cabaran besar untuk
kembali menjadi siuman dengan meninggalkan kesesatan intelektual yang berpunca
dari kedegilan tidak mahu menerima hakikat bahawa sumber ilmu adalah al-Quran.
Kebenaran, the truth, bagi golongan
ini tidak penting, kerana bagi mereka yang penting ialah kepentingan mereka
sebagai individu dan kelompok, yakni kepentingan jangka pendek untuk merangkum dengan rakus dan haloba apa
juga peluang yang mereka anggap luas terbuka untuk mereka manfaatkan. Maka apabila mereka memberi status Brahmin
sastera seperti Anwar Ridhwan memberi status kudus kepada resi tua dalam
novelnya, terlaksanalah kesesatan intelektual yang kemudiannya melahirkan
sastera hogwash yang mengarut (nonsense) yang kini
dilindungi oleh kumpulan Mutual
Admiration Club yang memang mempromosikan sastera hogwash itu dalam kegiatan mereka. Cabaran sebenar bukan untuk
meneruskan sastera hogwash dengan
melaksanakan dengan seluruh kesedaran kesesatan intelektual dalam kegiatan
mereka; tetapi cabaran itu ialah untuk menolak sastera hogwash ini dengan meninggalkan kesesatan intelektual untuk
menerima hakikat ilmu yang bersumber daripada al-Quran. Itulah cabarannya, yang
jika diterima dan dilaksanakan akan meningkatkan kemajuan berfikir dalam bidang
penulisan. Inilah yang kita mahu, untuk
kembali menjadi siuman dengan menerima hakikat ilmu yang benar bersumber dari
al-Quran.
Hanya dengan
menerima cabaran ini sahaja pendidikan sastera yang dilaksanakan sekarang akan
dapat menyedarkan para pelajar peri pentingnya memahami konsep ilmu yang benar
jika mereka mahu menjadi pelajar yang cerdik dan cekap berfikir, yang
sebenarnya tidak dapat diberikan oleh projek “pemikiran aras tinggi” yang kabur
dan tidak berlandaskan konsep ilmu yang benar itu. Antara cabaran besar yang tidak disedari oleh
para sarjana, pengkritik dan sasterawan ialah ketiadaan alat analisis yang
canggih yang boleh mereka gunakan untuk mengenal pasti masalah dan memberikan
penyelesaiannya sekiranya penyelesaian itu diperlukan. Saya telah mengulang banyak kali bahawa alat
analisis yang mereka pakai sekarang, berasaskan kefahaman yang cetek tentang teori
sastera Barat, gagal mengenal pasti
masalah dan ini diikuti dengan gagalnya
mereka memberi jalan keluar kepada masalah yang mereka cuba huraikan,
seperti yang kita lihat dalam beberapa makalah dalam Sastera Teras Negara Bangsa. Contoh yang saya ambil ialah mengenai
wajah sastera yang akan datang. Penulis yang membicarakan tajuk penting ini
berpusing-pusing dalam lingkaran syaitan (vicious
circle) seperti keldai yang ditutup matanya berjalan beribu batu tetapi
tidak keluar dari kincir air yang dikelilingnya. Walaupun usaha keldai itu
bagus untuk menaikkan air untuk faedah pertanian, keldai sastera yang
berpusing-pusing dalam kekaburan analisis mereka mengusutkan semua persoalan
yang kononnya cuba diselesaikannya. Apakah persoalan utama yang mereka perlu
kenal pasti dan memberikan penyelesaiannya apabila mereka bercakap tentang
wajah sastera masa depan? Apa yang mereka paparkan dalam tulisan mereka tidak
memberikan sedikit pun gambaran wajah sastera akan datang, sebaliknya, seperti
keldai tadi, mereka hanya mengulang yang sudah ada. Kalau begitu, apa gunanya
bercakap tentang wajah sastera yang akan datang? Soalnya amat mudah, dan telah
saya ulang beribu kali dalam blog ini, iaitu mereka seharusnya kembali menjadi
siuman dengan menjadikan konsep ilmu asas penulisan kreatif diikuti dengan
sistem penilaian seperti yang dianjurkan oleh PB. Kalau mereka berebut-rebut
menggunakan segala pendekatan Barat, apakah jadahnya mereka tidak jeling pun
kaedah yang lebih canggih daripada yang mereka tiru itu? Sekurang-kurangnya
mereka tahu makna ilmu dalam penulisan kreatif dan penilaiannya. Tidakkah itu
berguna, amat berguna, untuk memulai usaha membina wajah baru dalam penulisan
kreatif dengan menjadikan konsep ilmu yang benar sebagai asas. Tepat sekali
kesimpulan kita bahawa apa yang mereka lakukan ialah melanjutkan kesesatan intelektual seperti yang
mereka sudah lama usahakan dalam sastera hogwash
yang menjadi ikutan mereka dan yang mereka perjuangkan untuk dikekalkan. Adakah
ini yang mereka maksudkan dengan perubahan?.
Sikap
negatif terhadap ilmu kumpulan Mutual
Admiration Club ini boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada
perkembangan intelektual dan kebudayaan di Malaysia. Inilah salah satu faktor mengapa pendidikan
kesusasteraan di sekolah-sekolah gagal melahirkan cendekiawan sastera dan
budaya yang cemerlang. Yang terbaik di antara mereka pada waktu ini, seperti
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, hanya
terbaik dalam konteks sastera hogwash,
sastera yang mengarut. Betapa pun anda
ingin mempertahankan para sasterawan negara dan para penyokong mereka, anda
tetap akan gagal kerana mereka sememangnya tidak mencapai standard yang
dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kesimpulan 1972
beliau. Bahawa kesimpulan 1972 itu
hingga sekarang belum dicabar dan dibuktikan tidak benar membuktikan betapa
tepatnya kesimpulan itu dan betapa mundurnya pula para sarjana sastera yang
tidak berupaya menangkis kesimpulan 1972 itu.
Semua ini menjadi bukti betapa kuatnya pengaruh sastera hogwash yang telah melahirkan 13 orang
sasterawan negara itu.
Sastera hogwash yang kini dijadikan arus perdana
adalah sastera yang menjadikan pandirisme sebagai falsafah penulisan para
sarjana dan sasterawan. Dalam konteks
ini, saya ingin akhiri entri ini dengan
satu kutipan daripada Shah Wali Allah yang diambil oleh Prof. J.M. S. Baljon
dalam bukunya, Religion and Thought
of Shah Wali Allah Dihlawi (Leiden:
E. J. Brill, 1986) (hal. 131) yang cukup relevan dengan perbincangan tentang
kemajuan berfikir dalam sastera Melayu. Kata Shah Wali Allah (seperti yang
dipetik dan diterjemahkan oleh Prof. Baljon): “…beware of caring for people who
call themselves falasifa. God has made them to go astray, in spite of
their knowledge, and ensnared them in their intellectualism, so that they
cannot find a way to escape from it. If you want to go to the heart of things
and determine hidden meanings (sirr),
their knowledge will be of no use to you. True knowledge is gained from the
spring of the shari’a together with
pious deeds and seeking proximity to God.”
Anda tidak dapat “proximity”
itu dengan mencontohi Mark Antony dan Cleopatra yang dipuji oleh Panel Anugerah
Sastera Negara. “Proximity” yang anda
dapat adalah jenis Mark Antony dan Cleopatra!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24 Ogos 2017.
Catatan kecil:
Seseorang memberi maklumat yang agak menarik tentang sastera hogwash.
Katanya, dalam bahasa Melayu hogwash
adalah “babi berkubang”. Babi berkubang bukan untuk membersihkan diri, sekadar
menghilang rasa panas dan memang kegemaran babi berkubang dalam air keruh.
Katanya makna ini kelihatan juga dalam sastera Melayu apabila teori sastera
Barat yang keruh itu dijadikan panduan para sarjana dan sasterawan. Tetapi
makna yang saya pakai bukan dengan maksud itu. Semua kamus Inggeris yang saya
rujuk memberi makna hogwash itu “nonsense, rubbish” atau dalam istilah
Heidegger “idle talk”. Konsep mengarut yang saya maksudkan dilihat
dari perspektif ilmu yang benar. Jika ini jelas kepada anda, tiada masalah,
kerana inilah benda-benda yang kita dapat dalam karya para sasterawan negara
sekali pun (tetapi tentu saja terdapat juga yang baik-baik, dengan tujuan dan
matlamat untuk bermuka-muka, bukan
untuk memberi kebijaksanaan seperti yang kita dapat daripada Rumi dan Iqbal
misalnya.) Anda perlu jelas tentang perkara
ini supaya tidak salah faham. Kita bercakap tentang ilmu dan kebijaksanaan.
Tentang “knowledge and wisdom”.
Supaya lebih jelas, anda perlu membaca Pujangga
Melayu dan Naratif Ogonshoto
dalam konteks ini. Terima kasih atas
perhatian anda.
No comments:
Post a Comment